Oleh/By : DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUTRAJAYA
Tarikh/Date : 31/08/2003
Tajuk/Title : PERUTUSAN PERDANA MENTERI SEMPENA
HARI KEBANGSAAN KE 46 TAHUN
Versi :
Penyampai : PM
Ini adalah kali terakhir saya berkesempatan
membuat ucapan pada hari yang begitu bermakna bagi
kita; Hari Kemerdekaan, Hari Kebangsaan kita.
2. Oleh itu saya pohon izin untuk berucap lebih
panjang daripada biasa. Sesungguhnya banyak benar
pesanan yang ingin saya sampaikan, yang saya
berpendapat boleh membawa kebaikan kepada kita semua
dan kepada negara tercinta ini, negara kita bersama,
negara Malaysia.
3. Tahun ini kita menyambut ulangtahun Hari
Kebangsaan bagi kali ke 46. Rakyat kita sungguh
beruntung dan bertuah kerana dapat menyambutnya tanpa
berasa bimbang akan sebarang ancaman walaupun keadaan
dunia sekarang masih diselubungi dengan rasa ketakutan
akibat keganasan, pencerobohan dan peperangan.
4. Sebenarnya sudah hampir lima dekad kita kekal
bebas daripada penjajahan asing. Ia adalah kerana
rakyat berbilang kaum kita sudah matang daripada segi
politik demokrasi, matang dan cinta kepada kestabilan
dan keamanan. Kita tidak tamak dan suka merebut semua
bagi diri kita sahaja. Kita tidak ganas semasa
mengambil bahagian kita. Sebaliknya kita percaya dan
kita sanggup berkongsi; berkongsi secara bijak segala
nikmat yang ada. Kita lebih rela mendapat sebahagian
daripada nikmat yang ada kerana kita percaya dan kita
tahu dalam keadaan aman dan tenteram, bahagian kita
akan tumbuh dan menjadi besar. Kita juga tahu jika
kita bolot semua untuk kita dan dengan kerana itu
ketegangan antara kaum berlaku dan negara menjadi
kurang stabil dan aman, maka apa yang diperolehi oleh
kita tidak akan tumbuh membesar, bahkan akan susut dan
kecut dan akhirnya tidak akan ada apa-apa yang dimiliki
oleh kita.
5. Jika diperhatikan segala masalah yang dihadapi di
merata tempat di dunia, segala kezaliman, huru-hara dan
perang adalah disebabkan sikap tamak haloba dan
tuntutan untuk semua bagi diri sendiri. Tidak sanggup
berkongsi ialah sebabnya rusuhan berlaku.
6. Sebab itu dalam pembentukan Dasar Ekonomi Baru
umpamanya, walaupun jumlah Bumiputera lebih ramai kita
sanggup menerima agihan 30 peratus sahaja dan bukan
Bumiputera 40 peratus, asing 30 peratus. Kita tahu
bukan mudah untuk mencapai peratusan ini pun. Setelah
33 tahun DEB dilaksanakan bahagian Bumiputera hanyalah
19 peratus. Jika kita memberontak sekali pun ia tidak
akan meningkat, sebaliknya ia akan merosot.
7. Tetapi tentu ada di kalangan kita yang tidak
senang dengan kegagalan mencapai matlamat DEB setelah
46 tahun merdeka. Tentu ada yang ingin cari kesalahan
terutama kesalahan Kerajaan. Tidakkah boleh Kerajaan
mengambil sahaja bahagian Bumiputera dan menyerah
kepada mereka?
8. Sebenarnya Kerajaan telah pun berbuat demikian.
Jika Bumiputera tidak dapat juga, sebabnya ialah kerana
Bumiputera menjual balik hak mereka kepada bukan
Bumiputera untuk mendapat untung cepat. Bukan sahaja
saham yang dijual balik, tetapi kontrak, peluang dan
apa sahaja yang didapati dijual balik dan ini sudah
tentu menggagalkan pelaksanaan DEB. Sejumlah 19
peratus yang dicapai pun adalah kerana institusi
Bumiputera diperuntukkan bahagian Bumiputera dan
memegangnya, tidak menjual.
