Oleh/By : YAB DATO SERI DR MAHATHIR
BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : STADIUM MELAWATI, SHAH ALAM
Tarikh/Date : 04-05-2002
Tajuk/Title : MAJLIS PERHIMPUNAN HARI PEKERJA
Versi :
Penyampai : PM
Saya ucapkan tahniah dan Selamat Hari Pekerja
kepada semua warga pekerja negara pada hari ini.
Alhamdulillah, walaupun prestasi ekonomi dunia kurang
memberangsangkan ekoran kelembapan ekonomi Amerika
Syarikat (AS) dan Jepun sejak awal tahun lepas, dan di
mana-mana sahaja angka pengangguran begitu tinggi,
tetapi di Malaysia pemberhentian pekerja tidaklah
begitu ketara dan menjadi masalah sosial yang besar.
Bahawa di negara kita masih terdapat ramai pekerja
asing yang masih bekerja bermakna peluang bekerja masih
ada jika kita sanggup bekerja dalam bidang-bidang yang
sekarang dipenuhi oleh pekerja asing. Sebenarnya
jumlah peluang kerja melebihi jumlah mereka yang
diberhentikan kerja. Ini adalah oleh kerana ramai yang
memilih jenis kerja dan tempat bekerja.
2. Kerajaan pula menyediakan peluang latihan dalam
kemahiran -kemahiran yang diperlukan supaya yang
menganggur dapat memperolehi jenis kemahiran yang
diperlukan dalam pasaran kerja.
3. Bagi lulusan dari institusi pelajaran tinggi yang
tidak dapat pekerjaan atau kehilangan pekerjaan,
Kerajaan memberi peluang untuk disangkut kepada jabatan-
jabatan Kerajaan yang boleh memberi pengalaman dalam
bidang tertentu kepada mereka dan mereka diberi elaun.
Ramai juga dari mereka yang diambil bekerja semula
sebelum pun tamat sangkutan atau latihan mereka. Bagi
yang sanggup menghadapi cabaran hidup dan sanggup
menukar jurusan kerja tidak begitu sukar bagi mereka
mendapat pekerjaan. Demikian juga mereka yang sanggup
pindah ke tempat di mana peluang kerja ada. Yang
terlalu memilih pekerjaan memang sukar bagi mereka
mendapat kerja walaupun pada masa makmur dan jumlah
jawatan banyak.
4. Seperkara yang amat menghairankan ialah 94 peratus
daripada mereka yang menganggur antara lulusan
pelajaran tinggi terdiri dari orang Melayu. Apakah
sebabnya? Di antara yang ramai sekali yang menganggur
adalah mereka yang lulus dalam bidang sastera dan
pelajaran agama. Kita tidak nafi bahawa mata pelajaran
ini penting tetapi hakikatnya ialah peluang pekerjaan
bagi mereka yang mengambil bidang ini tidak begitu
banyak sedangkan mereka begitu ramai. Bagi lulusan
sastera dan agama peluang hanyalah untuk menjadi guru.
Walaupun dalam Kerajaan jumlah guru adalah yang
terbesar, iaitu lebih 300,000 dari jumlah kakitangan
Kerajaan seramai 1 juta, namun jawatan-jawatan ini
sudah dipenuhi dan kekosongan tiap tahun adalah kurang
daripada jumlah lulusan sastera dan agama. Jawatan-
jawatan lain yang boleh dipenuhi oleh lulusan
sastera/agama juga tidak banyak kekosongan tiap tahun.
5. Ramai daripada mereka yang memilih untuk memasuki
bidang-bidang ini berpendapat bahawa inilah jurusan
yang diminati oleh mereka. Malangnya apabila lulus
maka perkara utama ialah mendapat pekerjaan untuk sara
hidup. Apabila tidak ada pekerjaan untuk mereka maka
mereka amat kecewa. Ada yang menyalahkan Kerajaan dan
menyatakan kemarahan mereka dengan cara-cara tertentu.
Antara mereka yang kecewa ini adalah yang pergi ke luar
negeri untuk belajar dalam jurusan ini di institusi-
institusi yang tidak di iktiraf oleh Kerajaan atau
swasta.
