Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	SERI PERDANA, PUTRAJAYA
Tarikh/Date	:	12/05/2003
Tajuk/Title 	:	JAMUAN MAKAN MALAM MERAIKAN TYT 
			GERHARD SCHROEDER CANSELOR 
			REPUBLIK PERSEKUTUAN JERMAN
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM 
	    

    Saya   berbangga  dan  berasa  terhormat  kerana  dapat
mengalu-alukan kedatangan Tuan Yang Terutama serta rombongan
ke Kuala Lumpur.  Lawatan Tuan Yang Terutama memberikan saya
peluang  untuk  membalas balik layanan mesra yang  saya  dan
rombongan  saya  terima sewaktu melawat negara  Jerman  pada
bulan  Mac  tahun  lalu.   Ini juga merupakan  lawatan  yang
pertama  kali  dilakukan  oleh seorang  Canselor  Jerman  ke
Malaysia.

2.    Saya  berharap  Tuan Yang Terutama  akan  dapat  lebih
memahami  kepelbagaian budaya Malaysia dan pembangunan  kami
yang  mendapat banyak faedah daripada kepakaran dan sokongan
Jerman.

3.     Saya  berasa  dukacita  bahawa  tidak  ada  ahli-ahli
perniagaan  yang  turut  serta  dalam  rombongan  Tuan  Yang
Terutama.  SARS bukanlah satu ancaman kepada Malaysia.   WHO
tidak  pun meletak Malaysia dalam senarainya.  Saya berharap
peniaga-peniaga  Jerman akan datang kemudian.   Tahun  lepas
Jerman  adalah  pelabur  terbesar di  Malaysia.   Kami  amat
berminat  untuk  melihat lebih banyak lagi pelaburan  Jerman
bagi faedah bersama kedua-dua negara kita.

4.    Sejak  pertemuan terakhir kita pada  bulan  Mac  tahun
lalu, keadaan dunia telah menjadi semakin buruk.   Hari  ini
ekonomi  dunia semakin lembab.  Tambahan, kami negara-negara
kecil  kini  hidup  dalam ketakutan, bukan  sahaja  daripada
pengganas-pengganas tetapi juga daripada tindakan unilateral
oleh negara-negara yang kuat.  Kita tidak boleh mengharapkan
perlindungan   daripada  pertubuhan-pertubuhan  antarabangsa
seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana negara-
negara yang kuat seperti Amerika Syarikat dan Britain  boleh
menyerang Iraq tanpa keizinan PBB.

5.     Apabila   undang-undang   dan   konvensyen-konvensyen
antarabangsa  diketepikan  oleh mereka  yang  menggubal  dan
memperjuangkannya maka huru-hara antarabangsa boleh berlaku.
Negara-negara  yang  lemah tidak  boleh  lagi  diharap  akan
mematuhi     undang-undang     dan     konvensyen-konvensyen
antarabangsa jika keselamatan mereka terancam.

6.    Saya  ingin ucapkan tahniah kepada Tuan Yang  Terutama
kerana  Jerman di bawah kepimpinan Tuan Yang Terutama  telah
mengambil  pendirian yang berprinsip berkenaan  pencerobohan
negara  Iraq.  Kami berasa lega sedikit melihat negara  Tuan
Yang  Terutama  dan  beberapa negara  Eropah  masih  percaya
kepada  PBB  dan konsensus antarabangsa.  Kami  mengharapkan
Jerman  dan  negara-negara yang seperjuangan berusaha  untuk
mengembalikan   keyakinan  terhadap  PBB  dan  undang-undang
antarabangsa.

7.   Malaysia percaya ketegangan dan pergolakan yang berlaku
di  dunia sekarang mempunyai kaitan dengan tindakan merampas
tanah  wilayah Arab Palestin untuk dijadikan negara  Israel.
Sejak  dari  itu tidak ada lagi kestabilan dan  keamanan  di
Timur   Tengah.   Dan  sekarang  ketidakstabilan  itu  telah
merebak  hingga ke seluruh dunia.  Ini adalah punca  sebenar
berlakunya  keganasan di seluruh dunia yang kita lihat  hari
ini.

8.    Kita  seharusnya  berusaha untuk mengenalpasti  sebab-
sebab   berlakunya  konflik  Palestin  -   Israel.    Tetapi
sebaliknya   kita  lihat  terdapat  usaha  untuk   mengganas
terhadap    pengganas-pengganas   bagi   menyekat    mereka.
Sekarang  negara-negara di dunia sedang diancam dan ditakluk
walaupun tiada bukti penglibatan mereka dalam keganasan.

9.    Serangan ke atas Iraq dilihat oleh dunia Islam sebagai
satu  usaha  untuk menakutkan negara-negara  Islam.   Tetapi
pengganas-pengganas  bukanlah  di  bawah  kawalan  Kerajaan.
Mereka  juga  tidak  selalunya  berada  di  negara  sendiri.
Mereka   boleh  berada  di  mana-mana,  di  United  Kingdom,
umpamanya, dan sebagai orang yang sudah putus asa dan  marah
mereka   tidak   berasa  terhalang.   Peperangan   menentang
keganasan  tidak  akan berjaya walaupun semua  negara  Islam
ditakluki.   Sebagai pejuang pembebasan negara  mereka  akan
bermati-matian untuk menentang penjajahan.



10.   Serangan Wabak SARS telah mencetuskan kesan yang buruk
kepada  ekonomi  Asia Timur dan juga dunia.   Penyakit  yang
baru  sekarang muncul dengan kerapnya.  HIV - Aids, penyakit
Mad  Cow,  Ebola,  Japanese Encephalitis dan  jenis  denggi,
malaria, batuk kering yang tidak boleh diubati adalah antara
penyakit  baru.   Tindakan  kita menangani  wabak  penyakit-
penyakit   ini  adalah  tidak  tersusun.   Ada   kemungkinan
penyakit-penyakit  ini  dan  penyakit-penyakit   baru   akan
merebak ke seluruh dunia dan menyebabkan kerosakan yang amat
besar.

11.   Secara  logiknya  kita boleh  menjangka  lebih  banyak
penyakit  baru akan muncul.  Dunia kini perlu merangka  satu
strategi  dan mempunyai kebolehan untuk menghadapi penyakit-
penyakit baru ini.  Wang hendaklah diperuntukkan untuk pusat-
pusat   untuk  menjalankan  pengesanan  awal  dan   menyekat
merebaknya  penyakit-penyakit  ini.   Adalah  sungguh   baik
sekali sekiranya sebahagian kecil peruntukan kewangan  untuk
senjata  diperuntukkan  kepada  penubuhan  pusat-pusat  yang
dapat bertindak pantas ke atas penyakit-penyakit baru ini di
seluruh dunia.

12.    Lawatan   Tuan  Yang  Terutama  ke   Malaysia   jelas
menunjukkan  keinginan Jerman untuk mengukuhkan lagi jalinan
persahabatan  demi kepentingan kedua-dua belah pihak  negara
kita.

13.    Izinkan   saya   sekali  lagi  untuk   mengalu-alukan
kedatangan Tuan Yang Terutama serta rombongan.  Lawatan Tuan
Yang  Terutama, walaupun singkat, telah memberi tekanan baru
kepada hubungan dua hala kita.  Saya yakin hubungan ini akan
terus  dapat dipertingkatkan lagi dan semakin maju di  masa-
masa akan datang.

Terima kasih.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google