Oleh/By : DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN NEGARA
Tarikh/Date : 06-12-2001
Tajuk/Title : PERUTUSAN BELANJAWAN TAHUN 2002
Versi :
Penyampai : PM
Saya mohon mencadangkan supaya suatu Rang Undang-
undang bertajuk "Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah
wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk
perkhidmatan bagi tahun 2002 dan bagi memperuntukkan
wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca
bagi kali yang kedua.
2. Syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wa
Taala kerana dapat bersama pada pagi ini untuk
membentangkan Belanjawan 2002 yang telah saya
bentangkan dalam Dewan Rakyat pada 19 Oktober yang
lalu. Belanjawan ini disediakan dalam persekitaran
luar yang sukar dan mencabar. Prestasi ekonomi dunia
yang semakin lemah sejak awal tahun ini, berikutan
kelembapan ekonomi Amerika Syarikat dan Jepun,
diburukkan lagi oleh kejadian serangan 11 September ke
atas Amerika Syarikat. Untuk mengurangkan kesan negatif
ke atas ekonomi negara, Kerajaan telah bertindak cepat
dengan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi dengan
peruntukan sebanyak 4.3 bilion ringgit sebagai tambahan
kepada 3 bilion ringgit yang diumumkan dalam bulan Mac
2001.
3. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku
ketiga telah mengalami pertumbuhan negatif sebanyak 1.3
peratus berbanding dengan pertumbuhan positif sebanyak
3.1 peratus pada suku pertama dan 0.5 pada suku kedua.
Kita masih dapat mengelak kemelesetan pertumbuhan
ekonomi bagi tempoh sembilan bulan pertama di mana
pertumbuhan KDNK masih positif, iaitu sebanyak 0.7
peratus, berbeza dengan beberapa negara di rantau ini
yang telah mengalami kemelesetan. Singapura umpamanya,
telah mengalami kemerosotan sebanyak 0.5 peratus pada
suku kedua dan 5.6 peratus untuk suku ketiga, manakala
Taiwan, 2.4 peratus bagi suku kedua dan 4.2 peratus
untuk suku ketiga.
4. Keadaan ekonomi dunia yang kurang
memberangsangkan, pastinya tidak membolehkan kita
terlalu bergantung kepada sektor luar untuk menjana
pertumbuhan. Oleh yang demikian, kita perlu
melaksanakan strategi domestic-led growth, dengan izin.
Punca pertumbuhan kini perlu lebih dipelbagaikan dengan
disokong oleh dasar rangsangan fiskal dan dasar
kewangan yang akomodatif.
5. Kerajaan telah melaksanakan strategi
rangsangan fiskal sejak tahun 1998. Namun, pengurusan
kewangan yang berhemah telah membolehkan Kerajaan terus
melaksanakan strategi ini. Kadar tabungan negara yang
tinggi sebanyak 33.6 peratus daripada KDNK membolehkan
Kerajaan menggunakan sumber dalam negeri untuk
membiayai sebahagian besar defisit. Pada tahun ini,
keseluruhan defisit fiskal masih terkawal pada paras
6.5 peratus daripada KDNK. Di samping itu, hutang luar
negara berada pada paras rendah iaitu 46.9 peratus
daripada KDNK, manakala nisbah khidmat hutang kepada
eksport adalah rendah sebanyak 5.8.
6. Asas ekonomi negara yang terus kukuh juga
memberi fleksibiliti kepada Kerajaan untuk melaksanakan
rangsangan fiskal. Asas-asas ekonomi ini meliputi:
i. rizab antarabangsa negara yang kukuh berjumlah
116.5 bilion ringgit atau 30.7 bilion dolar Amerika pada
akhir November, mampu membiayai 5 bulan import
tertangguh. Paras rizab ini melebihi 6 kali hutang luar
negara jangka pendek;
ii. imbangan perdagangan luar masih mencatat lebihan
untuk 48 bulan berturut-turut bagi tempoh November 1997
hingga Oktober tahun ini;
iii. akaun semasa imbangan pembayaran negara berada dalam
kedudukan lebihan sebanyak 7.9 peratus daripada Keluaran
Negara Kasar (KNK);
iv. jumlah pengaliran masuk bersih pelaburan langsung
asing telah kembali meningkat sebanyak 3.8 bilion ringgit
bagi tempoh suku ketiga tahun ini. Peningkatan ini
merupakan pertama kali semenjak suku pertama tahun 2000;
v. sistem perbankan negara kekal teguh dengan nisbah
modal berwajaran risiko sebanyak 12.7 peratus, melebihi
paras 8 peratus piawaian antarabangsa, manakala paras
pinjaman tidak berbayar (NPL) masih terkawal, iaitu 8.2
peratus pada akhir Oktober; dan
vi. tekanan inflasi kekal rendah pada kadar 1.4 peratus
dalam tempoh Januari hingga Oktober.