6. Seperkara lagi yang menyebabkan ramai Melayu tidak
mendapat pekerjaan ialah kerana tidak menguasai bahasa
Inggeris. Pencinta Bahasa Kebangsaan mungkin marah
dengan perkara ini, tetapi jenis pekerjaan yang
diwujudkan oleh industri tertentu, terutama yang
dimiliki oleh orang asing, memerlukan kefasihan bahasa
Inggeris. Di zaman Teknologi Maklumat ini tanpa
penguasaan Bahasa Inggeris ilmu yang berkaitan dan
kerja sukar di kuasai. Tidak mungkin semua ilmu dan
maklumat yang terdapat dalam Komputer, terutamanya
Internet, dapat di terjemah kepada Bahasa
Kebangsaan/Bahasa Melayu. Arahan tunjuk ajar dan
latihan dalam kebanyakan industri terpaksa dibuat dalam
Bahasa Inggeris. Sebenarnya Bahasa Inggeris sudah
menjadi begitu penting dalam industri dan dagangan
sehingga orang Perancis, orang China, orang Jepun,
orang Indonesia dan semua orang sedang berusaha
menguasai Bahasa Inggeris.
7. Mempelajari Bahasa Inggeris bukan bermakna menolak
bahasa sendiri. Di zaman ini penguasaan satu bahasa
sahaja tidak mencukupi. Tiap seorang mesti menguasai
dua bahasa sekurang-kurangnya. Mungkin satu hari
bahasa kita akan dipelajari oleh orang lain tetapi jika
kita adalah orang yang tidak berjaya dan mundur tidak
akan ada sesiapa yang akan mempelajari bahasa kita.
Jika benarlah kita ingin melihat orang lain belajar dan
mengguna bahasa kita, kita perlu tentukan bangsa kita
adalah bangsa yang berjaya yang mempunyai daya beli
yang tinggi. Untuk menjadi bangsa yang berjaya
penguasaan bahasa Inggeris serta ilmu dan kecekapan
adalah penting. Hakikatnya ialah kita perlu berjaya
dahulu sebelum bahasa kita dipelajari oleh orang lain.
Mereka yang menjadi pencinta dan nasionalis bahasa juga
perlu bermula dengan menguasai bahasa Inggeris dan
bermacam ilmu dan kemahiran. Tanpa menguasai bahasa
Inggeris tidak mungkin kita pelajari ilmu-ilmu yang
diterokai oleh orang Inggeris dan tidak mungkin kita
pinjam bahasa Inggeris untuk menjadi sebahagian dari
bahasa kita.
8. Hari ini masalahnya ialah tanpa penguasaan bahasa
Inggeris nilai kita di pasaran pekerjaan adalah rendah.
Dalam keadaan jumlah kekosongan kerja tidak banyak,
yang tidak menguasai bahasa Inggeris lebih mungkin
menganggur. Ramai Melayu lulusan institusi pelajaran
tinggi menganggur kerana memilih jurusan yang tidak
bernilai dan tidak mahir dengan bahasa Inggeris.
Kerajaan amat kecewa mendapat tahu bahawa 94 peratus
daripada lulusan IPT yang menganggur terdiri daripada
orang Melayu. Kita tidak boleh adakan peluang kerja
semata-mata kerana ramai yang lulus dalam bidang yang
tidak penting.
9. Tahun ini kita akan menerima masuk ramai penuntut
ke IPTA dan IPTS. Saya harap ramai yang akan pilih
jurusan sains dan teknologi dan juga berbagai-bagai
kemahiran yang boleh menjamin peluang kerja kemudian.
Juga penguasaan bahasa Inggeris perlu di kejar
bersungguh-sungguh tanpa membelakangkan bahasa
Kebangsaan. Jarang sekali seseorang di lahir yang
boleh menguasai hanya satu bahasa sahaja. Jika kita
bertekun bersungguh-sungguh, jika kita ulangi sesuatu
berkali-kali tidak dapat kita akan menguasai apa-apa
ilmu atau bahasa.
10. Kita sekarang berada dalam zaman teknologi
maklumat atau Information Teknology. Revolusi ini
samalah dengan Revolusi Industri yang berlaku 200 tahun
dahulu. Revolusi Industri menjadikan tukangan tangan
atau handicraft tidak lagi berdaya maju. Ini adalah
oleh kerana kualiti barangan yang dibuat dengan tangan
walaupun baik tetapi tidak sama, walaupun dibuat oleh
orang yang sama. Lagi pun dengan bertambahnya penduduk
di dunia barangan tangan yang dibuat satu per satu
tidak dapat memenuhi permintaan. Sebaliknya mesin
dapat mengeluar lebih banyak, lebih cepat dan
berkualiti yang sama. Apabila cara-cara "mass
production" di perkenalkan maka keluaran barangan
menjadi lebih murah sehingga yang berpendapatan rendah
juga mampu membelinya.
