Oleh/By : DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date : 31/12/2002
Tajuk/Title : PERUTUSAN TAHUN BARU 2003
Versi :
Penyampai : PM
Esok kita akan melangkah ke tahun baru, tahun
2003. Satu haribulan Januari tidak berbeza dari hari-
hari lain, dan tahun 2003 sama sahaja dengan tahun-
tahun lain. Tetapi kita boleh jadikan satu Januari
2003 sebagai titik permulaan bagi kita mengubah sesuatu
dan sudah tentu kita ingin memulakan dan mengubah
daripada yang kurang baik kepada yang lebih baik. Oleh
itu eloklah jika kita perhitungkan nasib dan keadaan
kita sebelum Januari 2003, supaya dapat kita tentukan
apa yang perlu dibaiki.
2. Kita bersyukur kerana keazaman negara untuk
mengekalkan keamanan dan memulihkan ekonomi sedikit
sebanyak telah tercapai pada tahun 2002. Pencapaian
ini mungkin hasil daripada resolusi kita bagi tahun
2002. Tetapi tentulah ia tidak setakat membuat
resolusi, menentu keazaman sahaja. Yang penting ialah
usaha kita menunai dan menjayakan resolusi yang telah
kita buat.
3. Sebenarnya, kita dan negara kita sungguh bertuah.
Dalam keadaan dunia yang tidak menentu dan dilanda
dengan pelbagai masalah dan krisis, Malaysia terus aman
dan membangun dengan pesat dan rakyat pula dapat
mengecapi pelbagai nikmat tanpa gangguan. Malah bahaya
keganasan yang didakwa oleh pihak tertentu kononnya
mengancam negara kita, dapat kita kawal dan bendung
sehingga negara terselamat daripada kejadian-kejadian
yang tidak diingini yang diramal oleh mereka.
4. Pada tahun 2002 letupan bom yang dahsyat telah
berlaku di Bali dan di Kenya yang secara umumnya telah
diduga oleh kita. Sebabnya ialah kerana tidak ada
percubaan yang bersungguh-sungguh yang dibuat untuk
menangani sebab-sebab keganasan berlaku. Tumpuan
diberi semata-mata kepada peningkatan benteng
keselamatan dan ketahanan, dengan menggunakan teknologi
terkini. Tetapi keganasan tidak mungkin dikawal hanya
dengan cara ini. Dunia ini luas dan manusia tidak
boleh sembunyi di rumah sendiri atau di negara sendiri
selama-lamanya. Manusia terpaksa keluar dari rumah dan
dari negara sendiri dan perlindungan seratus peratus
tidak boleh diberi kepada semua mereka di seluruh
dunia.
5. Sebab itu kita berpendapat selagi ada pengganas
tidak ada tempat di mana manusia seratus peratus
selamat. Dan secara ikhlas kita berkata kita di
Malaysia juga tidak boleh diselamatkan seratus peratus.
6. Malangnya media asing memilih keikhlasan kita
untuk mendakwa bahawa Perdana Menteri Malaysia sendiri
mengaku Malaysia tidak selamat dan menasihat pelawat
asing supaya tidak melawat Malaysia. Dengan itu mereka
pergi ke tempat lain, ke Kenya umpamanya. Dan di situ
mereka diserang pengganas. Lain kali di tempat lain.
Bahkan berdiam di negara sendiri pun tidak selamat.
Hanya seorang dengan sepucuk senapang boleh membunuh
ramai orang sehingga sebuah bandaraya hidup dalam
ketakutan. Malangnya pendapat negara kerdil ini tidak
dihiraukan. Dan keganasan akan terus berlaku dan umat
manusia akan hidup dalam ketakutan.
7. Pengganas sebenarnya lebih berjaya daripada
harapan mereka. Seluruh dunia sekarang hidup dalam
ketakutan dan ekonomi dunia merosot dengan teruk. Syak
wasangka dan hubungan tegang antara negara-negara telah
meningkat. Pendek kata serangan 11 September bukan
sahaja berkesan terhadap negara sasar tetapi terhadap
dunia. 11 September membawa perubahan pemikiran dan
lagak manusia yang tidak boleh dipulih semula seperti
sebelumnya.
