Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	HOTEL MARRIOTT, PUTRAJAYA
Tarikh/Date	:	07/02/2003
Tajuk/Title 	:	MAJLIS PELANCARAN  E-SYARIAH	
Penyampai	:  	PM 

 
        Alhamdulillah,  syukur kita  kepada  Allah  S.A.W.
   kerana dapat kita bersama di Majlis Pelancaran Projek E-
   Syariah hari ini.
        
   2.     Saya   ingin  mengambil  kesempatan  ini   untuk
   merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat
   dalam  menjayakan projek E-Syariah; terutamanya  kepada
   MAMPU   sebagai   agensi   peneraju   yang   menyelaras
   pelaksanaan   projek  ini;  kepada  Jabatan   Kehakiman
   Syariah  sebagai agensi pelaksana; dan  kepada  Sarawak
   Information Systems Sdn. Bhd. (atau SAINS) selaku pihak
   yang membangunkan sistem E-Syariah ini.
   
   3.    Pelancaran E-Syariah hari ini menandakan  setapak
   lagi  kemajuan  pentadbiran hal-ehwal Islam  di  negara
   kita,  sesuai  dengan tuntutan masa  dan  persekitaran.
   Sekaligus   E-Syariah   menjawab  persoalan  sejauhmana
   komitmen   Kerajaan  kepada  usaha   berterusan   untuk
   meningkatkan  mutu  perkhidmatan  jentera   pentadbiran
   kepada  orang  ramai, dan khususnya untuk  menambahbaik
   pentadbiran  hal-ehwal  Islam dan  melengkapkan  usaha-
   usaha menegakkan syiar Islam.
   
   4.      Kerajaan   memang   berhasrat   untuk   membawa
   pembaharuan  kepada jentera Kerajaan secara  menyeluruh
   dengan  menggunakan  ICT. Langkah Kerajaan  memperkenal
   teknologi  terkini  dan membangunkan sistem  elektronik
   bagi  membantu pentadbiran hal-ehwal Islam seumpama  E-
   Syariah  ini memang dirancang.  Ia bertujuan memastikan
   pentadbiran  hal-ehwal Islam terus dilengkapkan  dengan
   peralatan  terkini  untuk  menjadikannya  jentera   dan
   organisasi  yang  mampu menangani cabaran  dan  harapan
   baru.
   
   5.    Peralatan, sistem dan jentera pengurusan  sesuatu
   badan  hanya  dapat menolong melicin dan mempercepatkan
   segala  proses  urusan,  tetapi  akhirnya  pihak   yang
   dipertanggungjawabkan untuk urusan yang  terlibat  juga
   yang  akan  mejayakan sesuatu tugas. Kita  semua  perlu
   akui  bahawa  orang  ramai, khususnya  orang  Islam  di
   Malaysia  tidak  begitu senang hati dengan  pentadbiran
   undang-undang Islam di Malaysia.
   
   6.    Ini  menjadi  lebih tidak memuaskan  memandangkan
   Malaysia   adalah   satu-satunya  negara   Islam   yang
   mempunyai  undang-undang Islam yang tersusun dan  jelas
   yang  menterjemahkan  kehendak  agama  Islam  berkenaan
   dengan keadilan dan pengadilan. Di Malaysia pelaksanaan
   hukum    Islam   tidak   bergantung   kepada   tafsiran
   bersendirian oleh hakim akan kehendak Islam  dan  hukum
   yang diwajibkan.  Kita pernah mendengar hakim di negara
   Islam  lain yang menghukum wanita yang dipercayai telah
   berzina  dengan hukuman supaya ia dirogol oleh beberapa
   lelaki.  Kita  juga pernah mendengar orang  Islam  yang
   membunuh sendiri adik perempuan kerana berkawan  dengan
   lelaki bukan Islam.
   
   7.   Selain daripada perbuatan dan penghakiman mengikut
   fahaman  sendiri, ini memberi gambaran yang amat  buruk
   terhadap   agama  Islam  dan  orang  Islam.   Ia   juga
   sebenarnya   bukan   daripada   ajaran   agama   Islam.
   Sebenarnya  hukuman yang dibuat oleh pihak  ini  adalah
   bertentangan dengan ajaran Islam, ajaran yang  terdapat
   dalam   Al-Quran  yang  berkali-kali  menuntut  supaya;
   "Apabila kamu menghukum, hukumlah dengan adil".
   
