Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN
TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date : 15/12/2001
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI
OLEH YAB PERDANA MENTERI
Versi :
Penyampai : PM
1. Alhamdullilah, segala puji bagi Allah S.W.T yang
mengurniakan begitu banyak nikmat kepada kita semua di
Malaysia. Sepanjang satu bulan Ramadhan kita dapat
menunaikan ibadat puasa dengan cukup sempurna. Tidak
ada apa-apa gangguan terhadap umat Islam di Malaysia
berpuasa, bersembahyang dan berterawih. Semua yang
wajib dan sunat dapat kita tunaikan dengan sempurna.
2. Di negara bertuah ini tidak ada apa-apa
kekurangan. Makan minum lebih daripada mencukupi;
pakaian dan tempat berteduh tetap ada bagi semua. Jika
ada yang daif, yang ditimpa apa-apa malapetaka, ada
sahaja bantuan yang dihulur oleh Kerajaan dan oleh
masyarakat. Jika ada sebilangan kecil yang masih
bernasib buruk kerana tidak dikesan, yang mungkin
dicungkil oleh pihak tertentu untuk membuktikan bahawa
keadaan di negara kita tidak sebaik seperti yang
didakwa, ini hanyalah kerana tidak dimaklumkan kepada
masyarakat. Sesungguhnya mereka tetap akan mendapat
bantuan daripada orang yang murah hati dalam masyarakat
dan daripada Kerajaan apabila keadaan mereka dilapor.
Sebenarnya tidak ada rakyat Malaysia yang harus hidup
merana, kekurangan makanan dan minuman, serta
kekurangan pakaian dan bumbung di atas kepala.
Sebenarnya rakyat Malaysia bahagia dan bertuah dan
perlu bersyukur sepanjang masa.
3. Esok kita akan merayakan hari besar umat Islam,
Hari Raya Aidilfitri. Kita akan rayakannya dalam
keadaan aman sentosa, dengan ceria, dengan mewah pun.
Berpakaian baru dan bersih, kita orang Islam akan
berkumpul di masjid-masjid untuk bersembahyang raya,
bertakbir, bersalam-salaman, bermaaf-maafan dan
memperbaharui persahabatan dan kenalan kita dengan
semua orang Islam yang ditemui.
4. Kita akan melawat rumah kawan dan rakan, menikmati
juadah dan makanan yang disediakan, dan sekali lagi
bertemu dan bermesra dengan pelawat-pelawat lain, Islam
dan bukan Islam di rumah-rumah terbuka. Pelawat asing
juga kita raikan.
5. Suasana Hari Raya adalah suasana riang gembira dan
ceria kerana kejayaan kita menunaikan ibadat puasa
sebulan dan kebebasan kita untuk makan minum semula di
siang hari. Memang pun kita berhak bergembira tetapi
tidaklah sehingga tidak sedar diri dan melaku apa yang
di larang bagi kita.
6. Inilah negara kita Malaysia, di mana kita hidup
sempurna, mewah dan selamat, di mana undang-undang
melindungi kita semua tanpa mengambilkira pangkat
darjat. Tetapi semasa kita bergembira, janganlah kita
lupa akan saudara seagama kita di negara-negara lain
yang tidak dapat merayakan hari kebesaran ini, yang
terpaksa tinggal di kem-kem pelarian yang amat daif,
yang terdedah kepada kesejukan yang tidak terhingga di
musim salji ini, yang mempunyai hanya khemah-khemah
yang koyak-rabak, tidak berselimut, tidak ada makanan
dan ubat untuk yang sakit.
7. Lebih tiga juta rakyat Afghanistan terpaksa lari
dari negara mereka untuk menyelamatkan diri daripada
bom dan roket. Ramai yang cedera, yang patah kaki dan
tangan, yang buta, yang sakit cirit-birit dan bermacam
penyakit lain. Tidak ada tandas bagi mereka melainkan
tanah lapang di sekeliling mereka. Debu ditiup angin
yang sejuk dan kuat sehingga yang dihidu semasa
bernafas hanyalah debu yang kotor dan berbau busuk,
penuh dengan kuman penyakit.
