Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL CROWN PRINCESS, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 29-01-2002
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN ISU
DAN PROSES PEMBUKAAN MINDA
UMAT MELAYU ISLAM
Versi :
Penyampai : PM
Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Dewan Bahasa dan
Pustaka kerana menjemput saya untuk merasmikan
persidangan "Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu
Islam" pada hari ini.
2. Apabila orang Melayu ditakluk oleh Portugis pada
tahun 1511, mereka sudah pun beragama Islam. Sejak
menganuti agama Islam budaya orang Melayu amat dikuasai
oleh agama Islam. Mereka tidak dapat dipisahkan
daripada agama Islam.
3. Mereka menerima agama Islam kerana orang Arab Yaman
dan orang India Islam bukan sahaja berani melintasi
laut yang luas dan bergelora tetapi mereka adalah
pedagang yang amat berjaya. Sebagai pedagang yang kaya
mereka dapat menjalin hubungan dengan raja-raja Melayu.
Akhirnya mereka berjaya mengislamkan raja-raja Melayu
dan seterusnya rakyat Melayu.
4. Yang harus kita ambil perhatian ialah jika orang
Arab dan India Islam ini kecil miskin, daif, dan
menjadi kuli orang lain, tidak mungkin mereka mendekati
elit Melayu dan tidak mungkin mereka mengembangkan
Islam di kalangan raja dan rakyat Melayu. Mustahil
kalau mereka mendakwa walaupun mereka miskin tetapi di
akhirat mereka akan ditempatkan di syurga, sebaliknya
raja-raja Melayu akan ditempatkan di neraka, maka raja-
raja Melayu akan mempercayai mereka. Kejayaan mereka
di dunialah yang menarik perhatian dan mempengaruhi
orang Melayu.
5. Hakikat ini perlu kita sedari jika kita ingin
membuka minda sesiapa dan kita ingin mengembangkan
kepercayaan kita, agama kita. Sekarang ini oleh kerana
rata-rata orang Islam daif dan ketinggalan dalam hampir
semua bidang mereka bukan sahaja tidak berpengaruh
malah mereka dan agama Islam di hina. Kononnya
kekayaan dan kemajuan di dunia tidak perlu untuk
mendapat tempat di akhirat adalah pendapat orang yang
kecewa. Orang yang kecewa seperti ini bukanlah jenis
yang boleh mengembangkan agama Islam dan mendirikan
empayar Islam.
6. Sebenarnya orang yang mendirikan empayar dan
tamadun Islam adalah orang yang berilmu pengetahuan
yang amat tinggi, ilmu hasil daripada kesanggupan
menguasai ilmu lama yang diterokai oleh orang Yunani,
Rom dan Parsi, yang berjaya meneroka, yang menambah
tokok kepada ilmu-ilmu ini di samping mempunyai
pengetahuan agama Islam yang belum dicemar dan iman
yang amat kukuh.
7. Kita harus bersyukur kerana kita sudah Islam
apabila Portugis menakluk Melaka. Jika tidak kita
mungkin tidak akan menjadi penganut agama Islam.
8. Tetapi bersyukur tidak bermakna hanya menadah
tangan untuk menyatakan kesyukuran kita kepada Allah
s.w.t. dan meminta-minta lagi pertolongan untuk diri
kita, meminta kita diselamat dan dipeliharakan oleh
Allah s.w.t. kerana dalam Al Quran disebut bahawa kita
dikehendaki menolong diri kita dahulu sebelum Tuhan
menolong kita. Nabi pun semasa mengembangkan Islam
terpaksa bertindak menyelamatkan Islam dengan mencari
perlindungan di negara Kristian, berhijrah ke Madinah,
menyatupadukan penganut agama Islam dan membentuk
pasukan pertahanan Islam. Kemenangan di Badar tercapai
apabila pasukan kecil Islam berani menentang musuh yang
lebih ramai. Tuhan memberi pertolongan kepada pasukan
ini. Tetapi di Jabal Uhud tentera Islam tidak
berdisiplin dan mereka dikalahkan oleh musuh. Tuhan
tidak menolong mereka.
9. Yang jelas ialah walaupun orang Islam menjadi
khalifah di dunia, mereka perlu berusaha dan tertib
sebelum Allah s.w.t. menolong menjayakan usaha mereka.
