Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	KOLEJ TUNKU ABDUL RAHMAN, 
			KUALA LUMPUR
Tarikh/Date	:	13/08/2002
Tajuk/Title 	:	MAJLIS PELANCARAN UNIVERSITI 
			TUNKU ABDUL RAHMAN
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM 
		    

       Saya  ingin  merakamkan  ribuan  terima  kasih  dan
   penghargaan  kepada Yang Berhormat Dato'  Seri  Dr  Ling
   Liong  Sik,  Pengerusi   Majlis Universiti  Tunku  Abdul
   Rahman,  Presiden  MCA dan Menteri Pengangkutan,  kerana
   mengundang   saya  untuk  melancarkan  dan  menyampaikan
   Ucapan   Pembukaan  di  upacara  bersejarah   pelancaran
   Universiti Tunku Abdul Rahman.
   
   2.    Pelajaran  adalah satu perkara yang  amat  penting
   bagi  negara dan bagi rakyatnya.  Di Malaysia  pelajaran
   menjadi  tumpuan semua ibu bapa yang ingin melihat  anak
   mereka   dilengkapi  dengan  ilmu  yang  boleh   membuka
   peluang   naik  taraf  atau  `upward  mobility'   kepada
   mereka.    Ibu  bapa  sanggup  berkorban  duit  ringgit,
   sanggup  menderita  pun, asalkan  anak  mereka  mendapat
   pelajaran yang mencukupi.
   
   3.    Kerajaan juga sedar akan pentingnya pelajaran bagi
   rakyat    supaya   mereka   dapat   menyumbang    kepada
   pembangunan  dan kemajuan negara.  Justeru itu  Kerajaan
   sanggup  membelanjakan wang yang banyak untuk mengadakan
   sekolah  dan  institusi  pelajaran  di  semua  peringkat
   supaya  rakyat akan mendapat pelajaran yang  diperlukan.
   Sebenarnya  Kerajaan membelanjakan 20  peratus  daripada
   jumlah   belanjawan   tahunan   untuk   pendidikan   dan
   pelajaran.    Tidak  ada  negara  lain  di  dunia   yang
   memperuntukkan wang yang begitu banyak untuk  penguasaan
   ilmu  oleh  rakyatnya.  Ini adalah satu ukuran  komitmen
   Kerajaan kepada bidang penting ini.
   
   4.    Walaupun  demikian  ianya masih  tidak  mencukupi.
   Lebih   ramai   anak  muda  kita  yang  ingin   mendapat
   pelajaran  daripada jumlah tempat yang  disediakan  oleh
   Kerajaan.   Ibu  bapa  yang mampu terpaksa  hantar  anak
   mereka  ke  luar  negara  untuk  mendapat  tempat  dalam
   universiti  luar negara.  Yang tidak mampu tetapi  layak
   untuk ke universiti tetap kecewa.
   
   5.    Untuk membolehkan lebih ramai anak muda yang layak
   dapat  ke universiti, Kerajaan telah merancang kerjasama
   di  antara  institusi dalam negeri dengan universiti  di
   negara  asing  dalam  ikatan yang  dipanggil  `twinning'
   atau  `perkembaran'.   Dengan  ini  sebahagian  daripada
   kursus  dapat diadakan dalam negara dan separuh di  luar
   negara  dan  kelulusan  serta ijazah  yang  diberi  oleh
   universiti    luar   adalah   diiktiraf.     Cara    ini
   mengurangkan  kos  dan  lebih ramailah  rakyat  Malaysia
   yang    dapat   melanjutkan   pelajaran   ke   peringkat
   universiti.
   
   6.    Pada  satu masa dahulu Kerajaan tidak  membenarkan
   institusi  pelajaran  tinggi  swasta.   Apabila   sistem
   `twinning'  berjaya maka ramailah daripada pihak  swasta
   yang    mengadakan   `twinning'.    Walaupun    Kerajaan
   mendirikan   lebih  banyak  universiti,  tetapi   jumlah
   tempat dalam universiti-universiti ini masih juga  tidak
   mencukupi.
   