7. Selain rangsangan fiskal, dasar kewangan yang
akomodatif terus dilaksanakan, terutamanya untuk
meningkatkan sentimen pelabur dan mengukuhkan
keyakinan pengguna. Pelbagai kemudahan pembiayaan
pinjaman pada kadar faedah yang rendah telah
disediakan, terutamanya untuk Perusahaan Kecil dan
Sederhana. Aktiviti pinjaman dijangka meningkat lagi
dengan langkah Bank Negara Malaysia mengurangkan kadar
campur tangan 3 bulan sebanyak 5 peratus pada 20
September 2001. Kadar berian pinjaman asas (BLR) bagi
bank perdagangan dan syarikat kewangan telah
berkurangan ke paras terendah pernah dicatatkan, masing-
masing sebanyak 6.4 peratus dan 7.45 peratus.
8. Berasaskan kedudukan ekonomi makro yang masih
kukuh, langkah Kerajaan untuk merangsang ekonomi
merupakan tindakan yang bijak. Walaupun langkah ini
dipersoalkan oleh Institusi Kewangan Antarabangsa,
namun dalam situasi yang sama, negara-negara maju juga
telah melaksanakan langkah yang sama.
9. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat,
Kerajaan sedang memperkemaskan lagi jentera pelaksanaan
untuk memastikan peruntukan yang disediakan di bawah
Belanjawan 2001 dan peruntukan tambahan di bawah pakej
rangsangan sebanyak 7.3 bilion ringgit dapat
dibelanjakan. Daripada jumlah pakej rangsangan ini,
sebanyak 1.2 bilion ringgit diperuntukkan bagi
meningkatkan infrastruktur pendidikan seperti pembinaan
kolej universiti, kolej komuniti dan makmal komputer
serta perbelanjaan penyelenggaraan sekolah-sekolah.
Kerajaan juga sedang membelanjakan 1 bilion ringgit
bagi projek-projek kecil untuk dilaksanakan di seluruh
negara. Projek-projek tersebut melibatkan pembinaan
jalan-jalan kampung dan kemudahan asas seperti bekalan
air dan elektrik luar bandar serta balai raya dan
sebagainya. Dalam hubungan ini, rakyat akan menikmati
kemudahan tersebut, syarikat kecil Bumiputera mendapat
kontrak, peniaga dapat membekalkan bahan binaan dan
seterusnya pertumbuhan ekonomi terjana. Adalah
dianggarkan sebahagian besar daripada hampir 17,500
kontraktor Kelas F Bumiputera berpeluang terlibat dalam
projek-projek kecil ini. Oleh yang demikian, amatlah
penting sekali supaya semua pihak iaitu agensi
Kerajaan, kontraktor dan pembekal memastikan bahawa
program ini berjaya dilaksanakan dan seterusnya
mengelakkan negara daripada mengalami kemelesetan.
10. Di bawah pakej rangsangan ini juga kerja-
kerja penyelenggaraan bangunan dan kuarters Kerajaan
bagi Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan dan
Polis DiRaja Malaysia sedang giat dilaksanakan. Tidak
ketinggalan juga, kerja-kerja penyelenggaraan jalan di
kawasan industri akan dimulakan segera. Kerajaan juga
telah memperuntukkan sebanyak 300 juta ringgit bagi
pemulihan projek-projek rumah kos rendah yang
terbengkalai di seluruh negara.
11. Kelembapan ekonomi yang mula dirasai telah
menjejaskan pasaran buruh di mana ramai pekerja telah
diberhentikan sementara peluang pekerjaan baru
berkurangan, terutamanya bagi graduan baru lepasan
institusi pengajian tinggi. Bagi mereka ini, sebanyak
300 juta ringgit telah disediakan di bawah pakej
rangsangan untuk melatih mereka dalam bidang ICT dan
kemahiran bahasa.
12. Walaupun bagi suku tahun ketiga ekonomi
negara telah mengalami pertumbuhan negatif, Kerajaan
yakin bahawa dengan terlaksananya pakej rangsangan
fiskal ini, ekonomi negara akan mencapai pertumbuhan
positif bagi keseluruhan tahun 2001, Insya Allah.
13. Prospek pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2002
banyak bergantung kepada perkembangan luar yang masih
sukar dan kian mencabar. Pertumbuhan ekonomi dunia
kini diramalkan lebih perlahan. Memandangkan kepada
kedudukan ini, pertumbuhan ekonomi negara perlu
didorong oleh kegiatan dalam negeri. Dengan wujudnya
asas ekonomi negara yang kukuh serta langkah rangsangan
fiskal yang dilaksanakan oleh Kerajaan, pertumbuhan
ekonomi dijangka meningkat antara 4 hingga 5 peratus
pada tahun hadapan. Kesemua sektor ekonomi utama
dijangka akan terus mencatat pertumbuhan, diterajui
oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan. Meskipun
perkembangan sektor luar tidak menentu, negara dijangka
terus mencatat lebihan dalam akaun semasa imbangan
pembayaran. Pendapatan per kapita bertambah 4.7 peratus
kepada 13,962 ringgit bagi tahun 2002, melebihi tahap
sebelum krisis kewangan serantau, iaitu 12,314 ringgit.
