Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	DEWAN MERDEKA PWTC, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date	:	19/06/2003
Tajuk/Title 	:	PERHIMPUNAN AGUNG UMNO YANG KE 54	
	    

 
   ANCAMAN MASA DEPAN
   
   
        Hari  ini  kita,  Pekembar, Pertubuhan  Kebangsaan
   Melayu  Bersatu, lebih dikenali sebagai UMNO, bersidang
   buat  kali  yang ke 54 dalam keadaan aman,  makmur  dan
   selamat.  Alhamdulillah.
   
   2.   UMNO sebagai tunjang kepada sebuah parti campuran,
   Barisan  Nasional,  telah  memerintah  negara  Malaysia
   sejak merdeka 46 tahun dahulu.  Bagi sebuah parti  yang
   berjuang  untuk  kemerdekaan, ini  adalah  satu  rekod.
   Tidak  banyak  parti  yang berjuang  untuk  kemerdekaan
   negara  mereka  semasa dengan UMNO yang masih  ada  dan
   berkuasa.
   
   MALAYSIA TELAH BERUBAH
   
   3.    Dalam jangka 46 tahun kemerdekaan, Malaysia telah
   banyak   berubah.   Dari  negara  yang  terhad   kepada
   Semenanjung  Tanah Melayu sahaja, kita  telah  membesar
   menjadi  Malaysia  dengan  penyertaan  secara  sukarela
   negeri  Sarawak  dan Sabah.  Jumlah  penduduk  Malaysia
   telah  meningkat  daripada lima juta  sewaktu  mencapai
   kemerdekaan kepada 25 juta sekarang.
   
   4.     Pembangunan  yang  pesat  telah  dicapai   dalam
   penyediaan infrastruktur.   Antaranya ialah lebuh  raya
   Utara  - Selatan dan Barat - Timur di Semenanjung.   Di
   Sabah  dan  Sarawak jalan raya belum  sampai  ke  taraf
   lebuh raya tetapi adalah jauh lebih baik daripada  yang
   terdapat di zaman British.
   
   5.    Kawasan  luar bandar sudah berubah dengan  jalan-
   jalan  kampung bertar, sekolah dan klinik serta bekalan
   elektrik dan air.
   
   6.    Bandar-bandar telah tumbuh dengan pesatnya dengan
   bangunan  pencakar  langit juga didirikan  di  kawasan-
   kawasan  yang  dahulu adalah ladang  getah  dan  kelapa
   sawit.   Ibu kota Kuala Lumpur sekarang terkenal dengan
   Menara  Berkembar  Petronas dan  Menara  Kuala  Lumpur.
   Putrajaya   sudah   dibangunkan   sebagai   Ibu    Kota
   Pentadbiran yang segak dan berprestij.  Bangunan Sultan
   Abdul  Samad yang dahulu menjadi mercu tanda  ibu  kota
   Malaysia  sudah  diganti dengan bangunan-bangunan  yang
   indah  di  Putrajaya yang mencerminkan seni budaya  dan
   kemajuan yang dicapai oleh Malaysia.
   
   7.    Rakyat berbilang kaum Malaysia hidup rukun damai,
   aman dan maju berkat dasar Perdana Menteri pertama Yang
   Teramat  Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman.   Perbezaan
   ekonomi  antara  kaum sudah berkurangan.   Pesawah  dan
   nelayan  Bumiputera mempunyai anak  yang  menjadi  ahli
   profesional,   pegawai   tinggi   Kerajaan,   profesor,
   panglima angkatan tentera dan jutawan di bidang swasta.
   
   8.    Kecekapan  eksekutif Melayu  /  Bumiputera  dalam
   pengurusan syarikat gergasi terbukti dengan  pelantikan
   mereka   sebagai  pengurus  eksekutif  dalam   syarikat
   gergasi milik asing.
   
   9.    Petronas, sebuah syarikat milik Kerajaan   diurus
   oleh  pengurus dan pegawai tinggi Melayu bersama dengan
   yang  bukan Melayu.  Daripada sebuah syarikat petroliam
   nasional  yang  biasanya bergerak hanya  dalam  negara,
   Petronas  sekarang terkenal sebagai syarikat  petroliam
   antarabangsa  yang aktif di 32 buah  negara  di  dunia,
   mencarigali, mengeluar dan memasar minyak  dan  gas  di
   seluruh  dunia.  Petronas juga terlibat dengan industri
   petro-kimia secara besar-besaran.
   
   10.    Petronas  disenarai  antara  500  buah  syarikat
   gergasi di seluruh dunia.
   
   11.     Dan  ramai  lagi  Melayu yang  berjaya  sebagai
   peniaga,  pengusaha dan pengurus dalam  syarikat  besar
   dan  berjaya dalam dan luar negara.  Kontraktor  Melayu
   membina  jalanraya  dan  bangunan-bangunan  di  negara-
   negara asing, selain di negara sendiri.
   
   12.   Jelas  sekali ramai Melayu / Bumiputera mempunyai
   kebolehan   dan  kecekapan  yang  sama   dalam   bidang
   perniagaan seperti kaum lain.  Mereka boleh dan  mereka
   telah buktikan kebolehan mereka.
   
   13.   Semangat dan jiwa besar mereka juga diperlihatkan
   apabila adanya anak Melayu yang sanggup belayar seorang
   diri   mengelilingi  dunia,  mendaki  gunung   Everest,
   berenang  48 kilometer dari daratan ke Pulau  Langkawi,
   menjadi juara badminton dan lain-lain.
   
   14.  Pentadbir Melayu juga berjaya mengurus pembangunan
   Malaysia  dengan  begitu baik sehingga mereka  diundang
   untuk menasihat negara-negara lain dalam berbagai-bagai
   urusan pentadbiran dan pembangunan.
   
   15.   Sekarang Malaysia sudah terkenal di seluruh dunia
   kerana  peranannya  di  arena  antarabangsa.   Suaranya
   lantang  dan pendapatnya dihormati.  Keupayaan Malaysia
   menangani krisis kewangan pada tahun 1997 - 1998 dengan
   caranya sendiri sudah diakui.
   
   DUNIA TELAH BERUBAH
   
   16.    Tetapi  dunia  juga  telah  berubah.    Kemajuan
   penerbangan   pesawat  penumpang  jet   dan   teknologi
   telekomunikasi menjadikan dunia semakin  kecil.   Semua
   negara  di  dunia menjadi jiran yang dekat.  Tidak  ada
   apa-apa yang dapat disembunyi atau dirahsiakan.
   
   17.   Konsep  tidak campurtangan dalam  urusan  dalaman
   negara merdeka sudah diganti dengan konsep campurtangan
   secara  tidak langsung dan langsung, termasuk penukaran
   Kerajaan   tertentu  oleh  kuasa  asing.   Jika   perlu
   kekerasan diguna untuk tujuan ini.
   
   18.   Kejatuhan Blok Timur Komunis menjadikan dunia ini
   unipolar,  di  mana  pihak  yang  menang,  iaitu   blok
   kapitalis,  membenar  hanya  sistem  kapitalis  pasaran
   terbuka  dan  demokrasi liberal bagi  semua  negara  di
   dunia.
   
   19.  Globalisasi diperkenalkan dan dibentuk oleh negara
   Barat untuk memudahkan mereka menguasai ekonomi dunia.
   
   20.   Ternampak jelas yang bangsa-bangsa  Eropah  ingin
   kembali menakluki dunia.  Walaupun penaklukan ini  pada
   mulanya  tidak secara langsung, hari ini  mereka  sudah
   mula  menceroboh  dan  menawan  negara-negara  tertentu
   untuk    keselamatan   mereka   kononnya,   dan   untuk
   mengeksploit   kekayaan  yang  ada  pada  negara-negara
   berkenaan.
   
   21.  Ekonomi Asia Timur telah tumbuh dengan pesat sejak
   lepas  Perang  Dunia II.  Bermula dengan  Jepun;  Korea
   Selatan,  Taiwan,  Hong Kong dan  Asia  Tenggara  telah
   mencapai  kemajuan yang pesat.  Tetapi yang menakjubkan
   ialah negara China yang menggugurkan sistem perancangan
   pusat  (central  planning) dan menerima  secara  terhad
   sistem  pasaran terbuka.  Dalam jangka masa  yang  amat
   singkat  negara Komunis yang miskin ini  telah  menjadi
   sebuah  negara yang kaya dengan kemungkinan  mengadakan
   pasukan perang yang besar.
   
   22.   Perkembangan  ini menakutkan jiran  terdekat  dan
   musuh China yang lama, iaitu Jepun dan Korea Selatan.
   
   23.   Negara  Barat  pula berasa kurang  senang  dengan
   China  sebagai  kuasa  ekonomi  dan  ketenteraan   yang
   berwibawa.
   
   24.    Dengan  ini  iklim  antarabangsa  menjadi   amat
   mencabar  bagi  semua pihak termasuk  Malaysia.   Dalam
   keadaan ini bangsa-bangsa Eropah telah mula menunjukkan
   sifat-sifat lama yang ada pada mereka.
   
   25.   Sejarah  Melayu  di zaman British  boleh  memberi
   banyak  pelajaran kepada kita  berkenaan  bangsa-bangsa
   Eropah.
   
   26.   Kita  telah  dijajah  oleh  tiga  bangsa  Eropah.
   Selama  450  tahun  kita berada di  bawah  pemerintahan
   kolonial mereka.  Sekarang kita dan bangsa-bangsa  Asia
   menghadapi bahaya dijajah semula oleh mereka.
   
