Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT PERDAGANGAN DUNIA PUTRA
Tarikh/Date : 06/10/2002
Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG PARTI PROGRESIF
PENDUDUK MALAYSIA
Versi :
Penyampai : PM
Saya ucapkan terima kasih kepada semua ahli serta
anggota Jawatankuasa Pusat Parti Progresif Penduduk
Malaysia (PPP) yang telah sudi menjemput saya sekali
lagi untuk merasmikan Perhimpunan Agung Parti PPP yang
ke-49 pada hari ini.
2. Persidangan ini adalah yang kedua di dalam masa
dua hari yang saya rasmikan yang mana ianya melibatkan
dua parti komponen Barisan Nasional. Semalam saya telah
menghadiri perasmian Persidangan Perwakilan ke-31 Parti
Gerakan.
3. Sebenarnya, kesudian Parti PPP, begitu juga parti
komponen Barisan Nasional yang lain untuk menjemput
saya ke acara seperti ini setiap tahun amat saya
hargai. Ini adalah sebagai pengiktirafan kepada saya
selaku Pengerusi Barisan Nasional. Tetapi lebih
daripada itu, walaupun Barisan Nasional merupakan satu
gabungan parti campuran, namun kita telah berjaya
menunjukkan bahawa kita mampu bergerak seiringan seolah-
olah kita adalah satu parti.
4. Inilah yang menjadi asas kepada kejayaan kita.
Kerjasama dan perpaduan antara parti-parti gabungan
yang walaupun mempunyai kepentingan berbeza telah
berjaya merapatkan jurang pemisah untuk kebaikan kita
bersama.
5. Konsep Barisan Nasional ini, yang bermula dengan
Parti Perikatan, merupakan hasil kebijaksanaan pemimpin
kita yang lampau yang menyedari bahawa hanya dengan
memupuk kerjasama antara kaum barulah dapat kita
menentukan kemerdekaan negara dicapai dengan aman.
6. Hari ini berkat kerjasama inilah juga kita telah
berjaya membangunkan negara kita dan memakmurkan
rakyat. Sebenarnya apa yang kita lakukan ini
mengkagumkan negara-negara lain yang cuba mengamalkan
system demokrasi tetapi terdapat terlalu banyak parti
yang bertentangan antara satu dengan yang lain.
Keadaan ini menjadi lebih sulit jika terdapat penduduk
daripada pelbagai kaum.
7. Malaysia mempunyai penduduk yang terdiri daripada
pelbagai kaum dengan perbezaan agama, bahasa dan budaya
tetapi kita masih aman dan berjaya. Perbezaan yang
sebegini amat sukar diatasi dan perpaduan tidak mudah
dicapai. Jika diadakan sebuah parti untuk semua kaum
kemungkinan ialah kaum yang terbesar akan mendominasi
parti itu. Tetapi system `coalition' memberi suara
yang sama kepada semua kaum dan parti, kecil dan besar,
melalui perwakilan dalam Dewan Tertinggi. Tiap parti
dan kaum dapat menyuarakan pendapat dan masalah yang
dihadapinya kepada gabungan parti. Dengan itu tidak
ada pihak yang akan terasa di ketepikan atau kecewa.
8. Kita telah lihat bagaimana pada tahun 1997,
apabila negara diserang penyangak matawang dan ekonomi
kita telah terjejas dengan teruk, tidak ada rusuhan
kaum yang berlaku dan perpaduan antara rakyat telah
menghasilkan keamanan dan kestabilan yang membolehkan
Kerajaan menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha
untuk memulihkan ekonomi negara. Hari ini kita boleh
berbangga kerana ekonomi kita telah pulih dan negara
terus aman dan stabil.
9. Kerajaan amat tegas di dalam menangani isu
perhubungan antara kaum. Walaupun kaum terbesar di
Malaysia merupakan kaum Bumiputera, yang mempunyai
keistimewaan sebagaimana termaktub di dalam
Perlembagaan Negara, Kerajaan tidak pernah mengetepikan
hak mana-mana kaum lain. Kebebasan untuk mengamal adat
resam, budaya, agama dan bahasa kaum lain tidak pernah
disekat. Malah ianya digalakkan dengan Kerajaan
menyediakan bantuan seperti di dalam mendirikan sekolah
jenis kebangsaan, serta penyediaan tapak untuk rumah-
rumah ibadat penganut agama lain.
