Oleh/By : DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUTRAJAYA
Tarikh/Date : 31-05-2002
Tajuk/Title : UCAPAN PEMBUKAAN SESI KEDUA MAJLIS
DIALOG BELANJAWAN 2003
Versi :
Penyampai : PM
1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima
kasih di atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan dalam
Majlis Dialog Belanjawan 2003 bagi Sesi Kedua pada
pagi ini. Sesi Pertama telahpun diadakan kelmarin di
mana perbincangan telah ditumpukan kepada isu-isu
makroekonomi. Sesi pada pagi ini pula akan ditumpukan
kepada isu-isu sektoral. Di sini, saya ingin mengambil
kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada semua
yang telah mengemukakan memorandum.
2. Dalam persekitaran luar yang sukar pada tahun
lalu, di mana ekonomi dunia telah mengalami
kelembapan, kita masih berjaya mengelak daripada
menghadapi kemelesetan ekonomi. Negara mampu mencatat
pertumbuhan positif sebanyak 0.4% berbanding dengan
beberapa negara jiran yang mengalami kemelesetan,
meskipun prestasi sektor pembuatan telah terjejas
akibat kejatuhan permintaan elektronik global yang
mendadak. Pengeluaran sektor elektronik yang pernah
mencatat pertumbuhan tinggi sebanyak purata 32.5% bagi
tempoh 1999 dan 2000 telah mengalami kemerosotan
sebanyak 20.2% pada tahun 2001. Pergantungan yang
berlebihan kepada keluaran elektronik bukan sahaja
telah menjejaskan kegiatan sektor pembuatan
keseluruhannya, tetapi juga aktiviti ekonomi yang
berkaitan dengannya. Berikutan itu, hasil eksport
negara turut merosot dengan ketara.
3. Untuk mengimbangi kesan kelembapan sektor luar,
Kerajaan telah melaksanakan pakej rangsangan fiskal
untuk mencergaskan kegiatan ekonomi dan meningkatkan
permintaan dalam negeri. Langkah ini disokong oleh
dasar kewangan yang akomodatif, di samping asas-asas
ekonomi negara yang semakin mantap.
4. Kini, pemulihan ekonomi negara semakin kukuh.
Keluaran Dalam Negeri Kasar pada suku pertama tahun
ini telah meningkat kembali sebanyak 1.1% berbanding
dengan pengurangan sebanyak 0.9% pada suku ketiga dan
0.5% pada suku keempat tahun lalu. Sektor perkhidmatan
masih merupakan penggerak utama ekonomi dengan
mencatatkan kadar pertumbuhan 4.6% berikutan
kecergasan aktiviti ekonomi dalam negeri yang
berterusan dan keyakinan pengguna yang meningkat.
Prestasi sektor pembinaan juga berkembang sebanyak
2.9%, hasil daripada pelaksanaan pakej rangsangan
fiskal dalam suasana kadar faedah yang kekal rendah.
Sektor pembuatan, walaupun telah mengalami kemerosotan
ketara pada suku kedua tahun lalu sebanyak 7.6% dan
seterusnya sebanyak 8.2% pada suku ketiga dan 6.2%
pada suku keempat, mula menunjukkan tren ke arah
pemulihan dengan mencatatkan kadar kemerosotan yang
kian mengecil sebanyak 2.1%.
5. Dalam usaha untuk mencergaskan pertumbuhan
ekonomi yang berterusan, Kerajaan telah mengambil
banyak langkah, termasuk cukai dan bukan cukai, untuk
mempelbagaikan punca pertumbuhan ekonomi. Dalam sektor
perkhidmatan, umpamanya, pembangunan ICT mempunyai
potensi yang besar untuk dimajukan. Industri
pelancongan telah juga menunjuk prestasi yang sungguh
menggalakkan, walaupun telah terjejas berikutan
peristiwa serangan 11 September. Industri pelancongan
boleh diperkembangkan lagi dengan menjadikan
kesihatan, pendidikan, sukan dan alam sekitar sebagai
produk pelancongan yang berdaya maju. Industri
pendidikan juga boleh dimajukan sebagai pusat
kecemerlangan pendidikan antarabangsa. Dalam industri
pengangkutan, negara mempunyai kelebihan untuk menjadi
hub bagi perkhidmatan pelabuhan dan lapangan terbang.
Ini adalah selaras dengan usaha kita untuk berperanan
sebagai global player di pasaran antarabangsa.