   BANGSA EROPAH PERLU DIKENALI
   
   27.   Justeru  itu  kita perlu kenal  baik-baik  bangsa
   Eropah   kerana   kehidupan  kita,  nasib   kita   akan
   ditentukan  oleh cara kita berinteraksi dengan  bangsa-
   bangsa  Eropah dan keturunan mereka.   Di  sini  bangsa
   Eropah  termasuk mereka yang berhijrah  dan  mendirikan
   negara-negara baru di benua Amerika, Australia dan  New
   Zealand.  Mereka biasanya dipanggil orang putih,  orang
   kulit  putih, orang Barat.  Tetapi ramai yang  berkulit
   putih,  ramai yang tinggal di Barat yang bukan daripada
   bangsa  Eropah.   Bangsa Eropah adalah  bangsa  negara-
   negara  Eropah.  Sebab itu saya panggil  mereka  bangsa
   Eropah,  bukan  pun Mat Salleh.  Kata  bangsa  Inggeris
   "call  a  spade a spade".  Panggil sesuatu dengan  nama
   yang  tepat.   Oleh itu dalam ucapan ini  saya  panggil
   bangsa Eropah, bangsa Eropah.
   
   28.   Saya  bukan  anti bangsa Eropah.  Saya  mempunyai
   ramai  kawan dan kenalan daripada bangsa Eropah.   Saya
   berasa  serba salah hendak menegur bangsa Eropah kerana
   kenalan  saya  tentu akan tersinggung.   Negara  Eropah
   yang  berbaik dengan kita juga akan tersinggung.  Sudah
   tentu  media mereka akan mengecam saya sebagai  seorang
   "racist".   Tetapi  saya anggap pendedahan  akan  siapa
   dianya   orang  Eropah  sudah  menjadi  begitu  penting
   sehingga risiko menjadi mangsa perlu diambil.
   
   29.   Bangsa-bangsa Eropah mempunyai  asal  dan  budaya
   yang  sama, iaitu berteraskan tamadun Greek  dan  Roma.
   Mereka  amat  pintar, berani dan mempunyai sifat  ingin
   tahu  atau "curiousity" yang kuat.  Mereka tidak pernah
   berpuas  hati  dengan  apa-apa  yang  ada  pada  mereka
   melainkan  mereka ingin memperbaiki segala-gala  supaya
   menjadi lebih baik, lebih produktif dan berkesan  untuk
   apa  juga  matlamatnya.  Tidak ada  suatu  apa,  samada
   alatan,  sistem  atau  ideologi yang  tidak  diperbaiki
   sepanjang masa.
   
   30.    Kadang-kadang  dalam  keghairahan  mereka  untuk
   memperbaiki  keadaan  atau  barangan  yang  sedia  ada,
   mereka  merosakkan dan mendatangkan hasil  yang  buruk.
   Namun  mereka  tidak  serik dan  mereka  terus  mencuba
   memperbaiki   segala apa yang ada pada  mereka  ataupun
   pada orang lain.
   
   31.   Malangnya  mereka juga tamak  dan  suka  merampas
   wilayah  dan  hak  orang lain.  Sejarah  mereka  selama
   lebih  2000 tahun memperlihatkan peperangan yang  tidak
   habis-habis  untuk  merebut wilayah  dan  memperluaskan
   kuasa masing-masing di dunia.
   
   32.   Pada  mulanya  rebutan dan perang  terhad  kepada
   wilayah Eropah sahaja.  Tetapi apabila mereka menguasai
   ilmu  pelayaran  jauh,  mereka perluaskan  rebutan  dan
   peperangan  mereka ke seluruh dunia.  Orang Cina,  Arab
   dan  India  sampai ke Asia Tenggara lebih  awal  tetapi
   tidak  berperang  dan  menakluk  wilayah  ini.   Tetapi
   apabila sampai sahaja bangsa-bangsa Eropah maka wilayah
   Asia  Tenggara  seperti  juga dengan  wilayah  lain  di
   Afrika,  Amerika  Utara  dan  Selatan,  Australia   dan
   Kepulauan  Pasifik, dicerobohi, diserang dan  diperangi
   untuk  menjadikan  wilayah-wilayah  ini  milik  mereka,
   merampas  segala  kekayaan dan menindas,  menghina  dan
   melakukan "genocide".
   
   33.   Oleh  kerana  mereka suka berperang  dan  merebut
   wilayah orang lain, tumpuan mereka ialah kepada ciptaan
   dan  pembuatan senjata yang boleh membunuh dengan lebih
   efisien.  Tidak ada satu alatan yang tidak diubah untuk
   menjadi  senjata untuk membunuh, untuk  memberi  mereka
   kemenangan dalam peperangan.
   
   34.   Orang Cina mencipta bahan letupan dan menggunanya
   untuk  membuat  bising supaya naga tidak dapat  menelan
   bulan atau matahari semasa gerhana.  Atau hanya sebagai
   mercun  semasa perayaan.  Tetapi apabila bangsa  Eropah
   menemui  bahan letupan Cina, perkara yang pertama  yang
   difikirkan  ialah  bagaimana ia boleh  digunakan  untuk
   melontar  peluru lebih jauh.  Sejak itu  berbagai-bagai
   alatan  dicipta untuk membunuh dari jarak jauh.  Meriam
   disusuli   dengan   bom,  roket,  "missile",   "nuclear
   warheads"  dan  bermacam-macam lagi.  Hari  ini  jumlah
   senjata  nuklear  mereka  boleh  menghancurkan  seluruh
   dunia, tetapi masih mereka tidak puas hati.  Masih lagi
   penyelidikan  dibuat untuk "warhead" yang  lebih  kuat,
   lebih  berkesan.   Dalam  sejarah  dunia  hanya  bangsa
   Eropah  sahaja yang pernah menggugur bom  nuklear  yang
   menghancurkan kotaraya dengan jumlah kematian  serentak
   yang  terbesar yang pernah berlaku daripada  hanya  dua
   butir bom.
   
   35.   Apabila mereka cipta kereta bermotor, maka  tidak
   lama  selepas  itu, kereta kebal pun  menjelma.   Kapal
   terbang  menghasilkan  pesawat  pengebom  dan  pejuang.
   Kapal  untuk  dagangan menjadi kapal perang  dan  kapal
   selam.   Dan  semua  ini  ditingkatkan  keberkesanannya
   sepanjang  masa  untuk  membunuh manusia  dengan  lebih
   efisien.
   
   36.   Hari  ini berbilion-bilion dolar dibelanja  untuk
   mencipta    senjata-senjata   yang    lebih    canggih,
   membekalkan  angkatan  perang mereka   dengan  senjata-
   senjata  ini,  melatih pasukan cara berperang,  membuat
   segala  persediaan untuk berperang walaupun  tidak  ada
   musuh  semasa dan di masa depan yang mengancam  mereka.
   Dan  mereka  telah  membuktikan bahawa  mereka  sanggup
   mencipta sebab palsu untuk berperang dan membunuh kanak-
   kanak,  orang  tua, orang sakit dan  siapa  sahaja  dan
   menganggap  semua  orang ini sebagai "collateral"  yang
   tidak dibenar menghalang pencapaian hasrat mereka.
   
   37.   Berperang dan kehandalan membunuh menjadi sesuatu
   yang  mulia  bagi bangsa Eropah.  Jaguh  perang  diberi
   gelaran  "knights".  Sekejap-sekejap  mereka  ini  akan
   melancar serangan untuk memperluaskan kawasan Tuan atau
   "Lord" mereka.  Sebab itu sejak dahulu lagi kampung dan
   bandar mereka dikelilingi tembok batu dan longkang yang
   luas.
   
   38.   Bagi  mereka segala masalah mestilah diselesaikan
   melalui ujian kekuatan.  Siapa yang menang dialah  yang
   benar  dan  dialah  yang  patut mengambil  semua  untuk
   dirinya.   Yang  kalah hilang semua.  Demikian  jugalah
   cara  mereka menyelesaikan pertikaian di antara pekerja
   dengan  majikan.   Siapa  yang  menang  dalam  tindakan
   perusahaan dialah yang mendapat semuanya.
   
   39.   Sejarah Eropah adalah sejarah berperang,  sejarah
   menguji   kekuatan.   Apabila  mereka  bertemu   dengan
   penduduk  di luar Eropah, di Afrika, Amerika dan  Asia,
   mereka  terus  berperang untuk menawan  wilayah-wilayah
   orang  ini,  dan  mendirikan  negara-negara  baru   dan
   empayar mereka.
   
   40.  Tidak ada belas kasihan yang ditunjuk oleh mereka.
   Bangsa  tempatan  dihalau  keluar  dan  dibunuh  dengan
   sewenang-wenangnya.  Banyaklah suku  kaum  pupus  hasil
   serangan mereka.  "Genocide" bagi mereka adalah  "final
   solution",  penyelesaian terakhir.
   
   41.  Sepatutnya mereka mempunyai perasaan belas kasihan
   kepada orang asli tempatan kerana mereka sendiri  telah
   dihalau  keluar  dari negara mereka di Eropah.   Tetapi
   apabila mereka sampai ke Dunia Baru, "New World" kepada
   mereka,  dunia  lama  bagi  penduduk  tempatan,  mereka
   menghalau orang tempatan dari tanah mereka dan merampas
   harta  benda  penduduk.   Sesiapa  yang  mempertahankan
   wilayah diperangi, dibunuh atau diperhambakan.
   
   42.   Dalam  percubaan merebut seberapa  besar  wilayah
   untuk  dijadikan  tanah  takluk  mereka,  bangsa-bangsa
   Eropah  berperang  sesama sendiri.  Kerapkali  penduduk
   tempatan   dikerah  untuk  mengambil   bahagian   dalam
   peperangan  dan rompakan mereka.
   
   43.  Permusuhan  antara mereka meningkat kerana masing-
   masing   ingin  menakluk  wilayah  yang  lebih   besar,
   mendirikan  empayar,  menjadi  kuasa  utama  di  dunia.
   Kerana  ini mereka melancar perang secara besar-besaran
   yang melibatkan seluruh dunia.
   
   44.   Perang Dunia Pertama dilancarkan pada tahun  1914
   dan  tamat  pada  1918 setelah lebih daripada  20  juta
   rakyat  mereka  dan  askar  dari  tanah  takluk  mereka
   terbunuh dan berbilion-bilion dolar harta dimusnahkan.
   
