Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 28/02/2003
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN HARI
KRAF KEBANGSAAN
Versi :
Penyampai : PM
Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian
Pembangunan Usahawan atas jemputan untuk melancarkan
Majlis Hari Kraf Kebangsaan yang julungkali diadakan.
2. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Perbadanan
Kemajuan Kraftangan Malaysia atas inisiatif mengadakan
Hari Kraf Kebangsaan bagi mengiktiraf pengusaha dan
penggiat kraf dalam mengembangkan industri kraf negara.
Walaupun kraf tidak memberi pulangan yang lumayan
tetapi jika diusahakan secara lebih teratur, perusahaan
ini boleh membantu meninggikan pendapatan ramai yang
bekerja separuh masa atau bersendirian yang biasanya
berpendapatan rendah.
3. Kraf adalah industri warisan yang bergantung banyak
kepada kecekapan tangan individu yang terlibat. Ada
yang begitu cekap sehingga hasil kerja mereka begitu
halus dan bernilai amat tinggi. Di beberapa negara
Timur, termasuk Jepun, pekerja yang tercekap sekali
dijadikan Khazanah Negara atau "National Treasure" dan
mereka dibantu oleh kerajaan supaya mereka dapat
meneruskan kerja tangan mereka dan tidak meninggalnya
kerana ingin bekerja dalam bidang yang memberi
pendapatan yang lebih. Dengan itu kecekapan ini dapat
dikekalkan walaupun permintaan untuknya tidak sebegitu.
4. Tetapi mereka yang menjadi "National Treasure" ini
dikehendaki menurunkan kecekapan mereka kepada generasi
yang muda supaya seni kraf ini tidak akan luput. Dengan
cara ini satu daripada warisan kita tidak akan hilang.
5. Namun kraf masih dapat memberi kerja dan pendapatan
jika diuruskan secara komersial. Walaupun produk kraf
adalah hasil kerja tangan tetapi cara kerja seperti ini
tidak dapat membekalkan jumlah yang cukup untuk
permintaan yang besar (mass consumption) bagi semua
barangan di zaman ini). Kita tidak lagi boleh buat satu
dua barangan seminggu secara sambilan untuk menjualnya
di kampung atau bandar berdekatan hanya apabila siap.
Pasaran sekarang memerlukan bekalan yang banyak yang
disiapkan mengikut jadual pesanan. Kualiti juga
mestilah tinggi dan sama untuk satu-satu produk yang
dikeluarkan.
6. Hasil kerja tangan yang bergantung kepada kecekapan
masing-masing pekerja tetap tidak sama daripada segi
kualiti dan ukuran. Bekalan juga tidak menentu kerana
kerja di rumah tidak tertakluk kepada disiplin tempat
kerja terutama masa bekerja. Pelanggan akan kecewa
apabila pesanan tidak ditunaikan mengikut jadual yang
dipersetujui. Hasil kerja tangan tidak mungkin tinggi
jumlahnya sedangkan dalam zaman "mass consumption"
jumlah yang amat besar diperlukan. Jumlah untuk menguji
pesanan sahaja pun amat besar sehingga pengusaha kraf
tidak dapat membekalnya.
7. Pasaran menentukan jaya atau gagalnya industri.
Jenis industri yang tidak mampu memenuhi permintaan
pasaran tidak akan maju bahkan akan hilang terus.
Banyak sudah industri tradisional yang tidak ada lagi.
Justeru itu jika industri kraf hendak dikekal dan
dimajukan, selera dan permintaan pasaran mestilah
diambilkira.
8. Walaupun kraf melibatkan kerja tangan tetapi cara
bekerja tidak semestinya sambilan dan diusahakan
bersendirian. Kraf juga boleh diusaha secara teratur
dengan mengadakan kilang yang mengamalkan disiplin
tempat kerja. Kerja-kerja yang dibuat tidak perlu
dilakukan oleh seorang pekerja dari mula sehingga ke
peringkat akhir dengan terhasil barang yang sedia untuk
dijual. Sebenarnya kerja-kerja yang diperlukan boleh
dibahagi-bahagi supaya pekerja tertentu membuat
sebahagian sahaja daripada kerja yang diperlukan. Kerja-
kerja lain disusuli oleh pekerja lain dan seterusnya
sehingga barang berkenaan dihasil sepenuhnya.