STRATEGI BELANJAWAN 2002
14. Dengan mengambilkira perkembangan ekonomi
dunia yang semakin mencabar, pertumbuhan ekonomi negara
akan terus didorong oleh kecergasan aktiviti ekonomi
dalam negeri. Justeru, Belanjawan 2002 akan ditumpukan
kepada tiga strategi berikut:
i. memperkukuhkan semula pertumbuhan ekonomi negara
melalui peningkatan perbelanjaan dalam negeri,
mempergiatkan lagi peranan sektor swasta serta
meningkatkan daya saing;
ii. mempelbagaikan sumber pertumbuhan melalui aktiviti
dagangan dan perusahaan dalam negeri tanpa mengurangkan
peranan pelaburan dari luar dan mempastikan eksport
negara terus berkembang; dan
iii. menentukan agihan kekayaan supaya lebih saksama
antara bandar dan luar bandar, antara yang berpendapatan
rendah dan yang berpendapatan tinggi dan antara negeri-
negeri yang kurang maju dengan yang lebih maju.
Strategi Pertama: Memperkukuhkan Semula Pertumbuhan
Ekonomi Negara
15. Untuk mengukuhkan semula ekonomi negara,
Kerajaan berusaha untuk meningkatkan perbelanjaan dalam
negeri dengan meneruskan rangsangan fiskal,
menggalakkan penggunaan dan menggiatkan peranan sektor
swasta. Untuk meneruskan rangsangan fiskal, saya
mencadangkan sejumlah 100.52 bilion ringgit
diperuntukkan bagi Belanjawan tahun 2002, iaitu
pertambahan 10.4 peratus berbanding peruntukan asal
tahun 2001. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 66.98
bilion ringgit adalah untuk Perbelanjaan Mengurus dan
33.54 bilion ringgit untuk Perbelanjaan Pembangunan.
Dengan mengambil kira anggaran hasil sebanyak 73.4
bilion ringgit, akaun keseluruhan Kerajaan Persekutuan
dijangka mencatatkan defisit sebanyak 5 peratus
daripada KDNK, lebih rendah dari 6.5 peratus pada tahun
2001.
16. Di bawah Perbelanjaan Mengurus yang
dicadangkan, sejumlah 33.33 bilion ringgit
diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran
Tetap. Antaranya, adalah untuk bayaran khidmat hutang
negara, bayaran pencen dan ganjaran serta sumbangan
kepada kumpulan-kumpulan wang terkanun. Sebanyak 17.58
bilion ringgit lagi untuk Emolumen, 12.07 bilion
ringgit untuk Perkhidmatan dan Bekalan, 1.53 bilion
ringgit untuk pembelian kelengkapan dan kemudahan
pejabat serta 2.47 bilion ringgit bagi perbelanjaan
lain, termasuk bayaran balik cukai.
17. Daripada jumlah Perbelanjaan Pembangunan yang
dicadangkan, sebanyak 13.11 bilion ringgit atau 39.1
peratus adalah untuk sektor ekonomi, di samping 12.21
bilion ringgit atau 36.4 peratus untuk sektor sosial,
3.31 bilion ringgit atau 9.9 peratus bagi sektor
keselamatan dan 2.91 bilion ringgit atau 8.7 peratus
untuk sektor pentadbiran am. Bakinya, sebanyak 2 bilion
ringgit atau 5.9 peratus untuk Simpanan Luar Jangka.
18. Aktiviti ekonomi dalam negeri boleh digiatkan
lagi sekiranya pendapatan boleh guna rakyat
dipertingkatkan untuk menggalakkan penggunaan. Dengan
ini, kadar cukai pendapatan individu dikurangkan 1
hingga 2 mata peratusan bagi semua kumpulan pendapatan.
Bagi mendorong daya usaha bekerja, pendapatan bercukai
yang tertakluk kepada kadar tertinggi dinaikkan
daripada melebihi 150 ribu ringgit kepada melebihi 250
ribu ringgit dan sekatan ke atas bonus yang diberi oleh
sektor swasta dimansuhkan.