Jika mereka hanya menadah tangan dan berdoa, Tuhan
tidak akan makbulkan doa mereka.
10. Apabila kita dikalahkan oleh Portugis, walaupun
kita terus menganut agama Islam, tetapi kita lemah
semangat, tidak berusaha dan tidak cuba mempelajari
ilmu-ilmu yang memberi kemenangan kepada musuh-musuh
kita. Kerana kita tidak berusaha, maka selama 450
tahun kita dijajah dan dihina. Sudah tentu agama kita
juga, agama Islam, turut terhina.
11. Kita boleh merancang dan menyalahkan kezaliman
penjajah. Tetapi penjajah tidak akan membetulkan diri
mereka untuk menyelamatkan kita. Harapan ini tidak
munasabah. Yang akan mempertahankan kita dan
menyelamatkan agama kita ialah kita sendiri. Jika kita
tidak berusaha tetapi sebaliknya hanya berdoa meminta
pertolongan dari Allah s.w.t., apakah kita akan dapat
menyelamatkan diri kita? Minda kita selepas dijajah
ditutup dengan kepercayaan bahawa orang kulit putih
tetap superior daripada kita. Hingga ke hari ini pun
ramai daripada kita mempunyai minda yang tertutup ini.
12. Kita bincang hari ini berkenaan dengan Melayu
Islam. Sebenarnya Melayu tidak boleh dipisahkan
daripada Islam. Undang-undang menentukan seseorang itu
bukan Melayu melainkan ianya beragama Islam. Samada ia
komited atau tidak, orang Melayu adalah orang Islam.
Ini membezakan Melayu dari orang Islam lain. Orang
Arab pun ada yang beragama Nasrani tetapi masih juga
orang Arab. Di zaman Nabi tidak ada perbezaan antara
pakaian orang Arab yang bukan Islam, termasuk orang
Jahiliah, dengan orang Arab yang telah menerima agama
Islam, melainkan daripada segi menutup aurat.
Sebenarnya tentera Salib telah membunuh ramai Arab
Nasrani kerana mereka juga berjanggut dan berjubah.
Yang jelas ialah pakaian tidak menentukan pegangan
kepada agama Islam. Yang menentukan ialah iman dan
takwa. Tetapi ramai orang Melayu/Islam sanggup
bermusuh-musuhan dengan orang Islam saudara seagama
mereka sambil memegang kuat kepada rupa-bentuk yang
dianggap Islam oleh mereka.
13. Namun minda orang Melayu berkait rapat dengan
minda Islam. Oleh itu untuk membincang minda Melayu
kita perlu tahu ajaran agama Islam yang sebenar.
14. Di sini akan ada mereka yang menyoal apa dianya
yang dikatakan agama Islam yang sebenar.
15. Sebenarnya agama Islam adalah agama yang mudah
dianuti. Apabila seorang tawanan perang hendak dibunuh
oleh seorang pejuang Islam, tawanan perang itu telah
melafazkan dua khalimah syahadah, mengakui Tuhan yang
satu, dan Kerasulan Nabi. Mendengar lafaz tawanan
perang tersebut, Nabi melarang pengikutnya membunuh
musuh yang baru ditawan itu. Pengikut Nabi membantah
kerana katanya lafaz itu tidak ikhlas dan hanya
bertujuan untuk menyelamatkan dirinya daripada dibunuh.
Namun Baginda masih tidak membenarkan orang tawanan itu
dibunuh kerana dengan melafazkan dua kalimah syahadah
Nabi menerima orang itu sebagai orang Islam.
16. Fikirkanlah akan nasib Saidina Hamzah, hero dalam
perang Jabal Uhud, Muawiyah dan panglima-panglima Islam
lain jika mereka dibunuh kerana pernah bermusuh dengan
orang Islam dan Nabi Muhammad.
17. Dari sini kita boleh faham bahawa Islam tidak
menuntut banyak daripada orang Islam. Ibadat-ibadat
yang lain tidak menjadi syarat untuk menjadi Islam.