   8.    Hukuman yang dijatuhkan kerapkali berasas  kepada
   amalan  pra-Islam  orang daripada suku-suku  kaum  yang
   jahil. Sepatutnya setelah memeluk Islam mereka gugurkan
   budaya   lama  mereka,  sepertimana  kita  tahu  mereka
   gugurkan  amalan  menanam hidup-hidup  bayi  perempuan.
   Yang   jelas  larangan  Islam  terhadap  membunuh  bayi
   perempuan  ialah  kerana  perbuatan  itu  begitu  zalim
   sekali.  Tentulah amalan-amalan lain yang  juga  zalim,
   seperti   membunuh  adik  perempuan   kerana   kononnya
   memalukan keluarga, adalah tidak diizinkan oleh Islam.
   
   9.    Al-Quran  selain  daripada memberi  panduan  yang
   jelas,   juga   memberi  perumpamaan.  Al-Quran   tidak
   menghitung  satu-persatu kesalahan dan  larangan  dalam
   Islam.  Manusia  Islam  tentulah  dapat  memahami  akan
   ajaran  dan  kehendak Islam dalam perkara-perkara  lain
   yang   tidak   disebut   secara  khusus.   Dalam   soal
   penghakiman,   atau  pengadilan  yang  utama   tentulah
   keadilan. Tidak ada kezaliman yang dituntut oleh Islam.
   Sebab itu dalam Al-Quran disebut berkali-kali, "Apabila
   kamu hukum, hukumlah dengan adil".
   
   10.  Jika ketidakadilan berlaku di kalangan orang Islam
   sebabnya  tentulah  kerana sifat zalim  yang  ada  pada
   mereka  sebagai  manusia. Dalam sejarah Islam  terdapat
   beberapa khalifah yang zalim, raja yang zalim. Di zaman
   ini  pun  kita  dapat  lihat  kezaliman  pemimpin  yang
   beragama Islam. Kezaliman mereka bukanlah kerana ajaran
   Islam.  Kezaliman mereka adalah kerana sebagai  manusia
   mereka bersifat zalim sehingga sanggup melanggar ajaran
   Islam dan undang-undang Islam.
   
   11.   Oleh  kerana ada orang yang beragama  Islam  yang
   sanggup  melakukan  kezaliman dan  menidakkan  keadilan
   kononnya kerana itu adalah ajaran Islam, maka imej yang
   buruk  terpalit  kepada  agama Islam.  Dan  musuh-musuh
   Islam  pun mengambil kesempatan untuk memburuk-burukkan
   lagi  agama  Islam supaya agama suci ini  ditolak  oleh
   orang  bukan  Islam.  Hari ini orang  Islam  dan  agama
   Islam  begitu dihinakan, bukan kerana agama Islam tidak
   baik  tetapi  kerana telatah dan kelakuan  orang  Islam
   yang  tidak  menghiraukan ajaran  Islam  yang  sebenar.
   Mereka  suka  membuat  tafsiran mengikut  kehendak  dan
   kepentingan mereka walaupun imej Islam terjejas.
   
   12.   Mereka  ini suka mendakwa bahawa pandangan  bukan
   Islam  terhadap Islam tidak penting, nasib buruk  orang
   Islam  tidak  perlu  diambilkira asalkan  ajaran  Islam
   dipatuhi.  Mereka ini suka mempamerkan kekerasan  Islam
   kerana  bagi  mereka inilah ajaran Islam. Mereka  lebih
   suka  kepada hukum yang berat seperti memancung  kepala
   atau  memotong  tangan  tanpa  memberi  tekanan  kepada
   tuntutan  Islam  untuk berlaku adil apabila  menghukum.
   Bahawa  semua pengadilan dalam Islam dikehendaki supaya
   diambilkira  situasi  dan  persekitaran  tidak   diberi
   perhatian.
   
   13.    Demikian  pencuri  yang  mencuri  kerana   ianya
   menghadapi   tekanan  hidup  merana  perlu  diringankan
   hukuman terhadap jenayahnya tidak disebut-sebutkan  dan
   diberi  pertimbangan. Yang selalu disebut ialah hukuman
   potong  tangan  seolah-olah Islam  tidak  mengambilkira
   masalah sosial masyarakat sama sekali.
   
   14.   Sebaliknya  yang ditekankan ialah  tentang  tidak
   mengaibkan  seseorang pembesar yang melakukan  jenayah.
   Untuk  ini  ada  orang yang berpengetahuan  agama  yang
   mendakwa  jika pembesar dihadapkan ke mahkamah  syariah
   maka  dapatlah  keaibannya  dilindungi.  Bahawa  dengan
   perlindungan  ini,  mangsanya tidak  mendapat  keadilan
   tidak   mengapa.  Sekali  lagi  ternampak   kesanggupan
   membelakangkan keadilan kerana kepentingan lain, seolah-
   olah  dalam  Islam  keadilan tidak diutamakan,  keaiban
   seseorang adalah lebih utama.
   
