Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	PUTRAJAYA
Tarikh/Date	:	13/06/2003
Tajuk/Title 	:	MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA 
			MERAIKAN LAWATAN RASMI TYT RECEP 
			TAYYIP ERDOGAN, PERDANA MENTERI 
			TURKI DAN MADAM EMINE ERDOGAN KE 
			MALAYSIA
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM
	    

       Saya  dan  isteri  ingin mengalu-alukan  kehadiran
   tetamu  istimewa  negara  TYT Rejhep  Tayyip  Er-Dowan,
   Perdana  Menteri Turki dan Madam Er-Dowan  serta  semua
   ahli  delegasi  Turki  di majlis makan  malam  di  Seri
   Perdana  sempena  meraikan  lawatan  rasmi  TYT   untuk
   pertama kali ke Malaysia. Sebagaimana kita semua  sedia
   maklum,   Kuala   Lumpur,  dan  Ankara  adalah   bandar
   berkembar   dan  lawatan  ini  akan  mengukuhkan   lagi
   jambatan  persaudaraan di antara kedua-dua buah  negara
   Islam, Malaysia dan Turki.
   
   2.    Izinkan  saya mengimbas kembali pengalaman  manis
   saya  semasa  melawat Turki pada tahun 1983,  1994  dan
   sekali  lagi  pada  tahun 1997 untuk menghadiri  Sidang
   Kemuncak  D-8  yang  dianjurkan buat  kali  pertama  di
   Istanbul.   Saya  juga  telah  berpeluang  belayar   di
   persisiran  pantai  Turki  iaitu  di  Laut  Aegean  dan
   Mediterranean.  Sememangnya  Turki  bukan  sahaja  kaya
   dengan  nilai-nilai kebudayaan dan  adat  resam  tetapi
   juga  dianugerahkan lanskap dan pemandangan yang sangat
   cantik  dan menarik. Anatolia sebagai contohnya  adalah
   merupakan satu pusat ketamadunan manusia sejagat.
   
   3.    Hubungan  dua hala di antara Malaysia  dan  Turki
   adalah  akrab  dan baik. Ini bukan sahaja  kerana  kita
   mempunyai  latar  belakang kebudayaan Islam  yang  sama
   tetapi  juga  kerana  kita telah bekerjasama,  baik  di
   peringkat dua hala mahu pun di peringkat pelbagai hala.
   Kita masih ingat kerjasama rapat kedua-dua negara dalam
   memberi bantuan kepada rakyat Bosnia-Herzegovina semasa
   detik-detik hitam peperangan dan penghapusan  etnik  di
   negara tersebut.
   
   4.   Lawatan TYT ke Malaysia adalah tepat pada masanya.
   Perbincangan  yang  telah kita adakan  hari  ini  dapat
   membuka  peluang kepada kedua-dua belah pihak  meneliti
   semula  dan  mengenal pasti arah tuju untuk mengeratkan
   lagi  hubungan dua hala di antara Malaysia  dan  Turki.
   Jumlah  perdagangan dua hala di antara kedua-dua negara
   pada tahun 2002 adalah pada AS $270 juta dengan eksport
   dari  Malaysia  berjumlah  AS  $211  juta.  Kita  telah
   berusaha  meningkatkan pelaburan  dan  perdagangan  dua
   hala  tetapi  satu  langkah  yang  lebih  konkrit   dan
   berterusan  perlu diambil untuk mencapai tahap  potensi
   sebenar perdagangan serta peluang perniagaan yang masih
   banyak belum diterokai oleh kedua-dua negara.
   
   5.    Kedatangan  TYT ke Malaysia dengan diiringi  oleh
   wakil-wakil   ternama   sektor  swasta   Turki   adalah
   bertepatan. Saya berpendapat bahawa sektor swasta kedua-
   dua   negara  perlu  menggunakan  peluang   ini   untuk
   berkenalan   dan   bekerjasama  demi  kepentingan   dan
   keuntungan   bersama.  Sememangnya   terdapat   peluang
   perniagaan  dan pelaburan yang luas di antara  Malaysia
   dan Turki serta juga dengan negara-negara ketiga. Dalam
   hal  ini,  saya mengesyorkan supaya langkah positif  di
   ambil  ke  arah  menghidupkan semula  Dewan  Perniagaan
   Malaysia-Turki  dan  Suruhanjaya  Bersama  Ekonomi  dan
   Perdagangan yang tidak begitu aktif buat sekian lama.
   
   6.    Sebagaimana  kita semua sedia  maklum,  kedudukan
   strategik Turki yang terletak di antara benua Asia  dan
   benua Eropah adalah unik dan merupakan satu aset kepada
   Turki.  Oleh  itu,  saya  ingin menyeru  sektor  swasta
   Malaysia  supaya mengambil kesempatan dari lawatan  TYT
   ini  untuk  menjadikan Turki sebagai `pintu  masuk'  ke
   pasaran  negara-negara Kesatuan Eropah, Asia Barat  dan
   Asia  Tengah. Malaysia sedia maklum akan peluang  untuk
   sektor  swasta  Malaysia mengambil  bahagian  di  dalam
   proses penswastaan yang sedang dilaksanakan di Turki.
   
