home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   PENGUMUMAN PAKEJ STRATEGI BARU KE ARAH
   MERANGSANG PERTUMBUHAN EKONOMI NEGARA
   OLEH
   YAB DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
   PERDANA MENTERI DAN MENTERI 
   KEWANGAN MALAYSIA
   PADA 21 MEI 2003
   ----------
   
   
   
        1.Kerajaan  telah menyediakan satu pakej  strategi
   baru   yang   mengandungi  langkah  komprehensif   bagi
   merangsang  pertumbuhan  ekonomi.  Strategi  baru   ini
   diperlukan  kerana  perkembangan  politik  dan  ekonomi
   dunia  akhir-akhir ini, pencerobohan ke atas  iraq  dan
   ancaman  SARS.  Persekitaran global kini menjadi  tidak
   menentu   dan  rumit,  dan  akan  menghalang  pemulihan
   ekonomi dunia.
   
   2.   Setakat ini ekonomi negara masih mampu mengekalkan
   tahap  pemulihan  yang kukuh. Pada 11  Mac  tahun  ini,
   Kerajaan  telah pun mengumumkan 10 langkah  baru  untuk
   merangsang  dan memantapkan lagi pasaran modal  negara.
   Bagaimanapun, pakej strategi baru ini adalah perlu bagi
   merangsang lagi pertumbuhan ekonomi dan tahap keyakinan
   pelabur dan pengguna.  Pakej ini memberi tumpuan kepada
   empat   strategi  utama  iaitu  menggalakkan  pelaburan
   swasta, memperkukuhkan daya saing negara, menjana punca
   pertumbuhan baru dan meningkatkan keberkesanan delivery
   system  Kerajaan dan swasta.  Pakej ini mengandungi  90
   langkah termasuk untuk mengatasi kesan SARS.
   
   Strategi Pertumbuhan
   
   3.    Kerajaan peka kepada keluhan berterusan  mengenai
   akses kemudahan pinjaman kepada peniaga kecil. Kerajaan
   akui  walaupun  bank memenuhi kuota bagi peniaga  kecil
   dan  sederhana, tetapi kelemahan penyaluran  dana  oleh
   institusi   kewangan   telah   mengakibatkan   kegiatan
   pinjaman  haram. Oleh itu, antara langkah  utama  pakej
   ini  ialah  penubuhan Skim Kredit Mikro  untuk  peniaga
   kecil  di  bawah  Bank Pertanian Malaysia  dengan  dana
   permulaan  RM  500  juta. Di samping itu,  Dana  Amanah
   Ikhtiar  Malaysia (AIM) akan ditambah sebanyak  RM  200
   juta  dan  diletakkan di bawah Bank Pertanian Malaysia.
   Satu  lagi  Skim  Kredit Mikro  sebanyak  RM  300  juta
   diletakkan  di  bawah  Bank  Simpanan  Nasional.    Ini
   bermakna Kerajaan menyediakan tambahan dana sebanyak RM
   1  bilion  di bawah Skim Kredit Mikro. Syarat  pinjaman
   skim  ini  dipermudahkan dengan kadar  faedah  pinjaman
   pada  empat peratus tanpa cagaran, sementara pembayaran
   balik akan dijadualkan mengikut penerimaan aliran tunai
   yang viable.
   
   4.    Bagi  IKS, Kerajaan akan meningkatkan  peruntukan
   untuk  Tabung  Ekonomi  Kumpulan  Usahawan  atau  TEKUN
   sebanyak  RM  200  juta.  Di samping itu,  Bank  Negara
   Malaysia  akan menyediakan sejumlah RM 600 juta  kepada
   Tabung IKS dan RM 400 juta kepada Tabung Usahawan Baru.
   
   5.    Pembangunan  luar  bandar  juga  diberi  tumpuan.
   Kerajaan  akan  meningkatkan  taraf  infrastruktur  dan
   delivery   system   luar  bandar   dengan   menyediakan
   peruntukan  sebanyak    RM 300 juta.  Di  samping  itu,
   tambahan  dana sebanyak RM 200 juta di bawah  AIM  akan
   memudahkan accessibility pinjaman oleh rakyat  di  luar
   bandar.
   
