Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PALACE OF THE GOLDEN HORSES
Tarikh/Date : 03/09/2002
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN
CUKAI NASIONAL KE-2, 2002
Versi :
Penyampai : PM
Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada
pihak penganjur, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan
Institut Percukaian Malaysia (MIT), kerana menjemput
saya untuk merasmikan Persidangan Cukai Nasional ke -2,
2002 hari ini.
2. Persidangan ini adalah tepat pada masanya kerana
Kerajaan telah mengumumkan perlaksanaan Sistem Taksir
Sendiri (STS) sebagai ganti kepada sistem taksir formal.
Semasa membentangkan Belanjawan tahun 1999, sebagai
tindakan untuk meningkatkan kecekapan sektor awam dan
kerjasama dengan sektor swasta, saya telah mencadangkan
supaya sistem taksir formal berhubung dengan cukai
pendapatan ditukar kepada Sistem Taksir Sendiri.
Langkah ini meningkatkan kutipan cukai hasil serta
meningkatkan tahap pematuhan cukai di kalangan pembayar
cukai. Dalam masa yang sama, Lembaga Hasil Dalam
Negeri sebagai Pentadbir Cukai Langsung Malaysia telah
diminta untuk mempergiatkan usaha mendidik rakyat
umumnya dan pembayar cukai khasnya mengenai sistem baru
ini.
3. STS adalah satu sistem baru daripada segi
pematuhannya. STS bukanlah satu bentuk cukai baru.
Perubahan yang ketara dalam STS ialah siapakah yang akan
menentukan cukai yang kena dibayar walaupun tiada
perubahan dalam cara menentukan cukai yang kena dibayar.
Oleh kerana pembayar cukai bertanggungjawab untuk
menentukan cukai maka adalah amat perlu dan penting bagi
pembayar cukai mengetahui perundangan cukai yang sedia
ada.
4. Pihak LHDN telah memulakan program pembelajaran
cukai secara proaktif. Program tersebut telah
dilaksanakan secara meluas di seluruh Malaysia.
Menyedari bahawa tanggungjawab ini boleh diringankan dan
di samping itu melipat gandakan bilangan rakyat yang
boleh dididik, LHDN telah bekerjasama dengan persatuan
perakaunan dan profesional serta dewan-dewan perniagaan.
Ini adalah satu pendekatan yang menguntungkan semua
pihak. Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk mewujudkan
perkongsian pintar di antara sektor swasta dan awam.
Persidangan ini menggambarkan perkongsian yang pintar
kerana ia adalah tindakan berterusan bagi persahabatan
dan persefahaman di antara LHDN dan persatuan perakaunan
dan profesional.
5. Cukai langsung dan tidak langsung yang dipungut
oleh mana-mana Kerajaan sama ada negara membangun atau
sedang membangun, merupakan sumber pendapatan utama
kepada negara. Tanpa pungutan cukai yang baik adalah
sukar bagi sesebuah negara untuk membiayai
pembangunannya. Malaysia sebagai sebuah negara yang
sedang membangun tidak terkecuali. Kerajaan juga telah
menggunakan cukai yang dikutip dengan bijaknya bagi
membiayai perbelanjaan negara. Kita boleh berbangga
dengan infrastruktur yang wujud di Malaysia yang telah
dibiayai oleh pungutan cukai.
6. Bagi Belanjawan Kerajaan Persekutuan bagi tahun
2002, 78.3 peratus berpunca daripada cukai. Daripada
peratusan tersebut sumbangan cukai langsung ialah 37.2
peratus. Berdasarkan kepada statistik ini, kedudukan
Malaysia adalah lebih kukuh berbanding dengan negara-
negara membangun lain daripada segi sumber perbelanjaan
Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan negara.
7. Bagi tahun 2001, 18 peratus daripada jumlah
penduduk Malaysia merupakan bilangan pembayar cukai yang
berdaftar. Persoalan yang timbul ialah sama ada semua
yang layak membayar cukai menunaikan tanggungjawab
mereka. Bagi tahun 2001, cukai langsung yang dipungut
oleh LHDN berjumlah RM41.79 billion - iaitu,
peningkatan sebanyak 43.29 peratus berbanding tahun
2000. Kutipan cukai berjumlah RM41.79 billion oleh LHDN
adalah yang tertinggi dalam sejarah LHDN. Penyumbang
utama terhadap jumlah ini adalah kumpulan syarikat yang
telah menyumbangkan 51.64 peratus manakala cukai yang
dipungut daripada orang-orang perseorangan hanyalah
20.09 peratus. Sumbangan komponen cukai lain ialah 23.59
peratus daripada cukai pendapatan petroleum, 3.94
peratus daripada duti setem, 0.54 peratus daripada cukai
keuntungan harta tanah, 0.16 peratus daripada cukai
pendapatan koperasi, 0.03 peratus daripada cukai
aktiviti perniagaan luar pesisir, Labuan dan 0.01
peratus daripada cukai-cukai lain. Berdasarkan
statistik ini kedudukan pematuhan boleh diperbaiki.
