home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	DEWAN MERDEKA PUSAT DAGANGAN 
			DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date	:	20-06-2002
Tajuk/Title 	:	PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM 
		    


   "MENDEDAH YANG TERBUKA"
   
   
   
   Alhamdullillah,  Segala puji bagi  Allah  s.w.t.   Sekali
   lagi  kita Parti UMNO dapat bersidang dalam keadaan  aman
   dan  tenteram,  bersidang untuk membincang  dan  membahas
   prestasi  parti  dan  bangsa kita, dasar-dasar  dan  masa
   depan  negara yang tercinta ini, Negara Malaysia.  Bahawa
   kita  dapat berbuat demikian dalam keadaan yang  sempurna
   adalah  satu  nikmat  yang  besar  kerana  sebenarnya  ia
   adalah  sesuatu yang istimewa, yang luar  biasa.   Bahawa
   setelah berusia 56 tahun UMNO masih wujud sebagai  sebuah
   parti  yang  berwibawa, yang berkuasa dalam  negara  ini,
   yang  tersusun rapi, tertib dan berkesan, adalah perkara-
   perkara  yang  perlu  kita  bersyukur  dengannya.   Tidak
   banyak  parti  politik  yang berusia  seperti  kita  yang
   masih ada, dan jauh sekali masih berkesan, berwibawa  dan
   masih menjadi parti pemerintah.
   
   
   DUNIA YANG PENUH MASALAH
   
   2.    Lagi pun kita berada dalam dunia yang penuh  dengan
   masalah,  ketidaktentuan; terancam dengan keganasan  yang
   luar  biasa,  dengan penindasan oleh yang  kuat  ke  atas
   yang  lemah,  yang  kaya  ke  atas  yang  miskin;  dengan
   peperangan  berlaku  di  sana-sini,  pembunuhan  beramai-
   ramai,  kezaliman dan ketidakseimbangan  yang  ketara  di
   antara yang miskin dengan yang kaya.
   
   3.    Alaf  ketiga  dan abad ke 21 tidak membawa  tamadun
   manusia  ke  tahap  yang lebih baik, walaupun  kepandaian
   dan   kecekapan  manusia  begitu  tinggi  sekali.   Zaman
   teknologi  maklumat, zaman ilmu pengetahuan  sudah  tiba.
   Malangnya  manusia sudah menjadi angkuh dengan  kebolehan
   mereka.   Ilmu  yang  diperolehi tidak  banyak  digunakan
   untuk  kebaikan  dan kesejahteraan hidup manusia,  tetapi
   lebih  kepada peningkatan kebolehan menindas dan membunuh
   lebih ramai manusia.
   
   
   
   4.    Kebesaran  negara  diukur  melalui  penciptaan  dan
   pemilikan  senjata  yang  boleh membunuh  jumlah  manusia
   yang  lebih  besar dan bukan kerana tamadun  yang  mulia.
   Dengan  jumlah nuklear "warhead" yang boleh menghancurkan
   seluruh  dunia  dan seluruh umat manusia, mereka  memaksa
   negara-negara di dunia supaya tunduk kepada mereka.   Ini
   jelas   menunjukkan  bahawa  manusia  belum  dapat   maju
   setapak  pun  dari  Zaman Batu di mana kekuatan  bermakna
   kebenaran.   "Might is right".  Mereka  yang  kuat  boleh
   buat  apa sahaja.  Mereka yang lemah perlu terima  sahaja
   nasib yang ditimpa ke atas mereka.
   
   5.    Keadilan  dan  kebenaran  tidak  ada  tempat  dalam
   perkiraan mereka yang menjadi kuasa besar.  Dengan  tidak
   segan-segan  mereka  menggunakan dua  kayu  ukur  -  satu
   untuk  mereka dan satu lagi untuk orang lain.  Apa sahaja
   yang  dilakukan oleh mereka adalah betul, baik dan wajar.
   Tetapi  perlakuan  perkara  yang  sama  oleh  orang  lain
   adalah salah dan tidak wajar.
   
   6.    Perang  Dingin sudah tamat hampir dua dekad  tetapi
   penyelidikan,  penciptaan dan pengeluaran senjata-senjata
   baru  masih diteruskan.  Selain daripada senjata  nuklear
   ada  pula  senjata kuman dan gas.  Senapang  satu  peluru
   diganti  dengan  mesingan yang boleh  membunuh  berpuluh-
   puluh  orang  sekali dipetik, yang boleh melontar  grenad
   dan  api yang mampu bukan sahaja membunuh manusia  tetapi
   memusnah dan membakar apa sahaja.
   
   7.   Kemampuan meriam, roket peluru berpandu dan senjata-
   senjata  lain  untuk membunuh lebih ramai  manusia  telah
   dipertingkatkan.   Di  udara  kemampuan  pesawat  pejuang
   untuk  memusnah dan membunuh, pesawat yang sudahpun cukup
   canggih    telah   dipertingkatkan   lagi   kemampuannya.
   Daripada pesawat yang hanya berharga ratusan ribu  dolar,
   sekarang  ini tiap pesawat berharga ratusan  juta  dolar.
   Berbilion-bilion  dolar  dibelanjakan  oleh  kuasa  besar
   untuk  membekal  angkatan perang mereka  dengan  beratus-
   ratus  pesawat ini.  Dan negara yang miskin juga terpaksa
   membeli  pesawat-pesawat ini kerana  jika  tidak,  negara
   jiran  atau negara musuh akan dibekalkan dengan  pesawat-
   pesawat   ini.    Perbelanjaan  untuk  memiliki   bekalan
   senjata  tidak  memberi pulangan apa-apa selain  daripada
   menaikkan  semangat  pasukan  pertahanan  dan  Kebangsaan
   sesebuah  negara.   Dengan  perlunya   pemodenan  senjata
   setiap  masa,    negara-negara besar  dan  kecil  mensia-
   siakan  sejumlah  besar wang ringgit  yang  begitu  sukar
   diperolehi untuk membeli senjata yang tidak akan  diguna,
   sementara  orang  miskin terus merana.  Namun  penciptaan
   dan  peningkatan kecanggihan senjata masih diteruskan dan
   semakin besarlah jumlah wang tiap negara yang akan disia-
   siakan.
   
   8.    Di masa yang sama pencipta dan pembekal senjata ini
   tidak   dapat  faham  kenapa  di  sana  sini   peperangan
   berlaku.     Mereka    kononnya   menentang    huru-hara,
   peperangan  kecil  dan  aneka jenis  penindasan.   Mereka
   menentang  penjualan  senjata secara  haram.   Mungkinkah
   ini  disebabkan penjualan haram menjejas pasaran  senjata
   yang  mereka  anggap  sebagai hak mereka?   Bahawa  tanpa
   mereka  mengeluarkan senjata-senjata ini,  tidak  mungkin
   ada pasaran haram tidak mengganggu fikiran mereka.
   
   
   
   9.    Dengan  begitu banyaknya senjata di  seluruh  dunia
   tidak  hairanlah peperangan dan pemberontakan  bersenjata
   berlaku  di seluruh pelusuk dunia.  Tidak ada  satu  hari
   yang  berlalu yang berpuluh manusia tidak dibunuh  dengan
   senjata-senjata  yang dicipta dan dipasar  tanpa  sekatan
   ini.
   
   
   PERISTIWA 11 SEPT DAN KEGANASAN
   
   10.    Pada   11  September  berlakulah  peristiwa   yang
   mengejutkan  seluruh  dunia.   Ketika  negara  kaya   dan
   berteknologi  tinggi  menumpu  kepada  ciptaan   senjata-
   senjata  canggih  yang boleh memberi  lebih  "fire-power"
   kepada  mereka, pesawat penumpang biasa digunakan sebagai
   peluru   berpandu  untuk  menyerang  pusat   dan   simbol
   kekuasaan  negara maju.  Tetapi kesannya  lebih  daripada
   kehancuran  bangunan  dan  kematian  lebih  3000   orang.
   Kesan  yang ketara ialah ketakutan yang amat sangat  oleh
   seluruh  dunia  akan  serangan  oleh  pengganas.    Bukan
   sahaja  bangunan yang runtuh tetapi ekonomi  dunia  turut
   runtuh  dengan teruk kerana ketakutan pelancong dan  ahli
   perniagaan  akan terperangkap dalam pesawat yang  diculik
   oleh pengganas untuk dijadikan peluru berpandu.  Beratus-
   ratus   bilion   dolar  telah  hilang   kerana   aktiviti
   pelancongan,  perniagaan dan industri penerbangan  hampir
   terhenti terus.
   
   11.   Berhadapan  dengan ancaman yang  tidak  diduga  ini
   kuasa-kuasa  besar  naik gelabah dan  seolah-olah  hilang
   pedoman.    Oleh   kerana   tidak   berpengalaman   dalam
   menangani  serangan   pengganas,  mereka  kembali  kepada
   cara-cara peperangan biasa.  Walaupun semua pengganas  11
   September  bukan  daripada  orang  Afghan,  tetapi   oleh
   kerana  Afghanistan  menjadi  pangkalan  kepada  kumpulan
   pengganas   Al-Qaeda  yang  dipercayai  terlibat   dengan
   serangan  pada  11  September, maka negara  itu  diserang
   dengan senjata yang tidak kenal siapa.  Ramai yang  tidak
   bersalah,  orang  awam, perempuan tua  dan  muda,  kanak-
   kanak,  orang  sakit  telah  terbunuh  dan  cedera,   dan
   berjuta-juta  rakyat  negara  yang  malang  ini  terpaksa
   melarikan  diri  ke  negara jiran di  mana  mereka  hidup
   merana,  tanpa  teduh, tanpa makanan  yang  cukup,  tanpa
   perubatan.
   
   12.     Alhamdulillah,   puak   Taliban    yang    dahulu
   diperalatkan   oleh  kuasa  tertentu  untuk   menjatuhkan
   Kerajaan Afghanistan, telah lari berselerak.  Jika  tidak
   akan  ranaplah  semua bandar dan kampung di  Afghanistan;
   akan  terbunuhlah ramai rakyatnya, kerana serangan  udara
   yang tidak kenal siapa.
   
   13.   Tetapi  keganasan tidak dapat  dihentikan.   Kuasa-
   kuasa  besar  terus berada dalam ketakutan,  terus  hidup
   dalam  iklim  perang  kerana  dipercayai  bila-bila  masa
   sahaja   pengganas  akan  menyerang  lagi.    Mengalahkan
   Afghanistan   tidak   memberi   apa-apa   kesan    kepada
   peperangan melawan keganasan.
   
   
   KEGANASAN TERHADAP PALESTIN
   
   14.    Sebenarnya  kemungkinan  keganasan  berlaku  sudah
   bertambah   kerana   Israel,  yang   menindas   Palestin,
   mengambil   kesempatan   daripada   peperangan    melawan
   keganasan  untuk  bertindak lebih ganas  terhadap  rakyat
   Palestin.    Ariel   Sharon,  Perdana   Menteri   Israel,
   berpendapat  keganasan boleh dihentikan dengan  keganasan
   yang   lebih   dahsyat  terhadap  pihak   yang   kononnya
   melahirkan pengganas.
   
   15.    Tiap  kali  Israel  dan  rakyatnya  diserang  oleh
   pasukan  berani mati Palestin, Sharon mengarahkan  supaya
   sebilangan  yang  lebih  besar rakyat  Palestin  dibunuh.
   Puncak  terakhir ialah serangan ke atas  Jenin,  di  mana
   rumah  batu  diruntuh  dengan penghuninya  masih  ada  di
   dalam.   Maka beratus-ratuslah rakyat Palestin  terbunuh,
   jauh  lebih  ramai daripada rakyat Israel  yang  terbunuh
   oleh serangan bom manusia Palestin.  Tindakan Israel  ini
   bukan   sahaja   tidak  mengurangkan   keganasan   tetapi
   sebaliknya  menimbulkan kemarahan  yang  amat  sangat  di
   kalangan   semua  orang  Islam,  yang  mana   ini   boleh
   menyebabkan lebih banyak keganasan.
   
   16.   Israel  harus  ingat bahawa ia  berada  di  tengah-
   tengah  negara  Arab  dan Islam.   Sampai  bilakah  dapat
   Israel   bertindak  balas  dengan  lebih  kejam  terhadap
   rakyat  Palestin?  Jika Israel dapat membunuh semua  enam
   juta  rakyat Palestin pun, tidak ada jaminan orang  Islam
   dan  orang  Arab dari negara-negara di sekeliling  Israel
   tidak  akan mengganas seperti rakyat Palestin yang berani
   mati.   Ingatlah bahawa yang menyerang pada 11  September
   bukan  rakyat Palestin.  Mereka adalah dari negara-negara
   Islam  yang  di sekeliling Israel.  Tidak mungkin  Israel
   dapat    membunuh   1,300   juta   orang   Islam    untuk
   menyelamatkan dirinya.
   
   17.   Ariel  Sharon harus faham dan penyokong  Sharon  di
   dalam  dan  luar negeri juga harus faham bahawa mengganas
   lebih  daripada  keganasan  pengganas  bukan  cara  untuk
   menyelamatkan   Israel.   Kata  Mat  Salleh,   "you   are
   painting yourself into a corner."  Lebih kejam dan  ganas
   serangan Israel ke atas rakyat Palestin, lebih marah  dan
   lebih  naik  angin  bukan sahaja  orang  Palestin  tetapi
   semua  orang  Islam.  Dengan itu lebih sukar  lagi  untuk
   mencari  penyelesaian bagi masalah  Israel;  lebih  sukar
   lagi untuk menamatkan keganasan.  Hari ini pun sudah  ada
   puak-puak  di  kalangan  orang Palestin  dan  Islam  yang
   tidak  lagi sanggup berdamai dengan Israel.  Mereka ingin
   meneruskan   keganasan  sebagai  cara  membalas   dendam.
   Mereka  tidak  peduli  akan tindak  balas  Israel,  walau
   bagaimana  kejam  sekali pun.  Dan  mereka  tidak  peduli
   menang  atau  kalah asalkan mereka dapat  membunuh  orang
   Israel  dan  penyokong  mereka sebagai  balasan  terhadap
   kekejaman Israel.
   
