Oleh/By : DATO' SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : CYBERVIEW LODGE RESORT, CYBERJAYA
Tarikh/Date : 15-04-2002
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN "SEMINAR ON URBAN
MANAGEMENT GOOD URBAN GOVERNANCE"
Versi :
Penyampai : PM
Saya ucapkan terima kasih kepada pihak penganjur
Institut Sultan Iskandar, UTM dan Setia Haruman, kerana
menjemput saya untuk merasmikan "Seminar On Urban
Management" yang bertemakan "Good Urban Governance"
pada hari ini.
2. Seminar ini adalah penting kerana seperti juga
dengan negara-negara lain yang semakin maju, ramai
penduduk Malaysia akan berhijrah dari kawasan luar
bandar ke bandar dan dari bandar yang kecil ke bandar
yang besar. Penghijrahan ini membawa banyak masalah
sosial, ekonomi dan politik kepada pentadbiran bandar.
Segala kemudahan seperti bekalan air, api, jalan,
perumahan, pelupusan sampah, najis dan berbagai-bagai
lagi bukan sahaja perlu ditangani tetapi diurus secara
sempurna. Penduduk bandar pula biasanya amat
"sofistikated" dan kritikal. Mereka bukan sahaja
menuntut dengan keras apa yang dianggap sebagai hak
bagi mereka tetapi mereka tidak begitu bersedia untuk
membiayai kemudahan ini.
3. Di Malaysia kita telah menyusun pentadbiran
bandar, kecil dan besar, secara teratur. Bandar-bandar
ditadbir oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan Majlis-Majlis
Perbandaran. Ibu Kota dan bandar-bandar utama
mempunyai khidmat tertutup dan diketuai oleh Dato
Bandar. Khidmat tertutup atau "Closed Service" ini
tidak memberi banyak peluang kenaikan pangkat dan ini
sering mengecewakan pegawai dan kakitangan. Ia juga
menyumbang kepada amalan-amalan yang tidak baik.
4. Malaysia sedang pesat membangun dan rakyat
Malaysia ingin menaikkan taraf hidup mereka. Kenaikan
taraf hidup atau "living standard" ini tentulah kerana
pendapatan purata rakyat Malaysia sudah meningkat. Dan
sebenarnya Pendapatan Per Kapita rakyat Malaysia telah
meningkat dari hanya USD 300 pada tahun 1957, tahun
Merdeka dicapai, kepada lebih kurang USD 4000 hari ini.
Dalam pada itu jumlah penduduk juga telah mencapai 24
juta orang daripada 5 juta orang sewaktu merdeka. Ini
bermakna rakyat mampu menanggung pembiayaan kos sara
hidup yang lebih tinggi apabila dibekal dengan barangan
dan khidmat yang lebih baik. Ini bukanlah inflasi
kerana yang kita bayar lebih ialah untuk yang lebih
baik. Inflasi hanya berlaku apabila kita terpaksa
membayar lebih untuk barangan dan khidmat yang sama.
Justeru itu kita semua perlu sanggup menanggung kos
sara hidup yang lebih tinggi untuk taraf hidup yang
lebih tinggi.
5. Daripada jalan yang diturap lebih kurang sahaja
kita sekarang mempunyai jalan ekspres yang lebar dan
lurus, khidmat keretapi komuter elektrik, Sistem
Keretapi Ringan di Kuala Lumpur, bekalan air dan
elektrik yang meliputi seluruh negara, penerbangan
komersil yang menghubungi semua bandar besar,
telekomunikasi yang canggih dan bermacam lagi yang
setaraf atau hampir setaraf dengan infrastruktur yang
terdapat di negara-negara maju. Kita sudah banyak
maju.
6. Semua kemajuan dan kemudahan ini memerlukan
perbelanjaan yang banyak. Perbelanjaan ini dapat
dibuat kerana Kerajaan memudahkan kegiatan perniagaan
dan perusahaan yang mana keuntungan mereka menyumbang
kepada bekalan wang Kerajaan untuk membiayai
pembangunan infrastruktur yang saya sebutkan.