9. Dengan bekerja mengikut jadual dan pembahagian
kerja seperti dalam industri-industri moden yang lain,
maka bukan sahaja barangan berkenaan akan sama kualiti
dan ukurannya tetapi pengeluaran akan dapat
dipercepatkan dan jumlah akan menepati permintaan
pasaran. Masa bekerja mestilah ditetapkan mengikut
amalan kilang-kilang industri lain. Pekerja boleh
dibayar gaji tetap dan juga peratusan tertentu daripada
keuntungan. Pekerja juga boleh melabur dalam kilang
kraf seperti dengan perniagaan-perniagaan lain.
10. Seperkara lagi ialah penggunaan alatan dan mesin
yang boleh menolong percepatkan dan menentukan ukuran
dan kualiti kerja-kerja tertentu. Sudah tentu barangan
yang dihasilkan dengan mesin bukanlah kraf yang sebenar.
Tetapi untuk bahagian kerja tertentu mesin boleh
digunakan. Membelah buluh dan menyediakan bahan untuk
anyaman atau melukis batik dan lain-lain yang sesuai
untuk mesin sepatutnya tidak dibuat dengan tangan.
Mengulang sesuatu "design" yang sama juga lebih baik
dibuat dengan mesin.
11. Penggunaan mesin untuk kerja-kerja tertentu dalam
menghasilkan barangan kraf akan menjamin keluaran yang
lebih besar yang mana ini akan menolong bekalan untuk
pasaran dengan secukupnya.
12. Sesuatu barangan kraf yang dibuat sepenuhnya
dengan tangan akan mendapat nilai dan harga yang tinggi.
Tetapi jumlahnya tidak akan mencukupi untuk pasaran
"mass consumption" dan juga permintaan untuknya tidak
mungkin besar. Sebaliknya kraf yang melibatkan
penggunaan mesin akan mempunyai nilai yang kurang tinggi
tetapi pasarannya lebih besar. Jelas sekali terdapat
dua jenis pasaran, satu yang berkualiti tinggi tetapi
permintaan terhad; dan satu lagi yang berkualiti rendah
sedikit tetapi permintaan lebih tinggi.
13. Dalam perusahaan songket umpamanya, alatan tenunan
tradisi mengeluarkan hasil yang amat tinggi nilainya
tetapi mengambil masa yang panjang dengan kos kerja yang
juga tinggi. Dengan itu harga kain songket yang ditenun
secara tradisi amat tinggi dan mampu dibeli hanya oleh
orang berada sahaja untuk acara tertentu. Ia tidak
sesuai untuk pakaian harian atau pun seminggu sekali
untuk sembahyang Jumaat.
14. Hari ini Malaysia mengimpot dari Selatan Asia kain
benang emas yang seakan-akan kain songket. Ramai yang
tidak mampu membeli kain tenunan tradisional terpaksa
membeli kain benang emas tenunan mesin dari negara asing
ini. Yang jelas ialah ada pasaran baik bagi kain-kain
seperti ini. Tidak ada sebab kenapa kita tidak boleh
ada industri kain benang emas buatan mesin ini. Saya
yakin jika kita ada perusahaan ini coraknya akan lebih
berselera Melayu dan lebih sesuai dengan kehendak kita.
15. Kerajaan ingin memperkenalkan industri yang juga
mempunyai unsur separuh kraf ini. Kita akan sokong
industri kecil seperti ini jika ia disusun sebagai
kilang kecil yang diurus mengikut cara-cara komersial.
Untuk ini latihan boleh diberi kepada yang berminat
dalam bidang pengurusan kilang.
16. Bagi membangunkan kawasan luar bandar, kerajaan
akan memperbaharui konsep satu kampung satu industri
dengan cara mengadakan satu kilang kecil bagi satu
kampung. Barangan yang dikeluarkan tidaklah semestinya
barangan kraf. Barangan buatan kilang yang sesuai untuk
industri kecil di kampung akan dikenalpasti dan diberi
galakan. Projek ini menjadi penting kerana ramai
penduduk kampung mendapat pendapatan yang rendah kerana
tidak bekerja sepenuh masa. Dalam bidang pertanian
kerja yang dibuat lebih menumpu kepada kerja sambilan
dan tidak memerlukan kerja setiap hari. Dengan itu
terdapat masa lapang berkali ganda lebih daripada masa
bekerja. Tidak mungkin petani mendapat pendapatan yang
sama dengan pekerja kilang yang bekerja lapan jam sehari
setiap hari melainkan pada hujung minggu atau cuti am.