   18.   Kita  khuatir  sesiapa  sahaja  daripada  mana-mana
   bangsa   yang  menyokong  Israel  akan  menjadi   sasaran
   serangan pengganas, di mana juga mereka berada, sama  ada
   dalam  negeri atau luar negeri.  Orang yang tidak berdosa
   antara  mereka  mungkin  dibunuh  atau  diculik.    Tidak
   mungkin  pengawal keselamatan diadakan bagi setiap  orang
   apabila  mereka ke sana-sini di seluruh dunia menjalankan
   urusan mereka.
   
   19.   Israel  perlu sedar akan "futility" atau sia-sianya
   pendekatan  yang  mereka ambil.   Penyokong  mereka  juga
   harus  sedar  bahawa  berperang  dengan  pengganas  tidak
   seperti  perang  biasa.  Dalam perang biasa  negara  yang
   menjadi  musuh  boleh  diserang sehingga  tentera  mereka
   dikalahkan,  sehingga  wilayah mereka  ditawan.   Apabila
   ini  berlaku  musuh akan menyerah kalah dan  perang  akan
   tamat.    Musuh  sekuat  Jepun  dan  Jerman   pun   boleh
   dikalahkan dengan cara ini.
   
   20.    Perang   melawan  pengganas  tidak  semudah   ini.
   Pengganas    bukan   pemerintah   yang   bertanggungjawab
   terhadap  kalah  menang negara.  Mereka tidak  berada  di
   negara  tertentu.  Mereka boleh berada  di  mana  sahaja.
   Mereka  boleh  menjadi  orang  biasa  di  satu  hari  dan
   menjadi pengganas pada hari esoknya.  Mereka bukan  askar
   yang   bertindak  secara  teratur  dan  mengikut  arahan.
   Kehilangan ketua tidak semestinya menghentikan  keganasan
   mereka.   Tidak  ada jaminan arahan ketua  akan  dipatuhi
   mereka,  termasuk  arahan  menghenti  mengganas,   arahan
   berhenti perjuangan.
   
   
   ATASI SEBAB UNTUK HENTI KEGANASAN
   
   21.   Hanya  yang akan menamatkan keganasan mereka  ialah
   apabila mereka dapati tidak ada sebab lagi kenapa  mereka
   perlu   mengganas.   Tidak  ada  manusia   yang   sanggup
   mengorbankan  nyawanya terutama meletupkan dirinya  tanpa
   sebab.   Oleh itu tentukanlah sebab mereka mengganas  dan
   hapuskanlah sebab itu.
   
   22.    Kita  tidak  syak  bahawa  sebab  utama  keganasan
   dilakukan  oleh pengganas Islam ialah kemarahan  terhadap
   Israel,  terhadap  rampasan wilayah Palestin  oleh  kuasa
   Barat  untuk  menubuh  Israel,  pengusiran  keluar  orang
   Palestin  dari  wilayah  mereka setelah  Israel  ditubuh,
   pembangunan  rumah haram oleh pemerintah Israel  di  atas
   tanah  Arab Palestin, meruntuh rumah-rumah orang Palestin
   dan  keganasan askar Israel menembak dan membunuh  rakyat
   Palestin  termasuk kanak-kanak yang hanya melontar  batu.
   Turut  menyebabkan kemarahan orang Islam ialah penindasan
   ke  atas  negara-negara Islam lain  dan  orang  Islam  di
   merata dunia.
   
   23.   Jika keganasan hendak dihentikan maka kezaliman dan
   penindasan   Israel  ke  atas  Palestin   dan   rakyatnya
   hendaklah  dihentikan  dengan  segera  terlebih   dahulu.
   Wilayah   Palestin  perlu  dikembalikan   kepada   rakyat
   Palestin.
   
   24.   Orang Islam, orang Arab bukanlah degil dan  ketegar
   secara  buta  tuli.   Mereka sanggup  mengiktiraf  Israel
   jika  Israel memberhentikan keganasan mereka, kembali  ke
   wilayah   asal  Israel  dan  membenar  pelarian  Palestin
   kembali  ke tanah mereka, sama ada dalam Israel  atau  di
   Palestin.   Israel  perlu  mengiktiraf  Palestin  sebagai
   negara  yang  berdaulat.  Wilayah Palestin yang  diduduki
   oleh   rakyat   Israel   mestilah   dikembalikan   kepada
   Palestin.
   
   25.   Walaupun terdapat banyak punca dan sebab  keganasan
   berlaku,   tetapi   punca  terbesar  ialah   Israel   dan
   penguasan secara ganas wilayah Palestin olehnya.   Kuasa-
   kuasa    besar    perlu   tangani   masalah    ini    dan
   menyelesaikannya jika mereka ingin menamatkan  sebahagian
   besar keganasan dan dunia dibebaskan daripada ketakutan.
   
   
   ANCAMAN GLOBALISASI
   
   26.    Selain  daripada  ancaman  perang  dan   keganasan
   terdapat  banyak kepincangan dan masalah  bagi  dunia  di
   permulaan  abad  ke  21 ini.  Semasa Perang  Dingin  puak
   Kapitalis  membendung nafsu mereka kerana  takut  negara-
   negara   miskin   memilih  komunisme  sebagai   ideologi.
   Tetapi  tamatnya  Perang  Dingin telah  membebaskan  puak
   kapitalis  untuk melayan nafsu mereka tanpa  had.   Tidak
   puas  dengan meraih kekayaan dalam negara sendiri, mereka
   ingin  membolot  semua kekayaan yang terdapat  di  dunia.
   Dengan    mengambil   kesempatan   daripada   perhubungan
   telekomunikasi  dan  penerbangan jet yang  pantas  mereka
   mencipta konsep dunia tanpa sempadan dan globalisasi.
   
   27.   Mereka  begitu geram melihat wilayah yang  ditakluk
   oleh  mereka  dahulu mencapai kemerdekaan dan  menghalang
   eksploitasi  oleh  mereka.   Tidak  puas  dengan   agensi
   antarabangsa  dan  penubuhan badan-badan  bukan  Kerajaan
   sebagai  agen  mereka untuk menidakkan kebebasan  negara-
   negara  yang  baru merdeka ini, dengan mendakwa  sempadan
   negara  tidak penting lagi, mereka berharap mereka  dapat
   kembali   untuk  menguasai  semula  tanah-tanah   jajahan
   mereka dahulu.
   
   28.    Mereka  mentafsirkan  dunia  tanpa  sempadan  atau
   globalisasi   sebagai  kebebasan  bagi  modal   melintasi
   sempadan  tanpa peraturan atau syarat untuk negara-negara
   yang  bebas  dan berdaulat melindungi diri.  Oleh  kerana
   negara miskin tidak mempunyai modal, kebebasan ini  tidak
   dapat  dimanfaatkan oleh mereka.  Selain  daripada  modal
   tidak  ada  kebebasan melintasi sempadan.  Rakyat  negara
   miskin tidak boleh berhijrah ke negara kaya.
   
   29.   Kononnya kemasukan modal akan memperkayakan  negara
   miskin.   Yang  tidak  disebutkan  ialah   apabila  modal
   ditarik  keluar, terutama secara mendadak,  negara-negara
   yang  sederhana maju pun boleh menjadi miskin dan  merana
   dalam sekelip mata.
   
   30.   Inilah  yang  dilakukan semasa krisis  kewangan  di
   Asia  Timur.   Kerana  kononnya negara-negara  Timur  ini
   tidak  ditadbir dengan telus dan baik maka mereka diramal
   akan   mengalami  kemerosotan  ekonomi.   Untuk  mengelak
   daripada  kerugian,  pelabur asing  menarik  keluar  dana
   mereka   dan  spekulator  matawang  menjual   wang   yang
   kononnya  dimiliki oleh mereka dalam pasaran wang  secara
   mendadak.   Dengan  tindakan ini maka merosot  sungguhlah
   ekonomi  negara-negara ini dan beruntunglah  mereka  yang
   menjual saham dan wang yang kononnya mereka miliki.
   
   31.   Semua konsep dagangan wang ini dicipta oleh  mereka
   semata-mata  untuk  mereka meraih keuntungan.   Kenyataan
   yang  sebenar  ialah  pentadbiran  yang  dikatakan  tidak
   telus   dan   kurang  cekap  sebenarnya   telah   berjaya
   membangunkan negara-negara Asia Timur dengan  amat  pesat
   sehingga  mereka digelar sebagai harimau  ekonomi.   Yang
   benar  ialah  kemerosotan  negara-negara  ini  disebabkan
   oleh   penyangak  matawang  yang  menjual  secara  besar-
   besaran  matawang  negara-negara ini dan  pemain  pasaran
   saham  yang  menjual secara jualan singkat  atau  "short-
   selling" saham dalam bursa saham.
   
   32.   Walaupun ini semua jelas membawa malapetaka ekonomi
   tetapi  pihak-pihak tertentu masih enggan  meminda  rejim
   kewangan  antarabangsa.  Mereka ingin  mengekalkan  rejim
   ini  supaya  mereka  dapat terus meraih  keuntungan  bagi
   diri mereka.
   
   33.   Kita lihat bagaimana banyaknya negara di dunia yang
   menjadi  amat  miskin  sehingga  tidak  dapat  dipulihkan
   kerana  sistem  kewangan antarabangsa ini.   Sesungguhnya
   sistem  kewangan  antarabangsa dan dunia  tanpa  sempadan
   atau  globalisasi  menjadi  ancaman  dan  cabaran  kepada
   negara   kecil  seperti  kita.   Bukanlah  kita   menolak
   globalisasi   secara   total  tetapi   kita   berpendapat
   tafsiran  yang  hanya  memberi  kebebasan  kepada   modal
   melintasi sempadan adalah amat merbahaya.
   
   34.    Kita  juga  khuatir  akan  tujuan  bank-bank   dan
   syarikat-syarikat  gergasi meneruskan percantuman  mereka
   untuk  menjadi  lebih besar.   Jika mereka dibenar  masuk
   dan  bermaharajalela di negara kecil sudah  tentu  mereka
   akan  menguasai  semua  perniagaan  dan  ekonomi  negara-
   negara  ini.  Syarikat-syarikat  dan  bank-bank  tempatan
   akan  ditelan  oleh  mereka.  Kita  percaya  dalam  usaha
   untuk    meningkatkan   keuntungan   mereka,   sebahagian
   daripada  pekerja  bank atau syarikat yang  ditelan  oleh
   mereka  akan  digugurkan.  Akhirnya rakyat  negara  kecil
   tidak   lagi  akan  memiliki  perniagaan  sendiri  tetapi
   menjadi pekerja upahan gergasi asing.
   
   35.   Yang  lebih  menakutkan ialah  gergasi-gergasi  ini
   akan  menjadi begitu besar, kuat dan berpengaruh sehingga
   dapat  menguasai  politik negara.  Ini telah  berlaku  di
   Amerika  Tengah  di  mana pengurus  ladang  pisang  dapat
   menentukan   siapa   menjadi  Presiden   negara.    Tidak
   mustahil  ini  juga akan berlaku apabila  gergasi-gergasi
   asing  sudah  menguasai ekonomi dunia  sepenuhnya.   Tiap
   gergasi  ini  adalah berpuluh kali lebih  besar  daripada
   segi kewangan daripada majoriti negara-negara membangun.
   
   36.   Negara kita Malaysia tetap menjadi sasaran.   Media
   asing   tidak  berhenti-henti  memburukkan  negara   ini.
   Segala pendapat, pendirian dan amalan kita dikecam  hebat
   oleh  mereka.   Apatah lagi kita adalah negara  Islam  di
   mana  orang  Islam menjadi majoriti dan menguasai  negara
   ini.  Kejayaan kita hanya menimbulkan perasaan geram  dan
   benci  yang  berlebihan di kalangan mereka.   Jika  tidak
   kerana  ini  apakah  sebabnya mereka  mencaci  kita  yang
   bukan-bukan,  seolah-olah kita tidak pernah membuat  apa-
   apa yang baik sama sekali?
   
   
   NASIB MALANG UMAT ISLAM
   
   37.   Sebelum  pun berlaku peristiwa 11 September,  agama
   Islam  dan  umat  Islam sudah dituduh sebagai  agama  dan
   orang  yang mundur, tidak mampu memerintah dan  membangun
   negara  sendiri  dan  sering terlibat  dengan  keganasan.
   Pandangan  ini menjadi lebih buruk selepas 11  September.
   Hari  ini sesiapa yang memiliki nama Islam diberi layanan
   yang   buruk.    Mereka   ditahan,   disoal,   diperiksa,
   diserang,   bahkan   dibunuh  dengan  sewenang-wenangnya.
   Pemilikan  kad  kredit tertentu pun  ditegah  bagi  orang
   Islam.
   
   38.   Jelas sekali di waktu ini umat Islam amat tertindas
   dan  terhina  di  dunia.   Kita  kecewa  kerana  walaupun
   mereka  sering  bercakap  berkenaan  hak  asasi  manusia,
   berkenaan   keadilan,   tetapi  orang   Islam   nampaknya
   dikecualikan,  tidak berhak dan boleh ditindas  bila-bila
   dan di mana-mana sahaja.
   
   39.   Sementara kita boleh menuntut supaya mereka berlaku
   lebih  adil kepada kita orang Islam, tetapi adalah  sukar
   untuk   memperbaiki  sikap  dan  tindakan   orang   lain,
   terutama   yang  bermusuh  dengan  kita.   Adalah   lebih
   mungkin  dan lebih baik kita cuba memperbaiki sikap  kita
   sendiri.
   
