Oleh/By : DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUTRAJAYA
Tarikh/Date : 30-05-2002
Tajuk/Title : UCAPAN PEMBUKAAN SESI PERTAMA
MAJLIS DIALOG BELANJAWAN 2003
Versi :
Penyampai : PM
1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima
kasih di atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan dalam
Majlis Dialog Belanjawan 2003 pada pagi ini. Majlis
ini merupakan satu acara tahunan yang penting bagi
Kementerian Kewangan untuk mendapatkan pandangan dan
saranan dalam usaha menangani pelbagai isu dan cabaran
ekonomi semasa. Semua input yang dikemukakan dalam
Majlis ini akan dikaji dan di mana sesuai, akan
dijadikan asas untuk merangka strategi dan langkah-
langkah Belanjawan 2003 yang akan dibentangkan pada
bulan September nanti. Saya ingin mengambil kesempatan
ini untuk merakamkan penghargaan kepada semua yang
telah mengemukakan memorandum.
2. Seperti pada tahun lalu, Dialog ini akan diadakan
dalam tiga sesi yang melibatkan perbincangan mengenai
perkembangan dan isu-isu makroekonomi negara;
perbincangan dengan wakil sektor ekonomi utama dan
industri; serta perbincangan dengan pelbagai
pertubuhan sosial mengenai isu dan agenda
kemasyarakatan. Tahun ini, saya akan mengadakan satu
lagi sesi khusus dengan Menteri-menteri Besar, Ketua-
ketua Menteri, Setiausaha-setiausaha Politik dan
Penyokong-penyokong Kerajaan dalam Parlimen. Sesi
Keempat ini juga merupakan sesi rundingan dengan Ketua-
ketua Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Yang Berhormat
untuk mendapatkan input bagi penggubalan dasar dan
strategi Kerajaan dalam Belanjawan 2003.
3. Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia terdedah
kepada perkembangan ekonomi dunia. Walaupun ekonomi
dunia mengalami kelembapan pada tahun lepas, negara
masih berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang
positif iaitu sebanyak 0.4%, berbanding dengan
beberapa negara di rantau ini yang telah mengalami
pertumbuhan negatif. Bagi suku pertama tahun ini,
pertumbuhan ekonomi negara telah berkembang kembali
sebanyak 1.1% berbanding dengan kemerosotan sebanyak
0.9% pada suku ketiga dan 0.5% pada suku keempat tahun
lalu. Pertumbuhan semula ini didorong oleh kecergasan
yang berterusan dalam aktiviti sektor perkhidmatan dan
pembinaan serta peningkatan perbelanjaan permintaan
dalam negeri. Pencapaian ini adalah hasil daripada
keberkesanan pelaksanaan dasar dan strategi Kerajaan
untuk bertindak segera dengan cara kita sendiri bagi
menangani perubahan persekitaran luar yang tidak
menentu. Ianya juga disokong oleh asas-asas ekonomi
yang semakin mantap.
4. Asas-asas ekonomi negara yang kukuh bukan sahaja
telah memberi fleksibiliti bahkan membolehkan kita
mengambil pendekatan tersendiri yang bersesuaian dalam
melaksanakan dasar fiskal dan kewangan untuk menyokong
pertumbuhan ekonomi. Rizab antarabangsa pada
pertengahan Mei tahun ini terus meningkat kepada 124.5
billion ringgit atau 32.8 billion dolar Amerika, mampu
membiayai 5.5 bulan import tertangguh dan melebihi 5
kali daripada hutang luar jangka pendek negara. Negara
turut mencatatkan lebihan perdagangan selama 53 bulan
berturut-turut sejak November 1997. Tabungan negara
yang tinggi membolehkan kita memenuhi keperluan
pembiayaan pembangunan negara tanpa bergantung kepada
sumber kewangan luar. Dengan demikian, hutang luar
negara dapat terus dikekalkan pada paras yang rendah.
Di samping itu, petunjuk-petunjuk sektor perbankan
semakin baik dan usaha ke arah penstrukturan semula
dan urus tadbir korporat kian mantap.
5. Keyakinan masyarakat peniaga dan pelabur juga
semakin pulih. Prestasi Bursa Saham Kuala Lumpur kian
menggalakkan dengan peningkatan Indeks Komposit BSKL
melebihi paras indeks komposit di beberapa bursa saham
dunia. Agensi-agensi penarafan utama antarabangsa juga
telah meningkatkan penarafan ekonomi negara ke tahap
yang lebih tinggi. Penerbitan bon negara di pasaran
antarabangsa telah mendapat sambutan yang amat
membanggakan. Pada awal tahun ini, penerbitan bon
Kerajaan berjumlah 750 juta dolar Amerika di pasaran
antarabangsa telah berjaya mendapat lebihan langganan
sebanyak tujuh setengah kali ganda daripada jumlah
asal sebanyak 520 juta dolar Amerika. Baru-baru ini
pula, Petronas telah berjaya menerbitkan bon dalam
pelbagai mata wang asing sebanyak 2.68 bilion dolar
Amerika, dengan lebihan langganan sebanyak 3.4 kali
ganda daripada tawaran asal sebanyak 1.46 bilion dolar
Amerika. Jumlah ini merupakan penjualan bon korporat
yang terbesar dari Asia, tidak termasuk Jepun.
