Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date : 05/12/2002
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI RAYA AIDIL FITRI
Versi :
Penyampai : PM
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T.
kerana dengan berkat nikmat yang dilimpahkan kepada
kita, sekali lagi kita umat Islam di Malaysia dapat
merayakan Hari Raya Aidil Fitri dengan aman, selamat
dan ceria setelah sebulan kita menyempurnakan ibadah
puasa di bulan Ramadhan.
2. Beginilah keadaan kita di Malaysia setiap kali
kita merayakan Hari Raya, kita sentiasa berada dalam
keadaan penuh kemeriahan. Begitu juga apabila kita
merayakan apa jua perayaan atau hari kebesaran penganut
agama-agama lain. Bagi Umat Islam suasana tenteram kita
nikmati sepanjang bulan Ramadhan. Masjid dan surau
dipenuhi jemaah mengerjakan sembahyang terawih, memohon
keberkatan Allah S.W.T. di bulan yang mulia ini, tanpa
sebarang gangguan atau halangan. Pasar-pasar Ramadhan
menjual beraneka jenis kuih-muih dan juadah lain.
Kompleks membeli-belah dan pusat-pusat jualan sentiasa
penuh dengan orang ramai yang ingin membeli pelbagai
kelengkapan menyambut hari kebesaran ini. Bagi yang
mampu, berbuka puasa di hotel di sekitar bandaraya kian
menjadi kebiasaan. Bagi mereka yang kurang berada, ada
pihak-pihak yang prihatin yang menyumbang agar nikmat
dan rahmat ini turut dikecapi bersama. Demikianlah
kemewahan dan kemakmuran yang kita nikmati sebagai
rakyat negara yang bertuah ini, yang kita nikmati tanpa
melupakan ibadat dan ajaran agama kita.
3. Kini setelah selesai kita melakukan rukun Islam
yang ketiga dengan cukup sempurna, kita akan merayakan
Aidilfitri. Di pagi 1 Syawal, dengan berpakaian serba
baru, kita akan bertumpu ke masjid dan surau dan
bersama-sama bertakbir dan melakukan sembahyang sunat
berjemaah Hari Raya. Kita akan bersalam-salaman dan
bermaaf-maafan antara satu sama lain, antara keluarga
dan sahabat handai, kenalan kita dan sesiapa sahaja.
4. Kita akan gunakan hari ini untuk mengeratkan
hubungan kita sesama umat Islam. Kita akan pergi
berkunjung ke rumah kaum keluarga serta rakan-rakan dan
juga mereka yang kerana sebab tertentu kita kurang
mesra. Inilah juga masanya untuk kita rujuk semula
dengan memohon maaf zahir dan batin. Peluang ini juga
dapat kita gunakan untuk merapatkan hubungan antara
kaum dengan menjemput rakan-rakan kita yang beragama
lain untuk bersama-sama ke rumah terbuka kita.
5. Kita dapat melakukan kesemua ini dengan sempurna
kerana negara kita aman, makmur dan diberkati Allah
S.W.T. dengan segala bentuk kemewahan. Semestinya kita
bersyukur dengan segala nikmat ini. Sebenarnya kerana
kita bersyukur dan bersikap mesra inilah yang negara
kita aman, tenteram dan makmur. Kita harus insaf
dengan nasib baik yang kita nikmati ini memandangkan
rusuhan kaum dan agama berlaku di negara berbilang kaum
yang lain.
6. Kita harus sedar bahawa rata-rata umat Islam
ditindas, ditekan dan dimusuhi. Lebih-lebih lagi
setelah kejadian serangan 11 September. Maruah umat
Islam kini begitu rendah sekali. Umat Islam dihina di
mana-mana sahaja. Setelah runtuhnya Empayar Othmaniah,
wilayah orang Islam dirampas, orang Islam diusir dari
wilayah mereka, diserang dan dibunuh apabila mereka
cuba menebus balik wilayah mereka.
