Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RIVIERA BAY RESORT, MELAKA
Tarikh/Date : 03/10/2002
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN KONVENSYEN
DUNIA MELAYU DUNIA ISLAM KETIGA
Versi :
Penyampai : PM
Saya ucapkan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana
pada pagi ini, kita dapat bersama-sama berkumpul untuk
menghadiri Majlis Perasmian Konvensyen Dunia Melayu
Dunia Islam (KDMDI) kali Ke-3 di Melaka. Terima
kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana telah
mengundang saya untuk merasmikan konvensyen dan ekspo
perdagangan dunia Melayu dunia Islam.
2. Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan
selamat datang kepada para peserta KDMDI dan para
perwakilan Gabenor-gabenor dari Indonesia dan juga
wakil daripada masyarakat Melayu dan Islam bukan
sahaja dari Asia Tenggara tetapi juga dari seluruh
dunia.
3. Tujuan utama KDMDI ini diadakan setiap tahun
sejak tahun 2000 adalah untuk mengumpulkan para
pemimpin dari dunia etnik Melayu dan dunia Islam untuk
berbincang mengenai pelbagai aspek kepentingan bersama
terutamanya sosio-budaya dan ekonomi di samping
mewujudkan jaringan atau `networking' di antara para
pemimpin masyarakat dunia etnik Melayu dan dunia
Islam. Di sini etnik Melayu bukanlah terhad kepada
penduduk Semenanjung yang dinamakan Tanah Melayu
tetapi semua daripada kumpulan etnik yang sama yang
terdapat di kepulauan Asia Tenggara, Pasifik dan juga
Lautan Hindi hingga ke Madagascar.
4. Sebenarnya masyarakat etnik Melayu telah mula
mencipta tamadun mereka semenjak abad kedua hinggalah
abad ke-15 sebelum kedatangan Islam ke Nusantara.
Orang Melayu telah pun mendirikan Kerajaan dan membina
tamadun Melayu di Langkasuka, Kedah Tua di Semenanjung
Tanah Melayu juga di Kalimantan Timur, Sriwijaya dan
Majapahit.
5. Setelah kedatangan Islam ke alam Melayu pada abad
ke-15, Kerajaan Melayu dan Islam telah wujud seperti
Kerajaan Islam Pasai di Acheh, Kerajaan Empayar Melayu
Melaka, Kerajaan Islam di Brunei, Pattani, Johor-Riau,
Mindanao dan lain-lain. Antara Kerajaan Islam
tersebut, Kerajaan Melayu Melaka merupakan kerajaan
yang paling menonjol pada abad ke-14 dan ke-15 dan
awal abad ke-16 di mana Melaka terkenal sebagai pusat
perdagangan dan pusat penyebaran Islam di sebelah
timur. Keagungan Kerajaan Empayar Melayu Melaka dan
Kerajaan Melayu lain telah menarik bangsa-bangsa Barat
untuk berdagang dan kemudian untuk menjajah sebagai
cara menentukan bekalan barangan dari kepulauan
Melayu Asia Tenggara.
6. Setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis pada
tahun 1511, bangsa barat yang lain seperti Belanda,
Inggeris dan Sepanyol telah merebut wilayah tertentu
untuk masing-masing. Penjajah barat bukan sahaja
menjajah bumi Melayu tetapi juga telah berjaya
menjajah minda orang Melayu. Orang Melayu telah
merasai diri mereka sebagai bangsa yang serba
kekurangan dan menyerah segala-galanya kepada
penjajah. Dengan itu tamadun Melayu pun runtuh.
7. Selama 450 tahun etnik Melayu di Asia Tenggara
dijajah secara langsung. Tidak ada percubaan secara
terancang oleh etnik Melayu untuk membebaskan wilayah
dan bangsa mereka sehinggalah bangsa-bangsa Barat
diusir oleh Jepun dalam Perang Pasifik. Apabila tamat
Perang Pasifik dengan Jepun dikalahkan maka barulah
ada pemberontakan oleh etnik Melayu untuk membebaskan
wilayah mereka.
8. Ikatan orang Melayu Semenanjung dengan agama
Islam amatlah kuat. Penjajah sedar bahawa agama Islam
yang dianuti oleh orang Melayu tidak boleh disentuh.
