Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA, PWTC, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 29/12/2001
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PERHIMPUNAN
AGUNG PARTI PROGRESIF PENDUDUK
MALAYSIA (PPP) KE-48
Versi :
Penyampai : PM
Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih atas undangan
yang dibuat oleh anggota jawatankuasa pusat Parti
Progresif Penduduk Malaysia (PPP) untuk saya merasmikan
Perhimpunan Agung Parti PPP yang ke-48 pada hari ini.
Kesudian Parti PPP menjemput saya ke acara ini setiap
tahun amatlah saya hargai kerana ia merupakan satu
pengiktirafan bahawa walaupun Barisan Nasional adalah
Parti Campuran tetapi kita dapat bergerak seolah-olah
kita adalah satu parti.
2. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk
mengucapkan tahniah kepada Presiden Parti PPP, YB Datuk
M Kayveas, kerana kejayaannya terus menerajui parti PPP
dengan baik. Saya dapati Parti PPP semakin maju dan
mendapat sokongan pelbagai lapisan rakyat. Aktiviti-
aktiviti yang dijalankannya turut mendapat sambutan
yang menggalakkan dan ini adalah satu petanda baik
kepada Barisan Nasional.
3. Saya tidak lupa juga untuk mengucapkan tahniah
kepada semua para pemimpin PPP di segenap peringkat
serta semua anggota Parti PPP di seluruh negara kerana
berjaya menonjol parti tuan-tuan dan puan-puan sebagai
sebuah parti yang kuat perpaduannya dan berkesan. Saya
percaya tuan-tuan dan puan-puan akan terus memberikan
sokongan padu kepada barisan kepimpinan parti dan
rebutan jawatan tidak akan memecah belah dan melemahkan
parti. Kekuatan parti tuan-tuan dan puan-puan sudah
tentu akan mengukuhkan lagi kedudukan Barisan Nasional.
Sebagai salah sebuah anggota parti komponen, sumbangan
Parti PPP tetap besar dan bermakna kepada Barisan
Nasional.
4. Umat Islam di negara kita baru sahaja menyambut
Hari Raya Aidilfitri dan penganut agama Kristian pula
baru menyambut Hari Krismas. Kita masih lagi menyambut
perayaan masing-masing dalam keadaan gembira dan penuh
keriangan. Oleh itu, masih tidak lewat bagi saya dan
bagi pihak isteri saya dan keluarga untuk mengucapkan
Selamat Hari Raya dan Hari Krismas kepada para anggota
Parti PPP yang menyambutnya.
5. BN adalah parti yang unik dalam dunia. Walaupun ia
mempunyai 14 buah parti, kecil dan besar, tetapi BN
dapat bergerak seolah-olah ia adalah satu parti dan
bukan sebagai parti campuran. Ramai pelawat asing
hairan dan bertanya bagaimana kita dapat elak daripada
perpecahan seperti yang sering berlaku dalam parti-
parti campuran lain.
6. Sebenarnya parti campuran yang mempunyai banyak
parti komponen adalah lebih teguh daripada parti
campuran yang dianggotai oleh 2 atau 3 buah parti.
Dalam parti campuran 2 atau 3 buah parti, penarikan
diri satu buah sudah mencukupi untuk menghilangkan
majoriti dan menjatuhkan Kerajaan. Justeru itu parti
komponen yang kecil sering mengugut untuk mendapat
kedudukan istimewa dalam Kerajaan. Jika tidak
dilayan maka parti berkenaan akan menarik diri,
menjatuhkan Kerajaan dan mencuba mendirikan parti
campuran dengan parti lawan untuk membentuk Kerajaan
baru.
7. Dalam parti BN jika mana-mana parti menarik diri,
BN tidak semestinya kehilangan majoriti. Ia akan terus
menjadi Kerajaan dan parti yang menarik diri akan
menjadi parti pembangkang dan tidak berkuasa. Jika
UMNO cuba menarik diri, UMNO juga tidak mungkin mendiri
Kerajaan kerana bilangan kerusi UMNO tidak mencukupi.
