Oleh/By  	:	DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	MENARA PGRM, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date	:	05/10/2002
Tajuk/Title 	:	MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN 
			PERWAKILAN KE 31 PARTI GERAKAN 
			RAKYAT MALAYSIA
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM
		    

       Terlebih dahulu saya ucapkan berbanyak terima  kasih
   kepada  Jawatankuasa Pusat Parti Gerakan Rakyat  Malaysia
   (Gerakan)  atas  undangannya  untuk  saya  berucap  serta
   merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan  Malaysia
   yang ke-31 pada hari ini.
   
   2.    Negara  kita  Malaysia telah banyak  berubah  sejak
   kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.  Sepanjang  45
   tahun   dari   selepas  kita  bebas   daripada   belenggu
   penjajahan  asing,  negara kita begitu  pesat  membangun.
   Bandar-bandar  kecil bertukar menjadi  bandar  besar  dan
   seterusnya   menjadi  bandaraya.   Kampung-kampung   yang
   tersorok   menjadi  pekan  kecil  dan  mudah  dikunjungi.
   Bekalan  eletrik  dan  air bersih dibekalkan  ke  seluruh
   negara.
   
   3.    Jalan-jalan  kampung yang dulu berlopak,  becak  di
   waktu  hujan  dan  berdebu di waktu  panas  kini  menjadi
   jalan  besar  dan bertar dan kemudian menjadi  lebuhraya.
   Rumah  beratap  rumbia, berdinding  buluh  dan  berlantai
   papan  bertukar  menjadi rumah batu berlantai  simen  dan
   ada   berlantaikan  marmar.   Sekarang  di  bandar-bandar
   besar  tersergam  rumah-rumah  pangsa,  kondominium   dan
   taman-taman  perumahan yang bersih,  tersusun  dan  serba
   lengkap.   Di  bandar juga pelbagai kemudahan  disediakan
   bagi  meningkatkan kualiti kehidupan di bandar.  Terdapat
   bangunan-bangunan  perniagaan  dan  pejabat  yang  tinggi
   bertingkat  dan  pencakar langit,  komplek  membeli-belah
   serta taman-taman hijau yang nyaman dan cantik.
   
   4.     Anak-anak  kita  yang  dulu  berkaki  ayam   sudah
   berkasut dan menaiki bas, motosikal, basikal atau  kereta
   ke   sekolah.   Kalau  dulu  anak  kita  belajar  setakat
   sekolah   rendah  dan  menjadi  kerani  atau  guru   kini
   berpuluh-puluh  ribu belajar di universiti  hingga  tidak
   cukup  tempat untuk menampung anak-anak kita yang semakin
   pintar  dan  bercita-cita tinggi.   Klinik  dan  hospital
   yang  dulu  kecil  dan  sempit kini bertambah  besar  dan
   selesa  serta dilengkapi pula alat kelengkapan moden  dan
   canggih  serta doktor-doktor tempatan yang  terlatih  dan
   pakar.
   
   5.    Dulu  masyarakat  kita  hidup  berasingan  mengikut
   kaum,  tempat  dan  pekerjaan.  Orang Melayu  tinggal  di
   kampung  menjaga  sawah padi dan  berkebun.   Orang  Cina
   menetap  di bandar-bandar mengurus perniagaan dan menjaga
   lombong  bijih timah, dan yang tinggal di pinggir  bandar
   menanam buah dan sayuran untuk jualan.  Orang India  pula
   duduk  di ladang-ladang yang jauh tersorok untuk  menoreh
   getah  serta menternak lembu untuk mendapatkan susu untuk
   dijual sebagai mata pencarian.
   
   6.    Kini  setiap kaum tidak begitu lagi  nasib  mereka.
   Mereka  tinggal selesa di merata-rata tempat  di  seluruh
   pelusuk  negara.   Setiap kaum kini  maju  dan  mempunyai
   kepandaian dan kemampuan untuk meningkatkan taraf  sosio-
   ekonomi   mereka.    Setiap   kaum   sudah   berkebolehan
   menceburi  bidang-bidang yang dulunya dikuasai oleh  kaum
   lain    seperti   perniagaan,   pembinaan,   perkilangan,
   perladangan, pentadbiran, pengurusan dan sebagainya.
   