   40.   Hakikatnya ialah kita orang Islam sudah tidak  lagi
   berpegang  kepada  ajaran Islam yang sebenar.   Hari  ini
   orang  Islam dan negara-negara Islam lebih kuat  bermusuh
   sesama  sendiri  daripada  bermusuh  dengan  orang  bukan
   Islam  atau negara bukan Islam yang bermusuh dengan kita.
   Walaupun  kita sedang diserang oleh musuh,  kata  sepakat
   berkenaan  dengan  pertahanan kita pun tidak  dapat  kita
   capai.   Ada  antara  orang Islam dan negara  Islam  yang
   lebih  sanggup  bersubahat dengan  musuh  Islam  daripada
   bekerjasama dengan orang Islam atau negara Islam.
   
   41.     Sejak   kejatuhan   Empayar   Othmaniah    kerana
   mengabaikan  ajaran Islam, tidak ada  negara  Islam  yang
   mengikut ajaran Al-Quran supaya melengkapkan diri  dengan
   senjata   yang   cukup  untuk  menggerunkan   musuh   dan
   mengadakan  pertahanan  yang  mampu  mengalahkan   musuh.
   Dengan  menolak  ilmu  dan  perindustrian,  negara-negara
   Islam  terpaksa mendapatkan senjata daripada  orang  lain
   termasuk  daripada  musuh mereka.   Sudah  tentu  senjata
   yang   diperolehi  tidak  setaraf  dengan  senjata   yang
   dimiliki  oleh musuh.  Oleh itu senjata dan bala  tentera
   negara  Islam  tidak sedikit pun menggerunkan  musuh  dan
   mampu  mempertahankan negara Islam, sesuatu yang dituntut
   oleh agama Islam, sesuatu yang menjadi fardu kifayah.
   
   42.   Bahawa  orang  Islam membelakangkan  fardu  kifayah
   tidak  mengganggu pemikiran mereka.  Mereka hanya menumpu
   kepada  fardu ain dan berdoa memohon pertolongan daripada
   Allah  s.w.t.   Mereka lupa bahawa Allah telah  berfirman
   bahawa  Tuhan  tidak  akan mengubah  nasib  sesuatu  kaum
   melainkan  kaum  itu  berusaha  untuk  mengubah  nasibnya
   sendiri.   Jelas sekali berdoa sahaja tidak akan mengubah
   nasib  orang  Islam.   Mereka perlu berusaha  bersungguh-
   sungguh  untuk memperbaiki nasib mereka dengan  meningkat
   keupayaan  mencipta, mengeluar dan mengguna senjata  yang
   canggih untuk pertahanan diri dan maruah mereka.
   
   43.    Orang  Islam  juga  harus  ingat  bahawa  Al-Quran
   menegaskan  bahawa segala keburukan yang  berlaku  adalah
   daripada  mereka  sendiri dan segala  kebaikan  datangnya
   daripada  Allah  s.w.t.  Jika nasib malang  menimpa  umat
   Islam,   ia  adalah  kerana  mereka  sendiri.   Janganlah
   sesiapa  cuba  melepas tangan dengan mendakwa  malapetaka
   yang  menimpa  mereka adalah takdir  kerana  jika  mereka
   berusaha  memperbaiki nasib mereka sehingga berjaya,  itu
   juga  adalah takdir.  Untuk memperbaiki nasib mereka maka
   mereka   harus   cekap   dan   berjaya   mentadbir    dan
   membangunkan negara-negara mereka, menguasai segala  ilmu
   dan kecekapan yang diperlukan untuk maksud ini.
   
   44.    Yang   amat  malang  lagi  ialah  apabila   sahaja
   pemerintah   sesebuah  negara  Islam  cuba   membangunkan
   negara  serta  ketahanannya  dengan  mengejar  ilmu   dan
   kecekapan   dalam   bidang-bidang   seperti   sains   dan
   teknologi  maka  akan muncullah kumpulan  yang  menentang
   percubaan  ini  kerana  kononnya ini  adalah  bukti  yang
   pemerintahan  adalah sekular dan tidak  Islam  dan  perlu
   dijatuhkan.   Mereka ini kerap menggunakan Islam  sebagai
   nama  gerakan  mereka untuk menghalalkan  tindakan  ganas
   mereka.    Walaupun  mereka  menamakan  kumpulan   mereka
   Persaudaraan  Islam atau Parti Allah  atau  Parti  Islam,
   mereka  tidak  segan-segan  membelakangkan  ajaran  Islam
   dengan   mengkafirkan  Pemerintahan  negara,  dan  mereka
   sanggup  membunuh  kepimpinan Kerajaan  Islam  dan  orang
   Islam  lain  dalam usaha untuk menghalang  kemajuan  yang
   mereka dakwa sekular itu.
   
   45.   Sibuk  dengan mempertahankan diri daripada  ditikam
   dari  belakang oleh puak yang telah "hijack"  Islam  ini,
   Pemerintah  negara-negara Islam tidak dapat  membangunkan
   negara  dan meningkatkan  pertahanan.  Dengan  itu  musuh
   Islam  dapat  dengan mudah menindas negara-negara  Islam,
   orang  Islam dan agama Islam.  Tidaklah keterlaluan  jika
   dikatakan  bahawa  kumpulan yang  telah  "hijack"  Islam,
   yang  menentang  penguasaan  ilmu  selain  daripada  yang
   khusus  berkenaan  dengan  agama  Islam  dan  dengan  itu
   melemahkan  negara Islam adalah pengkhianat, yang  secara
   langsung  atau  tidak langsung bersubahat  dengan  musuh-
   musuh Islam dan menolong menindas orang Islam dan negara-
   negara Islam.
   
   46.   Inilah perkara-perkara yang perlu diberi  perhatian
   oleh   orang  Islam  dan  negara  Islam.   Mereka   perlu
   betulkan  diri mereka, perlu kembali kepada ajaran  Islam
   yang  sebenar demi menyelamatkan diri mereka.  Tidak  ada
   gunanya  mengutuk dan mendesak musuh Islam  supaya  tidak
   menindas  orang  Islam, supaya berperikemanusiaan.   Jika
   kita  begitu sukar menukar sikap kita untuk kebaikan diri
   kita  sendiri apakah dapat kita menukar sikap orang  lain
   dan musuh kita supaya kita mendapat manfaat daripadanya?
   
   
   UMNO SATUKAN MELAYU
   
   47.    Kita  perlu  lihat  semula  keadaan  di  Malaysia.
   Selama   450  tahun  yang  kita  dijajah  oleh  Portugis,
   Belanda,  British,  Jepun dan Siam,  tidak  ada  sebarang
   usaha  yang bersungguh-sungguh untuk membebaskan  negeri-
   negeri   Melayu.   Orang  Melayu  begitu  lemah  semangat
   sehingga  mereka  percaya hanya orang putih  sahaja  yang
   mampu   memerintah  negeri-negeri  mereka.   Jika   tidak
   kerana  Jepun,  bangsa  Asia yang bukan  berkulit  putih,
   mengalahkan  Penjajah British, mungkin orang Melayu  hari
   ini  pun  tidak akan menuntut kemerdekaan,  kerana  tidak
   percaya  kepada  diri sendiri sebagai  orang  yang  mampu
   mentadbir dan memajukan negeri-negeri Melayu.
   
   48.   Kesilapan  British ialah mereka terlalu  tamak  dan
   ingin   menjadi  negeri-negeri  yang  diletak  di   bawah
   naungan mereka sebagai tanah jajahan milik mereka  secara
   langsung.   Raja-Raja Melayu hendak dijadikan Kadi  Besar
   sahaja  yang  bertanggungjawab terhadap agama  Islam  dan
   adat  istiadat  Melayu.   Siapa sahaja  yang  tinggal  di
   Tanah  Melayu tanpa mengira kaum, pendatang  atau  tidak,
   masih  berwarganegara  asing atau tidak,  akan  diiktiraf
   sebagai  warga negara Malaya dengan hak yang sama  dengan
   anak  watan.  Oleh kerana orang Melayu begitu daif, dalam
   keadaan ini mereka akan kehilangan hak sama sekali.
   
   
   
   49.   Buat  kali pertama orang Melayu terkejut,  terkejut
   kerana mereka akan menjadi "the disposessed in their  own
   land",   orang  yang  tidak  berhak  di  negara  sendiri.
   Keadaan  mereka  mungkin jadi seperti orang  Palestin  di
   Palestin,  atau orang Red Indian di Amerika Syarikat  dan
   Kanada,  orang  Maori  di  New  Zealand.   Miskin,  tidak
   berilmu   pengetahuan,  terbahagi  kepada   negeri-negeri
   kecil  dengan kesetiaan terhad kepada raja masing-masing,
   tidak  bersenjata  dan tidak mempunyai badan  yang  boleh
   mewakili  mereka,  ternampak jelas  bahawa  orang  Melayu
   akan  kehilangan  tanahair mereka.  Mereka  akan  menjadi
   kuli  di negeri sendiri, diperintah oleh orang lain  yang
   jauh  lebih  kaya, lebih terpelajar dan lebih  dipercayai
   oleh penjajah untuk mengikuti telunjuk mereka.
   
   50.   Tetapi  Alhamdulillah, di  saat  yang  genting  ini
   timbul  kesedaran dengan mendadak dan meluas di  kalangan
   orang   Melayu   akan  pentingnya  mereka  membelakangkan
   kenegerian  mereka  dan  bersatu  dalam  satu  pertubuhan
   untuk menangkis rancangan Malayan Union British.
   
   51.    Semua   pertubuhan  Melayu   dari   semua   negeri
   Semenanjung dan Selat sebulat suara bersetuju  menubuhkan
   sebuah  pertubuhan yang dinamakan United Malays  National
   Organisation, nama perpaduan yang diilhamkan oleh  United
   Nations Organisation atau UNO pada masa itu.  Hanya  yang
   mengecualikan  diri ialah Malay Nationalist  Party  (MNP)
   pimpinan Dr. Burhanudin Al Helmi dan Ahmad Boestaman.
   
   52.   Kita  bersyukur  beribu kali kerana  di  waktu  itu
   orang   Melayu  mengutamakan  perpaduan.   UMNOlah   yang
   menyatupadukan orang Melayu.  Tidak ada badan  lain  yang
   dapat  menjayakan  perpaduan ini, perpaduan  yang  begitu
   penting  untuk menjayakan perjuangan orang Melayu melawan
   Malayan Union British.
   
   53.   Dato  Onn  Jaafar  dipilih sebagai  pemimpin  agung
   Melayu  bersatu ini, bersama dengan beberapa  tokoh  lain
   yang   muncul  dari  negeri  Melayu  dan  negeri   Selat.
   Demikianlah perpaduan dan sokongan padu kepada  UMNO  dan
   kepimpinannya    sehingga   British,   yang    sebelumnya
   berurusan semata-mata dengan Raja-Raja Melayu yang  telah
   mereka  ugut  tidak akan mengiktiraf jika tidak  mengikut
   telunjuk  mereka,  terpaksa menerima UMNO  sebagai  suara
   tunggal Melayu Bersatu.
   
   54.   Malayan Union British terpaksa digugur dan  diganti
   dengan  Persekutuan Tanah Melayu.  Pemimpin UMNO dilantik
   ke  Federal   Legislative Council atau Majlis Perundangan
   Persekutuan  dalam sistem "Member" yang  bertanggungjawab
   terhadap  portfolio tertentu.  Mereka ini diberi  gelaran
   "Honourable", dan elaun serta kemudahan lain.  Di negeri-
   negeri  pula,  ramai pemimpin UMNO dilantik sebagai  ahli
   Majlis Negeri masing-masing.
   
   
   AGAMA ISLAM DIPERALAT
   
   55.   Maka  sedarlah  orang Melayu bahawa  politik  boleh
   mendatangkan  jawatan,  pangkat dan  gelaran  dan  upahan
   yang  dianggap  lumayan.  Di waktu inilah beberapa  ulama
   UMNO  mula  meragui akan masa depan mereka sebagai  tokoh
   UMNO.   Mereka ternampak bahawa walaupun ada  orang  yang
   berpelajaran  agama  dipilih untuk menganggotai  beberapa
   Majlis  Negeri, tetapi tidak ramai daripada  mereka  yang
   akan  dicalonkan  dan berpeluang memegang jawatan-jawatan
   tinggi  dalam  Kerajaan  Pusat  dan  Negeri.   Kekecewaan
   mereka  menyebabkan  mereka  memisahkan  diri  dari  UMNO
   untuk  menubuh  parti  lain.  Sedar akan  betapa  kuatnya
   pegangan  orang Melayu kepada agama Islam,  mereka  pilih
   untuk  mengguna  agama Islam sebagai alat  untuk  menarik
   sokongan  orang  Melayu.   Dengan  itu  dinamakan   parti
   mereka Pan Malayan Islamic Party atau PMIP.
   
   56.   Semasa UMNO sibuk berjuang untuk kemerdekaan,  PMIP
   cuba   mengembangkan  pengaruh  melalui   sekolah-sekolah
   pondok dan Tok Guru-Tok Guru dengan mengguna agama  Islam
   sebagai  asas menentang perpaduan dalam UMNO  dan  dengan
   menjanjikan Tok Guru-Tok Guru peluang untuk menjadi  Yang
   Berhormat dengan elaun yang cukup lumayan.
   
   57.   Alhamdulillah, orang Melayu menolak PMIP dan  terus
   memberi  sokongan  padu kepada UMNO.   Dalam  Pilihanraya
   yang   terpenting  pada  1955,  PMIP  menang  hanya  satu
   daripada  52  kerusi  yang dipertandingkan.   Jika  dalam
   pilihanraya ini PMIP memenangi sebilangan besar  daripada
   kerusi tersebut, besar kemungkinan kemerdekaan pada  1957
   tidak   tercapai.    Ini  adalah  kerana   PMIP   menolak
   kemerdekaan  kononnya  kerana orang  Melayu  belum  mampu
   memerintah   dan  menguasai  Kerajaan  Malaya  disebabkan
   orang  bukan  Melayu  lebih kaya dan  berpengaruh  dengan
   British  dan  British  tidak akan  menyerah  pemerintahan
   Malaya yang merdeka kepada orang Melayu.
   