9. Kenapakah ini berlaku? Kenapakah matlamat DEB
tidak tercapai sepenuhnya? Kenapakah dijual hak yang
diterima? Sebabnya ialah kerana kurang sabar, kerana
suka kepada yang mudah, kerana tamak.
10. Pada hari yang bermakna ini, hari kita merdeka dan
berkuasa mengurus hal ehwal kita sendiri, marilah kita
akui kesalahan kita Bumiputera khususnya dan kita
betulkan kesalahan ini. Kita boleh, kita boleh seperti
orang lain boleh. Jika kita sanggup bertekun, sabar,
tidak mencari jalan yang mudah percayalah kita boleh
berjaya seperti orang lain berjaya. Orang lain juga
salah tetapi agak lebih sukar menyuruh orang lain
membetulkan diri supaya kita mendapat untung.
11. Baru-baru ini seorang anak Melayu telah berenang
58 km menyeberangi Selat Inggeris. Percubaan ini
bermula 4 tahun sebelumnya. Bukan sahaja latihan dan
disiplin diri yang terpaksa dibuat, tetapi tekanan
mental kerana masalah kewangan dan sokongan moral yang
tidak sebegitu. Seperti juga dengan Azhar apabila dia
bercadang untuk belayar seorang diri mengelilingi
dunia, ramai yang tidak yakin dan tidak percaya Malik
akan lakukan renangan ini, jauh sekali berjaya. Namun
dia tidak putus asa, tabah hati dan kekal dengan cita-
cita besarnya.
12. Semasa berenang di Selat Inggeris dengan suhu yang
sejuk, gelombang yang tinggi, arus yang deras, tekanan
ke atas semangat dan pemikiran tentulah tinggi.
Tentulah ada perasaan untuk berhenti menyeksa diri dan
naik sahaja bot yang turut sama. Hanya semangatnya
menghalang dirinya daripada mengambil jalan yang mudah.
Renangan yang sepatutnya 32 km telah menjadi 58 km
kerana arus yang kuat. Semangat Malek tidak luntur.
Tiap satu minit dia kuak hampir 60 kali selama 18 jam.
Namun dia sanggup meneruskan sehingga sampai ke Pantai
Perancis.
13. Ini adalah satu cabaran yang amat besar yang dia
sendiri memilih untuk mengatasi dan dia mengatasi
dengan jayanya dan mengharumkan nama bangsa, agama dan
negaranya di samping nama dirinya sendiri.
14. Apabila Azhar berjaya belayar seorang diri
mengelilingi dunia dan kembali ke tanah air ramai yang
tertanya-tanya bagaimana dia berjaya menghadapi cabaran
sebesar ini. Sudah tentu Malek juga akan ditanya
bagaimana.
15. Di sini ingin saya nyatakan kekecewaan saya kerana
ramai orang Melayu, termasuk pemuda Melayu yang
bertanya kepada Azhar "Apa ilmu yang beliau pakai?"
16. Maksud ilmu yang ingin diketahui ialah ilmu ghaib,
ilmu yang diselit dengan doa tertentu yang kononnya
akan menjamin kejayaan. Mereka ingin tahu ilmu ini
supaya dengan mudah mereka juga boleh menghadapi
cabaran dan berjaya. Sikap mereka adalah sama dengan
orang yang menuntut ilmu kebal yang kononnya akan
membolehkan mereka menangkis tikaman dan peluru.
Dengan itu mereka berani.
17. Tidak ada ilmu kebal, tidak ada ilmu ghaib yang
boleh menjamin kejayaan.
18. Orang Melayu, yang semuanya beragama Islam, yang
berpegang kepada Al-Quran dan hadis tentu tahu Nabi
sendiri terpaksa melalui cabaran demi cabaran, aneka
jenis ujian dan kegagalan sebelum Baginda mencapai
kejayaan. Dan Nabi sendiri tidak kebal. Di Jabal Uhud
Baginda cedera parah.
19. Jika manusia boleh kebal tentulah Allah s.w.t.
kurniakan kepada Rasul kesayangannya kekebalan.
Tentulah perjuangan Nabi mengembangkan syiar Islam
dipermudahkan.
20. Mungkinkah apa yang tidak dikurniakan kepada
Rasulullah diberi kepada manusia biasa walaupun
beragama Islam tetapi tentunya tidak sunyi daripada
dosa.
