Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ALOR SETAR, KEDAH
Tarikh/Date : 26-04-2002
Tajuk/Title : MAJLIS PENUTUP MINGGU SAHAM
AMANAH MALAYSIA 2002
Versi :
Penyampai : PM
Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan
limpah kurnia dan izinNya, kita dapat sama-sama
berkumpul pada pagi ini dalam majlis penutup Minggu
Saham Amanah Malaysia 2002.
2. Saya mengucapkan terima kasih kepada Permodalan
Nasional Berhad (PNB) dan Persekutuan Pengurus-
Pengurus Saham Amanah Malaysia (FMUTM) kerana sudi
menjemput saya untuk menyempurnakan majlis penutup
Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2002.
3. Minggu Saham Amanah Malaysia ini sangat besar
maknanya kerana ia dapat mendedah dan menerang kepada
rakyat tentang cara-cara melabur di Malaysia di
samping mendidik mereka tentang konsep risiko dan
pulangan dalam saham-saham amanah.
4. Kita boleh melabur terus dalam pasar saham
dengan membeli saham-saham syarikat-syarikat
tertentu, terutama yang besar dan kukuh, syarikat
blue chip. Ternampak pelaburan seperti ini selamat
dan akan memberi pulangan yang baik. Tetapi kadang
kala syarikat blue chip juga mungkin mengalami
kerugian. Kita bukan sahaja tidak akan dapat
dividen, tetapi nilai saham kita juga akan jatuh.
Jika kita telah pinjam dari bank untuk membeli saham
maka nilai saham yang digadai akan menjadi lebih
rendah dari jumlah hutang bank. Dalam keadaan itu
bank akan tuntut tambah cagaran dan jika kita tidak
dapat kita mungkin menghadapi tindakan muflis.
5. Sebaliknya jika kita agih pelaburan kita kedalam
banyak syarikat, kerugian dan susut nilai saham satu
syarikat mungkin di imbangi dengan syarikat lain yang
untung. Lebih banyak syarikat yang kita labur di
dalamnya, lebih selamatlah kita apabila mana-mana
syarikat berprestasi tidak baik.
6. Tetapi untuk melabur dalam banyak syarikat
memerlukan modal yang banyak. Yang berpendapatan
rendah mungkin tidak ada modal sendiri, dan mungkin
tidak dapat meminjam dari bank.
7. Menyedari hakikat ini peniaga saham mencipta
sistem Unit Trust atau Saham Amanah. Pelabur melabur
dalam Saham Amanah dan wang yang dikumpul oleh Saham
Amanah dilabur dalam sebilangan yang besar dari
syarikat-syarikat yang dianggap berpotensi memberi
pulangan yang baik. Jika mana-mana syarikat
mengalami kerugian, kesannya dikurangkan oleh banyak
syarikat-syarikat lain yang berprestasi baik. Dengan
itu pemilik saham dalam Saham Amanah tidak akan
merasai kerugian dari satu syarikat di antara
berpuluh syarikat yang berprestasi baik. Saham
Amanah boleh menerima pelaburan yang kecil yang akan
menikmati kepakaran pengurusan pelaburan yang dibuat
oleh pengurusan Saham Amanah.
8. Walaupun melabur Saham Amanah risiko pelaburan
dapat dikurangkan dan dividen biasanya lebih tinggi
dari simpanan tetap di bank, tetapi apabila ekonomi
negara merosot semua syarikat mungkin mengalami
kerugian dan harga saham semuanya turun. Inilah yang
berlaku baru-baru ini apabila ekonomi negara meleset.
Akibatnya ialah pelaburan melalui Saham Amanah juga
boleh mengalami kerugian, kerugian yang teruk.
Pelabur perlu terima hakikat bahawa melabur seperti
juga dengan perniagaan-perniagaan lain mungkin untung
dan mungkin rugi. Sikap hanya sanggup menerima
untung tetapi menganggap kerugian sebagai perkara
yang tidak boleh berlaku dan tidak boleh diterima
adalah tidak realistik. Yang biasa tidak boleh rugi
hanyalah memakan bunga dari pemberian hutang dan itu
adalah haram. Keuntungan yang tetap adalah sama
dengan bunga dan dianggap haram bagi orang Islam.
