home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
YAB DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN MALAYSIA KETIKA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN (2003) DI DEWAN RAKYAT PADA 20 SEPTEMBER 2002 Tuan Yang DiPertua, Saya mohon mencadangkan supaya suatu Rang Undang-undang bertajuk "Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2003 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali yang kedua. I. Pendahuluan Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, sekali lagi saya sebagai Menteri Kewangan dapat membentangkan Belanjawan Negara bagi tahun yang menyusul, iaitu tahun 2003, di Dewan yang mulia ini. Tuan Yang DiPertua, Kita kenali anggaran kewangan bagi satu jangka masa dengan nama belanjawan. Tetapi kita tentu tahu bahawa kita bukan sahaja membuat anggaran wang yang akan dibelanjakan tetapi juga wang yang akan diperolehi. Jumlah wang yang kita akan perolehi menentukan jumlah wang yang kita dapat belanja. Amatlah tidak bijak jika kita buat anggaran jumlah peruntukan yang kita akan belanja tanpa mengambil kira jumlah hasil yang kita akan terima. Justeru itu, perkataan belanjawan adalah tidak tepat. Perkataan budget dalam Bahasa Inggeris yang bermaksud perancangan keluar masuk wang untuk urusan tertentu adalah lebih tepat. Jika diizinkan, saya ingin menggunakan perkataan `budget' dengan ejaan B-A-J-E-T kerana perkataan ini lebih mencerminkan anggaran urusan kewangan negara yang akan saya bentangkan. Bajet yang bijak ialah yang mengambilkira anggaran kemasukan bagi menentukan anggaran perbelanjaan. Jika tidak, kemungkinan kita akan berbelanja lebih daripada yang kita mampu. Akibatnya, negara akan muflis. Banyak negara di dunia yang berbelanja lebih daripada perolehan hasil mereka, dan banyaklah masalah yang dialami oleh mereka, termasuk kehilangan kebebasan mengurus hal ehwal negara sendiri kerana cengkaman oleh pihak yang memberi hutang kepada mereka. Di Malaysia, kita berhati-hati dalam pengurusan kewangan dan mempastikan kita belanja setakat yang mampu, kita elak daripada meminjam terlalu banyak dan seboleh-bolehnya Bajet kita mempunyai lebihan atau surplus, atau seimbang atau mengalami deficit yang kecil sahaja. Kita telah dituduh boros kerana membangunkan projek-projek yang dikatakan mega. Mega atau tidak adalah relatif. Projek yang kecil boleh jadi mega jika kewangan negara tidak mampu membiayainya. Projek yang besar tetapi mampu dibiayai bukanlah mega. Kita akui projek seperti Putrajaya, KLIA memang besar tetapi kita mampu membiayai projek-projek ini. Walaupun kegawatan ekonomi berlaku, kita mampu meneruskan hampir semua projek kita. Yang terbengkalai adalah projek swasta. Projek Kerajaan yang baru dapat diadakan sejurus selepas kegawatan. Kita tidak seharusnya terbawa-bawa dengan media asing yang memperkenalkan perkataan mega. Projek yang kita adakan di Malaysia dirancang mengikut kemampuan, mengikut aliran masuk wang Kerajaan dan bukan untuk berbangga-bangga dengan yang besar. Sebab itu kedudukan kewangan negara tetap kukuh. Mereka yang meramal ekonomi dan kewangan kita akan hancur, seperti IMF dan Bank Dunia, hari ini mengakui akan kukuhnya ekonomi Malaysia, dan betapa tepat serta baiknya cara kita menangani krisis kewangan yang dicetuskan oleh mereka. Kita tidak boros; projek kita memang besar, tetapi bukan `mega' seperti yang dituduh oleh mereka. Pakar-pakar dan wartawan asing yang tidak pernah mentadbir mana-mana negara tidak harus menganggap mereka lebih cekap mentadbir sesebuah negara daripada orang-orang yang diberi mandat oleh rakyat untuk mendirikan Kerajaan. Kita akui kita tidak sunyi daripada membuat kesilapan tetapi kita dapat menangani kesilapan-kesilapan ini dan krisis- krisis dalam negara kita. Hanya mereka dan orang Malaysia yang tidak tahu memikir sendiri, yang tidak jemu-jemu berkokok mengikut kokok orang asing. Kononnya ekonomi Malaysia akan hancur. Tuan Yang DiPertua, Pemulihan dan pembangunan negara adalah hasil tindakan Kerajaan dalam menggubal dasar dan strategi bagi merangsang kegiatan ekonomi dalam negeri. Walau bagaimanapun, kejayaan yang diperolehi ini akan menjadi sia-sia sekiranya kestabilan dalam negara tergugat oleh tindakan dan perilaku yang tidak bertanggungjawab oleh sesetengah pihak yang tidak pernah bersyukur dan suka mencetus perasaan benci terhadap Kerajaan tanpa sebab. Mereka ini suka melempar fitnah dan sengaja menyalahtafsirkan segala-gala untuk mengelirukan rakyat Malaysia. Untuk menghalalkan keganasan, penipuan dan sikap tidak bermoral oleh mereka, maka mereka mendakwa bahawa Allah swt adalah lebih samseng, lebih jahat dan lebih penipu dari semua manusia. Jadi bagi mereka, lagak sebagai samseng, penjahat dan penipu patut diterima kerana ini adalah sebahagian dari sifat-sifat yang ada pada tuhan. Dengan ini, kepercayaan orang Islam sudah diselewengkan dan mereka sanggup bertindak ganas dan melempar fitnah. Hari ini sudah ada orang Islam di Malaysia yang begitu fanatik sehingga merancang dan bertindak secara ganas untuk mengguling Kerajaan, meletupkan bom dan membunuh. Jika mereka ini dapat meneruskan rancangan mereka, negara akan menjadi tidak stabil, huru-hara akan berlaku dan sudah tentu ekonomi akan merosot. Kita telah dapat menyelamatkan negara kita dari huru-hara berkat `rule of law' atau pemerintahan mengikut undang-undang yang Kerajaan amalkan di negara ini. ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) adalah undang-undang yang utama yang menyelamatkan kita. Hari ini dunia liberal Barat mengakui akan pentingnya undang- undang pencegahan dalam memelihara keselamatan. Prinsip pemerintahan mengikut undang-undang amat penting. Pematuhan kepada prinsip ini tidak harus terhad kepada Kerajaan sahaja, tetapi juga cabang-cabang lain dalam pemerintahan. Perkhidmatan Awam, Kehakiman, Polis dan Tentera mestilah profesional dan patuh kepada undang-undang yang dilulus secara sah oleh dewan-dewan wakil rakyat. Jika mana-mana pihak membelakangkan prinsip `the rule of law', dan tidak menghormati separation of power maka akan runtuhlah demokrasi dan berlakulah anarki. Dalam keadaan anarki, tidak mungkin ekonomi negara dimajukan. Kita akan menjadi seperti negara Islam dan bukan Islam yang lain, yang selalunya lemah, ditindas dan dipermainkan oleh kuasa asing. Tuan Yang DiPertua, Kepercayaan kepada diri sendiri amat penting bagi menjayakan sesuatu. Sama ada negara maju atau tidak bergantung kepada keyakinan terhadap kebolehan kita. Apabila kita kenakan sekatan terhadap pengaliran keluar wang yang dilabur oleh pelabur asing dalam pasaran saham kita, Indeks Komposit Kuala Lumpur atau KLCI naik daripada 262 mata kepada lebih 800 mata. Hari ini pelabur tempatan tidak lagi membeli saham mengikut prestasi ekonomi tempatan dan nilai sebenar saham mengikut keuntungan dan aset syarikat. Mereka menunggu pelabur asing untuk membeli atau menjual. Pelabur asing mempunyai agenda yang lain. Bagi mereka, nilai dan prestasi syarikat Malaysia tidak penting. Yang penting ialah turun naiknya nilai saham dan penjualan untuk mendapat capital gains semata-mata. Apabila index Dow Jones jatuh mereka menjual, dan KLCI jatuh bersama. Apabila Dow Jones naik semula, mereka terus menjual dan KLCI turun lagi. Melihat kejatuhan KLCI, pelabur tempatan pun terus menjual dan nilai saham jatuh lagi. Apabila nilai saham jatuh, syarikat dan bank menghadapi masalah. Dengan itu, KLCI terus tidak dapat naik, sehinggalah pelabur asing membeli semula saham yang sudah jatuh nilainya. Apabila harga saham naik semula, maka barulah pelabur tempatan membeli. Malangnya, mereka membeli pada harga saham yang sudah tinggi. Apabila pelabur asing menjual sekali lagi untuk mengambil keuntungan, maka pelabur tempatan akan menghadapi masalah kerana mereka membeli semasa nilai saham tinggi dan penjualan akan merugikan mereka. Sebenarnya, kebanyakan syarikat-syarikat Malaysia lebih sihat daripada syarikat asing. Laporan menunjukkan syarikat Malaysia untung beratus juta, bahkan ada yang untung lebih 2 ribu juta ringgit. Aset yang ada pada syarikat-syarikat ini tinggi nilainya. Justeru itu, nilai saham sebenar syarikat Malaysia yang diurus dengan baik dan sihat, lebih tinggi daripada nilai pasarannya. Tetapi kerana pelabur berpandukan kepada Dow Jones dan pakar asing, KLCI tidak dapat naik. Saham syarikat Malaysia di waktu ini adalah undervalued. Selagi pelabur Malaysia tidak independent dan tahu membuat penilaian sendiri, selama itulah KLCI tidak dapat mencerminkan prestasi sebenar syarikat-syarikat Malaysia dan ekonomi negara. Malangnya, indeks bursa saham mempunyai kesan terhadap perasaan ceria atau feel good dalam masyarakat. Sebenarnya, ekonomi kita bukan ditentukan oleh indeks bursa saham. Banyak indikator lain yang mencerminkan prestasi sebenar ekonomi negara. Tuan Yang DiPertua, Kita sekarang berada dalam ekonomi dunia yang tidak menentu. Ekonomi kita telah pulih dengan baik dengan mencatat pertumbuhan sebanyak 8.3 peratus pada tahun 2000 dan pada ketika itu, kita mengharapkan kadar pertumbuhan ini berterusan pada 2001 dan tahun- tahun berikutnya. Tetapi, ekonomi Amerika Syarikat, rakan dagang kita yang terbesar telah merosot pada awal tahun 2001, dan ini mempengaruhi prestasi ekonomi negara kita. Ekonomi Amerika Syarikat dan juga dunia merosot lebih lagi kerana serangan pada 11 September. Prestasi ekonomi Amerika sekali lagi tertekan apabila skandal Enron dan Arthur Andersen terdedah yang mana ini menghilangkan kepercayaan pelabur kepada pengurusan syarikat-syarikat di Amerika Syarikat. Dow Jones menjunam dan bursa-bursa lain di dunia turut jatuh. Bursa Kuala Lumpur juga tidak terkecuali. Para penganalisis dan media antarabangsa menganggap salah laku perakaunan dalam beberapa syarikat gergasi di Amerika Syarikat ini hanya merupakan a few bad apples. Tetapi, apabila ia berlaku di negara membangun, ianya disifatkan sebagai bukti kurangnya amanah dan ketelusan di kalangan bangsa tertentu. Sebenarnya, mereka harus mengambil pengajaran dari negara membangun dalam menangani masalah di sektor kewangan dan korporat. Dari segi urus tadbir korporat, jelas Malaysia dan beberapa negara di rantau ini, lebih maju kehadapan. Kita telah mempraktikkan prinsip serta amalan terbaik yang menekankan kepada ketelusan dan pengasingan kuasa bagi menjamin akauntabiliti serta kepentingan semua pemegang saham. Negara kaya dan berkuasa adalah seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Tuan Yang DiPertua, Telah setahun dunia dikejutkan dengan peristiwa 11 September. Masyarakat antarabangsa, terutama kuasa besar, mengisytiharkan peperangan habis-habisan menentang keganasan. Bagi mereka tafsiran keganasan terhad kepada serangan fizikal ke atas negara dan rakyat mereka. Sebenarnya, serangan ke atas ekonomi negara membangun yang membawa rusuhan, pembunuhan dan kejatuhan Kerajaan tidak kurang ganas. Yang lebih buruk lagi ialah penawar yang diberi sebenarnya racun yang bisa. Kadar faedah yang tinggi, penarikan balik subsidi, pengapungan matawang, semuanya merosakkan lagi ekonomi dan kestabilan negara. Yang untung hanyalah penyangak matawang. Sesungguhnya tidak ada banyak perbezaan antara terrorist economy dengan terrorist lain. Tuan Yang DiPertua, Sebagai negara dagang yang ekonominya terlalu terikat dengan dagangan antarabangsa, Malaysia terdedah kepada prestasi ekonomi rakan dagangan utama kita. Dagangan antarabangsa Malaysia adalah dua kali ganda lebih besar dari KDNK negara. Ini berbeza dengan negara-negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat yang dagangan antarabangsa mereka adalah antara 20 peratus dan 30 peratus dari KDNK mereka. Pertumbuhan ekonomi mereka lebih berasas kepada perniagaan dan perusahaan dalaman. Walaupun kita masih perlu meningkatkan dagangan antarabangsa, di masa yang sama kita perlu tingkatkan aktiviti ekonomi dalam negeri supaya dapat menyumbang lebih banyak kepada peningkatan KDNK. Untuk ini, strategi baru perlu dicipta, strategi yang merupakan anjakan paradigma yang ketara. Bidang-bidang yang berpotensi untuk diusahakan oleh kita sendiri seperti membuat komponen, kilang penapis minyak, aneka jenis mesin, termasuk kren dan machine tools serta bahan-bahan binaan perlu jadi tumpuan kita. Di samping itu, terdapat produk daripada fibre dan kayu, perabot yang berkualiti tinggi, kertas dan lain-lain juga boleh menyumbang kepada KDNK kita. Mungkin barangan ini tidak dianggap canggih dan bukan knowledge-based, tetapi dengan menggunakan komputer dan IT, pengeluaran boleh ditingkatkan, efficiency boleh dicapai, dan pemasaran menjadi lebih laris. Bidang pengangkutan yang sedang tumbuh dengan pesat ialah air- freight. Kita berhasrat untuk menjadi hub bagi pengangkutan udara di rantau ini. Oleh itu, kita perlu meningkatkan penggunaan khidmat penerbangan untuk menghantar barangan yang bernilai tinggi keluar masuk negara. Sebenarnya, banyak barang yang boleh dihantar dengan penerbangan. Jika kita boleh hantar kuda dengan pesawat terbang, tidak ada sebab kita tidak boleh hantar buah- buahan, sayur, ikan, bunga, makanan yang siap sedia dan lain-lain barangan kecil dan ringan tetapi bernilai tinggi melalui penerbangan udara. Pengeksport Malaysia perlu mengkaji kemungkinan mengguna pengangkutan udara untuk dagangan mereka. Kita telah berhijrah dari pertanian kepada industri pembuatan untuk memajukan ekonomi negara kita. Sekarang industri pertanian sudah jadi lebih canggih dan berpotensi untuk memberi keuntungan yang lumayan. Ia juga boleh mengurangkan import makanan yang kini tinggi. Oleh itu, pelabur tempatan perlu mengkaji semula pelaburan dalam industri pertanian. Ternakan ikan air tawar dan air masin, ternakan lembu daging dalam estet kelapa sawit, ternakan haiwan seperti burung unta, itik, ayam piru (turkey) dan burung, serta udang dan ayam boleh dijadikan industri yang menguntungkan. Demikian juga penangkapan ikan tuna di laut dalam. Di kesemua bidang ini, teknologi baru sudah dicipta untuk meningkatkan efisiensi dan kualiti. Perladangan Malaysia biasanya jenis monocrop, iaitu penanaman satu jenis tumbuhan sahaja, umpamanya getah atau kelapa sawit. Kita perlu teroka perladangan tanaman campuran dan tanaman bergilir seperti yang dibuat di Eropah. Perladangan ini hendaklah secara estet kerana kita cekap dalam urusan estet dan hasilnya lebih baik dari ladang kecil-kecilan. Pemilik tanah yang kecil hendaklah menyatukan tanah milik mereka untuk menjadi ladang yang besar yang diurus oleh pengurusan yang profesional. Pembangunan semula pertanian hendaklah disusuli dengan pembangunan industri pemprosesan makanan. Kita mampu mengguna proses yang canggih dan termoden untuk industri ini dengan keluaran yang world class. Ini akan mengurangkan import makanan dan meningkatkan eksport makanan negara. Industri-industri lain, terutamanya yang menggunakan bahan tempatan perlu ditingkatkan kecanggihan dan kualiti produk mereka. Sebagai contoh, kita eksport perabot yang berharga murah. Tetapi dengan kayu yang sama, kita boleh mengeksport produk yang berkualiti tinggi dengan nilai ditambah yang lebih. Malaysia perlu berubah dari menjadi pengeksport barangan murah kepada pembuat dan pengeksport barangan yang lebih berkualiti dan dengan nilai yang lebih tinggi. Malaysia selalunya mengalami defisit dalam dagangan perkhidmatan. Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, kita telah dapat mengurangkan sedikit defisit ini. Walau bagaimanapun, kita boleh mengurangkannya lagi dengan membekalkan kemudahan perkhidmatan yang sesuai dengan potensi permintaan. Kita telah meningkatkan lagi pertumbuhan perkhidmatan pelabuhan dengan mengadakan promosi yang lebih agresif untuk menarik kapal dagang. Sepuluh tahun dahulu, semua pelabuhan di Malaysia mengendalikan hanya 1 juta kontena. Selepas promosi yang agresif, Pelabuhan Klang sahaja mengurus 4 juta kontena. Tanjung Pelepas pula berjaya mengendalikan 2 juta kontena pada tahun kedua ia beroperasi. Dengan usaha yang gigih, perkhidmatan pelabuhan boleh dimajukan lagi. Kita ingin jadikan KLIA sebagai hub bagi pengangkutan udara. Segala kemudahan untuk tujuan ini telah kita sediakan. Pengurusan KLIA perlu berusaha secara lebih agresif untuk menarik lebih banyak syarikat pengangkutan udara untuk menggunakan KLIA sebagai hub bagi operasi mereka di rantau ini. DHL sudah menjadikan Cyberjaya sebagai pusat operasinya di seluruh dunia. Kita ingin lihat syarikat pengangkutan udara lain juga berbuat demikian. Pengangkutan melalui rel juga boleh ditingkatkan. Apabila siap landasan berkembar sepanjang semenanjung, pengangkutan rel akan jadi lebih efisien dari pengangkutan jalan yang penuh sesak dengan kenderaan lain. Industri pengangkutan rel juga mempunyai potensi untuk mewujudkan perniagaan baru yang boleh memberi keuntungan. Express Service dengan rel adalah sesuatu yang boleh menyumbang kepada industri pengangkutan dan ia boleh menghubungkan negara dengan negara-negara jiran juga. Dalam bidang pelancongan, kita telah berjaya meningkatkan jumlah pelancong dan aliran wang tunai ke dalam negara. Untuk memajukan lagi industri yang berpotensi ini, kita perlu memupuk budaya mesra pelancong yang boleh menarik pelancong asing. Sebenarnya, sedikit senyuman di bibir dan layanan baik kepada pelancong tidak mempunyai kos apa-apa. Tetapi sebaliknya, ia boleh menarik pelawat asing datang berkali-kali. Apabila Malaysia menjadi masyhur kerana rakyat yang baik budi, yang tidak menipu pelancong, yang memberi layanan memuaskan, industri pelancongan akan berkembang dengan pesat, membawa masuk banyak tukaran asing, menambah pendapatan semua yang terlibat dengan pelancongan, termasuk pemandu teksi dan bas, pelayan hotel dan pengusaha pelancongan. Sebenarnya, sedikit sangat pelaburan yang diperlukan dari kita, hanya dengan bermanis muka dan tidak lupa berterima kasih kepada pelanggan dan pendatang yang halal ini. Kita yakin sasaran pertumbuhan industri pelancongan Malaysia boleh dicapai, iaitu seorang pelancong bagi setiap penduduk Malaysia, yang kini berjumlah 24 juta. Tidak ada siapa yang akan rugi. Mereka yang tidak terlibat dalam industri pelancongan secara langsung pun akan mendapat nikmat apabila pertumbuhan KDNK kita lebih pesat dari pertambahan penduduk. Sesungguhnya, industri pelancongan adalah industri khidmat atau service industry yang sebenar. Justeru itu, berikanlah layanan yang baik dan raihlah hasil lumayan darinya. Satu lagi industri yang berpotensi untuk dimajukan oleh pengusaha Malaysia ialah pendidikan atau pelajaran. Permintaan untuk pendidikan telah meningkat dengan tinggi kerana perkembangan k-ekonomi. Rata-rata pekerja yang berpengetahuan, knowledge workers, diperlukan. Juga kefasihan dalam Bahasa Inggeris sudah menjadi begitu penting. Malaysia mampu menjadi center of excellence dalam bidang computer software, contents, computer animations, simulasi 3D dan berbagai lagi. Pelaburan dalam bidang pengajaran dan latihan ini tetap akan mendatangkan pulangan yang baik. Kerajaan bersedia memberi kebenaran untuk pensyarah dan guru asing dalam bidang ini untuk mengajar di institusi swasta yang dapat memberi latihan dan pelajaran kepada penduduk tempatan dan asing. Kerajaan juga bersedia untuk mengkaji cadangan-cadangan dalam bidang pendidikan ini yang boleh menyumbang kepada Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan. Bidang IT adalah bidang yang amat berpotensi untuk pembangunan ekonomi negara. Koridor Raya Multimedia telah berjaya mencapai kemajuan di luar dugaan. Matlamat asal kita ialah supaya pada tahun 2003, jumlah syarikat yang mendapat sijil MSC sebagai syarikat multimedia akan berjumlah 500 dengan 30 daripadanya bertaraf dunia. Namun sehingga kini, pencapaian sebenar telah melebihi matlamat ini dengan 730 syarikat berdaftar di mana sebanyak 53 bertaraf dunia. Beberapa syarikat gergasi telah berpindah dari Eropah dan Amerika untuk mengadakan pusat operasi mereka bagi seluruh dunia atau bagi Asia Timur di Cyberjaya. Syarikat IT yang kecil sudahpun mengeluarkan aneka jenis sistem urusan dalam pelbagai bidang yang dapat dipasarkan di negara-negara asing. Pusat Super Computer milik MDC mampu menyediakan 3D computer simulation yang begitu realistik sehingga penonton berasa seolah-olah sedang terbang dalam alam yang sebenar dan bukan melihat gambar yang ditayang di atas layar puteh. Computer simulation ini mempunyai banyak potensi dalam bidang town planning, mengawal banjir, kebakaran, serangan perang dan lain-lain lagi. Ia juga boleh menggambarkan keadaan di dalam manusia, termasuk saluran darah, jantung, retakan tulang dan lain- lain yang boleh menolong pakar bedah menggunakan cara terbaik untuk melakukan pembedahan. Aplikasi untuk hiburan juga mempunyai potensi yang besar. Pendek kata, pengurusan super computer untuk computer graphic hampir tidak ada batasannya. Oleh itu, adalah penting potensi super computer dalam computer graphic diselidiki dan aplikasi untuk industri IT dicipta dan dijadikan asas industri yang baru. Di samping itu, kemajuan juga telah dicapai dalam bidang e-Dagang, e-Government, telemedicine dan lain-lain. Sebenarnya, MSC menyediakan segala kemudahan dan peluang untuk berbagai jenis industri berasas IT untuk diterokai oleh pengusaha Malaysia, kecil dan besar. Kerajaan berharap usahawan Malaysia akan merebut peluang dari IT. Modal yang diperlukan tidaklah terlalu tinggi bagi kebanyakan projek-projek IT. MDC telah menyediakan incubator lengkap dengan alatan komputer dan komunikasi yang boleh menolong mereka yang berhasrat untuk membangunkan idea mereka. Kemudian, jika idea ini sudah dicuba dan berjaya, Kerajaan juga sudah menyediakan modal teroka melalui Malaysia Venture Capital Management dan Malaysia Debt Ventures (MAVCAP dan MDV), bagi melabur dalam projek-projek hasil rekaan peneroka-peneroka dalam bidang IT. Kita juga jangan lupakan aplikasi IT untuk industri pembuatan. Dengan terciptanya sensor yang boleh dipasang kepada bahagian tertentu dalam jentera, kita boleh dapat maklumat awal akan keadaan-keadaan bahagian berkenaan. Hari ini kereta bermotor boleh lapur sendiri kepada mekanik di bengkel pembaikan kereta bahawa komponen tertentu perlu tukar. Teknologi ini sudah lama diguna oleh kereta F1. Sepanjang masa kereta F1 memecut dalam perlumbaan, laporan dibuat kepada mekanik dalam pit melalui radio akan perjalanan bahagian-bahagian yang dipasang dengan sensor supaya jika perlu diganti maka barangan itu disediakan. Dengan itu, tempoh pit-stop boleh dipendekkan. Teknologi sensor juga diguna untuk keselamatan supaya isyarat diberi bila tali keledar tidak dipasang atau kereta berlanggar dan beg angin (air bag) di activate. Jelaslah banyak lagi bidang IT dan sensor yang boleh dijadikan asas perusahaan yang baru. Kita tertinggal apabila Revolusi Industri bermula dua ratus tahun dahulu kerana kita sedang dijajah. Bagi revolusi maklumat, kita bertuah kerana dapat menyertai revolusi ini sejak permulaannya lagi. Rakyat Malaysia sama ada Melayu, China, India, Iban, Kadazan dan lain-lain suku kaum, mempunyai kebolehan yang tidak kurang dari bangsa-bangsa lain. Justeru itu, mereka mestilah berani memasuki bidang IT ini dan berlumba dengan bangsa- bangsa lain di dunia. Dalam beberapa bidang, kita sudah pun mendahului dunia. Tidak ada sebab kenapa kita tidak boleh mencapai kejayaan dalam bidang IT ini. Tuan Yang DiPertua, Pertumbuhan ekonomi negara kian bertambah baik semenjak pembentangan Bajet 2002 di dewan yang mulia ini. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah kembali pulih dengan mencatat pertumbuhan positif sebanyak 1.1 peratus pada suku pertama dan meningkat lebih kukuh kepada 3.8 peratus pada suku kedua tahun ini. Memandang akan pertumbuhan negatif yang dialami pada kedua- dua suku terakhir tahun 2001, besar kemungkinan pertumbuhan separuh kedua tahun 2002 adalah lebih baik. Dari segi perkembangan sektor pula, semua sektor memperolehi pertumbuhan positif dengan sektor pembuatan dan perkhidmatan mencatat pertumbuhan tertinggi. Ekonomi negara keseluruhannya dijangka meningkat pada kadar sekurang-kurangnya 4 peratus pada tahun 2002. Cabaran Semasa Menuntut Anjakan Paradigma Dalam Pengurusan Ekonomi Tuan Yang DiPertua, Dunia sedang menghadapi gelombang perubahan pantas. Persekitaran ekonomi dunia sentiasa bergolak. Kecanggihan teknologi bertambah hebat. Manakala, bahang globalisasi menghangatkan lagi persaingan. Percaturan politik juga kian memuncak. Semua cabaran ini mendatangkan kesan kepada kita. Kita tiada pilihan lain, tetapi harus berdepan dengan realiti ini yang menuntut kita melakukan anjakan paradigma dalam pendekatan pengurusan ekonomi negara. Semua dari kita mesti berani merangka dasar dan strategi baru bagi memastikan bukan sahaja kemakmuran yang selama ini dinikmati dapat dikekalkan, malahan membolehkan kita mencapai wawasan negara. Aktiviti Domestik Pelabur Tempatan Tidak Dinamik Telah berdekad lamanya pertumbuhan ekonomi kita bergantung secara keterlaluan kepada perkembangan sektor luar, pelaburan asing (FDI) dan perdagangan antarabangsa. Seperti yang telah saya sebutkan tadi, pertumbuhan mesti dijana dan diterajui sebahagian besarnya dari penggemblengan sumber dan kerancakan aktiviti ekonomi domestik pelabur tempatan. Kita mesti sanggup meneroka dan menghadapi risiko, sekalipun dalam bidang yang sangat mencabar. Pertumbuhan negara yang dijana dari sumber domestik menuntut transformasi struktur ekonomi yang lebih pantas. Langkah ini sahaja yang membolehkan sumber pertumbuhan dipelbagaikan. Sebagai langkah mempercepatkan transformasi struktur negara, beberapa pelan strategik jangka panjang telah digubal. Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (OPP3) telah menggariskan hala tuju pertumbuhan keseluruhan bagi tempoh dekad pertama alaf baru ini. Kini, kita sedang giat melaksanakan strategi dan program fasa pertama OPP3, iaitu Rancangan Malaysia Kelapan. Di peringkat sektoral pula, beberapa pelan induk telah disiapkan termasuk, Pelan Induk Sektor Kewangan untuk mewujudkan sistem kewangan yang berdaya saing, berdaya tahan dan dinamik. Pelan Induk Pasaran Modal pula menyediakan satu program yang komprehensif bagi pembangunan pasaran modal negara. Di samping itu, Kerajaan telah melancarkan Pelan Induk Ekonomi berasaskan pengetahuan atau Knowledge-Based Economy, yang berteraskan pengetahuan, kreativiti dan inovasi untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh tanpa terlalu bergantung kepada pelaburan modal dan buruh. Kita perlu mencontohi China dan Korea dalam merangka strategi sektor perindustrian negara. China telah terbukti berjaya mengeluarkan barangan pengguna yang berkualiti tinggi pada harga yang kompetitif dan mampu menembusi serta bertapak di pasaran antarabangsa. Korea pula, telah menggunakan strategi mengimport teknologi dari luar dan mengusahakannya sendiri sehingga menjadi pengusaha dan pengeluar yang berjaya. Kini, KIA menjadi sebutan dalam industri automobil manakala Samsung, barangan elektronik. Sektor Swasta Belum Kembali Cergas Semenjak krisis kewangan, sektor awam telah menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan telah melaksanakan dasar fiskal mengembang selama lima tahun berturut-turut semenjak 1998. Berikutan ini, jumlah pelaburan awam meningkat tinggi daripada hampir 32 bilion ringgit pada tahun 1997 kepada 49 bilion ringgit pada tahun 2001. Sebaliknya, pelaburan swasta merosot daripada 90 bilion ringgit kepada 34.5 bilion ringgit. Dari segi sumbangan kepada KDNK pula, perbelanjaan sektor awam telah meningkat daripada 24 peratus kepada 31 peratus. Manakala, sumbangan sektor swasta turun mendadak daripada 83 peratus kepada 59 peratus dalam tempoh yang sama. Kerajaan tidak boleh terus menerus melaksanakan dasar fiskal mengembang kerana sungguhpun hasil kian meningkat, namun perbelanjaan Kerajaan turut bertambah dengan lebih tinggi, terutamanya berikutan pelaksanaan pakej rangsangan fiskal pada tahun 2001. Akibatnya, sepanjang tempoh tersebut, Kerajaan terus mengalami defisit. Sungguhpun jumlah pinjaman kini masih di tahap terkawal dan sebahagian besarnya dari sumber dalam negeri, Kerajaan khuatir defisit fiskal yang meningkat akan hanya menambahkan pinjaman ke tahap yang tidak berhemat di masa hadapan. Kita harus mengelakkan daripada membuat pinjaman berterusan dari luar negara yang jika tidak dibendung daripada awal, boleh membawa kepada ketidakstabilan dan akhirnya, menggugat kedaulatan negara. Kini, tibalah masanya bagi sektor swasta mengambil alih semula teraju serta menjadi penggerak utama pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan yakin sektor swasta mampu meningkatkan kembali pelaburan mereka seperti yang pernah dicapai untuk tempoh satu dekad iaitu dari 1988 hingga 1997, dengan mencatat pertumbuhan purata sebanyak 21 peratus setahun. Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk mencergaskan semula sektor swasta, termasuk penstrukturan semula sektor kewangan dan korporat. Masalah hutang tak berbayar (NPL) telah diatasi dengan Danamodal menyuntik sejumlah 7.6 bilion ringgit dalam sepuluh institusi kewangan, sementara Danaharta memulihkan NPL hampir 48 bilion ringgit. Dalam hubungan ini, beban NPL sistem perbankan telah berkurangan kepada 8 peratus pada bulan Ogos 2002. Di samping itu, jawatankuasa penstrukturan semula hutang korporat telah dapat menyelesaikan hutang sektor korporat berjumlah 54 bilion ringgit atau 92 peratus dari kes-kes yang diterima. Kerajaan juga telah memberi pelbagai insentif, cukai dan bukan cukai, kepada institusi perbankan untuk memudahkan proses penggabungan mereka. Untuk memastikan pelabur swasta mendapat akses sumber modal yang mudah dan pada kos yang berpatutan, Kerajaan telah mewujudkan dana baru di samping menambah nilai dana sedia ada, dengan bilangan melebihi 40 dan nilainya hampir 15 bilion ringgit. Kerajaan juga telah sanggup mengorbankan hasil berbilion ringgit melalui pengurangan cukai korporat serta pengecualian dan pelepasan cukai untuk membolehkan sektor swasta menggunakan sumber mereka sepenuhnya untuk pelaburan. Sesungguhnya, Kerajaan telah menyediakan semua ini, namun pelabur tempatan masih bersikap dingin. Saya berharap sektor swasta akan bertindak lebih agresif dan bersedia meneroka sempadan baru. Jangan ambil jalan mudah untuk mendapat keuntungan segera. Jelas diperhatikan, mereka lebih suka bergiat dalam bidang pembinaan. Walaupun hartanah tak terjual masih tinggi, namun pemaju hartanah terus berlumba-lumba membina bangunan dan rumah kediaman sedangkan masih banyak bangunan tinggi tinggal kosong, rumah tanpa penghuni dan rumah kedai terbengkalai. Institusi kewangan pula liat untuk memberi pinjaman, mensyaratkan cagaran sebelum pinjaman diluluskan dan mengenakan caj perkhidmatan yang tinggi, walaupun ke atas dana Kerajaan yang diberikan tanpa faedah. Tuan Yang DiPertua, Dasar afirmatif Kerajaan telah banyak memberi peluang kepada Bumiputera. Tidak dinafikan bahawa semenjak Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional dilaksanakan, ramai Bumiputera telah mendapat manfaat, terutamanya mereka yang sanggup bekerja keras dan bersikap positif. Tetapi bagi sesetengah pula, mereka menganggap dasar ini sebagai hak keistimewaan yang telah menjadikan mereka leka dan manja. Kecenderungan adalah untuk mengambil jalan mudah, tidak sabar dan tidak sanggup mengambil risiko serta sentiasa mengharapkan kontrak dan projek Kerajaan semata-mata, menjual apa yang diberi dan kemudian meminta lagi. Sampai bilakah mereka harus bersikap begini? Kita harus keluar dari tanggapan bahawa tongkat yang disediakan akan kekal selamanya. Ingatlah, tongkat kayu boleh patah, tongkat rotan boleh lentur, tongkat besi pun boleh karat. Oleh itu, jauhkanlah diri sedikit dari tongkat dan berdirilah atas kaki sendiri. Tuan Yang DiPertua, Persaingan Global Semakin Mencabar Dalam persekitaran pemulihan ekonomi dunia yang masih lembab, persaingan globalisasi yang semakin hangat serta perkembangan teknologi yang pantas, daya tahan negara mesti dipertingkatkan. Perundingan di peringkat WTO kini tidak hanya tertumpu kepada isu- isu tradisional perdagangan tetapi turut menjangkau isu pelaburan dalam bidang-bidang baru, termasuk kewangan, teknologi maklumat dan komunikasi. Di samping itu, sempadan perdagangan bebas semakin meluas, dengan penyertaan China dalam WTO serta pelaksanaan AFTA. Kemunculan kawasan perdagangan dan pelaburan bebas dua hala yang boleh menghalang atau undermine usaha-usaha serantau, menuntut negara menjadi lebih kompetitif. Jangan sesekali berpuas hati dan berasa selesa dengan tahap daya saing kita kini, kerana negara lain juga berusaha memperkukuhkan kedudukan mereka. Oleh yang demikian, sektor swasta hendaklah menjadikan persaingan global sebagai strategi utama perniagaan mereka. Mereka perlu terokai pasaran baru umpamanya Asia Barat, Asia Tengah, Eropah Timur dan Asia Selatan, termasuk India, Pakistan dan Sri Lanka. Pasaran negara China juga begitu luas untuk produk negara. Dalam hubungan ini, Kerajaan dan sektor swasta akan bekerjasama membina pusat-pusat pameran baru di luar negara. III. Strategi Bajet 2003 Tuan Yang DiPertua, Dengan mengambil kira cabaran-cabaran ini, Bajet 2003 digubal memberi penekanan kepada aktiviti perniagaan dan perusahaan dalam negeri bagi menjana pertumbuhan yang lebih tinggi. Kita akui pasaran dalam negara tidak cukup besar untuk membawa ekonomi kita kehadapan. Tetapi kita boleh berusaha supaya kuasa beli 24 juta rakyat negara ini dipertingkatkan lagi. Negara-negara kecil di Eropah yang mempunyai jumlah penduduk yang lebih kecil dari kita, masih dapat dibangunkan sehingga menjadi negara maju. Sungguhpun Switzerland hanya mempunyai penduduk 3 juta dan Luxembourg, kurang daripada 1 juta, namun pendapatan perkapita rakyat mereka adalah lebih tinggi, iaitu sebanyak 44 ribu dolar Amerika. Ini bermakna, setiap penduduk Switzerland atau Luxembourg menyumbang 44 ribu dolar Amerika kepada ekonomi negara mereka. Sebaliknya, sumbangan setiap penduduk Malaysia hanyalah 4 ribu dolar Amerika sahaja. Sekiranya, setiap penduduk Malaysia dapat menambah produktiviti mereka, maka KDNK serta daya saing negara juga akan meningkat. Di masa yang sama, pendapatan perkapita rakyat Malaysia sudah tentu akan menjadi lebih tinggi. Kita perlu mengkaji bagaimana sumbangan rakyat Malaysia kepada ekonomi negara dapat dipertingkatkan. Pendekatan yang telah kita ambil untuk beralih daripada pertanian kepada pembuatan, telah berjaya menambah pendapatan perkapita kita daripada 300 dolar Amerika semasa kita mencapai kemerdekaan kepada hampir 4 ribu dolar Amerika kini. Dengan menambahkan lagi value added atau nilai ditambah keluaran kita, maka KDNK dan seterusnya pendapatan perkapita kita akan meningkat. Selaras dengan ini, Bajet 2003 akan mengutamakan strategi-strategi berikut: Pertama : Meningkatkan pelaburan tempatan dalam semua sektor yang berpotensi menjana pertumbuhan. Kedua : Mengenal pasti dan menerokai bidang baru atau niche areas dalam sektor perkhidmatan, pertanian dan pembuatan. Ketiga : Memantapkan kewangan sektor awam serta mempertingkatkan kecekapan Perkhidmatan Awam. Keempat : Memupuk masyarakat progresif, berakhlak dan berharmoni serta menjamin kesejahteraan rakyat, terutamanya masyarakat di luar bandar. Tuan Yang DiPertua, Strategi Pertama: Meningkatkan Pelaburan Tempatan Pelaburan tempatan akan digiatkan supaya lebih menyumbang kepada pertumbuhan negara masa depan. Untuk ini, Kerajaan telah banyak memberi pelbagai insentif untuk menggalakkan pelaburan. Walau bagaimanapun, terdapat rungutan yang mengatakan kadar cukai korporat negara sebanyak 28 peratus adalah tinggi berbanding dengan negara-negara lain. Walaupun kadar ini nampaknya tinggi, kita perlu sedar Malaysia tidak mengenakan cukai ke atas dividen seperti di Taiwan sebanyak 30 peratus, Jepun 30 peratus dan Thailand 10 peratus. Jika ianya diambilkira, beban cukai di negara-negara ini adalah lebih tinggi, iaitu Taiwan sebanyak 47.5 peratus, Jepun 59.4 peratus dan Thailand 37 peratus. Di samping itu, cukai korporat tidak seharusnya dilihat dari segi kadar nominal sahaja, tetapi diambilkira insentif cukai yang disediakan. Jika insentif- insentif ini diambilkira, effective tax rate bagi sektor pembuatan di Malaysia hanyalah 8 peratus sahaja. Terdapat juga anggapan bahawa regim cukai korporat yang rendah boleh menarik lebih banyak kemasukan FDI. Anggapan ini tidak semestinya benar, memandangkan Malaysia telah terus berjaya menarik FDI, walaupun dalam tempoh di mana kadar cukai korporat adalah tinggi, iaitu dalam lingkungan 40 peratus dalam tahun 80an dan 30 peratus dalam tahun 90an. Di samping itu, negara-negara yang mempunyai kadar efektif cukai korporat yang lebih tinggi dari Malaysia seperti Thailand, China, Korea dan Taiwan juga telah berjaya menarik kemasukan FDI. Pengurangan cukai korporat juga tidak bererti akan meringankan beban cukai pelabur asing, kerana walaupun tidak membayar cukai di negara ini, mereka terpaksa membayarnya di negara asal mereka. Oleh yang demikian, apa jua manfaat yang diperolehi dari pengurangan cukai di negara ini, hanya akan menguntungkan negara mereka. Sebenarnya, terdapat faktor-faktor lain yang lebih mempengaruhi kecenderungan dan minat pelabur asing untuk melabur di negara ini, antara yang terpenting ialah keadaan sosio-politik yang stabil, kemudahan infrastruktur yang bertaraf dunia, tenaga kerja yang terlatih dan mudah dilatih serta pengurusan ekonomi yang jelas berdaya tahan. Membangunkan Lagi Industri Kecil Dan Sederhana Walaupun begitu, Kerajaan akan terus menumpukan kepada pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sebagai usaha memperluaskan lagi rantaian dalam semua sektor. Selaras dengan dasar untuk menggalakkan pelaburan tempatan, terutamanya di kalangan IKS yang kurang mendapat manfaat daripada galakan cukai yang disediakan, saya mencadangkan supaya cukai korporat bagi IKS dengan modal berbayar 2.5 juta ringgit ke bawah, dikurangkan daripada 28 peratus kepada 20 peratus bagi pendapatan bercukai sehingga 100 ribu ringgit. Dalam hubungan ini, Kerajaan akan kehilangan hasil dianggarkan sebanyak 270 juta ringgit. Bagi meningkatkan lagi pelaburan tempatan, sektor korporat digalakkan untuk menambah kegiatan melabur semula. Di bawah pakej galakan pelaburan semula semasa, syarikat taraf perintis perlu menamatkan tempoh perintisnya terlebih dahulu sebelum layak menikmati galakan pelaburan semula. Untuk membolehkan syarikat taraf perintis mempercepatkan pelaburan semula mereka, saya mencadangkan syarikat diberi pilihan untuk menikmati elaun pelaburan semula dengan syarat syarikat menyerah balik galakan taraf perintisnya. Bagi meningkatkan penyertaan pelabur tempatan dalam industri berteknologi tinggi serta dapat menembusi dan menguasai pasaran eksport dengan cepat, saya mencadangkan kos bagi pengambilalihan syarikat asing di luar negara oleh syarikat milik tempatan diberi elaun tahunan 20 peratus selama 5 tahun. Mengurangkan Kos Pengendalian Perniagaan Kerajaan terus berusaha membantu syarikat-syarikat untuk mengurangkan kos mengendalikan perniagaan melalui beberapa langkah yang telah diperkenalkan dalam setiap Bajet tahunan. Berikut adalah langkah-langkah untuk mengurangkan lagi kos pengendalian perniagaan bagi meningkatkan daya saing negara: Pertama : Pada masa ini, bukan pemastautin dikenakan cukai pendapatan ke atas bayaran bagi perkhidmatan yang disediakan di luar negara. Saya mencadangkan supaya bayaran perkhidmatan ini tidak dikenakan cukai pendapatan. Kedua : Peruntukan sekarang menghendaki syarikat menjelaskan cukai jualan dan cukai perkhidmatan walaupun syarikat gagal memungut cukai berkenaan daripada pelanggan. Saya mencadangkan supaya cukai yang tidak dapat dipungut ini dianggap sebagai hutang lapuk dan layak untuk mendapat pulang balik cukai. Ketiga : Kaedah pengiraan cukai jualan barangan buatan tempatan pada masa ini tidak seragam dengan kaedah yang digunakan bagi barangan import. Keadaan ini menjadikan barangan buatan tempatan dibebankan dengan cukai yang lebih tinggi. Saya mencadangkan supaya ianya diseragamkan dengan kaedah penilaian barangan import, iaitu berdasarkan nilai transaksi sebenar. Keempat : Galakan taraf perintis dan elaun cukai pelaburan bagi syarikat yang memberi perkhidmatan penjimatan penggunaan tenaga akan tamat pada akhir tahun 2002. Saya mencadangkan tempoh galakan ini dilanjutkan selama 3 tahun lagi sehingga 31 Disember 2005. Kelima : Bagi menggalakkan syarikat melabur dalam peralatan penjimatan tenaga untuk kegunaan sendiri, saya mencadangkan supaya tempoh menghapuskira perbelanjaan modal ke atas peralatan penjimatan tenaga dipercepatkan daripada 3 tahun kepada 1 tahun. Keenam : Pada masa ini, pendapatan yang diterima bagi perkhidmatan yang disediakan