21. Jika kita benar-benar pegang kepada hadis dan
sunnah Nabi maka iman dan sifat-sifat ketekunan,
keberanian dan disiplin yang ada pada Nabi tentulah
dicontohi oleh kita. Kita boleh berdoa untuk
dilindungi oleh Allah s.w.t. Kita boleh berdoa untuk
diberi kejayaan. Tetapi Tuhan tidak menjanjikan
kejayaan hanya dengan berdoa sahaja. Tuhan berkehendak
kita berusaha dan membuat persediaan untuk menjayakan
diri kita. Ini jugalah yang dilakukan oleh Nabi untuk
mencapai kejayaan.
22. Semasa Iraq diserang ramai orang Islam yang
berdoa, tetapi Iraq dikalahkan juga dan ditakluk.
Apakah Tuhan tidak makbulkan doa kita? Tidak sekali-
kali. Kekalahan Iraq ialah oleh kerana usaha untuk
mempertahankan diri tidak dibuat. Kerajaan Saddam
zalim, menindas rakyatnya sendiri sehingga mereka benci
kepadanya dan tidak sanggup menggadai nyawa untuk
mempertahankannya. Yang mengalahkan Saddam ialah
Saddam sendiri kerana tidak mematuhi ajaran Islam
berkenaan dengan segala persediaan pertahanan. Doa kita
tidak mencukupi untuk mengatasi pengabaian ajaran Islam
oleh pemimpin Iraq.
23. Demikian juga dengan menghadapi cabaran belayar
keliling dunia, berenang merentasi Selat Inggeris,
mendaki Gunung Everest, berjalan ke Kutub Utara dan
cabaran-cabaran lain. Kita boleh berdoa kerana
akhirnya Allah s.w.t. yang akan menentukan jaya atau
tidaknya kita. Tetapi di samping berdoa kita perlu
buat persediaan. Ilmu yang perlu dituntut ialah ilmu
berkenaan pelayaran, berkenaan renangan dan segala-gala
ilmu yang berkaitan. Kita perlu berlatih bersungguh-
sungguh, mengambil masa yang diperlukan. Kita perlu
bekal diri kita dengan semangat yang kental dan
disiplin yang tinggi. Hanya setelah kita berjaya
melengkapkan diri dengan kebolehan dan semangat barulah
boleh kita cuba. Kita mungkin berjaya. Kita mungkin
gagal. Gagal, kita bangun dan cuba lagi. Kita berdoa,
kita pohon pertolongan daripada yang maha Esa. Dan
kita cuba dan cuba lagi. Jika berjaya kita bersyukur,
jika tidak kita tidak kecewa.
24. Kita bercita-cita besar. Kita ingin melihat anak
bangsa ke angkasa lepas. Kita perlu calon yang sesuai,
yang bersemangat, berdisiplin, berani. Kita berdoa
tetapi kita akan membuat persediaan yang mencukupi.
Adalah diharapkan ramai calon yang akan mempelawa diri
untuk menjadi angkasawan Malaysia yang pertama, yang
akan mengharumkan lagi nama Malaysia.
25. Sesungguhnya kita boleh mencapai kejayaan dalam
apa juga bidang jika kita sanggup melatih diri,
berdisiplin, tidak tamak dan kita sabar. Tidak ada
yang mudah dalam apa juga kerja. Ada yang berpendapat
jika mereka dapat kedudukan tertentu mereka juga boleh
berjaya. Ada puak yang berpendapat jika mereka
berkuasa mereka juga boleh menjayakan negara. Tidak
perlu berterima kasih kepada sesiapa kerana nikmat yang
kita terima.