   7.     Semua   kemajuan   ini  dicapai   hasil   daripada
   pemerintahan  yang cekap dan bijaksana  Kerajaan  Barisan
   Nasional  yang dulunya dikenali sebagai Parti  Perikatan.
   Melalui  perancangan yang rapi serta strategi pembangunan
   yang  berwawasan,  rakyat dan negara ini  dapat  dibangun
   dan  dimajukan  dengan  pesat, tersusun  dan  menyeluruh.
   Kerajaan  telah  mengadakan  pelbagai  pelan  pembangunan
   seperti  rancangan  Malaysia lima  tahun,  10  tahun,  20
   tahun  seperti  Dasar Ekonomi Baru dan Dasar  Pembangunan
   Negara  serta  30 tahun iaitu Wawasan 2020 untuk  membina
   rakyat  dan memakmurkan negara.  Ternyata usaha  Kerajaan
   itu  tidak sia-sia kerana rancangan-rancangan pembangunan
   yang  dilancarkan  itu  setakat  ini  telah  mendatangkan
   hasil seperti apa yang dirancangkan dan dilihat hari  ini
   di sekeliling kita.
   
   8.    Kejayaan  ini menunjukkan keikhlasan dan  kejujuran
   Kerajaan   Barisan   Nasional   untuk   membantu   rakyat
   memperbaiki  dan  meningkatkan  taraf  kedudukan   sosio-
   ekonomi  mereka.   Ternyata usaha murni ini  mendatangkan
   hasil   yang  sungguh  membanggakan  seperti  yang  dapat
   dilihat  pada  tahap  kemajuan yang dicapai  oleh  setiap
   kaum  di  negara  kita.  Kejayaan ini  dengan  sendirinya
   menafikan  tuduhan atau tohmahan pelbagai pihak  terutama
   parti-parti  pembangkang serta puak-puak  ekstremis  kaum
   atau   agama   bahawa  Kerajaan  Barisan  Nasional   suka
   menganiayai  rakyat  dengan  rancangan  pembangunan  atau
   dasar-dasarnya  yang kononnya menyusah  atau  membebankan
   rakyat.    Kerajaan   kita   sering   dituduh   melakukan
   diskriminasi  kaum, budaya, bahasa dan  agama.   Tuduhan-
   tuduhan  ini bukan sahaja dilemparkan oleh orang tempatan
   malah  juga  oleh  orang asing yang tidak  senang  dengan
   kemajuan rakyat dan negara kita.
   
   9.    Selain  faktor  tadi, kejayaan program  pembangunan
   Kerajaan   selama  ini  juga  adalah  berpunca   daripada
   semangat  toleransi, kerjasama dan perpaduan  erat  semua
   parti   komponen  dalam  Barisan  Nasional.   Parti-parti
   komponen  sentiasa  memberi  sokongan  bulat  kepada  apa
   sahaja  dasar atau tindakan yang diputuskan oleh Kerajaan
   demi  kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.  Sokongan
   bulat  ini  penting  kerana ia  menjamin  kelancaran  dan
   kemajuan  sesuatu  perancangan  atau  tindakan  Kerajaan.
   Apabila  parti-parti komponen memberi sokongan,  anggota-
   anggota  mereka dalam parti dan masyarakat akan bertindak
   mempastikan  setiap usaha Kerajaan mencapai kemajuan  dan
   kejayaan.
   
   10.   Oleh  sebab  itu, persefahaman  antara  parti-parti
   komponen amat penting.dan harus terus dipelihara.  Parti-
   parti  komponen  Barisan  Nasional  juga  harus  memahami
   hasrat  sebenar Kerajaan yang tersurat dan yang  tersirat
   apabila  ia melaksanakan apa-apa rancangan.  Dengan  itu,
   sebarang  usaha  Kerajaan untuk  kepentingan  dan  faedah
   rakyat dapat dilakukan dengan mudah dan lancar tanpa apa-
   apa halangan atau gangguan.
   
