Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN
MALAYSIA (RTM)
Tarikh/Date : 31/12/2001
Tajuk/Title : PERUTUSAN PERDANA MENTERI SEMPENA
TAHUN BARU 2002
Versi :
Penyampai : PM
Masa berlalu dengan amat pantas. Esok kita akan
melangkah masuk ke tahun baru 2002. Kita bersyukur ke
hadrat Allah S.W.T. kerana kita akan memasuki tahun
2002 dengan keadaan negara kita terus tenang, aman dan
stabil; rakyatnya bersatu padu dan sejahtera dan
ekonominya terus kukuh walaupun ditekan oleh ekonomi
dunia yang merosot akibat kelembapan ekonomi Amerika
Syarikat dan Jepun, lebih-lebih lagi selepas serangan
ganas September 11.
2. Jika kita banding dengan apa yang berlaku di
kebanyakan negara lain di dunia ini, rakyat Malaysia
memang bernasib lebih baik kerana kita dapat menangkis
banyak kesan buruk daripada kemerosotan ekonomi dunia.
Semua ini adalah hasil daripada sikap majoriti rakyat
Malaysia yang sederhana serta rasional dan dapat
membantu Kerajaan dalam usaha menangkis percubaan-
percubaan dan tekanan yang boleh merosakkan ekonomi,
kewangan dan kestabilan negara. Kepakaran yang
terdapat dalam Kerajaan Malaysia membolehkan kita
mencipta dan melaksanakan berbagai-bagai pendekatan dan
tindakan untuk menyelamatkan negara kita.
3. Walaupun ekonomi dunia merosot dan pelaburan asing
berkurangan dengan teruk serta eksport kita menurun
tetapi dengan perancangan dan galakan peruntukan khas,
kita dapat mengganti sumbangan luar kepada pertumbuhan
ekonomi kita dengan sumber dalaman. Ini dapat kita
lakukan kerana kedudukan kewangan kita kukuh hasil
daripada pengurusan kewangan yang berhemat. Tidak
mungkin kita membayar bonus dan mengadakan pakej
rangsangan berbilion Ringgit jika kita tidak mempunyai
simpanan dan tabungan yang besar. Kita tidak perlu
pinjam dari luar negeri kerana sumber dalaman lebih
daripada mencukupi. Walaupun demikian kita berhati-
hati dalam membelanjakan wang negara kerana kita tidak
dapat tentukan bila ekonomi dunia akan pulih dan kita
tidak dapat tentukan yang malapetaka lain tidak akan
berlaku.
4. Sesungguhnya rakyat dan Kerajaan dapat memelihara
ekonomi negara tanpa terlalu bergantung kepada faktor
luaran. Sokongan rakyat terhadap kawalan pengaliran
modal menjamin simpanan matawang asing tidak merosot
dengan cepat. Oleh kerana kita lebih berbelanja dalam
negeri maka pengaliran wang ke luar negara tidak
mengurangkan kekuatan kewangan kita. Sebenarnya di
Malaysia terdapat semua keperluan hidup, termasuk
tempat-tempat melancong untuk semua tahap pendapatan.
Tidak ada yang kurang di Malaysia dan kebanyakan dari
keperluan makanan dan kelengkapan adalah hasil usaha
kita sendiri.
5. Bukanlah niat kita untuk mengurangkan dagangan
antarabangsa kita. Tetapi peratusan pergantungan kita
kepada faktor luaran yang tidak dapat dikawal oleh kita
hendaklah kita kurangkan supaya apabila ekonomi dunia
tumbuh semula ianya dapat menguntungkan kita, sementara
kemerosotannya tidak terlalu menekan kita. Kita juga
harus tingkatkan eksport barangan lain daripada
elektronik dan elektrikal supaya sektor ini tidak
mempengaruhi prestasi ekonomi kita terlalu sangat.
6. Sebenarnya pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran kita
bergantung kepada "agility" atau kemampuan tindakan
pantas kita apabila berhadapan dengan masalah. Setakat
ini kita masih dapat menyelamatkan diri kita dengan
mengguna pendekatan kita sendiri. Alhamdulillah,
penolakan nasihat IMF bukan sahaja telah menyelamatkan
kita tetapi mengekalkan kebebasan kita dalam mentadbir
negara kita sendiri.