   45.   Tetapi  mereka belum puas hati.  Hanya  20  tahun
   selepas  Perang  Dunia Pertama, mereka  berperang  lagi
   dalam  Perang  Dunia Kedua.  Kali ini keganasan  bangsa
   Eropah  meningkat  ke puncak.  Lima  puluh  juta  lebih
   daripada  rakyat  mereka  dan  rakyat  empayar   mereka
   terbunuh.   Mereka menggunakan "carpet  bombing"  untuk
   meranapkan bandar-bandar dengan semua penduduk.
   
   46.   Akhir sekali mereka menggugurkan bom atom ke atas
   Hiroshima  dan  Nagasaki, negara  Jepun,  negara  orang
   bukan   Eropah.   Walaupun  bom  nuklear  ini   memberi
   kemenangan  kepada  mereka tetapi bangsa-bangsa  Eropah
   terkejut  dengan  kuasa  bom  nuklear  dan  "radiation"
   darinya   yang  boleh  membunuh  mangsa  bertahun-tahun
   selepas bom digugurkan.
   
   47.  Bangsa-bangsa Eropah berasa amat takut kalau-kalau
   perang  nuklear  di antara mereka sendiri  berlaku  dan
   bangsa  mereka terbunuh dan negara-negara mereka hancur
   kerana  penggunaan senjata nuklear.   Kerana  ketakutan
   ini   mereka   membuat  perjanjian  antarabangsa   bagi
   mengawal   pengeluaran,  ujian  dan  penggunaan   bahan
   letupan nuklear dalam peperangan.
   
   48.   Tetapi  beberapa daripada mereka juga yang  tidak
   menandatangani   perjanjian "Nuclear  Non-Proliferation
   Treaty".  Mereka terus mengkaji selidik, mencipta,  dan
   menguji  jenis letupan nuklear yang baru untuk bom  dan
   `warhead' lain.
   
   49.  Bangsa Eropah amat benci kepada orang Yahudi sejak
   sebelum mereka beragama Kristian lagi.  Selepas menjadi
   Kristian  mereka salahkan orang Yahudi kerana  membocor
   kegiatan   Nabi   Isa   kepada  pemerintah   Rom   yang
   menyebabkan Nabi Isa mati disalib.
   
   50.   Oleh  kerana  ini, sehingga  lepas  Perang  Dunia
   Kedua,   orang  Eropah  menindas  orang   Yahudi   yang
   berhijrah ke negara-negara mereka.  Tiap tahun diadakan
   "Pogrom"  dan  "Inquisition"  dengan  pembunuhan  orang
   Yahudi  beramai-ramai.  Percubaan  untuk  menyelesaikan
   masalah  Yahudi  memuncak  semasa  Perang  Dunia  Kedua
   dengan pembunuhan enam juta orang Yahudi.
   
   51.   Tetapi  selepas Perang Dunia Kedua  orang  Yahudi
   masih  ada di Eropah.  Untuk mengeluarkan orang  Yahudi
   dari  Eropah,  mereka merampas wilayah  Palestin  untuk
   dijadikan negara Israel.  Bukan sahaja tanah, rumah dan
   ladang  orang Arab Palestin yang dirampas tetapi  orang
   Arab  dihalau keluar dari wilayah mereka yang dijadikan
   Israel.
   
   52.  Sejak itu Asia Barat tidak pernah aman.  Percubaan
   orang  Palestin  untuk  mendapat balik  wilayah  mereka
   ditentang   oleh   orang  Eropah.   Sebaliknya   mereka
   menyokong   Israel  walaupun  Israel   merampas   tanah
   Palestin di luar Israel dan membunuh rakyat Palestin.
   
   53.   Lontaran  batu oleh kanak-kanak Palestin  dibalas
   dengan  tentera Israel  menembak mati kanak-kanak  yang
   membaling batu ini.  Namun orang Eropah tidak  mengutuk
   Israel.   Tetapi  serangan  berani  mati  oleh   rakyat
   Palestin dikutuk oleh mereka.
   
   54.    Serangan  pada  11  September  ke  atas  Amerika
   Syarikat  yang menyokong Israel dijadikan  alasan  bagi
   orang Anglo-Saxon Eropah kembali ganas dan bengis.
   
   55.   Strategi  mereka melawan keganasan  ialah  dengan
   melancarkan serangan terhadap negara-negara  Islam  dan
   orang  Islam,  sama ada yang bersalah atau  yang  tidak
   bersalah.
   
   56.   Dengan membuat bermacam-macam tuduhan yang  tidak
   berasas,  mereka melancarkan peperangan ke atas  negara
   Islam,  menggunakan senjata pemusnah  mereka,  membunuh
   orang awam, dan menghancurkan bandar-bandar.
   
   57.   Amerika  dan Britain tidak menghiraukan  langsung
   kecaman dunia terhadap tindakan mereka.  Tentangan oleh
   bangsa  mereka  sendiri pun tidak dipedulikan.   Mereka
   ingin  menunjuk  kepada dunia bahawa  mereka  kuat  dan
   sesiapa yang mencabar mereka akan diserang oleh tentera
   mereka habis-habisan.
   
   58.  Apa yang saya katakan di sini semuanya benar.   Ia
   bukan  rekaan yang dibuat kerana ingin menakutkan kita,
   supaya kita mengambil berat terhadap amaran akan bahaya
   yang  dihadapi.  Sekali lagi ingin saya  ulangi  bahawa
   saya  bukan  anti  bangsa Eropah bukan "racist".  Bukan
   niat  saya  untuk menimbulkan kebencian  kepada  bangsa
   Eropah.  Tetapi amatlah penting kita kenali bangsa  ini
   dan  sejarah  tindak-tanduk mereka kerana  mereka  akan
   memainkan  peranan  yang besar  dalam  kehidupan  kita,
   terhadap  bangsa  kita,  agama kita  dan  negara  kita.
   Kegagalan   kita  mengenali  mereka  akan   menyukarkan
   persediaan  dan strategi kita untuk menyelamatkan  diri
   kita.
   
   59.   Perjuangan  melawan  Malayan  Union  dan  merebut
   Kemerdekaan   sudah  berlalu.   Kita   telah   mencatat
   kejayaan bukan sahaja dalam memerintah negara kita yang
   merdeka  tetapi  membangunkannya dengan  begitu  pesat.
   Ramai  daripada  kita  yang berpendapat  bahawa  sekali
   merdeka selama-lamanya merdeka.  Justeru itu kita tidak
   perlu khuatir akan perkembangan di luar negara kita.
   
   60.   Tetapi hari ini, bahaya yang dihadapi  oleh  kita
   adalah  lebih  besar  daripada yang  kita  hadapi  pada
   pertengahan  abad ke-20 di waktu mana percubaan  dibuat
   oleh British untuk merampas tanah Melayu dan mendirikan
   Malayan Union.
   
   BAHAYA YANG DIHADAPI
   
   61.   Hari  ini  kita lihat bagaimana  percubaan  telah
   dibuat    untuk   menjadikan   kita   pengemis   dengan
   menjatuhkan  nilai Ringgit kita.  Hari ini  kita  lihat
   bagaimana  kuasa besar menyerang dan menakluki  negara-
   negara  lemah.  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  jelas
   tidak  mampu melindungi sesiapa.  Tidak ada kuasa  lain
   yang sanggup menolong jika kita dijadikan sasaran.
   
   62.   Dunia yang akan kita hadapi dalam dekad-dekad dan
   abad-abad yang akan datang akan memperlihatkan berbagai-
   bagai percubaan oleh Bangsa Eropah untuk menakluk  kita
   secara langsung atau tidak langsung.  Jika tidak negara
   kita  yang  dicerobohi, pemikiran  kita,  budaya  kita,
   agama kita dan lain-lain akan dijadikan sasaran.
   
   63.   Dalam  bidang  budaya  dan  sosial  mereka  ingin
   melihat  kebebasan  individu yang tidak  terhad.   Bagi
   mereka  kebebasan  individu adalah perkara  yang  tidak
   boleh  dipersoalkan.   Mereka sudah  menolak  institusi
   perkahwinan dan kekeluargaan.  Sebaliknya mereka terima
   amalan  seks bebas termasuk liwat sebagai sesuatu  hak.
   Perkahwinan  di antara lelaki dengan lelaki,  perempuan
   dengan perempuan diiktiraf secara rasmi.  Apa yang kita
   dakwa  sebagai  sumbang mahram tidak  dipandang  serius
   oleh mereka.
   
   64.   Larangan  menukar agama di kalangan orang  Islam,
   sistem perundangan yang berbeza dengan mereka, semuanya
   akan  dipersoalkan.   Media mereka  akan  diguna  untuk
   memburuk  semua  yang kita amalkan.  Badan-badan  bukan
   Kerajaan akan dihasut supaya menuntut segala yang tidak
   disenangi oleh bangsa Eropah, supaya dikaji dan dipinda
   dan   akhirnya   ditolak  kerana  dianggap   menidakkan
   kebebasan individu.
   
   65.   Budaya  dan  nilai hidup yang akan  dipaksa  kita
   terima ialah "hedonisme" iaitu keseronokan  yang  tidak
   terhad, kebebasan mengikut nafsu, khususnya nafsu seks.
   Cara  hidup  kita akan dipersamakan dengan  cara  hidup
   mereka.  "Asian values" tidak  akan wujud bagi mereka.
   
   66.   Sistem  dan  urusan ekonomi  kita  juga  mestilah
   mengikut  sistem pasaran bebas rekaan mereka.  Kerajaan
   tidak  boleh  campur  tangan  atau  mengadakan  aturan-
   peraturan    untuk   menentukan   arus   dan    memberi
   perlindungan  kepada  yang  lemah.   Masalah   imbangan
   pembangunan antara kaum bukanlah tanggungjawab  pasaran
   bebas.  Pasaran bebas bermakna siapa yang besar,  kuat,
   bermodal, mereka akan mengambil semua untuk mereka.
   