Demikian juga adat istiadat orang Melayu. Oleh itu
apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan maka ke-
Islaman orang Melayu dikait rapat dengan bangsa
Melayu. Demikian Perlembagaan Tanah Melayu menegaskan
bahawa orang Melayu adalah beragama Islam, selain
daripada berbahasa Melayu dan beradat istiadat Melayu.
9. Selain daripada menganuti agama Islam, orang
Melayu Semenanjung adalah orang Islam Sunni, iaitu
Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan mereka mengikuti ajaran
Imam Syafie. Dengan itu tidak ada perbalahan antara
mereka seperti yang berlaku di kalangan umat Islam
lain yang terbahagi kepada Sunni dan Syiah dan
berbagai-bagai mazhab yang berbeza-beza tafsiran
ajaran Islam mereka.
10. Perpaduan Melayu Semenanjung sepatutnya terjamin
kerana anutan ajaran Islam yang sama. Dan sebenarnya
semasa mereka berjuang untuk mencapai kemerdekaan,
perpaduan mereka begitu kukuh sehingga tidak dapat
dipecahbelah oleh penjajah. Tetapi penjajah berjaya
juga meninggalkan "time bomb" seperti yang dilakukan
oleh mereka di negara-negara lain yang dijajah oleh
mereka. "Time bomb" yang ditinggal ini berasas kepada
perselisihan agama. Hari ini "time bomb" ini sudah
meletup sedikit demi sedikit dan perpecahan yang tidak
ada dahulu sudah pun berlaku.
11. Bangsa Melayu sebagai umat Islam sedang melalui
proses yang sama yang terdapat di kalangan umat Islam
dan wilayah mereka. Perselisihan pendapat berkenaan
dengan agama menyebabkan mereka berpecah dan bermusuh
sesama sendiri. Polemik berkenaan dengan agama
memesongkan mereka daripada ajaran Islam yang sebenar
dan asas. Umpamanya sementara Islam menyuruh
penganutnya bersaudara mereka sering bermusuhan sesama
mereka sehingga menjadi begitu lemah dan mudah
ditindas dan diperalatkan oleh musuh-musuh Islam.
12. Hari ini sesungguhnya umat Islam, termasuk orang
Melayu, berada dalam zaman gelap. Mereka ditindas di
mana-mana sahaja. Keadilan tidak wujud bagi mereka.
Kerana mereka menolak ajaran Islam supaya menuntut
ilmu dan menyediakan diri untuk mempertahankan Islam
dan umat Islam hari ini apabila umat Islam ditindas
tidak ada mana-mana pihak daripada mereka yang mampu
memberi pertolongan. Kecewa dengan keadaan ini,
beberapa daripada mereka mengambil tindakan ganas yang
hanya mengundang penindasan yang lebih dahsyat. Tidak
ada perancangan yang bijak dan strategi yang mengambil
kira kekuatan dan kelemahan mereka dan musuh mereka
supaya perjuangan mereka akan menghasilkan kejayaan
bagi mereka. Yang diutamakan dan yang mendorong
mereka ialah hanya untuk membalas dendam dan melepas
geram, iaitu mengikut nafsu dan tidak perhitungan akal
fikiran.
13. Bangsa Melayu dan umat Islam seluruh dunia
seharusnya sedar dan membuka mata seluas-luasnya untuk
melihat keadaan hidup umat Islam yang ditindas dan
dianiaya ini. Tanpa kekuatan atau daya ketahanan,
orang Melayu dan umat Islam tetap menjadi lemah dan
akan hilang martabatnya. Sekiranya bangsa Melayu dan
umat Islam seluruh dunia tidak mahu menjadi mangsa,
termasuk menjadi mangsa globalisasi yang dirancang
dunia sekarang, maka bangsa Melayu dan umat Islam
perlu kembali kepada asas-asas ajaran Islam, terutama
untuk menguasai segala ilmu yang penting termasuk ilmu
berkenaan pertahanan dan alatan yang diperlakukan
untuk tujuan ini. Sudah tentu tuntutan supaya orang
Islam bersaudara dan tidak mencetuskan kacau bilau
dalam masyarakat mereka perlu diamalkan.