19. Sektor swasta juga perlu tampil ke hadapan
untuk memainkan peranan yang lebih utama dalam
menggerakkan ekonomi. Bagi mendorong sektor swasta
meningkatkan pelaburan dan mengurangkan kos kendalian
perniagaan, Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah
percukaian seperti berikut:
i. Tempoh Elaun Pelaburan Semula dilanjutkan daripada 5
tahun kepada 15 tahun;
ii. Perbelanjaan dan sumbangan syarikat dalam pengurusan
RosettaNet Malaysia dan dalam membantu syarikat kecil
dan sederhana menggunakan RosettaNet diberi potongan
cukai;
iii. Elaun Bangunan Industri dikaji semula melibatkan
kenaikan elaun tahunan daripada 2 peratus kepada 3
peratus, elaun permulaan 10 peratus yang kini hanya
diberi kepada bangunan yang dibina diperluaskan kepada
bangunan yang dibeli dan Elaun Bangunan Industri diberi
kepada semua hotel;
iv. duti import ke atas 226 barangan dikurangkan
daripada di antara 5 peratus dan 105 peratus kepada
di antara 0 peratus dan 50 peratus;
v. pendapatan sewa kontena yang diterima oleh bukan
pemastautin daripada syarikat perkapalan di Malaysia
dikecualikan daripada cukai pendapatan; dan
vi. pendapatan persatuan perdagangan daripada
subscription fee dikecualikan cukai pendapatan
20. Bagi menggalakkan industri melabur dalam
aktiviti bernilai tambah yang tinggi seperti
perkhidmatan logistik, perkhidmatan sokongan pasaran
bersepadu dan pusat perkhidmatan utiliti, syarikat
terlibat diberi pengecualian cukai pendapatan selama 5
tahun dan pengecualian duti import dan cukai jualan ke
atas peralatan yang digunakan.
21. Peranan sektor swasta juga penting dalam
usaha negara untuk beralih ke arah kegiatan pertumbuhan
K-economy atau ekonomi berasaskan pengetahuan.
Penyertaan mereka dalam pembangunan ICT negara akan
diberi perhatian oleh Kerajaan melalui penubuhan
Malaysia Venture Capital Management Berhad atau MAVCAP
dengan dana berjumlah 500 juta ringgit. Daripada
jumlah tersebut, 100 juta ringgit adalah untuk dengan
izin, local outsourcing program, yang akan diuruskan
oleh 4 syarikat modal teroka tempatan dalam bidang ICT,
bioteknologi dan industri-industri yang berkaitan.
22. Bagi menggalakkan lagi penggunaan ICT dalam
perdagangan yang membolehkan Malaysia menjadi lokasi
perniagaan yang menarik, mempercepatkan penguasaan
teknologi terkini dan menambah tenaga kerja mahir,
galakan berikut turut disediakan:
i. cukai ke atas pendapatan daripada perdagangan luar
pesisir melalui website di Malaysia dikurangkan daripada
28 peratus kepada 10 peratus selama 5 tahun;
ii. kos bagi membangunkan website untuk perniagaan juga
diberi potongan tahunan sebanyak 20 peratus selama 5
tahun;
iii. potongan tahunan ke atas perbelanjaan memperolehi
hak empunya dinaikkan daripada 10 peratus kepada 20
peratus untuk tempoh 5 tahun; dan
iv. perbelanjaan menyediakan latihan amali kepada
bukan kakitangan diberi potongan cukai.
23. Kerajaan turut menyediakan peruntukan
sebanyak 300.8 juta ringgit untuk melaksanakan Aplikasi
Perdana Kerajaan Elektronik, Sekolah Bistari,
Teleperubatan, Kad Pintar dan Integrasi Aplikasi.
Sejumlah 693.2 juta ringgit juga disediakan untuk
meningkatkan program pengkomputeran di kementerian dan
jabatan Kerajaan dan di sekolah-sekolah. Bagi
meningkatkan penggunaan kad pintar pelbagaiguna dalam
urusniaga kewangan, kad pintar dan peralatannya diberi
pengecualian cukai jualan.
Strategi Kedua: Mempelbagaikan Sumber Pertumbuhan
24. Sebagai usaha mempelbagaikan sumber
pertumbuhan dalam negeri, terdapat banyak bidang yang
boleh diceburi dalam sektor perkilangan, pertanian dan
perkhidmatan. Keluaran perkilangan, terutamanya produk
oleokimia berasaskan minyak kelapa sawit, getah dan
perabot perkayuan serta produk industri peralatan
elektrik rumah, semuanya mempunyai potensi permintaan
yang tinggi, terutamanya dari Asia Barat dan Afrika.