   67.   Warganegara tidak boleh diberi layanan  istimewa.
   Syarikat  asing  mestilah bebas masuk mana-mana  negara
   untuk  bersaing  dengan perniagaan dan  bank  tempatan.
   Kemungkinannya  ialah  syarikat  kecil  tempatan   akan
   ditelan  oleh syarikat gergasi mereka, dan kita menjadi
   pekerja  upahan  di  bawah mereka.   Semuanya  kononnya
   bergantung  kepada "merit" dan bukan kerana  persaingan
   yang   tidak  adil,  memandangkan  betapa   besar   dan
   berpengalaman syarikat mereka.  Akibatnya, mereka  akan
   menguasai bidang ekonomi semua negara sepenuhnya.
   
   68.  Jika ada sesiapa yang menentang dan menolak sistem
   pasaran  bebas yang dianjurkan oleh W.T.O.  (Pertubuhan
   Dagangan Sedunia), mereka boleh dikenakan tindakan yang
   akan merosakkan ekonomi mereka.  Melalui W.T.O. mereka,
   orang  Eropah telah memperkenalkan "rule-based trading"
   iaitu  semua perniagaan dalam atau luar negara mestilah
   tertakluk kepada peraturan-peraturan W.T.O. yang mereka
   cipta.   Mana-mana  negara yang tidak mengikut  aturan-
   peraturan   ini  boleh  dikenakan  pelbagai   tindakan,
   seperti sekatan dagangan atau "sanction" dan lain-lain,
   yang boleh merosakkan lagi ekonomi negara.
   
   69.  Walaupun semasa Perang Dingin di antara blok Barat
   dan  blok  Timur  sedang  berlaku,  dunia  masih  dapat
   dipulih  dengan baik.  Tahun-tahun enam puluhan,  tujuh
   puluhan dan lapan puluhan memperlihatkan kemajuan  yang
   ketara dalam ekonomi dunia.
   
   70.   Secara relatif dunia pada masa itu aman dan bebas
   daripada   ancaman.    Dengan  itu   tabiat   melancong
   berkembang  dan  industri penerbangan  serta  pembuatan
   pesawat   jet  penumpang   menyumbang  kepada  kemajuan
   ekonomi negara-negara di dunia.  Berjuta-juta pelancong
   dan ahli peniagaan membanjiri lapangan-lapangan terbang
   di  seluruh  dunia  sehingga lapangan terbang  terpaksa
   dibesarkan dan ditambah setiap tahun.  Pesawat jet yang
   semakin  besar  dan terbang semakin  jauh  dicipta  dan
   beratus dibuat dan dijual oleh syarikat seperti Boeing,
   Lockheed  dan  Airbus.  Hotel-hotel mewah didirikan  di
   seluruh  dunia yang menjana peluang kerja yang  banyak,
   termasuk dari negara membangun.
   
   71.   Pertemuan  mikrocip, iaitu alat putaran  elektrik
   yang  halus,  membawa revolusi dalam bidang  pembuatan.
   Dengan mikrocip perkiraan di percepatkan berpuluh  ribu
   kali  ganda  dan membolehkan alat komputer dicipta  dan
   diguna  bukan  sahaja untuk kira mengira  tetapi  untuk
   menghantar  maklumat melalui suara, tulisan dan  gambar
   di mana sahaja di seluruh dunia.
   
   72.   Permintaan untuk mikrocip meningkat dengan  pesat
   dan  kilang-kilang untuknya didirikan di  mana  sahaja,
   termasuk  di negara-negara membangun seperti  Malaysia.
   Kekayaan  sebilangan  daripada negara-negara  di  dunia
   menyebabkan  permintaan untuk barangan buatan  termasuk
   kereta bermotor melonjak tinggi dan banyak negara  yang
   beralih  daripada  pertanian kepada industri  pembuatan
   mencapai kemajuan.
   
   73.    Di  Malaysia  pertumbuhan  ekonomi  yang  tinggi
   dicapai  dengan  KDNK  mencatat  lebih  daripada  lapan
   peratus  tiap  tahun berturut-turut  selama  10  tahun.
   Tidak  ternampak apa-apa yang boleh menghalang Malaysia
   daripada menjadi negara maju menjelang 2020.
   
   74.   Dasar  kita ialah memperkayakan jiran -  "Prosper
   thy  Neighbour".  Ini bukanlah semata-mata kerana ingin
   menolong jiran.  Hakikatnya ialah apabila jiran  makmur
   kita   akan  turut  makmur  kerana  dapat  meningkatkan
   perdagangan  dengan mereka.  Sebaliknya  apabila  jiran
   bermasalah,   bukan  sahaja  perdagangan  tidak   dapat
   diadakan  tetapi  masalah mereka akan tumpah  ke  dalam
   negara  kita.   Oleh yang demikian memperkayakan  jiran
   sebenarnya  adalah dasar yang mengutamakan  kepentingan
   diri  secara  bertimbang rasa.  Dan dasar  ini  membawa
   banyak   kebaikan   kepada  kita,   menyumbang   kepada
   kestabilan serantau dan pertumbuhan ekonomi juga.
   
   75.  Sesungguhnya dunia selepas Perang Dunia Kedua amat
   maju.  Tetapi percubaan dibuat oleh bangsa Eropah untuk
   memperbaiki  keadaan  dengan  menyusun  semula   segala
   sistem dan amalan perdagangan, politik dan sosial untuk
   kononnya menjadi lebih baik dan adil.
   
   76.  Jepun yang begitu maju dahulu telah menjadi mangsa
   pendekatan  baru  ini.  Sehingga sekarang  Jepun  tidak
   dapat memulih ekonominya.
   
   77.   Malaysia  yang sedang tumbuh dengan begitu  pesat
   telah  diserang oleh penyangak matawang  yang  mendakwa
   mereka  bertanggungjawab untuk mendisiplinkan Kerajaan-
   Kerajaan di dunia.  Hasilnya ialah pertumbuhan  ekonomi
   di  Malaysia  dan di seluruh Asia Timur  terbantut  dan
   terus  merosot.  Sehingga sekarang pemulihan  ke  tahap
   seperti dahulu tidak dapat dicapai.
   
   78.   Pemulihan  menjadi  lebih  sukar  apabila  segala
   penipuan  dan  jenayah perdagangan di Amerika  Syarikat
   terdedah.  Syarikat-syarikat Dot.Com yang saham  mereka
   meningkat  dengan  mendadak tanpa sebab  telah  runtuh.
   Kemudian  syarikat-syarikat gergasi  Enron,  World.com,
   Arthur  Anderson, dan berpuluh lagi syarikat besar  dan
   kecil dikesan telah menipu dengan menyimpan akaun  yang
   tidak berasas kepada prestasi perniagaan mereka.
   
   79.  "Hijack" menjadi perkataan di mulut semua orang di
   dunia   apabila   beberapa  pesawat  penerbangan   awam
   dirampas  oleh pengganas.  Puncak kepada  rampasan  ini
   ialah  apabila  pesawat  yang dirampas  diguna  sebagai
   peluru  berpandu untuk merempuh World Trade  Centre  di
   New  York.  Kejadian ini menakutkan pelancong dan  ahli
   perniagaan    sehingga   jumlah   penumpang    syarikat
   penerbangan turun lebih rendah daripada 30  peratus  di
   Amerika Syarikat.
   
   80.    Ini   menyebabkan  kemerosotan  teruk   industri
   perhotelan  dan  industri-industri lain yang  berkaitan
   dengan  pelancongan.  Hampir semua syarikat penerbangan
   Amerika  Syarikat jatuh bankrap dengan kerugian beratus
   bilion dolar.
   
   81.   Pemburuan pengganas menjadi keadaan dunia  tegang
   dan  tidak  selamat.  Bom diletup di merata  tempat  di
   dunia.   Afghanistan dan Iraq diserang  dan  Syria  dan
   Iran  diberi  amaran akan diserang jika  tidak  menukar
   Kerajaan.
   
   82.    Demikian  kemewahan  hidup  dan  keamanan   yang
   berterusan  selama  hampir  30  tahun  di  dunia   yang
   sepatutnya  menjadi  lebih baik setelah  Perang  Dingin
   tamat,  telah  dihentikan kerana pihak  tertentu  ingin
   memperbaiki apa yang sudah baik.  Dengan memperkenalkan
   pendekatan baru dalam pembangunan ekonomi dunia, dengan
   keghairahan  untuk merebut kekayaan,  dengan  melupakan
   kemiskinan  dan  penderitaan sebahagian besar  daripada
   penduduk  dunia,  dengan mengizin rampasan  wilayah  di
   sana  sini,  segala kemajuan yang dicapai dahulu  telah
   musnah.
   
   83.   Sekarang  kemungkinan ekonomi  dunia  dipulih  ke
   tahap  sebelum krisis ekonomi dan kewangan  tahun  1997
   sudah  menjadi pudar.  Ia tidak ternampak  kerana  jauh
   daripada  berusaha  untuk mententeramkan  dunia,  pihak
   tertentu  sedang merancang untuk menggunakan  kekerasan
   bagi menjayakan agenda mereka.
   
   DEMOKRASI ADA KECACATAN
   
   84.    Dalam  bidang  politik,  semua  negara  mestilah
   mengamalkan  ideologi "Demokrasi Liberal".   Kita  akui
   demokrasi adalah sistem pemerintahan yang terbaik  yang
   pernah dicipta oleh manusia.  Tetapi ia tidaklah  bebas
   daripada  kecacatan.  Bagi mereka yang tidak faham  had
   atau  sempadan demokrasi, kemungkinannya ialah Kerajaan
   yang  tidak  berwibawa, atau yang penuh dengan  korupsi
   akan  memerintah. Kadang kala anarki  di  mana  undang-
   undang  tidak dapat dikuatkuasakan akan menimpa  negara
   yang cuba mengamalkan demokrasi yang liberal.
   
