Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KOMPLEKS TAMAN SENI ISLAM, SHAH ALAM
Tarikh/Date : 18/07/2003
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN AL-QURAN
MUSHAF MALAYSIA
Penyampai : PM
Saya bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana
berpeluang untuk berada dalam majlis Pelancaran Al-
Quran Mushaf Malaysia, Cetakan Koleksi yang unik dan
bersejarah ini.
2. Saya rasa inilah kali pertama umat Islam di negara
kita berjaya melahirkan mushaf salinan tangan yang
indah yang bertaraf Cetakan Koleksi dan mencapai
piawaian antarabangsa dalam bidang penerbitan kitab
suci Al-Quran.
3. Membina sesuatu yang berkualiti bukan perkara yang
mudah. Kejayaan membina perkara yang bermakna adalah
suatu pencapaian besar yang harus kita syukuri dan
banggakan.
4. Saya amat gembira kerana Malaysia mampu melakukan
berbagai-bagai perkara yang menaikkan nama Islam di
mata dunia sehingga mendapat pengiktirafan sebagai
salah sebuah negara yang dianggap sebagai contoh dalam
dunia Islam. Kejayaan mencapai kualiti yang tinggi
dalam penerbitan Al-Quran termasuk di dalam senarai
kejayaan tersebut. Pencapaian dalam bidang ini akan
menyumbang kepada wawasan negara.
5. Saya ucapkan tahniah kepada Yayasan Restu yang
telah menunjukkan semangat yang tinggi untuk
meningkatkan aspek seni dalam agama Islam. Kegigihan
yang ditunjukkan sepanjang usaha ini dimajukan harus
dijadikan contoh dalam usaha lain ke arah pencapaian
standard kecemerlangan yang tinggi. Sesungguhnya jika
ada kemahuan dan kesanggupan bertekun kita mampu
mencapai kecemerlangan dalam apa juga jurusan seperti
bangsa-bangsa yang maju.
6. Mencapai tahap cemerlang bermaksud melakukan
sesuatu dengan tahap kebaikan yang lebih daripada batas
kebiasaan. Untuk menjadi bangsa yang berdaulat, inilah
satu-satunya kunci baginya.
7. Negara-negara di Asia seperti Jepun dan Korea
adalah negara yang tidak mempunyai kekuatan ekonomi
pada suatu masa dahulu. Namun dengan semangat ingin
maju, disiplin yang kuat dan budaya kerja yang
cemerlang, mereka telah berjaya membawa negara mereka
keluar daripada kedaifan dan kemiskinan sehingga
menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju.
8. Jika di dorong dengan semangat yang kental,
kebolehan orang Melayu tidak kurang daripada orang
lain. Membuat sesuatu kerana agama menjadi dorongan
yang kuat bagi orang Melayu. Sudah tentu meninggikan
seni Islam menjadi pendorong yang boleh memeras segala
kebolehan dan kecekapan yang terpendam dalam hati
sanubari dan tubuh badan orang Melayu. Di Galeri Restu
saya dapat lihat dengan nyata potensi yang tetap ada
pada orang Melayu.
9. Bagi menghasilkan pengeluaran yang berkualiti dan
berdaya saing, tidak mencukupi jika ianya dinikmati
oleh segelintir manusia sahaja. Pengeluaran
berkuantiti tidak semestinya berkualiti rendah. Jika
di usaha dengan cermat dan teliti, Insyaallah kualiti
boleh dicapai. Dahulu barangan yang "mass produce"
tetap berkualiti rendah. Tetapi hari ini walaupun
jumlah pengeluaran berjuta, namun kualiti masih amat
tinggi. Kita harus anggap pengeluaran yang banyak dan
berkualiti tinggi adalah sebahagian daripada fardzu
kifayah kerana ia tetap akan menyumbang kepada
kesejahteraan hidup kita ummat Islam.
10. Pengeluaran Al-Quran adalah satu ibadat. Di zaman
sebelum ada percetakan, Al-Quran terpaksa ditulis
dengan tangan, kerapkali di atas kulit atau daun.