   15.   Sesungguhnya agama Islam tidak cacat.  Tidak  ada
   yang  buruk kepada agama Islam. Yang ada ialah  manusia
   yang  zalim  dan  berkepentingan  di  kalangan  mereka.
   Mereka  inilah yang memburukkan imej Islam dalam  soal-
   soal penghakiman dan keadilan.
   
   16.  Di Malaysia kita amat sedar akan kelemahan manusia
   apabila  menghakimkan sesuatu. Sebab itu  undang-undang
   Islam  dikanunkan. Undang-undang lain  juga  dikanunkan
   supaya   tidak  ada  percanggahan  undang-undang   lain
   daripada segi prinsip dan asas undang-undang Islam.
   
   17.   Banyak jenayah yang terdapat di zaman  ini  tidak
   terdapat  di  zaman  nabi dan zaman  keagungan  tamadun
   Islam.  Tetapi  ini  tidak bermakna  perundangan  Islam
   tidak lengkap untuk menangani masalah zaman ini.  Sudah
   cukup  perumpamaan dan contoh yang terdapat  dalam  Al-
   Quran  dan Hadis-Hadis yang sahih.  Jika sukar mendapat
   contoh   dan   perumpamaan  daripada  punca-punca   ini
   sekurang-kurangnya prinsip keadilan dalam undang-undang
   dan  hukum  Islam  mestilah dijadikan  panduan.   Tidak
   mungkin   hukuman   dalam  Islam  tidak   mengambilkira
   keadilan.  Tekanan  akan  pentingnya  keadilan  diulang
   berkali-kali dalam Al-Quran seperti yang terdapat dalam
   ayat-ayat 58 dan 135 dalam Surah An-Nisa, ayat 8  dalam
   Surah Al-Maaidah, ayat 90 dalam Surah An-Nahl dan  ayat
   15 dalam Surah Asy-Syura.
   
   18.  Pendapat  bahawa  walaupun  ternampak  tidak  adil
   tetapi  sebenarnya hukuman itu adil kerana  ia  menurut
   proses  dan  prosedur  Islam  adalah  tidak  munasabah.
   Tidak  boleh ada dalam Islam ketidakadilan yang kononya
   adil.  Demikian menghukum mangsa jenayah dan melepaskan
   penjenayah adalah tidak adil dalam Islam sepertimana ia
   juga  tidak  adil  dalam  apa-apa  undang-undang  lain.
   Pengadilan   bermakna  mencari  keadilan  iaitu   hasil
   daripada  proses  pengadilan ialah keadilan  dan  bukan
   pematuhan kepada proses sehingga berlaku ketidakadilan.
   
   19.  Kita tahu pihak yang terlibat, samada yang menjadi
   mangsa  atau  yang melaku apa yang dituduh oleh  mangsa
   tidak  mungkin mengadili secara adil. Kadangkala kedua-
   dua   pihak  dapat  bertolak  ansur  dan  menyelesaikan
   sesuatu  pertikaian  dengan  cara  rundingan  di   luar
   mahkamah.  Tetapi  dalam  kebanyakan  kes  penyelesaian
   secara ini tidak dapat dicapai. Dalam keadaan ini pihak
   ketiga,  pihak  yang tidak terlibat sama sekali,  tidak
   mempunyai  apa-apa kepentingan perlulah  menjadi  orang
   tengah dan hakim.
   
   20.  Hakim perlu bersifat berkecuali, tidak terpengaruh
   dengan   apa-apa   kepentingan  atau  sentimen   selain
   daripada  menentukan  keadilan kepada  kedua-dua  pihak
   yang menuduh dan yang dituduh.
   
   21.   Hakim tidak boleh memihak kepada mana-mana pihak,
   melindungi  satu pihak kerana ingin menjaga  keaibannya
   sehingga menidakkan keadilan kepada pihak lain.
   
   22.   Hakim perlu memiliki sifat-sifat yang mulia, yang
   berilmu  dan  mengetahui hukum-hukam dan,  sudah  tentu
   bagi  hakim  syariah, mengetahui secara mendalam  agama
   Islam.  Di  zaman  ini jenayah dan bukti-bukti  tentang
   jenayah yang boleh disabitkan dengan penjenayah  adalah
   lebih kompleks, terutama yang berasas kepada ilmu sains
   dan  perubatan. Pakar-pakar dapat memberi maklumat yang
   perlu  diambilkira dalam proses penghakiman  jika  kita
   tidak hendak melihat ketidakadilan berlaku.
   