14. Pengislaman yang mula pesat di rantau ini pada
abad ke-13 telah menghasilkan transformasi jiwa dan
minda bangsa Melayu. Ajaran Islam yang dilandaskan
kepada ilmu dan perkembangan minda telah membebaskan
bangsa Melayu daripada belenggu tahyul, dongeng, mitos
dan pelbagai kepercayaan karut. Melalui ajaran dan
pendekatan Islam, bangsa Melayu diasuh berfikir secara
rasional, logik dan saintifik. Lalu terbinalah
tamadun keilmuan Melayu hasil pendedahan kepada karya-
karya agung Islam seperti Ibnu Arabi, al-Ghazali,
Syafie dan al-Asy'ari. Namun tidak banyak tumpuan
diberi kepada ilmu-ilmu yang diterokai oleh Ibnu
Khaldun, Ibnu Sina, Al-Khawarijma, Ibnu Rushdi dan
lain-lain iaitu mereka yang menerokai bidang hisab,
pelayaran, geografi, perubatan dan sains.
15. Sebagai umat Islam, bangsa Melayu berkesempatan
menemui umat Islam yang lain dan mengenali tamadun
mereka. Pertemuan ini menghasilkan pertumbuhan bahasa
Melayu dengan tambahan perkataan-perkataan daripada
bahasa-bahasa Arab, Parsi dan lain-lain. Di masa yang
sama tamadun-tamadun orang ini diserap menjadi
sebahagian daripada tamadun Melayu. Tetapi ke-
Melayuan tamadun Melayu tidak hilang bahkan sedikit
sebanyak mempengaruhi juga tamadun bangsa lain antara
umat Islam. Sebab itu Bangsa Melayu tidak hilang dari
muka bumi ini seperti yang berlaku kepada beberapa
bangsa dan tamadun lain.
16. Walaupun lumpuh semasa dijajah oleh kuasa-kuasa
Barat dan adakalanya diserang dan ditakluk oleh bangsa
jiran yang berbudaya dan beragama lain, Bangsa Melayu
dapat mengekalkan identiti tamadunnya. Malangnya
selepas kejatuhan Melaka, bangsa Melayu tidak lagi
menjadi satu bangsa dengan wilayah tertentu. Seperti
bangsa-bangsa Eropah dahulu, orang Melayu terbahagi
kepada wilayah-wilayah kecil yang masing-masing
diperintah oleh raja-raja.. Penyatuan sebagai satu
bangsa tidak berlaku terutama kerana dasar "divide and
rule" yang diamalkan oleh British. Identiti negeri-
negeri diperkuatkan oleh British walaupun seluruh
Semenanjung diletak di bawah kuasa mereka.
17. Akibatnya tidak ada usaha secara serentak dan
bersama untuk menebus balik kebebasan bangsa Melayu.
Jika ada pun penentangan terhadap penjajahan, ia
berlaku secara kecil-kecilan dan berasingan dan
ditumpas dengan mudahnya oleh penjajah. Demikian
pemberontakan oleh Tok Gajah, Mat Kilau, Dato Sagor,
Tok Janggut dan lain-lain. Tidak ada sokongan
daripada orang Melayu kepada mereka. Penjajahan
diteruskan dan orang Melayu kembali tenang dan
bersedia untuk berada di bawah pemerintahan British.
18. Bibit-bibit nasionalisme bermula apabila calon-
calon untuk latihan perguruan ditempatkan di Maktab
Perguruan di Tanjung Malim. Buat kali pertama orang
Melayu dari negeri-negeri yang berlainan mengenali
diri mereka sebagai orang sebangsa dan seagama, yang
menduduki negara yang sama. Dengan itu mereka
merancang untuk menentang penjajah dan menuntut
kemerdekaan. Pendapat yang sama terdapat juga di
wilayah etnik Melayu yang dijajah oleh Belanda, iaitu
Gugusan Pulau-Pulau Melayu yang kemudian dikenali oleh
nasionalis sebagai Indonesia.
19. Perpaduan Melayu di Semenanjung hanya berlaku
apabila pihak British merancang untuk menidakkan hak
Melayu di Semenanjung dengan menggabungkan negeri-
negeri Melayu dan Negeri Selat dalam satu persatuan
yang dinamakan `Malayan Union'. Berhadapan dengan
kemungkinan hilangnya tanah Melayu dan dengan itu
bangsa Melayu, kemungkinan orang Melayu menjadi satu
kaum dan bukan satu bangsa, maka barulah tumbuh
kesedaran yang menggerakkan orang Melayu untuk
bersatupadu dan bertindak bersama menebus bangsa dan
tamadun Melayu.
