Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PEJABAT PERDANA MENTERI
Tarikh/Date : 02/11/2002
Tajuk/Title : PERUTUSAN SEMPENA PERAYAAN
HARI DEEPAVALI 2002
Versi :
Penyampai : PM
Saya dan isteri saya mengucapkan selamat menyambut
Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang
beragama Hindu.
2. Hari ini kita semua rakyat Malaysia dapat sekali
lagi meraikan perayaan Deepavali, ataupun perayaan
cahaya, dalam suasana aman harmoni dan penuh
kegembiraan.
3. Inilah antara banyak nikmat yang dapat dikecapi
oleh rakyat Malaysia. Walaupun kita terdiri daripada
kaum yang berbeza-beza, yang mengamalkan agama, bahasa
dan budaya yang berlainan, semangat perpaduan dan
kerjasama yang diamalkan sesama kita selama ini telah
membawa bangsa dan negara kita ke arah keamanan dan
kesejahteraan. Perbezaan antara kita menjadikan kita
satu masyarakat yang kaya dengan budaya. Perbezaan ini
juga menjadi faktor penyatu yang dikagumi masyarakat
luar negara kita.
4. Malaysia adalah sebuah negara Islam yang majoriti
penduduknya beragama Islam. Tetapi hak kaum lain untuk
mengamal agama dan budaya anutan mereka terjamin dalam
Perlembagaan negara. Sebenarnya jaminan ini secocok
dengan ajaran Islam. Kaum minoriti di negara ini tidak
perlu berasa terancam ataupun takut akan kehilangan
identity mereka.
5. Namun begitu, kebelakangan ini Kerajaan sedar
tentang wujudnya kelonggaran di dalam perhubungan
antara kaum, terutama sekali di kalangan golongan muda
yang kurang bercampur gaul sesama mereka. Mereka lebih
cenderung bercampur antara kaum masing-masing sahaja.
6. Ini tidak sihat bagi masa depan negara. Malaysia
tidak akan maju jika rakyat tiada perpaduan dan
persefahaman. Demi kepentingan negara, Kerajaan akan
mengambil beberapa langkah untuk menggalakkan pergaulan
antara kaum, terutama di kalangan golongan muda untuk
meningkatkan keharmonian rakyat.
7. Kita perlu membina satu masyarakat yang mampu
hidup bersama, bekerja dan bermain bersama kerana
inilah yang telah menjadi asas kepada kejayaan
Malaysia. Kita tidak boleh terlalu selesa dengan
kejayaan kita. Sebaliknya kita harus terus berusaha
untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi.
8. Sempena Deepavali yang diraikan oleh penganut
agama Hindu untuk menandakan kemenangan melawan
kejahatan, marilah kita bersama-sama sebagai rakyat
Malaysia memperkuatkan azam untuk meningkatkan usaha
kita bagi mencapai keharmonian dan perpaduan antara
kaum.
9. Kita telah berusaha dengan gigih sepanjang
negara kita merdeka dan telah melihat hasil kejayaan
kita membangunkan negara dan memakmurkan rakyat secara
adil dan saksama. Marilah kita mengambil iktibar dan
menghargai nikmat kehidupan kita hari ini sebagai
rakyat Malaysia yang bertuah.
10. Kita harus teruskan tradisi dan budaya kita
sebagai rakyat Malaysia dengan mengadakan rumah-rumah
terbuka. Gunakan hari ini untuk mengeratkan lagi
hubungan sesama kita.
11. Sekali lagi saya dan isteri saya mengucapkan
Selamat Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia
yang beragama Hindu.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|