7. Sesiapa sahaja yang beragama Islam kini disyaki
sebagai pengganas. Negara-negara Islam dianggap sebagai
tempat yang bahaya bagi pelabur dan pelawat asing
sehingga ekonomi negara Islam terjejas. Di sesetengah
negara, rumah orang Islam dicerobohi dan dirosakkan
oleh pihak berkuasa, orang-orang Islam ditahan sewenang-
wenangnya hanya kerana disyaki sebagai pengganas atau
semata-mata kerana beragama Islam. Masjid-masjid
dibakar dan dirosakkan kerana sentimen anti Islam.
8. Di Palestin, rejim Israel dengan bebas mengganas,
membunuh penduduk Palestin tanpa mengira batas umur
atau jantina, merobohkan rumah-rumah mereka. Bandar-
bandar dirobohkan oleh tentera Israel untuk membalas
dendam terhadap perbuatan ganas segelintir rakyat
Palestin yang terlalu kecewa dengan tindakan ganas
Israel dan dunia yang mengizinkannya.
9. Kita tidak merestui sebarang keganasan oleh
sesiapa sahaja. Tetapi jika sesiapa ingin mencegah
keganasan mereka perlu tahu sebab-sebabnya dan berusaha
untuk mengatasi sebab-sebab ini. Hakikatnya ialah
semua pemberontakan dan keganasan rakyat Palestin
bermula apabila wilayah Arab dirampas oleh kuasa Barat
untuk dijadikan Negara Yahudi Israel, dan orang Arab
Palestin diusir dari rumahtangga mereka, dihalau dari
wilayah mereka, menjadi orang buangan sehingga ke hari
ini. Lebih daripada itu Israel telah menyerang dan
memperluaskan wilayah mereka sehingga tinggal hanya
kawasan yang sempit bagi rakyat Palestin. Dan semua
ini dibuat dengan restu yang tidak bersuara oleh bangsa-
bangsa yang bercakap tidak berhenti-henti berkenaan
dengan hak asasi manusia, berkenaan dengan demokrasi
dan lain-lain.
10. Sesungguhnya keadilan sudah tidak ada lagi di
dunia sekarang. Sesungguhnya yang kuat akan melakukan
apa sahaja dengan kepercayaan bahawa yang lemah tidak
ada pilihan melainkan menerima tekanan dan
ketidakadilan yang dijadikan bahagian mereka.
11. Pendapat bahawa yang kuat boleh buat apa sahaja
adalah salah. Kata pepatah "Tak dapat tanduk, telinga
dipulas". Yang lemah tidak dapat mematah tanduk, tidak
dapat mengalahkan penindas mereka yang begitu kuat,
tetapi mereka jelas berjaya menakutkan seluruh dunia,
merosakkan ekonominya, dan menghapuskan kewarasan
pemikiran semua pihak dengan tindakan mereka.
Kebolehan berfikir sudah hilang dan semua pihak
bertindak mengikut nafsu, mengikut perasaan marah dan
keinginan membalas dendam sahaja.
12. Kuasa besar yang tidak pernah diserang berasa amat
marah apabila segala simbol kegagahan ekonomi dan
ketenteraan mereka diserang dan dihancurkan. Pada
mulanya dunia bersimpati dengan mereka dan ingin
menyertai tindakan mereka untuk memburu pengganas.
Tetapi hari ini komitmen untuk menyertai peperangan
melawan pengganas oleh kebanyakan negara di
dunia sudah pudar kerana peperangan melawan pengganas
sudah beralih menjadi permusuhan terhadap penganut
agama Islam, tanpa membeza di antara kawan dan lawan.
Negara yang memberi kerjasama pun dianggap sebagai
musuh yang tidak boleh dipercayai, dan lawatan-lawatan
ke negara-negara ini disekat.