Memang benar pahala diperolehi daripada pengamalan
ibadat yang wajib dan yang sunat. Tetapi yang
menentukan seseorang itu Islam atau tidak ialah
pengakuan akan Tuhan yang satu dan kerasulan Nabi
Muhammad.
18. Yang menyebabkan orang Islam berpecah ialah kerana
percubaan dibuat oleh pentafsir ajaran Islam untuk
menokok tambah kepada definasi Islam. Maka terdapatlah
banyak perbezaan yang membawa kepada perpecahan di
kalangan umat Islam sehingga mereka berperang kerana
tafsiran guru-guru mereka yang berbagai-bagai,
sedangkan agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah
setelah menerima wahyu dari Allah s.w.t. hanyalah satu.
19. Perpecahan yang terbesar sekali ialah antara Sunni
dan Syiah. Kita tidak perlu penerangan akan asas-asas
perbezaan pendapat dan tafsiran di antara mereka ini.
Yang penting ialah perbezaan di antara orang Islam ini
begitu jauh sehingga mereka berperang sesama mereka.
20. Kemudian di antara orang Sunni dan Syiah terdapat
pula perbezaan tafsiran dan pendapat sehingga masing-
masing berpecah kepada mazhab-mazhab dan tarikat-
tarikat yang kerap bermusuh-musuhan antara satu dengan
yang lain. Dan ada pula orang yang berkepentingan yang
membuat tafsiran mereka sendiri dan mendakwa sesiapa
yang tidak mengikuti ajaran mereka adalah tidak Islam.
21. Sepanjang masa polemik berkenaan dengan apa yang
Islam dan apa yang tidak, apa yang benar apa yang
tidak, siapa yang lebih Islam dan siapa yang kurang
Islam dan siapa pula yang sudah tidak Islam dan sudah
murtad, menggangu pemikiran orang Islam, mengelirukan
mereka, menakutkan mereka akan kemungkinan mereka sudah
tidak Islam dan akan diseksa di neraka di akhirat
kelak. Dalam keadaan ini asas-asas ajaran Islam,
penerimaan Tuhan yang satu dan Muhammad sebagai
rasulnya yang terakhir, persaudaraan Islam,
penghormatan kepada ibu dan bapa dan orang tua,
kesetiaan kepada ulil-amri, amalan-amalan yang mudah
bagi diri sendiri dan amalan untuk masyarakat Islam
dilupa dan diketepikan. Pemikiran sudah tertutup bukan
sahaja kepada ajaran atau pendapat kumpulan lain
berkenaan dengan agama, tetapi juga kepada keadaan dan
perkembangan di sekeliling, baik perkembangan dalam
bidang ilmu atau ideologi atau peningkatan kebolehan
manusia dalam bidang-bidang lain.
22. Orang Islam terlepas sama sekali daripada
penyertaan dalam revolusi industri. Apabila ilmu
matematik, sains dan perubatan dianggap tidak penting
seperti ilmu agama, dan lebih buruk lagi apabila ilmu-
ilmu ini dianggap haram bagi orang Islam, maka
kemampuan orang Islam menyertai revolusi industri
hampir tidak ada.
23. Ada orang yang berpengetahuan agama tetapi tidak
mempunyai ilmu lain membuat dakwaan terhadap hasil
industri sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.
Demikian mesin cetak dianggap haram dan tidak boleh
diguna untuk mencetak Al-Quran, lampu elektrik tidak
boleh diguna untuk masjid, bahkan tidak boleh diguna
sama sekali di sebuah negara Islam. Gambar foto dan
gambar bergerak tidak dibenar dan bermacam-macam lagi
yang kita ketawa sekarang tetapi dipandang sebagai
serius pengharamannya di masa tertentu.
24. Mungkin kita akan berkata pemikiran tertutup ini
adalah perkara zaman kuno. Sekarang pemikiran kita
lebih terbuka dan lebih berkeupayaan membeza di antara
yang haram dan yang halal dalam Islam. Tetapi
sebenarnya di hari ini pun pemikiran yang cetek ini
masih berleluasa. Masih ada yang anggap pembelajaran
bukan khusus berkenaan Islam sebagai sekular, pelajaran
sains merosakkan akidah, bahkan haram bagi orang Islam
mempelajari bahasa Inggeris dan banyak lagi.
