Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SERI PERDANA PUTRAJAYA
Tarikh/Date : 05-12-2001
Tajuk/Title : MAJLIS BERBUKA PUASA DENGAN
PEMIMPIN PELAJAR.
Versi :
Penyampai : PM
Saya bersyukur kerana pada malam ini saya berpeluang
bertemu dengan kepimpinan baru persatuan penuntut
Universiti.
Mereka yang hadir tentulah terdiri daripada yang menang
dan kepada mereka saya ucapkan tahniah di atas
kemenangan mereka.
Alhamdulillah hari ini kita berkumpul di sini di dalam
majlis berbuka puasa. Kita telah pun berbuka puasa
dengan buah kurma, kita telah makan juadah dan selepas
itu kita telah menunaikan sembahyang Maghrib diikuti
dengan makan malam dan diikuti pula dengan sembahyang
Isya' dan kemudian diteruskan dengan sembahyang Terawih.
Kita lakukan semua ini dalam keadaan aman, tenang dan
selesa. Harus kita ingat bahawa semasa kita berbuka
puasa dalam keadaan yang umumnya selamat dengan makanan
yang bukan sahaja cukup tetapi lebih daripada mencukupi,
terdapat ramai orang Islam yang menderita.
Saudara seagama kita di Afghanistan kerapkali tidak pun
mempunyai makanan, berada dalam musim sejuk ini tanpa
pakaian yang bersesuaian dan diserang bukan sahaja oleh
musuh tetapi juga penyakit. Mereka mungkin tidak dapat
menunaikan ibadah puasa, sembahyang, sembahyang Terawih
dan sebagainya.
Mereka menderita kerana ramai daripada mereka cedera
terkena letupan bom yang dilontar oleh musuh-musuh
mereka. Kita harus tanya kepada diri kita, mengapakah
ini berlaku? Berlaku kepada orang yang pada pandangan
sesetengah pihak adalah orang yang betul-betul Islam.
Mereka begitu kuat pegangan kepada agama, mereka sanggup
mati kerana agama. Mereka sanggup menghadapi cabaran
hidup dalam sebuah negara yang gersang yang kadang-
kadang begitu panas dan kadang-kadang begitu sejuk.
Tetapi iman mereka ternampak jelas cukup kuat.
Kita percaya bahawa pegangan mereka kepada agama Islam
tentulah pegangan yang cukup kuat dan kita tidak percaya
bahawa mereka akan ditimpa malapetaka sedangkan mereka
adalah orang yang begitu kuat pegangan mereka kepada
agama Islam.
Sementara kita berkata bahawa mereka begitu kuat
pegangan kepada agama Islam, kita juga harus tanya
apakah benar apa yang kita lihat? Kita lihat mereka
dengan perkara tertentu. Kesemua daripada mereka
mempunyai janggut yang lebat kerana pemerintahan Taliban
tidak membenarkan sesiapa mencukur janggut.
Kita lihat mereka selalu beribadat, sembahyang, wanita
mereka ditutup sehingga tak nampak apa-apa pun. Dalam
keadaan panas mereka tutup dengan pakaian yang dipaksa
ke atas mereka tetapi semua ini adalah kerana
kepercayaan mereka bahawa inilah ajaran Islam.
Tekanan ialah kepada perkara-perkara seperti janggut,
serban, Burqa dan lain-lain, tetapi ajaran Islam kalau
kita teliti sedikit, renung sedikit, berkehendakkan kita
bersaudara. Orang Islam itu adalah bersaudara Innama
mukminun na ikhwah.
Tetapi adakah orang-orang Islam ini menganggap orang
Islam lain bersaudara? Yang pertamanya mereka berperang
bukan untuk melawan orang bukan Islam, tetapi untuk
melawan puak Mujahidin, iaitu Perikatan Utara kerana
mereka ingin menjatuhkan Kerajaan Perikatan Utara ini.
Dan mereka berjaya menewaskan Perikatan Utara ini dan
dalam proses itu mereka membunuh ramai daripada musuh-
musuh mereka yang terdiri daripada orang Islam.