13. Kita merasai agak keterlaluan apabila sebuah
negara Islam mendakwa bahawa kuasa terbesar di dunia
adalah Syaitan terbesar. Tetapi dakwaan ini tidak jauh
berbeza daripada dakwaan bahawa Iraq, Iran dan Korea
Utara adalah "Axis Of Evil". Di masa yang sama
sementara Iraq dan Iran dikutuk dengan kuat dan ugutan
dibuat untuk menyerang negara-negara ini, Korea Utara
yang mengaku memiliki senjata nuklear, satu "weapon of
mass destruction," tidak pula diugut akan diserang dan
pemimpinnya disingkirkan. Apakah sebabnya terdapat
diskriminasi antara Iraq, Iran dan Korea Utara? Apakah
tidak kerana Iran dan Iraq adalah negara Islam?
14. Perkara ini disebut bukan kerana kita anti-barat
atau anti kuasa besar tertentu, atau anti-kulit putih.
Ia disebut kerana ia adalah kenyataan. Dan kenyataan
ini tetap akan merenggangkan hubungan antara orang
Islam dan kuasa-kuasa Barat. Ia juga akan menambah
persepsi orang Islam bahawa Barat adalah anti-Islam.
Dan persepsi ini akan menjejaskan kerjasama orang Islam
dengan negara-negara Barat dalam memerangi keganasan
antarabangsa.
15. Dengan diskriminasi seperti ini tidak hairanlah
jika orang Islam bertambah marah dan tidak dapat
bertindak secara yang waras. Segala tindakan yang
diambil oleh semua pihak hanyalah didorong oleh
perasaan marah, benci dan dendam. Sampai bilakah umat
manusia hendak berlawan dendam ini?
16. Alhamdulillah, kita di Malaysia berada dalam
keadaan aman dan tenteram. Kita dapat berpuasa dengan
sempurna dan kita akan rayakan Hari Raya Aidilfitri
dalam keadaan yang juga sempurna. Kita boleh tepuk
belakang kita kerana nasib baik kita. Tetapi kita juga
harus ingat bahawa terdapat di kalangan kita orang yang
tidak bersyukur dengan nikmat yang banyak yang didapati
oleh kita di negara yang bertuah ini.
17. Kita anggap amat malang kerana ada rakyat Malaysia
yang berminat dengan keganasan bukan untuk melawan
musuh-musuh Islam yang menindas orang Islam, tetapi
untuk mencetuskan huru-hara dan merampas kuasa di
negara sendiri yang sudah pun diperintah oleh kaum
sebangsa dan seagama dengan mereka. Kerana kecewa
dengan demokrasi dan pemilihan untuk mendapat kuasa
Kerajaan, mereka telah pergi ke Pakistan dan
Afghanistan kononnya untuk belajar agama tetapi
sebenarnya untuk belajar membuat bom dan menyamun bank,
membunuh dan melakukan keganasan lain sebagai
persiapan untuk merampas kuasa di negara ini. Kononnya
mereka ingin mendirikan negara Islam di Malaysia. Umum
mengetahui bahawa Malaysia sudah pun negara Islam. Ini
diiktiraf oleh dunia termasuk semua negara Islam lain
yang juga mendakwa secara terbuka bahawa Malaysia
adalah contoh bagi negara Islam yang mereka ingin
meniru.
18. Kepercayaan bahawa yang dikehendaki oleh Islam
hanyalah aqidah tanpa kemajuan di dunia adalah
bertentangan dengan ajaran Islam. Apakah sebabnya yang
setiap kali kita berdoa kepada Allah s.w.t kita pohon
kebahagiaan di dunia dan juga kebahagiaan di akhirat?
Kita tidak minta kebahagiaan di akhirat sahaja. Apakah
bahagia orang-orang Afghanistan yang begitu disanjung
tinggi oleh puak ini, yang hidup merana di bawah
pemerintahan Taliban, pemerintahan yang diruntuh dengan
mudah oleh kuasa Barat dan meninggal sebuah negara yang
menjadi pengemis dan terletak di bawah telunjuk orang?
Inikah jenis negara Islam yang hendak didirikan di
Malaysia? Penduduk Afghanistan tidak hidup bahagia
sekarang atau dahulu. Ramai yang terpaksa lari ke
negara lain. Berapa ramaikah rakyat Malaysia yang
beragama Islam yang terpaksa lari dari negara ini
kerana dihalang daripada mengamal ajaran Islam?