7. Tahun 2001 juga menyaksikan pelancaran Rangka
Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) 2001 - 2010 dan
Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) 2001 - 2005). Tahun
2001 juga bertuah kerana Malaysia telah berjaya
menggondol pingat emas terbanyak dalam Sukan SEA yang
diadakan di negara kita. Yang membanggakan ialah
kecemerlangan atlit dan ahli sukan negara ini ialah
kerana sokongan kuat dan padu daripada rakyat berbilang
kaum yang sentiasa membanjiri stadium untuk memberi
semangat dan tepukan tanpa mengira kaum atlit
berkenaan.
8. Inilah keunikan negara kita. Di waktu kita
mencapai kemerdekaan dunia tidak yakin sama sekali kita
akan dapat elak ketegangan hubungan antara kaum, jauh
sekali membangunkan negara kita. Tetapi melalui
pendekatan unik kita, perhubungan antara kaum
dipelihara dengan baik, keamanan ditentukan dan
pembangunan yang amat pesat dijayakan. Dasar Ekonomi
Baru umpamanya telah berjaya menyelamatkan negara
daripada rusuhan kaum seperti yang berlaku di negara-
negara lain apabila kegawatan ekonomi berlaku.
9. Namun dalam kegembiraan kita mengimbas kejayaan
sepanjang tahun, kita juga sedih dan duka di atas
kemangkatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong
yang kesebelas, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz
Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah
Alhaj baru-baru ini. Pemergian almarhum yang dikasihi
dan yang sentiasa mengambil berat tentang hidup rakyat
dan kemajuan negara sungguh dirasai oleh rakyat jelata.
Pada kesempatan ini Kerajaan dan rakyat ingin mengucap
tahniah kepada Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra
Jamalullail yang telah dilantik sebagai Seri Paduka
Baginda Yang di Pertuan Agong yang kedua belas.
Tahniah juga diucap kepada Tuanku Sultan Mizan Zainal
Abidin Sultan Terengganu yang dilantik semula sebagai
Timbalan Yang di Pertuan Agong.
10. Peristiwa serangan 11 September ke atas Amerika
Syarikat telah memberi kesan mendalam kepada seluruh
dunia, termasuk Malaysia. Keadaan dunia tidak akan sama
seperti sebelumnya. Ia bukan sahaja memberi kesan
terhadap ekonomi bahkan psikologi manusia. Ramai yang
takut untuk terbang dengan pesawat penumpang.
Demikianlah berkurangnya bilangan penumpang sehingga
banyak syarikat penerbangan dunia yang muflis atau
bermasalah. Dengan ini industri perhotelan dan lain-
lain yang terlibat dengan pelancongan dan "business
travel" terjejas. Dagangan dan industri pembuatan juga
turut terjejas dan dunia mengalami kemerosotan yang
teruk dan sukar dipulih.
11. Malaysia menyertai negara-negara lain di dunia
mengutuk keganasan yang dilakukan pada 11 September dan
keganasan di mana-mana sahaja. Keganasan bukanlah cara
untuk menyelesaikan masalah. Kita tidak menafikan
bahawa terdapat banyak ketidakadilan di dunia, dan
ketidakadilan ini perlu dibersihkan. Tetapi ia
hendaklah diusaha melalui tindakan yang tidak
menjadikan orang lain yang tidak bersalah sebagai
mangsa. Dalam peperangan untuk membebaskan wilayah dari
kuasa asing pun, keganasan tidak boleh diterima atau
dihalalkan.
12. Memang benar ramai daripada kaum dan bangsa di
dunia yang ditindas dan ditakluk oleh kuasa-kuasa lain.
Mereka berhak berjuang untuk membebaskan diri mereka,
walaupun melalui peperangan. Jika dunia tidak ingin
melihat tindakan keganasan, dunia hendaklah memberi
perhatian kepada ketidakadilan dan penindasan yang
berlaku ini. Dengan hanya memburu pengganas dan
membunuh mereka tidak bermakna keganasan akan terhenti.
Selagi ada penindasan dan penaklukan satu-satu kaum
oleh kaum dan bangsa lain, akan ada orang yang akan
sanggup mengganas.
13. Malaysia telahpun menyuarakan pendapat dan
pandangan kita. Kita mengecam keras terhadap tindakan
pengganas pada 11 September. Dan kita menentang
sebarang keganasan. Kita bersama dunia dalam sebarang
usaha untuk memburu dan menangkap mana-mana pengganas
tidak kira apa bangsa dan agama mereka.