   7.    Sekarang Kerajaan melonggarkan lagi kawalan  dalam
   bidang  pelajaran tinggi dan membenar swasta  mendirikan
   universiti.   Kelonggaran  ini membawa  banyak  masalah.
   Jika  tidak dikawal maka institusi pelajaran yang  `sub-
   standard'    akan   mendakwa   bahawa   mereka    adalah
   universiti.
   
   8.     Di  banyak  negara  terdapat  ratusan  universiti
   tetapi  kebanyakan  adalah  `certificate-mills'  sahaja.
   Bukan  sahaja  ramai  akan tertipu tetapi  `certificate-
   mills' ini akan memburukkan nama negara kita.
   
   9.    Oleh kerana ini Kerajaan akan terus mengawal  rapi
   institusi pelajaran tinggi dalam negara kita.
   
   10.   Satu lagi masalah yang besar ialah kos mengada dan
   mengurus  universiti amatlah tinggi.  Kerajaan  terpaksa
   `subsidise'    universiti   Kerajaan   untuk    membantu
   mengurangkan yuran.  Tetapi universiti swasta,  walaupun
   mendapat  sokongan  daripada `endowment'  individu  atau
   korporat  terpaksa mengenakan yuran yang tinggi.   Hanya
   mereka  yang mampu sahaja yang dapat pergi ke universiti
   swasta.
   
   11.  Memandang akan perbezaan pendapatan antara kaum  di
   negara  ini,  besar kemungkinan universiti  swasta  akan
   dipenuhi   dengan  satu  kaum  dan  universiti  Kerajaan
   dengan  kaum  yang lain.  Ini akan menjadikan  integrasi
   kaum sukar dicapai.
   
   12.   Sekarang di peringkat sekolah rendah dan  menengah
   sudah  ada perpisahan antara kaum.  Jika perpisahan  ini
   diteruskan   ke  peringkat  universiti  maka  masyarakat
   dewasa  Malaysia  akan  memperlihatkan  perkauman   yang
   semakin ketara.
   
   13.    Kerajaan  tidak  boleh  membiarkan  keadaan   ini
   berlaku.   Rakyat  Malaysia  yang  berbilang  kaum   ini
   bernasib  baik  kerana sehingga kini kepimpinan  terdiri
   daripada  tokoh-tokoh yang biasa bercampur  gaul  antara
   kaum-kaum  yang berlainan.  Jika sudah tidak  ada  tokoh
   di  masa  depan  yang boleh bercampur  gaul  kemungkinan
   konflik  berlaku  amatlah besar.  Apa gunanya  pelajaran
   tinggi  jika  negara  menjadi tidak stabil  dan  rusuhan
   kaum tercetus sepanjang masa.
   
   14.   Oleh  kerana  ini  usaha mesti  dibuat  supaya  di
   universiti  penuntut akan terdiri daripada  semua  kaum.
   Saya  sedar akan pepatah Inggeris `you can take a  horse
   to  the  water,  but you cannot make it drink'.   Tetapi
   `take  it to the water you must'.  `We will find  a  way
   to make it drink'.
   
   15.   Sekarang  ini penuntut di universiti  mengasingkan
   diri   mengikut   kaum.   Mereka  tidak  tinggal   dalam
   `dormitory'  atau  bilik bersama.  Di dewan  kuliah,  di
   padang  permainan,  `extra-curricular activities'  dalam
   dewan-dewan lain, mereka duduk berasingan.  Keadaan  ini
   tidak  sihat  dan  merbahaya  bagi  masa  depan  negara.
   Hakikatnya ialah apabila mereka keluar universiti  untuk
   bekerja,   mereka   akan   bertemu   dengan   masyarakat
   berbilang  kaum  yang berbeza daripada masyarakat  dalam
   universiti.
   
   16.   Justeru  itu usaha secara pro-aktif  perlu  dibuat
   untuk merapatkan hubungan antara penuntut pelbagai  kaum
   di  universiti.   Sepatutnya tiap universiti  mengadakan
   kelab  antara  kaum  yang bergiat dalam  bidang  sosial,
   sukan,  lawatan pelajaran atau `educational outing',  di
   dalam  dan di luar negeri, berkelah dan lain-lain  lagi.
   Kepimpinan  dan  penyertaan  kelab-kelab  ini   mestilah
   daripada  semua  kaum  dan mereka  boleh  adakan  kursus
   berkenaan  adat  resam, pantang larang  dan  sensitiviti
   masing-masing  kaum.  Peserta mestilah  berusaha  secara
   sedar,  `deliberately  and consciously'  untuk  mengelak
   daripada  bersengketa  dan  bertelagah  antara   mereka,
   terutama yang berasas kepada kelainan kaum.
   