19. Mereka yang ingin mengguna keganasan untuk merebut
kuasa di Malaysia bukan berhajat untuk mendiri negara
Islam tetapi sebenarnya mereka keliru dan tidak faham
akan apa dianya negara Islam. Bagi mereka negara
Islam diukur daripada pakaian, terutama pakaian wanita,
dan pengasingan mereka untuk mengurangkan nafsu lelaki
yang buas. Bahawa agama Islam menyuruh lelaki berjihad
membendung nafsu diri sendiri tidak dihiraukan. Kerana
tidak hendak digoda, wanita tidak pun dibenar
bersekolah, menuntut ilmu atau bekerja. Dengan ini
separuh daripada tenaga manusia Afghanistan diresapkan.
Sesungguhnya ilmu dan pengetahuan agama yang ada pada
Taliban ini cukup cetek dan kemampuan mereka
mempertahankan diri apabila diserang musuh begitu lemah
sehingga dalam jangka masa hanya satu bulan mereka
ditewas oleh orang asing. Yang mereka mampu hanyalah
melawan dan merebut kuasa daripada orang yang sebangsa
dan seagama dengan mereka.
20. Demikian jugalah dengan pelampau militan Malaysia.
Musuh mereka yang sebenar ialah orang Islam lain.
Tindakan yang mereka rancangkan ialah di Malaysia, yang
mana kesan buruknya akan dirasai oleh negara sendiri.
Yang menjadi mangsa mereka ialah orang Islam dan negara
Islam sendiri. Sebabnya negara-negara Islam semuanya
lemah ialah kerana pertikaian dan rusuhan yang diadakan
oleh pelampau yang bertopeng Islam dalam masyarakat
Islam sendiri.
21. Di Malaysia kita memberi kebebasan kepada rakyat
untuk memilih pemimpin dan Kerajaan. Kebebasan ini
bukan olok-olok kerana jika dikehendaki oleh rakyat
mereka boleh memilih pembangkang juga sebagai wakil
mereka, bahkan sebagai Kerajaan mereka. Tidak ada
sebab kenapa pemilihan wakil dan Kerajaan secara bebas
tidak boleh digunakan oleh sesiapa yang tidak puas hati
dengan pemerintahan yang ada. Tidak ada sebab untuk
sesiapa merebut kuasa secara ganas. Tidak ada sebab
bagi sesiapa mencetuskan huru-hara, sesuatu yang
dilarang oleh agama Islam, untuk mengambilalih kuasa.
22. Keadaan di Afghanistan tidak sama dengan keadaan
di Malaysia. Negara kita adalah negara berbilang kaum
dan agama. Negara ini aman di mana semua rakyat
mendapat banyak nikmat yang tidak dinikmati oleh rakyat
Afghanistan. Tidak ada sesiapa yang ditindas atau
dihalang daripada mengamalkan amalan yang sah dalam
agama mereka. Orang Islam di Malaysia bukan sahaja
bebas beribadat tetapi dibantu oleh pihak Kerajaan
untuk beribadat. Selamat dan amannya negara ini adalah
nikmat yang besar bagi kita semua beribadat. Lihatlah
keadaan orang Islam di negara lain, termasuk
Afghanistan di zaman Taliban dan selepasnya. Orang
Islam terganggu dalam menunaikan ibadat kerana tidak
ada kestabilan, kerana terlalu miskin, kerana berada
dalam ketakutan diserang oleh orang-orang yang tidak
menghormati undang-undang dan adat resam. Inikah
contoh yang baik sebagai negara Islam?
23. Jika benarlah pengganas ini ingin berjuang
mempertahankan Islam, terdapat banyak tempat yang orang
Islam ditindas, dihina dan dibunuh setiap hari.
Pergilah ke sana dan berjuanglah. Perjuangan di
Malaysia ialah untuk mengekalkan keamanan dan
memperkayakan negara dalam semua bidang supaya dapat
kita kukuhkan ketahanan kita dan menggerunkan musuh-
musuh kita seperti yang dituntut oleh agama Islam.