10. Kerajaan akan tetap mempertahankan hak kaum-kaum
lain berdasarkan kepada peruntukan di bawah
Perlembagaan Negara. Tetapi Kerajaan juga mempunyai
tugas dan tanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian
dan perpaduan generasi akan datang. Ini hanya dapat
dilaksanakan dengan memupuk interaksi antara kaum di
peringkat awal kehidupan mereka dan mengembangkan
bahagian ekonomi mereka.
11. Seperti yang saya katakan tadi, perpaduan antara
kaum telah berjaya meyakinkan penjajah untuk memberikan
kita kemerdekaan. Walaupun pada tahun 1969, terjadi
rusuhan antara kaum disebabkan ketidakseimbangan
ekonomi, langkah-langkah yang diambil telah berjaya
menyekat kejadian seperti itu berulang sehinggakan
apabila rantau ini diserang penyangak matawang,
Malaysia dapat mengekalkan keharmonian dan perpaduan
antara rakyat.
12. Hari ini, walaupun secara umumnya hubungan antara
kaum di Malaysia amat baik, tetapi terdapat perpisahan
di antara rakyat golongan muda. Di sekolah-sekolah dan
di institusi pengajian tinggi polarisasi kaum berlaku.
Kita lihat bagaimana kumpulan-kumpulan pelajar
berlainan kaum bergerak dan berinteraksi hanya dengan
rakan sekaum mereka sahaja. Mereka makan berasingan,
belajar berasingan, bermain berasingan, boleh dikatakan
apa sahaja aktiviti yang dilakukan hanyalah dengan
rakan-rakan sekaum mereka sahaja.
13. Ini amat tidak baik sekali bagi masa depan negara
kita. Malaysia tidak boleh meneruskan kemajuan yang
telah dicapai tanpa persefahaman antara kaum. Itulah
sebabnya Kerajaan merasakan perlu untuk mengambil
beberapa langkah untuk menggalakkan percampuran di
kalangan golongan muda dengan mendirikan kompleks
sekolah wawasan yang menempatkan Sekolah Kebangsaan
dengan Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.
14. Dengan adanya kompleks Sekolah Wawasan ini,
sekurang-kurangnya murid-murid sekolah ini akan dapat
makan bersama dan bermain bersama di satu kantin, satu
dewan perhimpunan, satu padang. Kerajaan tidak ada
tujuan sama sekali untuk menghapuskan Sekolah Jenis
Kebangsaan ini.
15. Malangnya, terdapat segelintir puak ekstrimis yang
mengambil kesempatan untuk mempolitikkan usaha murni
Kerajaan ini dengan menuduh bahawa langkah ini adalah
usaha Kerajaan untuk menghapuskan Sekolah Jenis
Kebangsaan. Saya ingin nyatakan di sini bahawa Sekolah
Jenis Kebangsaan telah diperuntukkan di bawah
Perlembagaan dan pindaan yang telah dibuat dalam
undang-undang menghalang kerajaan daripada menukar
sekolah jenis Kebangsaan kepada sekolah Kebangsaan atau
menghapuskan sekolah jenis Kebangsaan.
16. Dalam usaha Kerajaan memupuk dan menjalinkan
hubungan yang rapat antara kaum di Malaysia, parti-
parti komponen di dalam Barisan Nasional mestilah
terlebih dahulu kuat dan bersatu-padu. Jika parti dan
pemimpin komponen parti BN itu lemah, dan jika parti-
parti di dalam BN pula bersengketa, maka akan menjadi
lebih mudah bagi puak ekstrimis ini mendapat sokongan.
Dalam sistem demokrasi sokongan majoriti menentukan
siapa yang akan jadi Kerajaan. Ugutan oleh puak
ekstrimis untuk mengurang undi parti Kerajaan akan
diguna berkali-kali jika mereka dapati kita mudah
tunduk kepada ugutan mereka.
17. Walaupun parti komponen BN terdiri daripada parti-
parti yang mewakili pelbagai kaum, namun kita harus
mengambil pendekatan yang sederhana. Kita harus
rasional dan jangan biarkan diri kita terpengaruh
dengan pandangan puak ekstrim. Kita harus berani
menegakkan kebenaran dan membuat keputusan yang akan
memberi manfaat kepada semua, dan bukannya sesuatu kaum
sahaja.
18. Malaysia adalah sebuah negara demokratik. Kita
telah mengadakan pilihanraya umum setiap kali tempoh
parlimen tamat tanpa apa-apa halangan. Rakyat bebas
memilih Kerajaan mereka tanpa perlu merasa takut atau
tertekan. Walaupun pelbagai tohmahan telah dilemparkan
oleh pihak pembangkang terhadap kita, tidak sesiapapun
yang boleh menafikan bahawa pilihanraya umum di
Malaysia adalah "free and fair".