oleh kontraktor bukan pemastautin dikenakan cukai pendahuluan sebanyak 15 peratus ke atas syarikat dan 5 peratus ke atas pekerja. Saya ingin mencadangkan supaya ianya dikurangkan masing-masing kepada 10 peratus dan 3 peratus. Ketujuh : Beberapa jenis kertas berkualiti masih dikenakan duti import 5 peratus dan 10 peratus dan cukai jualan 10 peratus. Bagi menggalakkan percetakan buku yang menggunakan kertas berkualiti, saya mencadangkan duti import dan cukai jualan ke atas kertas tersebut dikecualikan. Kelapan : Kini, perkhidmatan kiriman cepat ke luar negara dikenakan cukai perkhidmatan 5 peratus. Bagi mengurangkan kos penghantaran ke luar negara, saya mencadangkan cukai perkhidmatan tersebut dikecualikan. Kesembilan : Pada masa ini, cukai perkhidmatan dikenakan ke atas perkhidmatan profesional yang diberi kepada syarikat dalam kumpulan yang sama. Saya mencadangkan perkhidmatan berkenaan tidak dikenakan cukai perkhidmatan. Kesepuluh : Pada masa ini, pengimportan barangan melalui perkhidmatan ekspres kargo udara di KLIA yang bernilai sehingga 200 ringgit dikecualikan daripada duti import dan cukai jualan. Saya mencadangkan nilai ini dinaikkan kepada 500 ringgit dan diperluaskan kesemua lapangan terbang antarabangsa di Malaysia. Namun, pengecualian ini tidak meliputi rokok dan minuman keras. Ganjaran Istimewa Bagi Pengeksport Terbaik Negara Pada masa yang sama, promosi barangan Malaysia mestilah ditingkatkan. Kerajaan sudah memperuntukkan wang hampir 100 juta ringgit untuk pusat pameran barangan Malaysia di Bahrain dan akan mendirikan pusat pameran seperti ini di lain-lain negara yang berpotensi untuk memasarkan produk negara. Kerajaan akan memberi segala bantuan kepada mereka yang ingin mempamerkan barangan mereka di pusat-pusat ini dan di pameran dagang di negara-negara lain. Juga saya mencadangkan syarikat milik tempatan yang berjaya mencatatkan pertambahan eksport diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 30 peratus ke atas peningkatan eksport dan mereka yang menembusi pasaran baru diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus. Saya juga mencadangkan bagi syarikat-syarikat yang mencatat peningkatan eksport tertinggi mengikut kategori diberi pengecualian cukai pendapatan sepenuhnya. Untuk mendapat hasil yang sepenuhnya daripada aktiviti dagangan, kita harus berurus dengan peniaga-peniaga di negara lain secara terus dan langsung, tanpa penglibatan orang tengah. Segala kemudahan untuk berdagang secara langsung dengan pelanggan atau pembekal di luar negeri sudah disediakan oleh negara. MEWUJUDKAN KONTRAKTOR DAN USAHAWAN BUMIPUTERA YANG BERDAYA MAJU Berasaskan pengalaman, terdapat kontraktor, terutamanya Bumiputera yang diberi kontrak Kerajaan tidak dapat melaksanakannya dengan sempurna, walaupun telah diberi banyak kemudahan dan kelonggaran syarat. Ada juga di antara mereka yang menjual kontrak yang ditawarkan, hanya untuk memperolehi keuntungan segera. Tindakan tidak bertanggungjawab ini telah menjejaskan usaha Kerajaan untuk mewujudkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera. Oleh itu, Kerajaan akan lebih teliti dalam menawarkan kontrak supaya tawaran hanya diberi kepada mereka yang benar-benar komited, bertanggungjawab, mempunyai organisasi yang sesuai dan modal yang berpatutan serta bersungguh- sungguh berusaha untuk maju sebagai usahawan tulen dalam bidang pembinaan. Jika didapati mana-mana pihak, menjual kontrak atau tidak mengambil bahagian aktif dalam urusan kontrak, mereka akan disenarai hitamkan. Bagi memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera mendapat kontrak yang lebih besar dan memandangkan kadar sekarang tidak pernah disemak sejak tahun 70an, Kerajaan akan meningkatkan nilai kerja kontraktor seperti berikut: Kelas A : Daripada 4 juta ke atas kepada 15 juta ringgit ke atas; Kelas B : Daripada 2 hingga 8 juta kepada 5 hingga 15 juta; Kelas C : Daripada 750 ribu hingga 2 juta kepada 2 hingga 5 juta; Kelas D : Daripada 150 ribu hingga 750 ribu kepada 500 ribu hingga 2 juta; Kelas E : Daripada 100 ribu hingga 350 ribu kepada 200 ribu hingga 500 ribu; dan Kelas F : Daripada 100 ribu ke bawah kepada 200 ribu ke bawah. Saya berharap kontraktor Bumiputera bersedia meningkatkan daya keusahawanan dan keupayaan teknikal mereka supaya kelayakan yang lebih tinggi ini dapat dimanfaatkan dan kualiti kerja terjamin. Di samping itu, untuk memberi lebih peluang kepada kontraktor Bumiputera kelas F, beberapa projek infrastruktur di luar bandar, termasuk pembinaan jalan kampung dan jambatan, memperbaiki bangunan seperti surau, dewan orang ramai dan kemudahan asas akan dilaksanakan. Sebanyak 963 juta ringgit akan dibelanjakan dalam tahun ini dan diagihkan secara seimbang, dengan keutamaan diberi kepada negeri miskin dan yang banyak kawasan pendalaman. Kerajaan telah melancarkan projek usahawan Bumiputera dalam bidang peruncitan (PROSPER) pada tahun 2000, bertujuan untuk menambah bilangan Bumiputera dalam sektor peruncitan. Fasa pertama projek ini dengan jumlah dana sebanyak 15 juta ringgit, sedang dilaksanakan dan sebanyak 155 syarikat telah diberi kelulusan untuk menyertai projek ini, termasuk 21 syarikat yang dimiliki oleh bekas tentera. Untuk meneruskan lagi projek ini, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 50 juta ringgit di bawah pelaksanaan fasa kedua. Memesatkan Pembangunan Pasaran Modal Selaras dengan matlamat pelan induk pasaran modal, Kerajaan akan terus melaksanakan langkah strategik untuk membangunkan pasaran modal negara, terutamanya untuk memudahkan pelabur swasta mendapat sumber pembiayaan. Negara mempunyai kadar tabungan yang tinggi sebanyak 34 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK). Sebahagian besarnya ialah dari dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja melebihi 190 bilion ringgit, Kumpulan Wang Amanah Pencen hampir 25 bilion ringgit dan Insuran hampir 63 bilion ringgit. Tabungan yang tinggi ini telah membolehkan pembangunan cemerlang Private Debt Security (PDS) dan memberi alternatif menarik kepada sektor swasta memperolehi sumber pembiayaan jangka panjang. Terbitan kasar PDS meningkat dua kali ganda daripada 17 bilion ringgit pada tahun 1996 kepada 37 bilion ringgit pada tahun 2001. Perkembangan pesat dalam pasaran PDS ini jauh melebihi peningkatan dalam pertumbuhan pinjaman bank yang hanya sebanyak 3.8 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding dengan hampir 29 peratus sebelum krisis kewangan. Bagi menggalakkan lagi pembiayaan melalui sekuriti hutang swasta, saya mencadangkan pengecualian cukai pendapatan ke atas faedah dari bon yang diperolehi oleh individu, unit amanah dan listed closed-end fund diperluaskan kepada debentures. Kerajaan kesal dan kecewa dengan sikap komuniti perbankan yang ghairah mencari keuntungan bertimbun-timbun dan hanya cenderung membuat pelaburan yang selamat tanpa risiko. Mereka sentiasa berebut membeli Government Papers. Bagi separuh pertama tahun ini sahaja, sektor perbankan mencatatkan keuntungan bersih sebelum cukai sebanyak 4.5 bilion ringgit, meningkat sebanyak 18 peratus dalam tempoh yang sama. Tak salah mencari keuntungan tetapi janganlah sampai manfaat jangka panjang negara dipertaruhkan. Apa salahnya mengorbankan sedikit keuntungan di hari ini, jika ianya dapat menjamin keuntungan berbukit di masa hadapan. Keengganan institusi kewangan untuk memenuhi satu daripada tanggungjawab utama kewujudan mereka sebagai pemberi pinjaman, akan memaksa Kerajaan mencari alternatif lain bagi membolehkan pelabur mempunyai akses pembiayaan yang mencukupi. Sekiranya perlu, Kerajaan mungkin terpaksa meningkatkan statutory reserve ratio. Kerajaan terus mempergiatkan lagi usaha untuk membangunkan pasaran modal Islam. PDS Islam telah mencapai pertumbuhan pesat dengan sumbangan terbitannya meningkat lebih dua kali ganda daripada 14 peratus kepada 36 peratus dalam keseluruhan terbitan PDS bagi tempoh 1996 hingga 2001. Baru-baru ini, Malaysia telah muncul sebagai negara pertama di dunia yang berjaya menerbitkan bon Islam di peringkat global. Penerbitan Sukuk al-ijarah oleh Kerajaan berjumlah 600 juta dolar Amerika telah mendapat lebihan langganan sebanyak dua kali ganda. Apa yang turut membanggakan ialah bon ini bukan sahaja telah menarik pelabur-pelabur di Timur Tengah malahan termasuk Asia, Eropah dan juga Amerika Syarikat. Kerajaan berharap kejayaan ini akan membuka peluang bagi sektor korporat untuk mendapatkan akses pembiayaan melalui pasaran modal Islam. Bagi menggalakkan penerbitan PDS Islam yang menggunakan prinsip mudharabah, musyarakah dan ijarah serta menarik pelabur terutamanya dari Timur Tengah, saya mencadangkan perbelanjaan bagi menerbitkan PDS Islam dibenarkan sebagai potongan dalam pengiraan cukai pendapatan selama lima tahun mulai tahun taksiran 2003. Produk perbankan Islam memerlukan perjanjian tambahan bagi penjualan dan pembelian aset. Ini menyebabkan bayaran duti setem yang lebih berbanding dengan produk perbankan konvensional. Untuk menyelaraskan layanan duti setem ke atas produk perbankan Islam, saya mencadangkan duti setem ke atas surat cara tambahan bagi kemudahan pembiayaan berikut dikecualikan: Pertama : Bagi penstrukturan semula atau penjadualan semula pembiayaan asal, terhad kepada baki pembiayaan. Kedua : Bagi pembaharuan pembiayaan Islamic Revolving Financing Facility. Tuan Yang DiPertua, Strategi Kedua: Mengenal Pasti Dan Menerokai Bidang Baru Dalam Sektor Perkhidmatan, Pertanian Dan Pembuatan Sebagai langkah untuk mempelbagaikan asas ekonomi, kita perlu mengenalpasti bidang-bidang baru, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan pertanian yang berpotensi untuk menyumbang kepada penjanaan pertumbuhan ekonomi negara. Meningkatkan Pelaburan Di Sektor Perkhidmatan Bagi meningkatkan pelaburan yang berterusan dalam sektor perkhidmatan, saya mencadangkan satu pakej galakan diberi kepada Pusat Pengedaran Serantau yang diluluskan atau Approved Regional Distribution Centre: Pertama : Pengecualian cukai pendapatan sepenuhnya selama 10 tahun. Galakan ini juga diperluaskan kepada Approved International Procurement Centre. Kedua : Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas barangan bagi tujuan pengedaran. Ketiga : Jawatan pegawai dagang akan dibenarkan mengikut keperluan. Sebagai usaha untuk menarik lebih banyak ibu pejabat operasi (OHQ) dan pejabat serantau beroperasi di Malaysia, saya mencadangkan supaya: Pertama : Pendapatan yang diterima oleh OHQ dikecualikan cukai selama 10 tahun. Kedua : Pegawai dagang di OHQ dan pejabat serantau dikenakan cukai pendapatan berasaskan pendapatan yang diterima bagi tempoh pegawai dagang berada di Malaysia sahaja. Ketiga : Syarat rakyat asing dikehendaki berada di Malaysia pada 31 Disember dan 1 Januari pada tahun berikutnya bagi mendapatkan taraf pemastautin untuk tujuan cukai pendapatan dimansuhkan. Pertumbuhan ekonomi juga dijana daripada kegiatan eksport negara yang memberi pulangan tukaran asing. Bagi menggalakkan lagi eksport perkhidmatan, saya mencadangkan galakan potongan dua kali bagi promosi eksport diperluaskan kepada syarikat perkhidmatan profesional yang berdaftar dengan pendaftar perniagaan. Perkhidmatan agen penghantaran yang cekap dan berkemahiran akan dapat mempastikan sistem penghantaran negara yang lebih efisien. Bagi tujuan ini, saya mencadangkan supaya kebenaran untuk menjadi agen kastam diberi kepada mereka yang telah menjalani latihan dan lulus peperiksaan yang ditetapkan. Pada masa ini, cukai jalan yang tinggi dikenakan ke atas semi trailer, manakala cukai jalan bagi prime mover adalah rendah. Ini tidak menggalakkan syarikat memiliki lebih daripada satu semi trailer. Untuk mengurangkan kos pengangkutan serta membantu perkembangan industri pengangkutan, Kerajaan bercadang supaya cukai jalan ke atas prime mover dan semi trailer diselaraskan. Sebagai contoh, prime mover yang beratnya 5,500 kg dan semi trailer yang beratnya 26,000 kg dikenakan cukai jalan sebanyak 6,627 ringgit setahun. Dengan penyelarasan ini, jumlah cukai jalan ini dikurangkan kepada 4,399 ringgit setahun. Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan untuk menjadikan Labuan sebagai pusat pendaftaran kapal antarabangsa dan Langkawi sebagai pusat pendaftaran yacht. Bidang baru ini akan menambah satu lagi aktiviti di Labuan di samping peranannya sebagai sebuah pusat kewangan luar pesisir, sementara Langkawi sebagai destinasi pelancongan. Mempercepatkan Peralihan Ke Arah ICT Kerajaan akan terus berusaha untuk melonjakkan peralihan ke era ICT selaras dengan usaha untuk mencapai ekonomi baru berasaskan pengetahuan. Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC) telah berjaya membangun serta memajukan infrastruktur dan infostruktur, melaksanakan aplikasi perdana, serta membina pusat multimedia bertaraf dunia untuk menarik syarikat antarabangsa menjalankan perniagaan di MSC. Jumlah jualan syarikat MSC dijangka meningkat kepada hampir 5.7 bilion ringgit pada tahun ini, berbanding 3.4 bilion ringgit pada tahun 2001. Di samping itu, sejumlah 18,900 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan sehingga akhir tahun ini di mana 85 peratus adalah bagi pekerja mahir dengan 88 peratus terdiri dari pekerja tempatan. Perkembangan yang menarik ialah beberapa syarikat gergasi antarabangsa telah menempatkan pusat operasi mereka untuk seluruh dunia di Cyberjaya. Malaysia merupakan negara pertama memperkenalkan Mykad sebagai kad pintar pelbagai guna yang berasaskan teknologi cip dan biometrik serta mempunyai ciri keselamatan yang tinggi. Mykad mengandungi maklumat pemegang seperti sijil kelahiran serta maklumat aplikasi awam yang diperlukan untuk berurusan dengan agensi Kerajaan. Di samping itu, Mykad juga telah diperluaskan meliputi aplikasi ATM, MEPS cash serta Touch `n Go. Beberapa lagi aplikasi boleh dimasukkan dalam Mykad. Dalam hubungan ini, national roll-out akan dilaksanakan supaya semua rakyat akan mempunyai Mykad pada tahun 2005. Bagi tujuan ini, Jabatan Pendaftaran Negara akan dilengkapkan dengan kakitangan dan peralatan secukupnya di samping menubuhkan unit-unit bergerak bagi menampung keperluan pendaftaran di kawasan luar bandar. Dalam national roll-out ini, Kerajaan juga bercadang untuk memasukkan maklumat tambahan antaranya status perkahwinan dan constituency mengundi. Dengan maklumat ini, maka pihak penguatkuasa mencegah khalwat tidak tersalah tangkap dan parti tertentu tidak mudah memindah pengundi. Memandangkan Mykad merupakan satu dokumen yang amat penting, Kerajaan telah membuat keputusan untuk mengeluarkannya secara percuma untuk aplikasi Kerajaan, kecuali untuk pembaharuan. Oleh yang demikian, tidak ada sebab untuk tidak menukar kad pengenalan kepada Mykad. Namun, mereka diberi tempoh untuk berbuat demikian sehingga akhir tahun 2005. Sejajar dengan hasrat Kerajaan untuk memperluaskan penggunaan ICT, semua anak-anak yang baru lahir akan diberikan Mykad yang akan menjadi dokumen pengenalan dan maklumat diri untuk tempoh sepanjang hayat mereka. Ini akan mengurangkan karenah mengisi borang semasa berurusan dengan agensi Kerajaan dan juga swasta. Program ini akan dimulakan pada 1 Januari 2003. Bagi mengurangkan jurang digital, Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Multimedia sedang melaksanakan Program Connectivity, bertujuan menyediakan akses internet ke kawasan- kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak. Untuk peringkat pertama, sebanyak 250 sekolah akan mendapat kemudahan ini, yang mana boleh juga dikongsi bersama oleh masyarakat setempat. Bagi perkhidmatan e-Perolehan, setakat ini perkhidmatan yang telah dilancarkan ialah pendaftaran bagi pembekal, perolehan melalui kontrak pusat dan pembelian terus. Menjelang tahun 2003, dua lagi jenis perolehan akan dilancarkan iaitu perolehan melalui tender dan sebutharga. Dengan pelaksanaannya, Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia berjaya membuat perolehan sepenuhnya secara elektronik, termasuk pembayaran melalui electronic fund transfer. Tuan Yang DiPertua, Modal teroka merupakan pendorong kepada pertumbuhan pantas industri yang berasaskan pengetahuan dan berteknologi tinggi. Selaras dengan komitmen untuk membina masyarakat modal teroka yang kukuh dan dinamik, Kerajaan telah menubuhkan Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) dan Malaysia Debt Ventures (MDV) dengan jumlah dana sebanyak 2.1 bilion ringgit. MAVCAP telah menyalurkan pembiayaan ekuiti kepada empat syarikat modal teroka tempatan dalam sektor ICT, telekomunikasi, fotonik serta bioteknologi dan sains hayat. MAVCAP juga telah melaksanakan beberapa program intensif untuk membangunkan technopreneurs tempatan, serta menjalin kerjasama antara masyarakat modal teroka dengan institusi penyelidikan tempatan bagi mengkomersilkan hasil penyelidikan dan pembangunan. MDV pula telah mula beroperasi pada 30 Ogos tahun ini untuk menyediakan sumber pembiayaan pinjaman bagi perusahaan yang berasaskan pengetahuan dan teknologi intensif. Bagi menggalakkan usahawan modal teroka menceburi juga bidang bukan ICT, Kerajaan akan menubuhkan dana baru berjumlah 1 bilion ringgit. Kerajaan berharap dengan adanya Dana ini, syarikat bukan ICT juga turut mendapat akses kepada modal teroka dan pinjaman mudah. Meneroka Sepenuhnya Potensi Pelancongan Kita telah mencapai kejayaan yang membanggakan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke negara kita. Lebih daripada satu juta pelancong datang setiap bulan dan bilangan ini dijangka terus meningkat, melebihi 15 juta orang pada tahun 2003. Bagi mencapai matlamat ini, usaha-usaha promosi akan dilipatgandakan, termasuk kempen Malaysia Truly Asia. Program ini akan ditumpukan terutamanya, kepada negara Eropah, China, Australia, Jepun, India, Timur Tengah dan pasaran serantau. Usaha untuk mempromosikan negara sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan mesra pelancong akan juga diteruskan. Program akan ditumpukan kepada meningkatkan kualiti perkhidmatan dan mempelbagaikan acara menarik seperti Karnival Jualan Mega dan Bulan Citrawarna. Di samping itu, Sports Tourism akan digalakkan selain daripada event tahunan sedia ada, iaitu Formula One Sepang, Le Tour de Langkawi dan yang terbaru Formula One Powerboat. Kita juga telah berjaya untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pelancongan kesihatan. Pada tahun 2001, seramai 75 ribu pelancong kesihatan telah mendapat kemudahan rawatan di negara kita dengan menjana tukaran asing sebanyak 28 juta ringgit. Oleh itu, Kerajaan akan memberi penekanan dan galakan untuk membangunkan lagi sektor ini. Selaras dengan usaha Kerajaan untuk mempromosikan Malaysia, kita juga akan memperkenalkan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan dan pusat membeli belah. Di samping itu, bandaraya Kuala Lumpur akan dicerahkan lagi dengan lampu-lampu jalan dan floodlight dan diindahkan dengan landscaping dan tanaman bunga-bungaan. Kerajaan telah meningkatkan Dana Tabung Khas Pelancongan daripada 200 juta ringgit kepada 400 juta ringgit untuk membantu industri pelancongan. Untuk menggiatkan lagi usaha membangunkan industri ini, Kerajaan juga telah meluluskan dana infrastruktur pelancongan sebanyak 200 juta ringgit. Kedua-dua dana ini diuruskan oleh Bank Pembangunan Dan Infrastruktur dengan kos pinjaman yang amat menarik. Menjadikan Sektor Pertanian Jentera Ketiga Pertumbuhan Bagi sektor pertanian pula, Kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan pelaburan dalam aktiviti pertanian berskala besar dan komersil. Dalam hubungan ini, sebagai langkah untuk menggalakkan penyatuan pengurusan kebun kecil dan tanah terbiar, saya mencadangkan: Pertama : Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiari yang terlibat dengan aktiviti penyatuan pengurusan kebun kecil atau tanah terbiar diberi potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan yang dibuat. Kedua : Syarikat subsidiari diberi pengecualian cukai perkhidmatan bagi menjalankan aktiviti penyatuan pengurusan berkenaan. Bagi menjamin bekalan kayu getah kepada industri perabot, saya mencadangkan perbelanjaan modal oleh syarikat perladangan bukan getah untuk menyediakan kawasan, menanam dan menyelenggarakan tanaman kayu getah dihapuskira dalam tempoh satu tahun. Galakan ini diberi dengan syarat syarikat menanam sekurang- kurangnya 10 peratus daripada ladangnya dengan pokok kayu getah. Pada masa ini, syarikat yang melabur dalam syarikat pengeluar bahan makanan diberi potongan cukai, sementara syarikat yang mengusahakannya diberi pengecualian cukai pendapatan selama 10 tahun. Oleh kerana aktiviti perikanan laut dalam mempunyai potensi untuk meningkatkan pengeluaran makanan, saya mencadangkan aktiviti ini diberikan galakan yang sama. Di samping itu, industri memproses produk makanan telah dikenalpasti boleh dimajukan lagi oleh pelabur tempatan. Sehubungan dengan ini, saya mencadangkan syarikat milik tempatan yang membuat pelaburan semula diberi sekali lagi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama 5 tahun atau elaun cukai pelaburan sebanyak 60 peratus selama 5 tahun. Bagi memodenkan sektor pertanian dan lebih mesra alam, saya mencadangkan pengusaha ternakan ayam dan itik yang menukar cara ternakan daripada sistem reban terbuka kepada tertutup diberi galakan elaun pelaburan semula selama 15 tahun. Menggalakkan Aktiviti Bernilai Tinggi Di Sektor Pembuatan Bagi meningkatkan pelaburan dan menggalakkan lagi aktiviti bernilai tinggi di sektor pembuatan, beberapa industri terus dimajukan bagi menghadapi persaingan yang sengit dalam era globalisasi dan liberalisasi. Pengilang tempatan perlu berusaha dengan lebih gigih lagi untuk meningkatkan keupayaan merekabentuk, membangunkan serta mengeluarkan produk yang berkualiti tinggi. Sebagai usaha untuk menggalakkan aktiviti yang sedemikian, saya mencadangkan syarikat yang membuat rekabentuk, membangun dan mengeluarkan modul atau sistem komponen automotif diberi galakan taraf perintis dan elaun cukai pelaburan di bawah pakej insentif berteknologi tinggi. Di samping itu, untuk menggalakkan perkembangan industri mesin dan peralatan, saya mencadangkan beberapa lagi kategori mesin seperti specialized machinery, process machinery for specific industry, packaging industry and plastic extrusion machinery, dimasukkan ke dalam senarai keluaran yang layak mendapat taraf perintis dengan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama 10 tahun atau elaun cukai pelaburan sebanyak 100 peratus selama 5 tahun. Bagi menggalakkan syarikat beralih kepada aktiviti yang berasaskan ilmu pengetahuan, saya mencadangkan syarikat yang mendapat strategic k-based status diberi taraf perintis atau elaun cukai pelaburan di bawah pakej galakan untuk industri berteknologi tinggi. Selain daripada itu, perbelanjaan bagi menyediakan pelan induk berasaskan pengetahuan dibenarkan sebagai potongan bagi tujuan cukai pendapatan. Tuan yang di pertua, Strategi Ketiga: Memantapkan Kewangan Sektor Awam Serta Mempertingkatkan Kecekapan Perkhidmatan Awam Semenjak krisis kewangan 1997, sektor awam telah menerajui pertumbuhan ekonomi negara melalui rangsangan fiskal untuk menggiatkan lagi ekonomi dalam negeri. Dengan pemulihan keyakinan sektor swasta untuk memacu semula pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan akan memainkan peranan sebagai penyokong pertumbuhan. Langkah ini akan menyumbang kepada hasrat Kerajaan untuk memantapkan lagi kedudukan kewangannya supaya matlamat belanjawan berimbang dapat dicapai di akhir tempoh Rancangan Malaysia Kelapan. Peruntukan Bajet 2003 Saya mencadangkan sejumlah 109.8 bilion ringgit diperuntukkan bagi Bajet 2003. Ini merupakan pertambahan 9.2 peratus berbanding peruntukan asal tahun 2002. Daripada jumlah ini, sebanyak 66.3 peratus atau 72.84 bilion ringgit adalah untuk perbelanjaan mengurus, manakala 36.96 bilion ringgit untuk perbelanjaan pembangunan. Dengan mengambil kira anggaran hasil sebanyak 89.79 bilion ringgit, akaun keseluruhan Kerajaan Persekutuan dijangka mencatatkan defisit sebanyak 3.9 peratus daripada KDNK, lebih rendah daripada 4.7 peratus pada tahun 2002. Sebanyak 34.51 bilion ringgit daripada perbelanjaan mengurus diperuntukkan di bawah pemberian dan kenaan bayaran tetap. Sebanyak 19.73 bilion ringgit adalah untuk emolumen, 14.25 bilion ringgit untuk perkhidmatan dan bekalan, 1.61 bilion ringgit untuk pembelian kelengkapan serta kemudahan pejabat dan 2.73 bilion ringgit bagi perbelanjaan lain. Daripada jumlah perbelanjaan pembangunan yang dicadangkan, sebanyak 12.69 bilion ringgit atau 34.4 peratus adalah untuk sektor ekonomi, infrastruktur, perindustrian, bekalan elektrik dan air luar bandar. Sebanyak 16.13 bilion ringgit atau 43.6 peratus disediakan bagi sektor sosial untuk projek-projek pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, pembangunan masyarakat, belia dan sukan. Seterusnya, 3.06 bilion ringgit atau 8.3 peratus diperuntukkan bagi projek-projek pembangunan di sektor keselamatan dan 3.08 bilion ringgit atau 8.3 peratus diperuntukkan kepada pentadbiran am. Bakinya, sebanyak 2 bilion ringgit adalah untuk simpanan luar jangka. Bajet Dua Tahun Kerajaan telah mengumumkan penyediaan Bajet dua tahun untuk mempastikan kelancaran pelaksanaan projek pembangunan. Langkah ini bertujuan memberi agensi pelaksana lead time dalam usaha merancang dan melaksanakan projek. Agensi pelaksana boleh menjalankan kerja-kerja awal seperti mendapatkan tapak projek, penilaian impak alam sekitar, siasatan tanah dan reka bentuk yang biasanya mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Bagi tujuan ini, peruntukan sebanyak 985 juta ringgit telah disediakan di bawah pelbagai kementerian supaya kerja-kerja awal dapat dimulakan pada tahun ini dan pelaksanaan fizikal pada tahun 2004. Bagi mempercepatkan pelaksanaan projek Kerajaan, saya menggesa supaya Kerajaan-Kerajaan negeri juga memainkan peranan dalam memudah dan menyegerakan proses perolehan tapak projek dan tidak mengambil masa yang panjang. Di samping itu, pihak berkuasa tempatan juga hendaklah bertindak pantas dalam mempertimbangkan kelulusan di bawah bidang kuasa mereka seperti cadangan pelan reka bentuk dan pemberian lesen. Tuan Yang DiPertua, Mencapai Kecemerlangan Pendidikan Sekolah merupakan tempat kanak-kanak menerima pendidikan awal secara formal, di samping bermulanya pembentukan keperibadian diri dan menyemai sikap positif. Di situlah acuan untuk melahirkan rakyat yang berpengetahuan, berkemahiran serta pintar dan lengkap dengan nilai-nilai murni seperti sikap bertanggungjawab, bertoleransi dan setia kawan serta bersemangat patriotik dan cintakan negara. Bukan tempat untuk mengindoktrinasi anak-anak kecil yang boleh membawa ke arah fikiran yang sempit dan fahaman yang terseleweng. Memandangkan pentingnya mereka ini dibentuk sejak usia muda lagi, bukan sahaja dalam bidang akademik, bahkan juga mengenai sifat-sifat mulia serta memupuk semangat toleransi di antara kaum, Kerajaan akan memberi lebih tumpuan kepada program pendidikan di peringkat pra-sekolah dan rendah. Untuk tujuan ini, sebanyak dua sekolah wawasan telah mula beroperasi, manakala empat lagi sedang dalam pembinaan. Kerajaan