   11.   Parti-parti  komponen Barisan  Nasional  juga  tahu
   batasan  mereka  apabila  membuat  tuntutan  bagi   pihak
   anggota  mereka.   Ini dapat mengelakkan  ikatan  Barisan
   Nasional  menjadi lemah akibat mana-mana  parti  komponen
   yang  membuat tuntutan atau mengambil tindakan  melampau.
   Kita  harus  ingat majoriti parti-parti komponen  Barisan
   Nasional  adalah  perkauman iaitu  mereka  mewakili  satu
   kaum   sahaja.    Parti-parti   komponen   yang   membuka
   keahliannya kepada semua kaum juga didapati mirip  kepada
   kaum   tertentu   kerana  majoriti   anggotanya   terdiri
   daripada satu kaum termasuklah Parti Gerakan.
   
   12.    Bagaimanapun,  walau  parti-parti   komponen   ini
   bersifat  perkauman, tindakan mereka selama ini  menjurus
   kepada  kepentingan  rakyat jelata dan  kemajuan  negara.
   Sebab  itu,  segala keputusan yang dibuat  oleh  Kerajaan
   Barisan  Nasional  mempunyai konsensus  atau  persetujuan
   sebulat   suara   oleh  semua  parti  komponen.    Dengan
   sokongan  itu, sebarang keputusan atau tindakan  Kerajaan
   itu  adalah  kukuh  atau mantap.  Kerajaan  yakin  dengan
   tindakannya  kerana berdiri di belakangnya  ialah  parti-
   parti komponen yang memberi sokongan padu.
   
   13.   Kita  juga  harus ingat bahawa  sebarang  keputusan
   yang   dibuat   oleh  Kerajaan  Barisan  Nasional   bukan
   keputusan  satu-satu parti komponen.  Adalah tidak  benar
   jika  ada  dakwaan yang menuduh hanya satu parti komponen
   sahaja  yang  membuat keputusan dan  yang  lain  mengikut
   telunjuk   atau  mengangguk  sahaja.   Sebenarnya   dalam
   Kerajaan  dan  Barisan  Nasional, sebarang  perkara  yang
   dibangkitkan  oleh sebuah parti komponen  akan  dibincang
   dengan terperinci terlebih dahulu.  Ia akan dikupas  satu
   demi  satu.   Ia akan dibincang habis-habisan dari  semua
   sudut  termasuk kesannya terhadap kaum berkenaan, rakyat,
   negara.    Masa   inilah   parti-parti   komponen    akan
   `bertengkar' antara mereka hinggalah satu keputusan  yang
   muktamad dicapai dengan sebulat suara.
   
   14.   Begitulah juga kedudukannya dalam Mesyuarat Kabinet
   setiap  Rabu.   Kabinet  Kerajaan diwakili  oleh  Menteri
   daripada   hampir   setiap   parti   komponen.    Suasana
   perbincangannya juga seperti mesyuarat Barisan  Nasional.
   Kata  putus  akan  dicapai apabila semua menteri  kabinet
   bersetuju.
   
   15.   Oleh itu, mana-mana parti komponen Barisan Nasional
   tidak  harus takut atau gentar dengan sebarang  keputusan
   atau   tindakan   yang  dibuat  oleh   Kerajaan   Barisan
   Nasional.   Mereka  tidak  perlu  berasa  bahawa   mereka
   sahaja bertanggungjawab ke atas keputusan Kerajaan.   Dan
   mereka  tidak  perlu bimbang atas tuduhan  atau  bantahan
   yang  dilemparkan  oleh  rakyat atau  khususnya  daripada
   masyarakat kaum mereka atas sebarang tindakan Kerajaan.
   
   16.   Parti-parti komponen Barisan Nasional tanpa mengira
   jumlah  keanggotaannya tidak harus berasa kecil diri  dan
   sebaliknya  harus berdiri gagah sebagai  anggota  Barisan
   Nasional.   Jika parti komponen bertindak sendirian  maka
   parti  itu  akan  berasa kecil diri dan tertekan  apabila
   pihak    lain   termasuk   rakan   komponennya   mengecam
   tindakannya.   Kita harus ingat apabila tindakan  diambil
   oleh  Kerajaan Barisan Nasional, kita sebenarnya mewakili
   Barisan Nasional dan bukannya diri kita.
   