25. Pemikiran yang tertutup ini masih ada kerana
beberapa sebab. Mereka yang berpelajaran agama kerap
khuatir kalau-kalau akidah orang Islam akan jadi lemah
atau pengaruh mereka akan terhakis jika ilmu
pengetahuan lain dipelajari. Demikian juga jika orang
Islam terlalu bebas memikir dan menggunakan logik, maka
keyakinan kepada kepercayaan agama akan lemah.
26. Pintu ijtihad kata mereka ini sudah ditutup.
Mungkin ini disebabkan polemik dan pendapat yang
berbeza-beza hasil daripada pemikiran terbuka dan
perbahasan agama yang menyebabkan orang Islam keliru
dengan tafsiran, pendapat dan dakwaan yang berbeza-beza
hasil polemik yang bebas. Tetapi menutup secara
langsung pintu ijtihad bermakna kesalahan yang dibuat
dahulu tidak dapat dibetulkan sehingga kiamat walaupun
jelas ianya salah memandangkan kepada keadaan semasa.
27. Demikian lukisan benda-benda hidup, haiwan dan
manusia diharamkan dahulu. Tetapi hari ini
pengharamannya tidak mungkin kerana teknologi membuat
gambar, bahkan gambar yang bergerak dan bercakap sudah
diguna secara meluas. Sudah tentu penggunaan elektrik,
kereta bermotor dan lain-lain tidak dapat diharamkan
dalam dunia moden ini.
28. Tetapi, sementara kita diberitahu bahawa pintu
ijtihad sudah ditutup ramai daripada ulama-ulama yang
membawa ajaran baru, kerap kali kerana mempunyai
kepentingan tertentu. Dalam bidang politik ada yang
dengan mudah mengharamkan sokongan kepada pihak
tertentu, bahkan mendakwa bahawa sokongan kepada pihak
berkenaan menjadikan penyokong itu kafir sehingga
sembelihan mereka tidak boleh di makan, berimam dengan
kumpulan ini tidak sah, perkahwinan dengan mereka
haram, dan perkahwinan yang telah dilakukan dahulu dan
keluarga yang didirikan adalah keluarga yang tidak
diterima oleh Islam jika perkahwinan tidak dilakukan
semula. Amalan-amalan dan ibadat baru diperkenalkan
yang mana jika tidak diamal akan menjadikan seorang
orang Islam itu tidak Islam, atau kurang Islam dan
berdosa. Semua ini adalah ajaran baru yang dibuat
tanpa ijtihad. Pintu ijtihad yang tertib dan berilmiah
ditutup tetapi tafsiran dan ajaran baru oleh orang yang
cetek pengetahuan dan berkepentingan dibenarkan.
Dengan ini ajaran yang salah dan mengelirukan
berkembang tanpa sekatan.
29. Inilah keadaan yang terdapat dalam masyarakat
Melayu/Islam sekarang. Terpengaruh dengan ajaran-
ajaran pihak tertentu mereka tidak dapat memikir dan
menilai keadaan di sekeliling mereka. Dan keadaan di
sekeliling mereka sudah berubah secara radikal.
Percubaan untuk membentuk semula alam yang wujud 1400
tahun dahulu tidak mungkin. Jika kita berpendapat
bahawa hanya dengan mengembalikan kepada alam 1400
tahun dahulu barulah kita akan menjadi orang Islam yang
sebenar, maka ini bermakna kita percaya Islam hanya
sesuai di zaman dahulu sahaja, tidak sesuai dengan
zaman ini. Pendapat seperti ini menafikan bahawa Islam
adalah untuk semua zaman. Pendapat ini sebenarnya
menghina ajaran Islam.
30. Tetapi yang mempengaruhi orang Melayu/Islam
bukanlah agama semata-mata. Orang Melayu mempunyai
budaya mereka tersendiri iaitu sistem nilai hidup
mereka yang tidak diasaskan kepada agama Islam.
31. Sesuatu yang terdapat pada orang Melayu dahulu dan
masih ada pada mereka sekarang ialah kegemaran kepada
yang mudah. Kerana kegemaran ini negeri tergadai.