juga sedang melaksanakan pembinaan sekolah integrasi bagi memberi peluang kepada pelajar memilih pakej mata pelajaran yang bersesuaian dengan minat, cita-cita dan latar belakang sosio budaya mereka. Pelajar di sekolah ini boleh memilih mata pelajaran daripada tiga aliran, iaitu Sains Tulen, Teknologi dan Pengajian Islam. Sebagai langkah untuk meningkatkan pembelajaran komputer dan ICT, sekolah bistari yang menekankan penggunaan perisian akan diteruskan bagi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Matematik, Sains, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Setakat ini, sebanyak 8 telah beroperasi sementara 3 lagi akan siap pada tahun 2003. Di bawah program meningkatkan penggunaan ICT, semua sekolah akan dilengkapkan dengan makmal komputer. Fasa 1 dan 2 program ini melibatkan pembinaan 4,400 makmal, di mana sehingga kini, 1,058 makmal telah siap dibina. Fasa 3 pula adalah bagi pembinaan menyeluruh baki sekolah-sekolah di seluruh negara. Pembinaan makmal ini yang kini telah pun bermula, dilaksanakan oleh kontraktor Bumiputera tempatan kelas F. Kerajaan juga akan memperuntukkan sebanyak 850 juta ringgit bagi melaksanakan sekolah satu sesi yang bertujuan untuk memberi pelajar lebih masa di sekolah bukan sahaja untuk sesi pembelajaran, tetapi juga untuk kegiatan kokurikulum. Dengan itu, anak-anak kita akan dapat memanfaatkan masa mereka sepenuhnya di sekolah dan ini boleh mengelakkan mereka dari terlibat dalam aktiviti tidak sihat. Kerajaan juga berharap ibubapa bijak mengatur dan mempastikan quality time bersama dengan anak-anak mereka. Bagi tujuan ini, sebanyak 91 sekolah rendah dan 81 sekolah menengah satu sesi telah mula beroperasi dalam tahun 2002, sementara 129 sekolah rendah dan 138 sekolah menengah akan siap pada tahun 2003. Pembinaan baru sekolah satu sesi bagi 43 sekolah rendah dan 51 sekolah menengah akan juga dilaksanakan. Peruntukan sebanyak 14,294 juta ringgit disediakan bagi pendidikan rendah dan menengah, manakala 8,685 juta ringgit bagi pendidikan tinggi. Kerajaan telah membuat keputusan melaksanakan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di sekolah- sekolah. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sejumlah hampir 5 bilion ringgit bagi tempoh 7 tahun dari tahun 2002 hingga 2008. Sebahagian besar daripada peruntukan ini adalah untuk melatih guru, menyediakan geran pelancaran untuk sekolah- sekolah dan bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran, di samping menyediakan kemudahan asas dan infrastruktur fizikal, termasuk ICT. Untuk mempastikan bahawa pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dapat dilaksanakan secara berkesan, guru- guru akan dibekalkan dengan komputer notebook, LCD projector untuk sekolah dan peralatan berkaitan. Bagi tujuan ini, sebanyak 978.7 juta ringgit akan dibelanjakan dalam tahun ini dan tahun 2003. Bagi lepasan sekolah yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi, Kerajaan sedang melaksanakan program meningkatkan kemahiran melalui penubuhan Kolej Komuniti yang akan dibina di setiap kawasan Parlimen. Dalam tahun ini, 17 Kolej Komuniti telah mula beroperasi, sementara sebanyak 50 lagi sedang dalam perancangan. Peruntukan sebanyak 408 juta ringgit disediakan untuk tujuan ini. Kerajaan terus memberi tumpuan utama dalam bidang pendidikan dengan menyediakan peruntukan sebanyak 27 peratus daripada jumlah Bajet 2003. Walaupun sektor ini diberi peruntukan yang tinggi, peruntukan di bawah Tabung Pendidikan Tinggi Nasional masih tidak mencukupi. Setakat ini sebanyak 4.5 bilion ringgit telah disediakan yang memberi manfaat kepada hampir 380 ribu pelajar. Namun, program ini memerlukan sebanyak 3.5 bilion ringgit lagi untuk tempoh sehingga tahun 2005. Kita mungkin tidak dapat meneruskan program ini melalui pemberian dari Kerajaan. Oleh itu, satu program pinjaman melalui institusi kewangan akan diwujudkan di mana pelajar boleh mendapat pinjaman daripada institusi tersebut. Institusi kewangan dikehendaki menyalurkan sebahagian daripada peruntukan pinjaman mereka kepada pinjaman pendidikan tinggi selaras dengan hasrat Kerajaan untuk membangunkan sumber manusia. Untuk mengurangkan beban perbelanjaan persekolahan anak-anak di masa hadapan, saya ingin mencadangkan satu Tabung Simpanan Pendidikan khusus untuk membiayai pendidikan tinggi. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan memberi matching grant bagi setiap ringgit yang disimpan oleh anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah. Sebagai permulaan, sebanyak 1 bilion ringgit akan disediakan di bawah tabung ini. Saya berharap program ini akan dapat menerap budaya menabung di kalangan anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah. Tuan Yang DiPertua, Membangun Sumber Manusia Ke Arah Ekonomi Baru Negara sedang beranjak ke arah ekonomi baru berasaskan ilmu pengetahuan. Untuk mempastikan peralihan ini berjalan lancar, negara memerlukan lebih ramai tenaga kerja yang berkemahiran. Kerajaan akan terus memberi penekanan terhadap usaha-usaha menambah bilangan dan meningkatkan kualiti tenaga mahir supaya dapat memenuhi kehendak pasaran. Bagi tujuan ini, peruntukan sejumlah 1.62 bilion ringgit disediakan kepada Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pembangunan Usahawan untuk melaksanakan pelbagai program latihan kemahiran, termasuk menyediakan kemudahan infrastruktur dan bagi membiayai perbelanjaaan pengurusan. Di bawah Kementerian Sumber Manusia, sebanyak 621 juta ringgit diperuntukkan bagi melaksana dan menguruskan 29 projek Institut Latihan Perindustrian dan Pusat Latihan Kemahiran dengan kapasiti seramai 18,200 orang pelatih. Selain daripada itu, sebanyak 410 juta ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk melaksana dan meningkatkan kemudahan sejumlah 25 projek Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN). Institusi ini berupaya melatih seramai 12,600 orang apabila 8 IKBN baru beroperasi sepenuhnya. Kementerian Pembangunan Usahawan pula, diperuntukkan sejumlah 355 juta ringgit bagi menyiapkan sebanyak 33 projek Institut Kemahiran Mara dan berkeupayaan melatih seramai 49,600 orang pelatih dalam pelbagai peringkat kemahiran. Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mewujudkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang R&D, dana geran latihan berjumlah 100 juta ringgit akan ditubuhkan. Dana ini akan disalurkan kepada syarikat swasta untuk membiayai latihan kakitangan mereka yang terlibat dalam aktiviti R&D. Tuan Yang DiPertua, Rakyat Sihat Menjamin Negara Makmur Rakyat sihat akan mempastikan kejayaan program pembangunan negara dapat diteruskan. Sehubungan ini, Kerajaan akan menyedia dan memperbaiki kemudahan perkhidmatan kesihatan. Sejumlah 7.55 bilion ringgit disediakan, iaitu peningkatan hampir 20 peratus berbanding tahun 2002, untuk meneruskan program peningkatan taraf dan mutu perkhidmatan perubatan serta kesihatan awam. Daripada jumlah ini, 5.76 bilion ringgit adalah untuk perbelanjaan mengurus manakala 1.79 bilion ringgit untuk perbelanjaan pembangunan. Beberapa projek akan dilaksanakan, termasuk pembinaan 25 hospital baru serta menaik taraf 47 hospital, 383 klinik desa dan 81 klinik kesihatan. Antara hospital yang sedang dalam pembinaan ialah hospital Serdang, Alor Setar, Sungai Buloh, Ampang, Sungai Petani dan Lahad Datu. Perkhidmatan kesihatan bagi meningkatkan kesihatan wanita, kanak-kanak, remaja, warga tua dan orang kurang upaya juga diberi perhatian di samping penekanan kepada kawalan penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit seperti diabetik, jantung, kanser dan lain-lain. Kerjasama yang terjalin di antara Kerajaan dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di dalam membantu pencegahan, rawatan penyakit serta program sokongan akan terus dipertingkatkan. Bagi tahun 2003, sejumlah 24 juta ringgit diperuntukkan kepada NGO kesihatan seperti HOSPIS, Yayasan Buah Pinggang Negara dan lain-lain. Di samping itu, Kerajaan akan terus menyediakan peruntukan matching grant kepada NGO yang benar-benar ikhlas untuk membantu negara. Tuan Yang DiPertua, Meningkatkan Kecekapan Perkhidmatan Awam Perkhidmatan awam perlu mempastikan delivery system yang cekap serta mesra pelanggan bagi menjamin kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan segala dasar dan strategi pembangunan negara. Dalam hal ini, perkhidmatan awam mesti terus berusaha mengurangkan karenah birokrasi dan mengkaji semula semua peraturan dan tatacara untuk mempercepatkan urusan dengan pihak awam. Langkah ini akan memudahkan peniaga berurusan dengan Kerajaan di samping mengurangkan kos pengendalian mereka dan seterusnya, menjadikan negara lebih kompetitif. Sehubungan ini, semua anggota perkhidmatan awam akan diorientasi semula dan diserapkan dengan budaya kerja cemerlang yang mengutamakan kecekapan, disiplin, amanah serta komited, di samping bersikap mesra peniaga atau pro- business dalam melaksanakan dasar-dasar Kerajaan. Bagi mempastikan pihak pelabur mendapat layanan yang terbaik dari segi pengurusan barangan import dan eksport, prosedur dan peraturan Kastam sedia ada akan dipermudah dan diseragamkan. Saya mencadangkan: Pertama : Pergerakan barangan bercukai antara kawasan bebas cukai atau bagi tujuan eksport dikecualikan dari jaminan bank. Kedua : Pergerakan barangan bercukai akan menggunakan satu borang sahaja. Ketiga : Bagi menjimatkan masa dan kos, Jabatan Kastam tidak akan membuat pemeriksaan lanjut ke atas barangan yang telah diperiksa oleh agensi lain, seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian. Keempat : Bagi tujuan membanteras penyeludupan rokok, Kerajaan akan memperkenalkan penggunaan pelekat atau kod khas ke atas setiap kotak rokok yang telah dibayar cukai bagi mempastikan rokok yang dijual tidak diseludup. Dalam hubungan ini, Kerajaan juga akan memperkenalkan penggunaan pelekat bagi barangan lain, seperti minuman keras dan ubat-ubatan, bertujuan bukan sahaja untuk mempastikan cukai telah dibayar, malahan untuk melindungi pengguna dari membeli barangan tiruan. Kerajaan sangat menitikberatkan kebajikan kakitangan awam dan sentiasa prihatin terhadap rintihan mereka. Oleh itu, baru-baru ini, Kerajaan telah bersetuju melaksanakan Sistem Saraan Malaysia (SSM). SSM akan bersandarkan kepada peningkatan kompetensi dan pengetahuan mendalam seseorang anggota perkhidmatan awam. Walaupun pelaksanaan SSM akan melibatkan perbelanjaan tambahan melebihi 300 juta ringgit pada tahun ini, tetapi Kerajaan percaya pelaksanaannya akan memberi lebih manfaat kepada anggota perkhidmatan awam dan negara secara keseluruhannya. Bagi membolehkan semua anggota dapat melaksanakan tugas dengan lebih berkesan, Kerajaan akan mempastikan semua anggota perkhidmatan awam terus sihat dan produktif. Mengikut peraturan sekarang, semua pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang berumur 40 tahun ke atas digalakkan mengambil pemeriksaan kesihatan dari masa ke semasa. Kemudahan ini turut dipanjangkan kepada semua anggota sektor awam dalam kumpulan sokongan. Kerajaan telah membina pusat pentadbiran Putrajaya untuk menjadikannya sebagai pusat kecemerlangan pentadbiran awam. Bagi mereka yang telah dan akan berpindah, jadikan perpindahan ini sebagai satu penghijrahan, bukan sahaja fizikal malahan yang lebih utama ialah penghijrahan sikap dan minda, menuju ke arah perkhidmatan awam yang lebih cemerlang. Tuan Yang DiPertua, Strategi Keempat: Memupuk Masyarakat Progresif, Berakhlak Dan Berharmoni Bagi Menjamin Kesejahteraan Rakyat Kejayaan dan kemakmuran yang kita perolehi seharusnya dikecapi dan dikongsi bersama oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan tidak hanya tertumpu kepada beberapa golongan tertentu sahaja. Kerajaan sentiasa tegas dalam melaksanakan langkah-langkah pengagihan kekayaan negara yang lebih seimbang. Pada masa yang sama, Kerajaan tidak hanya menumpukan usaha untuk menambah kekayaan material semata-mata. Langkah-langkah untuk meningkatkan moral, menajamkan minda dan mengukuhkan penghayatan agama serta memupuk jalinan perpaduan dan persefahaman turut diberi penekanan utama demi mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang progresif, berakhlak dan berharmoni. Memantapkan Agenda Pembangunan Luar Bandar Usaha meningkatkan taraf kehidupan rakyat di luar bandar sentiasa menjadi agenda utama Kerajaan. Peruntukan bagi pembangunan luar bandar terus ditingkatkan dalam setiap Bajet, terutamanya untuk menyediakan kemudahan infrastruktur. Ini termasuk program untuk membina dan menaik taraf jalan utama, jalan kampung dan jambatan serta penyediaan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air, kesihatan, pendidikan dan perumahan serta telekomunikasi untuk merapatkan jurang digital di luar bandar. Bagi tahun 2003, sejumlah 2.56 bilion ringgit diperuntukkan, iaitu peningkatan sebanyak 36 peratus berbanding dengan tahun 2002. Bagi jalan luar bandar, sebanyak 270 juta ringgit disediakan untuk menyiapkan 111 projek sambungan dan melaksanakan 289 projek baru, melibatkan jalan sepanjang 673 kilometer. Bagi program jalan kampung pula, sebanyak 600 juta ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan hampir 6,000 projek melibatkan pembinaan jalan sepanjang 6,000 kilometer. Sementara, sebanyak 30 juta ringgit diperuntukkan untuk tujuan baik pulih jalan kampung sepanjang kira- kira 1,400 kilometer. Bagi bekalan elektrik pula, sebanyak 300 juta ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan 720 projek di seluruh Malaysia, yang akan memberi manfaat kepada 103,000 isi rumah. Sementara bagi bekalan air luar