Usaha-usaha berterusan sedang di ambil bagi meningkatkan
pematuhan cukai. STS yang diperkenalkan oleh Kerajaan
adalah ke arah pematuhan cukai secara sukarela. Dengan
perlaksanaan STS, LHDN akan mengambil beberapa langkah
positif dan inisiatif bagi membesarkan asas cukai.
Antara langkah yang sedang dan akan dipergiatkan oleh
LHDN ialah penguatkuasaan melalui aktiviti banci bisnes,
audit dan penyiasatan. Dengan perlaksanaan aktiviti
tersebut, bilangan pembayar cukai akan bertambah dan
seterusnya pungutan cukai oleh LHDN akan berlipat ganda.
Sekiranya semua orang yang layak dikenakan cukai
membayar cukai mereka, kesannya ialah kita akan
menikmati pembangunan yang lebih.
8. Di bawah STS, pembayar cukai diberi kepercayaan
untuk membayar cukai yang sepatutnya mengikut
perundangan cukai yang wujud. Oleh itu pembayar cukai
perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai
keperluan undang-undang cukai. Pada lazimnya, pembayar
cukai akan mendapatkan nasihat dan kepakaran tuan-tuan
dan puan-puan sebagai agen cukai untuk mengendalikan
hal-ehwal percukaian mereka. Adalah diharapkan tuan-
tuan dan puan-puan sentiasa akan mematuhi undang-undang
cukai semasa menyediakan borang nyata pendapatan untuk
pelanggan masing-masing.
9. Adalah difahamkan LHDN telah mengeluarkan kod etika
agen cukai untuk dijadikan sebagai panduan tentang
perkara yang sepatutnya dilakukan semasa membantu atau
mewakili pembayar cukai dalam hal ehwal percukaian.
Objektif utamanya adalah untuk meningkatkan
profesionalisme di kalangan tuan-tuan dan puan-puan
supaya orang awam yakin dengan perkhidmatan yang
ditawarkan. Tatakelakuan yang diingini oleh Kerajaan
menetapkan bahawa, dalam menjalankan tanggungjawabnya
tuan-tuan dan puan-puan hendaklah sentiasa berintegriti,
berkebolehan dan dapat memberikan nasihat profesional.
10. Sistem Taksir Sendiri adalah satu sistem di mana
kepercayaan diberikan kepada pembayar cukai. Sistem ini
juga menumpukan kepada kawal selia yang baik (good
governance). Asal usul kawal selia yang baik telah wujud
dalam budaya masing-masing -- sama ada secara peribadi,
sosial, ekonomi dan budaya silang. Walau bagaimanapun,
sejak tahun lapan puluhan, prinsip kawal selia yang baik
telah diberi penekanan secara meluas. Contohnya, di
peringkat antarabangsa, Bank Dunia dan Organisation for
Economic Cooperation and Development (OECD) dan
organisasi lain sama ada swasta atau pun awam telah juga
menitik beratkan prinsip kawal selia yang baik. Di
peringkat negara, Malaysian Institute of Corporate
Governance (MICG) telah ditubuhkan sebagai usaha pihak
swasta dalam tahun 1998.
11. Nilai kawal selia yang baik adalah berdasarkan
antara lain, ketelusan, akauntabiliti, "disclosure",
amanah, keyakinan dan integriti. Nilai kawal selia yang
baik sememangnya telah terkandung dalam sistem taksir
sendiri (STS).
12. Adalah sesuai di sini untuk kita bersama-sama
mengimbas mengenai tema persidangan ini - iaitu,
"Globalised Tax System In A Borderless World". Lembaga
Hasil Dalam Negeri, sebagai pentadbir cukai langsung
bagi negara, haruslah memberi perhatian terhadap
permasalahan isu - isu cukai antarabangsa seperti
"transfer pricing" dan "e-commerce" serta perkara-
perkara yang berkaitan dengannya.
13. Dengan lafaz bismillah hirrahma nirrahim, saya
dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Cukai Nasional
ke - 2, 2002.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|