   85.    Demokrasi  bergantung  kepada  sokongan   ramai.
   Sokongan ini boleh didapati kerana kecekapan calon  dan
   parti dalam memerintah dan membangunkan negara.  Tetapi
   sokongan  ramai  boleh  juga didapati  kerana  sentimen
   perkauman, kerana sengaja menyalahtafsirkan agama  atau
   dengan menyogok pengundi.
   
   86.    Dalam   masa  yang  sama  pengundi  pula   boleh
   menggunakan  perkauman, kehendak agama  kononnya,  atau
   menuntut  sogokan  bagi  diri  sendiri  atau  kumpulan.
   Dengan  ini  yang menang dan menjadi Kerajaan  bukanlah
   yang  layak  dan  cekap, tetapi mereka  yang  mempunyai
   perasaan   perkauman  yang  tebal  atau   mereka   yang
   menyalahtafsirkan agama dan memperalatnya  atau  mereka
   yang  korup.  Pemerintahan oleh orang seperti ini  akan
   merosakkan  negara.  Sebaliknya, parti yang  cekap  dan
   bersih daripada sogokan dan rasuah akan kalah.
   
   87.   Mungkin  niat  bangsa Eropah  memaksa  penerimaan
   demokrasi adalah baik dan mereka tidak merancang  untuk
   merosakkan  negara-negara  membangun  dengan   sengaja.
   Mereka  mungkin percaya bahawa demokrasi  akan  membawa
   kebaikan kepada negara membangun seperti ianya  membawa
   kebaikan  kepada mereka.  Tetapi mereka lupa masa  yang
   panjang  yang  diambil oleh mereka untuk memahami  cara
   mendapat  hasil  daripada sistem  ini.   Rebutan  kuasa
   dalam demokrasi dalam negara yang baru demokratik kerap
   menyebabkan  ratusan parti politik  ditubuh.   Kerajaan
   yang  berwibawa tidak mungkin ditubuhkan jika  sokongan
   rakyat terbahagi kepada beratus parti.  Tidak akan  ada
   satu  parti yang akan dapat cukup bilangan wakil  untuk
   mendirikan Kerajaan yang berwibawa.
   
   SLOGAN "REGIME CHANGE"
   
   88.   Kita  di Malaysia berjaya mengamalkan  demokrasi.
   Tetapi  orang Eropah  tidak senang hati.  Mereka  ingin
   lihat  penukaran  Kerajaan yang kerap supaya  huru-hara
   berlaku  dan pembangunan tidak dapat diadakan.   Slogan
   mereka  sekarang  ialah "Regime  Change".   Kerana  ini
   tidak berlaku dan negara kita terus aman dan maju  maka
   dituduh kita tidak demokratik dan berpemerintahan  kuku
   besi, diktator.
   
   89.  Siapakah mereka yang menuduh negara ini diperintah
   secara  autoritarian?  Bukankah mereka  bekas  penjajah
   yang  autoritarian  dan zalim dan bukankah  mereka  ini
   baru  sahaja melanggar sebuah negara yang lemah  dengan
   membunuh ramai orang awam supaya dapat menguasai negara
   berkenaan?   Demokratikkah cara mereka memaksa  "Regime
   Change"?  Lihat  dahulu  dalam cermin  sebelum  mengata
   orang   lain.   Masalah  bangsa  Eropah  ialah   mereka
   menganugerahkan  kepada diri mereka hak  menjadi  hakim
   terhadap pandangan mereka sendiri.
   
   90.   Tetapi teguran mereka mungkin mempunyai  muslihat
   tertentu.   Kerana kita kononnya tidak demokratik  maka
   campur  tangan mereka dalam urusan negara  kita  adalah
   sesuatu  yang  wajar.  Akan ada ramai  daripada  rakyat
   negara  ini yang akan terpengaruh dengan hasutan mereka
   dan  menentang kuat Kerajaan.  Akibatnya  ialah  negara
   menjadi  tidak stabil, tidak dapat dibangun dan  rakyat
   menderita.
   
   91.   Mereka  akan mengecam dengan keras  tuduhan  ini.
   Tidak  ada niat jahat oleh mereka, tidak ada konspirasi
   untuk   menghalang  kemajuan  sesiapa.   Mereka   hanya
   menegur.    Tetapi  kita  jangan  lupa  kritik   mereka
   walaupun  tidak  berasas telah  dijadikan  alasan  bagi
   mereka menekan dan menakluk negara lain.
   
   92.    Yang  mula  bercakap  berkenaan  dengan  "Regime
   Change"  ialah  Ariel Sharon, Perdana  Menteri  Israel.
   Arafat   mesti  diganti  dengan  pemimpin  yang   boleh
   diterima  oleh mereka.  Hari ini orang Eropah  bercakap
   tentang  pentingnya "Regime Change" diadakan di negara-
   negara  tertentu.  Jangan ingat kita  tidak  akan  jadi
   sasaran.   Mereka  amat  kecewa  apabila  calon  mereka
   dahulu gagal.  Mereka akan cuba lagi.
   
   93.  Inilah persekitaran luar yang kita hadapi sekarang
   dan   yang   akan  mengancam  kita  di  masa   hadapan.
   Alhamdulillah sehingga kini kita berjaya mempertahankan
   kebebasan  dan  kemerdekaan negara  kita.   Ini  adalah
   kerana  kita  berhati-hati dan mampu mengelak  daripada
   terjatuh dalam jerat yang dipasang oleh mereka.
   
   
   
   CABARAN DALAM NEGARA
   
   94.   Di  dalam  negara pula persekitaran tidak  kurang
   mencabar.   Usaha untuk menyatupadu kaum belum  berjaya
   sepenuhnya.   Generasi pelapis terpisah  kerana  mereka
   memilih sekolah-sekolah mengikut kaum.
   
   95.   Untuk perpaduan dan untuk meningkatkan daya saing
   rakyat   kita   dan   negara   kita,   Kerajaan   telah
   memperkenalkan pelajaran bahasa Inggeris dan pengajaran
   sains  dan matematik  dalam Bahasa Inggeris.  Ibu  bapa
   menerima  baik langkah ini tetapi seperti  biasa  parti
   politik cuba mempolitikkan isu ini.
   
   96.   Kita  juga  bercadang  untuk  mengadakan  latihan
   khidmat   negara   untuk  semua  kaum   dengan   tujuan
   merapatkan  generasi muda berbagai-bagai kaum.   Bentuk
   Khidmat  Negara ini belum dimuktamadkan.   Insya  Allah
   pada tahun 2004 khidmat ini akan dilaksanakan.
   
   97.   Agama Islam memainkan peranan yang penting  dalam
   kehidupan sebahagian besar daripada  penduduk Malaysia.
   Umat  Islam  di Malaysia semuanya adalah daripada  Ahli
   Sunnah  Wal  Jamaah  dan mengikut ajaran  Imam  Shafie.
   Sepatutnya  umat Islam di negara ini bersatu  padu  dan
   tidak ada perbalahan antara mereka.
   
   98.   Malangnya  apabila sistem demokrasi diperkenalkan
   semasa  perjuangan  kemerdekaan  maka  keinginan  untuk
   mendapat  tempat,  mendapat  kuasa  telah  mempengaruhi
   mereka  yang  berpelajaran  agama  untuk  memisah  diri
   daripada  aliran perdana, daripada UMNO dan  menubuhkan
   Parti  Islam  SeMalaya, terjemahan daripada  nama  asal
   iaitu  Pan Malayan Islamic Party, PMIP.  Sekarang parti
   ini  dikenali sebagai PAS, singkatan yang  tidak  tepat
   bagi Parti Islam Malaysia, entah kenapa?
   
   99.    Hakikatnya  ialah  dalam  usaha  untuk   menarik
   sokongan  baginya  PAS sengaja menyalahtafsirkan  agama
   Islam.   Semakin  lama semakin jauh dan  semakin  buruk
   tafsiran  yang  dibuat.  Daripada  menuduh  orang  UMNO
   tidak  Islam,  mereka sudah sampai  ke  tahap  mendakwa
   Tuhan  suka  mencarut  seperti seorang  pemimpin  parti
   mereka dan Tuhan adalah samseng.
   
   100.  Banyaklah lagi tafsiran yang bertentangan  dengan
   ajaran  Islam  yang  dibuat oleh pemimpin  PAS.   Orang
   Islam di Malaysia menjadi keliru akan ajaran Islam  dan
   mereka  tidak  dapat  bersatupadu.   Perpecahan  antara
   mereka melemahkan orang Islam di zaman yang orang Islam
   penting bersatu untuk menyelamatkan diri mereka.
   
   101.  Untuk mengatasi masalah ini, jalan terbaik  ialah
   membekal  rakyat,  terutamanya  generasi  muda,  dengan
   ajaran   Islam   yang  sebenar,  supaya  mereka   dapat
   menangkis sendiri ajaran yang salah.
   
   102.   Malangnya  ajaran  salah  ini,  disemai   semasa
   generasi pelapis masih kecil, di tadika dan di  Sekolah
   Agama  Rakyat  dan  kadang-kadang oleh  guru  agama  di
   sekolah  Kebangsaan.  Kita sudah lihat apabila generasi
   ini  membesar  mereka  akan percaya  secara  buta  tuli
   tafsiran  agama  yang  salah ini.   Mereka  tidak  tahu
   berterima  kasih dan bersyukur, suka lempar fitnah  dan
   percaya  fitnah yang dilempar oleh orang  tertentu  dan
   mereka  bermusuh ketat dengan orang Islam lain.  Mereka
   sudah  sampai  ke  tahap mencuba  menjatuhkan  Kerajaan
   pilihan  rakyat dengan menggunakan senjata dan  menjadi
   pengganas, perompak dan pembunuh.
   