   17.    Justeru  itu,  parti-parti  komponen  tidak  perlu
   berasa  tergugat  apabila mereka diugut  oleh  sesetengah
   pihak  termasuk  puak-puak  ekstremis  kaum  atau  agama.
   Mereka  harus berani menghadapi puak ekstremis ini secara
   berdepan.   Mereka  tidak perlu berasa  takut  kehilangan
   populariti  atau pengaruh daripada masyarakat  atau  kaum
   mereka  kerana  berdiri  teguh di belakang  mereka  ialah
   Barisan  Nasional  yang telah diberi mandat  oleh  rakyat
   untuk  menjaga  hal-ehwal kehidupan mereka.   Kita  perlu
   yakin   terhadap  segala  keputusan  dan  tindakan   yang
   diambil  Kerajaan  kerana ia untuk  kesejahteraan  rakyat
   dan negara di masa depan.
   
   18.   Parti-parti komponen Barisan Nasional  harus  sedar
   bahawa  puak-puak  ekstremis ini adalah hanya  segelintir
   daripada   masyarakat  kita.   Mereka   tidak   mempunyai
   sokongan ramai atau padu daripada masyarakat.  Kita  juga
   tahu  bahawa  umumnya masyarakat kita tidak  suka  kepada
   kekerasan atau perbuatan melampau oleh mana-mana pihak.
   
   19.    Justeru  itu,  parti-parti  komponen  tidak  perlu
   khuatir atau bimbang jika mereka diugut atau diberi  kata
   dua  oleh  puak-puak ekstremis ini.  Puak  ekstremis  ini
   sebenarnya, golongan fanatik kaum atau agama  yang  telah
   melampau  dan  sesat.   Oleh  itu,  parti-parti  komponen
   tidak  perlu  lagi berasa tertekan akan takut  kehilangan
   pengaruh  apabila diancam atau didesak bertubi-tubi  oleh
   puak ekstremis ini.
   
   20.   Puak-puak  ekstremis ini sebenarnya amat  berbahaya
   kepada  masyarakat kita yang berbilang kaum.  Jika mereka
   tidak  ditentang kemungkinan mereka mencetuskan huru-hara
   kaum  atau  agama  di  negara kita kerana  memperjuangkan
   fahaman  mereka  tidak  boleh  ditolak.   Puak-puak   ini
   sebenarnya   mempunyai   pandangan   yang   singkat   dan
   pemikiran yang sempit.
   
   21.   Justeru  itu,  saya menyeru  semua  parti  komponen
   Barisan  Nasional  supaya  bertindak  lebih  berani   dan
   sentiasa bersatu dalam memperjuangkan matlamat dan  cita-
   cita  Barisan  Nasional untuk melahirkan masyarakat  yang
   satu   hati  dan  hidup  dalam  keadaan  aman  sejahtera,
   selamat,   maju  dan  makmur.   Barisan  Nasional   telah
   memperjuangkan  wawasannya  bahawa  masa   depan   negara
   terletak  kepada toleransi, keharmonian dan  rasa  saling
   hormat  menghormati di kalangan rakyatnya yang  berbilang
   kaum, bahasa, budaya dan agama.
   
   22.     Barisan   Nasional   sebenarnya   telah   berjaya
   mengekalkan  pengaruh  dan kewibawaannya  sebagai  sebuah
   parti  perikatan yang berjaya merintis dan membawa rakyat
   majmuknya  membangun dalam sebuah negara yang  demokratik
   dan adil.
   
   23.   Akhirnya,  kita  harus bersedia menghadapi  cabaran
   dan  ujian  getir  pada masa depan sebagai  sebuah  parti
   yang   memperjuangkan  cita-cita   bangsa   dan   negara.
   Cabaran  masa  depan yang kita akan hadapi ialah  tekanan
   ekstremisme  kaum dan agama, kefanatikan  berpolitik  dan
   cauvinisme kaum dalam setiap kelompok masyarakat kita.
   
   24.    Dengan  kata-kata  itu,  saya  dengan  sukacitanya
   merasmikan  Persidangan Perwakilan ke  31  Parti  Gerakan
   Rakyat Malaysia.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google