   6.    Bagi  sektor pertanian, tabung makanan juga  akan
   ditambah  sebanyak  RM1  bilion  lagi  untuk  membiayai
   projek  pengeluaran  makanan.  Di  samping  itu,  untuk
   membolehkan nelayan meningkatkan penangkapan,  Kerajaan
   akan membina 1,000 bot yang dilengkapi dengan peralatan
   moden untuk disewa beli kepada mereka melalui Nekmat.
   
   7.    Bagi menggalakkan pelaburan asing, Kerajaan  akan
   melonggarkan  garis  panduan FIC  untuk  menjadi  lebih
   mesra  pelabur, selaras dengan matlamat menarik Foreign
   Direct Investment.
   
   8.    Untuk mempertingkatkan daya saing negara,  antara
   langkah  cukai ialah memanjangkan tempoh taraf perintis
   dan  elaun cukai pelaburan di bawah skim pra-pakej.  Di
   samping  itu, taraf perintis atau elaun cukai pelaburan
   kali  kedua  diberikan kepada syarikat  R&D,  sementara
   pengecualian  sepenuhnya  cukai  pendapatan   diberikan
   kepada  OHQ  (operational  HQ).  Insentif  juga  diberi
   kepada  hypermarkets dan syarikat jualan langsung  yang
   mengeksport produk buatan tempatan.
   
   9.    Keupayaan  negara untuk menarik FDI dalam  sektor
   perkhidmatan   bergantung  kepada  kualiti   gunatenaga
   negara.  Oleh  itu, program latihan dan latihan  semula
   amat   penting.  Kita  masih  mempunyai   ruang   untuk
   meningkatkan    kualiti    gunatenaga    negara    bagi
   menggalakkan lebih banyak pelaburan seperti ini. Tabung
   pembangunan  kemahiran bagi membantu  pelajar  teknikal
   dan  vokasional mendapat pinjaman, akan disusun  semula
   dan  ditambah  sebanyak RM 500 juta.  Di  samping  itu,
   tabung  latihan semula ditubuhkan dengan dana  sebanyak
   RM  100  juta  bagi  program  latihan  dan  re-skilling
   graduan  baru dalam bidang seperti ICT dan  perakaunan.
   Syarikat  Kerajaan diminta menyediakan  latihan  kepada
   graduan  baru  dan pihak swasta harus juga  menyediakan
   latihan yang sama sebagai memenuhi tanggungjawab sosial
   mereka.
   
   10.  Bagi membolehkan rakyat memperolehi tempat tinggal
   yang  lebih  selesa  dan persekitaran  yang  sihat  dan
   bersih,   Kerajaan  akan  melaksanakan  Projek  Harapan
   (harapan  rakyat  memiliki  perumahan).  Langkah   bagi
   sektor  perumahan ini dijangka menjana kegiatan ekonomi
   sambil  meningkatkan  prestasi anak-anak  dalam  bidang
   akademik,  mengelakkan  masalah sosial  seperti  budaya
   lepak  sambil  mengurangkan jurang antara golongan  the
   haves and the have-less.
   
   11.   Ciri utama Projek Harapan ialah pemberian subsidi
   bayaran  kadar faedah pinjaman perumahan sebanyak  tiga
   peratus untuk tahun pertama, atau pinjaman tanpa faedah
   untuk  10  peratus  deposit  bagi  tahun  pertama  bagi
   pembelian  rumah di bawah RM 100,000.  Ini adalah  bagi
   pinjaman  yang diperolehi dari Bank Simpanan  Nasional.
   Untuk  rumah  berharga antara RM100,000 dan  RM180,000,
   pelepasan cukai akan diberi sebanyak RM 5,000  ke  atas
   faedah  pinjaman  bagi tahun taksiran  2003,  RM  3,000
   untuk  2004,  dan  RM  2,000 untuk 2005.  Insentif  ini
   diberikan  bagi  perolehan rumah dalam  tempoh  setahun
   mulai 1 Jun 2003.
   