   23.   Sudah  tentu  hakim tidak boleh membenar  dirinya
   dipengaruhi  oleh pandangannya terhadap perkara-perkara
   lain   yang  tidak  ada  kaitan  dengan  kes,  termasuk
   pandangan politik dan sosial. Pandangan hakim  terhadap
   wanita  dan  lelaki tidak boleh mempengaruhi pengadilan
   dalam  jenayah  yang sama. Segala-gala yang  menidakkan
   keadilan adalah bertentangan dengan Islam, kerana Islam
   bukan sahaja agama penyembahan tuhan tetapi juga adalah
   cara hidup.
   
   24.   Kerana  ingin  melihat keadilan  berlakulah  yang
   hakim dibebaskan daripada tekanan keatas dirinya,  baik
   oleh Kerajaan atau mana-mana pihak.  Tetapi oleh kerana
   hakim  tidak  boleh ditegur dan sukar diambil  tindakan
   pembetulan,  tidak  bermakna hakim  boleh  mengetepikan
   kepentingan  pengadilan  yang adil  semata-mata  kerana
   bebas  daripada  teguran  atau  tindakan.   Jika  hakim
   menyimpang  jauh daripada pengadilan yang  adil  kerana
   menganggap  dirinya  bebas,  maka  institusi  kehakiman
   tentulah  akan  hilang  kepercayaan  masyarakat  selain
   daripada hakim berkenaan tidak akan diberi kepercayaan.
   Dalam  keadaan  perlanggaran yang ketara dan  berulang,
   kebebasan   hakim  tidak  boleh  melindunginya   secara
   mutlak.   Proses  penyingkiran hakim memang  pun  lebih
   susah  tetapi bagi memeliharakan keadilan, penyingkiran
   hakim boleh dibuat.  Tidak ada sesiapa dalam masyarakat
   yang  bebas  daripada kuasa undang-undang.   Perletakan
   semua anggota masyarakat termasuk raja di bawah undang-
   undang  adalah penting untuk kesejahteraan  masyarakat.
   Hanya   pemerintahan  mengikut  undang-undang,   samada
   undang-undang  awam  atau  syariah,  iaitu   apa   yang
   sekarang dikenali sebagai " the Rule of Law" yang  akan
   menjamin     keadilan    dan    kesejahteraan     hidup
   bermasyarakat.   Kerajaan dan rakyat mesti  menghormati
   undang-undang.    Tetapi  hakim   dan   pegawai-pegawai
   mahkamah  "officers of the court" termasuk pendakwaraya
   dan peguambela juga tidak terkecuali daripada keperluan
   mematuhi undang-undang awam atau undang-undang syariah.
   
   25.   Pengenalan E-Syariah dalam urusan  pengadilan  di
   mahkamah  syariah  juga bertujuan  menentukan  keadilan
   tercapai.    E-Syariah   boleh  mempercepatkan   proses
   penghakiman  kerana kelewatan mengadil akan  menidakkan
   keadilan.   Kita  tahu ada kalanya masa  bertahun-tahun
   berlalu   sebelum   pengadilan   diputuskan.     Dengan
   berlalunya  masa  saksi, tertuduh daripada  pihak  yang
   mengadu   akan  lupa  berkenaan  perkara-perkara   yang
   relevan   dengan  kes  berkenaan,  atau  mereka   sudah
   meninggal  dunia.   Dengan ini pengadilan  tidak  dapat
   dibuat  atau  menjadi tidak bermakna lagi.   Ini  sudah
   tentu bercanggah dengan kepentingan keadilan.
   
   26.   Dengan  adanya kemudahan E-Syariah segala  proses
   penghakiman  dapat  dipermudah dan dipercepatkan.   Ini
   akan   menolong   menentukan  keadilan  lebih   mungkin
   tercapai.    Pengenalan  sistem  ini   bukanlah   untuk
   kecanggihan   walaupun   kita  tidak   hendak   melihat
   penguatkuasaan undang-undang Islam kekal di takuk  yang
   lama.
   
   27.  Sesungguhnya Malaysia berjaya mempraktikkan ajaran
   Islam  dengan tersusun dan tertib sesuai dengan keadaan
   zaman.   Kita telah berjaya mengadakan perbankan Islam,
   takaful,  dan  pentadbiran  yang  memiliki  nilai-nilai
   Islam.    Undang-undang  awam  kita  juga  dikaji   dan
   diubahsuai  supaya  tidak  bertentangan  dengan  ajaran
   Islam,  terutamanya daripada segi menentukan  keadilan.
   Demikianlah  berjayanya penerapan  Islam  sebagai  cara
   hidup  kita  di Malaysia sehingga banyak  negara  Islam
   lain  mendakwa Malaysia adalah negara Islam contoh  dan
   mereka  sering  menghantar rombongan untuk  mempelajari
   cara-cara kita.
   