14. Walaubagaimanapun kita menentang serangan ke atas
Afghanistan kerana khuatir mereka yang tidak bersalah
dan berdosa akan menjadi mangsa. Kita harap dunia akan
faham pandangan kita. Kita juga berharap keamanan dan
kestabilan akan kembali kepada Afghanistan secepat
mungkin. Di masa yang sama kita menentang sebarang
tindakan ala serangan Afghanistan ke atas negara-negara
Islam yang lain. Janganlah kerana ternampak kejayaan
di Afghanistan maka serangan yang serupa dilancar ke
atas negara-negara lain.
15. Sebaliknya serangan ke atas rakyat Palestin oleh
Israel perlu dihentikan. Dan ini hanya boleh dijayakan
jika Bangsa-Bangsa Bersatu menghantar pasukan tentera
untuk memisahkan tentera Israel dari rakyat Palestin.
Kemudian sempadan Israel perlu ditentukan dan wilayah
Palestin yang dirampas oleh Israel dikembalikan kepada
Palestin. Jika ini dapat dijayakan maka keganasan akan
dikurangkan lagi.
16. Kita tidak melihat peristiwa ini sebagai
pertembungan tamadun atau "clash of civilisation."
Orang Islam dan bukan Islam di Malaysia tidak melihat
peristiwa yang berlaku sebagai pertelingkahan di antara
agama Islam dan Kristian. Dengan itu kita dapat
mengelak sebarang peristiwa yang tidak diingini berlaku
di negara kita. Malah kita berbangga rakyat Malaysia
daripada semua kaum dan agama sanggup menderma kepada
Tabung membantu pelarian Afghanistan, dan mereka
bersimpati dengan penderitaan rakyat Palestin.
17. Satu perkara baik yang timbul daripada peristiwa
tersebut ialah Malaysia kini diakui oleh banyak negara
dan pihak sebagai sebuah negara Islam yang berpegang
teguh kepada kesederhanaan ajaran Islam yang sebenar.
Imej Islam dapat dipulih sedikit dengan kestabilan,
demokrasi, keharmonian antara kaum dan penganut agama
yang berlainan serta kemajuan yang ketara di Malaysia.
Kita dapat membuktikan bahawa negara Islam dapat
ditadbir dengan baik, dibangun dan distabilkan,
walaupun mengamal sistem demokrasi. Di sini "the rule
of law" atau pentadbiran mengikut perundangan yang
tidak kenal pangkat dan bulu dapat diamalkan. Walaupun
majoriti penduduk terdiri daripada orang Islam dan
mereka boleh merebut kuasa untuk diri mereka sahaja dan
menidakkan hak kaum dan penganut agama lain, ini tidak
berlaku. Ini adalah bukti yang negara Islam boleh
diadakan di mana hak bukan Islam dipelihara dengan
cukup baik, dan kehidupan antara penganut agama yang
berlainan berada dalam keadaan harmoni. Kita boleh
berbangga kerana bukan sahaja negara bukan Islam tetapi
kebanyakan negara Islam juga menganggap Malaysia
sebagai Negara Islam contoh yang mereka idamkan. Dengan
itu pelawat dari negara Islam dan bukan Islam datang ke
negara kita untuk melihat dan mempelajari akan dasar
dan cara kita jayakan negara berbilang kaum, agama,
budaya dan bahasa ini. Rakyat Malaysia daripada semua
kaum dan agama bukan sahaja boleh berbangga dengan
keadaan yang terdapat di negara kita tetapi perlu
menghargainya. Janganlah kita anggap kestabilan dan
kemajuan negara kita adalah perkara biasa yang akan
berterusan selama-lamanya tanpa apa-apa usaha oleh
kita. Janganlah kita `take for granted' apa yang
terdapat di negara kita. Sesungguhnya keadaan di
Malaysia dicapai melalui dasar, perancangan dan usaha
yang mengambilkira sensitiviti kaum-kaum yang berlainan
di negara ini, keadaan sumber manusia dan sumber alam,
dan punca-punca kekayaan yang sedikit yang kita warisi.