8. Kita di Malaysia tidak boleh menggoncang dunia.
Kita tidak mampu memperbetulkan dunia. Tetapi kita
mampu menentukan keadaan di negara kita sendiri. Kita
boleh secara relatif menentukan keselamatan kita,
kemajuan kita dan kesejahteraan hidup kita. Mungkin
tidak sebaik yang boleh dicapai jika dunia aman dan
maju, tetapi sedikit sebanyak dapat juga kita tentukan
nasib kita lebih baik daripada yang diramalkan oleh
orang yang membenci kita.
9. Kita akan pertahankan negara tercinta ini daripada
pencabulan oleh kuasa asing. Sudah ada negara yang
bongkak yang mendakwa mereka berhak untuk mengambil
tindakan "pre-emptive" dan "forward defence" yang
melibatkan negara kita.
10. Kita berjanji jika ada sesiapa mencabul kebebasan
negara kita dengan tindakan "pre-emptive" atau "forward
defence" mereka akan dapat apa yang disebut oleh Mat
Saleh sebagai "a bloody nose". Kita tidak berjuang
untuk membebaskan negara kita Malaysia supaya mereka
boleh membuat apa sahaja yang mereka suka di negara
ini.
11. Ingatlah ketidakadilan dan kebongkakan seperti
inilah yang menyebabkan bangsa yang lemah dan kecewa
memilih keganasan sebagai cara bertindak balas. Mereka
tidak ada pilihan lain.
12. Jika kita ingin mengelak dari keadaan di negara
kita turut menjadi sama buruk seperti negara lain maka
hendaklah kita tentukan negara kita terus aman dan
tenteram. Pihak-pihak di Malaysia yang ingin mengganas
harus berfikir. Negara ini bukan seperti negara-negara
tertentu yang memiliki Kerajaan yang gagal, yang tidak
dapat membangunkan negara, mengatasi kemiskinan, dan
menggunakan kekerasan untuk mengekalkan kuasa mereka.
Di Malaysia rakyat boleh menukar Kerajaan hanya dengan
mengundi. Oleh itu apa perlunya keganasan untuk
merebut kuasa. Rebutan kuasa secara ini bermakna niat
untuk mendirikan Kerajaan kuku besi yang membelakangkan
hak rakyat. Kerajaan hasil rebutan kuasa secara haram
tetap zalim. Kerajaan yang zalim tetap akan
mencetuskan huru-hara, kemerosotan ekonomi dan
kelemahan negara. Akhirnya kebebasan akan lenyap dan
negara akan dikuasai orang.
13. Kononnya mereka ingin mendirikan negara Islam.
Ini hanyalah helah sahaja untuk memperdayakan rakyat,
untuk meraih sokongan dan simpati rakyat sebelum
berkuasa.
14. Kita sudah diakui dan diiktiraf sebagai negara
Islam. Majoriti orang Islam di Malaysia berpuas hati
dengan keIslaman negara ini. Ramai orang Islam di
negara Islam lain menganggap Malaysia sebagai contoh
bagi negara Islam. Oleh itu apa perlunya mengganas
untuk menjatuhkan Kerajaan yang halal dan sah ini.
15. Puak-puak pelampau lain yang tidak sensitif
terhadap puak dan kaum lain di negara ini juga harus
menghentikan tuntutan keterlaluan mereka yang hanya
akan menggugat kestabilan negara. Ingatlah
keterlaluan akan mengundang keterlaluan. Konfrantasi
antara yang keterlaluan tidak akan menghasilkan
keamanan dan kemajuan.
16. Jika kita dapat kekalkan keamanan dalam negara
maka dapatlah kita tumpukan kepada pembangunan negara
untuk kesejahteraan rakyat. Untuk ini rakyat perlu
berusaha untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti.
Majikan dan pekerja harus bekerjasama dan mengelak
daripada berkonfrantasi. Ujian kekuatan seperti yang
diamalkan oleh negara barat hanya akan merosakkan
ekonomi negara kita. Akhirnya yang menang jadi arang,
yang kalah jadi abu. Beberapa negara Barat yang dahulu
begitu maju telah menjadi tidak kompetitif kerana
konfrantasi antara majikan dan pekerja.