Mereka yang menghasilkan Al-Quran tulisan tangan ini,
memberi perhatian bukan sahaja kepada tulisan yang baik
tetapi juga kepada hiasan. Tidak ada cara untuk
mengeluarkan jumlah Al-Quran dengan banyak melainkan
dengan menulis dengan tangan. Masalah menjadi
bertambah rumit di zaman dahulu kerana tidak ramai di
kalangan orang Islam yang pandai menulis.
11. Dalam satu-satu masyarakat Islam di masa itu
jumlah Al-Quran tetap sedikit sahaja. Dan sepanjang
masa terdapat bahaya satu dua salinan Al-Quran yang ada
pada satu-satu masyarakat musnah kerana kebakaran atau
sebab-sebab lain. Kerugian ini tidak mudah ditampal
atau diatasi. Oleh kerana itu adalah menjadi fardzu
kifayah bagi tiap masyarakat Islam mempunyai sebilangan
orang yang hafal seluruh isi kandungan Al-Quran. Jika
berlaku kehilangan semua Al-Quran untuk masyarakat
berkenaan, maka isi kandungan Al-Quran tidak akan
hilang dan hafiz-hafiz akan membacanya untuk ditulis
semula.
12. Sebagai fardzu kifayah tidaklah perlu semua
anggota masyarakat menghafal Al-Quran. Memadailah jika
sebilangan yang munasabah menghafalnya untuk melepaskan
masyarakat daripada menanggung dosa.
13. Tetapi di zaman ini cetakan Al-Quran begitu mudah
dan murah sehingga tiap anggota masyarakat akan
memiliki satu atau dua atau lebih kitab suci ini.
Kemungkinan semua yang dimiliki oleh sesuatu masyarakat
hilang amatlah tipis. Lagipun Al-Quran yang dimiliki
masyarakat lain mudah didapati. Namun demikian tiap
masyarakat wajib mempunyai beberapa orang hafiz untuk
memenuhi fardzu kifayah.
14. Demikian juga dengan Al-Quran yang ditulis dengan
tangan. Sesungguhnya keperluannya tidak ada lagi.
Tetapi menulis Al-Quran adalah satu ibadat yang
penting untuk mengekalkan apa yang dipanggil oleh orang
Melayu sebagai tulisan Jawi. Sebenarnya ia bukanlah
tulisan yang berasal dari Jawa tetapi adalah tulisan
Arab. Seni tulisan Arab atau khad adalah antara seni
tulisan yang mencerminkan keindahan seni halus dalam
Islam. Tanpa lukisan berbagai-bagai makhluk seperti
yang terdapat dalam seni lukisan yang lain daripada
Islam, tulisan khad dapat membukti bahawa hanya tulisan
sahaja boleh menjadi begitu cantik dan menarik.
15. Tetapi Al-Quran bukanlah untuk seni khad sahaja.
Al-Quran dijunjung oleh kita ummat Islam kerana ia
adalah kitab suci yang mengandungi panduan hidup dan
mati orang Islam. Sekarang ini ayat-ayat Al-Quran
bukan terdapat dalam kitab yang di tulis atau di cetak,
tetapi juga dalam media elektronik termasuk komputer,
cakerapadat dan Internet. Tentulah tidak mungkin
secara fizikal kita junjung alat-alat ini kerana adanya
Al-Quran dalamnya. Namun isi kandungan dalam alat
elektronik tidak kurang pentingnya daripada isi
kandungan Al-Quran yang di tulis atau di cetak. Yang
penting ialah kita boleh rujuk kepada Al-Quran dalam
alat-alat ini untuk mendapat panduan akan cara hidup
sebagai orang Islam.
16. Yang jelas bukanlah media yang di guna tetapi isi
kandungan surah dan ayat-ayat yang dapat dijadikan
rujukan bagi kita.
17. Di sini timbul beberapa masalah yang telah
mengurangkan nikmat yang boleh didapati daripada Al-
Quran. Yang pertamanya ialah pengetahuan bahasa Al-
Quran iaitu bahasa Arab. Ramai yang berpendapat tanpa
penguasaan bahasa Arab kita tidak mungkin faham isi
kandungan Al-Quran. Tetapi hakikatnya ialah memahami
bahasa Arab pun tidak menjamin isi kandungan Al-Quran
di fahami dengan tepat.
