Oleh/By : DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 01-06-2002
Tajuk/Title : ISTIADAT MENGADAP DAN ISTIADAT
PENGURNIAAN DARJAH-DARJAH
KEBESARAN, BINTANG-BINTANG DAN
PINGAT-PINGAT MALAYSIA
SEMPENA ULANGTAHUN
HARI KEPUTERAAN SERI PADUKA
BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
Versi :
Penyampai : PM
Dengan hormat dan penuh takzimnya, pihak Kerajaan,
pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam serta rakyat
keseluruhannya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah
kepada Tuanku sempena ulangtahun Keputeraan Rasmi
Tuanku pada hari ini. Rakyat sekalian berdoa ke hadrat
Allah Subhanahu'wa Ta'ala semoga dilanjutkan usia serta
dilimpahkan rahmat dan hidayah-Nya ke atas Tuanku dan
Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah dan semoga Tuanku
berdua sentiasa berada di dalam kandungan sihat,
bahagia dan penuh kedaulatan.
2. Hari Keputeraan Tuanku hari ini adalah amat
istimewa kerana inilah sambutan Hari Keputeraan yang
pertama bagi Tuanku sejak ditabalkan sebagai Yang Di
Pertuan Agong. Belum pun habis rakyat meraikan hari
pertabalan Tuanku sebagai Ketua Negara, seluruh negara
sekali lagi bergembira kerana rakyat dapat menumpang
sama menyambut pula Hari Keputeraan Tuanku dengan penuh
meriah dan gilang gemilang.
3. Dua peristiwa yang bersejarah ini yang berlaku
selang beberapa minggu sahaja bolehlah dianggap sebagai
satu petanda baik kepada negara kerana kini negara
sedang memasuki ambang pembangunan dan kemajuan baru
dengan pesat. Tuanku sungguh bertuah kerana Tuanku
menaiki takhta di ketika negara sedang pulih daripada
kesan kelembapan ekonomi dunia yang melanda negara ini
juga pada tahun lepas serta ekoran peristiwa 11
September.
4. Sejak tahun ini iaitu empat bulan selepas
kemusnahan bangunan World Trade Center di New York oleh
pengganas, ekonomi negara mulai pulih dengan
memberangsangkan. Antara sebab pemulihan itu ialah
timbulnya semula keyakinan di kalangan pelabur asing
terutamanya dari Amerika Syarikat untuk aktif dalam
perniagaan antarabangsa khasnya di rantau sebelah sini
setelah mendapati keselamatan dunia tidak begitu
terancam lagi.
5. Amerika Syarikat yang merupakan rakan dagangan
Malaysia yang terbesar telah ditimpa kemelesetan
ekonomi yang teruk, sudah mulai pulih dan mengimport
semula barangan keluaran negara kita terutama barangan
elektronik. Pelabur-pelabur asing juga turut
menyumbang kepada pemulihan pesat ekonomi negara dengan
terus membuat pelaburan secara langsung ke dalam negara
sama ada untuk perusahaan baru ataupun memperbesarkan
operasi mereka. Demikian juga pelaburan dalam pasar
saham. Taraf kredit Malaysia juga bertambah baik.
6. Ekonomi negara kembali berada di landasan yang
sihat setelah Kerajaan melaksanakan pelbagai strategi
untuk memulihkannya. Salah satu strategi penting yang
dilaksanakan oleh Kerajaan ialah mempelbagaikan
aktiviti ekonominya kerana penggantungan kepada satu
bidang ekonomi atau satu pasaran sahaja boleh
membahayakan negara jika berlaku kemelesetan di pasaran
berkenaan. Di masa yang sama peruntukan khas untuk
merangsangkan ekonomi telah diadakan.
7. Dengan itu Kerajaan telah mula memperluaskan
aktiviti ekonominya dan membuka pasaran-pasaran baru
untuk barangan eksport negara. Di samping rakan
dagangan tradisi yang lain, Kerajaan sudah mula
menerokai pasaran-pasaran baru seperti dengan negara
Selatan-selatan di benua Afrika, Selatan Amerika dan
negara Arab di Asia Barat.
8. Kini ekonomi negara sedang berkembang semula dan
rakyat sendiri mula yakin dengan masa depan negara.
Petunjuk kepada perkembangan baik ini dapat dilihat
pada kenaikan indeks Bursa Saham Kuala Lumpur dan kadar
pertumbuhan ekonomi negara tahun ini yang dijangka akan
mencecah lebih empat peratus, serta juga peningkatan
pelaburan langsung asing.
