Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 07/06/2003
Tajuk/Title : ISTIADAT MENGADAP DAN ISTIADAT
PENGURNIAAN DARJAH-DARJAH
KEBESARAN, BINTANG-BINTANG DAN
PINGAT-PINGAT MALAYSIA SEMPENA
ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN
SERI PADUKA BAGINDA YANG
DI-PERTUAN AGONG
Versi :
Penyampai : PM
Dengan hormat dan penuh takzimnya, pihak Kerajaan,
pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam serta rakyat
keseluruhannya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah
kepada Tuanku sempena ulangtahun Keputeraan Rasmi
Tuanku pada hari ini. Rakyat sekalian berdoa ke hadrat
Allah Subhanahuwata'ala semoga dilanjutkan usia serta
dilimpahkan rahmat dan hidayah-nya ke atas Tuanku dan
Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah dan semoga Tuanku
berdua sentiasa berada di dalam kandungan sihat,
bahagia dan penuh kedaulatan.
2. Hari Keputeraan Tuanku hari ini adalah amat
istimewa kepada semua rakyat jelata. Institusi di-raja
yang diterajui Tuanku adalah lambang kebanggaan rakyat.
Sejak ditabalkan sebagai Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku
telah berjaya memainkan peranan yang penting dan
efektif mendekatkan lagi institusi di-raja dengan
rakyat jelata.
3. Kehadiran Tuanku di acara-acara rasmi dan
perayaan hari kebesaran kaum-kaum juga mendapat
perhatian rakyat yang amat menghargai peranan aktif
yang dimainkan Tuanku dan Raja Permaisuri bagi
menyemarakkan dan memupuk semangat perpaduan dan
harmoni antara rakyat berbilang kaum, bahasa, agama dan
budaya di negara ini.
4. Lawatan rasmi Tuanku dan Raja Permaisuri ke
jabatan-jabatan dan kementerian Kerajaan serta ke
institusi awam dan swasta lain juga menunjukkan
keperihatinan Tuanku berdua terhadap perkembangan dalam
negara.
5. Akhir-akhir ini, perkembangan politik dan ekonomi
dunia menjadi agak rumit. Keganasan, pencerobohan dan
penindasan kuasa besar ke atas negara-negara kecil dan
lemah, serangan wabak penyakit serta konflik serantau
menjadikan persekitaran global tidak menentu.
6. Di dalam suasana ini, negara tidak terkecuali
daripada turut merasai impak ketidak tentuan
persekitaran ekonomi, politik dan sosial. Sebagai
negara pedagang (trading nation) Malaysia banyak
bergantung kepada pasaran eksport barangan tempatan ke
luar negara. Kemerosotan ekonomi rakan dagang serta
kejatuhan nilai matawang dolar telah memberikan kesan
negatif terhadap prestasi ekonomi negara.
7. Namun begitu, langkah pro-aktif kerajaan
memperkenalkan pakej strategi baru untuk merangsang
pertumbuhan ekonomi negara seperti yang diumumkan baru-
baru ini dijangka dapat menangani impak kelembapan
ekonomi dunia dengan menggalakkan "domestic
consumption" dan pelaburan swasta dalam negeri serta
menjana pertumbuhan baru.
8. Di dalam merangka strategi pertumbuhan baru ini,
Kerajaan juga telah memberi tumpuan khusus kepada
menggalakkan perniagaan kecil bertujuan membantu
golongan berpendapatan rendah meningkatkan lagi taraf
ekonomi mereka. Kerajaan juga telah memberi tumpuan
terhadap mempertingkatkan daya saing negara dengan
memperkenalkan beberapa insentif untuk menggalakkan
pelabur asing dan domestik.
9. Di samping strategi baru, Kerajaan juga telah
memperluaskan aktiviti ekonomi dengan membuka pasaran
baru untuk barangan eksport negara terutama di kalangan
negara Selatan Afrika, Amerika Selatan, negara-negara
Arab serta wilayah Asia Barat agar negara tidak begitu
bergantung kepada pasaran tradisional seperti Amerika
Syarikat dan Eropah.
10. Kejatuhan nilai Dolar Amerika berbanding matawang
Euro juga telah mempengaruhi eksport negara. Nilai
barangan eksport yang menggunakan matawang Dolar
menjadi kurang. Walaupun Kerajaan tidak berhasrat
menukar tambatan ringgit, Kerajaan merasakan adalah
perlu bagi pihak swasta terutamanya yang terlibat di
dalam sektor pengeksportan barangan mengambil langkah
menggunakan matawang Euro sebagai bayaran kerana
kemungkinan besar nilai Dolar akan merosot lagi.