   17.   Kerajaan akan memberi galakan dan hadiah  tertentu
   kepada  kelab yang berjaya disertai oleh semua kaum  dan
   mempunyai  rekod  yang  baik  serta  mencipta  cara-cara
   untuk merapatkan hubungan yang lebih erat.
   
   18.   Universiti Tunku Abdul Rahman yang  akan  dilancar
   ini  mempunyai  peranan yang lebih besar  dalam  perkara
   hubungan  pelajar  pelbagai kaum.  Ia adalah  universiti
   swasta  dan  kita tahu universiti swasta biasanya  tidak
   mempunyai   ramai  penuntut  Bumiputera.   Usaha   mesti
   dibuat   untuk  menarik  seberapa  ramai  yang   mungkin
   penuntut  Bumiputera.  Segala kegiatan dalam  universiti
   hendaklah mencerminkan usaha merapatkan hubungan  antara
   kaum.   Sistem  didikan  dan bahasa  pengantar  mestilah
   memberi  gambaran yang telah menjadikan Malaysia masyhur
   -  iaitu  Malaysia adalah satu-satunya negara  berbilang
   kaum  yang  aman,  stabil  dan selamat  dengan  kemajuan
   tidak diganggu oleh sikap tidak toleran oleh rakyatnya.
   
   19.   Di  masa  yang  sama  adalah  penting  kursus  dan
   kelulusan serta ijazah universiti ini menepati  standard
   yang  tinggi sesuai dengan sebuah universiti.  Jika  ini
   dapat  ditentukan  maka  universiti  ini  akan  mendapat
   tempat   dalam  negara  dan  dalam  dunia  juga  sebagai
   institusi  pelajaran tinggi yang bertaraf  antarabangsa.
   Adalah  menjadi  harapan Kerajaan  universiti  ini  akan
   menarik  ramai penuntut dari negara asing kerana kualiti
   pelajaran yang diperolehi di universiti ini.
   
   20.    Rakyat   Malaysia   mungkin   daripada   pelbagai
   keturunan  tetapi Malaysia adalah negara  kita  bersama.
   Oleh   itu,  walaupun  kita  boleh  mengekalkan   budaya
   keturunan  kita  tetapi  dianya tidak  boleh  tulin  dan
   eksklusif.   Sebaliknya  unsur-unsur  budaya   kaum-kaum
   lain  mestilah terdapat dalam budaya semua kaum,  dengan
   budaya  asli  Malaysia  sebagai  tonggak  kepada  budaya
   semua  kaum  untuk  menentukan identiti  Malaysia  kita.
   Saya   yakin  pihak  universiti  akan  dapat  menyumbang
   kepada pembentukan identiti Malaysia yang tulin.
   
   21.   Oleh  itu  selain daripada menuntut ilmu  tertentu
   universiti  juga  perlu menuntut ilmu  berkenaan  dengan
   sejarah  dan  budaya Malaysia.  `Research' dalam  bidang
   ini  perlu  dibuat  yang mirip kepada  Malaysia  sebagai
   negara   berbilang  kaum  yang  mempunyai   Melayu   dan
   Bumiputera lain sebagai terasnya.
   
   22.   Kita  tahu tidak ramai dari negara berbilang  kaum
   yang  aman  dan maju.  Tetapi ada juga negara di  Eropah
   dan  Amerika yang dipenuhi dengan kaum pendatang  tetapi
   masih  aman,  maju dan selamat.  Apakah yang  menentukan
   identiti  negara-negara ini dan bagaimanakah ia dipupuk?
   Ahli  akademik perlu mengkaji perkara ini secara  ilmiah
   tanpa  diganggu  oleh sentimen kaum dan  keturunan  yang
   tebal.
   