Begitu juga dengan keluaran industri fabrikasi besi dan
aluminium serta pengeluaran mesin, perlu digiatkan
lagi, terutamanya bagi menampung keperluan industri
tempatan dan juga eksport. Justeru, galakan cukai
disediakan seperti berikut:
i. kadar pengecualian cukai Taraf Perintis dinaikkan
daripada 70 peratus kepada 100 peratus dan Elaun Cukai
Pelaburan daripada 60 peratus kepada 100 peratus bagi
aktiviti pengeluaran machine tools, plastic injection
machines, material handling equipment dan robotic,
factory automation equipment serta components and parts;
dan
ii. kriteria nilai ditambah bagi Taraf Perintis dan
Elaun Cukai Pelaburan dilonggarkan daripada 30 peratus
kepada 20 peratus bagi pengeluaran mesin dan peralatan.
25. Kerajaan sentiasa memastikan eksport negara
terus berkembang. Untuk ini, galakan cukai berkaitan
disediakan:
i. syarikat Malaysia yang diiktiraf sebagai syarikat
perdagangan antarabangsa diberi pengecualian cukai
pendapatan bersamaan 10 peratus ke atas peningkatan
nilai eksport dan kriteria kelayakan dilonggarkan;
ii. pengecualian cukai pendapatan bagi pengeksport
perkhidmatan ditingkatkan daripada 10 peratus kepada 50
peratus daripada peningkatan nilai eksport;
iii. penganjur pameran perdagangan antarabangsa yang
melibatkan sekurang-kurangnya 500 orang pelawat asing
setahun diberi pengecualian cukai pendapatan;
iv. skop perbelanjaan bagi tujuan potongan cukai dalam
promosi eksport barangan dan perkhidmatan diperluaskan;
v. perbelanjaan pendaftaran paten di luar negara dan
bayaran sewa hotel kepada bakal pengimport barangan
Malaysia diberi potongan cukai; dan
iv. galakan potongan cukai dua kali diperluaskan kepada
kos pengiklanan jenama Malaysia yang telah didaftarkan di
luar negara dan perbelanjaan ke atas yuran profesional
kepada syarikat yang mempromosikan jenama Malaysia.
26. Sektor pertanian perlu dibangunkan ke tahap
yang lebih tinggi, supaya negara dapat mengeluarkan
pelbagai hasil tanaman dan ternakan, di samping
mengurangkan bil import negara. Pengeluaran makanan,
termasuk keluaran daging burung unta dan rusa, sayuran
dan buah-buahan, akuakultur ikan air tawar dan air
masin, udang dan tiram serta ikan hiasan dan tanaman
bungaan boleh diceburi. Bidang herba tradisional dan
makanan halal perlu juga dipergiatkan. Sehubungan
dengan ini, sejumlah 1.58 bilion ringgit diperuntukkan
kepada sektor pertanian untuk meningkatkan kegiatan
penanaman dan penternakan serta menggalakkan
pengeluaran bekalan bahan makanan. Di samping itu,
galakan cukai berikut disediakan:
i. syarikat pengeluar bahan makanan yang melabur semula
diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama
5 tahun;
ii. elaun 100 peratus ke atas perbelanjaan modal bagi
menggalak pengeluaran bahan makanan secara besar-besaran
diperluaskan;
iii. aktiviti penternakan ayam itik di Koridor Timur
Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak diberi Taraf
Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan; dan
iv. syarikat pengeluar produk berasaskan sumber yang
membuat pelaburan semula diberi Taraf Perintis atau
Elaun Cukai Pelaburan selama 5 tahun.
27. Peranan sektor perkhidmatan juga mesti diberi
tumpuan, terutamanya dalam bidang pelancongan,
pendidikan dan pengangkutan. Untuk menggalakkan lagi
aktiviti pelancongan negara, sejumlah 613.9 juta
ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Kebudayaan,
Kesenian dan Pelancongan. Daripada jumlah tersebut, 200
juta ringgit adalah untuk aktiviti promosi. Untuk
meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam industri
pelancongan, Kerajaan akan menambah dana bagi Tabung
Khas Pelancongan daripada 200 juta ringgit kepada 400
juta ringgit. Langkah-langkah cukai turut disediakan
seperti berikut:
i. pendapatan sewaan kapal layar atau kapal mewah
bermotor diberi pengecualian cukai selama 5 tahun;
ii. duti import ke atas motosikal mewah dikurangkan
daripada 120 peratus kepada 60 peratus dan bagi tujuan
penyelarasan, duti import bagi motosikal lain dikurangkan
daripada 80 peratus dan 100 peratus kepada 60 peratus;
iii. had tempoh pengecualian cukai pendapatan daripada
perniagaan pengendalian pelancong asing dan tempatan
dilanjutkan selama 5 tahun lagi; dan
iv. duti eksais ke atas pembelian kereta nasional oleh
pengusaha kereta sewa dikecualikan.