26. Dalam masyarakat yang anggotanya tidak tahu
berterima kasih, masing-masing akan utamakan
kepentingan dirinya sahaja. Tidak akan ada
persahabatan bahkan tidak akan ada sifat-sifat
kekeluargaan pun. Semua akan menjadi tamak dan
masyarakat tidak lagi hidup sebagai masyarakat manusia
yang bertamadun. Masyarakat yang akan wujud ialah
masyarakat zaman batu, di mana yang kuat akan ambil
segala-gala bagi diri mereka, dan yang lemah akan
ditindas hingga jatuh tersungkur, tidak bangkit-
bangkit. Inilah jenis masyarakat di mana sifat-sifat
tidak berterima kasih kepada yang memberi pertolongan,
yang membawa nikmat, dipupuk dan diamalkan. Inilah
jenis masyarakat yang tidak Islam. Bahawa yang memupuk
sifat-sifat ini berbuat demikian kononnya atas nama
Islam tidak akan menjadinya sifat Islam. Yang tidak
Islam tidak Islam juga. Sebenarnya mereka yang
mengembang dan memupuk sifat tidak berterima kasih ini
mengkhianati Islam dan umat Islam.
27. Sesungguhnya jika orang Islam berpegang kepada
ajaran Islam yang sebenar, yang tidak diputarbelit oleh
orang yang berkepentingan, orang Islam tetap maju dan
berjaya dalam semua bidang. Tetapi ramai daripada kita
yang tidak mengamal ajaran Islam. Dalam bidang
perniagaan kita tetap berjaya jika kita beramanah,
sabar, berdisiplin, membendung nafsu, jujur dan ikhlas.
Tetapi apabila kita tidak sabar untuk kaya cepat dan
dengan itu menjual hak kita, nama kita, maruah bangsa
kita, agama kita maka sudah tentu kita akan gagal dan
rugi. Mungkin pada mulanya menjual hak kita akan
memberi keuntungan segera pada kita. Menjual agama
kita memberi kemenangan politik kepada kita. Tetapi
akhirnya kita pasti akan rugi, tidak dipercayai, tidak
dihormati, didakwa di mahkamah, didapati salah dan
dihukum penjara. Bagi yang menjual agama kerana
kepentingan tertentu mereka berdosa kerana mereka
membawa kecelakaan kepada orang Islam, menjadikan
mereka lemah, tertindas dan dihina bersama agama
mereka. Apabila ada orang yang menghalangkan
penguasaan ilmu kerana kononnya agama tidak menyuruh
belajar ilmu yang mereka cap sebagai sekular dan dengan
kerana itu orang Islam menjadi bodoh dan mudah dikuasai
orang lain, maka tentulah orang Islam dan agama Islam
akan rugi besar.
28. Kegagalan kita adalah kerana kita abaikan ajaran
yang baik, terutama ajaran agama yang sebenar, dan kita
tunduk kepada nafsu sehingga sanggup bekerjasama dengan
syaitan. Hasil kerjasama dengan syaitan ternampak
jelas apabila sudah sanggup menghinakan Allah s.w.t.,
memberi sifat-sifat yang buruk yang ada pada manusia
kepada Tuhan.
29. Dalam kehidupan seharian demikian juga. Kita
gagal kerana kita tidak pegang kepada nilai hidup yang
mulia, kita tidak bersyukur dengan nikmat yang banyak
kita terima.
30. Negara kita Malaysia bukan lagi sebuah negara yang
kecil. Empat puluh enam tahun dahulu penduduk Malaysia
hanyalah lima juta dan purata pendapatan kita hanya RM
800 seorang setahun. Tidak ada lebuh raya, bekalan
elektrik dan air, tidak ada sekolah, klinik dan
hospital. Tidak ada cukup peluang bekerja, tanah untuk
bercucuk tanam.
31. Sekarang penduduk Malaysia berjumlah 25 juta,
dengan pendapatan purata per kapita 14,000 Ringgit.
Kemudahan infrastruktur hampir sama dengan negara maju.
Jika dahulu pada tahun 1957 upah kakitangan Kerajaan
yang terendah ialah 25 Ringgit Malaysia dan yang
tertinggi ialah 1,950 Ringgit Malaysia iaitu 78 kali
ganda, sekarang upah yang terendah ialah 480 Ringgit
Malaysia dan yang tertinggi 13,940 Ringgit Malaysia.
Jurang di antara yang terendah dengan yang tertinggi
dikurangkan kepada 29 kali ganda, tetapi yang terendah
mendapat kenaikan 19 kali ganda berbanding dengan
tujuh kali ganda bagi yang tertinggi. Sementara
pendapatan semua peringkat meningkat sebanyak 6.5
peratus setahun; kenaikan harga barang atau inflasi
hanyalah 3.3 peratus setahun. Ini bermakna pendapatan
meningkat lebih daripada harga barangan dan khidmat.