Tetapi di waktu (pemerintahan) Mujahidin ini juga,
keadaan tidak lebih baik daripada Taliban. Mereka juga
membunuh ramai daripada pengikut dan orang-orang Taliban
yang bermusuh dengan mereka. Dalam pada itu mereka juga
sering bergaduh sesama puak-puak mereka, keturunan
mereka.
Mereka yang datang dari kawasan-kawasan lain, orang-
orang Pushtun, orang Tajik, dan lain-lain, mereka
sesama mereka sering bermusuh dan berperang dan membunuh
sesama sendiri.
Apakah ini orang yang berpegang kepada agama Islam?
Sedangkan Islam menyeru kita bersaudara, berbaik-baik,
bersatu padu sesama orang Islam. Tetapi tidak ada
perpaduan, tidak ada persaudaraan sesama orang Islam di
Afghanistan. Mereka sering berperang sesama mereka. Dan
hari ini kita lihat musuh Islam menyerang mereka dengan
bom, dengan roket dan ramai daripada mereka yang cedera,
ramai yang meninggal dunia, lebih ramai lagi daripada
mereka yang terpaksa melarikan diri mereka ke negara
jiran dalam keadaan cemas, tanpa kain baju, tanpa
makanan, tanpa apa-apa harta benda dan sekarang ini
mereka hidup merana di Pakistan. Dan tidak ramai
daripada mereka yang akan dapat mengelak pelbagai jenis
penyakit.
Inilah nasib yang menimpa orang Afghanistan. Sedangkan
kita fikir inilah orangnya yang begitu kuat pegangan
mereka kepada agama Islam, kenapakah nasib mereka
sedemikian?
Hendaklah kita tanya kepada diri kita, kalau mereka
betul-betul berpegang kepada ajaran Islam dan
mengamalkan ajaran Islam, kenapakah ini menimpa ke atas
mereka?
Kalau mereka tidak bermusuh sesama sendiri sebaliknya
menganggap semua orang yang tinggal di Afghanistan ini
sebagai saudara mereka, saudara seagama mereka dan
mereka tidak berperang sesama sendiri dan negara mereka
menjadi aman, percayalah, negara mereka akan dapat
mencapai kemajuan dan mereka akan menjadi satu bangsa
yang kuat.
Kalau mereka berusaha untuk menguasai ilmu yang penting
bagi memperkayakan mereka dan memperkuatkan mereka,
sudah tentu Afghanistan akan menjadi sebuah negara
membangun yang kaya dan kuat. Dapat bukan sahaja
melengkapkan pasukan tentera Islam dengan cukup alatan
perang tetapi dapat juga mencipta dan mengeluarkan
alatan peperangan untuk diri mereka. Dengan itu mereka
akan menjadi sebuah negara yang kuat kerana mereka
terdiri daripada orang yang begitu berani sekali.
Tetapi kita tahu bahawa mereka adalah satu negara yang
amat miskin, amat lemah dan pemerintahan Taliban dengan
mudahnya dapat ditumbangkan dengan bedilan meriam dan
bom dan sebagainya.
Inilah yang berlaku kepada Afghanistan. Ia berlaku
kerana Afghanistan lemah. Sementara itu satu bilion umat
Islam melihat apa yang berlaku di Afghanistan dan tidak
dapat membuat apa-apa. Selain daripada merayu supaya
janganlah diserang Afghanistan, merayu kepada kuasa-
kuasa asing, selain daripada membuat protes mungkin di
negara sendiri dan cuba menjatuhkan kerajaan di negara
sendiri, lebih daripada itu tidak dapat dibuat oleh
orang-orang Islam yang seramai satu bilion.
Malapetaka ini jatuh ke atas kita kerana kita tidak
pegang sebenarnya kepada ajaran Islam. Sementara kita
bercakap berapi-api berkenaan nak berjihad dan
sebagainya, nak berlawan dengan musuh, tetapi sebelum
kita lawan dengan musuh kita berperang sesama sendiri
dan kita halang segala usaha untuk menguatkan negara-
negara Islam.