11. Baru-baru ini negara juga telah diserang Sindrom
Pernafasan Akut Teruk (SARS). Alhamdulillah, langkah-
langkah pencegahan awal yang diambil telah berjaya
membendung penyakit tersebut daripada merebak dengan
lebih teruk dan negara tidak tersenarai sebagai antara
negara-negara yang dilanda wabak tersebut. Langkah
"decisive" Kerajaan menangani wabak SARS ini juga
diakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
12. Kerajaan memandang serius hal-hal kesihatan rakyat,
terutamanya wabak penyakit yang boleh membawa maut.
Kebersihan merupakan elemen penting mencegah wabak
penyakit berjangkit dan Kerajaan memerlukan sokongan
dan usaha sepenuhnya daripada setiap individu bagi
menjaga kebersihan.
13. Rakyat mestilah menerima teknologi pelupusan
sampah yang bersesuaian dengan sebuah negara membangun
seperti Malaysia. Kerajaan tidak mampu lagi menyediakan
kawasan pelupusan sampah terbuka (land-fill), yang pada
jangka panjang akan mengakibatkan pencemaran dan
keracunan air bawah tanah, selain menjadi tempat
pembiakan kuman. Jika rakyat terus menerus menolak
sistem dan amalan pelupusan sampah yang diterima negara
maju, ianya akan meyulitkan usaha membersihkan
persekitaran kita bagi mencegah penyakit.
14. Kerajaan percaya kejayaan kita menangani pelbagai
tekanan ke atas negara telah berjaya menyelamatkan
rakyat daripada pelbagai bencana. Justeru itu rakyat
perlu yakin terhadap kebolehan negara menghadapi
krisis. Namun ada segelintir daripada rakyat yang
kurang percaya akan kebolehan kita dan menyertai orang
asing memburuk-burukkan negara. Sikap golongan ini
amat mengecewakan. Sesungguhnya Kerajaan sanggup
menghadapi apa jua cabaran dan masalah yang melanda
negara.
15. Usaha menghalang pembekalan air dan elektrik dan
pelupusan sampah kerana kononnya ianya akan merosakkan
alam sekitar adalah tuduhan yang tidak
bertanggungjawab. Kita harus ingat bahawa orang asing
yang menghasut sudah pun musnah persekitaran mereka
supaya negara mereka dapat dibangunkan. Kini mereka
ingin kekalkan taraf hidup yang rendah bagi kita dengan
menyekat pembangunan negara kerana kepentingan
persekitaran mereka.
16. Walaupun kita semua dapat melihat negara-negara
yang bermasalah ditindas dan ditakluk, ramai juga yang
sedang berusaha untuk memecah-belah dan melemahkan
negara ini. Perlakuan mereka akan mengundangkan
malapetaka bagi negara ini. Harapan Kerajaan ialah
supaya puak ini sedar akan kesan buruk daripada
tindakan mereka dan akan hentikannya.
17. Alhamdulillah, majoriti rakyat amat setia kepada
negara. Anggota Kabinet serta pegawai dan kakitangan
perkhidmatan awam yakin dengan sokongan rakyat di bawah
naungan Tuanku, negara akan terus mencapai pertumbuhan
dan kemajuan pesat. Sesungguhnya negara ini amat
bertuah kerana di bawah naungan Tuanku, negara
diberkati dengan keupayaan untuk menangani pelbagai
cabaran dan rintangan.
18. Sempena ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Tuanku,
Ahli-ahli jemaah menteri dan semua anggota Kerajaan
ingin memberi jaminan sekali lagi bahawa segala
kerjasama dan sokongan akan diberi kepada Tuanku dalam
menjalankan tugas sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di
Pertuan Agong dan kepada Raja Permaisuri Agong selaras
dengan prinsip-prinsip dan keperluan Sistem Raja
Berperlembagaan.
19. Pada hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini,
Kerajaan, pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam
serta rakyat keseluruhannya dengan penuh hormat dan
takzimnya mengucapkan Selamat Hari Keputeraan kepada
Tuanku dan menyampaikan ikrar taat setia yang tidak
berbelah bahagi kepada Tuanku sebagai Raja yang
memerintah dan juga kepada Raja Permaisuri Agong.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|