   58.    Kemenangan  51  daripada  52  kerusi  oleh   Parti
   Perikatan  dan penolakan oleh orang Melayu, yang  menjadi
   majoriti  terbesar  daripada pengundi  Persekutuan  Tanah
   Melayu   jajahan  British,  terhadap  parti-parti   lain,
   memaksa  British  menerima  UMNO  dan  Perikatan  sebagai
   mewakili  Malaya  pada ketika itu.   Dan  hasilnya  ialah
   kemerdekaan   dua   tahun  lebih   awal   daripada   yang
   dibayangkan oleh Colonial Office, London.
   
   59.   Yang  menjayakan  perjuangan orang  Melayu,  bangsa
   yang  dijajah 450 tahun, bangsa yang lemah,  bangsa  yang
   tidak  mempunyai kekayaan, tidak mempunyai cerdik pandai,
   tidak  memiliki senjata atau pasukan perang untuk merebut
   kemerdekaan;  ialah  perpaduan yang erat  antara  mereka.
   Ini  sahajalah senjata yang ada pada mereka, senjata yang
   begitu  mustajab  sehingga dapat mengalahkan  satu  kuasa
   dunia yang baru sahaja menang perang besar.
   
   
   PERPECAHAN MELAYU
   
   60.   Hari  ini  orang  Melayu sudah  tidak  mengutamakan
   perpaduan  lagi.  Apa sahaja boleh memecahbelahkan  orang
   Melayu.  Rebutan tempat dalam parti, sangkaan buruk  yang
   tidak  berasas kepada pemimpin, kekecewaan dalam mendapat
   peluang  perniagaan, hasutan oleh parti  lawan,  perasaan
   terlalu   terselamat   dan  berbagai-bagai   lagi   boleh
   memecahbelahkan orang Melayu.
   
   
   
   61.   Mereka  bukan sahaja sanggup berpecah tetapi  ramai
   yang   sanggup  bersubahat  dengan  orang  yang  bermusuh
   dengan  orang Melayu untuk menggagalkan perjuangan  orang
   Melayu.   Demikian  PAS  yang  dahulu  mengkafirkan  UMNO
   kerana  bekerjasama  dengan orang bukan  Islam,  sekarang
   sanggup  berpeluk-peluk dengan pemimpin DAP yang  menolak
   Malaysia  sebagai negara Islam.  Namun masih ramai  orang
   Melayu  yang  tidak  mahu  bersatupadu  dalam  UMNO  atau
   sekurang-kurangnya  tidak  mengasingkan   diri   daripada
   majoriti  orang Melayu yang menyokong UMNO.  Nikmat  yang
   banyak   yang   mereka  terima  hasil   perjuangan   UMNO
   dilupakan  kerana  mereka  diajar  oleh  pihak   tertentu
   supaya tidak berterima kasih apabila diberi sesuatu.
   
   62.   Tuduhan yang dilempar terhadap UMNO tidak  berkesan
   pada  tahun 1955 tetapi mengkafir UMNO memberi kemenangan
   kepada  PAS  di Kelantan dan Terengganu pada tahun  1959.
   Sejak  itu  serangan  terhadap UMNO yang  kononnya  tidak
   Islam  telah dipertingkatkan oleh PAS.  Sekarang  tuduhan
   dibuat  kononnya  pemimpin UMNO tidak percaya  pada  hari
   akhirat  dan  bermacam-macam lagi.  Penyokong  PAS  tidak
   menyoal   apakah  buktinya  bahawa  tuduhan-tuduhan   ini
   benar.   Bagi  mereka  apa sahaja tuduhan  yang  dilempar
   terhadap  UMNO  oleh  pemimpin mereka  mestilah  dianggap
   sebagai  benar.   Dan  mereka  terus  membenci  UMNO  dan
   mengekalkan perpecahan di kalangan orang Melayu.
   
   63.   Perpecahan semakin ketara berlaku di kalangan orang
   Melayu  disebabkan  serangan-serangan yang tidak  berasas
   ke  atas  UMNO.   Dalam  sistem demokrasi  memanglah  ada
   peranan bagi parti pembangkang.  Tanpa pembangkang  parti
   pemerintah  mungkin membuat kesalahan yang banyak  kerana
   tidak  ditegur.   Perpecahan yang  boleh  berlaku  kerana
   salah   laku   Pemerintah  tidaklah   serius.    Walaupun
   sokongan diberi kepada parti lawan, tetapi kesedaran  dan
   kesetiaan  kepada bangsa dan agama masih boleh  diadakan.
   Apabila  bangsa  atau agama terancam maka pemerintah  dan
   pembangkang  boleh  bersatu untuk  maksud  mempertahankan
   bangsa  dan agama sendiri.  Dalam perkara-perkara politik
   biasa  kelainan  pendapat atau pendirian, walaupun  boleh
   memisah  penyokong-penyokong, tidaklah  sehingga  menjadi
   musuh  ketat  yang tidak boleh bekerjasama  sama  sekali,
   tidak  boleh  beribadat  bersama dan  merapatkan  barisan
   apabila diancam oleh musuh luar.
   
   
   POLITIK BENCI HALANG PERPADUAN
   
   64.   Tetapi  kita dapati permusuhan terhadap UMNO  bukan
   lagi  kerana  perbezaan pendapat berkenaan  politik  atau
   pun  agama.   Permusuhan terhadap  UMNO  oleh  sebilangan
   daripada orang Melayu hasil daripada pengaruh PAS  adalah
   disebabkan  perasaan  benci yang  amat  sangat,  perasaan
   benci  yang  disemai  dan  dipupuk  dari  kecil  sehingga
   menjadi  sebahagian  daripada budaya  orang  ini.   Orang
   UMNO  bukan  sahaja dianggap tidak Islam tetapi  pemimpin
   UMNO  digambarkan  sebagai  `Firaun'  dan  maaf,  sebagai
   `barua'.  Sebabnya tuduhan ini dibuat tidak perlu  disoal
   atau dijelaskan.  Bencikan sahaja.
   
   
   
   65.   Di  zaman Jahilliah, Kabilah-kabilah Arab berperang
   sesama  mereka,  kerana mereka adalah musuh  antara  satu
   dengan  yang  lain.   Kenapa mereka bermusuh  tidak  lagi
   diingati  atau diketahui oleh mereka.  Yang  utama  ialah
   mereka  adalah  musuh  dan jika  mereka  berjumpa  mereka
   mesti  berperang,  mesti membunuh.  Kabilah-kabilah  Arab
   Jahilliah  ini cuma berhenti berperang apabila diIslamkan
   oleh  Rasullullah.  Sebagai penganut agama  Islam  mereka
   bersatupadu   dan  mereka  berjaya  akhirnya   mendirikan
   empayar yang terbesar yang kekal selama 1300 tahun.
   
   66.   Jelas  sekali bahawa kebencian yang  tidak  berasas
   yang  dipupuk dalam hati sanubari pengikut PAS dari kecil
   sehingga tidak dapat berfikir, dan permusuhan yang  ketat
   hasil  daripadanya;  kebencian ini  menghalang  perpaduan
   walaupun apabila menghadapi musuh yang sama.
   
   67.   Inilah  keadaan yang kita lihat di  kalangan  orang
   Melayu  sekarang.   Politik yang tidak rasional,  politik
   benci  sudah  menular sehingga menghancurkan  nilai  yang
   mulia  yang  diajar  oleh agama Islam seperti  bersyukur,
   berterima kasih, bersaudara sesama Islam dan lain-lain.
   
   
   MELAYU MASIH KURANG MAJU
   
   68.   Orang  Melayu  yang juga orang Islam  yang  teramai
   sekali  di  Malaysia belum selamat.  Orang  Melayu  masih
   menjadi  kaum yang lemah, kaum yang termiskin  di  negara
   kita  ini.  Ya, Malaysia sudah banyak maju, tetapi  orang
   Melayu  masih  kurang  maju.  Jika kita  keluarkan  orang
   Cina  dengan  segala-gala yang dibina dan  dimiliki  oleh
   mereka,  tidak  akan  ada  bandar  kecil  atau  besar  di
   Malaysia,  tidak akan ada perniagaan dan perusahaan,  dan
   tidak  akan  ada  dana  daripada  cukai  pendapatan   dan
   korporat  untuk  membiayai segala  subsidi,  bantuan  dan
   kemudahan untuk orang Melayu.  Orang Melayu akan  kembali
   ke   zaman   mereka   dijajah   dahulu,   miskin,   tidak
   berpelajaran dan dihina oleh siapa sahaja.  Jangan  fikir
   selepas  UMNO, PAS tetap akan memerintah.  Dalam politik,
   yang tidak dijangka boleh berlaku.
   
   69.   Orang Melayu belum selamat.  Tetapi kita boleh jadi
   selamat,  kita  boleh  majukan  diri  kita,  kita   boleh
   menebus  sepenuhnya maruah kita, bangsa kita,  jika  kita
   sedar  akan  bahaya  yang kita hadapi sekarang  dan  kita
   membuat persiapan untuk mengatasinya.
   
   70.   Yang pertamanya, jika pun kita harus berpolitik dan
   berparti,  janganlah ada pemisahan antara  kita  sehingga
   apabila  kita  hadapi musuh ataupun  masalah  yang  sama,
   kita  tidak  dapat  bertindak  bersama  dengan  serentak,
   dengan   satu  tujuan.   Apakah  salahnya  kita  memiliki
   pendirian yang sama apabila saudara seagama kita  dibunuh
   beramai-ramai  oleh orang Israel?  Apakah  dalam  perkara
   ini  pun  kita  perlu  mengutamakan politik  parti  lebih
   daripada  agama?  Apakah tidak ada langsung  persaudaraan
   Islam  antara kita?  Janganlah mengkafirkan  orang  Islam
   dengan    sewenang-wenangnya   sehingga    tidak    dapat
   bersaudara  atau  pun sekurang-kurangnya  bekerjasama  di
   hadapan  musuh  yang sama.  Biarlah musuh yang  sama  ini
   dikalahkan   dahulu,  dan  kemudian   kembalikan   kepada
   `permusuhan' sesama kita.
   
   
   KECAMAN DEB TAK BERASAS
   
   71.   Dalam  menghadapi masalah dalaman juga  kita  orang
   Melayu  sering  berjumpa musuh yang sama.   Apabila  kita
   lancarkan  Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk kebaikan  semua
   orang  Melayu  dan juga Bumiputera lain sepatutnya  semua
   orang  Melayu bersatu hati menyokong DEB.  Buat  beberapa
   ketika  tidak  ada tentangan oleh orang  Melayu  terhadap
   DEB.
   
   72.   Tetapi  apabila orang asing dan media  mereka  mula
   menuduh  kononnya DEB hanya menguntungkan beberapa  kroni
   Kerajaan,   tanpa   usul   periksa   pembangkang   Melayu
   menyambut  tuduhan  ini dan mengecam  DEB.   Yang  mereka
   lihat  hanyalah  peluang  untuk  mengutuk  Kerajaan   dan
   mendapat  "political  mileage"   daripada  tuduhan   ini.
   Biarlah  orang  Melayu  gagal dan  merana  asalkan  parti
   dapat  sokongan  lebih  sedikit.  Tidakkah  mereka  sedar
   orang  asing  ini mempunyai agenda yang lain  dan  mereka
   tidak  suka melihat orang Melayu berjaya, terutama kerana
   kita dapat mempertahankan kebebasan kita, budaya kita?
   
   73.   Asyik  dengan peluang mendapat keuntungan  politik,
   orang  Melayu  ini lupakan sama sekali akan  peluang  dan
   biasiswa  yang membolehkan ratusan ribu anak Melayu  yang
   dahulu tidak mungkin berpelajaran tinggi, menuntut  aneka
   jenis  ilmu  sehingga  ke peringkat  universiti.   Mereka
   tidak  ternampak bagaimana semua Naib Canselor universiti
   terdiri  daripada  orang Melayu, demikian  juga  majoriti
   profesor  dan  pensyarah.  Mereka tidak menghargai  lebih
   40  dana  yang diadakan untuk membantu peniaga Melayu  di
   semua  peringkat,  dan puluhan ribu kontrak  yang  diberi
   kepada  beribu-ribu  kontraktor  Melayu.   Mereka   tidak
   ambilkira  ribuan  lesen,  AP, dan  saham-saham  syarikat
   orang  lain  yang diperuntukkan kepada beribu-ribu  orang
   Melayu melalui Akta Penyelarasan Industri.
   
   74.   Kerajaan juga menyediakan RM 3 bilion sebagai modal
   kepada  PNB  yang menubuhkan beberapa Saham  Amanah  yang
   berjaya   menjadikan  7.28  juta  Melayu  pemilik   saham
   syarikat-syarikat   besar  di  Malaysia   dengan   jumlah
   pelaburan  sebanyak RM 34.89 bilion.    Saham-saham  yang
   diperuntukkan  kepada PNB adalah hasil penyusunan  semula
   atau  penubuhan  syarikat-syarikat baru yang  disyaratkan
   oleh  DEB supaya menjual 30 peratus daripada saham mereka
   kepada Bumiputera.
   
   75.   Sesungguhnya  jika tidak kerana PNB,  Saham  Amanah
   dan  badan-badan  milik Kerajaan yang diurus  khas  untuk
   orang  Melayu,  hari  ini pencapaian Dasar  Ekonomi  Baru
   hanyalah  dua  peratus  sahaja.  Sebabnya  ialah  apabila
   saham  dijual kepada pelabur Melayu, mereka terus menjual
   balik  saham itu kepada bukan Bumiputera.  Demikian  juga
   dengan  lesen,  AP  dan  kontrak  yang  diberikan  kepada
   mereka.
   