Dengan pendapatan yang bertambah daya beli tentulah
meningkat juga.
32. Tetapi kita harus ingat jika upah meningkat,
peniaga juga perlu mendapat keuntungan yang juga
meningkat. Justeru itu pembeli barangan atau khidmat
perlulah sanggup membayar lebih untuk bekalan yang sama
atau yang lebih baik. Setelah membayar harga yang
sudah naik, kuasa beli barangan dan khidmat tambahan
tetap ada. Dengan itu kualiti hidup rakyat Malaysia
tetap meningkat. Sebenarnya kerana kawalan harga,
rakyat Malaysia menikmati kos sara hidup yang amat
rendah berbanding dengan kualiti hidup yang dinikmati.
33. Sesungguhnya jika kita bertimbang rasa dan tidak
utamakan diri sendiri sahaja, banyak lagi kemudahan
yang akan dapat diadakan supaya kualiti hidup kita akan
meningkat. Sebenarnya jika kita dapati apa-apa secara
percuma, kita terpaksa bayar juga secara tidak langsung
melalui cukai dan bayaran-bayaran lain. Tidak ada yang
benar-benar percuma di dunia; tidak ada yang percuma di
akhirat juga.
34. Seperti yang telah saya sebut tadi, Malaysia sudah
separuh negara maju. Kita tidak boleh mendapat kualiti
kemudahan negara maju tetapi membayar dengan harga
negara membangun. Sudah tentu kita tidak dapat menjadi
negara maju jika sikap dan budaya kita adalah sikap dan
budaya bangsa yang masih membangun.
35. Kewangan Kerajaan bukan tidak terhad. Sebenarnya
jika pembangunan negara bergantung semata-mata kepada
kewangan Kerajaan, hari ini tidak mungkin ada
lebuhraya, bekalan elektrik dan air, telekomunikasi
canggih, khidmat keretapi ringan, pelabuhan dan banyak
kemudahan lain seperti yang terdapat sekarang.
Sebabnya yang kita dapat mengadakan semua ini ialah
kerana pengguna membayar untuk mengguna. Kerajaan
memberi subsidi yang berpatutan. Jika semuanya
ditanggung oleh Kerajaan maka mereka yang tidak
mengguna juga terpaksa bayar melalui cukai tidak
langsung. Amatlah tidak adil memaksa semua rakyat
membayar untuk kemudahan yang diguna oleh sebahagian
daripada mereka sahaja. Pilihan alternatif ialah tidak
mengadakan kemudahan-kemudahan seperti yang terdapat
sekarang. Dengan itu kualiti hidup kita tidak akan
lebih tinggi daripada yang terdapat di negara membangun
yang lain.
36. Ada negara maju yang pendapatan purata seorang
atau `per capita income', sepuluh kali ganda lebih
daripada kita jika dikira dalam mata wang Amerika.
Tetapi daya beli mereka hanyalah tiga kali ganda sahaja
lebih daripada kita. Sebaliknya daya beli Ringgit kita
di negara kita hampir 2 ¬ kali atau 225 peratus lebih
daripada daya beli Dolar Amerika di Amerika.
37. Kekuatan Ringgit kita di negara kita adalah kerana
kita berjaya mengawal harga barangan dan khidmat, iaitu
mengawal inflasi. Dengan itu walaupun upah di negara
kita rendah berbanding dengan negara maju, kualiti
hidup kita tidaklah terlalu rendah berbanding dengan
mereka. Di masa yang sama kerana upah di negara kita
lebih rendah daripada negara maju, kita dapat
mengeluarkan barangan untuk eksport dan mendapat
tukaran asing kerana barangan kita lebih murah dan
berdaya saing di pasaran dunia. Dengan itu juga kita
dapat menarik pelaburan dari luar (FDI) dan dari dalam
negara kita. Ingatlah FDI, pelaburan oleh pelabur
asing di negara kita adalah disebabkan kos di negara
mereka tinggi kerana upah yang tinggi yang disebabkan
kos sara hidup mereka tinggi.