Apabila dijanji oleh saudagar Cina kutipan cukai yang
tinggi dan tetap, Raja-Raja Melayu memberi monopoli
cukai dan penjualan candu kepada saudagar-saudagar
Cina. Kemudian datang British yang berjanji dengan
menggunakan nasihat mereka, pentadbiran negeri Melayu
akan lebih tertib dan political pension tetap serta
kemudahan-kemudahan hidup yang luar biasa akan
dinikmati oleh Raja-Raja Melayu. Dengan janji ini
kuasa penuh diberi kepada penjajah untuk mentadbir
mengikut kehendak mereka. Kehidupan memang menjadi
lebih mudah tetapi negeri tergadai.
32. Sikap ini masih berterusan. Adalah lebih mudah
menjual kemudahan perniagaan yang diperolehi daripada
Kerajaan kerana dasar ekonomi baru daripada menggunakan
sendiri kemudahan ini untuk mendapat nikmat
daripadanya.
33. Saya tidak perlu mengulas budaya atau nilai hidup
Melayu satu-persatu di sini. Kita sebenarnya ingin
bincang isu dan proses pembukaan minda Melayu/Islam.
Kita memilih tajuk ini tentulah kerana kita
berpendapat:
* Minda Melayu/Islam tidak terbuka atau kurang terbuka
dan
* Pembukaan minda Melayu/Islam akan menguntungkan kita,
menjadikan kita manusia yang lebih baik, lebih berjaya
mungkin.
34. Huraian terhadap pengaruh agama dan budaya dibuat
kerana kita perlu tahu apa yang hendak kita terapkan
jika atau apabila minda kita dibuka. Ini penting
kerana apabila minda dibuka, yang masuk bukan sahaja
yang baik dan yang boleh menyumbang kepada kebaikan
umat Melayu/ Islam tetapi yang masuk mungkin juga yang
buruk. Kita lihat penerapan yang tidak baik berlaku
sekarang ini di kalangan generasi muda dengan
menggugurkan kesopanan dan ketertiban atas nama
kebebasan. Tentulah kita tidak ingin minda terbuka
yang kita usahakan menjadi Melayu/Islam lebih buruk
dari sekarang.
35. Sebenarnya minda Melayu/Islam sudah pun terbuka.
Tetapi kebanyakan yang memasuki minda terbuka ini
adalah yang tidak membina. Umpamanya "fundamental"
atau asas Islam amat mudah. Apa yang diwajibkan
sedikit sahaja. Untuk menjadi orang yang beragama
Islam apa yang diwajibkan ialah menaik saksi bahawa
tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi
Muhammad adalah pesuruh Allah. Tetapi kita suka
menokok tambah berbagai-bagai syarat sebelum orang yang
sudah pun Islam diterima sebagai orang Islam. Dengan
ini perhubungan antara orang Melayu/Islam dengan orang
Melayu/Islam menjadi tegang dan buruk.
36. Sebaliknya jika pemikiran terbuka membolehkan
Melayu/Islam ini menerima ajaran Islam yang
mengambilkira keadaan yang berubah sepanjang masa, maka
orang Islam tidak akan ketinggalan zaman. Hanya
berkenaan memahami fardhu ain dan fardhu kifayah, sunat
dan wajib pun minda yang terbuka boleh menjadikan Islam
sesuai untuk semua zaman dan tamadun.
37. Tetapi dengan diwajibkan ibadat-ibadat baru
seperti kiamulail, tazkirah, kuliah subuh dan lain-
lain, agama yang mudah yang memberi cukup masa untuk
kerja-kerja lain yang penting menjadi penghalang kepada
penguasaan ilmu dan kemahiran dan kerja-kerja yang
penting bagi kesejahteraan dan keselamatan umat Islam
pun.
38. Demikian juga dengan jihad, di mana yang
diutamakan ialah peperangan. Sebenarnya yang disuruh
ialah penyediaan alatan perang supaya menggerunkan
musuh. Tidak ada gunanya berperang jika tentera Islam
tetap akan kalah kerana tidak ada persediaan dan serba
kekurangan. Tetapi asyik dengan mati syahid serangan
yang merugikan Islam dan orang Islam dilancar.
Sebenarnya yang benar-benar berjihad ialah mereka yang
membiayai, mencipta, mengeluar alatan peperangan yang
boleh menakutkan musuh Islam kerana tentera Islam lebih
kuat dan lebih canggih daripada tentera musuh.