11. Tetapi hari ini komputer dapat memudahkan lagi
daya pengeluaran barangan dan khidmat. Demikianlah
keajaiban komputer sehingga barangan boleh dikeluar
tanpa pekerja selain dari yang bertanggungjawab
menyelia mesin-mesin automasi dan robot. Untuk
komputer dijalankan ia perlu diprogram. Kebolehan
menyediakan program menjadi penting, demikian juga
kebolehan merekabentuk micro processor atau microchip.
12. Kita belum pun dapat beralih dari kerja-kerja
tangan kepada perindustrian bermesin tetapi sekarang
kita perlu menguasai kecekapan teknologi maklumat pula.
Ini amatlah mencabar. Namun demikian kita tidak boleh
ketinggalan dalam revolusi maklumat seperti kita
ketinggalan dalam revolusi industri dahulu. Oleh itu
kita perlu menyertai revolusi industri dari sekarang
supaya kita tidak akan dipaksa mengejar dari jauh di
belakang dan tidak dapat catch-up dengan bangsa-bangsa
lain yang sudah lama maju.
13. Seperti dengan ilmu-ilmu lain dan kemahiran jika
kita berusaha bersungguh-sungguh dan mengulangi sesuatu
ilmu dan kecekapan berkali-kali, Insyaallah kita akan
dapat mengusai kegunaan komputer dan segala-gala
kecekapan dan keajaiban yang datang bersama dengannya.
14. Jurutera komputer dan pakar kita perlu tahu secara
mendalam berkenaan teknologi merekabentuk dan membuat
komputer sementara rakyat biasa perlu tahu bagaimana
mengguna komputer dalam urusan harian. Pengguna khas
perlu belajar cara-cara mengguna komputer dalam kerja-
kerja tertentu, terutama bagaimana komputer diguna
untuk menguasai perjalanan kilang, stesen janakuasa dan
khidmat-khidmat lain untuk membekal kita dengan air,
membayar cukai dan tol dan lain-lain lagi. Nampaknya
apa sahaja urusan kerja boleh dipermudah dan
dipercepatkan dengan mengguna komputer.
15. Kita sering dengar berkenaan Digital Divide atau
Pemisahan Digital. Dalam dunia yang mengguna komputer
untuk semua urusan hidup terdapat juga kelompok-
kelompok yang tidak dapat menggunanya kerana tidak
punyai bekalan elektrik, telefon dan tidak celik
komputer. Perkara ini sedang ditangani oleh Kerajaan
dan juga masyarakat yang prihatin. Sementara Kerajaan
sedang berusaha untuk membekal elektrik dan telefon dan
juga pengajaran komputer di sekolah, pengusaha,
dermawan dan pemimpin-pemimpin masyarakat telah menubuh
pusat-pusat komputer untuk orang ramai. Insyaallah
Digital Divide akan dapat diatasi tidak lama lagi di
Malaysia.
16. Apa yang jelas ialah negara dan rakyat terpaksa
menghadapi pelbagai masalah sepanjang masa. Tetapi
Alhamdulillah kita telah berjaya mengatasi hampir semua
masalah ini. Kita berjaya mengambilalih pemerintahan
negara dari penjajah dan menguasai kecekapan mentadbir
dan membangun negara kita. Kita telah berjaya
menangani masalah perkauman dan sedikit sebanyak jurang
perbezaan dari segi kemajuan ekonomi antara kaum telah
kita kurangkan. Kita telah berjaya mengalahkan gerila
dan pengganas di hutan dan menebus balik semua wilayah
negara. Kita juga berjaya menangani masalah pengganas
yang terdiri daripada orang yang selewengkan agama
Islam untuk kepentingan politik mereka.
17. Kita telah dapat membangunkan negara sehingga ia
menjadi negara membangun yang termaju di dunia. Kita
berjaya memulih ekonomi dan kewangan kita setelah
diserang oleh penyangak matawang. Kita telah berjaya
mengamal demokrasi tanpa huru-hara. Kita berjaya
mengalih ekonomi daripada pertanian kepada Industri.
18. Sesungguhnya banyaklah kejayaan negara kita
Malaysia. Banyak faktor yang menyumbang kepada
kejayaan-kejayaan ini. Antaranya dan yang agak
terpenting ialah sikap pekerja dan majikan yang tidak
terlalu terpengaruh dengan cara-cara penyelesaian
masalah yang sering di lihat di negara-negara Barat.