7. Tetapi hanya dengan cukai yang dipungut oleh
Kerajaan tidak mencukupi untuk membiayai kemudahan yang
canggih yang terdapat di negara kita Malaysia. Banyak
daripada kemudahan infrastruktur seperti jalan ekspres,
telekomunikasi, tenaga dan lain-lain dibiayai juga oleh
tol yang dibayar oleh pengguna. Tol yang dibayar tidak
mungkin membiayai pembangunan dan penyelenggaraan
kemudahan-kemudahan.
8. Jika bekalan kemudahan ini hendak dibiayai
daripada hasil tol maka tol yang perlu dibayar mestilah
beberapa kali ganda lebih tinggi. Jika terlalu tinggi
ia menjadi beban kepada pengguna dan tidak ramai mereka
akan mengguna kemudahan ini. Sebab itu Kerajaan
memberi subsidi yang banyak kepada pengguna dengan
membiayai separuh daripada kos pembangunan kemudahan
awam ini. Yang perlu diingat ialah Kerajaan hanya
mampu memberi subsidi jika Kerajaan dapat memungut
hasil yang mencukupi daripada punca lain, setelah
memperuntukkan perbelanjaan untuk projek-projek
Kerajaan yang lain untuk masyarakat.
9. Pendapat bahawa tol dan bayaran-bayaran lain untuk
kemudahan tidak perlu dikutip atau dikurangkan akan
menyebabkan kemudahan ini tidak dapat dibina atau
perbelanjaan pengurusan Kerajaan yang lain dikurangkan
atau cukai-cukai terpaksa dinaikkan.
10. Apa yang saya cuba bayangkan di sini ialah tidak
mungkin kita dapat kemudahan-kemudahan yang canggih dan
hidup lebih mewah tanpa membayar lebih untuk yang lebih
baik. Kita tidak boleh dapat sesuatu dengan percuma.
Kita perlu bayar samada secara langsung atau tidak
langsung untuk meningkatkan taraf hidup kita. Oleh
kerana pendapatan kita sudah meningkat berkali ganda
seperti yang ditunjuk oleh Pendapatan Per Kapita, maka
kita perlu bersedia membayar lebih untuk kemudahan yang
lebih baik yang kita dapati.
11. Hari ini ramai daripada kita sudah berhijrah ke
bandar. Sudah tentu kita ingin taraf hidup kita di
bandar menjadi lebih baik sepanjang masa. Untuk ini
kita perlu sanggup membayar, samada membayar cukai yang
lebih atau tol atau tiket penumpang atau apa-apa
bayaran lain yang semakin lebih.
12. Inflasi berlaku apabila kita mendapat barang atau
khidmat yang sama tetapi kos atau bayaran naik. Tetapi
apabila kita dapat kemudahan yang lebih baik atau yang
dahulu tidak ada tetapi diadakan sekarang dengan kos
yang tinggi, dan dengan itu kita dikenakan bayaran yang
meningkat, ini bukan inflasi. Kadang-kadang kemudahan
ini sebenarnya mengurangkan kos sara hidup kita jika
dihitung dengan teliti dengan mengambilkira semua kos.
Demikian tol mengguna lebuhraya adalah kurang daripada
kos perjalanan melalui jalan lama yang tidak sempurna,
berbengkang-bengkok, lebih jauh, memakan lebih masa dan
"wear and tear" yang dialami oleh kenderaan kita. Di
samping itu kemalangan jalanraya lebih kerap berlaku di
jalan lain berbanding dengan lebuhraya yang bertol.
Jika kos sepenuhnya diambilkira maka tentulah jelas tol
yang dibayar adalah lebih murah. Justeru itu kita
sepatutnya sanggup membayar tol, bahkan tol yang
meningkat supaya kita dapat lebih banyak kemudahan.
