]Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN JUBLI, SELANGOR DARUL EHSAN
Tarikh/Date : 17/09/2002
Tajuk/Title : SEMINAR KEBANGSAAN "MEMAHAMI
MALAYSIA SEBAGAI SEBUAH
NEGARA ISLAM"
Versi :
Penyampai : PM
"Malaysia Sebagai Sebuah Negara Islam"
Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri
Selangor, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan
Institut Perkembangan Minda (INMIND) kerana menjemput
saya untuk merasmikan seminar "Memahami Malaysia
Sebagai Sebuah Negara Islam".
2. Kedatangan Islam telah membawa perubahan besar
kepada umat manusia. Dunia Kristian juga, yang berada
dalam Zaman Kegelapan atau Dark Ages dicerahkan oleh
Islam. Daripada orang Islamlah mereka mempelajari
berbagai-bagai jenis ilmu termasuk ilmu hisab dan sains
dan ilmu pelayaran yang membantu pembangunan dan
kemajuan negara-negara mereka.
3. Tetapi kesan yang terbesar dari kedatangan Islam
ialah di kalangan Arab Jahiliah yang mempunyai
kepercayaan dan budaya yang amat kolot. Dengan
penerimaan agama Islam bangsa yang kolot ini, yang
bermusuh sesama sendiri tanpa sebab, telah bersatupadu,
bersaudara, mengejar ilmu, membuka minda mereka dan
berjaya mendirikan satu tamadun dan empayar yang tidak
ada tolok bandingannya.
4. Pemerintahan kepimpinan Rasulullah yang
didirikan oleh bekas Arab Jahiliah di Madinah
memperkenalkan perlembagaan yang tertib dan tersusun
yang tidak pernah dilihat di dunia sebelum itu. Piagam
ini tidak menolak adanya orang bukan Islam yang menjadi
penduduk Madinah dan memberi hak kepada mereka sebagai
wargakota Madinah. Piagam ini cukup adil. Orang bukan
Islam dihukum mengikut undang-undang mereka.
5. Rasullullah s.a.w. juga tidak mengisytiharkan
Madinah sebagai negara Islam. Konsep negara atau
"nation state" seperti yang kita tahu sekarang tidak
ada di zaman itu. Di Eropah juga tidak ada "nation
state" tetapi ada "warlords" yang menguasai kawasan
tertentu dan sering berperang sesama sendiri, walaupun
mereka daripada bangsa yang sama.
6. Wilayah yang dikuasai oleh orang Islam memberi
kesetiaan kepada seorang Khalifah. Orang Islam
menganggap mereka semua adalah daripada satu ummah,
atau dalam bahasa Inggeris "satu community". Soal
negara Islam tidak timbul.
7. Apabila Islam berkembang ke seluruh dunia
pemerintahan tempatan diletak di bawah ketua-ketua yang
dipilih oleh Khalifah. Oleh kerana wilayah Islam ini
terlalu jauh dari Baghdad atau Damsyik di mana Khalifah
tinggal, maka ramai daripada ketua wilayah ini berlagak
sebagai raja tempatan. Ada juga yang merebut kuasa
tanpa izin Khalifah dan mendakwa diri mereka sebagai
raja dengan berbagai-bagai gelaran, termasuk juga
gelaran "Khalifah".
8. Tidak ada perlembagaan yang diketahui yang menjadi
undang-undang asas kepada apa yang dikenali sekarang
sebagai Empayar Islam. Empayar Islam bukan seperti
Empayar Rom atau Empayar-empayar Barat yang lain yang
merupakan wilayah bangsa-bangsa lain yang ditakluk oleh
penjajah sebagai empayar mereka. Empayar Islam terdiri
dari wilayah yang majoriti penduduk telah menerima
agama Islam atau orang yang beragama Islam berkuasa dan
membentuk pemerintahan.
9. Apabila Turki menjadi kuasa besar dalam dunia
Islam maka Sultan Turki di terima sebagai Khalifah bagi
umat Islam. Pemerintahan tempatan tidak dikuasai
sepenuhnya oleh Turki, tetapi tinggal di tangan ketua-
ketua tempatan. Apabila British dan Perancis berperang
dengan Turki, mereka menghasut Ketua-ketua tempatan
yang bukan berbangsa Turki supaya menuntut kebebasan
daripada kuasa Turki dan mendirikan negara-negara
sendiri dengan menggunakan konsep "nation state" ala
Eropah. Ketua-ketua tempatan ini tertipu kerana
apabila wilayah mereka di bebaskan daripada Turki,
mereka ditakluk dan dijajah sebagai koloni British dan
Perancis. Apabila kemudian mereka dapat bebaskan
wilayah-wilayah mereka, sistem khalifah sudah tidak ada
lagi dan mereka dirikan "nation state" ala Eropah.