19. Malangnya sejak kebelakangan ini kita dapat
melihat bagaimana puak pembangkang, yang kecewa kerana
tidak mendapat sokongan majoriti rakyat telah mula
menggunakan taktik kotor untuk menipu dan memanipulasi
"electoral roll" untuk merampas kuasa dengan secara
tidak demokratik.
20. Ini dapat kita kesan di dalam pilihanraya kecil di
Anak Bukit dan Pendang baru-baru ini, di mana berlaku
perpindahan nama pengundi dari satu kawasan ke kawasan
lain untuk menentukan kemenangan parti pembangkang
dengan penipuan ini.
21. Sekarang ini barulah kita sedar akan apa dianya
tuduhan pihak pembangkang tentang terdapatnya pengundi
hantu atau "phantom voters" setiap kali pilihanraya
diadakan. Sebenarnya mereka mensyaki penipuan yang
dibuat oleh mereka, dibuat juga oleh kita. Sebab itu
apabila penyokong kita pergi ke kawasan pilihanraya
kecil untuk memberi semangat dan menyelamat pengundi
kita kerana gangguan oleh parti lawan, mereka menyekat
bas penyokong parti kita dan merampas kad pengenalan
supaya penyokong kita tidak dapat mengundi. Tetapi
memang pun penyokong Barisan Nasional bukan berhajat
untuk mengundi dalam pilihanraya kecil di kawasan yang
bukan mereka berdaftar sebagai pengundi. Yang membuat
kerja itu ialah Parti Pembangkang.
22. Kita membahagikan negara kita kepada kawasan-
kawasan untuk memilih wakil kerana kita ingin memberi
hak kepada penduduk kawasan memilih wakil yang
dipercayai oleh mereka akan mewakili dan memperjuangkan
kepentingan penduduk kawasan berkenaan. Jika orang
dari kawasan lain mendaftar untuk mengundi sesukahati
mereka, maka pengundi tempatan mungkin tidak dapat
memilih wakil yang diminati oleh mereka. Ini adalah
kerana orang luar yang menyebabkan calon tertentu
dipilih dengan memberi undi mereka kepada calon
tersebut.
23. Sebaliknya calon boleh datang dari mana-mana
sahaja asalkan ia adalah seorang pengundi. Jika
penduduk sesuatu kawasan ingin memilih calon dari luar
kawasan itu adalah hak mereka.
24. Sebab itulah kita mempunyai kawasan pilihanraya.
Jika orang yang tidak ada kena-mengena dengan kawasan
menjadi pengundi dalam kawasan itu maka tidaklah perlu
kita membahagikan negara kepada kawasan-kawasan untuk
pemilihan wakil rakyat.
25. Kita harus berwaspada dengan taktik kotor parti
pembangkang ini. Mereka akan membuat apa sahaja untuk
mencapai matlamat mereka merampas kuasa. Tidak boleh
secara demokratik menerusi pilihanraya, terdapat juga
elemen-elemen daripada parti lawan yang sanggup mencuba
merampas kuasa secara kekerasan seperti yang dibuat
oleh kumpulan Al-Maunah dan dirancang oleh Kumpulan
Militan. Kerajaan tetap akan mengguna undang-undang
negara untuk menggagalkan percubaan mereka.
26. Adalah menjadi tanggungjawab parti-parti komponen
Barisan Nasional menyelamatkan rakyat dan negara
daripada orang yang seperti ini. Kita perlu bekerja
kuat supaya kemalangan ini tidak menimpa negara yang
tercinta ini.
27. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, saya
ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah
kepada Presiden Parti PPP, YB Datuk M Kayveas, kerana
kejayaannya menerajui parti PPP dengan begitu baik.
Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua pucuk
pimpinan serta ahli PPP yang telah berjaya menonjolkan
PPP sebagai sebuah parti yang kuat dan bersatu padu.
Sokongan berterusan yang kuat kepada pucuk pimpinan
parti hanya akan memperkukuhkan lagi Barisan Nasional
serta Kerajaan.
28. Sekarang dengan segala sukacitanya saya merasmikan
Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk Malaysia
yang ke-49 dan saya harap kekukuhan parti PPP akan
terus meyumbang kearah pembangunan, kemakmuran dan
kesejahteraan negara kita yang tercinta ini.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|