Dengan itu parti komponen jarang mengugut untuk tarik
diri kerana majoriti BN cukup besar dan tidak takut
kehilangan kuasa jika ada mana-mana parti menarik diri.
Namun keanggotaan berbagai-bagai parti yang mewakili
pelbagai kaum dan kepentingan menjamin bahawa semua
kaum mendapat layanan yang saksama dalam BN. Inilah
rahsia BN, rahsia kekuatan BN yang menyebabkan ramai
ingin menyertainya dan parti-parti lawan ingin
menirunya.
8. Percubaan untuk mendiri barisan tiruan sudah
dibuat dua kali. Yang pertama telah gagal dan kita
sedang melihat percubaan yang kedua juga sedang
berpecah. Kita lihat bagaimana PAS menipu DAP, Keadilan
dan Parti Sosialis. Keadilan mempunyai isu yang menarik
dan isu ini diguna oleh PAS untuk menjayakan calon-
calonnya. DAP rugi besar kerana persahabatan dengan PAS
menghakiskan sokongan pengundi Cina kepadanya.
Demikianlah kesan buruk kepada DAP sehingga jaguh-jaguh
DAP yang tidak pernah kalah, telah kalah dalam
pilihanraya 1999. Sekarang DAP bukan lagi ketua
pembangkang.
9. Oleh kerana itu DAP cuba memisahkan diri daripada
PAS tetapi agak terlalu lewat. Percubaan untuk
bekerjasama dengan Keadilan sahaja tidak akan dapat
membersihkan DAP daripada cemaran PAS.
10. Parti-parti lawan perlu membuat pendirian yang
jelas supaya rakyat dapat mengetahui siapa mereka.
Saya ucap tahniah kepada Keadilan yang mendakwa ia
bukan parti Melayu. Ini tentu menguntungkan Keadilan
kerana tidak bertanggungjawab mempertahan beberapa
peruntukan dalam Perlembagaan yang melindungi hak
orang Melayu. UMNO tidak perlu kepada sokongan
oportunis untuk mempertahankan hak orang Melayu.
11. PAS masih mendakwa bahawa matlamatnya ialah untuk
mendirikan negara Islam. Oleh kerana Malaysia sudah
merupakan negara Islam apakah yang berlainan di antara
negara Islam Pas dengan negara Islam Malaysia yang
sedia ada? PAS perlu terangkan. Mendakwa akan
menjelaskan bentuk negara Islam PAS selepas PAS
memenangi pilihanraya bermakna PAS ingin menipu
pengundi, memerangkap mereka dengan bayangan kosong.
12. Sesungguhnya jika tidak ada angkara ciptaan parti
lawan, Malaysia akan menjadi aman dan bahagia dan
tumpuan boleh diberi sepenuhnya kepada pembangunan
negara dan perimbangan pembangunan antara kaum. Kita
bukan tidak mahu ada pembangkang. Mereka penting untuk
menegur Kerajaan apabila Kerajaan terlalu "confident"
dan membuat perkara-perkara yang salah. Tetapi
pembangkang di Malaysia tidak menegur, hanya melempar
fitnah dan menyemai kebencian yang tidak berasas
terhadap pemimpin dan parti Kerajaan.
13. Malaysia adalah negara demokratik. Sejak merdeka
kita telah ada pilihanraya 10 kali. Tiap kali ramai
calon parti lawan yang menang, bahkan mereka dapat
mendirikan Kerajaan-Kerajaan Negeri. Keadaan di
Malaysia tidaklah seperti negara lain, di mana calon
parti lawan yang menang tidak di benar mengambil tempat
dalam Parlimen dan kerap diheret ke mahkamah.
14. Sebenarnya sistem demokrasi tidak mudah diamal. Di
negara maju ada yang mendirikan 50 Kerajaan dalam 55
tahun dan ada yang menukar Perdana Menteri dua tahun
sekali. Pentadbiran dan pembangunan negara tertinggal
di tangan kakitangan awam.