Hari ini pun kita adalah lebih berdayatahan daripada
kebanyakan negara Islam lain, dan percubaan untuk
melemahkan kita dan meletakkan kita di bawah kuasa-
kuasa antarabangsa dapat kita tangkis dan gagalkan.
Sesungguhnya mereka yang cuba mencetuskan huru-hara
melalui keganasan mengkhianati negara kita sendiri
bahkan mengkhianati Islam yang menyuruh kita selamatkan
umat Islam. Demikianlah ketahanan negara kita sehingga
dapat juga sedikit sebanyak kita memberi perlindungan
kepada negara-negara Islam dan orang Islam lain, dan
negara-negara membangun yang tertindas sekarang.
24. Kepada puak yang berhasrat untuk mengguna
keganasan, samada dalam tahanan atau di luar, saya seru
supaya insaf akan segala nikmat yang kita perolehi di
negara ini, segala kekayaan dan kekuatan yang ada pada
kita yang juga dapat ditumpang oleh orang Islam lain.
Saya seru supaya mereka insaf dan bertaubat.
Kembalilah ke pangkal jalan. Kembalilah ke pangkuan
masyarakat. Sama-samalah kita berusaha untuk
memperkaya dan memajukan negara kita Malaysia,
meningkat ketahanannya supaya kita tidak lagi akan
dijajah oleh kuasa-kuasa asing.
25. Kita tahu bahawa kita sedang menghadapi cabaran
yang amat besar. Kita tahu globalisasi boleh
menjadikan kita dijajah sekali lagi. Cabaran sekali
ini lebih halus dan lebih tajam. Jika kita asyik
dengan bermusuhan sesama kita, kemungkinan besar kita
akan menjadi begitu lemah sehingga mudah dikuasai oleh
penjajah kita yang dahulu. Jangan ingat mereka senang
hati dengan kebebasan kita. Jangan ingat sekali
merdeka selama-lamanya merdeka.
26. Kita dapat lihat sendiri beberapa negara yang
begitu berbangga dengan kemerdekaan mereka tetapi
terpaksa mengikut telunjuk kuasa asing atau proksi
mereka. Kita tidak akan lihat penempatan tentera
secara fizikal tetapi negara yang terpaksa mengikut
telunjuk kuasa asing tidak merdeka sebenarnya.
27. Alhamdulillah sehingga kini kita masih bebas.
Tetapi jika kerana huru-hara disebabkan keganasan dalam
usaha merebut kuasa, negara menjadi lemah, ekonomi
runtuh, dan stabiliti politik terjejas, lambat laun
negara akan dikuasai oleh orang asing juga. Semangat,
keberanian dan kesanggupan untuk menggadai nyawa dengan
sendirinya, tanpa kekuatan ekonomi dan kestabilan
politik tidak akan menjamin ketahanan negara.
28. Bersyukurlah dengan keamanan, kestabilan dan
kebebasan negara ini. Janganlah terbawa-bawa dengan
kononnya perjuangan untuk Islam yang dibawa oleh orang
yang begitu kecewa dengan keadaan buruk di negara
mereka. Allah s.w.t. menyuruh kita bersabar. Jika
kita insaf dan kita hargai nikmat yang banyak yang kita
dapati di negara bertuah ini, janganlah kita membuat
sesuatu yang kita akan menyesal kemudian. Bukanlah
mudah untuk kita majukan negara ini. Bukanlah mudah
bagi mengekalkan keIslaman negara berbilang agama ini.
Penerimaan oleh bukan Islam akan kedudukan Islam
sebagai agama rasmi negara adalah satu kejayaan yang
besar bagi umat Islam di Malaysia. Di zaman penjajah,
Islam tidak diisytihar sebagai agama rasmi dan
pelajaran agama Islam tidak dijadikan tanggungjawab
Kerajaan. Di zaman penjajah orang Islam telah menjadi
minoriti di negara sendiri. Tidak ada pejuang Islam
militan di masa itu yang sanggup melawan penjajah untuk
membebaskan negara dan menjadikannya negara Islam.