9. Menyimpan wang tanpa dilabur tetap akan
merugikan. Ini adalah oleh kerana inflasi yang
berlaku sepanjang masa akan menyusutkan nilai wang
yang disimpan. Barang yang boleh dibeli, hari ini
dengan sekian harga akan memerlukan lebih banyak wang
untuk membeli di kemudian hari. Inflasi di Malaysia
tidaklah begitu tinggi, jadi nilai wang tidak susut
seperti di negara lain di mana inflasi sebanyak 100%
boleh berlaku. Namun demikian adalah lebih baik jika
wang dilabur dan tidak disimpan begitu sahaja. Wang
yang disimpan dengan Tabung Haji atau dicarum dengan
KWSP juga dilabur supaya nilai tidak susut kerana
inflasi. Inilah cara-cara kita mengurus wang.
10. Kita hidup dalam dunia yang semakin canggih di
mana wang diperlukan untuk segala-gala kegiatan hidup
kita. Wang bukan sahaja satu kemudahan untuk diguna
semasa membeli belah. Wang mesti dianggap sebagai
modal untuk dilabur supaya akan bertambah. Kecekapan
melabur perlu ada kepada tiap seorang daripada kita.
11. Oleh kerana kita tahu wang boleh dilabur untuk
menambah jumlah yang ada pada kita, akan ada orang-
orang tertentu yang akan cuba memerangkap kita dengan
cara-cara melabur yang kononnya akan memberi pulangan
luar biasa. Ada yang menjamin pulangan 100% atau
lebih. Sebenarnya tidak ada pelaburan yang boleh
memberi pulangan yang begitu tinggi. Jika ada
sesiapa yang menjamin pulangan yang begitu tinggi
percayalah tujuan mereka ialah untuk menipu.
12. Sesuatu yang sering berlaku ialah pelaburan
piramid di mana dengan pelaburan yang sedikit pelabur
akan mendapat pulangan yang berkali ganda. Ini
dibuat dengan mengguna wang dari pelabur-pelabur baru
yang ramai untuk membayar kepada pelabur lama.
Selagi ada pelabur baru bayaran ini boleh dibuat.
Tetapi tentu akan sampai masanya yang pelabur baru
akan berkurangan atau tidak ada lagi dan pelabur lama
tidak lagi akan menerima apa-apa pulangan. Pada masa
itu ramai yang akan kehilangan wang yang dilabur.
Jelas sekali pelaburan seperti ini tidak sihat dan
merbahaya.
13. Adalah lebih sihat melabur dalam saham amanah
yang memberi pulangan yang berpatutan dengan risiko
yang tidak terlalu tinggi daripada melabur dalam skim-
skim cepat kaya yang tetap akan merugikan. Biarlah
lambat kaya asalkan selamat.
14. Penubuhan PNB adalah hasil daripada perancangan
yang bijak, teliti dan berpandangan jauh Kerajaan
untuk membangunkan ekonomi Bumiputera yang masih
ketinggalan berbanding bukan Bumiputera. Kemudian
tabung amanah PNB diperluaskan dan turut dibuka
kepada bukan bumiputera. Hasil daripada itu juga,
PNB telah berjaya menguasai syarikat-syarikat
gergasi asing seperti Kumpulan Guthrie, Golden Hope,
MMC dan Sime Darby. Namun pengurusan syarikat-
syarikat ini diserah kepada pengurus yang profesional
iaitu yang terlatih dan berpengetahuan.
15. Ramailah pengurus bumiputra yang berpeluang
mengurus syarikat-syarikat besar dan ramai lagi yang
dapat dilatih dan diberi pengalaman mengurus dalam
syarikat-syarikat ini. Semua ini menyumbang kepada
pengujudan jumlah bumiputra yang berkebolehan dalam
bidang pengurusan dan perniagaan.
16. PNB juga telah memperlihatkan kemampuannya untuk
memberi pulangan yang baik dan ini terbukti dengan
pulangan yang diberikan kepada pemegang-pemegang unit
saham-saham amanah yang diuruskannya adalah melebihi
35 bilion Ringgit Malaysia. Sehingga kini, PNB
mengurus lebih 39 bilion unit saham-saham Kumpulan
PNB daripada lebih lapan juta akaun milik rakyat
Malaysia.