   76.    Hanya  beberapa  orang  sahaja  daripada  peniaga,
   kontraktor  dan  pengusaha  Melayu  yang  tidak   menjual
   peluang   yang   diberi  kepada  mereka  untuk   mendapat
   keuntungan  cepat.   Mereka ini tekun  berusaha  dan  ada
   antara mereka yang berjaya.  Melihat bahawa mereka  tidak
   menggagalkan  Dasar Ekonomi Baru, Kerajaan memberi  lebih
   banyak  peluang  kepada mereka tidak kira  siapa  mereka,
   sehingga  muncullah  beberapa  daripada  mereka   sebagai
   orang   yang  berjaya  dalam  perniagaan.   Apabila   ini
   berlaku  maka datanglah perasaan hasad dengki dan tuduhan
   bahawa  mereka  adalah  kroni  Kerajaan,  kroni  pemimpin
   Kerajaan.   Yang  menuduh bukan sahaja  orang  asing  dan
   media  mereka.  Tetapi orang Melayu sendiri turut menuduh
   bahawa  DEB  menguntungkan  hanya  beberapa  orang  kroni
   Melayu.
   
   77.   Sebenarnya orang yang dikatakan kroni ini tidak pun
   dikenali dahulu oleh pemimpin Kerajaan atau orang  ramai.
   Jika   tidak  kerana  mereka  menunjuk  bakat  dan  tidak
   menjual  peluang  yang  diberikan  kepada  mereka  tetapi
   sebaliknya  mereka  berusaha sehingga mencapai  kejayaan,
   mereka  tidak  akan  mendapat   peluang  yang  bertambah.
   Jika  benarlah  Kerajaan mengamal kronisme,  sudah  tentu
   tidak  akan  ada  ahli keluarga dan kawan-kawan  pemimpin
   Kerajaan  yang  miskin dan merana.   Tetapi  di  Malaysia
   ramai  daripada  kawan,  rakan, anggota  parti  dan  ahli
   keluarga  yang  terus  miskin,  tidak  mendapat   apa-apa
   peluang  daripada Dasar Ekonomi Baru selain daripada  apa
   yang   dinikmati   oleh   semua  rakyat   lain,   seperti
   persekolahan, bekalan elektrik dan air, jalan  dan  lain-
   lain.
   
   78.    Siapakah   mereka  yang  menjadi  kaya-raya   yang
   terkenal  sebagai  peniaga  dan  pengusaha  Melayu   yang
   berjaya?    Mereka  adalah  siapa  sahaja  yang  berusaha
   bersungguh-sungguh,   yang  tidak   menjadi   Ali   dalam
   perkongsian Ali Baba.  Selidiklah latar belakang  mereka.
   Apakah  benar  mereka berjaya kerana  mereka  kroni  atau
   apakah  kerana mereka tidak menjual peluang  yang  mereka
   berjaya?  Sebabnya mereka memperolehi peluang yang  lebih
   ialah  kerana  mereka lebih mungkin  tidak  akan  menjual
   peluang  mereka dan mereka lebih mungkin  berjaya.   Jika
   yang  gagal atau yang menjual peluang diberi peluang lagi
   maka  tidak  mungkin akan ada Melayu dan Bumiputera  yang
   berjaya  seperti  mereka daripada kaum  lain.   Malangnya
   jika  ada  sahaja  Melayu  yang  berjaya  maka  timbullah
   perasaan  hasad  dengki  dan tuduhan  mereka  ini  adalah
   kroni Kerajaan.
   
   79.   Jika  Kerajaan  tidak  hendak  dituduh  mengamalkan
   kronisme, maka tiap kali ternampak ada orang Melayu  yang
   berjaya  dan  boleh berjaya lagi, tiap kali orang  Melayu
   panggung  kepala  dalam perniagaan  maka  awal-awal  lagi
   mereka  ini  perlu  diketuk supaya jatuh  semula,  supaya
   tidak   berjaya  lagi  tetapi  terus  gagal  dan  bankrap
   perniagaan  mereka.   Dengan  cara  ini  tidak  akan  ada
   sesiapa  pun daripada orang Melayu yang akan berjaya  dan
   Kerajaan akan bebas daripada tuduhan mengamal kronisme.
   
   80.   Tetapi  Kerajaan tidak juga akan terlepas  daripada
   dikecam.    Melihat   yang  menjadi  "millionaires"   dan
   "billionaires", yang duduk dalam mahligai, yang  memiliki
   semua  bangunan  pencakar langit, perniagaan  dan  kilang
   yang  besar;  melihat yang mengambilalih  semua  syarikat
   dan  khidmat milik Kerajaan apabila diswastakan,  melihat
   mereka  ini  semua terdiri daripada bukan Melayu  dan  si
   Melayu  hanya  menjadi pemandu kereta besar  milik  orang
   dan  menjadi  kuli  yang mengambil  upah  daripada  orang
   lain,  maka kecaman terhadap Kerajaan tetap akan  menjadi
   nyaring.
   
   81.   Masyarakat  Melayu  akan mengutuk  Kerajaan  kerana
   Dasar  Ekonomi  tidak  berjaya.  Kejayaan  dalam  bidang-
   bidang  lain seperti PNB dan jumlah biasiswa  tidak  akan
   diberi penghargaan sama sekali.
   
   82.   Sesungguhnya jika pembangunan usahawan dan  peniaga
   Melayu yang berjaya tidak dibebankan ke atas bahu Kerajaan,
   pembangunan negara akan menjadi lebih mudah, lebih tinggi
   dan lebih cepat.  Yang melambatkan pembangunan negara ialah
   kerana Kerajaan cuba dan terus mencuba untuk mengimbangkan
   ekonomi  orang Melayu dengan orang bukan Melayu di  semua
   peringkat, dalam semua bidang.
   
   
   SUKA JALAN MUDAH
   
   83.   Orang  Melayu  tidak  kekurangan  apa-apa.   Mereka
   mempunyai   akal   fikiran  yang   cerdas   dan   pintar,
   kemampuan,  kecekapan kerja tangan  yang  tinggi,  tenaga
   yang  sama dengan orang lain.  Jika mereka tidak  berjaya
   setelah  diberi  peluang  berkali-kali,  setelah  dibantu
   dengan  pelbagai kemudahan dan juga wang, sebabnya  ialah
   (di  sini  saya  pohon  ampun  dan  maaf  daripada  orang
   Melayu) kerana mereka tidak rajin iaitu mereka malas  dan
   suka  kepada jalan yang mudah dan cepat, tidak  kira  apa
   akibatnya.
   
   84.    Mereka   tidak   sabar,  tidak  sanggup   menunggu
   sebentar.   Mereka  hendak kaya saat itu  juga.   Justeru
   itu  apabila  diberi lesen, lesen dijual; apabila  diberi
   AP  untuk  import,  AP  dijual; apabila  diberi  kontrak,
   kontrak  dijual untuk dapat wang tunai.  Tidak ada  kerja
   yang   dibuat   selain   daripada  merapat   orang   yang
   berpengaruh  dan berkuasa untuk mendapat  sesuatu  kerana
   mereka  Melayu,  mereka Bumiputera.  Setelah  dijual  dan
   mendapat wang, maka mereka datang lagi, minta lagi.
   
   85.   Sesungguhnya saya berasa amat malu menyatakan semua
   ini,  terutama di hadapan orang lain, di hadapan  seluruh
   negara,  di hadapan dunia. Tetapi mereka sudah  pun  tahu
   semua  ini.   Saya  bukan  mendedah  perkara  yang  belum
   diketahui. Saya cuma sebut apa yang diketahui umum.
   
   86.   Sebenarnya orang Melayu dan Bumiputera  lain  boleh
   berjaya  jika  mereka  berusaha  lebih  sedikit.    Untuk
   kejayaan   mereka  perlu  jujur  kepada   diri   sendiri.
   Uruslah  dengan baik dan elak daripada amalan yang  tidak
   baik.   Pinjaman untuk perniagaan mestilah  diguna  hanya
   untuk  perniagaan,  diguna secara  cukup  cermat,  diurus
   secara  tertib, kerana wang yang dipinjam  mesti  dibayar
   balik.   Jika  belum untung jangan belanja dahulu  kerana
   harapan  akan  untung.  Kawallah nafsu dan belanja  hanya
   sebanyak  yang  mampu  sahaja dan  amallah  amalan-amalan
   yang  sihat bagi menjayakan perniagaan.  Insyaallah, kita
   akan berjaya.
   
   87.   Belajarlah  daripada orang Cina.  Ingatlah  apabila
   kita  jual  lesen, kontrak dan lain-lain  kepada  mereka,
   kos   perniagaan  mereka  meningkat.   Kita  tidak  perlu
   tanggung  kos membeli lesen dan kontrak.  Tetapi walaupun
   kos  bagi  peniaga  Cina lebih tinggi masih  juga  mereka
   berjaya  mendapat keuntungan.  Kenapakah dengan kos  yang
   lebih  rendah kita orang Melayu dan Bumiputera lain tidak
   boleh dapat untung?
   
   88.   Sebenarnya  yang diperlukan daripada  orang  Melayu
   dan   Bumiputera  lain  dalam  bidang  perniagaan   ialah
   kerajinan,  kawalan  diri  atau disiplin  dan  kesabaran.
   Kecekapan   dan   kepintaran   dalam   perniagaan   boleh
   diperolehi  melalui latihan dan pengalaman.   Insyaallah,
   dengan  sifat-sifat ini orang Melayu dan Bumiputera  lain
   akan berjaya.
   
   89.    Mungkin  tuan-tuan  dan  puan-puan  bosan   dengan
   teguran  dan  kecaman  saya  ini.   Tetapi  apakah   saya
   sebagai  orang  yang dipilih untuk memimpin  tidak  harus
   perkatakan   sesuatu  yang  benar  dan  bertujuan   baik?
   Apakah  saya sebagai pemimpin hanya dikehendaki  mengikut
   sahaja,  untuk menjadi popular dengan orang yang  menjadi
   penyokong?   Tidak  ada  maknalah jika  pimimpin  menjadi
   pengikut,  dan  membisu apabila melihat pengikut  membuat
   atau  menuntut  benda  yang salah, yang  akan  merosakkan
   semua, pemimpin dan pengikut.
   
   
   KELEMAHAN BUDAYA MELAYU
   
   90.   Oleh itu maafkan saya sekali lagi kerana saya perlu
   tegur  tentang  kelemahan budaya orang  Melayu  sekarang.
   Orang  Melayu semuanya beragama Islam, agama  yang  suci,
   agama  yang  mampu  membina manusia dan  masyarakat  yang
   mulia  dan  berjaya,  yang  bebas  daripada  aneka  jenis
   jenayah   atau   pun   sekurang-kurangnya   yang    boleh
   mengurangkan jenayah.
   
   91.   Sekali  lagi  ingin saya ulangi  kesan  pengIslaman
   orang Arab Jahiliah.  Mereka menjadi orang yang baik  dan
   berjaya  dan  dapat mendirikan negara  dan  empayar  yang
   termasyhur.   Daripada  manusia  jahil,  pembunuh  kanak-
   kanak,   penculik   perempuan,   pengganas   yang   tidak
   mempunyai  budaya dan bertamadun, mereka menjadi  manusia
   yang   tertib,  beradat-istiadat,  bersopan  santun   dan
   berperaturan  serta  memiliki  sistem  perundangan   yang
   kemas.  Dan mereka berjaya.
   
   92.   Demikian  kesan  pengIslaman  ke  atas  orang  yang
   jahil.    Tetapi  kita  dapati  walaupun   orang   Melayu
   semuanya  sudah  lama beragama Islam, di masa  akhir  ini
   ramai  daripada  mereka sudah banyak mengenepikan  budaya
   Islam.   Apa sahaja yang tidak baik dan berdosa dilakukan
   oleh   sebilangan  yang  tidak  kecil  daripada   mereka.
   Menagih  dadah, mengidap penyakit AIDS dan HIV,  merogol,
   melakukan  hubungan  seks luar tabii,  melakukan  sumbang
   mahram,  membunuh, termasuk membunuh ibu dan ayah,  abang
   dan  ahli  keluarga yang lain, mencuri dan  menyamun  dan
   melakukan   berbagai-bagai  jenayah - semua ini dilakukan
   oleh  orang  Melayu lebih daripada kaum lain,  kaum  yang
   bukan Islam.
   
   93.   Banyaklah  alasan yang diberi kenapa  orang  Melayu
   lemah  moral mereka.  Kita dapati, jika dilihat  daripada
   pakaian  dan  lagak orang Melayu sekarang,  mereka  lebih
   Islam  dan  lebih warak dari dahulu.  Kalau  kita  dengar
   mereka bercakap demikian juga.  Tidak akanlah orang  yang
   begitu  berpengetahuan tentang ajaran  Islam,  yang  kuat
   nampaknya   berpegang  kepada  Islam,  sanggup  melakukan
   begitu  banyak perbuatan yang bertentangan dengan  ajaran
   Islam  dan jelas berdosa.  Orang yang kuat imannya  tidak
   mungkin  membuat dosa yang banyak, terutama  dosa  besar.
   Tetapi  hakikatnya  ialah  ramai  orang  Melayu  sekarang
   tidak  bermoral, sanggup melakukan berbagai-bagai jenayah
   dan dosa besar.
   
   94.   Tidak  ada sesuatu yang berlaku tanpa sebab.   Kita
   sekali  lagi  tidak  boleh berkata ini  semuanya  takdir.
   Ingatlah  sekali  lagi  bahawa  segala  keburukan  datang
   daripada kita dan bukan daripada Allah s.w.t.
   
   95.   Budaya  dan nilai hidup yang dipegang oleh  manusia
   menentukan  kelakuan mereka, jaya atau  tidaknya  mereka,
   bahagia   dan  sejahteranya  mereka  ataupun  sebaliknya.
   Budaya  dan  pegangan kepada nilai hidup yang mulia  oleh
   ramai orang Melayu sudah luntur.  Ramailah daripada  kita
   yang  mempunyai teori berkenaan fenomena ini.  Saya  juga
   ingin  perkenalkan  teori saya, yang mungkin  betul  atau
   mungkin tidak.
   