18. Ini adalah kerana ayat-ayat Al-Quran terbahagi
kepada yang tepat dan jelas dengan yang merupa
perumpamaan yang terbuka kepada bermacam-macam
tafsiran. Tanpa pentafsir isi kandungan Al-Quran tidak
akan difahami dengan tepat. Apatah lagi mereka yang
tidak faham bahasa Arab, tidak mungkin mereka mendapat
panduan hanya kerana boleh membaca Al-Quran.
19. Malang bagi kita orang Islam sejak wafatnya Nabi,
rujukan kepada Baginda tidak dapat dibuat lagi untuk
tafsiran yang satu dan tidak berbeza-beza. Rujukan
sekarang perlu di buat kepada pentafsir yang terdiri
daripada mereka yang memahami bahasa Arab, bahasa Al-
Quran dan yang telah mengkaji dan meneliti latar
belakang ayat-ayat dan perkataan yang terdapat dalam Al-
Quran. Tetapi kita dapati alim ulama kerap membuat
tafsiran yang berbeza-beza. Demikianlah perbezaan ini
sehingga agama Islam yang satu yang dibawa oleh Nabi
mengikut wahyu yang diterimanya sudah berpecah kepada
beratus-ratus fahaman yang didakwa sebagai Islam.
20. Tetapi Alhamdulillah, Al-Quran tidak berubah.
Walaupun ada yang cuba menulisnya semula tetapi umat
Islam tidak menerima sebarang pindaan kepada Al-Quran.
Demikian juga percubaan untuk memansuhkan ayat-ayat
tertentu di tolak oleh masyarakat Islam. Selagi kita
dapat kekalkan teks Al-Quran tanpa diubah apa-apa, kita
dapat mengurangkan kesesatan hasil daripada tafsiran Al-
Quran oleh orang-orang yang berkepentingan atau orang
yang jahil. Al-Quran tidak silap. Tetapi pentafsir,
sebagai manusia biasa, walaupun terpelajar dalam bidang
agama dengan mendalam masih boleh membuat tafsiran yang
salah. Perpecahan di kalangan umat Islam sekarang
bukan disebabkan oleh ajaran Islam yang terkandung
dalam Al-Quran dan hadith-hadith yang sahih tetapi
kerana tafsiran yang berbagai-bagai dan bertentangan
oleh orang-orang yang terpelajar. Pentafsir yang
salah, bukan Islam, bukan Al-Quran yang salah.
Pentafsir yang takbur yang mendakwa dia sahaja yang
tahu agama Islam, dan tafsiran serta ajaran orang lain
tidak betul dan dianya tidak boleh ditegur, pentafsir
seperti inilah yang kerap menyebabkan umat Islam
keliru, sesat dan berpecah. Mereka ini suka menjual
ayat Al-Quran dengan harga yang murah sedangkan Allah
berfirman dalam Al-Quran supaya tidak melakukan
perbuatan ini.
21. Samada kita suka atau tidak suka, hakikatnya ialah
kita yang tidak berbahasa Arab, memahami ajaran Islam
dalam bahasa kita sendiri. Mereka yang mendakwa mereka
faham isi kandungan Al-Quran kerana mereka fasih dalam
bahasa Arab masih terpaksa jelaskan tafsiran mengikut
fahaman mereka dalam bahasa yang difaham oleh kita
iaitu bagi orang Melayu dalam bahasa Melayu. Apa yang
disampaikan kepada kita ialah fahaman orang yang fasih
dalam bahasa Al-Quran dan terjemahan fahaman ini kepada
bahasa kita. Jika salah fahamannya atau terjemahannya
maka salahlah fahaman kita akan ajaran Islam yang
sebenar. Sebab itu kita sering bersengketa sesama kita
kerana kelainan fahaman, kelainan tafsiran dan kelainan
terjemahan oleh mereka yang menyampaikan ajaran Islam
kepada kita. Mungkin tidak ada niat buruk, tidak ada
kepentingan lain tetapi Islam yang kita amali adalah
Islam pentafsir. Jika pentafsir tidak boleh ditegur,
dan segala-gala yang disampaikan oleh mereka diterima
bulat-bulat tanpa di rujuk kepada pihak lain maka
kemungkinan kita sesat amatlah besar. Sebab itu
terdapat orang yang mendakwa mereka adalah orang Islam
tetapi keIslaman mereka dinafikan oleh orang Islam
lain.