18. Untuk meneruskan pembangunan dan ketahanan negara
kita di zaman pengetahuan dan teknologi maklumat, usaha
di buat untuk meningkatkan penguasaan ilmu oleh semua
rakyat kita. Kita amat kecewa kerana usaha mengimbangi
penguasaan ilmu antara kaum tidak tercapai seperti yang
dirancang oleh Dasar Ekonomi Baru.
19. Dizaman penjajah memangpun penjajah tidak
mengutamakan pemilikan ilmu pengetahuan oleh penduduk
wilayah yang dijajah oleh mereka. Lebih bodoh rakyat
jajahan takluk mereka lebih mudah penguasaan oleh
mereka.
20. Apabila sahaja kita mencapai kemerdekaan kita
telah tumpu kepada pembetulan keadaan ini. Sejak
merdeka tidak kurang daripada 20 peratus Belanjawan
Negara diperuntukkan kepada bidang pelajaran,
penguasaan ilmu dan berbagai-bagai jenis latihan
kemahiran. Sekolah, maktab dan universiti didirikan dan
biasiswa disediakan. Dimana kemudahan dalam negara
tidak ada, kita hantar penuntut kita ke luar negeri.
Oleh kerana Bumiputera jauh ketinggalan di belakang
dalam pelajaran dan kemahiran, keutamaan yang tinggi
diberi kepada kanak-kanak dan belia Bumiputera untuk
mempelajari apa juga ilmu yang diminati atau diperlukan
oleh negara yang ingin membangun ini.
21. Sambutan kepada usaha mempertingkatkan penguasaan
ilmu dan kemahiran oleh Bumiputera, terutamanya Melayu,
pada mulanya amat baik. Mereka belajar dengan tekun di
sekolah untuk melengkapkan diri mereka supaya dapat ke
universiti, dapat mengejar bukan Bumiputera dalam
bidang-bidang yang mereka ketinggalan.
22. Malangnya setelah bantuan bagi Bumiputera di-
tingkatkan ada pihak yang menghasut supaya Bumiputera
tidak tekun belajar dan tidak berminat ke universiti.
Penghasut ini lebih mengutamakan kepentingan politik
mereka. Kononnya pelajaran yang bukan berkenaan agama
tidak menjadi bekalan untuk akhirat. Pelajaran bukan
berkenaan Islam adalah pelajaran sekular yang tidak
dituntut oleh agama Islam.
23. Tujuan penghasut ini ialah supaya orang Islam akan
dapat dikuasai oleh mereka. Mereka takut jika orang
Islam menjadi pandai dan boleh berfikir maka mereka
akan menyoal kepimpinan puak ini dan menolak mereka.
Seperti juga dengan penjajah dahulu mereka tidak suka
melihat orang Islam berpengetahuan dan berfikir. Mereka
mendakwa bahawa orang Islam tidak perlu berfikir,
memadai dengan menerima bulat-bulat Islam yang diajar
oleh mereka, iaitu Islam yang sempit yang menolak ilmu-
ilmu lain.
24. Sebenarnya Islam menyuruh kita mempelajari bukan
sahaja agama kita tetapi bidang-bidang yang lain juga.
Perkataan yang pertama yang disampaikan kepada Nabi
Muhammad s.a.w. ialah " Iqrak", iaitu "Baca". Kita
tahu Nabi tidak boleh membaca. Jelas sekali yang
disuruh ialah mempelajari membaca. Apakah yang hendak
dibaca ketika itu, sebelumpun wahyu yang lain
diturunkan? Tentulah ilmu-ilmu lain daripada Islam.
25. Kita juga tahu bahawa satu daripada hadis Nabi
ialah untuk menuntut ilmu walaupun sampai ke negeri
Cina. Apakah di zaman Nabi agama Islam boleh dipelajari
di negeri Cina? Di zaman Nabi, China sudah cekap
membuat kertas, bahan letupan, barang tembikar dan
lain-lain. Tentu ilmu yang disuruh tuntut di China
adalah berkenaan ilmu-ilmu yang lain daripada Islam.
Tentulah Nabi berpandangan bahawa tuntutan ilmu selain
daripada agama Islam adalah penting bagi umat Islam.