Tetapi apabila ternampak kemerdekaan akan dicapai maka
barulah muncul pejuang negara Islam kononnya yang hanya
berani bermusuhan dengan orang Islam lain.
29. Cubalah hargai kejayaan pejuang-pejuang kebangsaan
dan agama yang berjaya membebaskan negara ini daripada
cengkaman penjajah. Janganlah begitu angkuh dan
sombong sehingga menidakkan jasa pejuang-pejuang ini
dan menganggap diri sendiri sebagai pejuang kononnya
tetapi hanya berani berjuang melawan orang sebangsa dan
seagama.
30. Kerana kegiatan puak pelampau ini Malaysia
sekarang dituduh sebagai pusat pengganas. Ini pun
sudah membawa kesan buruk kepada negara ini. Jika
pengganas ini tidak dibendung maka nasib negara ini
akan menjadi sama malang seperti nasib negara-negara
tertentu yang ditekan dan ditindas dengan sewenang-
wenangnya.
31. Melawan pengganas bukanlah seperti menangani
jenayah biasa. Kita tidak boleh tunggu sehingga mereka
meletupkan bom dan membunuh ramai orang sebelum
bertindak. Kita perlu cegah keganasan daripada
berlaku. Amatlah tidak bertanggungjawab jika kita tahu
siapa dianya pengganas dan kebolehan serta kemungkinan
mereka mengganas tetapi kita tunggu sehingga mereka
lakukan jenayah mereka. Sebab itu sekarang negara
yang begitu demokratik pun telah menahan orang yang
disyaki sebagai pengganas tanpa peruntukan undang-
undang.
32. Di Malaysia kita mempunyai undang-undang pencegah
seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk mencegah
keganasan daripada berlaku. Sebenarnya keganasan yang
mengancam kita sekarang lebih merbahaya daripada
serangan komunis. Pengganas sekarang mampu melakukan
serangan yang lebih dahsyat yang tidak mengambilkira
siapa yang terbunuh secara sampingan atau sebagai
sasar.
33. Tuduhan orang asing dan kepercayaan sesetengah
orang di Malaysia bahawa Kerajaan mengambil kesempatan
untuk bertindak terhadap parti lawan adalah tidak
munasabah. Yang mampu mengancam kedudukan Parti
Kerajaan ialah kepimpinan tinggi parti lawan. Yang
dimasukkan dalam tahanan adalah orang yang tidak pun
dikenali dahulu sebagai orang yang penting dalam parti
lawan.
34. Memang mereka ada kaitan dengan parti lawan.
Tetapi parti lawan tertakluk kepada undang-undang dan
tidak ada keistimewaan bagi mereka. Kita biasa kenakan
undang-undang yang sama kepada anggota Parti Kerajaan
pun. Tidak ada tujuan politik yang mempengaruhi
tindakan terhadap mereka yang ditahan di bawah ISA atau
undang-undang biasa. Yang diutamakan ialah bukti yang
menyakinkan pasukan keselamatan akan rancangan
pengganas untuk melancarkan serangan ganas.
35. Rakyat dan siapa sahaja yang terlibat dengan
penguatkuasaan undang-undang perlu faham akan betapa
seriusnya ancaman keganasan. Jika ia tidak berlaku di
Malaysia sebabnya ialah kerana kita bertindak pantas
untuk mencegahnya. Janganlah sesiapa kerana mensyaki
Kerajaan atau bersimpati dengan orang yang konon
dianiaya kerana politik cuba menggagalkan usaha
Kerajaan menyelamatkan negara ini. Semua pihak tanpa
kecuali mesti menghormati undang-undang yang sah di
negara ini. Jika kita tidak puas hati dengan undang-
undang ini ada cara yang sah untuk menggugurkannya.
Tetapi selagi ia berkuatkuasa semua pihak tanpa kecuali
mesti menghormati dan menjunjung tinggi undang-undang.
