Oleh/By : DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MASJID SAIDINA OTHMAN BANDAR
TUN RAZAK, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 19-11-2001
Tajuk/Title : PERASMIAN NUR RAMADHAN 1422 HIJRAH
Versi :
Penyampai : PM
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera kepada para hadirin sekalian.
Saya ingin ucapkan tahniah kepada UMNO Wilayah
Persekutuan yang sekali lagi dapat mengadakan majlis
Nur Ramadan ini. Saya berasa amat gembira kerana parti-
parti komponen Barisan Nasional daripada kaum-kaum yang
lain dan agama lain juga dijemput ke majlis ini.
Seperti mana kita tahu Malaysia adalah sebuah negara
majmuk, negara berbilang kaum, berbilang agama,
berbilang budaya, berbilang bahasa. Namun negara kita
ini umumnya aman dan tenteram. Tidak ada perselisihan
yang ketara antara kaum, tidak ada rusuhan kaum seperti
yang sering berlaku di negara-negara berbilang kaum
yang lain.
Keadaan di Malaysia ini mengagumkan pelawat-pelawat dan
pemimpin-pemimpin dari negara lain kerana biasanya
negara majmuk, negara berbilang kaum, tidak pernah aman
sama sekali, jauh sekali dapat dibangunkan dengan
pesat.
Tetapi Alhamdulillah rakyat Malaysia terdiri daripada
orang-orang yang bersikap sederhana, moderate dan tidak
keterlaluan dalam apa juga tuntutan mereka ataupun
pegangan mereka kepada kepercayaan mereka. Orang Islam
di Malaysia ini terkenal kerana mereka bersikap
sederhana mengikut kehendak agama Islam itu sendiri.
Kita bukan sederhana dengan sengaja sahaja tetapi
kerana ini adalah kehendak agama kita. Orang Islam
tidak perlu bermusuh dengan orang lain melainkan kalau
mereka bermusuh dengan kita. Itu pun kalau mereka ingin
berdamai maka menjadi tanggungjawab orang Islam untuk
berdamai.
Kalau kita pegang kepada ajaran Islam, sudah tentu
negara kita ini akan menjadi sebuah negara yang aman
walaupun bilangan orang Islam lebih ramai daripada
orang bukan Islam di dalam negara kita ini.
Kita perlu pupuk semangat perpaduan di kalangan orang
kita. Ada acara-acara yang tidak menyinggung agama lain
yang apabila kita adakan, bolehlah kita menjemput rakan-
rakan kita daripada kaum lain dan agama lain.
Sebagai contoh ialah majlis berbuka puasa. Memanglah
ini sebahagian daripada ibadat orang Islam tetapi orang
lain juga boleh bersama-sama dengan kita, makan bersama
walaupun mereka tidak sebenarnya buka puasa. Tetapi
tidak menjadi salah kalau mereka bersama-sama dengan
kita semasa kita berbuka puasa. Dengan itu kita dapat
rapatkan lagi kaum-kaum di Malaysia ini. Dan apabila
kita dapat rapatkan kaum-kaum di Malaysia tidak dapat
tidak, negara kita ini akan menjadi aman dan stabil.
Di Malaysia kita telah berjaya menjalin hubungan yang
baik yang tidak keterlaluan daripada segi amalan agama
kita. Pada bulan puasa sepertimana yang kita tahu
restoran-restoran dan juga hotel-hotel membuat
persediaan untuk berbuka puasa bagi orang Islam tetapi
secara spontan, orang bukan Islam juga turut bersama
untuk menikmati juadah dan makanan yang disediakan.
Yang menarik sekali ialah orang bukan Islam tidak
memulakan makan sehinggalah masa berbuka puasa telah
sampai dan orang-orang Islam yang ada bersama telah
buka puasa. Masa itulah mereka yang bukan Islam dan
tidak berpuasa turut bersama untuk menikmati makanan
yang disediakan.
Ini adalah satu petanda yang baik kerana ia menunjuk
bahawa di kalangan orang yang berlainan agama di
Malaysia kita saling hormat menghormati antara satu
sama lain. Oleh kerana kita hormat menghormati agama
dan budaya yang berbeza ini maka tidak ada perselisihan
kaum ataupun fahaman yang ketara dalam negara kita.
Sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa ini bukan
bertentangan dengan ajaran Islam. Sebaliknya kita tahu
agama kita berkata bahawa ada orang yang bukan beragama
Islam dan cara mereka sembahyang menyembah tuhan adalah
cara mereka. Sebaliknya kita menyembah tuhan dan
membuat ibadat cara kita. Bagi mereka agama mereka,
bagi kita agama kita. Tidak ada percubaan untuk memaksa
sesiapa untuk memeluk agama Islam walaupun negara ini
telah memasukkan dalam perlembagaan bahawa agama Islam
adalah agama rasmi. Namun dalam perlembagaan juga kita
telah sebut dengan jelas dan terang bahawa agama-agama
lain boleh dianuti oleh penganut agama lain dan tidak
ada apa-apa sekatan terhadap mereka.
Kita telah sebut bahawa negara kita ini adalah sebuah
negara Islam. Selama 44 tahun kita merdeka, memang pun
negara ini adalah negara Islam kerana amalan dan dasar-
dasar tertentu. Tetapi dasar-dasar itu tidak menidakkan
hak orang bukan Islam.
Sebab itu tidak ada sesiapa yang harus khuatir tentang
peruntukan di dalam perlembagaan bahawa agama Islam
adalah agama rasmi kerana ianya disusuli dengan
kenyataan bahawa agama-agama lain boleh dianuti oleh
penganut agama lain.
Demikian juga apabila kita umumkan bahawa negara kita
adalah negara Islam, ini tidak menjejaskan kedudukan
orang bukan Islam kerana di mana-mana juga negara Islam
terdapat orang bukan Islam dan mereka hidup bebas
mengikut agama mereka. Tidak ada paksaan yang dikenakan
ke atas mereka.
Sebab itu dalam bulan puasa ini kita orang Islam
disuruh menunjuk betapa baiknya agama Islam. Kita
berpuasa untuk mengingatkan diri kita akan nasib orang
lain, nasib orang yang tidak mempunyai cukup makan
minum, supaya dengan itu akan timbul kesedaran di
kalangan kita bahawa sementara kita bernasib baik ada
orang lain yang tidak bernasib baik dan kita perlu
insaf dan lebih daripada itu kita juga perlu
menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib
baik berbanding dengan kita.
Alhamdulillah di Malaysia kita hidup dalam keadaan aman
dan makmur, Tidak menjadi masalah untuk kumpulan
seperti UMNO ini mengadakan majlis berbuka puasa untuk
3,000 orang lebih atau menghulur derma. Kenapakah UMNO
boleh berbuat demikian? Sebabnya ialah kerana negara
ini makmur dan kita insaf tentang nasib orang yang
kurang baik dan kita menolong mereka.
Sebaliknya ada negara-negara Islam yang lain yang tidak
begitu aman dan tenteram dan tidak begitu makmur.
Rakyat mereka miskin menderita bahkan ada di antara
mereka yang mungkin mati kerana kebuluran.
Walaupun kita jauh daripada mereka kita juga perlu
insaf akan nasib mereka dan kita perlu menghulur
bantuan kepada mereka. Di waktu ini kita lihat negara
Afghanistan yang menghadapi masalah kerana diserang
oleh pihak lain. Serangan ini bertujuan untuk mengejar
pengganas yang dikatakan berlindung di negara
Afghanistan.
Kita tidak ada halangan terhadap usaha untuk menangkap
atau membunuh pengganas. Tetapi malangnya oleh kerana
serangan ini, orang yang tidak bersalah juga telah
terbunuh dan tercedera. Untuk mengelak daripada
serangan ini, ramai daripada mereka terpaksa
meninggalkan negara mereka dan berhijrah ke negara
jiran. Keadaan mereka di negara jiran, keadaan mereka
hidup dalam bandar-bandar khemah yang didirikan dengan
tidak sempurna ini amatlah menyedihkan.