   7.     Malaysia   sendiri  telah   melaksanakan   dasar
   penswastaan  bermula  pada  tahun  1980an.  Dasar   ini
   digubal sebagai satu strategi negara untuk meningkatkan
   penglibatan  sektor swasta di dalam proses  pembangunan
   ekonomi  dan  tahap  produktiviti  negara.  Kita  sedia
   maklum  bahawa  sektor swasta adalah enjin  pembangunan
   negara  dan fungsi mereka telah diberi penekanan semula
   di dalam pakej strategi baru yang diambil oleh Malaysia
   dengan  matlamat  untuk merangsang pertumbuhan  ekonomi
   negara.  Dalam  konteks  ini, Malaysia  bersedia  untuk
   berkongsi pengalaman ini dengan Turki.
   
   8.    Malaysia  juga  ingin menjemput syarikat-syarikat
   Turki  yang berminat untuk memasuki pasaran besar Asia,
   supaya  mengambil peluang dari ASEAN  Free  Trade  Area
   (AFTA).   Pasaran   AFTA  dengan   jumlah   keseluruhan
   penduduknya   seramai  400  juta  orang  dan   gabungan
   Keluaran Domestik Negara Kasar (GDP) pada AS $500  juta
   mempunyai   potensi   perdagangan   yang   besar    dan
   menguntungkan  kepada syarikat-syarikat  Turki.  Dengan
   berpengkalan di Malaysia, mereka akan dapat  berkembang
   dan  merebut peluang bukan saja di pasaran ASEAN tetapi
   juga di pasaran dunia yang terbesar iaitu China.
   
   9.    Malaysia  akan menjadi tuan rumah  kepada  Sidang
   Kemuncak  Pertubuhan  Negara-negara  Islam  (OIC)  pada
   bulan  Oktober  akan datang. Malaysia percaya  semangat
   kerjasama  dan  kesatuan di antara  negara-negara  ahli
   adalah  penting  sekiranya  kita  inginkan  suara   dan
   pandangan negara-negara ahli OIC didengar dan dihormati
   oleh  masyarakat  antarabangsa. Dalam  suasana  politik
   dunia  yang  tidak menentu sekarang, adalah  wajar  dan
   penting  bagi  negara-negara  Islam  bersatupadu  serta
   berganding   bahu   dalam  menghadapi   cabaran-cabaran
   semasa. Perkembangan dunia pada hari ini adalah dilihat
   akan  memberi  kesan  ramifikasi  kepada  politik   dan
   ekonomi dunia Islam. Kita perlu mengambil iktibar  dari
   krisis  Iraq  baru-baru  ini.  Perpecahan  di  kalangan
   negara-negara Islam telah melemahkan kita dan  akhirnya
   negara  dan  rakyat Iraq telah menjadi mangsa.  Negara-
   negara  Islam yang mempunyai umat Islam yang  berjumlah
   lebih satu bilion dan mempunyai sumber semula jadi yang
   penting  seperti minyak dan sumber kekayaan  yang  lain
   seperti  kewangan boleh menjadi satu  kuasa  yang  kuat
   sekiranya  kita  bersatu suara.  Justeru  itu,  negara-
   negara  Islam  perlu  bersatu padu terutamanya  selepas
   peristiwa  serangan  pengganas  11  September  2001  di
   Amerika Syarikat dan apatah lagi selepas peperangan  di
   Iraq baru-baru ini.
   
   10.   Malaysia  menentang tindakan  serangan  pengganas
   kerana  ianya adalah ancaman kepada dunia dan peradaban
   manusia  sejagat.  Elemen  subversif  ini  yang   tidak
   memberi  manfaat  kepada sesiapa  pun  harus  ditangani
   segera  secara  menyeluruh  dengan  mengenalpasti  akar
   umbinya, yang antara lain adalah penindasan, kemiskinan
   dan ketidakadilan struktur politik, ekonomi dan sosial.
   Pendekatan  terbaru secara unilateral oleh satu  negara
   ke  atas  satu negara lain yang berdaulat  atas  alasan
   menghapuskan  kumpulan  pengganas  tidak   akan   dapat
   menyelesaikan sebarang masalah. Langkah ini hanya  akan
   menyemarakkan  kemarahan serta  sikap  dan  tingkahlaku
   ekstremisme  yang  menjurus ke arah serangan  pengganas
   yang   ditujukan  terhadap  kepentingan   negara-negara
   barat.
   