15. Biasanya negara maju mempunyai hanya dua tiga
parti sahaja dan tidak terdapat banyak perbezaan antara
mereka. Bagi rakyat siapa menang tidak mempunyai apa-
apa makna. Di negara membangun berpuluh parti
ditubuhkan untuk bertanding dan kerapkali tidak ada
parti yang mendapat majoriti. Dengan itu Kerajaan
campuran yang di tubuh tidak berwibawa. Akibatnya dasar
yang jelas tidak dapat diadakan dan pentadbiran serta
pembangunan menjadi kucar-kacir.
16. Di Malaysia kita berjaya memberi peranan kepada
semua parti kecil dan besar melalui parti Perikatan dan
kemudian Barisan Nasional. Rakyat pula memilih parti
campuran ini sejak kita merdeka. Dan ini membolehkan
dasar dan perancangan di buat untuk jangka masa yang
panjang, dari 5 tahun hingga 30 tahun. Hasilnya ialah
pembangunan Malaysia dapat dibuat secara berterusan.
Kita dapat lihat sesuatu dasar atau rancangan dilaksana
kan dan kita akan tahu sama ada dasar dan rancangan ini
baik atau tidak. Jika Kerajaan ditukar tiap pilihanraya,
Kerajaan baru tetap akan mengenepikan rancangan
Kerajaan sebelumnya dan cuba merancang dan melaksanakan
rancangannya sendiri. Belum pun terlaksana sepenuhnya
rancangan ini Kerajaan diganti dan rancangan baru pula
dibentuk. Tidak akan ada rancangan yang dapat di
laksana sehingga berhasil.
17. Di Malaysia berkat mandat yang panjang yang diberi
kepada Perikatan dan BN hari ini kita dapat lihat hasil
dasar dan perancangan Kerajaan BN. Diwaktu kita
mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 pendapatan per
kapita hanyalah 300 dolar Amerika. Hari ini ia menjadi
hampir 4000 dolar Amerika. Oleh kerana kita kawal kos
sara hidup 4000 dolar ini, dari segi daya beli atau
"purchasing power" adalah sama dengan 10,000 dolar
Amerika di Amerika. Strategi kita ialah mengawal kos
sara hidup supaya upah yang rendah tidak bermakna
kualiti hidup juga rendah. Sebaliknya upah kerja yang
rendah menjadikan barangan kita kompetitif dan menarik
bagi para pelabur asing.
18. Kos pembangunan kita juga rendah. Sebab itu
Malaysia mampu mengadakan kemudahan-kemudahan seperti
lebuhraya bertaraf antarabangsa, keretapi eletrik,
kemudahan rel transit ringan, bekalan air dan api,
lapangan terbang yang canggih dan pelabuhan yang antara
10 terbesar di dunia.
19. Malaysia dahulu tidak dikenali oleh sesiapa.
Tetapi sekarang dunia kenal Malaysia, bahkan kenal
Langkawi sebagai pusat pelancongan di mana Langkawi
International Maritime dan Airshow diadakan dan
Langkawi International Dialogue dihadiri oleh ketua-
ketua negara. Langkawi sekarang hampir sama dengan Bali
atau Phuket walaupun 10 tahun dahulu tidak ada siapa
yang biasa dengar berkenaan Langkawi.
20. Kuala Lumpur sekarang adalah setaraf ibukota
metropolitan negara maju dengan penduduk seramai hampir
2 juta, lengkap dengan semua kemudahan, hotel lima
bintang, kompleks membeli-belah dengan butik jenama
terkenal di dunia. Oleh kerana kesesakan di Kuala
Lumpur, Kerajaan telah membangunkan Putrajaya sebagai
ibu kota pentadbiran diiringi oleh Cyberjaya, pusat IT
yang membawa kita masuk ke era maklumat.
21. Selain daripada pinjaman mudah dari Jepun, semua
pembangunan di Malaysia dibiayai dari punca dalaman.
Kita tidak hutang dari luar dan kebijaksanaan ini
menjadi nyata apabila penyangak matawang menurunkan
nilai ringgit kita. Kita tidak perlu cari ringgit yang
lebih banyak untuk membayar hutang dalam matawang
asing. Dengan itu kita dapat pulihkan kewangan dan
ekonomi negara kita dengan cara kita sendiri dan
mengguna punca wang dalam negara.