20. Hari ini bangsa Melayu hidup semula sebagai satu
bangsa. Berkat perpaduan, mereka berjaya membebaskan
diri dan mendapat peluang untuk mengukuhkan kedudukan
mereka dan menghidup semula budaya dan tamadun Melayu.
Kebolehan orang Melayu tidak perlu dipersoal. Mereka
memang boleh mendirikan tamadun Melayu moden yang sama
seperti tamadun bangsa-bangsa maju di dunia.
21. Soalnya ialah apakah kita benar-benar ingin
menebus kebesaran tamadun Melayu? Kita tidak perlu
mengkhayalkan diri kita dengan cerita-cerita lama
berkenaan keagungan Melaka atau Sri Wijaya atau lain-
lain. Lebih-lebih lagi jangan kita tokok tambah
kepada kebenaran seperti yang sering dibuat oleh ahli
sejarah bangsa-bangsa lain. Kita perlu pegang kepada
kenyataan dan menjadikan segala kesalahan lama kita
yang menyebabkan kita dijajah selama 450 tahun sebagai
pengajaran. Ingatlah mereka yang lupa akan sejarah
(yang sebenar) akan didera dengan mengulangi kesalahan
mereka berkali-kali. Jika tidak hendak dijajah sekali
lagi, dan ini memang mungkin berlaku dengan rancangan
globalisasi, maka janganlah kita ulangi kesalahan kita
dalam sejarah. Tidak ada kuasa sakti, tidak ada Sang
SapurbaTrimurti Tribuana, tidak ada Demang Lebar Daun
dan tidak ada todak yang akan menyelamat kita, kita
orang Melayu, kita orang Islam dengan agama dan
tamadun kita.
22. Realiti hari ini ialah orang Melayu sebagai orang
Islam sedang diserang dan ditindas bukan kerana kita
bersalah tetapi kerana kita lemah. Dalam dunia "Might
is Right" kekuatan menghalalkan segala-galanya. Kita
tidak boleh berharap kepada keadilan atau kepada belas
kasihan orang. Tamadun Islam dan tamadun Melayu
memang gemilang tetapi kegemilangan yang dahulu hanya
mencerminkan ketidakgemilangnya zaman ini.
Pantun Melayu berbunyi:
"Pulau Pinang negerinya baru
Kapitan Light menjadi Raja
Bila terkenang zaman dahulu
Duduk mengalir air mata"
23. Air mata kita tidak mengalir sekarang. Kita
etnik Melayu sudah bebas. Tamadun kita sudah hidup
semula. Tetapi memandang akan kecapaian etnik
Melayu/Islam semasa, bukanlah sesuatu yang mustahil
kita akan mengalir air mata sekali lagi, mengenang
zaman ini.
24. Kita boleh berbangga umat Islam berjumlah 1.3
bilion dan etnik Melayu 300 juta tetapi jumlah yang
besar tidak menjamin kebebasan ummah dan tamadun.
Orang Cina juga 1.3 bilion dan perpaduan serta
kekuatan mereka berkali ganda lebih daripada umat
Islam.
25. Kita boleh salahkan orang tetapi tidak mungkin
kita menyuruh mereka betulkan diri mereka supaya kita
akan dapat manfaat daripadanya. Sebaliknya kita
berkuasa ke atas diri kita. Jika pembetulan hendak
dibuat untuk kebaikan kita, kita sendirilah yang perlu
mengusahakannya.
26. Semoga usaha menghimpunkan para pemimpin
masyarakat Melayu Islam seluruh dunia seperti ini
dapat menghasilkan rumusan yang boleh dijadikan
panduan berguna oleh semua warga Melayu dan Islam
seluruh dunia untuk membawa perubahan ke atas negara
masing-masing. Syabas sekali lagi kepada Kerajaan
Negeri Melaka dan Institut Kajian Sejarah dan
Patriotisme Malaysia (ISKEP). Semoga usaha ini akan
diteruskan untuk kepentingan semua.
27. Dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan
Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam Kali Ketiga.
Sekian.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|