Oleh/By : DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUTRAJAYA
Tarikh/Date : 03-06-2002
Tajuk/Title : UCAPAN PEMBUKAAN SESI KETIGA
MAJLIS DIALOG BELANJAWAN 2003
Versi :
Penyampai : PM
1. Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas
kehadiran tuan-tuan dan puan-puan dalam Majlis Dialog
Belanjawan 2003 pada petang ini. Dialog Belanjawan ini
diadakan sebagai persediaan bagi Kementerian Kewangan
dalam merangka Belanjawan 2003 yang akan dibentangkan
pada bulan September tahun ini.
2. Majlis ini merupakan Sesi Ketiga dalam siri Majlis
Dialog yang diadakan pada tahun ini. Seperti pada tahun
lalu, sesi ini memberi perhatian kepada isu-isu sosial
dan kemasyarakatan bersesuaian dengan usaha Kerajaan
untuk meningkatkan kualiti hidup dan menjamin
kesejahteraan rakyat di negara ini. Ini adalah selaras
dengan hasrat dan dasar Kerajaan untuk menjana
pertumbuhan yang menyeluruh dan mencapai kemajuan yang
lebih seimbang supaya kemakmuran negara dapat dinikmati
bersama oleh semua lapisan masyarakat.
3. Kerajaan memang peka mengenai keperluan untuk
meningkatkan taraf hidup rakyat, terutamanya golongan
berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik. Dalam
Rancangan Pembangunan Lima Tahun, peruntukan yang
disediakan oleh Kerajaan semakin meningkat bagi
menjayakan program pembangunan sosial. Belanjawan 2002
yang lalu, umpamanya, memperuntukkan sebanyak 35.4
bilion ringgit atau 35.2% daripada jumlah keseluruhan
Belanjawan untuk program pendidikan, kesihatan dan
perumahan serta perkhidmatan dan kebajikan masyarakat.
Bagi meningkatkan lagi kemudahan dan taraf hidup rakyat
luar bandar, Kerajaan telah menyediakan peruntukan
terbesar pernah diberikan iaitu sebanyak 5.34 bilion
ringgit untuk program pertanian, pembangunan tanah dan
pembangunan kampung dan masyarakat. Kerajaan juga
memberi perhatian terhadap kesihatan dan pembangunan
keluarga serta pendidikan luar bandar.
4. Bagi meneruskan agenda masyarakat penyayang,
Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak 194 juta
ringgit di bawah program kebajikan masyarakat. Golongan
wanita juga tidak diabaikan, di mana Kerajaan sentiasa
memberi galakan dan peluang yang saksama untuk mereka
menyertai arus pembangunan negara.
5. Program Kerajaan yang telah dilaksanakan setakat
ini telah berjaya meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Berasaskan kepada Indeks Kualiti Hidup Rakyat 2002 yang
telah diterbitkan baru-baru ini, kualiti hidup rakyat
pada keseluruhannya telah meningkat daripada 100.0 mata
pada tahun 1990 kepada 108.4 mata pada tahun 2000,
merupakan pertambahan sebanyak 8.4%. Hampir semua aspek
kualiti hidup mencatatkan peningkatan; yang paling
ketara ialah indeks persekitaran kerja yang bertambah
19.1 mata serta diikuti dengan perumahan, 16.3 mata.
Indeks Kualiti Hidup Bandar juga menunjukkan tren yang
meningkat, disumbangkan terutamanya oleh suasana
kehidupan keluarga yang lebih baik dan pengagihan
pendapatan yang lebih saksama.
6. Perkembangan ini adalah selaras dengan peningkatan
pendapatan per kapita benar negara daripada 5,600
ringgit pada tahun 1990 kepada 8,200 ringgit pada tahun
2000. Dari segi purchasing power pariti, ianya
meningkat lebih tinggi daripada 5,300 dolar Amerika
pada tahun 1990 kepada 8,800 dolar Amerika pada tahun
2000. Kadar kemiskinan telah berkurangan dengan ketara
daripada 16.5% pada tahun 1990 kepada 6.1% pada tahun
2000. Di bandar, peratus kemiskinan berkurangan
daripada 7.1% kepada 2.1%, manakala di luar bandar,
kadarnya berkurangan daripada 21.1% kepada 10.9%.
Kemajuan ini dicapai dalam suasana inflasi yang
sentiasa terkawal dan berada pada paras yang rendah.
7. Dalam kita menikmati peningkatan kualiti hidup
rakyat, kita perlu juga menangani isu-isu sosial
semasa. Sejak kebelakangan ini, pelbagai masalah sosial
telah menjadi tajuk utama dalam media massa. Kes-kes
sumbang mahram, penyalah gunaan dadah, gangguan seksual
dan rogol, perlu ditangani dengan segera agar ianya
tidak menjadi barah kepada penyakit masyarakat. Kes-kes
jenayah seperti gerakan militan dan pengganas juga
mesti ditangani untuk memastikan keselamatan dan
kestabilan negara dapat dikekalkan.
8. Sehubungan dengan ini, badan-badan sukarela dan
pertubuhan sosial boleh membantu dalam membanteras
gejala sosial dan jenayah. Mereka perlu berusaha
menyelesaikan masalah yang dihadapi yang melibatkan
seluruh anggota masyarakat. Masalah ini perlu ditangani
bersama-sama demi meningkatkan kualiti hidup dan
kesejahteraan rakyat. Selepas mendengar pembentangan
daripada badan-badan sukarela dan pertubuhan sosial
pada Dialog Belanjawan tahun lalu, terutamanya
mengenai bantuan kewangan yang dipohon, Kerajaan telah
memperuntukkan sejumlah 50.8 juta ringgit dalam
Belanjawan 2002 kepada badan dan pertubuhan ini untuk
melaksanakan pelbagai program mereka. Jumlah ini
merupakan peningkatan yang tinggi berbanding dengan
32.9 juta ringgit pada tahun sebelumnya. Saya berharap
badan-badan sukarela dan pertubuhan sosial menggunakan
peruntukan dan kemudahan yang disediakan secara cekap
dan berkesan. Dalam hal ini, mereka juga perlu
mendapatkan kerjasama dengan pihak swasta bagi
menjayakan program sosial dan kemasyarakatan.
9. Akibat pertumbuhan ekonomi dunia yang lembap pada
tahun lalu, masalah pemberhentian pekerja dan
pengangguran, terutamanya di kalangan siswazah, juga
merupakan isu yang perlu diberi perhatian. Punca utama
masalah ini berlaku ialah kerana wujudnya
ketidaksepadanan antara keluaran institusi pendidikan
tinggi dengan kehendak tenaga kerja oleh industri.
Untuk mengatasi masalah ini, pelbagai program latihan
dan kemahiran sedang dilaksanakan oleh agensi-agensi
Kerajaan. Di bawah pakej rangsangan fiskal tahun lalu,
sebanyak 150 juta ringgit telah diperuntukkan untuk
program Skim Sangkutan dan Latihan manakala sebanyak
150 juta lagi diperuntukkan bagi program latihan
pekerja yang diberhentikan.
10. Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan dalam
pembentangan di Majlis ini dapat memberi pandangan dan
cadangan yang boleh membantu Kerajaaan merangka dasar
dan strategi yang sesuai untuk menangani permasalahan
sosial yang sedang kita hadapi. Untuk memulakan Sesi
Ketiga pada petang ini, saya dengan sukacitanya
mempersilakan Puan Ramani Gurusamy (Majlis Kebangsaan
Pertubuhan Wanita - NCWO) untuk menyampaikan pandangan.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|