   12.        Bagi pinjaman perumahan dari bank-bank lain,
   bayaran sebanyak RM 600 akan diberi kepada mereka  yang
   memperolehi rumah berharga di bawah RM100,000.
   
   13.   Pengecualian duti setem juga akan diberi ke  atas
   surat   cara  bagi  perolehan  perumahan  tidak   lebih
   daripada RM180,000, sementara cukai keuntungan hartanah
   pula dikecualikan untuk tempoh setahun mulai 1 Jun.
   
   14.   Kerajaan juga akan membina lebih banyak rumah kos
   rendah   dan  sederhana.   Sebagai  permulaan  Syarikat
   Perumahan  Negara  Berhad (SPNB) akan  membina  150,000
   unit lagi rumah rakyat. Ini akan memberi peluang kepada
   kontraktor yang mempunyai rekod yang baik.
   
   15.   Bagi  ibu  tunggal,  Kerajaan  sentiasa  prihatin
   terhadap kebajikan mereka. Untuk ini, mereka juga  akan
   diberi  keutamaan untuk memiliki unit rumah kos  rendah
   dan  sederhana yang akan dibina dan diperolehi di bawah
   program perumahan SPNB.
   
   16.        Untuk menambah pendapatan boleh guna rakyat,
   caruman  pekerja  kepada KWSP dikurangkan  daripada  11
   peratus kepada 9 peratus untuk setahun bermula  dari  1
   Jun  2003.  Kerajaan berharap pihak MTUC akan menyokong
   langkah ini.
   
   17.        Bagi kakitangan Kerajaan pula, Kerajaan akan
   memberi  bonus  sebanyak setengah bulan gaji.  Syarikat
   Kerajaan  yang menjangkakan keuntungan pada tahun  ini,
   juga  disarankan untuk memberi insentif  kewangan  yang
   sama kepada kakitangan mereka.
   
   18.          Untuk    mengurangkan   kos    menjalankan
   perniagaan,  kadar  campurtangan BNM (BNM  intervention
   rate)  dikurangkan  sebanyak 50 mata asas.  Pengurangan
   ini  hendaklah dimanfaatkan (pass through) kepada semua
   peminjam oleh institusi kewangan.
   
   Meningkatkan Keberkesanan Delivery System
   
   19.   Antara  langkah  untuk meningkatkan  keberkesanan
   delivery  system ialah mempercepatkan urusan  memproses
   dan  memberi kelulusan CFO dan menggunakan sistem  fast
   track   bagi  urusan  pemberian  milik  dan   penukaran
   kegunaan  tanah.  Proses permohonan  permit  dan  lesen
   perniagaan yang lain akan dipendekkan. Pada  masa  yang
   sama,  pihak  swasta  juga perlu  memperbaiki  delivery
   system mereka.
   
   Langkah-langkah Mengatasi Kesan Negatif SARS
   
   20.   Pakej ini juga menggariskan langkah spesifik bagi
   menangani   kesan  negatif  wabak  SARS.  Langkah   ini
   termasuk pemberian diskaun lima peratus daripada jumlah
   bil   elektrik  bulanan  bagi  pengusaha  hotel.  Cukai
   perkhidmatan  dikecualikan ke  atas  perkhidmatan  yang
   disediakan  oleh  hotel  dan  restoran.  Kedua-dua  ini
   diberikan  mulai  1  Jun hingga 31  disember  2003.  Di
   samping  itu,  cukai perkhidmatan ke atas complimentary
   room  yang  disediakan oleh pengusaha hotel  dihapuskan
   mulai 1 Jun 2003.
   
   21.   Bagi  syarikat  pelancongan,  pembayaran  ansuran
   cukai  pendapatan  mereka  ditangguhkan  mulai  1   Jun
   sehingga  31  Disember 2003. Syarikat  pelancongan  dan
   hotel  juga diberi pengecualian levi Tabung Pembangunan
   Sumber Manusia bagi tempoh yang sama. Cukai jalan teksi
   bagi  tempoh  enam bulan pula dikurangkan  sebanyak  50
   peratus sekali sahaja.
   