38. Kita masih boleh menaikkan upah tanpa menaikkan
kos jika daya keluaran kita, produktiviti kita dapat
ditingkatkan sama ada dengan kenaikan usaha dan
kecekapan pekerja atau dengan mengguna cara pengeluaran
yang lebih baik, seperti otomasi dan penggunaan I.T.
Pekerja mestilah sanggup dilatih semula supaya lebih
cekap dan dapat mengguna alatan yang lebih canggih yang
mempunyai daya pengeluaran yang lebih tinggi.
39. Untuk ini penguasaan bahasa Inggeris menjadi amat
penting. Ini tidak bermakna kita ingin membelakangkan
bahasa kita, bahasa kebangsaan. Bahasa kita tidak akan
dapat dimajukan jika kita kekal sebagai bangsa yang
mundur. Hanya bangsa yang maju sahaja yang akan dapat
mengembangkan bahasanya. Di zaman dahulu orang Arab
adalah bangsa yang gagah, maju dan memiliki ilmu-ilmu
yang penting seperti hisab, falak, sains, pelayaran dan
sebagainya, selain daripada agama. Sesiapa yang ingin
mempelajari ilmu-ilmu yang diterokai oleh orang Arab
terpaksalah mempelajari bahasa Arab. Tetapi hari ini
bahasa ilmu ialah bahasa Inggeris. Jika kita tidak
ingin menjadi bangsa yang mundur maka terpaksalah kita
belajar dan fasih dalam bahasa Inggeris. Demikian juga
jika kita ingin tingkatkan daya keluaran kita, supaya
pendapatan kita bertambah maka tiap pekerja mestilah
menguasai bahasa Inggeris, jika tidak sepenuhnya,
sekurang-kurangnya mampu memahami cara dan arahan
bekerja dalam bahasa Inggeris. Untuk mempelajari
bahasa lain pun kita perlu kuasai bahasa Inggeris
dahulu kerana kita belum ada buku dan kursus bahasa
lain dalam bahasa kita.
40. Strategi dan pendekatan kita untuk membangunkan
negara kita, menaikkan taraf hidup rakyat Malaysia
ialah dengan jati diri dan membentuk pendekatan kita
sendiri setelah memeriksa dengan halusi cara-cara dan
pendekatan orang lain. Kita tidak tolak cara biasa
atau cara orang lain dengan buta tuli tetapi kita juga
tidak menerima cara lain ini dengan buta tuli. Jika
kita bentuk pendekatan kita sendiri ianya hanya dibuat
setelah menghalusi cara-cara biasa.
41. Hasil yang telah kita dapati membuktikan bahawa
cara kita tidak kurang baik daripada cara orang lain
dan mungkin lebih baik. Dunia sekarang akui cara kita
mampu menangani masalah kita, mampu menjayakan kita
lebih daripada cara yang diamalkan oleh orang lain.
42. Kita menangani masalah perkauman dengan cara kita
sendiri, masalah keselamatan dan keamanan dengan cara
kita sendiri, pembangunan negara dengan cara kita
sendiri, pentadbiran ekonomi dan kewangan juga dengan
cara kita sendiri. Dan umumnya kita berjaya. Justeru
itu janganlah kita mudah melatah dan mengkritik apabila
kita bentuk pendekatan kita untuk menangani masalah
kita. Percayalah cara kita mampu menjayakan usaha
kita.
43. Selama 450 tahun negeri-negeri Melayu telah
dijajah dan terpaksa menghantar bunga emas dan bunga
perak kepada kuasa-kuasa besar. Alhamdulillah 46 tahun
dahulu kita dapat tebus balik kemerdekaan dan maruah
negara dan bangsa kita. Tetapi sekarang kita dapati
bahawa mereka yang dahulu menjajah kita tidak akan
benar kita terus bebas. Wilayah kita masih menjadi
sasaran penjajahan mereka. Jika tidak secara langsung,
secara tidak langsung mereka akan cuba menjajah kita
semula.
44. Cara yang terhalus melakukan penjajahan adalah
dengan menjajah pemikiran kita. Semasa mereka menjajah
kita dahulu mereka tidak pernah sebut tentang demokrasi
dan hak asasi manusia. Sebaliknya sejarah mereka
dipenuhi dengan rampasan wilayah penduduk tempatan,
yang kadang-kadang mereka bunuh atas alasan mereka
bertanggungjawab untuk mengembangkan tamadun dan agama
mereka. Ini disebut mereka sebagai "manifest destiny"
mereka, iaitu tanggungjawab yang ditentukan oleh Tuhan
bagi mereka.