19. Saya bukan anti Barat tetapi kita harus tahu Barat
bukan pemilik tunggal kebijaksanaan dan kepintaran
berfikir. Dalam bidang labour relations seperti juga
dengan sengketa lain. Barat percaya kepada test of
strength atau pertarungan kekuatan untuk menyelesaikan
masalah. Jika ada tuntutan yang dibuat oleh pekerja
yang majikan tidak dapat mempersetujui dengannya maka
mogok dan lock-out di guna untuk menguji siapa lebih
bertahan. Akibatnya perniagaan dan perusahaan rosak
dan kos meningkat sehingga barangan keluaran meningkat
harga dan tidak dapat bersaing dalam pasaran dunia.
Hubungan di antara majikan dan pekerja pula menjadi
lebih buruk sehingga produktiviti menurun dan kerjasama
tidak dapat diadakan di antara majikan dan pekerja.
Ekonomi negara turut rosak dan tidak dapat tumbuh.
Inflasi meningkat dengan tinggi menjadikan upah yang
bertambah kepada pekerja tidak dapat membeli barangan
dan khidmat lebih dari sebelum mogok. Kerajaan pula
tidak dapat pungut cukai yang bertambah untuk
mengadakan kemudahan-kemudahan awam yang diperlukan
oleh rakyat terutama mereka yang miskin. Pelabur dalam
negeri dan luar negeri hilang minat untuk melabur.
Akhirnya ekonomi negara merosot dan pekerja akan
menganggur. Ini sebenarnya telah berlaku di beberapa
buah negara maju di Eropah. Di A.S walaupun kebebasan
bermogok diberi kepada Kesatuan Sekerja tetapi ramai
pekerja yang tidak menjadi ahli kerana mereka tidak
lagi percaya mogok boleh menolong mereka. Sebab itu
ekonomi A.S. adalah lebih baik dan lebih mudah di pulih
dibanding dengan ekonomi negara-negara Eropah. Namun
Kesatuan-Kesatuan Sekerja mereka dan aktivis mereka
dalam NGO sering menuduh negara kita tidak memberi
kebebasan kepada pekerja untuk menubuh Kesatuan
Sekerja. Apakah niat mereka? Kebaikan pekerja atau
kemusnahan ekonomi kita kerana tidak dapat bersaing,
keengganan pelabur melabur dan pengurangan peluang
kerja yang kerananya akan menambah pengangguran.
20. Alhamdulillah di Malaysia mogok tidak diadakan
dengan sewenang-wenangnya. Kesatuan Sekerja dan
Majikan lebih sanggup berunding dan Mahkamah Industri
dapat campurtangan jika rundingan tidak berhasil.
Industrial peace adalah satu-satunya faktor yang
menyebabkan negara lebih mudah maju. Lagipun Kesatuan
Sekerja tidak dijadikan alat politik parti yang ingin
mengguna senjata mogok untuk menjayakan politik mereka.
21. Kita mungkin dianggap kurang demokratik dan kurang
bebas tetapi kita lebih selamat dan kita lebih maju.
Apakah gunanya kita lebih bebas bertindak sesuka hati
tetapi kita tidak bebas dari berbagai-bagai gejala
sosial yang menimpa kehidupan kita.
22. Kita tidak perlu pohon maaf dari sesiapa kerana
amalan-amalan kita di Malaysia. Cara mereka tidak
semestinya lebih baik dan cara kita tidak semestinya
lebih buruk. Yang penting bukan ideologi atau
persepsi. Yang penting ialah kesejahteraan kehidupan
kita. Dan semua akui bahawa kehidupan kita di Malaysia
amat baik sekali. Jika tidak baik kenapakah begitu
ramai yang bermati-matian untuk seludup diri masuk ke
Malaysia.
23. Kita jangan terbawa-bawa dengan cara, pendekatan
dan ideologi orang lain. Percayalah apa yang di cipta
oleh mereka adalah untuk kepentingan mereka. Lihatlah
ideologi sosialis dan komunis yang kononnya membolehkan
negara pengamal dianggap syurga di dunia. Dengan
slogan segala-galanya masih sama antara manusia dengan
manusia, mereka menjual ideologi ini dan rakyat mereka
dan negara-negara lain menerima ideologi persamaan ini.
Tetapi hari ini mereka sudah menggugurkan ideologi
ciptaan mereka ini. Malangnya negara-negara yang lain
yang menerima dan mengamal ideologi ini sudah terlalu
rosak untuk di pulih.
24. Jika kita fikir dengan mendalam akan ideologi
persamaan ini, kita akan lihat bagaimana ianya tidak
mungkin di laksana dan tidak mungkin berjaya.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|