Keluhan para petani dan nelayan akan kemiskinan mereka
memang berasas tetapi sebabnya ialah kerana masa kerja
petani dan nelayan tidak sama dengan pekerja kilang.
Dengan adanya kilang yang terletak di kampung maka masa
lapang petani dan nelayan bolehlah di manfaatkan dengan
bekerja di kilang. Sudah tentu pendapatan mereka akan
bertambah. Waktu bekerja bolehlah disusun dengan
mengambilkira waktu untuk pertanian dan waktu untuk
bekerja di kilang.
17. Jika pertanian tertentu yang hendak diusahakan,
jadual kerja separuh di kilang boleh diamalkan.
Pertanian bukanlah bertanam sahaja dan kemudian menunggu
hasil tanpa membuat apa-apa. Banyak kerja perlu dibuat
supaya hasil pertanian adalah lebih baik. Sebab itu
disiplin kerja diperlukan dalam pertanian juga. Kebun
getah yang nampak seperti hutan dengan hasil yang rendah
adalah kerana tidak ada disiplin kerja.
18. Saya yakin kalau kita sanggup bekerja tidak ada
sebab kenapa kita harus terus miskin. Adalah menjadi
hasrat Kerajaan melihat semua rakyat Malaysia
memperolehi pendapatan yang lebih tinggi samada sebagai
pekerja yang mengambil upah atau yang bekerja
bersendirian, samada di kilang atau di ladang. Tetapi
kita perlu mengambilkira persaingan dalam pasaran di
mana kita menawarkan khidmat atau tenaga kita. Jikalau
kita tuntut upah yang tidak setimpal dengan sumbangan
khidmat atau tenaga kita, maka hasil kerja kita akan
menjadi terlalu tinggi kosnya sehingga tidak dapat
bersaing dalam pasaran dan tidak dapat dijual. Dengan
itu perusahaan kita akan rugi dan gagal dan kita akan
hilang pekerjaan, menganggur dan tidak mempunyai
pendapatan sama sekali.
19. Sebaliknya jika hasil kerja kita bermutu tinggi dan
jumlahnya menepati permintaan pasaran, upah dan
pendapatan kita boleh ditingkatkan sehingga kita bukan
sahaja tidak miskin lagi tetapi kita akan lebih berada
dan taraf hidup kita akan meningkat.
20. Kita sedang berusaha untuk menjadikan negara kita
negara maju menjelang 2020. Kita tidak ingin melihat
dalam negara kita yang sudah maju terdiri daripada kaum
tertentu dan yang tidak maju yang terus miskin daripada
kaum tertentu yang lain. Sedikit sebanyak kita boleh
membantu mereka yang miskin tetapi tentulah tidak sama
dengan yang berusaha sendiri. Bantuan Kerajaan tidak
boleh menjadikan orang yang miskin kaya. Hanya yang
berusaha sendiri sahaja yang akan kaya. Kejayaan orang
lain yang menyumbang kepada peningkatan negara kita ke
peringkat negara maju adalah kerana mereka berusaha
bekerja keras baik sebagai pekerja, peniaga atau
pengusaha. Siapa sahaja yang berusaha yang sanggup
bekerja keras akan maju. Sebabnya orang asing berhempas
pulas hendak datang ke Malaysia ialah kerana terdapat
banyak peluang kerja di Malaysia. Peluang-peluang ini
ada kerana rakyat Malaysia sendiri tidak sanggup
bekerja, tidak sanggup kotor tangan, tidak sanggup
berpindah sedikit ke tempat di mana ada peluang kerja.
21. Orang Melayu khususnya perlu ingat apabila mereka
tidak sanggup bekerja di zaman British, penjajah telah
membawa masuk pekerja dari India dan China. Pada satu
ketika orang Melayu menjadi kaum yang minoriti di
Malaya. Jika tidak kerana kemelesetan ekonomi pada
tahun-tahun tiga puluhan yang menyebabkan ramai daripada
orang asing balik ke negara mereka mungkin semasa kita
menuntut kemerdekaan kita orang Melayu akan menjadi puak
minoriti yang lemah dalam segala-galanya. Jika kita
capai kemerdekaan dalam keadaan itu kita tidak pun akan
dapat sedikit kuasa yang dimiliki oleh kita sekarang.