45. Tetapi selepas wilayah yang ditakluki mereka
mencapai kemerdekaan tiba-tiba demokrasi dan hak asasi
menjadi begitu utama sehingga jika negara bebas tidak
mengamalkan demokrasi atau kononnya mencabul hak asasi
manusia, mereka boleh mengetepikan kebebasan negara-
negara yang baru merdeka dan masuk campur tangan dalam
urusan negara-negara berkenaan.
46. Demikianlah cekapnya mereka menyemai dan
mempengaruhi fikiran sehingga ramai daripada penduduk
negara yang merdeka menuduh Kerajaan sendiri bersalah,
mencuba menjatuhkannya dan rela menerima sokongan dan
bantuan daripada penjajah dahulu. Mereka ini tidak
nampak muslihat penjajah, tidak sedar mereka sudah
diperalat. Sebenarnya bekas penjajah tidak mendokong
demokrasi dan hak asasi manusia. Apabila kepentingan
mereka terancam, semua ini digugurkan sahaja dan mereka
akan kembali kepada cara lama mereka.
47. Selain daripada demokrasi dan hak asasi manusia,
nilai hidup kita juga terancam. Jenayah rogol,
termasuk sumbang mahram, dan pembunuhan yang dahsyat
berlaku setiap hari di negara kita yang dahulunya tidak
berlaku. Sebabnya ialah budaya keganasan dan seks yang
disebar melalui t.v., dan video dari Barat. Moral kita
sudah runtuh disebabkan video lucah sehingga orang
tempatan pun sanggup berlakon dalam adegan lucah.
Filem-filem Barat memuja-muja seks, keganasan, membunuh
dan berperang. Hari ini amalan homoseks dihalalkan
oleh mereka dan pemimpin agama yang diterima oleh
mereka pun secara terbuka mengamalkan cara hidup gay.
Mereka amat marah, terutamanya pemberita mereka yang
ramai homo, apabila amalan ini dikenakan tindakan
undang-undang oleh kita.
48. Sebenarnya keruntuhan akhlak dan keghairahan
memuaskan nafsu melemahkan semangat juang dan membawa
keburukan kepada masyarakat. Tekanan mereka supaya
korupsi dihapuskan memang baik tetapi korupsi moral
kita oleh mereka akan menghalang kemajuan bangsa dan
negara kita. Kebolehan kita membezakan di antara yang
baik dengan yang buruk sudah luntur. Bersama dengan
gangguan pemikiran kita tentang ideologi demokrasi
liberal, hak asasi manusia, penjajahan daya fikir kita
sudah menjadi menyeluruh.
49. Tetapi datang pula penjajahan melalui ekonomi dan
kewangan. Melalui bantuan (aid) dan pinjaman wang,
banyak negara membangun menjadi `client states' yang
mudah diperalatkan oleh mereka. Sekarang datang
globalisasi, pasaran terbuka dan dunia tanpa sempadan
yang semuanya akan membolehkan mereka masuk dengan
bebas ke dalam negara yang lemah dan menguasai segala-
gala termasuk politik dalaman juga. Walaupun kita juga
berhak memasuki negara mereka, tetapi kemampuan kita
amat terhad.
50. Berhadapan dengan ancaman dijajah semula, kita di
Malaysia menolak tawaran bantuan atau "aid", dan kita
kurangkan pinjaman dari negara maju.
51. Alhamdulillah dengan pengurusan kewangan negara
secara berhemah dan berhati-hati, kita berjaya
membebaskan diri kita daripada di kuasai oleh orang
asing dan agensi-agensi mereka.
52. Tetapi untuk ini kita perlu kepada kerjasama
rakyat. Budaya dan nilai-nilai hidup kita yang mulia
mestilah dipertahankan. Daya pengeluaran rakyat
mestilah ditingkatkan dan permintaan peruntukan
daripada Kerajaan tidak melebihi daripada yang mampu
ditanggung oleh Kerajaan. Bagi yang mampu, rakyat
mesti bersedia menanggung sebahagian daripada kos,
terutama untuk kemudahan yang lebih baik.