   
   KESAN "BROKEN FAMILY"
   
   96.    Budaya   dan  nilai  hidup  terbentuk   sebahagian
   besarnya  daripada  didikan ibu  bapa  semasa  kecil  dan
   semasa   belum  ke  sekolah.   Apabila  ibu  bapa   tidak
   mempunyai  budaya dan nilai hidup yang baik  sudah  tentu
   mereka  tidak  dapat  mendidik anak mereka  dengan  nilai
   hidup  yang sempurna.  Sebenarnya ramai ibu bapa sekarang
   tidak  memiliki  nilai hidup yang baik dan  tidak  berasa
   bertanggungjawab  terhadap didikan  anak.   Ya,  majoriti
   baik  dan bertanggungjawab tetapi terdapat minoriti  yang
   agak  besar  yang  tidak baik jika dibanding  dengan  ibu
   bapa  kaum  lain.  Sementara ibu bapa kaum lain  mengawal
   dan  mengawasi anak supaya mereka tekun belajar di  rumah
   dan  di  sekolah,  ibu  bapa  kaum  Melayu  tidak  begitu
   mengambil berat.  Sudah tentu nilai-nilai lain yang  baik
   juga tidak dipupuk sehingga berkesan.
   
   97.   "Broken  family" atau keluarga yang tidak  bahagia,
   dengan penceraian ibu dan bapa juga terdapat lebih  ramai
   di  kalangan  orang  Melayu.  Agama Islam  membenar  kita
   berkahwin  dua,  tiga atau empat tetapi jika  kita  tidak
   dapat  berlaku adil kepada isteri-isteri ini kita disuruh
   kahwin  satu  sahaja.  Saya percaya semua yang  beristeri
   lebih  daripada satu dalam dewan ini dapat  berlaku  adil
   kepada  isteri-isteri, tetapi saya  percaya  ramai  dalam
   dewan dan di luar dewan yang tidak dapat.
   
   98.   Ada  yang bercerai dan ada yang tidak  ambil  berat
   akan  nasib  isteri-isteri yang tidak diceraikan,  dengan
   tekanan  emosi  dan  perasaan ke atas mereka  yang  tidak
   mendapat  layanan yang sewajarnya sebagai  isteri.   Kita
   boleh  tafsirkan  keadaan yang terdapat  sebagai  "broken
   family"  atau  keluarga yang kurang atau  tidak  bahagia.
   Sudah  tentu  keluarga seperti ini tidak memberi  teladan
   dan  contoh  yang  baik bagi anak, tidak  dapat  mendidik
   anak dengan berkesan.  Tak mungkin bapa memberi masa  dan
   perhatian  kepada  semua  anak  daripada  semua   isteri,
   terutama isteri yang bukan "favourite"nya.
   
   99.   Tidak  ada  kajian yang dibuat  berkenaan  keluarga
   yang   "broken"  seperti  ini  dan  kesan  terhadap  anak
   mereka.    Oleh itu saya tidak tahu pandangan saya,  atau
   teori  saya ini betul atau tidak.  Tetapi yang saya  tahu
   bagi  mana-mana  kaum  atau  pengikut  agama  yang  lain,
   "broken  homes'  biasanya  mempunyai  kesan  yang   buruk
   kepada anak.
   
   100.  Mungkinkah  "broken  homes"  menjadi  sebagai  satu
   daripada sebab keruntuhan akhlak yang menjadi-jadi  dalam
   masyarakat  Melayu.  Jika ia, apakah  kita  akan  biarkan
   keadaan ini berterusan?
   
   101.  Selain  daripada  ibubapa, yang  mempengaruhi  anak
   kita iaitu generasi yang akan mengganti kita, ialah guru-
   guru  di  sekolah.   Guru boleh membentuk  peribadi  yang
   mulia  melalui  teladan dan didikan.  Tidak  ada  sesuatu
   yang  diberi tekanan di Malaysia seperti pendidikan. Kita
   memperuntukkan 20 peratus daripada belanjawan kita  untuk
   pelajaran.   Daripada  satu juta pekerja  Kerajaan  lebih
   daripada  300,000 atau lebih 30 peratus terdiri  daripada
   guru  dan  pendidik  di  sekolah-sekolah  dan  institusi-
   institusi pelajaran lain.
   
   102.  Sepatutnya  kerana tumpuan  ini,  semua  anak  kita
   mendapat  didikan  yang  baik  termasuk  didikan  akhlak.
   Guru  agama  pula  memainkan peranan  yang  amat  penting
   kerana  didikan agamalah yang akan menyedarkan  anak-anak
   kita akan buruk baiknya sesuatu, akan apa yang salah  dan
   apa  yang  tidak,  yang  berdosa  dan  yang  mendatangkan
   pahala,  akan  dosa  kecil dan dosa besar,  akan  balasan
   syurga dan api neraka di akhirat kelak.
        
   103.  Sekali  lagi  ingin saya tegaskan  bahawa  majoriti
   daripada  anak-anak  kita di sekolah menerap  nilai-nilai
   yang  baik,  tahu membeza antara yang salah  dengan  yang
   tidak,  yang  berdosa  dan yang  tidak,  dan  kerana  itu
   mereka  berjaya  mengelak daripada perbuatan  yang  tidak
   berakhlak, yang ditegah.
        
   104.  Tetapi berbanding dengan kaum lain, penganut  agama
   lain,  jumlah anak Melayu yang tidak baik kelakuan,  yang
   tidak  rajin  belajar,  yang  kemudian  apabila  membesar
   terlibat  dengan  aneka  jenis  kegiatan  yang  dilarang,
   adalah lebih ramai.
   
   105.  Kenapakah ini berlaku?  Apakah tekanan yang  diberi
   semasa  mendidik anak Melayu?  Apakah tekanan yang  cukup
   diberi  kepada  pembentukan peribadi yang  mulia,  kepada
   perbezaan  di  antara  kebaikan dan keburukan,  akan  apa
   yang  ditegah oleh agama dan adat resam kita dan apa yang
   disuruh?   Sesungguhnya  mereka  yang  mengabaikan  tugas
   pendidikan  ini,  mereka yang sebaliknya mengajar  supaya
   bermusuh  dan  membenci sesama orang  Melayu  dan  Islam,
   mereka  yang  tidak  menyemaikan nilai-nilai  Islam  yang
   sebenar,  nilai-nilai  yang semuanya  mulia,  mereka  ini
   mengkhianati agama dan bangsa Melayu.
   
   106.   Saya  tidak  syak  bahawa  jika  ibubapa  menunjuk
   teladan  yang baik dan pendidik menjalankan tanggungjawab
   mereka  secara  ikhlas,  maka  banyak  gejala  sosial  di
   kalangan orang Melayu dapat dielak daripada berlaku.
   
   107.   Kita  tidak  nafi  ada  faktor-faktor  lain   yang
   menyumbang kepada kerosakan akhlak orang Melayu.  Gambar-
   gambar   keganasan   dan  lucah  yang  didapati   melalui
   internet   dan   televisyen   turut   menyumbang   kepada
   keruntuhan  akhlak.   Tetapi  ia  tidak  menjawab  soalan
   kenapa  lebih  ramai  orang Melayu yang  terlibat  dengan
   gejala  sosial.  Dalam perkara ini kita harus ikhlas  dan
   memperkatakan yang benar.  Hanya dengan mengetahui  sebab
   yang sebenar baharulah dapat kita mengubatinya.
   
   
   KENYATAAN NEGARA ISLAM DIPOLITIK
   
   108.  Debat berkenaan negara Islam masih berterusan.   Ia
   tidak  mendatangkan banyak faedah kerana yang  diutamakan
   bukan   kenyataan,  bukan  kebenaran  tetapi  kepentingan
   politik pihak tertentu.
   
   109.  Apabila  kita  menyatakan  bahawa  Malaysia  adalah
   sebuah  negara Islam, sebabnya ialah supaya  perkara  ini
   tidak  dijadikan  isu  politik yang memecahbelahkan  umat
   Islam  di Malaysia.  Dakwaan ini kita buat kerana  segala
   syarat  yang  mengikut  ajaran Islam  bagi  kita  menjadi
   negara Islam terdapat di Malaysia ini.
   
   110.   Kita  tidak  buat  kenyataan  ini  untuk  mendapat
   pengiktirafan daripada parti tertentu.  Parti ini  adalah
   parti  politik  yang mengutamakan kepentingan  politiknya
   semata-mata.   Demikian parti ini sanggup mendakwa  orang
   yang  tidak menyokongnya adalah kafir, bukan Islam; orang
   yang  mengundi mereka akan ke syurga dan lain-lain  lagi.
   Jika  perkara-perkara seperti ini yang jelas tidak  benar
   dan   bertentangan  dengan  agama  Islam  sanggup  mereka
   perkatakan,  apakah  mungkin  mereka  menerima  kenyataan
   bahawa Malaysia adalah negara Islam?  Sudah tentu tidak.
   
   111.  Yang  penting ialah kita tahu dan kita  yakin  akan
   keIslaman  negara kita.  Jika kerana kita  dituduh  tidak
   melaksanakan  hukum  hudud tafsiran  mereka  maka  negara
   kita  tidak Islam, ini tidak harus mengurangkan keyakinan
   kita  akan  keIslaman negara kita.   Jika  syarat  mereka
   hendak  dijadikan  ukuran, hari ini tidak  ada  satu  pun
   negara Islam di dunia.  Ini adalah kerana tidak ada  satu
   pun  negara  di  dunia yang menguatkuasakan  hukum  hudud
   seperti yang ditafsir oleh parti ini.
   
   112.  Kita  tidak tolak hukum hudud yang  sebenar.   Kita
   terimanya  seperti juga kita terima semua  ajaran  Islam.
   Tetapi  kita tahu ajaran Islam tidak sebegitu ketat  atau
   keras   sehingga   kita   mesti   melaksanakannya   tanpa
   mengambilkira  keadaan dan akibatnya.   Kita  tahu  dalam
   keadaan  tertentu  kita diberi kelonggaran  supaya  agama
   kita  tidak  menjadi  beban  yang  menyusah  dan  membawa
   mudarat  kepada kita.  Jika kita sakit, jika  kita  tidak
   dapat  berdiri,  jika kita berada di  tempat  yang  jauh,
   tempat   yang   tidak  selesa,  kita   boleh   sembahyang
   umpamanya  dengan  cara lain daripada  yang  biasa,  kita
   boleh  campur dan pendekkan sembahyang waktu  kita,  kita
   tidak  perlu  buat  gerakan tubuh  badan  seperti  biasa.
   Demikian  juga  dengan  puasa,  mengeluarkan  zakat   dan
   membuat  kerja haji semuanya mengikut keadaan.  Berkenaan
   dengan  lafaz dua kalimah syahadat pun, jika kita dipaksa
   dengan  seksaan supaya  menyatakan penolakan dua  kalimah
   ini,  kita  boleh menyuarakan penolakan tersebut  asalkan
   kita  terus  berniat menolak kenyataan yang dipaksa  kita
   buat.   Dalam hati kita, kita terus naik saksi akan Allah
   yang  satu  yang  kita sembah, dan Nabi  Muhammad  adalah
   RasulNya.
   
   113.  Agama  Islam  tidak diturunkan  oleh  Allah  s.w.t.
   untuk  menjadi  beban kepada penganutnya, untuk  menyeksa
   mereka.   Jika  ini  berlaku sebabnya ialah  kerana  umat
   Islam  sendiri menolak nikmat kemudahan yang diberi  oleh
   Allah  s.w.t,  dan  cuba menjadikan agama  Islam  sebagai
   beban  yang  menyusahkan mereka, menjadikan mereka  lemah
   dan  tidak  berupaya  mempertahankan dan  memajukan  diri
   mereka.
   HUKUM HUDUD
   
   114.  Demikianlah dengan hukum hudud.  Tujuan hukum dalam
   Islam  ialah  untuk  mewujudkan  masyarakat  Islam   yang
   bahagia,  masyarakat  yang bebas daripada  ketidakadilan.
   Dalam  Al-Quran  terdapat  banyak  ayat  yang  menekankan
   keutamaan   dan  pentingnya  keadilan  dilakukan.    Jika
   pelaksanaan    hukum   dalam   Islam    membawa    kepada
   ketidakadilan  maka  sebabnya ialah  kerana  orang  Islam
   lebih  mengutamakan cara penghakiman  -  "legal  process"
   daripada keadilan.
   
   115.   Undang-undang  yang  dicipta  oleh  manusia   yang
   membawa   kepada  ketidakadilan  bukanlah   undang-undang
   Islam,  walau apa pun nama yang diberi kepadanya.   Semua
   kita,  orang Islam dan bukan Islam, tahu bahawa  keadilan
   bermakna   penjenayah  yang  mesti  dihukum   dan   bukan
   mangsanya.  Undang-undang gubahan manusia yang  menghukum
   mangsa sebagai bersalah sudah tentu tidak adil dan  tidak
   Islam.  Yang salah bukan ajaran Islam tetapi mereka  yang
   membuat   tafsiran  kerana  kepentingan  politik  mereka.
   Orang  yang  membuat  undang-undang supaya  mangsa  rogol
   dihukum  dengan  hukuman  yang berat,  sementara  perogol
   dibebas,  orang ini tidak berpegang kepada  ajaran  Islam
   yang sebenar supaya berlaku adil.
   
   116.  Demikian  jika seorang wanita mendakwa  ia  dirogol
   oleh  orang tertentu dan terdapat pada wanita itu  tanda-
   tanda atau alasan jelas yang ia dipaksa dan di zaman  ini
   kita  mempunyai  cara untuk menentukan  air  mani  datang
   daripada  perogol yang dituduh atau tidak, apakah  hendak
   kita  ketepikan semua bukti ini kerana prosedur  tertentu
   tidak dapat kita turuti?
   