22. Hanya orang yang buta akal sahaja yang masih
berkata kita membazir wang. Sebenarnya kita mempunyai
kewangan yang kemas, sebab itu di waktu dunia dan
jiran-jiran kita menghadapi masalah kerana kemerosotan
ekonomi Amerika Syarikat dan peristiwa 11 September,
kita mampu menambah perbelanjaan pembangunan, membayar
bonus dan menaikkan gaji. Tidak mungkin kita berbuat
demikian jika kita boros dan menghabiskan duit rakyat
dengan sia-sia.
23. Ringgit kita yang ditetapkan nilainya sebanyak
RM 3.80 pada 1 dollar Amerika, kekal dengan nilai ini.
Tidak ada pasaran gelap ringgit dan percubaan oleh
orang asing untuk menekan turun nilai ringgit tidak
berjaya sedikitpun.
24. Namun usaha untuk merosakkan ekonomi Malaysia di
teruskan. Berita bahawa rusuhan kaum akan berlaku,
Malaysia sebagai negara Islam adalah merbahaya kepada
pelancong dan pelabur asing, Kerajaan akan jatuh dan
bermacam lagi laporan yang tidak berasas sama sekali
disebarkan.
25. Berikutan peristiwa 11 September berita disebar
bahawa surat yang diisi dengan kuman anthrax telah
dihantar ke Amerika oleh Malaysia. Walaupun akhirnya
disahkan oleh pemerintah Amerika sendiri bahawa berita
ini tidak benar, tetapi majalah-majalah Barat terus
menyebut tentang sebaran anthrax oleh Malaysia. Apabila
sahaja Malaysia disebut oleh media Barat, disebut juga
tentang kononnya Kerajaan Malaysia menguasai semua
akhbar di Malaysia yang hanya menyiar berita pro-
Kerajaan. Bahawa International Herald Tribune dan Asian
Wall Street Journal dicetak dan diedar dari Malaysia
dan dijual kepada rakyat Malaysia dan di negara-negara
Timur dan akhbar-akhbar ini sering memburuk-burukkan
Malaysia, menyebar fitnah terhadap Malaysia tidak juga
menghentikan tuduhan bahawa Kerajaan Malaysia menguasai
semua berita dan akhbar Malaysia.
26. Hari ini negara-negara Barat menapis berita yang
disiarkan oleh media Barat. Tidak pula ada kecaman
terhadap Kerajaan-Kerajaan Barat kerana menapis dan
menghalang kebebasan media Barat.
27. Sementara itu usaha diteruskan untuk meroboh
sempadan negara-negara untuk menjayakan globalisasi -
dunia tanpa sempadan. Kebebasan dunia tanpa sempadan
ini hanyalah untuk modal. Sebaliknya jika pelarian dari
negara miskin cuba untuk memasuki negara-negara yang
kononnya percaya sempadan menyekat kemajuan negara,
tindakan diambil dengan kejam untuk menentukan walaupun
sempadan sudah tidak ada, melintasnya masih tidak di
benar. Dan ramailah yang tenggelam di laut apabila
bot-bot buruk mereka ditolak keluar.
28. Sesungguhnya abad ke-21 alaf ketiga ini mem-
perlihatkan lebih banyak ketidakadilan dan kebengisan
mereka yang kaya dan kuat daripada sebelumnya. Tidak
ada gunanya kita menjerit "foul" kerana tidak ada siapa
yang akan dengar kita, yang akan menolong kita. Sejak
zaman batu "might is right" dan hari ini pun "might is
still right". Jika kita ingin menyelamatkan diri kita,
kitalah yang perlu berusaha.
29. Kita telah bina sistem pemerintahan dan
pentadbiran yang cukup baik. Kelebihan Barat ialah
sistem atau method mereka. Kita sudah belajar
pendekatan Barat ini dan kita telah baiki lagi sistem
ini supaya sesuai dengan keperluan kita. Sistem tidak
akan menghasilkan kejayaan jika kita tidak memiliki
disiplin dalam pengamalannya.