"Nation state" ini dikenali oleh dunia Islam dan juga
bukan Islam sebagai negara-negara Islam. Soal
perlembagaan atau sistem pemerintahan dan undang-undang
yang dikuatkuasakan tidak menjadi syarat untuk negara-
negara ini diterima sebagai negara Islam.
10. Sejak awal lagi wilayah yang diperintah oleh orang
Islam memberi kebebasan kepada orang bukan Islam
mengikut undang-undang mereka sendiri asalkan tidak
bercanggah dengan undang-undang Islam atau syariat
Islam. Orang-orang bukan Islam di wilayah yang
diperintah oleh orang Islam tidak dikenakan zakat
tetapi membayar cukai kepala kepada pemerintah. Dalam
pengamalan agama, bukan Islam bebas beribadat cara
mereka. Surah Al-Khafirun dalam Al-Quran jelas memberi
kebebasan keagamaan kepada orang bukan Islam.
11. Demikianlah kebebasan beragama dalam wilayah yang
diperintah oleh orang Islam sehingga penganut agama
lain kerap berhijrah ke wilayah yang diperintah oleh
orang Islam untuk menyelamatkan diri daripada
penindasan penganut agama lain, terutama oleh orang
Kristian di Eropah. Apabila orang Kristian Sepanyol
menawan semula Semenanjung Sepanyol ramailah Yahudi
yang memilih untuk pindah bersama dengan orang Islam ke
Afrika Utara, iaitu ke Maghribi, Al-Jazair, Tunisia dan
Mesir. Di wilayah yang diperintah oleh Turki juga
terdapat ramai orang Kristian dan Yahudi yang diberi
perlindungan oleh Pemerintahan Turki yang diketuai oleh
Sultan bergelar Khalifah.
12. Terdapat juga bukti bahawa orang bukan Islam
mengambil bahagian dalam pentadbiran wilayah Islam. Di
Al-Andalus, iaitu Sepanyol terdapat orang Yahudi yang
menjadi menteri dalam pemerintahan wilayah-wilayah
tertentu. Namun keIslaman wilayah-wilayah ini tidak
dipersoalkan. Orang Kristian dan Yahudi menerima
wilayah-wilayah ini sebagai wilayah Islam.
13. Di sebaliknya ada juga orang Islam yang berhijrah
ke negara bukan Islam. Ini berlaku kerana tekanan di
wilayah Islam oleh pemerintahan atau penjajah atau
kerana ekonomi yang merosot atau untuk berdagang.
Terdapat ramai orang Arab Islam yang berhijrah ke
Amerika Latin dan di zaman ini ke Amerika Syarikat.
Sementara mereka kekal dengan agama Islam, tetapi
mereka terima undang-undang tempatan yang tidak memisah
mereka daripada agama Islam. Kelonggaran yang diberi
dalam pengamalan agama Islam memudahkan penyesuaian
kehidupan mereka dengan keadaan tempatan. Jarang
sekali berlaku orang Islam meninggal agama Islam semasa
bermastautin di negara bukan Islam.
14. Dengan runtuhnya sistem Khalifah yang secara
longgar mendapat kesetiaan seluruh umat Islam, dan
wujudnya negara-negara yang bercorak "nation states"
dalam dunia Islam, maka pemerintahan negara-negara
dijalankan mengikut intepretasi Islam dan keadaan dalam
negara masing-masing. Perbezaan yang terdapat dalam
pemerintahan negara-negara ini tidak menidakkan
keIslaman negara-negara ini.
15. Sistem pemerintahan di zaman moden ini sudah
berubah daripada sistem feudal kepada sistem yang
demokratik. Walaupun masih ada negara Islam yang
feudal tetapi semakin ramai yang menerima dan mengamal
sistem demokratik tanpa kehilangan status mereka
sebagai negara Islam.
16. Sistem pemerintahan oleh Nabi tidak feudal. Nabi
tidak menamakan zuriatnya sebagai pemimpin umat Islam.
Sebaliknya apabila Baginda wafat, penggantinya dipilih
daripada sahabat-sahabatnya. Empat Khalifah yang
pertama yang terdiri daripada sahabat Nabi dikenali
dengan gelaran Khalifah Al-Rasyidun iaitu Khalifah yang
paling terpimpin dan mematuhi peraturan-peraturan Allah
dan Rasul (the Most Guided Caliphs).