bandar, sejumlah 250 juta ringgit disediakan bagi melaksanakan 700 projek yang akan memberi manfaat kepada hampir 84,000 isi rumah. Di samping itu, sebanyak 10.3 juta ringgit lagi disediakan di bawah program bakas untuk bekalan air dan kebersihan alam sekitar luar bandar. Dengan ini, 90 peratus daripada kawasan luar bandar dijangka mendapat bekalan elektrik, sementara 80 peratus, bekalan air. Bagi perkhidmatan kesihatan luar bandar, sebanyak 289.7 juta ringgit disediakan untuk pembinaan 76 klinik desa, termasuk kerja- kerja menaiktaraf dan membaikpulih kemudahan sedia ada. Beberapa kemudahan baru juga akan beroperasi sepenuhnya, termasuk 8 hospital, 13 klinik kesihatan, 60 klinik desa dan 2 sekolah latihan jururawat. Selain daripada menyediakan kemudahan infrastruktur, Kerajaan juga berhasrat untuk membangunkan sebuah masyarakat luar bandar yang dapat memperolehi pendapatan yang tidak kurang dari penduduk bandar. Petani dan nelayan tradisional tidak mungkin mendapat pendapatan yang lumayan kerana mereka tidak bekerja sepenuh masa. Sementara pekerja kilang bekerja lapan jam sehari dan enam hari seminggu, petani dan nelayan hanya bekerja kurang separuh dari masa ini. Untuk menambah pendapatan, menaikkan harga hasil keluaran mereka bukan caranya. Cara ini akan hanya menaikkan kos sara hidup atau inflasi. Subsidi juga tidak dapat mengatasi masalah pendapatan yang rendah. Cara yang terbaik ialah dengan membuat kerja lain di masa lapang. Kerajaan akan memperkenalkan rancangan Satu Kampung Satu Industri atau One Village One Industry, di mana industri kecil yang memerlukan pekerja antara 10 hingga 100 orang akan dibangunkan. Di kilang kecil ini, disiplin bekerja dalam masa tertentu dan teratur akan lebih menjamin pengeluaran dan kualiti produk yang boleh dipasarkan. Petani dan nelayan boleh bekerja dengan bergaji dan juga melabur serta memiliki perusahaan ini yang akan diurus oleh pengurus profesional. Satu percubaan baru untuk mendirikan kampung tersusun yang lebih selesa sedang diuruskan di Kedah. Rumah-rumah ini akan dijual kepada penduduk tempatan dengan harga yang berpatutan supaya penduduk kampung juga akan menikmati kehidupan yang sama dengan penduduk bandar. Dengan penyusunan semula kampung-kampung, lengkap dengan kedai runcit, kedai kopi dan lain-lain dan juga dengan adanya kilang kecil yang mengeluarkan barangan yang boleh diterima oleh pasaran, adalah diharap masalah pendapatan petani dan nelayan yang rendah dapat diatasi. Membuka tanah ala Felda tidak dapat dibuat lagi kerana sebab-sebab tertentu. Menjamin Kesejahteraan Rakyat Golongan rakyat miskin akan terus diberi tumpuan khas supaya nasib mereka sentiasa terbela. Program-program yang akan diteruskan termasuk pembangunan minda, tambahan makanan seimbang, peningkatan pendapatan, pembangunan masyarakat bandar, pemulihan rumah, Pembangunan Masyarakat Setempat dan Amanah Saham Bumiputra Sejahtera. Sebanyak 190.9 juta ringgit diperuntukkan bagi program- program ini dan dijangka seramai 67,200 orang akan mendapat manfaat. Bagi mempastikan rakyat berpendapatan rendah mampu mendiami rumah yang selesa, program rumah kos rendah dan sederhana akan diteruskan. Hampir 1 bilion ringgit disediakan untuk pelbagai projek Perumahan Awam Kos Rendah. Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mencapai matlamat setinggan sifar menjelang tahun 2005, projek program perumahan rakyat yang bertujuan untuk menyediakan rumah untuk disewa kepada penduduk setinggan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama akan diteruskan. Bagi tujuan ini, peruntukan sebanyak 700.6 juta ringgit disedia untuk melaksanakan 51 projek sambungan dan 13 projek baru yang melibatkan pembinaan 65,778 unit rumah. Di samping itu, bagi tujuan pemilikan rumah pula, sebanyak 202 juta ringgit diperuntukkan bagi membina 6,000 unit rumah. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan merancang keperluan rumah awam kos rendah, mengenal pasti tapak dan mendapatkan tanah, di samping mengurus tender dan melaksanakan projek untuk dijual. Hasil penjualan rumah akan dipulang dan dimasukkan ke dalam tabung pusingan, manakala pembiayaan akhir kepada pembeli rumah tersebut akan disediakan oleh institusi- institusi kewangan tertentu. Pelaksanaan strategi baru ini akan mempercepatkan lagi pembinaan rumah awam kos rendah dan meningkatkan peluang lebih ramai golongan berpendapatan rendah memiliki rumah yang berkualiti dan mampu dibeli. Sebanyak 83.6 juta ringgit lagi adalah untuk membiayai secara pinjaman kepada Kerajaan-Kerajaan negeri bagi pembinaan sejumlah 15,700 unit rumah di bawah projek Perumahan Awam Kos Rendah. Memandangkan kepada perlunya program perumahan PPRT diperbaiki lagi, Kerajaan bercadang untuk memperluaskan program perumahan keluarga nelayan yang dilancarkan baru-baru ini di Terengganu ke negeri-negeri lain dengan menggunakan dana khas. Di bawah program ini, keluarga miskin yang mempunyai tanah boleh dipertimbangkan untuk menyertai program menggunakan tabung pinjaman khas yang diwujudkan di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad. Pinjaman tanpa faedah di bawah program ini adalah untuk membiayai kos pembinaan sebagai tambahan kepada geran yang akan disediakan oleh Kerajaan bagi Program Perumahan Rakyat Termiskin. Untuk anak-anak keluarga miskin pula, Kerajaan membelanjakan sebanyak 470 ringgit setahun untuk setiap pelajar sekolah rendah di bawah program makanan tambahan serta pinjaman buku teks dan bantuan pakaian seragam dan sebagainya. Untuk meringankan lagi beban keluarga miskin, Kerajaan bercadang menyediakan peruntukan one-off sebanyak 120 ringgit setahun secara tunai kepada setiap pelajar dari keluarga miskin untuk membeli pakaian seragam dan peralatan sekolah. Program ini akan melibatkan perbelanjaan sebanyak 87.8 juta ringgit setahun dan akan memberi manfaat kepada seramai 730 ribu pelajar. Selain daripada kemudahan ini, Kerajaan sedang menimbang untuk memberi voucher tuisyen kepada anak-anak keluarga miskin bagi membolehkan mereka mendapat tuisyen daripada guru-guru yang sanggup memberi tuisyen khas di luar waktu sekolah. Dengan ini, bukan sahaja mereka akan dapat tuisyen, guru-guru yang rajin juga boleh mendapat pendapatan tambahan. Tuan Yang DiPertua, Seringkali kita terharu dengan rayuan bantuan kewangan bagi mereka yang tidak mampu membiayai rawatan penyakit kronik. Kos rawatan biasanya tinggi dan tidak tertanggung oleh mereka yang berpendapatan rendah, sementara sumbangan orang ramai tidak mencukupi. Atas keprihatinan dan rasa kemanusiaan, Kerajaan akan memberikan matching grant dollar for dollar. Sebagai permulaan, Kerajaan akan menyediakan dana sebanyak 100 juta ringgit. Dana ini disediakan khusus bagi mereka atau kanak-kanak yang ibubapa mereka berpendapatan kurang daripada 600 ringgit sebulan. Bilangan warga tua di negara ini semakin meningkat. Oleh itu, Pusat Penjagaan Warga Tua perlu diperbanyakkan bagi menangani masalah warga tua yang tidak mendapat penjagaan yang sempurna daripada keluarga terdekat. Dengan ini, saya mencadangkan supaya perbelanjaan bagi membina atau membeli bangunan untuk dijadikan pusat penjagaan warga tua diberi elaun bangunan khas sebanyak 10 peratus selama 10 tahun. Kerajaan prihatin dan mengambil berat terhadap kebajikan pekerja khususnya mereka yang terpaksa berhenti kerja atau menerima tawaran diberhenti kerja (VSS). Bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat, Kerajaan mencadangkan supaya kadar pengecualian cukai ke atas bayaran pampasan yang diterima oleh pekerja berkenaan dinaikkan daripada 4 ribu ringgit kepada 6 ribu ringgit bagi setiap tahun perkhidmatan. Tuan Yang DiPertua, Memulihara Alam Sekitar Alam sekitar yang berkualiti merupakan satu aset yang tidak ternilai. Sebagai sebuah masyarakat yang semakin afluen, lebih ramai rakyat menuntut supaya mereka dapat menikmati alam sekitar yang berkualiti. Kebersihan alam sekitar adalah tanggungjawab semua. Dalam usaha untuk meningkatkan penggunaan sumber tenaga yang mesra alam dan renewable, Kerajaan menggalakkan penggunaan biodiesel. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan memberi subsidi ke atas biodiesel, seperti yang diberikan kepada diesel pada masa ini. Di samping itu, galakan taraf perintis dan elaun cukai pelaburan yang diberikan untuk pengeluaran tenaga menggunakan biomass sebagai sumber tenaga yang boleh diperbaharui, telah menarik pelaburan sebanyak 331 juta ringgit. Sehubungan dengan ini, saya mencadangkan galakan ini dilanjutkan 3 tahun lagi sehingga 31 Disember 2005. Di samping itu, saya juga mencadangkan galakan yang sama diperluaskan kepada penggunaan kuasa hidro yang tidak melebihi 10 megawatts dan kuasa suria. Memartabatkan Peranan Wanita Kerajaan terus mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara. Selaras dengan ini, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga akan diberi peruntukan sebanyak 99.1 juta ringgit pada tahun 2003, iaitu peningkatan 68 peratus berbanding dengan tahun ini. Kementerian ini sedang merangka cadangan untuk memperkenalkan Analisis Bajet Gender bagi mengkaji implikasi Bajet negara ke atas wanita dan lelaki supaya sumber ekonomi dapat diagihkan kepada semua golongan dengan lebih saksama. Bagi menghargai peranan wanita sebagai tunggak pembangunan keluarga, program utamakan keluarga: Semakin Hari Semakin Sayang, telah dilancarkan bagi membolehkan agensi Kerajaan, pihak swasta dan NGO berganding bahu memupuk semangat kesedaran bahawa keluarga perlu diberi keutamaan. Di samping itu, di bawah Program Pembangunan Keluarga, sebanyak 10 Kompleks Kasih Keluarga di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara akan dibina pada tahun 2003. Kerajaan telah pun memberi pelbagai jenis pelepasan dan rebat kepada pembayar cukai individu untuk menampung bukan sahaja perbelanjaan diri, malahan juga bagi tanggungannya, seperti pelepasan insurans pendidikan dan perubatan, pembelian buku serta perbelanjaan perubatan ibu-bapa. Bagi memupuk semangat mengutamakan keluarga, perbelanjaan oleh syarikat seperti mengadakan hari keluarga telah dibenarkan untuk potongan cukai. Selain daripada itu, manfaat percutian percuma yang dinikmati oleh pekerja dan keluarganya kini tidak dikenakan cukai. Pada masa ini, ramai antara kita yang merungut kerana terpaksa membayar duti setem bagi pindahmilik hartanah walaupun kepada mereka yang tersayang. Dalam usaha untuk meringankan beban pindahmilik sesama keluarga, Kerajaan mencadangkan surat cara pindahmilik hartanah di antara suami dan isteri, serta ibu bapa dan anak atas dasar kasih sayang dikecualikan duti setem sebanyak 50 peratus. Kerajaan juga akan menyediakan program khusus bagi menjaga kebajikan ibu tunggal yang kini dianggarkan hampir 130 ribu orang atau 1.2 peratus daripada bilangan penduduk wanita. Bagi mempastikan mereka mempunyai tempat kediaman yang selesa, Kerajaan akan memberi keutamaan kepada ibu tunggal yang berpendapatan kurang daripada 600 ringgit sebulan untuk memiliki rumah kos rendah secara berkelompok. Dengan itu, Kerajaan juga dapat membantu anak-anak mereka dengan menyediakan kemudahan seperti pusat jagaan kanak-kanak, pendidikan dan kesihatan. Pada masa ini, kakitangan awam lelaki diberi cuti isteri bersalin supaya mereka dapat membantu meringankan urusan keluarga, terutamanya kepada isteri dan anak-anak. Selaras dengan hasrat mengutamakan keluarga, family first, Kerajaan bersetuju menambahkan lagi cuti bagi suami daripada tiga kepada tujuh hari. Di samping itu, untuk membantu anggota perkhidmatan awam mengendalikan urusan keluarga semasa kematian ahli keluarga terdekat, Kerajaan bersetuju memberi cuti tanpa rekod sebanyak tiga hari. Mempersiapkan Belia Sebagai Generasi Pelapis Golongan belia merupakan generasi pelapis yang akan meneruskan kesinambungan perjuangan memartabat dan mendaulatkan negara. Belia hari ini merupakan anak-anak pasca merdeka, pandai melaungkan merdeka, tetapi kerap tidak menjiwai erti kemerdekaan. Ini adalah kerana mereka tidak mengharungi dan merasai betapa pahit dan peritnya hidup di bawah penjajah dan perjuangan membebaskan negara. Sekiranya mereka tidak disedar dan dipahatkan dengan semangat patriotik dan cintakan negara, kita khuatir kemakmuran dan perpaduan yang kita nikmati selama ini akan hancur dan negara mungkin dijajah semula. Oleh itu, generasi muda akan diperlengkapkan dengan semangat juang membina negara serta kemahiran dan pengetahuan bagi membolehkan mereka memainkan peranan utama dalam arus pembangunan negara. Program seperti latihan kepimpinan, bina semangat dan jati diri akan dilaksanakan, di samping menyediakan belia kita dengan kemahiran dan pengetahuan, terutamanya dalam bidang ekonomi berasaskan pengetahuan. Kita juga bimbang melihat pelbagai gejala sosial di kalangan belia yang semakin meruncing. Oleh itu, untuk menerapkan nilai- nilai positif khusus di kalangan belia, Program Rakan Muda akan dipertingkatkan dengan pendekatan baru supaya lebih berkesan dan melibatkan lebih ramai belia. Sebanyak 12.3 juta ringgit disediakan bagi program ini. Pembangunan usahawan muda akan juga dipertingkatkan untuk melahirkan lebih ramai belia dalam bidang perniagaan. Komuniti Belia Perdagangan dan Perindustrian akan dibangunkan. Program Usahawan Komputer akan dilaksanakan untuk melahirkan seratus usahawan berskala kecil dalam perniagaan komputer sepanjang tahun 2003. Bagi ini, peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit disediakan. Manakala di bawah Tabung Ekonomi Belia, kemudahan pinjaman sebanyak 50 ribu ringgit seorang juga disediakan. Usahawan muda ini digalak