Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	STADIUM NASIONAL BUKIT JALIL
Tarikh/Date	:	26-01-2002
Tajuk/Title 	:	MAJLIS MEGA PERPADUAN 2002
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM 
		    

      Terlebih  dahulu saya mengucapkan  tahniah  kepada
   Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat
   atas  daya  usahanya mengadakan majlis `mega perpaduan'
   ini.  Saya juga merakamkan terima kasih atas kesempatan
   yang  telah  diberikan kepada saya untuk berucap  dalam
   majlis  yang  begitu penting dan bermakna bagi  seluruh
   rakyat   Malaysia.  Saya  berharap  kita   semua   akan
   menjadikan perhimpunan ini sebagai wadah dan peringatan
   untuk  terus meningkatkan lagi semangat perpaduan  yang
   ada dalam diri kita dan juga masyarakat.
   
   2.    Sambutan  `mega  perpaduan' ini  bertujuan  untuk
   memberi  kesedaran kepada masyarakat betapa  pentingnya
   kita  memelihara  dan mengekalkan perpaduan  di  negara
   ini.  Alhamdullillah, kita dapat  hidup  dalam  suasana
   aman dan tenteram tanpa merasa takut dan bimbang, tidak
   seperti kehidupan rakyat di negara-negara lain.
   
   3.    Tanggungjawab  untuk memelihara  dan  mengekalkan
   perpaduan  bukanlah tanggungjawab Kerajaan atau  pihak-
   pihak tertentu sahaja. Malah setiap daripada kita tidak
   terkecuali daripada tugas dan tanggungjawab  ini.  Oleh
   itu,   dalam   melaksanakan  tugas  dan   tanggungjawab
   tersebut,  kita  mestilah  sentiasa  memberi  keutamaan
   kepada  kepentingan masyarakat dan negara  serta  mampu
   berfikir dan bertindak secara rasional. Kita juga perlu
   sedar  bahawa  apa jua tindakan kita dan walau  sekecil
   mana sekalipun tindakan tersebut, ia tetap akan memberi
   kesan kepada masyarakat, sama ada baik atau sebaliknya.
   Oleh  yang  demikian, janganlah kita  bertindak  dengan
   sewenang-wenangnya  tanpa berfikir panjang,  sebaliknya
   kita  perlu  lebih  berhati-hati dan  berwaspada  dalam
   sebarang tindakan yang hendak kita lakukan, terutamanya
   yang  menyentuh  sensitiviti masyarakat  di  sekeliling
   kita.
   
   4.    Insiden pergaduhan di Jalan Klang Lama  merupakan
   peristiwa  yang  sangat mendukacitakan kita  semua  dan
   insiden  ini  juga memberi kesan yang begitu  mendalam.
   Insiden   ini   serta  beberapa  lagi  peristiwa   yang
   menyentuh perpaduan yang berlaku sejak kebelakangan ini
   memberi   mesej  penting  kepada  kita  bahawa   ikatan
   perpaduan   yang  kita  bangga-banggakan   selama   ini
   sekiranya  tidak  kita awasi boleh di mana-mana  ketika
   menjadi ibarat `telur di hujung tanduk'. Walaupun hanya
   berlaku  salah faham yang kecil dan boleh  diselesaikan
   dengan  baik,  masyarakat  kadang-kadang  mudah  hilang
   pertimbangan dan akhirnya membiarkan perasaan dan emosi
   menguasai  diri  mereka.  Saya berharap  peristiwa  ini
   dapat  dijadikan  sebagai pengajaran dan  iktibar  oleh
   semua  pihak.  Janganlah  kita  lupa  bahawa  perpaduan
   adalah teras kepada kestabilan dan kemakmuran negara.
   
   5.    Janganlah  kita beranggapan bahawa  perpaduan  di
   negara  kita  telah mantap dan dengan  itu  kita  tidak
   perlu   lagi  berusaha  untuk  mempertingkatkan   tahap
   perpaduan  yang sedia ada. Ini merupakan anggapan  yang
   salah  sama  sekali. Kita perlu sedar bahawa  sekiranya
   perpaduan   rapuh   dan  mudah   terjejas,   ini   akan
   menyukarkan  lagi usaha Kerajaan bersama  rakyat  untuk
   membangun  dan  memajukan negara.  Lihat sahaja  amalan
   perpaduan  yang sihat di kalangan rakyat telah  membawa
   kejayaan  di  Indera Kayangan baru-baru  ini.  Tolaklah
   perpecahan, sanjunglah perpaduan.
   
   6.    Oleh  kerana  suasana ekonomi  negara  pada  masa
   sekarang tidak begitu memberangsangkan, maka kita perlu
   sedar  bahawa  keupayaan untuk keluar daripada  kemelut
   ini  sangat bergantung kepada sejauh mana kita  sanggup
   untuk  bersatu, bekerjasama dan berusaha   membangunkan
   negara bersama-sama. Dalam menghadapi situasi ini juga,
   kita perlulah ada kalanya melupakan soal-soal perbezaan
   yang  ada.  Sebaliknya lebih mengutamakan kepada  ciri-
   ciri persamaan yang membolehkan kita berganding bahu ke
   arah menjana ekonomi negara berteraskan kepada semangat
   kerjasama antara semua kaum. Insya-Allah, dengan adanya
   semangat  seumpama  ini, ekonomi  negara  akan  menjadi
   lebih  kukuh di samping kesejahteraan rakyat  dan  masa
   depan anak-anak kita akan lebih terjamin.
   