28. Bidang pendidikan juga diberi tumpuan bagi
menampung keperluan tenaga mahir dalam era kemajuan
teknologi maklumat dan persediaan untuk beralih ke arah
ekonomi berasaskan pengetahuan. Kerajaan berharap
sektor swasta berupaya untuk menarik lebih ramai
pelajar dari seluruh dunia untuk menimba ilmu di negara
kita. Untuk mengurangkan kos menyediakan kemudahan
pendidikan, semua Institusi Pengajian Tinggi Swasta dan
institusi bahasa swasta diberi pengecualian duti
import, duti eksais dan cukai jualan ke atas peralatan
pembelajaran dan royalti yang diterima oleh bukan
pemastautin dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta bagi
skim pendidikan francais diberi pengecualian cukai
pendapatan. Di samping itu, Kerajaan memperuntukkan
sejumlah 22.46 bilion ringgit untuk keperluan
pendidikan negara.
29. Langkah-langkah percukaian di atas
menyebabkan Kerajaan kehilangan hasil sebanyak 1.2
bilion ringgit. Bagi memastikan kedudukan kewangan
Kerajaan terus kukuh dan perolehan hasil terjamin,
langkah-langkah berikut diambil:
i. nilai jualan tahunan bagi tujuan pengenaan cukai
perkhidmatan bagi restoran, bar, snek bar dan coffee
house, kelab persendirian dan syarikat pengiklanan
dikurangkan daripada 500 ribu ringgit kepada 300 ribu
ringgit;
ii. nilai jualan tahunan sebanyak 300 ribu ringgit ke
atas perkhidmatan profesional dikurangkan kepada 150 ribu
ringgit; dan
iii. harga petrol dinaikkan sebanyak 10 sen seliter.
30. Berhubung dengan kenaikan harga petrol, ianya
adalah wajar memandangkan Kerajaan selama ini telah
mengorbankan begitu banyak hasil. Tambahan pula,
sumbangan kos petrol dalam perbelanjaan isirumah
adalah kecil iaitu kira-kira 0.4 peratus sahaja.
Memandangkan kenaikan harga petrol hanya 8.3 peratus
sahaja, saya percaya kenaikan yang kecil ini tidak
membebankan rakyat.
31. Dalam Belanjawan 2002 yang dibentangkan dalam
Dewan Rakyat baru-baru ini, Kerajaan juga telah
mencadangkan kenaikan harga diesel sebanyak 10 sen
seliter bagi mengurangkan perbelanjaan subsidi
Kerajaan. Kerajaan amat prihatin terhadap rayuan
pelbagai pihak, khususnya golongan nelayan dan
pengusaha perkhidmatan pengangkutan. Dengan
keprihatinan ini serta penurunan harga diesel di
pasaran antarabangsa, Kerajaan telah menimbang semula
dan memutuskan untuk mengekalkan harga diesel pada
paras asal. Dengan keputusan ini, Kerajaan terpaksa
menanggung tambahan subsidi sebanyak 471 juta ringgit
setahun berasaskan harga semasa diesel di pasaran
antarabangsa, menjadikan jumlah subsidi diesel sebanyak
1.1 bilion ringgit setahun. Oleh yang demikian,
Kerajaan berharap pihak tertentu tidak lagi mengambil
kesempatan untuk menaikkan harga barangan dan
perkhidmatan.
32. Untuk menyokong perkembangan sektor
pengangkutan, Kerajaan memperuntukkan sejumlah 5.7
bilion ringgit bagi pembangunan infrastruktur
melibatkan pembinaan jalan raya dan jambatan, landasan
kereta api, pelabuhan dan lapangan terbang. Kemudahan
yang disediakan ini harus kita gunakan sepenuhnya
sebagai pemangkin pertumbuhan dan penjana hasil
dagangan. Dalam hal ini, lokasi strategik Pelabuhan
Johor dan Lapangan Terbang Senai yang berdekatan dengan
Singapura hendaklah diketengahkan sebagai pelabuhan dan
lapangan terbang hub pergerakan kargo dan tarikan
utama, dengan izin, integrated express operators
tempatan dan antarabangsa. Kita yakin, ini dapat
dijayakan jika sistem pengangkutan bersepadu bagi
menghubung semua rangkaian pengangkutan darat, laut dan
udara di selatan Semenanjung dibangunkan segera dan
diurus dengan lebih cekap dan berkesan.