8. Bagi pelarian Afghanistan ini, tidak ada suasana
raya pada hari yang mulia, Aidilfitri. Tidak ada
juadah, bahkan tidak ada makanan. Kanak-kanak tidak
ada pakaian baru, hanya kelaparan dan menggigil dengan
kesejukan.
9. Di Palestin, orang Palestin juga tidak dapat
merayakan AidilFitri dengan sempurna. Israel menyerang
wilayah Arab Palestin dengan kereta kebal, roket dan
bom. Bandar-bandar diroboh dan kebakaran yang teruk
berlaku.
10. Mungkin serangan Israel disebabkan oleh keganasan
rakyat Palestin yang meletupkan diri dan membawa maut
dan cedera kepada sebilangan orang Israel. Perbuatan
orang Palestin ini boleh ditafsir sebagai keganasan dan
kita boleh kutuk keganasan ini, boleh mendakwa bahawa
mereka yang melakukan ini adalah pengganas.
11. Tetapi kita perlu kutuk juga orang Israel dan
Kerajaan Israel sebagai pengganas. Bagi tiap seorang
rakyat Israel yang terbunuh, empat rakyat Palestin yang
dibunuh oleh tentera Israel.
12. Kita tidak boleh lupa bahawa Israel didirikan di
atas wilayah Arab Palestin oleh kuasa-kuasa Barat.
Kerana ingin menebus dosa mereka membunuh enam juta
orang Yahudi di Eropah, orang Arab diusir dari wilayah
mereka supaya sebuah negara Yahudi dapat didirikan di
Palestin. Inilah bangsa-bangsa yang sering bercakap
berkenaan keadilan.
13. Selepas itu Israel merampas wilayah orang Palestin
lagi; mengusir orang Arab, meroboh rumah-rumah mereka
dan mendirikan perkampungan Yahudi. Apabila rakyat
Palestin memprotes dan membaling batu, mereka ditembak
mati oleh askar Israel. Kanak-kanak tidak
dikecualikan. Mereka ditembak mati oleh tentera Israel
yang mengguna kereta kebal, meriam besar dan roket.
Maka ramailah rakyat Palestin yang terbunuh dan cedera
parah.
14. Perbuatan tentera Israel di bawah arahan Kerajaan
Israel tidak kurang ganas, bahkan lebih ganas daripada
tindakan balas rakyat Palestin. Tetapi Kerajaan Israel
dan tentera Israel tidak dikecam sebagai pengganas oleh
dunia Barat. Sebaliknya Presiden Arafat didakwa
sebagai ketua pengganas kerana tidak memberkas orang-
orang Palestin yang mengganas.
15. Presiden Arafat bukan Presiden negara yang bebas
dan berkuasa penuh. Apakah mungkin pemerintahan Arafat
membendung dan mengawal rakyatnya yang amat marah
kerana kehilangan saudara mara, anak cucu dan kawan
rakan yang telah dibunuh oleh Kerajaan Israel? Kerajaan
yang penuh berkuasa pun tidak dapat memberkaskan semua
penjenayah dalam masyarakatnya. Apatah lagi Kerajaan
Arafat yang tidak diberi kuasa yang sepenuhnya.
16. Sementara itu di Afghanistan perang sesama orang
Islam berlaku. Kita tahu kekecewaan dan kemarahan puak
Perikatan Utara pimpinan Rabbani terhadap Taliban dan
orang asing yang menyertai Taliban. Tetapi apakah
Islam tindakan membunuh ratusan askar Taliban dan askar
sekutunya yang terdiri daripada orang Pakistan, Chechen
dan Arab setelah ditawan? Kononnya mereka telah cuba
melarikan diri dan membunuh pengawal mereka. Dakwaan
ini tidak munasabah. Sebab itu kuasa Barat menolak
desakan supaya disiasat peristiwa ini.