   103.  Justeru  itu, Kerajaan terpaksa  bertindak  untuk
   memberhentikan penyebaran ajaran salah melalui  sekolah
   dan  saluran  lain.   Kerajaan  telah  memberi  bantuan
   kepada Sekolah Agama Rakyat kerana sekolah-sekolah  ini
   diminati  oleh ibu bapa yang ingin melihat anak  mereka
   mendapat  pelajaran  agama.  Oleh kerana  bukan  ajaran
   agama  Islam yang sebenar yang disampaikan  di  Sekolah
   Agama Rakyat tetapi sebaliknya ajaran yang bertentangan
   dengan  Islam  yang diajar, Kerajaan tidak  lagi  dapat
   membantu  sekolah-sekolah ini.  Kerajaan  dan  pemimpin
   Kerajaan yang beragama Islam akan berdosa jika  bantuan
   diberi  kepada sesuatu yang bertentangan dengan  ajaran
   Islam.  Kita tidak tutup sekolah ini.  Kita hanya tidak
   bantu.   Mereka  yang terus membantunya  akan  tanggung
   dosa  kerana  sekolah  ini bukan sekolah  agama  tetapi
   adalah pusat indoktrinasi parti PAS.
   
   104.  Kerajaan akan mengawal segala penyelewengan dalam
   pengajaran ajaran Islam dan akan menyediakan  kemudahan
   untuk  belajar  agama  Islam yang sebenar  di  sekolah-
   sekolah  kebangsaan  untuk  menentukan  generasi   akan
   datang  dapat  menolak bukan sahaja ajaran  yang  salah
   berkenaan dengan agama tetapi dapat mengenal di  antara
   yang  baik  dengan yang buruk, yang salah  dengan  yang
   betul.
   
   105.  Masalah  dalaman yang juga  mencabar  kita  ialah
   pengurusan ekonomi dan kewangan kita.   Untuk ini  kita
   telah  membentuk  dasar  dan strategi  yang  memerlukan
   kefahaman dan kerjasama semua rakyat.  Rakyat  Malaysia
   tidak  boleh  berlagak sebagai orang  yang  sudah  kaya
   sedangkan kita masih negara membangun.
   
   106.  Di tahap kemajuan kita sekarang, kita hanya mampu
   mengadakan   kemudahan   tertentu   sahaja.     Apabila
   pendapatan  kita meningkat kita harus sanggup  membayar
   lebih sedikit apabila kemudahan yang kita gunakan lebih
   baik   dan   menelan  belanja  yang   bertambah.    Ada
   sesetengah  daripada  kita yang tuntut  untuk  mendapat
   kemudahan  kelas  pertama tetapi  sanggup  bayar  hanya
   untuk kelas ketiga.  Jika kita mahu kelas pertama  maka
   hendaklah  kita  sanggup  bayar  bayaran  untuk   kelas
   pertama.
   
   107.  Sekarang kita sudah jadi bangsa yang lebih  ramai
   tinggal  di bandar daripada di desa.  Lebih  satu  juta
   penduduk   Kuala  Lumpur  membuat  sampah  yang   boleh
   menenggelamkan  bandaraya  ini  dalam  timbunan  sampah
   dalam  dua  tahun.   Kita perlu  lupuskan  sampah  ini.
   Melonggoknya  di  tanah  lapang  akan  mencemar  iklim,
   menyebabkan bau busuk, membawa penyakit dan  membiakkan
   kuman  seperti  SARS, membiak tikus dan serangga  lain,
   meracun  air  bawah tanah yang akan mengalir  ke  dalam
   saluran air dan sungai dan bermacam-macam masalah lain.
   Membakar  dalam  keadaan terbuka  akan  mencemar  udara
   dengan asap dan gas-gas toksik yang lain.
   
   108.  Untuk menyelamatkan penduduk daripada semua  ini,
   Kerajaan  sanggup belanja lebih daripada satu  setengah
   bilion ringgit untuk mendirikan loji bakar sampah  yang
   termoden  dan  terselamat.   Ia  lebih  moden  daripada
   kebanyakan  loji  bakar sampah di  negara-negara  maju,
   seperti Jepun.
   
   109.  Di  Jepun  loji  bakar sampah berteknologi  biasa
   begitu bersih sehingga dapat didirikan di tengah-tengah
   kawasan  perumahan.   Penduduk  mengguna  loji   sampah
   sebagai  tempat  rekreasi, kelab renang  dan  aktiviti-
   aktiviti  sosial.   Tidak  ada  sesiapa  yang   membuat
   protes.   Penduduk membayar bayaran yang  tinggi  untuk
   loji bakar sampah mereka.
   
   110.  Kita bercadang untuk mendirikan loji bakar sampah
   yang    termoden,   jauh   dari   kawasan    perumahan.
   Keselamatan penduduk terjamin kerana tidak akan ada fly-
   ash atau dioxin  yang akan mencemar udara.
   
   111.  Tetapi rakyat negara ini, yang sepuluh kali ganda
   lebih  miskin  daripada rakyat negara  maju,  memprotes
   pembinaan loji bakar sampah yang dicadangkan ini kerana
   kononnya  akan mengeluarkan racun.  Kita sudah  menjadi
   begitu sombong sehingga tahap keselamatan yang diterima
   oleh  orang yang sepuluh kali ganda lebih kaya daripada
   kita, belum cukup sesuai bagi kita.
   
   KITA BELUM KAYA
   
   112.  Kita  belum kaya.  Kita belum pun dapat  mengamal
   standard  yang  sama tinggi dengan  negara  yang  sudah
   maju.   Kini  kita menuntut standard yang lebih  tinggi
   daripada negara yang sudah maju.  Percayalah jika  kita
   mengada-ngada sangat, kita bukan akan lebih selamat dan
   sihat; sebaliknya kita akan terima padahnya.
   
   113.  Dalam  bidang ekonomi strategi kita  ialah  untuk
   hidup  mengikut  kemampuan kita, tidak  hutang  terlalu
   banyak,   dan  mengurus  pembangunan  negara   mengikut
   kewangan dan keperluan kita.
   
   114.  Kita  ingin tentukan sementara kos  kita  berdaya
   saing,  tetapi  taraf hidup kita tidak terlalu  rendah.
   Hari  ini pendapatan per kapita kita ialah lebih kurang
   4,000  Dolar Amerika tetapi dengan 4,000 Dolar  Amerika
   ini  kita  boleh  beli  barangan dan  khidmat  sebanyak
   hampir  9,000  Dolar  Amerika di  Amerika.   Sebaliknya
   pendapatan per kapita Luxembourg umpamanya ialah 44,000
   Dolar  Amerika iaitu 11 kali ganda lebih daripada  kita
   tetapi  daya  beli hanyalah 27,000 Dolar  Amerika  atau
   hanya  tiga kali ganda sahaja lebih daripada daya  beli
   kita.   Ini  adalah kerana kos sara hidup di Luxembourg
   lebih tinggi daripada di Amerika Syarikat.
   
   115.  Dalam 46 tahun kemerdekaan pendapatan per  kapita
   kita  meningkat  dari  300 Dolar Amerika  kepada  4,000
   Dolar.   Jelas  sekali rakyat Malaysia  sekarang  lebih
   kaya  dari masa belum merdeka dahulu, lebih mampu bayar
   lebih untuk barangan dan khidmat yang lebih baik.
   
   116. Kita ingin lihat purata upah di Malaysia dinaikkan
   lagi.  Tetapi  jika upah naik dan kos sara  hidup  naik
   bersama,  kenaikan upah tidak memberi apa-apa kelebihan
   kepada kita.  Terdapat banyak negara yang upahnya  amat
   tinggi  tetapi  harga barangan dan khidmat  jauh  lebih
   tinggi  dan dengan itu "standard of living" atau  taraf
   hidup  sebenarnya merosot.  Semua rakyat mereka  adalah
   jutawan  tetapi mereka semua papa kedana.  Di  Malaysia
   pendapatan meningkat lebih daripada kos.  Ini  bermakna
   kita boleh beli lebih walau pun kos meningkat.
   
   117.  Upah  di  negara kita mungkin  rendah  berbanding
   dengan  negara  maju tetapi ia tidak menyebabkan  taraf
   hidup  kita  menjadi terlalu rendah.  Di  tempat-tempat
   tertentu   kemudahan  awam  adalah  sama  dengan   yang
   terdapat  di negara maju, tetapi belanja  yang  dipikul
   oleh  rakyat  untuk kemudahan ini tidak sampai  separuh
   daripada  di  negara maju.  Kita bayar  tol  RM7  untuk
   melalui Jambatan Pulau Pinang.  Orang Jepun bayar RM500
   untuk menggunakan jambatan yang lebih pendek.
   
   118.   Kita  boleh  menaikkan  lagi  upah  tetapi  jika
   kenaikan   tidak   diimbang   dengan   kenaikan    daya
   pengeluaran  kita, kita akan menjadi  tidak  kompetitif
   lagi.   Dengan  itu tidak akan ada pelaburan  baru  dan
   pelaburan  yang sedia ada mungkin berpindah  ke  negara
   lain.   Peluang kerja akan berkurangan dan  ramai  yang
   akan menganggur.  Dalam keadaan ini kenaikan upah tidak
   mungkin  diadakan  lagi kerana jumlah pekerja  melebihi
   jumlah peluang kerja.
   
   119.   Ada  pihak  yang  percaya  kenaikan  upah  boleh
   didapati  melalui  tindakan  perusahaan.   Inilah  yang
   dibuat  di  Eropah.  Tetapi jika kita teliti kita  akan
   dapati ekonomi semua negara Eropah tidak tumbuh seperti
   kita dan pengangguran jauh lebih tinggi daripada kita.
   
   120.  Mereka  membayar  elaun kepada  yang  menganggur.
   Elaun   ini  hanya  boleh  dibayar  jika  jumlah   yang
   menganggur  sedikit  dan ekonomi tumbuh  dengan  pesat.
   Apabila ekonomi merosot dan cukai Kerajaan berkurangan,
   itulah  masanya  yang jumlah penganggur  bertambah  dan
   lebih  banyak wang diperlukan untuk bayar `dole'.   Dan
   ini menjadikan kewangan Kerajaan semakin teruk.
   