6. Iklim pelaburan negara yang semakin baik berjaya
menarik pelabur asing walaupun kadar cukai korporat
negara lebih tinggi berbanding dengan sesetengah
negara jiran serantau. Rejim pencukaian yang rendah
tidak semestinya akan menjamin sesebuah negara itu
dapat menarik lebih banyak pelaburan asing sepertimana
berlaku di beberapa negara lain, termasuk Hong Kong.
Untuk makluman, meskipun struktur cukai korporat kita
mungkin dianggap tinggi oleh sesetengah pihak, namun
begitu, jika kita mengambil kira pemberian pelepasan
dan pengecualian cukai insentif secara keseluruhannya,
maka cukai efektif benar negara adalah antara yang
terendah. Dalam membuat keputusan pelaburan, selain
daripada dasar yang pragmatik dan kecekapan pengurusan
ekonomi, pelabur asing juga turut mengambil kira
kemudahan infrastruktur yang disediakan serta
kestabilan negara seperti yang terdapat di negara ini.
7. Sungguhpun kedudukan ekonomi negara semakin
menggalakkan, namun negara perlu bersedia menghadapi
cabaran dan risiko ketidaktentuan pemulihan ekonomi
dunia yang masih belum meyakinkan. Dalam persekitaran
sedemikian serta perkembangan globalisasi dan
teknologi yang sentiasa berubah dengan pantas, kita
perlu meningkatkan lagi daya saing dan mengukuhkan
ketahanan ekonomi negara. Kita perlu mempelbagaikan
punca pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan risiko
pergantungan berlebihan kepada beberapa barangan
sahaja. Kita juga perlu mempergiatkan lagi usaha bagi
memperluaskan asas perindustrian negara dan juga
memberi tumpuan yang lebih kepada pembangunan sektor
pertanian dan perkhidmatan, termasuk di bidang
pelancongan, pendidikan, kesihatan, kewangan dan
pengangkutan.
8. Dalam usaha mencergaskan kegiatan ekonomi dan
memantapkan lagi asas-asas ekonomi supaya negara lebih
berdaya saing, peranan sektor swasta amat penting.
Sejak kebelakangan ini, sektor swasta tidak begitu
dinamik. Paras pelaburan mereka telah merosot dengan
ketara sebanyak 39% pada tahun 2001 berbanding paras
pelaburan pada tahun 1997. Jika tren ini berterusan,
potensi pertumbuhan ekonomi dalam jangka sederhana dan
panjang akan terjejas.
9. Pencapaian ekonomi negara sejak krisis kewangan
telah banyak didorong oleh sektor awam, terutamanya
melalui langkah rangsangan fiskal. Langkah ini telah
mengakibatkan kewangan Kerajaan Persekutuan mengalami
defisit. Meskipun defisit ini mampu dibiayai dan
pengurusan fiskal masih berhemat, namun begitu,
bukanlah menjadi hasrat Kerajaan untuk terus
mengamalkan dasar belanjawan mengembang. Kita tidak
boleh terlalu bergantung kepada Kerajaan untuk
mencergaskan kegiatan ekonomi.
10. Penglibatan sektor swasta perlu ditingkatkan
semula untuk mengambil alih peranan sektor awam
sebagai penggerak ekonomi. Sektor swasta perlu membina
semula keupayaan dan keyakinan ke arah meningkatkan
daya saing, kecekapan, kreativiti dan produktiviti.
Mereka juga perlu berani mengambil risiko dalam
merebut peluang perniagaan dan perdagangan yang luas
dalam era globalisasi dan liberalisasi. Untuk tujuan
ini, Strategi Belanjawan 2003 akan memberi tumpuan
kepada usaha-usaha untuk meningkatkan peranan sektor
swasta selaras dengan tema dialog Belanjawan tahun ini
iaitu "Memupuk Sektor Swasta yang Dinamik dan Berdaya
Tahan (Promoting a Dynamic and Resilient Private
Sector)".
11. Pengusaha tempatan, terutamanya perusahaan kecil
dan sederhana, perlu bergiat dengan lebih cergas
bersama-sama dengan syarikat-syarikat multinasional
untuk maju ke hadapan. Kerjasama ini bertujuan untuk
meningkatkan pelaburan mereka agar mereka boleh
menjadi nadi penggerak perindustrian negara dan akan
menjadi sebuah syarikat multinasional bertaraf dunia.
12. Wakil-wakil sektor swasta boleh mengambil peluang
dalam sesi dialog ini untuk memberi pandangan dan
saranan supaya kita dapat merangka dasar dan strategi
yang sesuai dalam menangani persekitaran ekonomi yang
semakin mencabar dan sentiasa berubah.
13. Untuk memulakan Sesi Pertama Majlis Dialog
Belanjawan 2003 pada pagi ini, saya dengan sukacitanya
mempersilakan Yang Berbahagia Dato' Dr. Zainal Aznam
Yusof (Institut Kajian Strategik dan Antrabangsa -
ISIS) untuk menyampaikan pandangan.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|