Kita mengamalkan pemerintahan berasaskan undang-undang
dan kita aman dan bebas daripada keganasan kerana kita
amalkan cara ini. Janganlah sesiapa mengecualikan diri
daripada undang-undang yang sah yang berkuatkuasa di
negara ini.
36. Dalam suasana yang muram di seluruh dunia, yang
menyebabkan ekonomi dunia tidak berkembang maju, saya
gembira kerana dapat melaporkan bahawa ekonomi negara
masih dapat tumbuh pada kadar yang baik iaitu 5.6
peratus dalam suku ketiga tahun ini.
37. Pertumbuhan ini berlaku kerana Kerajaan telah
berusaha bersungguh-sungguh untuk memajukan negara.
Hampir semua sektor ekonomi mencatat pertumbuhan.
Walau pun ada usaha pihak asing untuk menimbulkan
kecurigaan terhadap kestabilan Malaysia, kita dapat
menangkis percubaan ini. Insyallah kita akan dapat
kawal kestabilan negara kita supaya rakyat Malaysia
dapat hidup bahagia dan makmur.
38. Potensi untuk pemulihan ekonomi negara masih baik.
Tetapi bukanlah Kerajaan sahaja yang perlu berusaha,
semua pihak perlu tentukan tidak akan berlaku apa-apa
yang boleh menjejaskan potensi kemajuan negara kita.
Janganlah kerana hendak tunjuk kebebasan demokrasi,
kita sengaja membuat sesuatu yang boleh menjejaskan
keadaan yang baik yang kita nikmati sekarang.
39. Malaysia sudah dilihat sebagai negara Islam contoh
oleh dunia luar. Marilah kita buktikan bahawa kita
boleh berjaya lebih lagi. Marilah kita umat Islam di
Malaysia tanpa mengira apa fahaman politik, marilah
kita bersatu dan kembali kepada ajaran Islam yang asas,
ajaran Islam yang sebenar. Bersama dengan rakyat bukan
Islam, usahalah mengekal keamanan dan memajukan negara
bertuah ini.
40. Hari Raya Aidilfitri adalah peluang baik bagi umat
Islam menunjuk persaudaraan Islam. Marilah kita bermaaf-
maafan dan berkunjung ke rumah saudara-mara serta rakan-
rakan kita samada yang rapat ataupun tidak. Janganlah
kita lupa menjemput rakan-rakan kita yang bukan Islam
kerana ini akan merapatkan lagi hubungan antara kita
dan menjaga keharmonian sesama kita. Buktikanlah kepada
dunia luar bahawa Islam bukanlah agama yang ganas, dan
umat Islam bukanlah pengganas yang digambarkan.
Tunjukkanlah bagaimana kita umat Islam di Malaysia,
walaupun terdiri daripada kaum majoriti, boleh berlaku
adil terhadap masyarakat bukan Islam. Marilah kita
buktikan apakah dianya agama Islam yang sebenar dan
apakah dianya peribadi seorang Muslim yang sebenar.
41. Di hari yang menggembirakan ini, saya juga
mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari
Raya kepada seluruh anggota pasukan keselamatan yang
tanpa sikap profesional dan dedikasi mereka menjalankan
tugas, sudah tentu kita tidak dapat merayakan hari ini
dengan suasana aman damai. Saya juga mengucapkan
Selamat Hari Raya kepada semua kakitangan Kerajaan dan
rakyat Malaysia, di mana juga mereka berada.
42. Kepada pengguna-pengguna jalanraya yang di dalam
perjalanan pulang ke kampung, pandulah dengan cermat.
Utamakanlah keselamatan diri dan keluarga. Adalah lebih
baik kita sampai lambat sedikit ke destinasi dengan
selamat daripada ditimpa kemalangan.
43. Sekali lagi, saya sebagai Perdana Menteri dan
sebagai seorang Muslim, serta bagi pihak keluarga, saya
memohon maaf zahir dan batin dan mengucapkan Hari Raya
Aidilfitri, kepada semua umat Islam di Malaysia.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|