Kalau ada sahaja mana-mana negara Islam yang cuba
dibangunkan oleh kerajaan, maka akan ada kumpulan
tertentu yang akan mendakwa bahawa kerajaan itu tidak
Islam, kerajaan itu sekular dan perlu dijatuhkan.
Dengan itu kerajaan itu tidak akan dapat membangunkan
negara, dan negara Islam semuanya menjadi negara yang
lemah.
Mungkin kita akan berkata bahawa kita akan menerima
nasib yang lebih baik di akhirat. Dunia ini adalah untuk
orang kafir dan akhirat adalah untuk kita. Tetapi kita
belum dapat pasti akhirat untuk kita sedangkan kita tahu
bahawa ramai daripada orang Islam tidak sebenarnya
berpegang kepada ajaran agama Islam.
Mereka tidak berpelajaran, mereka bermusuh-musuhan
sesama sendiri, mereka melempar fitnah kepada orang yang
seagama dengan mereka, mereka membuat bermacam-macam
angkara dalam negara Islam sehingga negara Islam tidak
satu pun dapat mencapai kejayaan.
Kita harus ingat bahawa malapetaka yang menimpa orang
Islam ini bukan boleh dikatakan sebagai kehendak Allah
s.w.t., kerana kita tahu segala kebaikan sahaja yang
datang dari Allah. Keburukan datang dari kelemahan orang
Islam dan disebabkan oleh orang Islam sendiri. Janganlah
berkata bahawa ini sudah ditakdirkan. Kalau kita tidak
berusaha untuk menguatkan diri kita, kita akan terima
padahnya, inilah yang kita lihat sekarang di
Afghanistan.
Kita lihat sekarang ini di Palestin. Puak Yahudi
dengan sewenang-wenangnya dapat menyerang Palestin dan
tidak ada satu pun negara Islam yang mampu pergi
menyelamatkan orang Islam di Palestin.
Apakah kita boleh berkata kita tidak berdosa kerana kita
tidak dapat menakutkan musuh kita sedangkan ugama kita
menyuruh kita membuat persediaan untuk menggerunkan
musuh-musuh kita?
Tetapi kita tidak. Kita tidak berbuat demikian kerana
kita berpendapat bahawa memadai dengan kita menunaikan
Fardu Ain dan kita berdoa meminta kepada tuhan dan lepas
itu kita tidak buat apa satu pun untuk menyelamatkan
diri kita. Dengan itu kita tidak selamat
Saudara saudari yang ada di Universiti sedang belajar.
Saya yakin saudara saudari berada di Universiti kerana
percaya bahawa pelajaran adalah sesuatu yang baik untuk
saudara saudari, untuk bangsa dan negara kita dan agama
kita. Terpulang lah kepada kita sendiri untuk memikir
tentang tanggungjawab kita.
Kalau saudara saudari mengabaikan tugas yang diletak di
bahu saudara saudari, sebaliknya saudara saudari
menghabiskan masa belajar untuk perkara-perkara yang
lain untuk melempar fitnah, untuk membuat tuduhan yang
tidak berasas dan dengan itu pencapaian orang Islam di
Malaysia ini begitu buruk sekali, dan nasib kita menjadi
buruk di masa hadapan, kita tidak boleh salahkan
sesiapa. Kita perlu salahkan diri kita sendiri.
Sama-samalah kita fikir berkenaan dengan perkara ini.
Saya bersyukur kerana saudara saudari masih sedar
tentang tanggungjawab dan saya yakin saudara saudari
tidak akan hampakan harapan bangsa, agama dan negara
kita di Malaysia. Kita masih boleh buka puasa,
sembahyang dalam keadaan tenang sedangkan ratusan ribu
umat Islam yang menderita dan tidak dapat membuat
ibadat seperti yang kita lakukan pada hari ni.
Sekian wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|