6. Sektor pertanian juga masih mempunyai banyak
ruang untuk dimajukan. Kita perlu membina kekuatan
dalam sektor ini melalui kerja-kerja R&D dan bio-
teknologi serta membangunkan industri hiliran bagi
produk pertanian. Dalam sektor pembuatan pula, usaha
perlu dilakukan untuk beralih daripada tumpuan yang
keterlaluan terhadap keluaran elektronik. Untuk ini,
industri berasaskan sumber dalam negeri serta
pengeluaran produk baru yang lebih pelbagai hendaklah
diberi keutamaan.
7. Kita juga perlu meneroka pasaran baru yang
mempunyai potensi besar. Kita tidak seharusnya hanya
menumpu kepada pasaran tradisional seperti Amerika
Syarikat, Jepun dan kawasan Euro, tetapi mesti
berusaha menembusi pasaran negara-negara lain seperti
China, Asia Barat dan Afrika. Untuk ini, kita perlu
meningkatkan kecekapan dan produktiviti dengan
menggalakkan kebolehan kreativiti dan inovasi yang
berterusan supaya dapat bersaing di peringkat
antarabangsa, lebih-lebih lagi dengan kemasukan China
dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Produk
negara mestilah berkualiti tinggi dan pada harga yang
kompetitif serta dapat memenuhi cita rasa pengguna
yang semakin canggih.
8. Persekitaran ekonomi dunia pada masa ini
bertambah baik. Aktiviti perdagangan dan pergerakan
modal antarabangsa semakin cergas. Keyakinan pelabur
asing terhadap negara kita juga telah meningkat dan
imej negara yang kini semakin berada di tahap yang
tinggi. Dengan persekitaran luar yang semakin baik,
kini, masanya adalah sesuai bagi sektor swasta merebut
peluang perdagangan dan pelaburan serta menjalin
perkongsian bijak dengan rakan strategik untuk
meningkatkan pasaran negara.
9. Sungguhpun pendekatan kita dalam mengendalikan
perniagaan selama ini telah banyak menyumbang ke arah
mengekalkan daya saing negara, namun begitu, sektor
swasta perlu membuat perubahan dengan pantas supaya
menjadi lebih dinamik dan berdaya tahan. Kerajaan
akan terus memberi sokongan serta menyediakan
persekitaran perniagaan dan pelaburan yang kondusif
untuk menggalakkan aktiviti sektor swasta. Di samping
memberi kerjasama dan sokongan kepada sektor swasta
atas semangat Malaysia Inc, Kerajaan akan terus
mengamalkan pengurusan ekonomi yang pragmatik serta
memberi perkhidmatan dan kemudahan yang sesuai.
Kerajaan juga akan meneruskan lagi usaha menstruktur
semula sektor korporat dan kewangan untuk
memperkukuhkan lagi industri perbankan dan kewangan.
Langkah untuk memantapkan lagi urus tadbir korporat
akan diteruskan bagi meningkatkan keyakinan pelabur.
Jentera Kerajaan akan diperkemaskan lagi agar lebih
lancar dan berkesan. Dengan adanya delivery system
yang efisyen ini, ianya secara langsung dapat
mengurangkan kos kendalian perniagaan dan meningkatkan
kecekapan sektor swasta.
10. Kerajaan ingin melihat sektor swasta sekali lagi
mengambil alih sebagai penggerak utama kegiatan
ekonomi bagi mencapai pertumbuhan yang mapan dalam
jangka panjang. Sektor awam akan terus menyokong
kegiatan sektor swasta dengan menyediakan persekitaran
yang kondusif untuk mempertingkatkan lagi kegiatan
ekonomi. Oleh yang demikian, tema Majlis Dialog
Belanjawan pada tahun ini akan ditumpukan kepada
langkah-langkah "Memupuk Sektor Swasta yang Dinamik
dan Berdaya Tahan (Promoting a Dynamic and Resilient
Private Sector)".
11. Adalah menjadi tujuan Majlis Dialog ini untuk
mendapatkan maklum balas dan pandangan daripada tuan-
tuan dan puan-puan bagi membolehkan kita bersama
merangka dasar dan strategi yang sesuai. Untuk
memulakan Sesi Kedua Dialog Belanjawan 2003 pada pagi
ini, saya dengan sukacitanya mempersilakan Yang
Berbahagia Dato' Francis Huang (Persekutuan Pekilang-
Pekilang Malaysia - FMM) untuk menyampaikan pandangan.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|