   121.  Lagi  pun kerana adanya elaun pengangguran  ramai
   pekerja  Eropah yang memilih untuk tidak  bekerja  atau
   menyembunyi kerja mereka.  Ini menambah beban  Kerajaan
   sehingga  Kerajaan  terpaksa mensyaratkan  elaun  hanya
   akan  diberi  kepada  mereka yang  membuat  kerja-kerja
   tertentu  sahaja.  Dengan perkataan lain  "unemployment
   allowance" tidak "sustainable".
   
   122.  Di  Malaysia tidak ada elaun pengangguran.   Jika
   pekerja   tidak  bekerja,  keluarga  mereka   hendaklah
   membiayai  sara  hidup mereka.  Kerana malu  dan  tidak
   sanggup bergantung kepada keluarga, penganggur berusaha
   mencari   kerja.   Walaupun  demikian,  apabila   ramai
   lulusan universiti tidak mendapat kerja Kerajaan  telah
   memberi   pengalaman   bekerja   dan   membayar   elaun
   sementara.
   
   123.  Kita perlu pendekatan dan strategi kita  sendiri.
   Kita  tidak  perlu ikut cara-cara orang  Eropah  secara
   buta  tuli.   Tetapi ada rakyat Malaysia yang  berminat
   untuk  mengikuti cara-cara orang Eropah dan orang  yang
   sudah   kaya.    Mereka   tidak   mengambilkira   tahap
   pembangunan  negara  dan kewangan kita.   Mereka  ingin
   kita boros belanja dan berhutang.
   
   124.  Jika Kerajaan kerana ingin popular melayan segala
   tuntutan  besar  kemungkinan  kita  akan  jadi  seperti
   beberapa negara membangun yang tidak dapat bayar hutang
   luar,   menjadi  bankrap  dan  dikuasai   oleh   agensi
   antarabangsa.
   
   125.  Terdapat banyak lagi masalah dalaman  yang  perlu
   kita  tangani.   Saya  tidak akan ulas  semua  daripada
   masalah ini.  Walaupun kita berjaya untuk mengimbangkan
   sedikit penguasaan kekayaan ekonomi di antara kaum-kaum
   tetapi  dalam  proses ini orang Melayu  dan  Bumiputera
   lain  sudah menjadi terlalu "dependent" dan hanya boleh
   berniaga dengan Kerajaan sahaja.  Tanpa Kerajaan, tanpa
   DEB  mereka  akan lumpuh.  Keadaan ini  mengancam  masa
   depan bangsa Melayu dan Bumiputera, bangsa Malaysia dan
   negara yang tercinta ini.
   
   KEADAAN UMNO DITENTU OLEH AHLI
   
   126.  Kita boleh tangani masalah persekitaran luar  dan
   persekitaran  dalam  dengan  mengadakan  Kerajaan  yang
   berwibawa,   Tetapi  keadaan dalam  parti,  dalam  UMNO
   tidak boleh ditentukan oleh Kerajaan.  Hanya yang boleh
   ialah Parti sendiri dan ahli-ahlinya.
   
   127.  Setelah begitu lama kita berjaya, ramai  daripada
   pemimpin  dan  ahli parti yang tidak bersemangat  lagi,
   tetapi   sebaliknya   mengutamakan  kepentingan   diri.
   Rebutan tempat dalam parti sudah menjadi begitu  sengit
   sehingga  kepentingan   parti, kepentingan  bangsa  dan
   negara di ketepikan.
   
   128.  UMNO  dan  orang Melayu telah  dilemahkan  kerana
   sikap  ini.   Sejak pemisahan ulama UMNO untuk  menubuh
   PAS,  kita  telah lihat tiga kali lagi  parti  serpihan
   ditubuh oleh orang UMNO yang tidak dapat kehendak  hati
   mereka.  Banyaklah usaha dan masa yang perlu dihabiskan
   untuk memulih parti.
   
   129. Alhamdulillah kesan daripada serpihan terakhir ini
   sudah   tidak   lagi  mengancam  parti  seperti   dalam
   pilihanraya 1999.  Tetapi ancaman yang masih ada  ialah
   kesanggupan   sesetengah  pemimpin   dan   ahli   parti
   mensabotaj parti kerana kecewa.
   
   130.  Pertandingan dalam parti bertujuan mendapat calon
   dan  pemimpin  yang terbaik, bukan untuk berkelahi  dan
   merajuk  sehingga sanggup membalas dendam dan merugikan
   perjuangan   parti  dan  bangsa.   Mereka  yang   faham
   demokrasi  akan rapatkan balik barisan dalam parti,  di
   belakang   pihak  yang  berjaya  selepas   pertandingan
   selesai dan bersama menjayakan perjuangan.
   
   131.  Oleh kerana pertandingan dalam parti tidak  sihat
   dan   sering   membawa  perpecahan  kita  tidak   dapat
   mengadakan  pemilihan di peringkat bahagian dan  Majlis
   Tertinggi    terutama    semasa    berdekatan    dengan
   pilihanraya.
   
   132. Tetapi untuk pilihanraya hendak tidak hendak calon
   terpaksa  juga ditentukan.  Apabila calon dipilih  maka
   ada  yang tidak dipilih yang cuba menentukan calon  itu
   kalah.   Mereka  lupa bahawa kalahnya  calon,  kalahlah
   parti.  Tetapi demikianlah sikap mereka sehingga mereka
   rela   parti  sendiri  kalah  dan  parti  lawan  menang
   daripada  rakan  mereka dalam parti menang.    Ingatlah
   bila  mereka  dicalonkan mereka juga akan  jadi  mangsa
   sikap ini.
   
   133.   Di  waktu  ini  sikap  yang  seperti  ini  belum
   menyeluruh.  Tetapi ia menunjuk aliran yang  merbahaya.
   Jika  lebih  ramai yang bersikap demikian,  parti  akan
   kalah  bukan kerana lawan kita lebih kuat tetapi kerana
   secara  tidak  langsung  orang UMNO  bersubahat  dengan
   parti  lawan.  Sebenarnya ini adalah satu pengkhianatan
   kepada  perjuangan  parti,  kepada  agama,  bangsa  dan
   negara.
   
   134.  Kita perlu terima masa tetap akan tiba untuk kita
   undur  diri dan serahkan tugas kepada golongan pelapis.
   Parti  tidak  akan dapat meneruskan perjuangannya  jika
   tidak ada pembaruan, keahlian dan kepimpinan, jika ahli
   dan pemimpin baru tidak diterima.
   
   135.  Saya  bersyukur kerana hari ini penubuhan  Puteri
   diterima  dan  kerjasama yang erat diadakan  di  antara
   Puteri  dan  Wanita.   Tetapi  ada  juga  di  peringkat
   Cawangan  dan  Bahagian keengganan menerima  ahli  baru
   terutama yang berkebolehan kerana takut hilang  tempat.
   Sikap  ini  mesti dikikis.  Jika tidak parti akan  mati
   bersama  dengan  ahli dan pemimpin yang  tua  yang  ada
   sekarang ini.
   
   136.  Cabaran  yang  UMNO hadapi sebagai  teras  kepada
   pemerintahan  negara  datang dari  luar  negara,  dalam
   negara  dan dalam parti sendiri.  Jika kita tidak  tahu
   menangani cabaran-cabaran ini, jika tidak ada  semangat
   dan "political will", sejarah cemerlang UMNO akan pudar
   dan  UMNO  akan  mengikuti  parti-parti  nasionalis  di
   negara  lain yang hari ini sudah tidak ada  atau  tidak
   berkuasa.
   
   PEGANG KEPADA AJARAN ISLAM
   
   137. Berhadapan dengan cabaran-cabaran ini, apakah yang
   perlu  kita buat sebagai persediaan?  Saya telah  sebut
   berkenaan  dengan peranan agama Islam  dalam  kehidupan
   orang  Melayu.   Tidak  ada pengaruh  yang  lebih  kuat
   daripada   agama  Islam  untuk  membina  kekuatan   dan
   ketahanan orang Melayu.
   
   138.  Tetapi  yang  penting ialah  kita  pegang  kepada
   ajaran Islam yang sebenar, ajaran yang semuanya positif
   dan  membina, ajaran yang memberi kejayaan kepada  Nabi
   besar   kita,  Muhammad  s.a.w.,  ajaran  yang  memberi
   kejayaan  yang  besar kepada umat Islam yang  terdahulu
   sehingga  dapat  memperluaskan wilayah  Islam  meliputi
   hampir  seluruh dunia dan mengekalkannya  selama  1,300
   tahun.
   
   139.  Jika diteliti ajaran Islam menekankan nilai-nilai
   yang mulia dan baik.  Kita disuruh "Baca", "Iqra" iaitu
   mengejar  ilmu.  Kita disuruh bersaudara sesama  Islam,
   termasuk  dalam parti, di luar parti, di  luar  negara.
   Kita  disuruh berpegang kepada ikrar dan amanah.   Kita
   disuruh  rajin bekerja, menguasai aneka jenis kecekapan
   yang  boleh meningkatkan ketahanan kita dan banyak lagi
   nilai-nilai  yang  positif  dan  membina.    Kita  juga
   disuruh  menolak yang buruk dan negatif, "amal  ma'aruf
   nahi mungkar".
   
   140.  Jika  kita betul-betul pegang kepada  nilai-nilai
   ini,  kita amalkannya dan kita rujuk kepadanya  apabila
   sahaja kita bertemu apa juga cabaran, Insya Allah, kita
   akan berjaya.
   