   23.   Demikian juga dengan pelajaran `political science'
   yang  biasanya  di asas kepada pendapat  dan  ilmu  dari
   Barat.   Masa  sudah  tiba untuk kita menyoal  pemikiran
   Barat  yang  sekarang  begitu menguasai  dunia  sehingga
   sesiapa    yang   menyoalnya   akan   dianggap   sebagai
   `heretic',  orang yang sudah terkeluar dari  aliran  dan
   menjadi `political apostate'.
   
   24.   Jika kita kaji arus pemikiran dan ideologi politik
   Barat,  kita  akan  dapati  bahawa  mereka  berkali-kali
   mencipta  dan  mengamal  ideologi  yang  mereka  sendiri
   akhirnya    mengakui    adalah    salah    dan    mereka
   menggugurkannya.   Kita  tidak harus  mengikuti  mereka,
   mempercayai  dan  mengamal  sistem  mereka  dan  apabila
   mereka  gugurkan  sistem ini maka  barulah  kita  berani
   menggugurkannya.
   
   25.    Barat  telah  cipta  sistem  feudal  yang  begitu
   otokratik  dan  menjadi  begitu  zalim  sehingga  mereka
   terpaksa menggugurkannya dan menggantikan dengan  sistem
   republik,  secara literal bermakna kembali kepada  kuasa
   ramai.    Dalam   usaha   untuk  menegakkan   kebebasan,
   persamaan  dan  persaudaraan,  `Liberty,  Equality   and
   Fraternity',  mereka  membunuh berjuta  daripada  rakyat
   mereka.    Jelas  bagi  sebilangan  yang   tidak   kecil
   daripada  bangsa-bangsa Barat ini,   `Liberty,  Equality
   and Fraternity' tidak bermakna.
   
   26.   Setelah hampir seratus tahun kezaliman berlaku dan
   ratusan  juta  menjadi mangsa, mereka gugurkan  ideologi
   Komunis   dan  Sosialis.   Hari  ini  mereka  perkuatkan
   sistem  `capitalism without limit', tanpa had.   Segala-
   gala,   termasuk  `Liberty,  Equality  and   Fraternity'
   dikorbankan   supaya   `unlimited   greed',    ketamakan
   kapitalis, dapat menguasai dunia.
   
   27.   Yang  jelas ialah ideologi dan sistem Barat  bukan
   `infallible',  bukan  tidak  cacat.   Justeru  itu  kita
   perlu    soal   slogan   seperti   `liberal   democracy,
   globalisation,  free market' dan lain-lain  supaya  kita
   dapat  tentukan apakah idea-idea ini tidak akan didapati
   tidak  baik  oleh Barat satu hari dan mereka  juga  akan
   menggugurkan  idea-idea ini untuk diganti  dengan  idea-
   idea baru.
   
   28.   Universiti sebagai gedung ilmu perlu  terokai  dan
   kaji   semua  bidang  ilmu.   Walaupun  secara  langsung
   universiti  tidak dapat membentuk dasar dan  pentadbiran
   negara  tetapi  pemikiran pakar dalam universiti  adalah
   penting.   Kita perlu kurangkan cengkaman  ahli  pemikir
   Barat   dan  menyumbang  kepada  pemikiran  tulin   yang
   berpunca  daripada kita.  Saya yakin  kita  orang  Asia,
   kita  rakyat  Malaysia  tidak  sebegitu  lemah  sehingga
   tidak  dapat mencipta pemikiran sains politik yang tidak
   kurang   bijak,   berasas  kepada  keunikan   masyarakat
   berbilang  kaum kita, dan pengalaman serta  kajian  kita
   yang  lain  di  seluruh dunia.  Masa akan  kembali  yang
   mana  asas-asas susunan masyarakat dunia tidak lagi akan
   dimonopoli oleh pemikir Barat tetapi oleh semua  manusia
   di dunia.
   