   11.   Tindakan unilateral ketenteraan ke atas Iraq pada
   dasarnya  telah mencabar kewibawaan Pertubuhan  Bangsa-
   Bangsa  Bersatu dan asas perundangan antarabangsa.  PBB
   sebagai satu badan antarabangsa yang diberi mandat oleh
   masyarakat   antarabangsa  untuk  menjunjung   keadilan
   manusia  sejagat dilihat seperti kehilangan  taringnya.
   Perkembangan   ini   telah  mengujudkan   satu   elemen
   ketidaktentuan   dan  ketidakstabilan  dalam   hubungan
   antarabangsa   lebih-lebih   lagi   pada   masa   dunia
   `unipolar'  sekarang di mana yang kuat akan menundukkan
   yang  lemah dengan kekerasan tanpa menghormati  undang-
   undang  antarabangsa. Malaysia menentang peperangan  ke
   atas  Iraq kerana Malaysia percaya peperangan  bukanlah
   satu   pendekatan  atau  jalan  penyelesaian   terhadap
   sebarang konflik antarabangsa. Trend seperti ini adalah
   amat  berbahaya kepada keselamatan dan kestabilan dunia
   antarabangsa lebih-lebih lagi kepada negara-negara yang
   kecil  dan  lemah.  Justeru itu,  adalah  penting  bagi
   Malaysia  dan Turki saling berkerjasama dengan matlamat
   supaya  dunia ini menjadi satu tempat yang selamat  dan
   stabil untuk manusia sejagat. Kita perlu mengambil kira
   nilai-nilai  murni berteraskan keadilan  dan  toleransi
   serta  mengikis  tanggapan salah  dunia  sekarang  yang
   mengaitkan  keganasan  dengan  agama  Islam  atau  satu
   bangsa atau pun satu negara.
   
   12.   Di  Iraq  yang  kini menghadapi kancah  huru-hara
   akibat  perang, masyarakat antarabangsa  perlu  memberi
   keutamaan  segera  kepada  proses  pembangunan   semula
   negara tersebut bagi pembentukan  semula kerajaan  yang
   dipilih  oleh rakyat Iraq sendiri dan bagi  meringankan
   beban kesengsaraan rakyat Iraq. Memandangkan Turki  dan
   Iraq  adalah  negara berjiran, Malaysia percaya  konsep
   "Berkongsi  Kekayaan Dengan Negara Jiran" (Prosper  Thy
   Neighbour)  adalah relevan untuk memastikan  kemakmuran
   dan  pembangunan  berterusan dilakukan  untuk  kebaikan
   bersama  buat  Iraq  dan  seluruh  rantau  Asia  Barat.
   Sehubungan itu, Malaysia sedia bekerjasama dengan Turki
   membangun  semula  negara  Iraq  asalkan  program  yang
   dijalankan adalah di bawah naungan dan kelolaan PBB.
   
   13.   Mengenai  situasi di Asia Barat,  tindakan  ganas
   yang  berterusan  oleh Israel membunuh rakyat  Palestin
   dengan  tidak  langsung menghiraukan hak asasi  manusia
   dan  perundangan antarabangsa harus dikutuk oleh semua.
   Kejayaan "Road Map" yang terbaru masih belum kelihatan.
   Pada  hakikatnya, keamanan dan kesejahteraan di  rantau
   Asia  Barat  hanya  akan  tercapai  dengan  pengunduran
   sepenuhnya oleh pihak berkuasa Israel dari kawasan yang
   dijajahi  mereka  sejak  tahun  1967.  Dalam  hal  ini,
   Amerika  Syarikat  haruslah mengambil tindakan  serius,
   adil  dan ikhlas bagi menjamin kewujudan sebuah  negara
   Palestin yang bebas dan berdaulat.
   
   14.   Malaysia menganggap Turki sebagai rakan dan  ahli
   utama di dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam dan  D-8.
   Kita  yakin  peranan penting yang dimainkan oleh  Turki
   dalam    pertubuhan-pertubuhan   ini   dan   di   arena
   antarabangsa akan dapat membantu ke arah memajukan lagi
   tahap  pembangunan dunia secara amnya.  Manakala  dalam
   konteks  hubungan  dua hala pula,  hubungan  baik  yang
   sedia  terjalin  di  antara  Malaysia  dan  Turki  akan
   menjadi  pemangkin  kepada  negara-negara  Islam   lain
   supaya bersatu untuk kepentingan ummah sejagat.
   
   15.   Sehubungan dengan ini, saya yakin lawatan TYT  ke
   Malaysia  akan  dapat  membuka  satu  era  baru   dalam
   hubungan   dua  hala  di  antara  Malaysia  dan   Turki
   terutamanya   dalam   bidang  kerjasama   ekonomi   dan
   perdagangan.
   
   16.   Sebagai  penutup, sekali lagi saya mengalu-alukan
   lawatan  Tuan  Yang Terutama dan Madam  Er-Dowan  serta
   ahli  delegasi Turki ke Malaysia. Saya percaya  lawatan
   TYT  ini akan berjaya mencapai matlamatnya dan berharap
   lawatan ini akan menjadi kenangan manis.
   
   Sekian, terima kasih.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google