26. Jika semua orang Islam mempelajari agama sahaja
supaya mereka kononnya akan mendapat tempat di syurga
di akhirat, orang Islam tidak mungkin hidup. Mereka
tidak akan ada ilmu berkenaan dengan pertanian,
pemakanan, pengeluaran barangan kegunaan hidup, senjata
untuk mempertahankan umah, ilmu pelayaran dan
pengangkutan, ilmu pergerakan bintang di langit sebagai
panduan perjalanan di padang pasir dan laut, penggunaan
logam dan seribu satu ilmu lain yang penting untuk
kehidupan dan kesejahteraan umat Islam. Sebenarnya
umat Islam disuruh menyediakan semua keperluan
masyarakat Islam sebagai sebahagian daripada fardu
kifayah. Tetapi pihak tertentu sengaja tidak
memperingati dan menekankan fardu kifayah kerana ingin
melihat umat Islam menjadi bodoh dan bergantung kepada
mereka semata-mata untuk panduan hidup, supaya mereka
dapat terus mengongkong pemikiran umat Islam.
27. Bahawa kerana halangan untuk menguasai ilmu dan
kemahiran yang penting maka umat Islam menjadi lemah
dan mudah ditindas oleh musuh Islam tidak sedikit pun
dipedulikan oleh pihak ini.
28. Di Malaysia keengganan penuntut Melayu mempelajari
ilmu-ilmu selain daripada agama Islam adalah kerana
mereka percaya penguasaan ilmu lain tidak akan menjadi
mereka orang Islam yang baik. Mereka tidak faham akan
maksud fardu kifayah. Mereka tidak faham bahawa oleh
kerana mereka abaikan fardu kifayah mereka dan seluruh
masyarakat Islam menanggung dosa. Mereka diajar hanya
untuk menunaikan fardu ain untuk kepentingan diri
mereka sahaja.
29. Oleh kerana sebab ini maka hari ini satu
keganjilan berlaku. Walaupun peratusan lelaki dan
wanita lebih kurang sama dalam masyarakat kita, jumlah
penuntut lelaki di universiti-universiti hanya separuh
sahaja daripada penuntut wanita.
30. Apakah ini disebabkan penuntut lelaki tidak cerdik
daripada penuntut wanita? Ini sudah tentu tidak.
Sebabnya kelulusan penuntut lelaki rendah ialah kerana
mereka tidak tekun belajar. Dari bangku sekolah lagi
mereka diajar supaya menolak penguasaan ilmu kerana
mereka hanya dikehendaki mempelajari agama. Tetapi
pelajaran agama juga tidak mengikut ajaran Islam yang
sebenar. Pelajaran mereka tertumpu kepada rupa bentuk
Islam dan bukan isi kandungan Islam, kepada membenci
orang Islam lain yang didakwa kononnya tidak Islam
atau tidak cukup Islam. Mereka diajar yang sunat itu
wajib dan yang wajib itu sunat. Pendek kata segala
kebaikan daripada ajaran agama Islam diketepikan dan
keburukan dicipta sebagai sebahagian daripada agama
Islam yang suci itu.
31. Hari ini segala kemudahan yang diberi kepada
Bumiputera Melayu khususnya menjadi sia-sia sahaja.
Pendapat sebahagian daripada orang Melayu ialah
sementara anak Melayu tidak belajar ilmu-ilmu yang
penting ini, bukan Melayu disekat daripada mempelajari
ilmu-ilmu ini. Tetapi ini tidak mungkin. Lagipun untuk
memelihara kebebasan negara kita, rakyat yang
berpengetahuan adalah mustahak. Jika orang Melayu tidak
mahu mengejar ilmu, negara terpaksa bergantung kepada
bukan Melayu. Janganlah orang Melayu marah atau kecewa
jika tugas-tugas yang penting dalam negara ini dipegang
oleh orang bukan Melayu, jika kekayaan dan
kesejahteraan hidup dinikmati oleh orang bukan Melayu.
Jika orang Melayu pilih untuk mengabaikan ajaran Islam
berkenaan dengan penguasaan ilmu, berkenaan fardu
kifayah, yang bersalah jika orang Melayu menjadi kaum
yang mundur di negara ini ialah mereka sendiri. Yang
amat menyedihkan lagi ialah 99 peratus daripada orang
Islam di Malaysia adalah orang Melayu; bermakna
kemunduran orang Melayu adalah kemunduran orang Islam.
Sekali lagi orang Islam ketinggalan walaupun di negara
di mana orang Islam menjadi majoriti dan berkuasa.