Oleh itu kita sebagai manusia yang mewah, yang hidup
dalam keadaan aman ini perlu insaf dan perlu memberi
sokongan kepada orang yang menghadapi masalah ini. Kita
perlu menghulur derma seberapa yang boleh supaya kita
dapat bantu mereka
Kita masih memerlukan derma dan bantuan dan dalam bulan
puasa ini eloklah bagi mereka yang mampu menghulurkan
derma menghulurkannya dan memberi apa juga bantuan yang
boleh diberi, mungkin berbentuk kain baju atau lain-
lain jika tidak pun duit ringgit. Adalah lebih baik
kalau kita memberi duti ringgit kerana boleh kita guna
untuk membeli dengan harga yang lebih murah di Pakistan
sendiri untuk kita beri kepada pelarian dari
Afghanistan.
Ini merupakan satu ibadah bagi orang Islam. Ini juga
adalah sesuatu yang dialu-alukan oleh orang bukan
Islam. Walaupun kali ini kita menghulur derma kepada
orang Islam yang menderita dari Afghanistan, hendak
kita ingat juga bahawa kita biasanya menghulur derma
kepada sesiapa sahaja yang menderita.
Kalau ada mangsa gempa bumi ataupun ribut taufan
ataupun banjir yang besar, kita tidak mengambil kira
agama mereka, tetapi sebagai manusia kita harus berasa
sedih dengan keadaan yang buruk yang menimpa mereka
yang perlu kita hulurkan derma bantuan kepada mereka.
Dengan itu kita akan terkenal juga sebagai satu bangsa
yang insaf dan kita tahu bersyukur dengan banyak nikmat
yang kita terima dalam negara kita ini. Sesungguhnya
kita adalah orang yang bertuah di Malaysia ini. Nikmat
yang kita terima tidak pernah kurang walaupun kita
menghadapi kegawatan ekonomi dan sebagainya. Tidak
pernah terjadi walaupun semasa kegawatan, orang
Malaysia mati kebuluran.
Kita selalu mempunyai jiran yang sanggup menolong kita
jika kita kekurangan makanan ataupun tempat tinggal.
Ada sahaja pihak yang akan membantu kita. Dengan itu
kita harus selalu bersyukur kerana agama kita mengajar
kita bahawa orang yang bersyukur itu akan mendapat
lebih banyak nikmat daripada tuhan. Sebaliknya mereka
yang tidak pernah bersyukur, bahkan mengajar supaya
jangan bersyukur, mereka akan menerima azab yang pedih
daripada Allah s.w.t.
Ini semua perlu kita ingat dalam bulan puasa kerana
bulan puasa bukan sahaja untuk kita berpuasa tidak
makan tidak minum tetapi juga kita tidak boleh
mempunyai fikiran yang tidak baik, dan kita tidak boleh
menggunakan perkataan-perkataan yang kesat, melempar
fitnah dan sebagainya, sekurang-kurangnya untuk satu
bulan. Bulan puasa ini berhentilah memfitnah,
berhentilah berbohong dan keluarlah kata-kata yang
baik, kata-kata yang boleh merapatkan orang Islam
sesama orang Islam dan yang Islam sesama orang bukan
Islam juga.
Dengan itu negara kita akan terus menjadi aman dan
kerana ianya aman banyaklah nikmat yang akan diterima
oleh kita.
Saya bersyukur kerana dapat bersama dengan tuan-tuan
pada petang ini terutama dalam majlis Nur Ramadan ini
yang mana tujuannya ialah untuk menghulur sedikit
bantuan kepada mereka yang mungkin mempunyai pendapatan
yang kurang daripada yang lain ataupun yang daif. Dan
saya harap kita semua dapat mengamalkan cara-cara yang
baik ini bukan sahaja semasa bulan Ramadan tetapi di
waktu-waktu yang lain juga.
Masyarakat yang menderma, masyarakat penyayang, tetap
akan menjadi masyarakat yang baik yang berjaya dan kita
akan dapat banyak nikmat apabila masyarakat di mana
kita menjadi anggotanya berjaya dalam serba-serbi
bidang dan ini akan menjadikan kita hidup lebih
bahagia.
Inilah harapan kita semua. Saya yakin dan saya berdoa
bahawa tahun depan juga kita dapat bersama-sama
mengadakan Nur Ramadan ini dan melihat acara pemberian
bantuan seperti yang akan diadakan pada hari ini.
Sekian wabillahitaufik walhidayah wasasalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh dan selamat berpuasa kepada
semua Umat Islam.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|