22. Al-Quran menjadi panduan kita sebagai umat Islam.
Apabila kita keliru atau sesat atau kita tidak
bersaudara dan bersahabat dengan orang Islam lain,
tidak aman dan selamat, kita perlu rujuk kepada Al-
Quran. Tetapi haruslah kita ingat bahawa oleh kerana
ayat-ayat dalam Al-Quran boleh ditafsir secara berbeza-
beza oleh pentafsir-pentafsir, rujukan kita mungkin
menghasilkan panduan yang salah, kerana sebenarnya kita
rujuk kepada pentafsir dan bukan kepada Al-Quran.
23. Yang jelas ialah individu yang membuat tafsirannya
sendiri walaupun ianya alim tidak semestinya benar dan
betul. Untuk menjadikan Al-Quran sebagai tempat
rujukan, tafsiran hendaklah dibuat oleh sekumpulan
ulama yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan selain
daripada kepentingan umat Islam dan agama Islam, dan
mereka tidak takbur dengan anggapan bahawa mereka
sebagai pewaris Nabi, tidak mempunyai kecacatan atau
kelemahan apa-apa seperti yang ada pada manusia lain.
Mereka yang sering mendakwa mereka adalah pewaris Nabi
tetap tidak mempunyai sifat-sifat ulama yang sebenar.
24. Islam bukan sahaja agama ibadat tertentu untuk
diri sendiri tetapi ia adalah Ad-din, atau cara hidup.
Segala urusan kehidupan kita tertakluk kepada ajaran
Islam. Dan kehidupan melibatkan makan minum,
berpakaian dan berteduh di bawah bumbung. Selain
daripada itu ia melibatkan pengeluaran bahan makanan,
keluaran kain pakaian, bahan binaan. Ia juga
melibatkan kegiatan menguasai ilmu dan perniagaan serta
perusahaan. Sudah tentu ia juga melibatkan keselamatan
dan pertahanan, pemerintahan yang cekap, penjagaan
keamanan dan penguatkuasaan undang-undang. Dan beribu
macam lagi usaha untuk menentukan cara hidup Islam
membawa kebahagiaan dan kesejahteraan kepada umat
Islam.
25. Ramai yang menentang segala pendapat yang berbeza
sedikit dengan tafsiran yang katanya tradisional yang
dibuat terdahulu. Kononnya ini adalah percubaan untuk
mengubah Al-Quran. Tidak ada perubahan yang dibuat
kepada Al-Quran kerana Al-Quran mengandungi wahyu
daripada Allah. Yang perlu dibuat ialah pindaan kepada
tafsiran mengikut perkembangan zaman. Pertahanan di
zaman Nabi memerlukan kuda perang, pemanah, tombak dan
pedang. Pertahanan di zaman ini memerlukan senapang,
meriam, kereta kebal, kapal perang, pesawat pengebom
dan pejuang. Desakan agama Islam supaya orang Islam
bersedia untuk mempertahankan diri tidak berubah. Ini
yang menjadi pokok. Kelainan tafsiran hanyalah
berkenaan dengan jenis senjata yang hendak disediakan.
26. Demikian juga dengan larangan terhadap lukisan
rupa manusia dan makhluk Allah yang lain. Di zaman
Jahilliah manusia yang kolot akan sembah gambar-gambar
sebagai tuhan. Hari ini dengan adanya alatan membuat
gambar, bahkan gambar yang bergerak 3D, larangan ini
tidak dapat dikuatkuasakan. Pemimpin-pemimpin agama
juga mempunyai gambar yang diedar ke merata tempat.
27. Tujuan larangan lukisan dalam Islam ialah supaya
kita tidak akan sembah lukisan berkenaan, terutama
lukisan yang dikatakan gambar Nabi atau Tuhan. Oleh
itu dilarang gambar seperti itu. Gambar lain tidak
dapat ditegah lagi tetapi menyembah gambar masih di
haramkan bagi orang Islam. Tidaklah sesuai jika gambar
orang tertentu digantung dalam masjid umpamanya.