   117.  Dalam  Surah An-Nisaa, surah khas untuk  perempuan,
   Ayat  58,  Allah menegaskan: "Sesungguhnya Allah menyuruh
   kamu   supaya  menyerahkan  segala  jenis  amanah  kepada
   ahlinya  (yang  berhak  menerimanya)  dan  apabila   kamu
   menjalankan  hukum  di antara manusia,  (Allah  menyuruh)
   kamu  menghukum dengan adil".  Dalam surah yang sama ayat
   112,  Allah  telah berfirman bahawa: "Menuduh orang  yang
   tidak  bersalah (menuduh seorang yang telah  dirogol  dan
   kemudian hamil dan melahirkan anak sebagai telah  berzina
   sedangkan  ia  telah dirogol) iaitu tuduhan  yang  salah,
   itu  adalah  satu  pemalsuan dan  berdosa."   Fikirkanlah
   apabila anak itu dilahir maka rupanya sama seperti  orang
   yang  dituduh  merogol, dan semakin  lama  semakin  jelas
   siapa  yang menjadi bapa kepada anak yang telah membesar;
   dan  di  zaman  ini kita mempunyai cara untuk  menentukan
   siapa  bapa kepada anak, apakah tuduhan yang dibuat  oleh
   pendakwa  dan  hukuman  yang  dibuat  oleh  hakim   tidak
   merupakan  ketidakadilan, tuduhan yang palsu dan  berdosa
   kerana yang dituduh sebenarnya tidak bersalah?
   
   118.  Orang  yang  menuduh mangsa rogol  sebagai  berzina
   jelas  melakukan  kesalahan  dan  berdosa.   Sudah  tentu
   orang yang menggubal undang-undang yang tidak adil,  yang
   mendakwa  dan  menghukum secara tidak adil, mereka  semua
   bersalah dan berdosa.
   
   119.  Dalam  Al-Quran Allah telah berkali-kali menegaskan
   supaya menghukum dengan adil.
   
   120.  Surah 4 (An-Nisaa),  Ayat 58 yang telah saya  sebut
   menegaskan:  "Apabila kamu menjalankan  hukum  di  antara
   manusia,  (Allah menyuruh) kamu menghukum  dengan  adil."
   Surah 16 (An-Nahl) Ayat 90 bermaksud :  "Sesungguhnya Allah
   menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi
   bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan
   perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman."
   Demikian juga Surah 7, (Al-Araaf), Ayat 29:  "katakanlah:
   Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), ...."
   Dan dalam Surah 49 (Al-Hujurat), Ayat 6, Allah berfirman :
   "Wahai orang-orang yang beriman!  Jika datang kepada kamu
   seorang  fasik  membawa sesuatu berita, maka  selidikilah
   (untuk   menentukan)  kebenarannya,  supaya  kamu   tidak
   menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini -
   dengan  sebab  kejahilan  kamu (mengenainya)  -  sehingga
   menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."
   
   121.   Yang  jelas  ialah  agama  Islam  menekankan  akan
   pentingnya  keadilan  dalam tiap sesuatu  yang  dilakukan
   oleh  orang Islam.  Jika sesuatu yang dilakukan atau jika
   satu  undang-undang  yang  dicipta  oleh  manusia  biasa,
   walau   bagaimana  alim  sekalipun  tetapi  akan  membawa
   kepada  ketidakadilan  maka  ia  tetap  tidak  Islam  dan
   bertentangan dengan ajaran Islam.  Sebab itu orang  Islam
   mesti menolak undang-undang yang digubal oleh orang  yang
   berkepentingan  yang jelas membawa kepada  ketidakadilan,
   walau apa pun nama yang diberi kepada undang-undang  itu.
   Mereka  yang menyebabkan Islam dipandang hina oleh  semua
   kerana  begitu  tidak adil hasil tafsiran mereka,  mereka
   akan tanggung dosa di akhirat kelak.  Ini telah dijanji.
        
   122.  Maka  akan berkatalah orang tertentu,  "Orang  yang
   bercakap ini tidak berpelajaran agama, tidak tahu  bahasa
   Arab  dan tidak berhak bercakap berkenaan agama".  Selain
   daripada  mereka ini bersikap angkuh dan  sombong  dengan
   kononnya  ilmu  pengetahuan yang sedikit  yang  ada  pada
   mereka   -  dan sikap ini tidak disukai oleh Allah s.w.t.
   dan   bertentangan  dengan  ajaran  Islam,  mereka  harus
   diingatkan  bahawa dunia Islam memandang tinggi  terhadap
   negara  Malaysia  dan  secara terbuka  menyatakan  bahawa
   Malaysia  adalah contoh Negara Islam, contoh  yang  ingin
   mereka   ikut.   Mereka  tidak  anggap  Malaysia  sebagai
   contoh  negara  Islam  kerana  gelagat  orang  yang  cuba
   memperalatkan  Islam untuk politik parti mereka.   Mereka
   anggap  Malaysia  sebagai contoh kerana  pentadbiran  dan
   pembangunannya serta juga pegangannya kepada agama  Islam
   mengikuti  kehendak agama Islam.  Dan banyaklah  anugerah
   yang  diterima  oleh  negara  ini  kerana  amalan  ajaran
   Islamnya.
        
   123.  Orang  yang dikatakan tidak layak dan tidak  berhak
   kononnya  bercakap berkenaan dengan agama telah  dijemput
   oleh   orang   Islam  di  negara  lain  untuk   bersyarah
   berkenaan  dengan  Islam, dan buku-bukunya  yang  ditulis
   berkenaan  dengan  Islam juga diterima  baik  oleh  ramai
   orang  Islam,  diterjemah oleh  mereka  ke  dalam  bahasa
   mereka  termasuk  bahasa Arab dan diedar  dengan  meluas.
   Oleh  itu  janganlah pihak tertentu angkuh  dan  mendakwa
   hanya  mereka sahaja yang boleh bercakap berkenaan dengan
   agama Islam.
        
   
   
   
   
   MALAYSIA JELAS NEGARA ISLAM
   
   124.  Jika  kita mendakwa bahawa Malaysia  adalah  negara
   Islam,  sebabnya  amat jelas.  Orang  Islam  di  Malaysia
   bebas  hidup  secara orang Islam, tidak dihalang  berbuat
   ibadat,  dan  mereka  menikmati  keadilan  seperti   yang
   dituntut  oleh  agama  Islam.  Sudah  tentu  mereka  yang
   melakukan   jenayah  atau  menyalahgunakan  Islam   untuk
   kepentingan   lain;  mereka  yang  menentang   pemerintah
   dengan   keganasan  dan  cara-cara  lain,   mereka   yang
   menyembunyi ajaran Tuhan mengikut Surah Al-Baqarah,  Ayat
   174   yang  bermaksud:   "Sesungguhnya  orang-orang  yang
   menyembunyikan    (meminda   atau    mengubah)    apa-apa
   keterangan  Kitab Suci yang telah diturunkan  oleh  Allah
   dan  membeli  dengannya  keuntungan  dunia  yang  sedikit
   faedahnya,  mereka itu tidak mengisi dalam  perut  mereka
   selain  dari  api  neraka, dan mereka pula  akan  beroleh
   azab seksa yang tidak terperi sakitnya."
   
   125.  Demikian juga dalam Surah An-Nahl ayat  25:   Tuhan
   berfirman  bermaksud, " mereka dibiarkan  menuduh  dengan
   yang  demikian  supaya  mereka memikul  dosa-dosa  mereka
   dengan   sepenuhnya   pada  hari   kiamat   dan   memikul
   sebahagian   dari  dosa-dosa  orang-orang   yang   mereka
   sesatkan   dengan  tidak  berdasarkan  pengetahuan   yang
   benar;   sesungguhnya  beratnya  dosa-dosa  yang   mereka
   lakukan."
   
   126.   Sehingga  sekarang  pihak  tertentu  tidak   dapat
   menjelaskan  negara  Islam  yang  kononnya  mereka   akan
   dirikan   di   Malaysia  jika  mereka   berkuasa.    Yang
   diumumkan   ialah  cara-cara  pemerintahan   yang   tidak
   berbeza  dengan  yang terdapat sekarang  -  iaitu  secara
   tidak  langsung mengakui akan kebenaran kenyataan  bahawa
   Malaysia adalah Negara Islam sejak kita merdeka.   Mereka
   tidak   sebut  dengan  jelas  akan  hasrat  mereka  untuk
   melaksanakan  hukum  yang  didakwa  oleh  mereka  sebagai
   Hukum  Hudud  supaya kita semua tahu jenis keadilan  atau
   ketidakadilan yang hendak dilaksanakan oleh mereka  jika,
   Na'uzubillah, mereka berkuasa.
   
   127.  Perbahasan berkenaan Malaysia sebagai Negara  Islam
   tidak   perlu  diteruskan.   Tidak  ada  perubahan  dalam
   Perlembagaan Malaysia yang perlu dibuat untuk  menjadikan
   Malaysia negara Islam.  Malaysia sudah pun Negara  Islam.
   Hanya  yang  perlu  dibuat ialah  menentukan  negara  ini
   tidak  disesatkan oleh pihak tertentu kerana  kepentingan
   politik   mereka  sehingga  tidak  lagi  Islam,  sehingga
   menjadi lemah dan ditindas oleh musuh-musuh Islam.
   
   
   BANYAK JUGA KEMAJUAN DICAPAI
   
   128.  Walaupun  saya tidak puas hati berkenaan  berbagai-
   bagai perkara yang telah saya sebutkan dalam ucapan  saya
   ini,  tetapi  saya perlu mengaku bahawa  sebenarnya  kita
   telah mencapai banyak juga kemajuan.
   
   129.  Yang  pertamanya  dalam dunia  di  mana  kebanyakan
   daripada   negara  membangun  kehilangan  kebebasan   dan
   kemerdekaaan  mereka, di mana ekonomi mereka  runtuh  dan
   kemiskinan  melanda  ramai daripada rakyat  mereka,  kita
   masih  bebas  menyuarakan pendapat  kita,  berkecuali  di
   mana   perlu,  dan  memulih  ekonomi  serta  mengurangkan
   kemiskinan.   Rakyat  kita hidup bahagia,  dalam  keadaan
   aman  dan  selamat,  bebas daripada ketidakadilan,  bebas
   daripada  ancaman  kumpulan-kumpulan  ganas  yang   ingin
   meruntuhkan  demokrasi  dan menjatuhkan  Kerajaan  negara
   kita.
   
   130.  Walaupun DEB tidak berjaya sepenuhnya tetapi jurang
   perbezaan  di  antara Bumiputera dengan bukan  Bumiputera
   telah  kita  kurangkan.  Jika dahulu Bumiputera  hanyalah
   petani  dan  nelayan  yang miskin dan  merana,  hari  ini
   terdapat   ramai  juga  Bumiputera  yang  berjaya,   yang
   berkebolehan  dalam  bidang  perniagaan  dan  perusahaan,
   yang  mempunyai  kepakaran  dalam  berbagai-bagai  bidang
   profesional.   Mereka bukan sahaja mampu  bersaing  dalam
   negara tetapi berjaya juga di negara-negara asing.
   
   131.   Ramai  daripada  Melayu/Bumiputera  yang  terkenal
   sebagai  pakar dalam bidang pentadbiran, bidang kewangan,
   pembangunan  ekonomi  dan  pemulihannya  sehingga  mereka
   dijemput  oleh  negara-negara lain  untuk  menasihat  dan
   membantu menangani masalah ekonomi dan kewangan mereka.
   
   132.   Bandar-bandar   di   Malaysia   mempunyai   segala
   kemudahan  yang terdapat di negara-negara  maju.   Sistem
   Keretapi  Komuter Elektrik, Sistem Keretapi  Ringan  atau
   LRT,  jalan-jalan  bertingkat, bangunan pencakar  langit,
   termasuk  yang tertinggi sekali dalam dunia, pusat  beli-
   belah  yang  memasar barangan tempatan yang  canggih  dan
   juga  jenama asing yang terkenal - semua ini terdapat  di
   Malaysia.
   
   133.  Kawasan  luar  bandar juga  telah  dibangun  dengan
   baik.   Hampir  tidak  ada  kampung  yang  tidak  dibekal
   dengan  air  dan  elektrik,  jalan  bertar,  sekolah  dan
   klinik  kesihatan, kemudahan telefon dan  lain-lain  lagi
   yang  tidak  terdapat sebelum merdeka;  yang  tidak  juga
   terdapat  di  negara  membangun yang lain  yang  mencapai
   kemerdekaan bersama dengan kita.
   
   134.   Purata  pendapatan  seseorang  atau  "per   capita
   income"  yang  hanya  300 Dolar  Amerika  di  waktu  kita
   mencapai  kemerdekaan,  hari ini adalah  sebanyak   4,000
   Dolar  Amerika dengan kuasa membeli sebanyak 10,000 Dolar
   Amerika.    Masih   ada   mereka   yang   miskin   tetapi
   peratusannya   telah  berkurangan  daripada   hampir   50
   peratus kepada hanya tujuh peratus.
   
   135.   Malaysia  menjadi  negara  dagangan   yang   ke-17
   terbesar antara 192 buah negara di dunia.  Jumlah  import
   dan  eksport kita adalah hampir 170 bilion Dolar  Amerika
   atau   646  bilion  Ringgit  setahun.   Selama  54  bulan
   berturut-turut  kita  mencatat lebihan  eksport  daripada
   import.   Simpanan Rizab kita berjumlah 33  bilion  Dolar
   Amerika  atau 125.40 bilion Ringgit.  Tidak  ada  masalah
   bagi kita membeli barangan dari negara asing.
   
   136.  Rumah rakyat Malaysia tidak lagi diperbuat daripada
   buluh  atau  papan dengan atap nipah tetapi  dengan  bata
   dan  konkrit dan bumbung genting, lengkap dengan air paip
   dan  lampu  elektrik.   Ratusan  ribu  rumah  kos  rendah
   dibangun   setiap  tahun.   Jika  mereka  tidak  memiliki
   kereta bermotor, pekerja biasa memiliki motorsikal.
   