17. Di mana juga kita lihat kita akan dapati ramai
orang Islam bukan sahaja tidak dapat merayakan Hari
Raya Aidilfitri dengan riang gembira, tetapi sebaliknya
mereka menderita sepanjang masa. Mereka ditindas,
dibunuh; mereka mati kerana kesejukan, kelaparan dan
tidak mempunyai perubatan yang diperlukan.
Sesungguhnya ramai umat Islam yang bernasib amat buruk.
18. Tetapi dapatkah kita salahkan musuh-musuh Islam
semata-mata? Tidakkah ada kesalahan yang dilakukan
oleh orang Islam sendiri, yang menyebabkan nasib buruk
ini menimpa mereka? Apakah semua ini memang sudah
ditakdirkan? Apakah ini adalah kehendak Tuhan?
19. Allah S.W.T telah berfirman dalam Al Quran Surah
An-Nisaa' Ayat 79 bahawa segala yang buruk yang menimpa
kita datangnya daripada kita sementara segala yang baik
yang kita perolehi datang daripada Allah S.W.T.
20. Allah juga telah berfirman dalam Surah Al Ra'du,
Ayat 11 bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengubah
apa yang ada pada sesuatu kaum, sehingga mereka
mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
21. Justeru itu janganlah kita dengan mudah
menyalahkan takdir apabila yang buruk berlaku kepada
kita. Yang buruk itu datangnya daripada kita. Dan
sebenarnya kita yang menyebabkan kita orang Islam
menjadi lemah dan mudah ditindas. Kita tidak berusaha
menguatkan diri kita dengan mengelak daripada
perpecahan, mendirikan pemerintahan yang berwibawa dan
cekap, menguasai segala ilmu yang penting untuk
kemajuan dan ketahanan umat Islam. Sementara kita
boleh berdoa meminta perlindungan dan pertolongan
Tuhan, kita juga perlu berusaha untuk melindungi dan
mempertahankan diri kita. Kemudian barulah doa kita
akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.
22. Tetapi kita tahu ramai orang Islam yang menolak
persaudaraan dalam Islam, yang suka melempar fitnah,
dan cuba mencetuskan huru hara dalam negara sendiri
dengan menyalah tafsir dan memperalatkan agama Islam
untuk kepentingan diri.
23. Tiap negara Islam mempunyai puak yang ingin
menjatuhkan Kerajaan kerana kononnya kerajaan yang ada
adalah sekular dan tidak Islam. Mereka melancarkan
serangan untuk menggulingkan kerajaan. Akibatnya
kerajaan tidak dapat memberi tumpuan kepada pembangunan
dan pertahanan negara. Di Afghanistan puak ini telah
menjatuhkan Kerajaan dan mereka kemudian merebut kuasa
bagi diri mereka.
24. Kepimpinan negara Islam seperti ini hanya berharap
kepada semangat, semangat berjihad kononnya.
Pertahanan diserah kepada pasukan yang tidak
berdisiplin, tidak terlatih, tidak tersusun secara
tentera. Ada kalanya budak belasan tahun yang tidak
pun dapat memikul senjata, tidak tahu menggunakannya,
dihantar ke medan perang untuk berjihad dengan
menjanjikan bahawa tempat mereka di syurga dijamin,
seolah-olah ada manusia yang boleh menjamin sesuatu di
akhirat, mengambil alih kuasa Tuhan.
25. Tetapi apa yang berlaku ialah Kerajaan dan puak
yang begitu berani berjihad telah lari berselerak
apabila diserang. Rupa-rupanya mereka sendiri tidak
begitu ingin menjadi korban perang dan mati syahid.
26. Kerana kumpulan-kumpulan seperti ini yang kononnya
berjuang untuk Islam dengan menjatuhkan Kerajaan negara-
negara Islam dan merebut kuasa pemerintahan, maka hari
ini tidak ada satu pun negara Islam yang dapat
dibangunkan dan mampu mempertahankan umat Islam dan
negara-negara Islam. Apakah keburukan ini datang
daripada Allah s.w.t.? Sudah tentu tidak. Ia datang
daripada orang Islam sendiri, yang tidak mematuhi
ajaran Islam yang sebenar, yang berpecah belah, yang
tidak berusaha untuk membangun dan menguatkan negara
Islam.