17. Tetapi walaupun mereka diakui sebagai Khalifah
yang istimewa dan terpimpin, dan kita sebut nama-nama
mereka dalam khutbah, tiga daripada mereka mati dibunuh
oleh orang Islam sendiri. Yang jelas ialah pada zaman
itu pun sudah ada orang Islam yang menyoal keIslaman
pemimpin dan pemerintah sehingga sanggup membunuh
pemimpin yang terdiri daripada sahabat dan keluarga
Nabi, Khalifah yang mendapat petunjuk dari Allah dan
pimpinan oleh RasulNya. Sepanjang sejarah Islam hingga
ke hari ini tetap ada kelompok-kelompok Islam yang
bukan sahaja tidak bersetuju dengan kepimpinan umat
Islam semasa tetapi sanggup mencetus huru-hara,
mengelirukan orang Islam dan menolak keIslaman
pemerintah, dengan niat untuk merebut kuasa bagi
mereka.
18. Di zaman Kulafak Al-Rasyidun terdapat puak
Khawarij yang terdiri dari orang yang kononnya kuat
berpegang kepada agama tetapi sering mencetuskan kacau
bilau dan mencuba menjatuhkan Kerajaan-Kerajaan negara
Islam melalui hasutan dan keganasan. Bagi mereka ini,
hanya mereka sahaja yang Islam dan orang Islam lain
terutama pemerintah semuanya tidak Islam. Mereka
menolak persaudaraan dalam Islam. Yang anehnya mereka
ini tidak pernah berperang dengan orang yang bukan
Islam. Oleh kerana mereka suka bermusuh dengan orang
Islam lain, masyarakat Islam tidak pernah aman. Secara
tidak langsung mereka bersubahat dan membantu musuh-
musuh Islam.
19. Tabiat Khawarij terdapat di sepanjang zaman.
Tidak ada pemerintahan Islam yang tidak diganggu oleh
orang jenis ini yang suka menolak keIslaman orang Islam
lain, keIslaman pemerintahan Islam dan mencetuskan huru-
hara dalam wilayah Islam sehingga musuh-musuh Islam
mendapat kesempatan untuk menyerang dan menewas umat
Islam.
20. Soalan samada sebuah negara yang diperintah oleh
orang Islam adalah Islam atau tidak selalunya datang
daripada puak ini. Tujuan soalan ini dibuat ialah
untuk menghalalkan percubaan mereka menggulingkan
pemerintah dan merebut kuasa. Walau apa pun bukti yang
ditunjuk bahawa negara berkenaan adalah negara Islam,
puak ini tetap akan menolak keIslaman negara dan
mencuba menjatuhkan Kerajaan. Bahawa majoriti
daripada orang Islam mengiktiraf keIslaman negara
berkenaan, pemerintahan dan kepimpinannya, tidak juga
dapat meyakinkan mereka ini akan keIslaman negara
tersebut. Justeru itu sia-sia sahajalah usaha untuk
membuktikan keIslaman negara.
21. Malaysia diakui oleh dunia, samada Islam atau
tidak Islam, sebagai negara Islam. Orang Islam
Malaysia adalah orang Sunni atau Ahli Sunnah Wal Jamaah
yang bererti mereka berpegang kepada Sunnah Nabi dan
juga kepada pendapat atau pegangan yang diterima dan
diamal oleh jamaah Islamiah iaitu masyarakat umum.
Dalam sebuah hadith, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang
bermaksud, "Wajiblah ke atas kamu berpegang dengan Al-
Jamaah, kerana Allah Ta'ala tidak mentakdirkan Al-
Jamaah berada dalam kesesatan". Dalam mana-mana
masyarakat tetap ada kumpulan-kumpulan yang kecil yang
tidak mahu menerima pendapat umum. Jamaah di sini
bermakna kumpulan yang terbesar atau majoriti. Ahli
Sunnah Wal Jamaah yang setia tidak boleh menolak
pendapat umum supaya dapat mengikut pendapat puak dan
kumpulan kecil yang berlainan dengan pendapat Jamaah.
Berpecahnya umat Islam adalah disebabkan kumpulan
penentang yang kecil ini, seperti Khawarij yang menolak
pendapat Jamaah yang besar. Selagi ada kumpulan-
kumpulan yang tidak mahu menerima pendapat Jamaah, atau
pendapat umum daripada kumpulan yang terbesar, selama
itulah perpecahan demi perpecahan akan berlaku. Mereka
yang suka menentang Jamaah sudah terkeluar daripada
golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka sebenarnya
menolak Sunnah Nabi, yang antara lain menyuruh umat
Islam menurut dan taat kepada pendapat jumlah yang
terbesar daripada umat Islam.