28. Allah berfirman yang bermaksud "Jika kamu hukum,
hukumlah dengan adil." Yang penting ialah keadilan,
bukan proses kehakiman. Tetapi ada yang menolak
keadilan dan mengutamakan proses kehakiman sehingga
berlaku zalim. Mengutamakan keadilan, seperti juga
mengutamakan pertahanan umat Islam, atau tidak
menyekutukan gambar dengan Allah dan menyembah gambar,
tidak bertentangan dengan ajaran Al-Quran, atau membuat
tafsiran yang lain daripada yang terkandung dalam Al-
Quran.
29. Sebaliknya mereka yang sering mengecam apa yang
mereka dakwa sebagai tafsiran bukan tradisional
berkenaan dengan ajaran Al-Quran, merekalah yang kerap
kali membuat tafsiran baru yang bertentangan dengan
tafsiran lama dan tepat berkenaan ajaran Al-Quran.
Demikian apabila mereka berkata Tuhan mencarut dan
Tuhan samseng besar, ini adalah tafsiran baru yang
tetap berbeza dengan tafsiran tradisi dan asal.
Demikian juga apabila didakwa kononnya seseorang itu
hanya Islam jika ia menyertai atau menyokong sebuah
parti politik ciptaan manusia, maka ini juga merupakan
tafsiran baru akan ajaran yang terkandung dalam Al-
Quran. Soalnya kenapakah mereka boleh buat tafsiran
baru yang tidak sama sekali berasas kepada Al-Quran
sedangkan tafsiran yang dibuat yang berasas kepada isi
kandungan Al-Quran di dakwa sebagai menolak ajaran Al-
Quran?
30. Sesungguhnya Al-Quran adalah panduan yang
terpenting untuk umat Islam. Jika hari ini umat Islam
berpecah dan bermusuh sesama sendiri, sebabnya bukanlah
Islam dan Al-Quran tetapi tafsiran yang berbeza-beza
yang dibuat oleh ulama-ulama di zaman dahulu dan
sekarang. Sebagai manusia biasa mereka tidak mungkin
bebas daripada kecacatan dan kesilapan. Apabila
kesilapan mereka jelas dan terang dan membawa
perpecahan dan kelemahan kepada umat Islam, tafsiran
mereka berkenaan surah dan ayat Al-Quran perlu dikaji
dan dipinda supaya umat Islam dapat kembali kepada Al-
Quran dan Islam yang sebenar dan mereka kembali bersatu
dan hidup bahagia sebagai khalifah Allah di bumi ini.
Pengembalian umat Islam kepada ajaran Islam yang
sebenar hendaklah dibuat secara hikmah seperti yang
dikehendaki oleh Islam.
31. Al-Quran bukan hanya hiasan walaupun penulisannya
perlu mencerminkan penghargaan yang tinggi oleh umat
Islam. Al-Quran adalah rujukan yang penting bagi umat
Islam. Penyembunyian sebahagian besar daripada isi
kandungan Al-Quran atau lebih buruk lagi percubaan
untuk memansuhkan ayat-ayat tertentu dalam Al-Quran
adalah sejenis pengkhianatan kepada agama Islam.
32. Kita berbangga dengan penulisan yang cantik Mushaf
Malaysia ini. Kita ucap tahniah kepada semua yang
terlibat dengan penyediaan Mushaf Malaysia ini. Kita
berdoa pengeluaran Mushaf ini akan meningkatkan lagi
minat untuk ibadah yang mulia ini. Mudah-mudahan kita
semua akan mendapat banyak nikmat daripada usaha ini.
Mudah-mudahan kita akan lebih mengetahui isi kandungan
Al-Quran tanpa sebarang salah tafsiran untuk
kepentingan yang lain daripada maksud kitab suci ini
sebagai panduan kepada kita semua umat Islam. Mudah-
mudahan dengan pengeluaran Mushaf Malaysia selangkah
lagi dimajukan untuk mengembalikan Islam sebagai agama
yang termulia bagi umat manusia.
33. Dengan penuh syukur dan rendah diri saya lancarkan
Al-Quran Mushaf Malaysia Taba'ah Ain At Takwa Cetakan
Koleksi ini dengan rasminya dengan lafaz
Bismillahirahmanirahim, dengan nama Allah yang Maha
Pemurah lagi Maha Pengasih.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|