   137.  Kehidupan  orang  Melayu dan Bumiputera  lain  juga
   sudah  lebih baik dari dahulu.  Bagi yang sanggup bekerja
   tanpa  terlalu  memilih  memang ada  kerja  bagi  mereka.
   Jika  ada  begitu  ramai  pekerja asing,  sebabnya  ialah
   kerana  rakyat  Malaysia  tidak  sanggup  membuat   kerja
   tertentu dan peluang kerja begitu banyak.
   
   138.  Petani  dan nelayan terus miskin berbanding  dengan
   pekerja  lain dan kemiskinan mereka tidak mungkin diatasi
   sampai  bila-bila kerana petani dengan tanah  seluas  dua
   hektar  atau kurang dan bekerja hanya separuh  masa  bagi
   beberapa  bulan  dalam  setahun  tidak  mungkin  mendapat
   pendapatan yang sama dengan pekerja bergaji yang  bekerja
   lapan  jam  sehari sepanjang tahun selain dari  hari-hari
   lepasan.   Jika  petani dan juga nelayan  yang  menangkap
   ikan  di pesisir pantai sanggup mengguna masa yang banyak
   yang  ada  pada  mereka untuk membuat  kerja-kerja  lain,
   untuk  mengeluarkan  barangan  kerja  tangan,  pendapatan
   mereka  tetap akan meningkat dan mereka tidak  lagi  akan
   menjadi orang yang miskin.  Subsidi yang bertambah  bukan
   cara  untuk  mengatasi kemiskinan mereka,  demikian  juga
   menaikkan  harga  hasil  pertanian  dan  tangkapan   ikan
   mereka.   Harga hasil usaha mereka sudah pun  jauh  lebih
   tinggi  daripada  harga  keluaran  yang  sama  di  negara
   jiran.   Jika harga dinaikkan yang akan kita lihat  ialah
   lebih banyak penyeludupan.
   
   139.  Selain  daripada  kemiskinan  petani,  nelayan  dan
   mereka   yang  terlalu  memilih  kerja,  rakyat  Malaysia
   termasuk  orang Melayu dan Bumiputera lain,  hidup  lebih
   bahagia  dan  akan  bertambah bahagia dengan  pertumbuhan
   ekonomi negara yang pesat.
   
   140.  Sesungguhnya bangsa yang berjaya ialah bangsa  yang
   rajin  dan  sanggup menghadapi cabaran hidup.  Tidak  ada
   bangsa  yang  mundur kerana warna kulit atau kerana  kaum
   atau  agama  atau  kerana hidup di  alam  tropika.   Kita
   telah   buktikan   bahawa  apabila   orang   Melayu   dan
   Bumiputera  lain  sanggup  berusaha  mereka  akan   dapat
   menguasai  semua  ilmu  dan  kecekapan  untuk  menjadikan
   mereka orang yang berjaya.
   
   141.  Orang  Melayu sebagai orang Islam boleh berdoa  dan
   meminta  daripada  Allah  s.w.t. supaya  mereka  berjaya,
   tetapi  ingatlah  Tuhan  telah berfirman  dalam  Al-Quran
   bahawa  Ia  tidak akan mengubah nasib sesiapa jika  tidak
   ada  usaha  oleh  mereka  untuk mengubah  nasib  sendiri.
   Ingatlah  juga bahawa segala keburukan yang menimpa  kita
   adalah  kerana kita sendiri dan segala kebaikan datangnya
   daripada  Allah s.w.t.  Oleh itu janganlah cepat mendakwa
   bahawa  nasib  buruk  kita sebagai  telah  ditakdir  oleh
   Allah s.w.t.  Nasib buruk kita disebabkan oleh tidak  ada
   usaha  atau kurang usaha oleh diri kita sendiri.  Apabila
   kita  berusaha  maka Allah s.w.t. akan  memberi  kejayaan
   kepada kita dan itu juga adalah takdir.
   
   142.  Saya pohon maaf kerana bahasa yang kasar yang  saya
   gunakan  dalam  ucapan ini.  Tetapi saya  tidak  mencarut
   dan  tidak memanggil sesiapa dengan nama yang buruk  yang
   mengaibkan.   Bahasa saya bukan bahasa buku  kerana  saya
   bukan  pakar bahasa atau ahli sastera.  Hanya  yang  saya
   ingin   ialah  supaya  orang  memahami  apa  yang  hendak
   diperkatakan oleh saya.
   
   143.  Saya  guna  bahasa biasa ini  kerana  lebih  senang
   menyatakan  perasaan  saya sebagai  seorang  Melayu  yang
   sayang  pada  bangsanya, sayang  sejak  saya  faham  saya
   adalah  daripada bangsa Melayu lebih 65 tahun dahulu,  di
   waktu  mana  saya mula sedar bahawa saya daripada  bangsa
   yang  terhina,  bangsa yang dijajah,  bangsa  yang  tidak
   mempunyai  maruah,  bangsa  yang  berasa  dirinya  begitu
   rendah  berbanding dengan bangsa-bangsa  lain,  kaum-kaum
   lain.
   
   
   TELAH USAHA SEDAYA UPAYA
   
   144.  Seperti  juga dengan orang lain dalam keadaan  yang
   sama,  saya  berangan-angan untuk menukar persepsi  saya,
   persepsi  orang  Melayu, persepsi  orang  asing  terhadap
   bangsa  saya.  Saya tidak mimpi boleh membuat apa-apa  ke
   arah  itu  selain daripada sebagai rakyat biasa.   Tetapi
   Alhamdullillah, saya diberi peluang berkat sokongan  ahli
   UMNO,  orang  Melayu, orang Malaysia  yang  lain,  dengan
   izin  Allah  s.w.t untuk menjadi seorang  yang  memainkan
   peranan  yang  besar juga dalam menukar sedikit  prestasi
   bangsa  saya,  bangsa Melayu, mengubah persepsi  terhadap
   bangsa ini.
   
   145.  Saya  telah  cuba sedaya upaya.   Terdapat  sedikit
   kejayaan   kata   orang.   Saya  tidak   berhak   menilai
   kecapaian  saya  sendiri.  Itu  adalah  hak  orang  lain.
   Tetapi  saya  telah  berusaha  bersungguh-sungguh.    Ada
   masanya  yang saya gembira sedikit dengan apa  yang  saya
   anggap  sebagai  kejayaan saya.  Tetapi yang  lebih  saya
   rasai  ialah kekecewaan-kekecewaan kerana sedikit  sangat
   hasil  yang saya dapati daripada tugas saya yang utama  -
   tugas  untuk  menjadikan bangsa saya  bangsa  yang  maju,
   bangsa  yang  dihormati,  bangsa yang  bermaruah  tinggi,
   bangsa yang mulia.
   
   146.  Saya pohon maaf kerana kegagalan saya.  Saya berdoa
   supaya  di  kalangan  orang Melayu akan  muncul  pemimpin
   yang  lebih mampu menukar sifat-sifat tertentu  yang  ada
   pada  orang Melayu dan Bumiputera lain supaya mereka akan
   memiliki budaya yang lebih sesuai dengan kejayaan.
   
   147.   Daripada  segi  pertubuhan  yang  mampu  melakukan
   perubahan  ini,  kita  sudah  ada.   UMNOlah  parti  yang
   sesuai  dan  mampu  menukar budaya  Melayu.   UMNO  telah
   berjaya  menyatupadukan orang Melayu dan  mengikis  sifat
   rendah  diri  mereka sehingga mereka berani bangun  untuk
   menghadapi penjajah, untuk menuntut hak mereka.
   
   148. Tetapi amat malang sekali kejayaan yang sedikit  ini
   telah   merosakkan,  atau  "undermine"  pemikiran   orang
   Melayu  sehingga mereka anggap mereka sudah  selamat  dan
   boleh  membuat apa sahaja.  Hari ini semangat  kebangsaan
   mereka  sudah  luntur  dan  kemampuan  mereka  menghadapi
   cabaran  sudah  menurun.  Kalau hari ini  mereka  dijajah
   kemampuan  mereka  untuk  melawan  penjajah  tidak  boleh
   dijamin.
   
   149.  Kerana perpecahan di kalangan mereka kuasa  politik
   mereka  pun sudah susut.  Mereka belum sedar akan hakikat
   ini  tetapi  hari  ini apabila hak dan  kedudukan  mereka
   dicabar    secara    terbuka   mereka   tidak    berupaya
   mempertahankan diri mereka.  Mereka mencari  perlindungan
   daripada  kuasa politik.  Tetapi kerana perpecahan  kuasa
   politik  mereka tidak sebegitu kuat seperti dahulu.   Dan
   satu hari kuasa ini boleh luput sama sekali.
   
   150.   Ini  tidak  mengapa  jika  individu  Melayu  sudah
   menjadi  orang  yang gagah yang memiliki  kebolehan  yang
   tersendiri,  kebolehan  dalam bidang  ilmu  dan  ekonomi,
   kebolehan  bersaing  tanpa  keistimewaan  yang  hari  ini
   mereka  anggap  sebagai hak mereka. Tetapi  mereka  bukan
   sahaja  tidak  menjadi  individu yang  gagah;  sebaliknya
   mereka   tidak   sanggup  menghadapi  persaingan   barang
   sedikit  pun.   Mereka  begitu takut  kepada  kaum  lain.
   Tanpa   pengalaman  bersaing  dengan  orang  lain,   jika
   perlindungan  tiba-tiba hilang maka  tidak  mungkin  sama
   sekali mereka "survive".
   
   
   MELAYU BELUM SELAMAT
   
   151.  Orang Melayu jelas belum selamat.  Janganlah  ingat
   kuasa orang Melayu dalam arena politik akan kekal selama-
   lamanya,  akan  menjamin keselamatan orang Melayu  sampai
   bila-bila.    Sedarlah  tidak  ada   yang   kekal   dalam
   masyarakat  manusia,  sudah tentu tidak  ada  yang  kekal
   dalam politik manusia.
   
   152.  Ada bangsa yang tidak pernah bangun dan ada  bangsa
   yang  maju  tetapi kemudian runtuh dan hilang  dari  muka
   bumi  ini.   Kita tidak bercita-cita besar untuk  menjadi
   bangsa  yang  teragung, bangsa yang menjadi kuasa  besar.
   Tetapi  kita ingin terus bebas, merdeka dan tidak dihina,
   dijajah sekali lagi.
   
   153.  Untuk ini pun kita perlu berjaga-jaga dan  berusaha
   supaya  bukan  sahaja kekuatan politik kita  dipulih  dan
   dikekalkan  tetapi kemampuan tiap seorang  daripada  kita
   dalam   bidang   tertentu,  bidang  ilmu  dan   kecekapan
   perniagaan dan perusahaan dipertingkatkan sehingga  dapat
   kita  menghadapi dan mengatasi segala saingan dan cabaran
   secara bersendirian.
   
   
   KEMBALI KE JALAN BENAR
   
   154.  Untuk  ini  kita perlu kembali  kepada  budaya  dan
   nilai-nilai  mulia  bangsa kita dan kepada  ajaran  agama
   kita.   Hari  ini  banyak  negara  bukan  Islam  mendakwa
   bahawa   orang   Melayu   dan  negara   Malaysia   adalah
   "moderate"  atau  sederhana daripada  segi  keIslamannya.
   Ini  tidak  benar  sama  sekali.   Kita  bukan  "moderate
   Muslims".   Kita  adalah  "Muslim fundamentalists"  iaitu
   kita   berpegang  kepada  asas-asas  atau  "fundamentals"
   ajaran  Islam,  asas  yang terdapat  dalam  Al-Quran  dan
   Hadis yang sahih.
   
   155.  Ajaran  Islam yang "fundamental" dan sebenar  tetap
   akan  menjadi kita orang Melayu sebagai manusia yang baik
   dan  berjaya.   Betapa  tidak?  Bukankah  Islam  menyuruh
   semua  orang Islam bersatu dan bersaudara; bukankah Islam
   menyuruh  orang  Islam membaca; iaitu  mempelajari  ilmu,
   bukankah  Islam  menyuruh  kita menuntut  kebahagiaan  di
   akhirat  dan jangan lupa akan kebahagiaan kita di  dunia,
   bukankah agama Islam menyuruh kita bermusuh hanya  dengan
   orang  yang  bermusuh dengan kita, bukankah  agama  Islam
   melarang  perbuatan yang mungkar dan menyeru kepada  yang
   maaruf,  berlaku adil dan bermacam-macam lagi  yang  baik
   dan  membina?  Tetapi ramai daripada  kita  orang  Melayu
   yang  semuanya beragama Islam, ramai yang mengikut  nafsu
   dan   mencipta   serta   menafsir  ajaran   Islam   untuk
   menghalalkan  perbuatan yang bertentangan  dengan  ajaran
   agama  kita.  Dan lepas itu kita tidak faham kenapa  kita
   gagal.
   
   156.  Tugas UMNO, tugas kepimpinan UMNO, tugas semua ahli
   UMNO  ialah  untuk  menyeru  dan  memberi  panduan  serta
   contoh  teladan kepada semua orang Melayu supaya  kembali
   kepada  jalan yang benar.  Dan ini perlu kita buat dengan
   memberi ingatan dan menunjuk cara yang baik kepada  orang
   Melayu.
   
   157.  Oleh  itu marilah kita perbaharui ikrar kita  untuk
   menjayakan  matlamat UMNO untuk menjadikan  orang  Melayu
   orang  yang  berjaya,  orang  yang  tidak  pernah  luntur
   pegangan  kepada  ajaran Islam yang sebenar.   Insyaallah
   dengan  usaha  gigih  ke  arah  ini  Allah  s.w.t.   akan
   makbulkan hasrat kita yang mulia ini.
   
   158.  Dengan  berdoa  supaya  UMNO  terus  berwibawa  dan
   meneruskan   perjuangan  asalnya,  saya   dengan   ikhlas
   merasmikan  Mesyuarat Agung Tahunan UMNO bagi tahun  2002
   ini.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google