Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUTRA WORLD TRADE CENTRE, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 14/10/2002
Tajuk/Title : PERASMIAN PERSIDANGAN KESUSASTERAAN
TAMIL ISLAM SEMALAYSIA
Versi :
Penyampai : PM
Bersyukur kita pada Allah S.W.T. kerana kita dapat
menghadiri ke majlis Persidangan Kesusasteraan Tamil
Islam Se Malaysia yang pertama kali diadakan di
Malaysia. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan
terima kasih kepada pihak penganjur kerana telah
menjemput saya untuk merasmikan majlis yang bersejarah
ini.
2. Bahasa merupakan salah satu elemen komunikasi
dalam kehidupan manusia. Bahasa juga merupakan
pengenalan atau identiti sesuatu komuniti. Oleh itu
bahasa yang mencerminkan jiwa bangsa itu amat penting
dan dipelihara dengan bersungguh-sungguh oleh mana-mana
komuniti kaum sekalipun.
3. Begitu juga dengan budaya kaum. Ia tetap
dipertahankan oleh sesuatu komuniti itu supaya ia tidak
hilang walaupun diancam oleh elemen lain yang lebih
kuat. Sebab itu apabila agama Islam dipeluk oleh
kumpulan-kumpulan besar di negara India, elemen budaya
kaum India masih kekal. Umpamanya orang India Islam
tidak suka makan daging lembu.
4. Namun sifat budaya Islam yang kukuh menyebabkan
wujudnya satu bentuk budaya yang dikenali sebagai
budaya komposit Indo-Muslim. Budaya komposit Indo-
Muslim merupakan satu bentuk percampuran budaya Hindu
dan Islam dengan identiti budaya masing-masing.
5. Di selatan India pula mereka yang telah memeluk
agama Islam masih menggunakan bahasa Tamil. Usaha-usaha
telah diambil untuk menterjemahkan Al-Quran dalam
bahasa Tamil. Terdapat juga beberapa buku sastera yang
berbentuk agama Islam seperti "Seerapuaranam" yang kaya
dengan kesusasteraan bahasa Tamil.
6. Saya difahamkan bahawa para cendikiawan yang fasih
dalam kesusasteraan bahasa Tamil jarang merujuk kepada
karya-karya tulisan tokoh-tokoh India Muslim. Ini
adalah merugikan kerana jika kita sendiri tidak boleh
menyebarkan kekayaan karya-karya sedemikian maka kita
tidak boleh berharap pada pihak lain ataupun generasi
muda kita untuk berbuat demikian.
7. Kebudayaan yang kaya dengan manuskrip-manuskrip
yang berhubungkait dengan pembangunan Islam di kalangan
Muslimin yang bertutur dalam bahasa Tamil tidak akan
bermakna sekiranya langkah-langkah tidak diambil untuk
memelihara dan mewujudkannya . Dan ia menjadi kewajipan
tuan-tuan semua untuk memelihara karya-karya Tamil
Islam demi kebaikan semua.
8. Dengan adanya ICT, Internet, e-mel, k-ekonomi, k-
pengetahuan dan sebagainya adalah dikhuatiri karya
kesusasteraan Islam Tamil tidak akan menjadi popular di
kalangan bukan sahaja orang ramai malah kaum India
sendiri. Oleh itu persidangan sebegini amatlah tepat
dan relevan dengan keadaan semasa. Saya difahamkan
persidangan ini di adakan bertujuan memberikan motivasi
dan kesedaran, menghayati dan menyelidik kesusasteraan
Tamil Islam yang ditulis oleh karyawan Muslim dan
mengeratkan silatulrahim umat Islam khasnya kaum India
Muslim di Malaysia.
9. Di Malaysia pula kita semua tahu bahawa Munshi
Abdullah adalah seorang keturunan India Muslim yang
begitu cekap dalam seni tulisannya. Adapun hasrat saya
untuk melihat seorang bagaikan Munshi Abdullah pada
zaman ini untuk mencatatkan perkembangan kesusasteraan
Tamil Islam di Malaysia untuk pengetahuan generasi muda
pada masa hadapan.
10. Dalam persidangan seperti ini kita dapat
mencungkil hasil karya sasterawan dahulu dan kini
sambil mengkaji sejarah dan kepentingannya kepada umat
Islam sejagat. Persidangan sebegini juga akan
mengingatkan kaum India Muslim tentang sejarah nenek
moyang mereka. Sejarah adalah tamadun bagi sesuatu
kaum. Ianya akan dapat memberi kesedaran kepada
generasi yang akan datang. Program sebegini akan dapat
memberikan motivasi kepada remaja-remaja kini untuk
terus menulis sejarah-sejarah berunsur Islamiah.
11. Untuk menjayakan program ini diharap generasi akan
datang dapat memahami kewujudan dan tamadum Islam dan
sejarahya. Oleh itu diharap sejarah-sejarah karyawaan
Kesusasteraan India Muslim dapat dicetak dan diedar di
sekolah-sekolah Tamil, Melayu dan Cina supaya mereka
juga dapat merujuk dan memahami sejarah tamadun Islam.
12. Saya mengucapkan syabas kepada penganjur iaitu
Badan Amal Islam dengan kerjasama Persatuan-persatuan
Kebangsaan dan Badan-badan Amal India Muslim Malaysia.
13. Saya berharap melalui majlis-majlis seumpama ini
kita dapat menyebarkan kekayaan karya kesusasteraan
pada masyarakat tempatan yang berbilang kaum dan agama.
14. Akhir sekali, sekalung tahniah sekali lagi kepada
Badan Amal Islam dan Persatuan-persatuan India Muslim dan
mereka yang telah menganjurkan dan menjayakan persidangan
ini.
15. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Persidangan Kesusteraan Tamil Islam SeMalaysia.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|