53. Negara kita adalah tanggungjawab kita. Bukanlah
kita angkuh dan anggap kita begitu pandai sehingga
tidak perlu kepada orang lain. Kita sanggup belajar
dari Barat dan dari Timur. Tetapi akhirnya yang akan
memutus cara mana yang terbaik yang akan diamal atau
dilaksanakan oleh kita mestilah kita sendiri.
54. Kebebasan bukanlah sesuatu yang tidak terhad.
Jika kita terlalu liberal dan bebas maka akan runtuhlah
akhlak kita seperti yang kita lihat di negara-negara
maju yang begitu liberal. Kita tidak harus malu
kerana kita tidak "liberal" atau amat bebas seperti
mereka.
55. Demokrasi adalah untuk kesejahteraan hidup kita
dan bukan kesejahteraan hidup kita harus dikorban untuk
demokrasi. Kebaikan demokrasi sebenarnya hanyalah
untuk kita menukar pemerintahan tanpa kekerasan dan
revolusi. Kebebasan yang tidak terhad yang kononnya
menjadi sebahagian daripada demokrasi adalah ciptaan
dan tambahan yang dibuat oleh mereka yang kecewa kerana
mereka tidak direstui oleh majoriti rakyat.
56. Demikian juga dengan "rule of law" atau
pemerintahan berasas undang-undang. Undang-undang yang
dimaksudkan ialah undang-undang yang diterima oleh
majoriti daripada kita. Hak minoriti, hak individu
mesti dipelihara tetapi tidak sehingga hak majoriti
terkorban.
57. Rakyat Malaysia perlu faham semua ini dan tidak
terlalu taksub dengan pendapat dan nilai hidup bangsa-
bangsa keturunan Eropah. Mereka tidak selalu betul dan
kita tidak selalu salah. Jika kita ingin hidup
sempurna dan bahagia di negara kita dan dihormati oleh
bangsa-bangsa lain di dunia pandai-pandailah kita
nilai, uji dan pilih tiap sesuatu yang hendak kita
jadikan sebahagian daripada budaya dan tamadun kita.
Jangan pilih yang mudah, jangan pilih kerana takut
dikatakan kolot. Pilih yang baik bagi kita.
58. Kita tidak kurang bijak dan tidak kurang terdaya
daripada orang lain. Rakyat kita sekarang bukan sahaja
mampu mendaki gunung, berjalan atas salji ke kutub
utara, berenang dalam laut yang sejuk, belayar
mengelilingi dunia tetapi mereka juga mampu membekalkan
dunia dengan barangan buatan yang canggih, membina
bangunan dan jalan-jalan moden di negara sendiri dan
negara asing, mencarigali dan mengeluar minyak di
seluruh dunia. Kita boleh. Dan kita boleh jadi negara
maju menjelang tahun 2020, Insyaallah.
59. Saya pohon maaf jika ucapan ini lebih tertumpu
kepada masalah Bumiputera, orang Melayu dan Islam.
Sebabnya ialah kerana pembangunan mereka belum sama
dengan kaum lain. Pendapat saya ialah imbangan antara
Bumiputera dan bukan Bumiputera adalah kunci kepada
kesejahteraan hidup dan keamanan negara bertuah ini.
Oleh itu saya harap bukan Bumiputera tidak akan kecewa
dengan nada dan tumpuan ucapan ini. Jika berkesanlah
pesanan ini, semua kaum akan mendapat faedah
daripadanya.
60. Pencapaian negara kita adalah hasil sumbangan oleh
semua pihak; pasukan keselamatan, kakitangan dan
pegawai-pegawai Kerajaan, pekerja-pekerja, peniaga dan
pengusaha kecil dan besar. Bagi pihak diri saya dan
Kerajaan, saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada
semua yang menjayakan negara bertuah ini.
61. Selamat merayakan Hari Kebangsaan, Hari Merdeka
kita. Insyaallah perjuangan yang mulia yang kita
perjuangkan akan direstui oleh Allah s.w.t. Insyaallah
kita akan menjadi negara maju menjelang tahun 2020.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|