   29.   Saya  menarik  perhatian  kepada  `research'  yang
   perlu  dibuat  oleh universiti kerana kita  tidak  ingin
   melihat  universiti-universiti kita di Malaysia  menjadi
   `certificate  mills'  semata-mata,  yang  hanya  menjadi
   `conduit'  atau  saluran  ilmu yang  datang  dari  luar.
   Masa  sudah  tiba  untuk kita memikir sendiri  berkenaan
   dengan  pengurusan negara kita dan juga berkenaan dengan
   ideologi  yang  sesuai  untuk negara  kita.   Tidak  ada
   bangsa  di  dunia  yang  mempunyai  monopoli  pemikiran.
   Kita  juga  mampu memikir untuk cara-cara  mengurus  dan
   membangun  negara bukan sahaja untuk negara kita  tetapi
   juga untuk manusia lain.
   
   30.    Piawaian   atau  standard  adalah  perkara   yang
   terpenting  bagi  sesebuah institusi  pelajaran  tinggi.
   Kita    mempunyai   Lembaga   Akreditasi   Negara   yang
   menentukan  universiti  di  Malaysia  mencapai  standard
   yang   minima.   Tetapi  kita  tidak  boleh  berpuashati
   dengan standard yang minima.
   
   31.     Di   negara-negara   maju   selalunya   terdapat
   universiti-universiti yang utama.   Demikian  di  United
   Kingdom,  terdapat  Cambridge dan  Oxford,  Harvard  dan
   Yale  di Amerika Syarikat dan Keio dan Waseda di  Jepun.
   Di  Malaysia  kita belum ada universiti  yang  terkemuka
   yang  terkenal  di seluruh dunia.  Oleh itu  saya  harap
   universiti-universiti  di  negara  kita  akan   berusaha
   untuk  mencapai  tahap keilmuan dan  kaji  selidik  yang
   tinggi  supaya  beberapa daripada universiti  kita  akan
   terkenal  di  dunia  sebagai  pusat  kecemerlangan  yang
   terkenal  yang  akan  memberi  label  yang  baik  kepada
   `graduate'  dan  stafnya.  Universiti di Malaysia  harus
   merancang untuk mencapai tahap ini.
   
   32.   Untuk menjadi terkenal, penuntut dan staf mestilah
   berada  di  `cutting edge' dalam bidang-bidang  tertentu
   dan  dapat  berhujah dalam bidang ini dengan pakar-pakar
   dari  negara-negara lain di dunia.   Supaya  kita  dapat
   berbuat  demikian  secara efektif kita  perlu  menguasai
   bahasa  antarabangsa.  Bahasa antarabangsa di waktu  ini
   ialah  Bahasa Inggeris.  Bahasa ilmu di masa ini, bahasa
   ilmu  sains, teknologi dan matematik, terutamanya adalah
   dalam  bahasa  Inggeris.   Demikianlah luasnya  kegunaan
   Bahasa Inggeris dalam bidang-bidang ini sehingga bangsa-
   bangsa  Eropah,  China  dan Jepun juga  mengguna  bahasa
   Inggeris  sebagai  bahasa pengantar.  Kita  boleh  cipta
   perkataan-perkataan sains dalam bahasa kita tetapi  oleh
   kerana  penerokaan dalam bidang ini dibuat dalam  Bahasa
   Inggeris,  ciptaan  ini  hanya boleh  dibuat  jika  kita
   bukan  sahaja faham Bahasa Inggeris tetapi  adalah  juga
   pakar  dalam  bidang  berkenaan dan fasih  dalam  Bahasa
   kita.   Mungkin  ada beberapa pakar kita yang  mempunyai
   kebolehan  ini tetapi mereka tidak dapat menumpu  kepada
   mencipta   perkataan-perkataan  ini  dan   jauh   sekali
   menterjemah   semua  buku,  jurnal  dan   rencana   yang
   bercambah-cambah dalam bahasa antarabangsa iaitu  Bahasa
   Inggeris.   Jika kita ingin berhujah, mengadakan  bicara
   intelek  dengan  pakar-pakar  di  dunia  penguasaan  dan
   kefasihan Bahasa Inggeris amatlah penting.  Justeru  itu
   Bahasa  Inggeris  perlu diguna sebagai bahasa  pengantar
   sejak   dari   awal   lagi  sehinggalah   ke   peringkat
   universiti.   Lagipun universiti di  Malaysia  hendaklah
   terbuka  kepada  semua kaum dan bahasa kebangsaan  serta
   bahasa  Inggeris  adalah bahasa pengantar  dari  sekolah
   lagi.    Jika   bahasa  kaum  diguna  secara   eksklusif
   terutama   dalam   bidang  sains  dan  matematik,   maka
   universiti  berkenaan  akan  tertutup  kepada  kaum-kaum
   lain.   Dan  ini tidak sihat bagi negara berbilang  kaum
   seperti Malaysia.
   