32. Semua ini adalah hasil pengkhianatan oleh
sebilangan orang Islam yang ingin mengguna pengaruh
mereka sebagai orang yang berpelajaran agama untuk
memperbodohkan orang Islam supaya mereka akan terus
berpengaruh dan berkuasa. Di mana-mana sahaja terdapat
orang jenis ini yang menyebabkan orang Islam menjadi
lemah, negara Islam menjadi lemah dan umat Islam
dihina, ditindas dan diseksa. Sesungguhnya keburukan
yang menimpa orang Islam datangnya daripada mereka
sendiri kerana mereka membelakangkan ajaran Islam yang
sebenar. Janganlah sesiapa mendakwa semua malapetaka
yang menimpa orang Islam telah ditakdirkan.
33. Sesungguhnya amatlah sukar untuk membangun dan
mengimbangkan kemajuan kaum-kaum di negara berbilang
kaum ini. Sudah banyak dasar, rancangan, peruntukan
wang, dana dan agensi khusus diadakan untuk menolong
Bumiputera dan orang Melayu menjayakan diri mereka.
Pencapaian masih jauh dari matlamat yang ditentukan.
Masih juga berbagai-bagai cadangan dan syor yang dibuat
oleh Bumiputera, oleh seminar dan kongres mereka untuk
memperbaiki kedudukan ekonomi mereka. Tetapi kita tahu
pelaksanaan semua cadangan dan syor-syor ini tidak akan
membawa kita ke mana-mana. Sebabnya ialah oleh kerana
halangan yang utama tidak dihapuskan.
34. Kelemahan dan kurang jayanya bumiputera disebabkan
nilai hidup mereka. Saya tidak berhajat untuk mengulas
nilai hidup yang dimaksudkan. Tetapi orang Islam tentu
tahu bahawa Tuhan tidak akan mengubah nasib mereka
sehinggalah mereka mengubahnya sendiri. Yang perlu
diubah ialah nilai hidup Bumiputera, nilai hidup orang
Melayu yang tidak menepati ajaran Islam. Jika mereka
mengubah nilai hidup mereka supaya menepati ajaran
Islam yang sebenar, Insya-Allah mereka akan menjadi
orang yang beruntung dan berjaya.
35. Kita hidup sekarang dalam dunia yang berlumba-
lumba untuk mencapai kemajuan. Siapa yang kalah bukan
sahaja akan ketinggalan di belakang tetapi akan dihina
dan ditindas dengan kejam. Kita sedang lihat ini
berlaku di hadapan mata kita. Tamadun moden ini
didakwa sebagai tamadun yang canggih, yang penuh dengan
nilai-nilai kemanusiaan. Tetapi sebenarnya tamadun
zaman ini, tamadun abad ke-21 alaf ketiga ini, masih
tamadun primitif zaman batu. Di zaman ini ukuran
kebenaran ialah kemampuan membunuh yang teramai sekali.
Sesiapa yang boleh membunuh dengan sewenang-wenangnya,
bilangan yang terbesar dalam masa yang tersingkat,
merekalah yang benar. Dan kebenaran mereka akan dipuja
oleh media dan NGO yang dikuasai oleh mereka. Inilah
dunia moden yang kita hadapi.
36. Kita tidak mungkin mengalahkan mereka tetapi jika
kita bijak, jika kita dapat dirikan negara yang
berkebolehan tertentu, jika kita tahu sejauh mana kita
boleh pergi, kita mungkin dapat memelihara dan
mengekalkan kebebasan kita, maruah kita.
37. Alhamdulillah, walaupun kita masih lemah, kita
tidaklah dihina dan dipermainkan oleh sesiapa. Untuk
mengekalkan keadaan kita sebagai negara yang bebas dan
merdeka, hendaklah kita faham kelemahan dan kebolehan
kita dan cabaran yang akan ditujukan kepada kita dalam
dunia moden ini.
38. Marilah kita bersama-sama merenung akan nasib baik
kita sehingga kini dan menentukan kita tidak menjadi
mangsa tamadun primitif abad ke-21 alaf ketiga ini.
39. Bagi pihak Kerajaan dan diri saya, saya ucapkan
Selamat Tahun Baru kepada semua rakyat daripada semua
kaum dan agama. Mudah-mudahan tahun 2002 akan membawa
lebih nikmat dan kebahagiaan kepada kita semua.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|