   22.  Bagi membantu pengurusan aliran tunai pengusaha di
   sektor   pelancongan,  satu  special  relief  guarantee
   facility berjumlah RM 1 bilion disediakan. Bagi pekerja
   yang    dipotong   gaji,   institusi   perbankan   akan
   menyediakan  skim  penyusunan  dan  penjadualan  semula
   pinjaman, termasuk rumah dan kereta mereka.
   
   23.   Langkah-langkah  awal  dan  decisive  yang  telah
   dilaksanakan oleh Kerajaan telah berjaya mencegah wabak
   SARS,   satu   hakikat  yang  diakui  oleh   Pertubuhan
   Kesihatan  Sedunia (WHO).  Namun tanpa usaha sepenuhnya
   daripada   setiap  individu  bagi  menjaga  kebersihan,
   ancaman  penyakit dan wabak tidak akan  dapat  diatasi.
   Kerajaan  akan memperuntukkan RM 200 juta kepada  pihak
   berkuasa   tempatan   bagi   meningkatkan   kerja-kerja
   pembersihan,  termasuk  memastikan  kebersihan  tandas-
   tandas awam.
   
   24.   Pelupusan  sampah mestilah diterima  oleh  rakyat
   pada  standard  yang  bersesuaian  dengan  negara  yang
   sedang  membangun.   Menolak  sistem  dan  amalan  yang
   diterima oleh negara maju hanya akan menyulitkan  usaha
   untuk  membersihkan  persekitaran  kita.   Jika  sampah
   terpaksa dilonggok di kawasan terbuka, iaitu di rubbish
   dump,  ia  akan  meracun air bawah tanah,  selain  dari
   menjadi tempat untuk serangga dan kuman membiak.
   
   25.   Bagi  membendung  dan mengawal  penyakit-penyakit
   mudah  berjangkit,  Pusat  Kawalan  Penyakit  atau  CDC
   (Centre  for Disease Control) akan ditubuhkan di  bawah
   Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
   
   26.   Pembiayaan  pakej ini akan melibatkan  peruntukan
   sebanyak   RM   1.7   bilion   dalam   bajet   Kerajaan
   Persekutuan.    Di  samping  itu,  Bank   Negara   akan
   menyediakan  RM  2 bilion, manakala institusi  kewangan
   pembangunan  seperti  Bank  Pertanian  Malaysia,   Bank
   Simpanan  Nasional, Bank Pembangunan dan  Infrastruktur
   dan  Bank Industri menyediakan sebanyak RM 3.6  bilion.
   Institusi-institusi   ini   akan   memperolehi   sumber
   kewangan  daripada  excess  liquidity  in  the  market,
   terutamanya daripada KWSP.
   
   Penutup
   
   27.  Pada keseluruhannya, strategi dan langkah baru ini
   digubal   bagi   merangsang  kegiatan  ekonomi,   serta
   menjamin asas ekonomi yang lebih teguh.  Pakej strategi
   baru  ini  juga menekankan  aspek harapan  dan  peluang
   kepada  rakyat  untuk memperbaiki taraf  hidup  mereka.
   Kerajaan  yakin negara akan dapat mencapai  pertumbuhan
   ekonomi yang lebih baik pada tahun ini dibanding dengan
   tahun  lepas.  Kerajaan juga yakin semua lapisan rakyat
   akan  memperolehi faedah daripada langkah-langkah  yang
   diambil  di  bawah  pakej ini.  Untuk menjayakan  pakej
   ini,  saya  berharap  semua  rakyat  Malaysia   memberi
   kerjasama  sepenuhnya dan sokongan padu serta memainkan
   peranan dengan lebih berkesan.
   
   
   ****
   
   
   Pejabat Perdana Menteri
   PUTRAJAYA
   www.smpke.jpm.my


 
Google