17. Menerusi PNB, Kerajaan berjaya mengeluarkan
saham-saham amanah berharga tetap dan berharga
berubah-ubah untuk memenuhi keperluan rakyat di
negara ini. Sesungguhnya, PNB adalah satu ciptaan
unik. Malah ramai kepimpinan negara asing datang
untuk mempelajari cara bagaimana PNB mengurus dan
mentadbir kewangan dan pelaburan daripada tabungan
yang digemblengkan daripada rakyat. Kita
sepatutnya bersyukur kepada Tuhan atas nikmat yang
dilimpahiNya selama ini. Kita juga patut bersyukur
kerana negara kita dapat menghasilkan organisasi yang
unik seperti PNB seiring dengan persekitaran ekonomi
dan politik yang stabil.
18. Pada hari ini, nilai yang dilaburkan dalam saham
amanah di Malaysia menunjukkan peningkatan yang
menggalakkan. Sebagai contoh, saiz dana yang
diluluskan dalam industri ini berkembang daripada
55.5 bilion unit pada 31 Disember, 1997, kepada 110
bilion unit pada 31 Disember tahun lalu. Ini
menjadikan nilai aset bersih industri saham amanah
pada 31 Disember tahun lalu bernilai 47.3 bilion
Ringgit Malaysia atau bersamaan 10.2 peratus daripada
permodalan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).
19. Melalui saham amanah, golongan rakyat yang
berpendapatan sederhana dan rendah berpeluang untuk
turut serta. Sudah pasti pelaburan mereka ini
biarpun secara berdikit-dikit tetapi menyumbang
kepada perkembangan pasaran saham amanah. Malah
secara tidak langsung golongan ini juga adalah
pemilik saham-saham syarikat yang diniagakan di BSKL.
20. Masyarakat Bumiputera yang suatu ketika dulu
hidup daif dan miskin, kini mampu hidup lebih selesa
dengan adanya usaha-usaha Kerajaan untuk melibatkan
Bumiputera secara aktif dalam aktiviti ekonomi negara
secara tidak langsung melalui pemilikan saham.
21. Pendekatan yang diambil oleh Kerajaan bukannya
mudah dan bukannya dicapai dalam sekelip mata. Ia
melalui suatu proses perancangan dan usaha jangka
panjang bersepadu dan menyeluruh yang mana kini
hasilnya cukup membanggakan. Sesungguhnya kejayaan
kita ini telah menarik perhatian ramai pemimpin
negara asing untuk mencontohi pendekatan unik yang
kita pelopori dan laksanakan ini.
22. Pada hemat saya, usaha PNB menganjurkan MSAM ini
adalah satu perancangan yang bijak dan berpandangan
jauh yang mana bukan sahaja bertujuan untuk mendidik
orang ramai tentang pelaburan dan hubungkait antara
risiko dan pulangan tetapi juga cara-cara mengurus
wang dengan bijak.
23. Saya difahamkan antara program yang dikendalikan
bersempena dengan Minggu Saham Amanah Malaysia 2002
ini adalah Seminar Perancangan Kewangan Asas di 21
lokasi seluruh negara termasuklah di bandar-bandar
kecil di Sabah dan Sarawak. Saya juga dimaklumkan
bahawa sambutan daripada rakyat Malaysia terhadap
seminar ini amat menggalakkan. Oleh itu, usaha PNB
memberi pemahaman tentang kepentingan merancang
kewangan dengan bijak untuk diri dan keluarga
sepanjang penganjuran MSAM 2002 ini amatlah tepat
pada masanya dan Kerajaan berharap ianya dapat
diteruskan dan ditingkatkan bukan sahaja oleh PNB
tetapi juga oleh semua pihak yang terlibat dalam
industri ini.
25. Saya berharap PNB akan terus menganjurkan Minggu
Saham Amanah Malaysia setiap tahun dan tidak hanya
tertumpu di bandar-bandar tetapi juga di kawasan luar
bandar.
26. Dengan ini, dan dengan lafaz
Bismillahirahmanirrahim, saya dengan rasminya menutup
Minggu Saham Amanah Malaysia 2002.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|