untuk menawarkan kursus komputer kepada belia di kawasan luar bandar. Seramai 20,000 orang belia dijangka mendapat manfaat dari program ini. Program khidmat sosial negara akan diteruskan dengan melibatkan kira-kira 20,000 orang lepasan sekolah yang sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM. Program ini digubal khusus untuk membentuk satu generasi belia berketrampilan dan bersemangat patriotik, di samping mengisi masa lapang dengan kegiatan berfaedah. Bagi tujuan ini, peruntukan sebanyak 11 juta ringgit akan disediakan. Menuju Kegemilangan Sukan Kerajaan berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai oleh kontinjen sukan negara di Sukan Komanwel, Manchester, yang membawa pulang tujuh pingat emas. Walaupun kita masih mampu mengekalkan prestasi yang baik dalam beberapa bidang sukan, namun kita masih jauh tercicir dalam beberapa bidang lain. Negara pernah pada suatu ketika dahulu mengecapi kegemilangan di arena bola sepak dan cukup terkenal di rantau Asia, malahan pernah mengalahkan pasukan Jepun dan Korea Selatan, yang kini muncul sebagai gergasi bola sepak bertaraf dunia. Apakah yang telah terjadi kepada pemain kita? Kerajaan menggesa semua pihak, terutamanya persatuan- persatuan sukan yang bertanggungjawab supaya mengenalpasti dan mengambil langkah segera bagi mengatasi kelemahan yang disebabkan bersengketa sesama sendiri. Kita mesti tingkatkan keyakinan dan semangat bagi mengembalikan semula kegemilangan sukan negara. Jadikan Sukan Asia ke 14 di Busan, Korea Selatan yang akan datang ini sebagai satu cabaran untuk membuktikan bahawa kita mampu mencapai tahap kejayaan yang lebih gemilang lagi. Bagi kontinjen negara, buktikan Malaysia Boleh. Kerajaan akan terus memperluaskan program serta menggalakkan aktiviti sukan bukan sahaja sebagai usaha menerapkan budaya gaya hidup sihat tetapi juga menarik lebih ramai peminat sukan antarabangsa untuk menyertai aktiviti sukan di negara ini. Di antara aktiviti baru ialah mempromosikan sukan lasak dan bermotor, bot laju serta perahu layar. Bagi menjayakan program ini, sejumlah 227.5 juta ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Belia dan Sukan. Penglibatan Lebih Aktif Pertubuhan Bukan Kerajaan Pada masa ini, terdapat banyak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang dahulu dikenali sebagai badan sukarela yang menumpu kepada kerja-kerja kebajikan. Walaupun banyak NGO sekarang lebih berminat dengan politik dan mencari salah orang lain, tetapi masih ada yang bersikap positif dan berusaha untuk menolong dan membantu anggota masyarakat yang kurang bernasib baik. Bagi mereka ini, Kerajaan akan terus memberi bantuan dan sumbangan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang selaras dengan dasar negara. Sebanyak 102.1 juta ringgit akan disediakan di bawah 8 kementerian bagi tujuan ini. Sebanyak 20 juta ringgit akan disediakan untuk NGO yang menjalankan aktiviti-aktiviti yang khusus untuk pembangunan wanita dan keluarga. Selain daripada itu, sebanyak 4 juta ringgit disediakan untuk Majlis AIDS Malaysia bagi menjalankan aktiviti pencegahan dan 5 juta ringgit untuk rawatan pesakit dari kalangan penagih dadah. Kerajaan juga tidak lupa kepada mereka yang kurang upaya dan untuk tujuan ini, Kerajaan memperuntukkan 19 juta ringgit. Kerajaan juga telah bersetuju menimbangkan geran sebanyak 2 juta ringgit untuk tabung ICT persatuan orang-orang cacat penglihatan. Kerajaan berharap pemberian ini akan dapat membantu mereka memperolehi komputer serta peralatan ICT lain. Di harap dengan wujudnya Tabung ini, mereka tidak akan tercicir dari arus perkembangan ICT dan berpeluang untuk mendapat pekerjaan. Tuan Yang DiPertua, Menghayati Ajaran Islam Yang Syumul Sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan ajaran Islam sebenar, terutama Islamic Fundamentals, adalah menjadi kewajipan kita untuk memelihara kesucian Islam. Untuk ini, Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan program kefahaman Islam sebenar untuk seluruh lapisan masyarakat, merangkumi pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi serta kakitangan awam dan swasta. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 203.1 juta ringgit di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi melaksanakan antara lain, program latihan dan pendidikan Islam, dakwah, pembangunan sosial, penyelidikan dan penyebaran maklumat serta penguatkuasaan undang-undang. Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan sebanyak 113.9 juta ringgit bagi melaksanakan beberapa projek pembangunan, termasuk pembinaan masjid, kompleks latihan, pembinaan sekolah agama serta pembangunan sistem maklumat. Walau bagaimanapun, tidak mungkin semua yang dituntut atas nama Islam dapat dilayan serentak. Agama Islam mengajar kita bersabar. IV. Prospek Ekonomi Tahun 2003 Tuan Yang DiPertua, Kerajaan yakin dengan strategi dan langkah-langkah yang dicadangkan dalam Bajet ini serta pemulihan sektor swasta yang lebih dinamik dalam menjana kegiatan ekonomi, pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2003 akan lebih mantap. Pertumbuhan KDNK dijangka meningkat antara 6 hingga 6.5 peratus. Pendorong pertumbuhan adalah dari kegiatan ekonomi dalam negeri selaras dengan strategi Bajet yang menekankan kepada pertumbuhan berpunca dari sumber domestik. Sektor perkhidmatan dijangka memberi sumbangan terbesar kepada peningkatan KDNK, sementara sektor pembuatan pula dijangka mencatat pertumbuhan tertinggi. Dari segi permintaan, perbelanjaan sektor swasta dianggar akan pulih kukuh dengan pelaburan swasta meningkat 16.5 peratus dan penggunaan hampir 10 peratus. Sektor awam pula akan terus memainkan peranan sokongan kepada perkembangan sektor swasta. Pelaburan awam dijangka meningkat sedikit pada kadar 2.4 peratus sementara penggunaan awam sebanyak 10.1 peratus. Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan, defisit keseluruhan dijangka mengecil kepada 3.9 peratus daripada KDNK, berbanding 4.7 peratus pada tahun ini. Kedudukan yang lebih baik ini didorong oleh pertambahan hasil Kerajaan yang dijangka meningkat lebih tinggi hampir 8 peratus berbanding 5 peratus pada tahun ini. Kerajaan terus mengekalkan dasar kewangan yang akomodatif bagi mengukuhkan lagi kegiatan ekonomi dalam negeri. Dalam suasana inflasi yang terkawal, kita mempunyai fleksibiliti bagi mengekalkan kadar faedah yang rendah untuk menggalakkan peningkatan pinjaman bank untuk pertumbuhan ekonomi. Dasar ini akan diteruskan, dan Kerajaan sentiasa mempunyai fleksibiliti untuk menguruskan dasar makro-ekonomi negara walaupun dalam keadaan persekitaran luar yang kurang menggalakkan. Asas ekonomi akan bertambah kukuh. Rizab antarabangsa negara semakin meningkat melebihi 130 bilion ringgit atau 34.2 bilion dolar Amerika pada akhir Ogos 2002. Jumlah rizab ini melebihi 5.1 kali hutang luar jangka pendek dan mampu membiayai 5.6 bulan import tertangguh. Imbangan perdagangan luar masih mencatat lebihan untuk 57 bulan berturut-turut sejak November 1997. Kadar tabungan kasar negara masih kekal tinggi lebih kurang 33 peratus daripada KNK. Sistem perbankan negara pula teguh dengan nisbah modal berwajaran risiko berada pada 13.1 peratus, melebihi paras 8 peratus piawaian antarabangsa. Hutang luar jangka pendek negara berada di paras rendah, iaitu sebanyak 7.6 peratus daripada KDNK, sementara nisbah khidmat hutang juga kekal rendah pada 5.8. Selaras dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, kuasa beli rakyat juga dijangka lebih tinggi dengan pendapatan perkapita bertambah 5.5 peratus kepada 14,100 ringgit, berbanding 13,400 ringgit pada tahun 2002. Pendapatan dari segi purchasing power parity meningkat 5.4 peratus kepada 8,800 dolar Amerika, berbanding 8,400 dolar Amerika pada tahun 2002. Sementara itu, kadar pengangguran terus berkurangan kepada 3.4 peratus iaitu masih berada di bawah paras guna tenaga penuh. Kadar ini mengambil kira sejumlah hampir 700 ribu pekerja asing yang bekerja di negara ini. Kadar kemiskinan pula, berjaya diturunkan daripada 8.7 peratus pada tahun 1995 kepada kurang daripada 6 peratus pada tahun 2002. Asas ekonomi yang teguh akan menjamin pertumbuhan yang lebih kukuh dapat dicapai dan dikekalkan dalam tempoh jangka masa panjang. Untuk mempastikan ekonomi negara terus mencapai pertumbuhan yang mapan dan tidak dipengaruhi oleh pergolakan persekitaran luar, dasar dan strategi menjana pertumbuhan dalam negeri akan terus dimantapkan. Usaha mempelbagaikan sumber pertumbuhan domestik akan dilipatgandakan supaya negara tidak terus bergantung secara keterlaluan kepada punca asing yang sempit dan terhad. Pada masa ini, sektor pembuatan bukan sahaja penjana utama pertumbuhan, iaitu hampir satu pertiga daripada KDNK, malahan turut menyumbang hampir 90 peratus kepada eksport negara. Sektor-sektor lain perlulah ditingkatkan sumbangan kepada KDNK. Tuan Yang DiPertua, Setakat ini, saya hanya membuat beberapa cadangan yang akan mengurangkan hasil Kerajaan. Saya tidak menyentuh langsung mengenai kenaikan sebarang cukai. Sesungguhnya, saya tidak bercadang untuk menaikkan atau mengenakan sebarang cukai baru. Namun, demi mempastikan Kerajaan mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan, usaha akan dipergiatkan lagi bagi meningkatkan pematuhan bayaran cukai atau tax compliance. Dalam hubungan ini, agensi yang diamanahkan untuk memungut cukai seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam akan memperhebatkan penguatkuasaan. Oleh yang demikian, diharap pihak-pihak berkenaan akan memberi kerjasama erat kepada mereka. Saya telah membentangkan pelbagai strategi dan langkah- langkah Bajet 2003 yang pada hemat saya, mesra rakyat. Jangan pula ada yang menganggap bahawa ini adalah gimik election budget. Kerajaan barisan nasional masih mempunyai banyak masa lagi untuk terus memerintah. Saya mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan sanjungan tinggi Kerajaan kepada semua rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan padu dan berdiri teguh di belakang Kerajaan, semasa senang mahu pun susah. Kerajaan juga tidak lupa untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pekerja-pekerja di sektor swasta yang telah bertungkus lumus bekerja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Mereka sentiasa mengekalkan suasana harmoni dan tidak mengadakan sebarang mogok, walaupun gaji mereka tidak seperti yang dituntut oleh mereka dan adakalanya mereka terpaksa diberhentikan kerja. Inilah keunikan kita, mengamalkan semangat Malaysia Inc. Bagi anggota-anggota Perkhidmatan Awam, termasuk Angkatan Tentera dan Polis, negara terhutang budi di atas sumbangan dan pengorbanan mereka. Tanpa profesionalisma mereka serta pengurusan pentadbiran yang cekap, negara tidak akan dapat menikmati pertumbuhan ekonomi yang baik. Untuk menghargai jasa semua anggota-anggota Perkhidmatan Awam, Kerajaan bersetuju memberi bonus satu bulan gaji atau minima 1,200 ringgit. Saya berharap wang ini dapat mengurangkan beban, terutama mereka yang bergaji rendah untuk perbelanjaan hari-hari perayaan dan persekolahan anak-anak. V. Penutup Tuan Yang DiPertua, Negara telah mengecap nikmat kemerdekaan hampir lima dekad. Kemajuan yang dicapai adalah hasil daripada keamanan yang wujud, perpaduan kaum yang erat, sokongan padu rakyat kepada Kerajaan serta dasar pembangunan yang berkesan. Kejayaan kita, walau bagaimanapun, telah terganggu dengan krisis kewangan serantau serta peristiwa 11 September yang telah memburukkan pemulihan ekonomi dunia. Syukur Alhamdulilah, kita berjaya keluar dari kegawatan ini dan kini berada di atas landasan yang lebih kukuh. Namun, persekitaran dalam dan luar negara yang semakin mencabar menuntut pengorbanan dan keberanian kita semua untuk membuat anjakan dalam pengurusan makro ekonomi negara. Dasar dan strategi pembangunan dalam Bajet 2003 ini merupakan langkah pertama ke arah merealisasikan pendekatan baru ini. Dalam kebangkitan semula ini, kita mesti mempunyai agility, iaitu kebolehan bertindak dan membuat perubahan dengan pantas sebagai respon kepada setiap perubahan yang berlaku di sekeliling kita. Hanya dengan keberanian bertindak walaupun secara unorthodox, barulah dapat kita selamatkan negara dan mengatasi segala cabaran yang muncul. Budaya sayang kepada bangsa, cintakan perpaduan serta sanggup berkorban mempertahankan negara, merupakan tunggak kedaulatan dan kemerdekaan kita. Inilah keunikan warisan bangsa dan negara kita. Usah bertelagah, berpecah belah, hasut menghasut dan dengki mendengki. Akibat sengketa sesama sendiri, bumi yang dipijak orang lain kuasai, kekayaan diusahakan tidak dikecapi dan maruah bangsa tercemar nanti. Adakah ini yang kita mahu? Adakah ini pusaka yang akan kita tinggalkan kepada anak bangsa? Tentu sekali tidak. Kita sedar tiada siapa yang akan mempertahankan kemerdekaan dan membangunkan negara kita, kalau bukan kita sendiri. Marilah kita bersatu hati bersama berbakti, semarakkan semangat, teguhkan tekad untuk membina negara yang makmur, bersatu dan berdaulat. Perjuangan untuk membangunkan negara masih belum selesai. Jalan yang akan kita tempuh masih jauh dan berliku. Bukan mudah tugas kita ini. Memartabat dan memuliakan bangsa menuntut kecekalan dan ketabahan, keazaman dan ketekunan, kejujuran dan keikhlasan serta pengorbanan segenap lapisan bangsa Malaysia, di desa dan di kota; yang muda dan yang lama; yang kurang berada dan yang kaya. Sesungguhnya, "Perjuangan kita belum selesai Kerana hanya yang cekal dan tabah Dapat membina mercu tanda Bangsanya yang berjaya. Keranamu Malaysia" Tuan Yang DiPertua, Saya mohon mencadangkan.
Google