   33.   Kita  berada  sekarang  dalam  zaman  ilmu,  zaman
   teknologi  maklumat, `knowledge age'.   Amatlah  penting
   semua  rakyat  Malaysia memiliki `knowledge'  atau  ilmu
   terutamanya   dalam   bidang   sains,   teknologi    dan
   matematik.   Kita tidak boleh sekat diri  kita  daripada
   penguasaan  ilmu kerana kepentingan yang  sempit.   Kita
   boleh  kekalkan  identiti  kaum  kita  tetapi  menguasai
   bahasa  lain,  menguasai ilmu-ilmu  yang  penting  tidak
   akan  mengurang  atau  mengubah  identiti  kita.   Hanya
   kerana  kita  dapat bercakap dan berhujah  dalam  bahasa
   lain  bahkan  mengguna nama daripada bangsa  lain  tidak
   akan mengubah kaum dan identiti kita kepada bangsa itu.
   
   34.   Di  dalam  dunia,  hanya di Malaysia  sahaja  yang
   terdapat  sekolah  pelbagai bahasa  yang  dibiayai  oleh
   Kerajaan.   Tidak ada negara yang maju atau  tidak  maju
   yang  membenar  dan  menyokong sistem persekolahan  yang
   berbagai-bagai  jenis dan bahasa.  Kita benarkan  sistem
   berbagai-bagai  bahasa  ini kerana  kita  lebih  toleran
   daripada mana-mana bangsa atau negara di dunia.   Tetapi
   kita  sedar dengan adanya sekolah berbagai-bagai  bahasa
   ini,  integrasi  dan perpaduan kaum di negara  kita  ini
   terjejas,  menjadi tidak mudah.  Jika kerana  penggunaan
   bahasa  ibunda  kaum tertentu menghalang kemasukan  kaum
   lain  dalam  mana-mana universiti  maka  integrasi  kaum
   akan  menjadi lebih sukar.  Sudah tentu ini akan membawa
   masalah perkauman dalam masyarakat Malaysia.
   
   35.   Sebab itulah kita tidak dapat terima lebih  banyak
   kelainan  dalam sekolah-sekolah di Malaysia.  Puak  yang
   menuntut  supaya  identiti kaumnya tidak  boleh  dicemar
   akan  hanya menyebabkan kaum lain pula membuat  tuntutan
   yang   sama.    Apabila  kesemua  pihak   berdegil   dan
   membelakangkan  kepentingan negara amnya maka  perpaduan
   dan  keharmonian  yang telah lama kita berjaya  tegakkan
   akan rosak dan akan hancur.
   
   36.   Education must be holistic.  It must result  in  a
   rounded  man,  a man who is not merely an  expert  in  a
   particular  subject but who is able  to  relate  to  the
   society  he  is  in.   He  must be  able  to  apply  his
   knowledge  and  his intellect to the betterment  of  his
   fellow-man.  Knowledge without morality is not only non-
   productive  but  it can be harmful.  The truly  educated
   man  must therefore know what he owes to society and how
   he can repay it with his knowledge.
   
   37.   Saya yakin Universiti Tunku Abdul Rahman ini  akan
   menjadi  satu  institusi pelajaran tinggi Malaysia  yang
   akan  benar-benar menyumbang kepada penghayatan prinsip-
   prinsip  perjuangan Tunku Abdul Rahman  Putra,  pencipta
   dan  pengamal kerjasama antara kaum yang unik yang telah
   menjadikan  asas kepada keharmonian dan keamanan  negara
   tercinta ini.
   
   38.   Dengan  kata-kata  itu,  saya  dengan  sukacitanya
   merasmikan pelancaran Universiti Tunku Abdul Rahman.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google