27. Masa sudah tiba bagi orang Islam berhenti daripada
menyalahkan Tuhan dan merenung dan menganalisa akan
sebab-sebab umat Islam ditindas, negara Islam menjadi
begitu lemah, mudah diserang dan ditewas dan tidak ada
hari kebesaran Islam yang dapat dirayakan dengan
sempurna dan gembira oleh ramai daripada orang Islam.
Kita perlu bertanya kepada diri kita apakah malapetaka
yang menimpa umat Islam ini di sebabkan oleh takdir
atau apakah ia disebabkan oleh kita mengabaikan ajaran
Islam yang sebenar, ajaran yang menyuruh kita berusaha
mengubah nasib kita sendiri dan tidak hanya berdoa
meminta-minta daripada Tuhan untuk menyelamatkan kita?
Apakah jika kita berusaha dan dengan itu kita menjadi
kuat, maju dan selamat maka kejayaan kita ini tidak
boleh dikatakan takdir juga? Jika apa yang berlaku
kepada kita adalah takdir, maka kejayaan hasil usaha
kita tentulah juga takdir.
28. Janganlah kita percaya orang yang mendakwa tempat
kita orang Islam adalah di akhirat dan yang diperlukan
daripada kita hanyalah berbuat ibadat tertentu yang
memberi pahala kepada diri kita sendiri. Hari ini
musuh kita berupaya memusnahkan orang Islam dengan
menggugur beberapa bom nuklear sahaja. Jika semua
orang Islam terbunuh, apakah akan ada manusia yang
menganut ajaran Islam yang akan di tempatkan di akhirat
kelak? Ingatlah apabila Sepanyol berjaya menewaskan
Kerajaan-kerajaan Islam di Al Andalus, orang Islam
dipaksa memeluk agama Kristian. Keturunan mereka
sekarang tidak lagi ingat atau tahu berkenaan agama
Islam anutan nenek moyang mereka. Yang mereka tahu
ialah sekarang mereka bukan Islam. Inilah nasib yang
menimpa orang Islam yang di tewas. Apakah kita hendak
nasib ini menimpa kita, kerana kita enggan berusaha
untuk mengubah nasib kita seperti yang disuruh oleh
Tuhan dalam Al-Quran?
29. Di Malaysia hari ini kita hidup terselamat. Kita
dapat merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan sempurna.
Kita tidak perlu melarikan diri daripada apa-apa
serangan, daripada bencana dan malapetaka hasil
perbuatan kita.
30. Kita selamat kerana kita berjaya dalam usaha
menangkis berbagai-bagai percubaan untuk merosakkan
negara kita, menjadikan kita miskin, menjadikan kita
pengemis yang meminta-minta pertolongan daripada orang
asing yang tidak mempunyai niat baik terhadap kita.
Tetapi janganlah kita fikir serangan ke atas kita tidak
akan dilakukan lagi. Jika kita tidak berjaga-jaga,
tidak berusaha meningkatkan daya tahan kita, serangan
yang akan datang mungkin menewaskan kita.
31. Ekonomi negara kita masih kukuh. Keharmonian kaum
masih wujud. Percubaan untuk menjatuhkan Kerajaan
secara ganas dapat kita patahkan. Dan majoriti rakyat
masih siuman, tidak terlalu terpengaruh dengan emosi
sehingga bertindak tanpa mengambilkira padahnya.
32. Pada hari yang mulia ini kita harus memperingati
diri kita akan nasib baik kita, nasib baik hasil usaha
kita, hasil dari pegangan majoriti daripada kita kepada
ajaran Islam bahawa Allah tidak akan mengubah nasib
kita jika kita tidak berusaha mengubahnya sendiri,
kepercayaan kita bahawa segala keburukan yang menimpa
kita datangnya daripada kita dan bukan daripada Allah
s.w.t.