   28.   Di  masa  yang sama kaum lain di  Malaysia  tidak
   tersinggung atau berasa tertekan kerana penerapan nilai-
   nilai  dan ajaran Islam yang kita lakukan.  Ini  adalah
   kerana   kita   tidak  mengada-ngada  sehingga   hendak
   diIslamkan  segalanya  yang tidak  mungkin  diIslamkan.
   Ada  yang  percaya  bahawa warna tertentu  lebih  Islam
   daripada warna lain, pakaian tertentu adalah Islam  dan
   pakaian lain tidak dan seterusnya.  Kita anggap  bahawa
   Islam  adalah agama bagi semua masa dan zaman dan tidak
   bagi  abad ke tujuh 1400 tahun dahulu sahaja.   Mencuba
   mengembalikan   keadaan   1400   tahun   dahulu   untuk
   mengembalikan kebesaran Islam sebenarnya menghina agama
   Islam  sebagai agama yang hanya mampu berjaya di  zaman
   kuno.   Kita perlu buktikan bahawa dalam apa juga zaman
   dan   keadaan  persekitaran,  Islam  tetap   sama   dan
   berkemampuan untuk menjadi agama yang sesuai yang mampu
   mendirikan tamadun yang gemilang.
   
   29.  Pada masa ini, kita menyaksikan penggunaan ICT  di
   mana-mana  sahaja.   Penggunaan  Internet,  e-mel   dan
   berbagai-bagai rupa bentuk komputer, sudah tidak  asing
   lagi  bagi kita.  Teknologi maklumat yang menggabungkan
   teknologi  komputer dan teknologi telekomunikasi  telah
   terbukti  berupaya mengumpul, memproses,  dan  menyebar
   maklumat  untuk  kegunaan meluas.  Jika  kerana  alatan
   moden  ini  berlaku keruntuhan akhlak  dan  kepincangan
   dalam masyarakat manusia, termasuk yang beragama Islam,
   sebabnya  bukanlah kerana alat-alat ini, tetapi  kerana
   sifat  yang tidak baik yang ada pada manusia.   Sebilah
   pisau  boleh mengukir sesuatu  yang cantik tetapi pisau
   yang  sama boleh juga membunuh.  Yang salah bukan pisau
   tetapi manusia yang menggunakannya.
   
   30.  Dalam arus teknologi maklumat dan komunikasi, umat
   Islam wajib menguasai bidang ICT bukan sahaja bagi maksud
   memanfaatkannya  dalam  kehidupan  kita,  malah   untuk
   membuktikan keupayaan kita bersaing.  Kita tidak  harus
   menjadi pengguna semata-mata.  Malah kita perlu berusaha
   untuk menghasilkan perkakasan dan teknologi baru.  Dalam
   hubungan ini, aplikasi E-Syariah merupakan satu-satunya
   perisian aplikasi Mahkamah Syariah yang terbukti  mampu
   dibina oleh anak tempatan tanpa memerlukan kepakaran luar
   negara.
   
   31.E-Syariah  bukan  jawapan kepada  permasalahan.   E-
   Syariah cuma merupakan alat pemudah dan kaedah pemboleh
   (enabler) yang saya harapkan akan dapat membantu  warga
   pentadbiran  hal  ehwal Islam dan  pengurusan  Mahkamah
   Syariah  meningkat kecekapan dan ketelusan  urusan  dan
   perkhidmatan bagi kebajikan orang ramai.
   
   32.Saya  yakin pelaksanaan Projek E-Syariah  ini  boleh
   mendatangkan  banyak  manfaat kepada  sistem  kehakiman
   syariah, memudahkan urusan, dan membolehkan orang ramai
   menikmati  perkhidmatan yang lebih cekap  dan  berkesan
   terutama  dengan pemasangan sistem E-Syariah  di  semua
   Mahkamah Syariah di seluruh negara.  Saya harap  dengan
   terlaksananya  sistem  ini proses  kerja  di  mahkamah-
   mahkamah akan lebih teratur dan sistematik dengan  kes-
   kes  didaftar dan dipantau dengan lebih rapi dan telus.
   Mudah-mudahan orang ramai akan memperolehi perkhidmatan
   yang lebih cekap dan memuaskan.
   
   33.   Sekian dan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim,
   saya  dengan  sukacitanya melancarkan Projek  E-Syariah
   ini.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google