39. Minda yang terbuka tentulah memberi penghargaan
kepada mereka yang mempelajari sains dan teknologi,
memperkayakan masyarakat Islam, mencipta dan
mengeluarkan senjata yang canggih, menyusun bala
tentera yang gagah dan ditakuti oleh musuh kerana
kekuatannya serta mempunyai bekalan yang mencukupi dan
mampu menyelamatkan umat Islam sebagai orang yang
berjihad dijalan Allah. Ingatlah Saidina Osman
berjihad dengan membekalkan unta untuk pasukan tentera
Islam di zaman Nabi. Justeru itu penguasaan ilmu
sains dan teknologi dan perolehan hasil daripada ilmu-
ilmu ini juga adalah jihad, bahkan lebih baik daripada
mereka yang secara buta-tuli menyerang musuh dan
mengundang malapetaka kepada umat Islam yang lain.
40. Minda yang terbuka hendaklah terbuka kepada yang
benar dan nyata. Yang benar dan nyata sekarang ini
ialah kedaifan orang Melayu/Islam dan ketidak mampunya
mereka. Yang benar dan nyata ialah di negara sendiri
kita terpaksa bergantung kepada kaum lain untuk
membangun dan memperkayakan negara kita. Yang benar
dan nyata ialah banyak urusan dalam masyarakat
dirancang dan dilaksanakan oleh kaum lain.
41. Daripada segi hubungan antarabangsa yang benar dan
nyata ialah Melayu/Islam tidak dapat mendirikan negara
yang dapat membantu dan menolong menyelamatkan orang-
orang yang tertindas dan daif, terutama yang terdiri
daripada orang Islam. Dan banyaklah lagi kelemahan
orang Melayu/Islam dalam menangani hubungan
antarabangsa.
42. Minda yang terbuka perlu pertamanya mengenalpasti
dan mengakui kelemahan yang ada pada Melayu/Islam dan
keduanya mengenalpasti apa yang perlu diubah dan diamal
untuk mendapat manfaat dari minda yang terbuka.
Pendekatan dan kemampuan menilai antara yang baik
dengan yang buruk perlu menjadi kebolehan yang ada pada
orang Melayu/Islam. Dalam menilai sifat-sifat yang ada
pada diri sendiri tidak ada tempat bagi perasaan malu
mengenai kelemahan diri dan kesombongan yang tidak
berasas. Demikian juga setelah mengenalpasti kualiti
yang lemah yang ada pada diri sendiri tidak perlu ada
perasaan malu untuk menerima dan mengamal nilai yang
ada pada orang lain, walaupun mereka daripada kaum dan
bangsa yang kita kurang senang dengan mereka.
43. Yang jelas ialah minda yang terbuka ialah suatu
sikap yang baik yang perlu dimiliki oleh orang
Melayu/Islam. Namun minda yang terbuka harus
disampingi oleh keupayaan menilai dan memilih yang
jernih dan membuang yang keruh. Yang benar dan nyata
harus diakui walaupun pedih dan yang benar dan nyata
harus memandu pemikiran yang terbuka. Akhirnya
perubahan perlu diterima jika minda yang terbuka hendak
dihasilkan nikmat, termasuk perubahan budaya bangsa
tanpa menghilangkan identiti bangsa.
44. Jika semua ini difahami dan sedia diterima maka
minda yang terbuka berkemungkinan membawa kebahagiaan
dan kejayaan kepada Melayu/Islam. Mungkin inilah
harapan persidangan ini diadakan. Janganlah jadikan
perkara ini satu polimik yang tidak ada penghabisan.
45. Saya tidak segan-segan menyatakan di sini bahawa
saya ingin melihat minda yang terbuka di kalangan
Melayu/Islam. Justeru itu saya menyokong usaha membuka
minda Melayu/Islam dan akan menentukan Kerajaan akan
menyertai usaha ini dan bekerjasama dengan para
intelek, budayawan dan semua pendukung Melayu/Islam
dalam usaha yang mulia ini.
46. Insyaallah, kita akan mendapat kebaikan daripada
usaha ini.
47. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Persidangan Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu
Islam.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|