   7.   Apabila memperkatakan tentang peri pentingnya kita
   bersama-sama memelihara dan mengekalkan perpaduan, saya
   berasa   sungguh  sedih  dengan  tindakan   pihak-pihak
   tertentu yang mengecam dan melemparkan pelbagai tuduhan
   terhadap  Kerajaan. Mereka ini menghasut  dan  meracuni
   pemikiran rakyat supaya membenci Kerajaan. Mereka  juga
   menganggap bahawa sesuatu insiden yang berlaku kononnya
   sandiwara Kerajaan.
   
   8.    Saya  ingin  menegaskan di sini  bahawa  Kerajaan
   tidak  akan  bertolak ansur dalam perkara-perkara  yang
   melibatkan keselamatan dan kestabilan negara.  Kerajaan
   akan   bertindak   tegas  untuk   membendung   sebarang
   kemungkinan  yang boleh menjejaskan maruah  negara  dan
   kepentingan  rakyat.  Namun ini tidak  bermakna  bahawa
   Kerajaan  tidak  toleran  atau tidak  berpegang  kepada
   prinsip demokrasi, tetapi dalam menghadapi isu-isu yang
   boleh   mengancam  kestabilan  negara,  Kerajaan  perlu
   mengambil  tindakan  tegas  terhadap  pihak-pihak  yang
   terbabit.
   
   9.    Kepada  mereka  ini, saya  ingin  menyeru  supaya
   bersama-sama  membantu  Kerajaan mengekalkan  perpaduan
   negara dan janganlah cuba memecahbelahkan rakyat  hanya
   kerana  kepentingan  sendiri kerana  ini  akan  membawa
   kepada keruntuhan negara kita sendiri.
   
   10.   Justeru itu, rakyat perlu sedar agar tidak  mudah
   dipengaruhi  oleh  pandangan  agama  dan  politik  yang
   sempit   seperti   yang  diamalkan   oleh   pihak-pihak
   tertentu.   Sebaliknya   kita  perlu   mempertingkatkan
   semangat perpaduan dan kerjasama serta bertindak secara
   lebih  matang dan rasional tanpa mengikut perasaan  dan
   emosi semata-mata.
   
   11.   Semua  pihak juga haruslah bekerja  dengan  lebih
   keras  dan  bersungguh-sungguh agar apa jua  ketegangan
   dan   perselisihan  yang  timbul  baik  daripada   segi
   politik, ekonomi, agama dan budaya dapat dikawal. Usaha-
   usaha  ke  arah pemantapan perpaduan yang berkesan  dan
   komprehensif perlu dilaksanakan secara berterusan  agar
   permasalahan-permasalahan yang timbul dalam  masyarakat
   dapat   segera  diredakan  agar  tidak  membawa  kepada
   masalah perpaduan yang berterusan.
   
   12.   Masyarakat  yang tinggal dalam satu-satu  kawasan
   mestilah  saling kenal mengenali antara satu sama  lain
   agar  tidak  timbul salah faham antara  mereka.  Budaya
   hormat menghormati, saling membantu dan bertolak  ansur
   mestilah senantiasa diamalkan.
   
   13.   Dalam  hubungan  ini,  rukun  tetangga  merupakan
   antara  institusi sosial yang memainkan peranan penting
   untuk    menjana   semangat   perpaduan   di   kalangan
   masyarakat.   Di  samping  itu,  rukun  tetangga   juga
   berfungsi untuk memantau dan menyelesaikan isu-isu yang
   berlaku di peringkat akar umbi sebelum ia menjadi lebih
   buruk dan melarat.
   
   14.   Justeru  itu,  Kementerian Perpaduan  Negara  dan
   Pembangunan  Masyarakat hendaklah memperbanyakkan  lagi
   penubuhan rukun tetangga di seluruh negara khususnya di
   kawasan-kawasan yang mempunyai risiko tinggi berlakunya
   konflik.  Selain  itu,  peranan  rukun  tetangga   juga
   hendaklah  diperluaskan meliputi  khidmat  sosial  yang
   lain agar kita dapat melahirkan masyarakat yang harmoni
   dan sejahtera.  Kerajaan akan terus memberikan sokongan
   padu di samping menyalurkan lebih banyak bantuan kepada
   rukun  tetangga dalam melaksana dan menjayakan program-
   program  atau  aktiviti-aktiviti  kemasyarakatan.  Saya
   juga  ingin  menyeru seluruh masyarakat agar melibatkan
   diri  secara  lebih  aktif  dalam  program-program  dan
   aktiviti-aktiviti yang dianjurkan ini.
   
   15.   Bersempena  dengan sambutan Mega  Perpaduan  ini,
   marilah  kita  bersama-sama berusaha untuk meningkatkan
   lagi  persefahaman  dan semangat  perpaduan  di  antara
   kita.  Tanpa perpaduan, negara kita tidak akan berupaya
   untuk  bersaing di peringkat antarabangsa. Jika keadaan
   ini berlaku, maka yang rugi adalah diri kita sendiri.
   
   16.   Sebagai  rakyat Malaysia kita mestilah  mempunyai
   kemahuan   yang  tinggi  serta  sanggup  mempertahankan
   maruah  bangsa dan negara. Bersama-samalah kita  memadu
   tenaga  dan  fikiran untuk kesejahteraan  negara  kita.
   Insya-Allah.
   
   17.   Dengan  ini  saya  dengan sukacitanya  merasmikan
   majlis Mega Perpaduan 2002.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google