Strategi Ketiga: Memastikan Agihan Kekayaan Adalah
Saksama
33. Dalam kita menikmati kemajuan negara, kita
perlu juga memastikan agihan kekayaan adalah saksama,
baik antara bandar dan luar bandar, antara yang
berpendapatan rendah dengan yang berpendapatan tinggi
mahupun antara negeri-negeri yang kurang maju dengan
yang lebih maju. Bagi meningkatkan kualiti hidup
masyarakat di luar bandar, Kerajaan menyediakan
peruntukan yang terbesar pernah diberikan, iaitu
sebanyak 5.34 bilion ringgit. Ini, antaranya,
melibatkan 1.58 bilion ringgit untuk pertanian, 378
juta ringgit bagi pembangunan tanah dan wilayah serta
392 juta ringgit untuk pembangunan kampung dan
masyarakat. Peruntukan ini juga bertujuan untuk
melaksanakan projek jalan luar bandar, jalan kampung
serta menyediakan bekalan air dan elektrik. Bagi
bekalan air luar bandar, sebanyak 185 juta ringgit
diperuntukkan dengan tumpuan khas diberi kepada kawasan
pedalaman, terutamanya di Sabah dan Sarawak. Untuk
bekalan elektrik luar bandar, sejumlah 211 juta ringgit
disediakan, manakala sejumlah 712 juta ringgit
disediakan untuk pembinaan jalan luar bandar.
34. Kesihatan dan pendidikan di kalangan penduduk
luar bandar juga diberi perhatian. Sejumlah 886 juta
ringgit diperuntukkan bagi meningkatkan taraf kemudahan
perkhidmatan kesihatan, termasuk melaksanakan program
kesihatan keluarga seperti teleprimary care yang
disediakan di klinik bidan, klinik desa dan klinik
kesihatan di luar bandar.
35. Sebagai langkah merapatkan jurang antara
bandar dan luar bandar dari segi pendidikan, sebanyak
900 juta ringgit disediakan bagi melaksanakan projek
sekolah rendah dan menengah, sementara 100 juta ringgit
lagi disediakan untuk 6 buah kolej matrikulasi baru.
Bagi mengurangkan jurang digital, sejumlah 205.5 juta
ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan program
pengkomputeran sekolah. Di samping itu, Kerajaan
memperuntukkan sejumlah 180 juta ringgit khas untuk
meningkatkan pendidikan di luar bandar di Sabah dan
Sarawak, termasuk menyediakan kemudahan bekalan air
bersih dan elektrik di sekolah-sekolah serta membina
dan menaik taraf rumah guru.
36. Dalam memupuk budaya masyarakat penyayang,
Kerajaan sentiasa prihatin terhadap kesukaran yang
dihadapi oleh golongan rakyat miskin. Untuk
meningkatkan kesejahteraan mereka, Program
Kesejahteraan Rakyat yang dulunya dikenali sebagai
Program Pembangunan Rakyat Termiskin telah dilaksanakan
dengan memberi keutamaan kepada negeri-negeri yang
mempunyai ramai rakyat miskin seperti Kelantan dan
Terengganu. Bagi tujuan ini, sejumlah 204.5 juta
ringgit diperuntukkan di bawah Kementerian Pembangunan
Luar Bandar. Di samping itu, sebanyak 114.1 juta
ringgit disediakan untuk program pembangunan Orang
Asli. Ini, termasuk usaha untuk mengatasi masalah
keciciran di 412 buah kampung mereka, melalui Program
Pembangunan Minda dan mempergiatkan Program Pendidikan
Pra-Sekolah melalui aktiviti TASKA dan TADIKA.
37. Bagi membolehkan rakyat, terutamanya golongan
berpendapatan rendah, memiliki rumah pada harga yang
mampu dibeli, sejumlah 943 juta ringgit diperuntukkan
bagi menampung pelbagai projek termasuk Perumahan Awam
Kos Rendah, Perumahan Rakyat Bersepadu di Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur dan di bandar lain. Bagi
mengurangkan masalah perumahan yang dihadapi oleh
kakitangan sektor awam, terutamanya anggota Angkatan
Tentera dan Polis, peruntukan sebanyak 1.08 bilion
ringgit juga disediakan.
38. Kerajaan juga terus melaksanakan Program
Kebajikan Masyarakat. Sebanyak 193.8 juta ringgit
disediakan, termasuk bagi kerja-kerja pembaikan dan
naik taraf di 52 institusi kebajikan. Bagi pelajar-
pelajar cacat pendengaran yang memasuki institusi
pengajian tinggi tempatan, bantuan dalam bentuk
pelajaran percuma disediakan oleh Kerajaan. Mereka juga
akan diberi kemudahan penginapan dan makanan percuma
serta diberikan wang saku sebanyak 300 ringgit sebulan
mulai 1 Januari 2002.
39. Bagi meningkatkan kualiti hidup wanita,
terutamanya di luar bandar, Kerajaan memperuntukkan
sejumlah 59 juta ringgit untuk membiayai pelbagai
program khusus meliputi pembangunan usahawan wanita. Di
samping membantu meningkatkan taraf hidup ibu tunggal,
Kerajaan juga membenarkan balu-balu terus menerima
bayaran pencen suami yang telah meninggal dunia,
walaupun selepas mereka berkahwin semula.