33. Dengan kesedaran ini marilah kita semua membuat
resolusi bahawa kita akan kembali kepada ajaran Islam
yang sebenar, iaitu kita bermula dengan merapatkan
kembali hubungan kita sesama kita orang Islam semasa
kita berjemaah di masjid dan bersalam-salaman, bermaaf-
maafan, menziarahi rumah-rumah ahli keluarga dan kawan-
kawan, bahkan ke rumah kenalan yang rapat dan yang
tidak, berbual-bual berkenaan dengan persaudaraan kita
sesama orang Islam, berkenaan dengan ajaran Islam yang
semuanya baik belaka, supaya dapat kita hidup sebagai
orang Islam yang bersaudara, yang tidak sahaja
mengutamakan fardhu ain untuk diri kita, tetapi
sumbangan kita kepada masyarakat Islam setempat dan
keseluruhannya melalui fardhu kifayah.
34. Selepas hari raya kita orang Islam patut tukar
budaya kita supaya lebih merupakan budaya Islam yang
sebenar, iaitu dengan mengurangkan tekanan kepada rupa
bentuk Islam tetapi kepada isi kandungan ajaran Islam
yang mengutamakan usaha untuk memperbaiki pencapaian
hidup kita di dunia dan bekalan kita untuk akhirat.
Ini bermakna kita semua harus berusaha menguasai semua
ilmu yang boleh menguat dan meningkatkan daya tahan
orang Islam Malaysia di samping memiliki pengetahuan
ajaran Islam yang sebenar.
35. Janganlah sesiapa menghalang anak-anak kita
daripada menuntut ilmu-ilmu yang boleh membebaskan kita
daripada bergantung kepada orang lain, kepada musuh
kita, untuk keperluan hidup kita, untuk pertahanan
kita, kerana sesungguhnya perbuatan ini mengkhianati
Islam dan umat Islam.
36. Kita orang Islam di Malaysia dan di negara-negara
Islam lain atau di negara-negara bukan Islam mestilah
menguasai semua ilmu dan kecekapan supaya kita dapat
bersaing dengan jayanya dengan orang bukan Islam di
mana sahaja. Untuk ini kita perlu berusaha dengan
lebih gigih, lebih daripada orang bukan Islam yang
sudah maju kerana tidak mungkin kita mengejar orang
yang berada di hadapan kita jika kita bergerak sama
pantas dengan mereka. Sudah tentu jika kita kurang
pantas daripada mereka, jarak di antara kita dengan
mereka akan menjadi lebih jauh dengan pengaliran masa.
Ingatlah hari ini betapa mudahnya kita ditekan,
ditakluk dan dipermain oleh mereka. Jika kita di masa-
masa akan datang tertinggal lebih jauh, nasib kita
tentu akan lebih buruk lagi dari sekarang.
37. Orang Islam perlu menjaga maruah dan kemuliaan
agama Islam dan umat Islam. Kita boleh berdoa meminta
kepada Tuhan supaya kita diselamatkan tetapi kita tahu
Tuhan tidak menyuruh kita meminta-minta daripadanya
sahaja tanpa berusaha sendiri. Janganlah kita lupa
dan ketepikan bahagian kita di dunia yang perlu
mengimbangi bahagian kita di akhirat.
38. Sementara kita gembira dengan ibadat puasa bulan
Ramadhan, kita juga sedih kerana kemangkatan raja yang
disayangi oleh kita, Tuanku Sultan Salahuddin Abdul
Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam
Shah Alhaj, Yang di Pertuan Agong yang ke sebelas.
Baginda adalah seorang raja yang mesra rakyat. Dalam
jangka masa yang pendek Baginda bersemayam di atas
takhta Kerajaan Malaysia, Baginda telah menjalankan
tugas dan tanggungjawab Baginda dengan penuh dedikasi,
bahkan lebih daripada yang dipertanggungjawab ke atas
seorang Yang di Pertuan Agong.
39. Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia saya ingin
sampaikan ucap takziah kepada DYMM Tuanku Sultan
Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta seluruh
kerabat di Raja Selangor dan bekas Permaisuri Agong.
Semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat ke atas Almarhum
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Inallillahi
wainailla hirajiun.
40. Kerajaan dan rakyat juga turut gembira dengan
perlantikan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong
yang ke duabelas, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum
Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri
Baginda. Didoakan supaya Baginda Yang di Pertuan Agong
ke duabelas akan bersemayam di atas takhta Kerajaan
Malaysia dengan penuh kedaulatan dan sempurna.
41. Institusi Raja Berperlembagaan dan Yang di Pertuan
Agong adalah sesuatu yang membawa kestabilan kepada
negara Malaysia yang bertuah ini. Janganlah sesiapa
cuba mencabul institusi ini dengan apa-apa tindakan di
luar dari undang-undang tubuh dan adat istiadat diraja
dengan apa cara sekalipun.
42. Malaysia adalah negara berbilang kaum, agama,
budaya dan bahasa. Sebagai kaum yang menjadi majoriti
dalam negara yang demokratik, orang Islam sebenarnya
boleh merebut kuasa sepenuhnya bagi diri mereka.
Tetapi kita tidak ingin menunjuk bahawa orang Islam
adalah orang yang tamak. Kita bukan sahaja sanggup
berkongsi kuasa dengan kaum-kaum lain tetapi kita juga
ingin menunjuk bahawa orang Islam adalah pemurah dan
adil, tidak menindas puak minoriti, dan tidak suka
bermusuh-musuhan dengan sesiapa. Oleh itu pada Hari
Raya, kunjungan orang bukan Islam ke rumah kita
hendaklah disambut dengan kemesraan yang ikhlas.
Sesungguhnya kita tidak akan rugi kerana kesediaan kita
berbaik-baik dengan orang bukan Islam kerana ia akan
menjamin keharmonian hubungan antara kaum di Malaysia.
Dan keharmonian ini akan memberi banyak manfaat,
termasuklah keamanan yang menjamin kesejahteraan dan
kebahagiaan hidup kita semua di negara bertuah ini.
43. Hari Raya memberi peluang kepada kita menunjuk
kebaikan agama Islam kepada semua pihak. Dengan ini
kita akan dapat mematahkan dakwaan pihak tertentu yang
cuba memburuk-buruk agama Islam dan orang Islam. Kita
akan dapat mempamerkan apa sebenarnya agama Islam dan
apakah peribadi orang Islam menurut ajaran Islam yang
sebenar.
44. Kita juga perlu memperingati diri kita akan
sumbangan pihak tertentu yang menyelamatkan kita
sepanjang masa dengan menjaga keamanan dan keselamatan
negara kita. Pasukan keselamatan kita adalah cekap dan
berdedikasi, bersikap profesional dan sedar akan
tanggungjawab mereka. Kita dapat merayakan Hari Raya
dengan selamat kerana di sempadan, di laut dan di
tempat-tempat tertentu pasukan keselamatan kita sanggup
menjalankan tugas mereka tanpa berehat dan bercuti.
45. Kepada anggota Pasukan Keselamatan dan pegawai dan
kakitangan awam yang lain Kerajaan dan juga rakyat
umumnya mengucap berbanyak terima kasih.
46. Kepada mereka dan kepada umat Islam di Malaysia
dan orang Islam Malaysia di mana juga mereka berada,
saya sebagai Perdana Menteri dan sebagai seorang Muslim
serta keluarga saya mengucapkan Selamat Hari Raya
Aidilfitri, mudah-mudahan kita semua akan merayakan
Hari Kemenangan ini dengan riang gembira.
47. Khusus kepada mereka yang mengguna jalan raya
untuk balik ke kampung dan kemudian kembali ke bandar-
bandar, tolonglah pandu dengan cermat. Adalah lebih
baik kita sampai ke destinasi lambat sedikit daripada
terbunuh atau cedera dalam kemalangan di dalam
perjalanan.
48. Sekali lagi saya ucap Selamat Berhari Raya
Aidilfitri dan saya dan keluarga memohon maaf zahir dan
batin.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|