22. Jumlah yang terbesar daripada umat Islam di
Malaysia dan juga di seluruh dunia mengiktiraf Malaysia
sebagai negara Islam. Ini sahaja sudah mencukupi untuk
Malaysia diterima oleh orang Islam di Malaysia yang
akur kepada pendirian Ahli Sunnah Wal Jamaah, sebagai
negara Islam. Alasan lain sebenarnya tidak perlu.
23. Walaupun demikian kita boleh tunjuk kepada bukti
yang jelas bahawa segala ajaran Islam yang mampu
dilaksanakan oleh pemerintahan Malaysia telah
dilaksanakan di Malaysia. Demikian orang Islam dan
ajaran-ajaran Islam diberi perlindungan oleh Kerajaan
Malaysia. Penyebaran ajaran sesat mengikut pendapat
jemaah dihindar.
24. Undang-undang Islam, atau hukum syarak
dikuatkuasakan di Malaysia dengan mengambilkira keadaan
negara berbilang agama ini dan keadilan yang menjadi
perkara utama dalam undang-undang Islam. Islam memberi
kelonggaran kepada pelaksanaan hukum mengikut keadaan.
Demikian di negara yang orang Islam menjadi minoriti
dan tidak berkuasa, hukum Islam di kuatkuasa setakat
yang mampu dan tidak membawa bencana kepada orang
Islam. Di negara yang penduduknya seratus peratus
terdiri daripada orang Islam, hukum Islam boleh
dilaksanakan sepenuhnya.
25. Islam bukanlah semata-mata tertumpu kepada haram-
halal, dosa-pahala dan hukum-hakam di dunia. Islam
adalah Ad-Din atau cara hidup. Cara hidup meliputi
segala-gala yang dilakukan semasa kehidupan orang
Islam. Ini termasuk penyediaan bekalan makanan,
pakaian dan bumbung di atas kepala. Juga hubungan
anggota masyarakat Islam dengan orang Islam dan orang
bukan Islam, menjadi sebahagian daripada cara hidup
Islam. Pentadbiran, pelajaran, pertahanan, kesihatan,
perhubungan dan perjalanan, kemudahan beribadat dan
keselesaan kehidupan dan apa sahaja yang bersangkutan
dengan kehidupan manusia termasuk dalam cara hidup
orang Islam. Sudah tentu kehidupan ini mestilah
kehidupan yang bahagia, bebas daripada segala tekanan
dan ketidakadilan.
26. Di Malaysia cara hidup orang Islam adalah
sempurna, bebas daripada segala tekanan, ketidakadilan
atau kekurangan. Segala-gala yang bersangkutan dengan
cara hidup Islam terdapat di Malaysia walaupun terdapat
penganut agama lain di Malaysia.
27. Semua yang di kehendaki oleh orang Islam supaya
dapat hidup cara Islam terdapat di Malaysia. Oleh
kerana ini dakwaan bahawa Malaysia adalah negara Islam
memang berasas dan tepat.
28. Pengiktirafan oleh orang yang berkepentingan
terutama oleh orang yang menidakkan ajaran Islam,
seperti mendakwa Tuhan adalah samseng terbesar,
penjahat dan penipu; pengiktirafan oleh mereka seperti
ini tidak penting. Samada mereka ini iktiraf atau
tidak hakikatnya ialah Malaysia adalah negara Islam,
diperintah oleh orang Islam, dan di mana segala suruhan
Allah yang wajib diamalkan, boleh diamal dengan bebas
dan selamat.
29. Mereka yang menolak pendapat golongan yang
terbesar antara orang Islam di negara ini, yang suka
memecah belah orang Islam, mencetus huru-hara, mereka
ini tidak berhak untuk menyoal Islam atau tidaknya
Malaysia. Sudah tentu jika syarat mereka untuk
mentakrifkan sebuah negara sebagai negara Islam hanya
jika undang-undang yang dicipta oleh mereka diterima
pakai, maka hari ini tidak ada satu pun negara di dunia
yang boleh diiktiraf sebagai negara Islam. Ini adalah
kerana tidak ada satu pun negara di dunia ini yang
melaksanakan hukum-hukum ciptaan mereka ini, hukum-
hukum yang telah dipinda oleh mereka dengan begitu
mudah. Hukum Allah tidak boleh dipinda.
30. Golongan minoriti ini tidak mempunyai apa-apa
mandat untuk menentukan negara ini Islam atau tidak.
Yang penting ialah jemaah Islam di Malaysia dan di
tempat-tempat lain mengiktiraf Malaysia sebagai negara
Islam.
31. Bagi mereka yang celek dan berpegang kepada ajaran
Islam yang sebenar, Malaysia adalah negara Islam.
Polemik berkenaan ini tidak akan menidakkan hakikat
ini.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|