   141.  Agama Islam tidak akan menghampakan kita.   Allah
   tidak  menentukan  nasib  yang buruk  semata-mata  bagi
   kita.   Al-Quran  menegaskan bahawa  Allah  tidak  akan
   mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu  sendiri
   berusaha mengubah nasibnya.  Allah juga telah berfirman
   bahawa  segala yang baik datang daripadaNya, dan segala
   yang buruk datang daripada kita.  Maka tidaklah mungkin
   nasib  buruk orang Islam sekarang disebabkan oleh Allah
   s.w.t., ditakdirkanNya.  Ia datang daripada orang Islam
   yang  hanya berdoa dan bersembahyang hajat tetapi tidak
   berusaha  bersungguh-sungguh  untuk  menyelamatkan  dan
   memperbaiki  nasib  kita sendiri.   Jika  kita  sengaja
   pilih  untuk  tinggal di tepi gunung berapi,  janganlah
   salahkan  Tuhan  atau  takdir apabila  gunung  meletup,
   rumah kita runtuh atas kita dan kita cedera atau mati.
   
   UMNO BUKAN SEBARANG PARTI
   
   142.  UMNO  bukan  sebarang parti.  UMNO  adalah  parti
   pemerintah.   Di Malaysia, UMNO memainkan peranan  yang
   amat  penting.   Jika tidak kerana  UMNO  dan  falsafah
   perjuangannya, tidak mungkin negara kita  merdeka  pada
   tahun  1957,  kita  aman  dan  maju  seperti  sekarang.
   Hakikat  ini  diakui  oleh semua pihak;  orang  Melayu,
   orang  Cina,  India  dan suku-suku kaum  yang  lain  di
   Malaysia dan juga orang asing.
   
   143.   Justeru   itu,  ahli-ahli  UMNO  dan   pemimpin-
   pemimpinnya  di semua peringkat mempunyai tanggungjawab
   yang amat berat.  Tanggungjawab ini hanya dapat dipikul
   dan  dijayakan jika kita semua melengkapkan  diri  kita
   dengan nilai-nilai, ilmu dan kecekapan yang diperlukan.
   
   144.  Tidak ada individu dan tidak ada kumpulan manusia
   yang  tidak bermasalah.  UMNO mempunyai banyak masalah.
   Alhamdulillah   sehingga  kini  kita  dapat   menangani
   sebilangan besar daripada masalah ini dengan jayanya.
   
   145.  Masa depan akan membawa lebih banyak masalah  dan
   cabaran   kepada  parti  kita.    Samada   UMNO   dapat
   menangani  masalah  dan  cabaran  ini  dengan   jayanya
   bergantung banyak kepada sifat-sifat yang ada pada kita
   sebagai ahli dan pemimpin parti.
   
   146.   Sesungguhnya  kejayaan  kumpulan  akan   membawa
   kejayaan  dan  nikmat  kepada  semua  individu  anggota
   kumpulan.  Sebaliknya kejayaan individu tidak  menjamin
   kejayaan  kumpulan.  Lebih buruk lagi kejayaan individu
   boleh  membawa kerosakan kepada kumpulan.  UMNO sebagai
   satu  kumpulan yang penting, jika rosak,  akan  membawa
   padah  kepada  bangsa Melayu, bangsa  Malaysia,  kepada
   agama  Islam  dan kepada negara Malaysia.  Justeru  itu
   tiap  individu dalam UMNO mestilah menentukan  kejayaan
   kumpulan,  iaitu UMNO dan tidak berhempas  pulas  untuk
   mendapat  sesuatu  bagi  diri sendiri.   Sebagai  orang
   Islam  kita  harus  tahu  makna korban,  harus  sanggup
   korban kepentingan diri untuk kejayaan kumpulan kita.
   
   147. Dalam perang, bagi yang terbunuh, hasil kemenangan
   tidak  dapat dikecapi oleh mereka di dunia.  Kita tidak
   suruh ahli UMNO berperang dan dibunuh dalam peperangan.
   Kita  hanya meminta ahli UMNO utamakan kemenangan  bagi
   parti.   Hanya  kemenangan  parti  sahaja  yang   boleh
   membawa  manfaat  kepada kita,  bukan  kemenangan  kita
   sebagai individu.
   
   148.  Peluang  dalam sistem demokrasi dan peluang  yang
   terdapat  dalam  parti adalah terhad dan  wujud  secara
   kebetulan   sahaja.   Ia  bukan  sebab  kita  berjuang.
   Ingatlah  perjuangan  kita adalah untuk  kemuliaan  dan
   kemajuan  bangsa, agama dan tanahair  kita.   Kedudukan
   yang  tinggi  hanyalah untuk menjayakan perjuangan  dan
   bukanlah  menjadi matlamat perjuangan kita.  Jika  kita
   sendiri  tidak dapat kedudukan yang tinggi  ini  tetapi
   yang  dapat berjaya memenuhi matlamat perjuangan  kita,
   kita  tidak harus kecewa.  Kejayaan bangsa kita,  agama
   kita,  negara kita akan dikecapi oleh kita  juga.   Dan
   kita   juga  akan  dimuliakan  dan  disanjung   tinggi.
   Sebaliknya jika kerana berebut-rebut, parti jadi lemah,
   kita mungkin kalah semua dan hilang semua.
   
   AHLI MESTI BERKORBAN
   
   149.  Justeru  itu  ahli UMNO mestilah  bersedia  untuk
   berkorban  kepentingan  diri  sedikit  supaya  mendapat
   nikmat  yang  banyak.   Tanyalah  kepada  diri  sendiri
   apakah  benar kita tidak mendapat apa-apa  nikmat  sama
   sekali  kerana  kita  bukan Ketua Cawangan  atau  Ketua
   Bahagian,  menjadi  ahli MT, menjadi  calon  dan  Wakil
   Rakyat, Menteri dan Perdana Menteri.  Jawapannya  ialah
   kita   semua  dapat.   Oleh  itu  berhentilah  daripada
   berebut-rebut dan jayakanlah parti.  Jangan sekali-kali
   sabotaj calon kerana ia bermakna sabotaj parti.   Orang
   yang  sabotaj parti tidak harus ada dalam parti.  Musuh
   dalam  selimut  lebih  bahaya  daripada  yang  bermusuh
   secara  terbuka.  Jangan mengkhianati parti dan  bangsa
   sendiri.
   
   150.  Sesungguhnya musuh UMNO tidak kuat.  Mereka tidak
   mungkin   mengalahkan   UMNO.    Tetapi   UMNO    boleh
   mengalahkan UMNO.  Saya tidak perlu hurai perkara  ini.
   Kita semua tahu.  Parti lawan tidak menang.  Hanya UMNO
   yang kalah.
   
   151.   Sesungguhnya  UMNO  tidak  mungkin  kalah   jika
   kesetiaan  kita  kepada parti, pada  bangsa  dan  agama
   tidak  dilunturkan kerana kepentingan diri.  Tidak  ada
   parti   politik   di  mana-mana  yang   lebih   berjaya
   memulihkan   maruah  sesuatu  bangsa,   seperti   UMNO.
   Daripada bangsa yang dijajah dan dihina, bangsa  Melayu
   sekarang  dianggap sebagai bangsa yang  begitu  berjaya
   sehingga menjadi contoh kepada ramai bangsa-bangsa lain
   di  dunia.   Jasa UMNO kepada orang Melayu,  Bumiputera
   lain, bangsa Malaysia dan negara Malaysia amatlah jelas
   dan besar.  Janganlah kekecewaan kita menghancur semula
   maruah bangsa kita.
   
   152. Jika boleh saya ulangi, perjuangan kita, UMNO  dan
   orang Melayu dan Bumiputera lain belum selesai.  Banyak
   lagi   yang  perlu  dibuat  oleh  kita.   Hanya   untuk
   mengekalkan    kemerdekaan   kita,   kebebasan    kita,
   memerlukan  usaha  yang gigih dan  berterusan.   Apatah
   lagi  jika  kita  ingin  memulih maruah  bangsa  dengan
   sepenuhnya dengan menjadi bangsa yang maju dalam sebuah
   negara maju.
   
   153.  UMNO,  saya  ulangi bukan sebarang  parti.   UMNO
   adalah  teras dan tunjang kepada parti yang  memerintah
   negara   tercinta  ini.   Kuat  UMNO  kuatlah   Barisan
   Nasional,  kuatlah Kerajaan Malaysia, kuatlah Malaysia.
   Lemah  UMNO  akan  mengundang  malapetaka  kepada  kita
   semua.
   
   154. Ini adalah kali terakhir yang dapat saya sampaikan
   ucapan  perasmian dalam Perhimpunan Agung  UMNO.   Saya
   pohon  maaf jika saya mengambil masa yang panjang untuk
   menyampaikan  ucapan ini.  Saya hanya ingin  menyumbang
   kepada  parti  yang telah memberi peluang  yang  banyak
   bagi saya merealisasikan segala idea yang ada pada saya
   bagi  pemulihan  maruah bangsa saya, memajukan  sedikit
   bangsa  saya  dan negara saya.   Sama ada saya  berjaya
   atau tidak bukan untuk saya menilaikannya.  Rakyat  dan
   sejarah yang akan menghukum dan menilai baik atau buruk
   khidmat yang telah saya berikan.
   
   155.  Saya amat menghargai sokongan UMNO, orang  Melayu
   dan  Bumiputera dan rakyat Malaysia yang lain dan  saya
   bersyukur  dan  berterima kasih kerananya.   Saya  juga
   pohon  ampun  dan  maaf terhadap segala  kesilapan  dan
   kesalahan  saya sepanjang saya berkhidmat  dalam  parti
   yang bertuah ini.
   
   156.  Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, yang telah
   memberkati  hamba-Nya  yang kerdil  ini.   Saya  berdoa
   kepada-Nya  supaya  memelihara  bangsa  hamba-Nya   ini
   daripada  sifat-sifat yang keji dan  menjadikan  mereka
   bangsa  yang  mulia dan berjaya, yang  mematuhi  segala
   ajaran agama suci Engkau, ajaran yang menyuruh berusaha
   bersungguh-sungguh memelihara dan memajukan bangsa  ini
   untuk  dijadikan contoh sebagai umat Islam yang  tunduk
   kepada segala perintah Engkau Ya Allah.  Amin
   
   157. Dengan doa ini, saya dengan hati yang berat tetapi
   gembira, merasmikan Perhimpunan Agung UMNO yang  ke  54
   ini.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google