Kita akan jadi seperti orang Melayu di sebuah negara
Asia Tenggara yang tidak pun dilayan sebagai rakyat yang
memiliki sama hak dengan rakyat lain.
22. Inilah kesan ketidaksanggupan orang Melayu untuk
berusaha, bekerja, bersikap cermat dengan harta benda.
Sekarang ini kita sekali lagi terpaksa bergantung kepada
tenaga pendatang asing. Janganlah kita kecewa kemudian
kerana sedikit kelebihan yang ada pada kita daripada
segi politik akan terhakis dan kita menjadi orang yang
miskin di Malaysia yang sudah maju.
23. Kerajaan tidak mencadang sesuatu melainkan untuk
kebaikan. Banyak sudah peluang pekerjaan, perniagaan
dan perusahaan yang telah diadakan oleh Kerajaan.
Pembangunan industri kraf ini adalah satu daripadanya.
Kita tidak boleh menguruskan industri kraf secara
dahulu, secara perusahaan sambilan oleh individu yang
kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kita
mesti jadikan industri kraf industri yang teratur,
dengan kilang-kilang kraf yang mengamalkan disiplin
tempat kerja, yang mengeluarkan barangan secara teratur
dengan kualiti yang tinggi dan menepati pesanan yang
dibuat oleh pelanggan. Ini sahaja cara yang boleh
menghidupkan industri kraf dan memberi pulangan
pendapatan yang setimpal dan baik kepada pekerja dan
pengusaha.
24. Setelah cuba membangunkan industri kraf dengan
menggalakkan individu mengeluarkan barangan kraf secara
persendirian dan mendapati cara ini gagal memajukan
industri ini dan menambah pendapatan penduduk desa,
Kerajaan sedang mencuba cara industri kilang kecil di
desa untuk memajukan kraf tangan dan industri kecil di
kampung. Tanda-tanda cara ini disambut baik dan memberi
pekerjaan kepada penduduk kampung yang tidak dapat atau
tidak mahu tinggal kampung sudah pun ternampak. Hanya
yang tinggal ialah mengenalpasti industri dan barangan
yang berlainan untuk diperkenalkan. Janganlah sesiapa
anggap pendekatan ini sebagai peluang untuk mendapat
bantuan wang daripada Kerajaan yang akan digunakan untuk
tujuan-tujuan lain. Janganlah sengaja menggagalkan
projek ini. Jangan kita musnahkan diri.
25. Dalam zaman moden ini kita perlu sesuaikan diri
kita dan cara kita dengan aliran zaman. Jika tidak kita
akan ketinggalan. Sudah banyak bangsa dan tamadun yang
hilang dari muka bumi ini. Janganlah kita menjadi satu
daripadanya.
26. Kraf mencerminkan budaya dan seni yang memberi
identiti kepada sesuatu bangsa. Jika sesuatu kraf atau
perusahaannya sudah menjadi lapuk kita boleh hidupkan
kraf itu melalui cara-cara baru. Segala hasil kraf
zaman dahulu perlu dijadikan khazanah bangsa dan negara
dan di simpan dengan baik. Ia boleh menjadi punca
inspirasi daripada segi bentuk dan penghiasannya. Ia
juga menjadi bukti asas tamadun kita. Oleh kerana sebab-
sebab inilah dan potensinya sebagai industri yang boleh
memberi pulangan yang baik, yang kita perlu hidupkan
warisan kraf kita.
27. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada
Kraftangan Malaysia kerana mengundang saya untuk
melancarkan majlis ini serta memberi peluang untuk saya
melihat sendiri keindahan produk-produk kraf yang
dikeluarkan oleh usahawan kraf tempatan. Saya menyeru
kepada hadirin untuk bersama-sama mempromosikan produk
kraf tempatan sebagai pilihan utama untuk dijadikan
hiasan atau cenderahati. Dengan cara ini kita dapat
memperluaskan lagi pengedaran produk kraf tempatan.
28. Dengan ini saya dengan sukacitanya melancarkan Hari
Kraf Kebangsaan.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|