9. Syukur Alhamdulillah, kejayaan negara dalam
menangani tekanan ekonomi dari luar telah menyelamatkan
rakyat daripada bencana. Memandangkan bahawa tidak
banyak negara yang berjaya menyelamatkan ekonomi
mereka, keyakinan negara dan rakyat akan kebolehan
menghadapi krisis telah meningkat. Keyakinan ini juga
telah mengurangkan kesan daripada tindakan yang tidak
bertanggungjawab oleh elemen tertentu dalam masyarakat
yang mana tindakan seperti ini hanya akan merumitkan
lagi usaha pemulihan keadaan dalam negara. Di masa
yang sama kita dapat terus bebas daripada meminta-minta
bantuan asing seperti dari Bank Dunia dan Dana Kewangan
Antarabangsa (IMF). Ini menyelamatkan kebebasan kita
dalam pengurusan hal ehwal negara, baik hal dalaman
atau hal luaran.
10. Kerajaan amat bersyukur kerana rakyat umumnya
tidak berkelakuan seperti rakyat sesetengah negara
lain. Rakyat kita begitu matang, sederhana dan
membantu Kerajaan dalam menghadapi masalah yang melanda
negara. Malah rakyat telah banyak berkorban untuk
menjayakan strategi pemulihan ekonomi yang disusun oleh
Kerajaan.
11. Anggota Kabinet serta pegawai dan kakitangan
perkhidmatan awam yakin bahawa semasa Tuanku mengepalai
negara, pertumbuhan dan kemajuan yang pesat akan
dicapai.
12. Namun negara amat kecewa dengan kegiatan badan-
badan bukan Kerajaan yang menerima bantuan dari negara
asing supaya menghalang kesejahteraan rakyat negara
ini. Percubaan untuk menghalang pembekalan air dan
elektrik kerana kononnya akan merosakkan alam sekitar
amat dikesali. Mereka ini harus ingat bahawa di negara
asing yang memberi bantuan wang kepada mereka,
persekitaran alam mereka sudah lama dimusnahkan supaya
mereka mendapat bekalan air dan elektrik yang murah
untuk pembangunan ekonomi mereka. Rakyat Malaysia yang
sanggup diperalatkan oleh mereka ini sebenarnya
menderhaka kepada negara dan rakyat. Sementara kita
harus memelihara alam sekitar kita, kita tidak harus
keterlaluan sehingga menghalang pertumbuhan ekonomi
untuk keselesaan hidup rakyat. Kita belum lagi cukup
maju untuk berlagak sebagai negara yang sudah kaya
raya.
13. Yang juga mendukacitakan ialah adanya segelintir
warganegara yang sanggup memburuk-burukkan negara
sendiri kepada orang asing. Mereka memperolehi banyak
nikmat di negara ini daripada pembangunan yang pesat
yang telah diusahakan tetapi kesetiaan mereka tidak
tertumpu kepada negara. Sebaliknya mereka lebih
utamakan kepentingan diri dan puak mereka.
14. Tetapi, Alhamdullilah, majoriti terbesar rakyat
amat setia kepada negara dan tidak menimbul masalah.
Mereka berusaha bersungguh-sungguh membantu pembangunan
negara. Dan ini termasuklah penuntut di luar negara
yang menunjuk kesetiaan mereka dengan berdiri tegak dan
menyanyi lagu kebangsaan dan lagu-lagu patriotik dengan
penuh semangat.
15. Tuanku, negara ini amat bertuah dan di bawah
naungan Tuanku, negara akan terus aman dan maju,
Insyaallah. Segala cabaran termasuk globalisasi,
pembukaan sempadan, kedatangan ICT termasuk pengaruh
Internet dan K-ekonomi akan ditangani oleh rakyat dan
Kerajaan dengan penuh semangat dan keyakinan akan
kemampuan diri.
16. Kerajaan percaya tidak berapa lama lagi majoriti
rakyat akan celik komputer dan berkebolehan
mengendalikan ICT iaitu menggunakan maklumat untuk
meningkatkan kemampuan, kemahiran, kecekapan, mutu
kerja dan produktiviti, menambah ilmu, merapat hubungan
dengan orang lain dan meningkatkan ekonomi serta
mempercepatkan pembangunan negara. Kerajaan yakin
dengan persediaan sedemikian negara kita tidak akan
ketinggalan dalam arus kemodenan dan keterbukaan dunia.
17. Sempena ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Tuanku,
Ahli-ahli Jemaah Menteri dan semua anggota
Kerajaan ingin memberi jaminan sekali lagi bahawa
segala kerjasama dan sokongan akan diberi kepada
Tuanku dalam menjalankan tugas sebagai Seri Paduka
Baginda Yang Di Pertuan Agong dan kepada Raja
Permaisuri Agong selaras dengan prinsip-prinsip dan
keperluan Sistem Raja Berperlembagaan.
18. Pada hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini,
Kerajaan, pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam
serta rakyat keseluruhannya dengan penuh hormat dan
takzimnya mengucapkan Selamat Hari Keputeraan kepada
Tuanku dan menyampaikan ikrar taat setia yang tidak
berbelah bahagi kepada Tuanku sebagai Raja yang
memerintah dan juga kepada Raja Permaisuri Agong.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|