17. Berhadapan dengan saingan dari negara Timur, Barat
mencipta cara-cara lain untuk menghalang pembangunan
dengan dakwaan kononnya mereka ingin melihat hak asasi
manusia dan demokrasi dihormati. Yang anehnya ialah
jika negara yang tidak demokratik dan tidak menghormati
hak asasi manusia tidak maju dan tidak bersaing dengan
mereka, pencabulan hak asasi manusia yang dahsyat pun
tidak dihiraukan. Yang menjadi sasaran mereka ialah
negara yang berjaya bersaing dengan mereka.
18. Janganlah kita terpedaya dengan keprihatinan
mereka terhadap nasib kita dan pekerja kita. Ini
adalah sandiwara yang melindungi matlamat mereka yang
sebenar, iaitu meraih semua kekayaan untuk mereka dan
menghalang kemajuan kita. Kalaupun Kerajaan mereka
tidak berniat demikian, ramai daripada yang tamak
daripada pemodal mereka berhasrat menguasai semua
kekayaan di dunia. Ingatlah sejarah East India
Company. Daripada perniagaan, mereka telah menakluk
dan menjajah untuk menentukan perniagaan mereka tidak
diganggu. Sifat yang sama tetap ada di kalangan
pemodal gergasi mereka.
19. Kita harus tingkatkan taraf hidup rakyat dan
pekerja kita. Tetapi kita juga harus ingat kita belum
lagi maju dan kita tidak boleh cuba hidup sebagai
bangsa yang sudah maju. Kita perlu memperkayakan
negara kita dahulu sebelum kita menuntut taraf hidup
yang lebih tinggi. Ingatlah pendapatan per kapita
negara maju adalah lebih daripada 20,000 Dolar Amerika,
sedangkan kita belum sampai 4000 Dolar Amerika. Jika
kita hendak juga kemudahan dan khidmat yang lebih, maka
kita hendaklah sanggup berusaha memperkayakan negara
dan membayar lebih untuk khidmat yang diterima.
20. Sebenarnya bayaran untuk khidmat dan kemudahan
awam di Malaysia amatlah rendah. Kita bayar kurang
daripada sepuluh Ringgit Malaysia sekali sahaja untuk
menggunakan Jambatan Pulau Pinang pergi dan balik. Di
Jepun bayaran untuk satu hala sahaja ialah 250 Ringgit
Malaysia untuk jambatan yang lebih pendek.
21. Kita dapati ramai daripada rakyat kita yang
menuntut kemudahan kelas satu tetapi sanggup membayar
harga kelas tiga. Mereka begitu prihatin terhadap
pencemaran umpamanya sehingga tahap pencemaran yang
diterima oleh negara maju tidak juga diterima oleh
mereka.
22. Sikap ini tidak sihat. Kita hanya mampu
mengadakan kemudahan setakat yang mampu diadakan oleh
negara yang masih membangun. Untuk ini kita perlu
bayar bayaran yang setimpal. Jika kita tidak sanggup
membayarnya maka kita tidak boleh tuntut untuk mendapat
lebih daripada yang mampu kita bayar. Kita tidak boleh
berlagak seperti orang kaya negara maju sedangkan kita
belum maju seperti negara maju. Janganlah mengancam
untuk mencetuskan huru-hara jika tuntutan tidak
dilayan. Keburukan yang disebabkan oleh huru-hara akan
menaikkan lagi kos sehingga yang kita mampu pun boleh
menjadi tidak mampu.
23. Sudah tentu mereka akan berkata kalau belum maju
kenapa membina menara tertinggi di dunia, kenapa
bangunkan Putrajaya dan lain-lain. Rakyat tidak
dikenakan tol atau cukai dinaikkan disebabkan projek-
projek ini. Sebaliknya kita mengurangkan cukai dan
menambahkan elaun yang tidak dikenakan cukai. Di masa
yang sama banyak kemudahan percuma yang disediakan
untuk rakyat, termasuk di kawasan luar bandar. Tidak
ada negara membangun di dunia yang dibekalkan dengan
kemudahan awam seperti yang terdapat di Malaysia.
Tetapi semuanya adalah mengikut kemampuan kita.