40. Bagi menerapkan gaya hidup sihat Kerajaan
berusaha mengurangkan tabiat merokok di kalangan
masyarakat. Sehubungan ini, Kerajaan menaikkan duti
import bagi tembakau daripada 180 ringgit sekilogram
kepada 216 ringgit sekilogram, manakala duti eksais
dinaikkan daripada 40 ringgit sekilogram kepada 48
ringgit sekilogram.
41. Kerajaan menghargai khidmat dan komitmen
anggota perkhidmatan awam dalam menerajui usaha
pembangunan negara. Bagi mengiktiraf pengorbanan
kakitangan awam, Kerajaan telah menyediakan imbuhan
dan kemudahan seperti berikut:
i. bonus sebanyak setengah bulan gaji atau sekurang-
kurangnya 1,000 ringgit telahpun dibayar dan para pesara
juga diberikan bayaran khas sebanyak 200 ringgit bagi
tahun 2001;
ii. kenaikan gaji kakitangan awam sebanyak 10 peratus
mulai 2002;
iii. elaun Kerja Luar Waktu untuk pegawai perubatan
awam dinaikkan antara 25 hingga 50 peratus mulai 1
Oktober 2001;
iv. menaikkan kadar sagu hati tahunan bagi anggota
sukarela di dalam pasukan keselamatan, daripada 400
ringgit kepada 520 ringgit;
v. kadar pemberian pakar untuk pegawai anggota sukarela
Angkatan Tentera Malaysia dinaikkan 100 peratus daripada
150 ringgit kepada 300 ringgit setahun, manakala bagi
lain-lain pangkat dinaikkan daripada 100 ringgit dan 75
ringgit setahun kepada 200 ringgit setahun; dan
vi. Skim Wang Pinjaman Kenderaan untuk guru-guru ditambah
lagi 1 bilion ringgit daripada jumlah asal 250 juta
ringgit untuk kemudahan membeli kenderaan.
PENUTUP
42. Dalam lebih seminggu lagi, umat Islam akan
meraikan Aidil Fitri setelah berpuasa selama sebulan.
Di beberapa negara Islam, rakyat mereka menderita
kerana peperangan, keganasan atau bencana lain.
Syukur Alhamdulillah, negara kita tetap aman. Kita
dapat menyempurnakan ibadah puasa tanpa sebarang
kesulitan dan gangguan. Rakyat Malaysia terus hidup
dalam suasana aman dan harmonis. Kesemua ini adalah
hasil kejayaan kita membangunkan negara dan
keprihatinan Kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.
Kerana itu, negara terus menikmati kemakmuran dan
kestabilan. Dalam hubungan ini, Kerajaan akan terus
memantau kegiatan pelampau yang mahu menjadikan negara
ini berada dalam kancah pergolakan. Jangan kita
membiarkan mereka yang berpandangan sempit merosakkan
perpaduan ummah dan menggugat kestabilan dan kemakmuran
negara. Kita tidak mahu menjadikan Malaysia sebagai
Afghanistan kedua.
43. Ramai antara kita yang akan meraikan perayaan
seperti Krismas, sambutan Tahun Baru dan Tahun Baru
Cina tidak lama lagi. Kerajaan telah mengambil pelbagai
langkah untuk menambah pendapatan rakyat melalui
potongan cukai individu, bayaran bonus dan pelbagai
elaun insentif. Oleh yang demikian, berbelanjalah bagi
memeriahkan hari-hari perayaan nanti, di samping
membantu menambah aktiviti ekonomi dan pertumbuhan
ekonomi negara. Sama-samalah kita mengindahkan bandar,
pekan, kampung dan rumah-rumah kita. Buktikanlah kepada
dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang aman
dan sejahtera.
44. Pertumbuhan ekonomi negara yang perlahan
berlaku ketika kita mula melaksanakan Rancangan
Malaysia Kelapan dan Rangka Rancangan Jangka Panjang
Ketiga. Oleh itu, dalam persekitaran luar yang tidak
menentu dan semakin mencabar, kita mesti
melipatgandakan usaha bagi memastikan ekonomi negara
digerakkan melalui kecergasan kegiatan dalam negeri.
Dengan usaha rakyat yang gigih kita pasti dapat
menjaminkan ketahanan negara. Semangat dan kesungguhan
untuk menguasai ilmu pengetahuan serta meningkatkan
produktiviti dan daya saing akan dapat membawa kemajuan
negara ke tahap yang lebih cemerlang. Ini akan
membolehkan negara mencapai pertumbuhan seperti yang
disasarkan dalam kedua-dua rancangan pembangunan negara
untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya. Saya
percaya dengan berkat dan keredhaan Allah Subhanahu Wa
Taala, kita mampu membentuk Malaysia sebagai sebuah
negara yang progresif, aman dan makmur serta bermaruah,
bebas dan dihormati oleh masyarakat antarabangsa.
Malaysia Boleh. Insya Allah.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|