13. Maksud saya ialah kita perlu sanggup membayar
lebih untuk kemudahan yang lebih baik. Jika kita
sanggup maka banyaklah lagi khidmat, barangan, dan
kemudahan yang lebih baik yang boleh disediakan untuk
keselesaan hidup kita. Jika kita ingin menjadi negara
dan bangsa yang maju kita perlu menanggung kosnya.
Tidak mungkin kita menikmati kehidupan yang lebih baik
tanpa menambah perbelanjaan kita daripada pendapatan
kita yang juga lebih tinggi.
14. Terdapat badan tertentu yang "specialise" dalam
bidang menegur kenapa keadaan sekeliling tidak baik
tetapi di masa yang sama menolak sebarang kenaikan
bayaran untuk apa sahaja. Apabila mereka ditawar untuk
menyediakan kemudahan-kemudahan ini dengan mengenakan
bayaran seperti yang disyor oleh mereka, tidak pula
mereka sanggup berbuat demikian. Mereka lebih bersikap
sebagai "free-loaders" yang berharap orang lain
membelanja supaya mereka mendapat nikmat. Ini tidak
mungkin.
15. Penduduk bandar perlu terima hakikat bahawa kos
hidup di bandar tetap lebih tinggi dari luar bandar dan
sebahagian daripada kos ini mestilah ditanggung oleh
mereka. Semakin banyak dan semakin baik kemudahan yang
dinikmati oleh penduduk bandar semakin tinggilah kos
kehidupan di bandar. Janganlah kita lupa bahawa
pendapatan kita, terutama penduduk bandar, sudah pun
meningkat. Sebahagian daripada pendapatan yang
bertambah ini mestilah diguna untuk membayar kos
khidmat yang lebih baik.
16. Pentadbiran bandar sekarang sudah menjadi amat
kompleks dan memerlukan ilmu pengetahuan dan kecekapan
pengurusan yang tinggi. Lebih banyak kemudahan yang
diadakan di bandar lebih rumitlah pengurusan
pentadbiran dan kosnya. Penduduk bandar dapat
mengurang kerumitan dan kos dengan memberi kerjasama
kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan berdisplin dalam
mengguna kemudahan awam.
17. Pertumbuhan bandar perlu dikawal supaya ia tidak
akan menjadi "slum" kerana terlalu padat. Pembangunan
yang diadakan hendaklah teratur dan tertib, dibekalkan
dengan kemudahan asas seperti elektrik dan air, jalan,
lampu, pembahagian kawasan untuk aktiviti tertentu,
pelupusan sampah dan najis serta bermacam-macam lagi
kemudahan. Kita tahu apabila sesuatu kawasan sudah
menjadi "slum" tidak semestinya kawasan setinggan,
membersih dan memperbaikinya serta memulih keadaan
amatlah rumit dan melibatkan kos yang amat tinggi. Di
masa yang sama penduduk akan terganggu dan ini tidak
disukai oleh sesiapa. Mungkin ada yang akan menentang
dan bertindak ganas. Semua ini menjadikan pentadbiran
bandar amat rumit.
18. Sebab itu dari awal lagi kawalan ketat perlu
diadakan sebelum pembangunan dibuat. Pihak Berkuasa
Tempatan bertanggungjawab untuk menentukan pembangunan
bandar baru dan pemulihan kawasan dan bandar lama
diurus dengan baik. Kepentingan penduduk bandar perlu
diambilkira sementara penduduk pula perlu memberi
kerjasama kepada Pihak Berkuasa Tempatan. Hanya dengan
kerjasama semua pihak barulah kita dapat mengurus
pentadbiran bandar-bandar dengan baik dan berkesan.
19. Seminar ini adalah tempatnya untuk membincang
berkenaan pentadbiran bandar yang ideal dan
mengenalpasti masalah dan cara menangani masalah-
masalah ini. Saya harap seminar ini akan berjaya
memperbaiki urusan pentadbiran bandar-bandar kita oleh
Pihak Berkuasa Tempatan dengan kerjasama Kerajaan
Negeri dan Kerajaan Pusat.
20. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan
"Seminar on Urban Management".
Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|