24. Kerajaan ini tidak membazir. Sebaliknya Kerajaan
membelanjakan wang rakyat dengan bijak untuk
kepentingan rakyat. Kerajaan tidak berlagak seperti
Kerajaan negara maju apabila membangunkan negara.
Tidak ada tugu-tugu peringatan untuk pembesar negara
yang didirikan oleh Kerajaan.
25. Inilah cara kita di Malaysia. Sebab itu keadaan
kewangan kita masih sihat dan ekonomi kita berada dalam
keadaan yang baik. Selagi kita semua, Kerajaan dan
rakyat tidak tuntut lebih daripada yang kita mampu,
selagi kita sanggup membayar cukai, yuran dan tol yang
setimpal dan berpatutan, selama itulah negara kita akan
terus selamat dan penjajahan oleh kuasa asing tidak
akan berlaku.
26. Selain daripada itu, terdapat juga segelintir
daripada rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan cara
berfikir kebaratan sehingga tidak yakin akan kemampuan
kita menangani masalah kita. Mereka ini akan terus
berkata walaupun kita berjaya tetapi adalah lebih baik
jika kita turut cara ortodoks yang disarankan oleh
pakar-pakar dunia. Jika tidak, kata mereka, nescaya
negara kita akan runtuh.
27. Banyak sudah yang kita lakukan yang pihak asing
meramal tidak mungkin berjaya. Projek kereta nasional,
jambatan Pulau Pinang, lebuh raya Utara - Selatan,
Lapangan Terbang Senai, "capital control" (kawalan
modal) dan penetapan tukaran Ringgit Malaysia,
pembangunan Langkawi, Labuan sebagai pusat kewangan
luar pesisir pantai dan bermacam lagi yang semuanya
diramal sebagai tidak berdaya maju. Peralihan dari
negara pertanian kepada negara industri juga dikatakan
tidak mungkin berjaya. Tetapi hakikatnya ialah kita
berjaya menjayakan hampir semua daripada perancangan
dan pendekatan kita.
28. Justeru itu rakyat Malaysia perlu yakin akan
kebolehan diri sendiri dan perancangan serta pendekatan
Kerajaan dalam menangani masalah dan memajukan negara.
Jika kita percaya kita boleh menyelamatkan negara kita
daripada bencana yang melanda dunia sekarang, besar
kemungkinan kita akan berjaya. Namun kita perlu pupuk
budaya kerja dan etika yang sesuai dengan kejayaan. Di
waktu kita mencapai kemerdekaan tidak terfikir kita
akan maju ke tahap ini. Demikian juga apa yang kita
kurang yakin akan dicapai oleh kita hari ini akan kita
capai di masa hadapan jika kita berusaha bersungguh-
sungguh, jika kita pelihara kestabilan dan keamanan
negara kita.
29. Jika tidak ada malapetaka yang besar, seperti
peperangan di Iraq umpamanya, ekonomi dunia akan pulih
sedikit dan ekonomi negara mampu mencapai pertumbuhan
yang lebih baik dari tahun 2002. Tetapi segala-galanya
bergantung kepada kita, iaitu Kerajaan dan rakyat
Malaysia. Jika kita bijak, kita kekalkan keamanan,
urus kewangan kita dengan baik dan bekerja kuat,
Insyaallah kita akan dapat bangunkan negara kita secara
berterusan untuk kebahagiaan dan kesejahteraan kita.
Oleh itu marilah kita berusaha bersungguh-sungguh pada
tahun 2003 dan seterusnya supaya kita dapat kukuhkan
ketahanan negara kita untuk hidup sebagai bangsa yang
bebas dan bermaruah.
30. Malaysia adalah negara kita bersama. Di sinilah
kita dilahir, di sinilah kita membesar, di sinilah kita
mencari nafkah dan di sinilah akan kita hembus nafas
terakhir. Baik negara ini adalah kerana kita. Buruk
negara ini adalah kerana kita juga. Kita boleh pilih.
Bijak-bijaklah memilih kerana yang dipertaruhkan ialah
hidup mati kita.
31. Pada permulaan tahun 2003 ini ingin saya bagi
pihak diri sendiri dan pihak Kerajaan mengucapkan
Selamat Tahun Baru. Saya berdoa kita semua akan
memperolehi kebahagiaan pada tahun 2003 ini.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|