30. Kita telah cipta kerjasama antara kaum yang unik.
Apa juga cabaran yang kita hadapi pegangan kita kepada
sistem berkongsi kuasa antara kaum, antara parti perlu
dikekalkan. Tiap seorang daripada kita mesti sanggup
mengorbankan kepentingan tertentu kita supaya
kepentingan bersama dapat dicapai.
31. Tiap parti komponen mesti sedar akan hakikat ini.
Janganlah sesiapa mengutamakan diri sehingga perpaduan
parti menjadi retak. Jika kita kalah kita mesti sanggup
undur diri "gracefully". Kekecewaan kita tidak
sepenting kejayaan parti.
32. Walaupun BN adalah parti campuran tetapi kita
berfungsi sebagai "unitary parti". Kita tidak mencabar
sesama kita. Walaupun tidak mendapat apa yang kita
tuntut, kita tidak boleh kecewa dengan mengancam
kestabilan dan perpaduan dalam parti dan antara parti.
33. Yang keduanya, sistem pentadbiran oleh pentadbir
yang profesional. Pentabdir menjalankan sahaja dasar
dan pendekatan parti yang mendapat mandat memerintah.
Mungkin pentadbir kurang senang dengan dasar dan
pendekatan parti pemerintah, tetapi pendirian atau
pegangan pentadbir tidak boleh mempengaruhi urusannya.
Mungkin pentadbir memberi pandangan atau nasihat kepada
pemimpin parti pemerintah tetapi samada diterima atau
tidak tugas pentadbir adalah melaksanakan dasar dan
arahan parti pemerintah yang dipilih.
34. Antara eksekutif parti pemerintah dengan pegawai
tertinggi pentadbiran hubungan yang unik dan sensitif
diperlukan. Tanpa menyentuh bidang kuasa masing-masing
pentadbiran yang mencerminkan falsafah parti pemerintah
perlu diwujudkan. Dengan hubungan ini maka sebuah
Kerajaan yang berkesan dan berwibawa dapat diadakan.
35. "Mutual respect" mesti wujud diantara parti
pemerintah dengan jentera pentadbiran.
36. Pemerintahan Malaysia belum cukup sempurna. Banyak
lagi yang perlu dibuat untuk menjamin pemerintahan ini
akan kekal dan berkesan walau siapa pun yang diberi
mandat memerintah. Tetapi hakikatnya ialah, walaupun
pemerintahan belum cukup sempurna, Malaysia dapat
dibangun dengan sistem ini. Dari sebuah negara dengan
penduduk seramai 5 juta dan ekonomi yang bergantung
hanya kepada getah dan bijih timah, kita telah dapat
mendirikan jentera pentadbiran bagi sebuah negara
industri yang canggih yang dapat berlumba dengan
negara-negara maju.
37. Oleh itu kita daripada parti-parti komponen
Kerajaan campuran hendaklah pelihara sistem pentadbiran
yang telah kita bentuk bersama. Janganlah sesiapa
membuat sesuatu yang boleh merosakkan jentera ini.
Janganlah kita menjadi angkuh kerana kejayaan kita dan
kita "take things for granted".
38. PPP sebagai satu daripada parti komponen BN
mempunyai tangungjawab yang besar bukan semata-mata
kepada parti PPP, bukan sahaja kepada BN, tetapi kepada
pengekalan kesejahteraan negara Malaysia dan
penduduknya.
39. Malaysia adalah negara kita bersama. Di sini kita
dilahir, di sini kita membesar, bekerja dan bermain,
dan di sini juga kita akan menghembus nafas terakhir
kita. Oleh itu berjaga-jagalah dan berusahalah untuk
memajukan lagi tanahair tercinta ini.
40. Sekarang dengan segala sukacitanya saya rasmikan
Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk Malaysia
yang ke-48 dan saya berharap kekukuhan parti PPP akan
menyumbang kepada pembangunan negara tercinta ini.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|