Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : JOHOR DARUL TA'ZIM
Tarikh/Date : 09/09/2003
Tajuk/Title : PERASMIAN MAJLIS PERUJIAN MEMBACA
AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN
KALI KE-46 TAHUN 1424H /2003M
Versi :
Penyampai : PM
Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala
kerana dapat hadir dalam Majlis Ujian Membaca al-
Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-46 yang diadakan
di Negeri Johor pada malam ini.
2. Al-Quran seperti yang kita semua maklum ialah
kitab suci yang menjadi rujukan dan panduan hidup dan
mati kita. Sebagai umat Islam kita sewajarnya
sentiasa mengamalkan ajaran-ajaran yang terkandung di
dalamnya mudah-mudahan dengan itu hidup kita akan
selamat sejahtera. Majlis Ujian Membaca Al-Quran
memberi peluang kepada kita bukan sahaja mendengar
ayat-ayat Al-Quran dibaca tetapi juga memahami maksud
ayat-ayat ini melalui terjemahan dan tafsiran yang
diberi bersama.
3. Ayat-ayat Al-Quran tidak boleh dipertikaikan,
diubah atau dimansuhkan. Tetapi kefahaman kita
terhadap ayat-ayat ini bergantung kepada pentafsir,
yang terdiri daripada manusia biasa yang tentu tidak
sunyi daripada kesilapan walaupun amat alim dan arif.
Oleh kerana ini terdapat tafsir-tafsir yang berlainan
dan kadang-kadang bertentangan berkenaan ayat yang
sama. Demikianlah kelainan ini sehingga ia dapat
memecah-mecah umat Islam kepada mazhab, tarikat dan
kumpulan-kumpulan yang begitu berlainan fahaman akan
ajaran Islam sehingga mereka sering tuduh-menuduh
antara satu sama lain dan bermusuh pun.
4. Amatlah sedih apabila kita lihat di waktu umat
Islam sedang menghadapi serangan oleh musuh, ada
orang Islam yang sanggup membunuh orang Islam lain
kerana perbezaan fahaman berkenaan ajaran Islam.
Sudah tentu yang mendapat manfaat adalah musuh Islam.
Dengan perkataan lain orang Islamlah yang sebenarnya
menolong musuh untuk menjayakan hasrat mereka.
5. Al-Quran memberi panduan kepada penganut agama
Islam secara menyeluruh supaya Islam benar-benar
menjadi cara hidup. Tetapi biasanya banyak ayat dan
isi kandungan Al-Quran tidak mendapat perhatian yang
seimbang. Ada ayat-ayat yang diutamakan dan ada yang
seolah-olah diketepikan. Dengan itu kita tidak
mendapat panduan dan nikmat sepenuhnya daripada kitab
suci ini.
6. Tekanan yang diutamakan adalah kepada ibadat
tertentu, seperti solat dan berpuasa yang mana
ditokok tambah dengan banyak amalan lain mengikut
mazhab dan fahaman pihak tertentu yang membuat
tafsiran dan memimpin agama. Selain daripada itu
terdapat tumpuan kepada ilmu fekah dan penentuan
tempat wanita dalam masyarakat. Yang amat digemari
ialah hukum-hukum ke atas orang yang salah terutama
wanita, yang dianggap sebagai punca segala keburukan
yang berlaku dalam masyarakat.
7. Bahagian dan ayat-ayat Al-Quran yang
mengutamakan keadilan tidak dianggap sama penting
dengan proses pengadilan yang dikehendaki oleh agama
Islam. Bahawa proses pengadilan adalah untuk
menentukan keadilan berlaku juga tidak dianggap
penting. Kalau pun keadilan tidak berlaku, ia
dianggap menepati ajaran Islam kerana proses telah
diikuti. Soalnya ialah apakah proses atau prosedur
tertakluk kepada keadilan atau keadilan tertakluk
kepada proses? Al-Quran menegaskan bahawa apabila
menghukum, hukumlah secara adil. Tidak ada disebut
dalam Al-Quran bahawa keadilan tidak penting atau
proses penghakiman dan prosedur lebih penting.
8. Di zaman ini kita mempunyai cara saintifik untuk
menentukan siapa yang melakukan kesalahan. Dengan
menggunakan DNA dan cara-cara lain kita boleh kenal
pasti siapa pesalah. Umpamanya jika anak yang
dilahir setelah wanita dirogol, mempunyai rupa yang
sama dengan perogol, apakah kita akan menolak juga
tuduhan terhadap perogol? Apakah adil jika kita
terus menuduh mangsa rogol membuat tuduhan yang tidak
berasas, mengenakan sebatan dan merejam dengan batu
kerana melahirkan anak di luar nikah sedangkan
pemeriksaan DNA mengesahkan yang dituduh merogol
adalah bapa kepada anak berkenaan? Apakah adil
hukuman kita? Apakah ia menepati kehendak Islam
seperti yang disebut dalam Al-Quran iaitu "Apabila
kamu hukum, hukumlah dengan adil" ?
9. Ulama yang meneliti ajaran Islam melalui Al-
Quran dan hadis yang sahih perlu membuat penjelasan
supaya agama Islam tetap sesuai dengan keadaan di
zaman ini. Sepertimana juga kita boleh melakukan
kerja haji tanpa menggunakan unta atau keldai atau
kuda dalam perjalanan kita, jika kita junjung
keadilan yang dituntut oleh agama Islam, kita juga
tidak boleh ketepikan bukti yang jelas yang
dibentangkan kepada kita di zaman ini. Mustahil Al-
Quran dan Hadis tidak dapat memberi panduan kepada
kita jika kita rujuk kepada ayat-ayat dan hadis-hadis
yang sahih yang menjadi punca dan asas ajaran Islam
dengan mengambilkira ilmu di zaman ini. Kita tidak
boleh kembali ke abad pertama Hijrah untuk menjadikan
Islam sebagai Ad-din.
10. Kita sembahyang mengikut waktu yang telah
diperkirakan awal-awal lagi. Kita tidak melihat
benang di waktu subuh atau fajar menyinsing, atau
jatuhnya matahari. Tiap hari kita sembahyang waktu
kita ikut natijah yang disediakan setahun dahulu.
Kita tidak soal samada waktu sembahyang tepat atau
tidak. Tetapi ada tempat-tempat di dunia di mana
timbul dan jatuhnya matahari tidak dapat dilihat sama
sekali. Sebaliknya ilmu sains dapat menentukan waktu
matahari naik dan waktu matahari turun. Apakah kita
akan tolak sahaja perkiraan yang berasas kepada ilmu
sains?
11. Hakikatnya ialah banyak yang terdapat di zaman
ini tidak terdapat 1400 tahun dahulu. Namun demikian
jika diteliti betul-betul kandungan Al-Quran dan
hadis dan dirujuk juga kepada pakar dalam ilmu yang
ada kaitan dengan masalah yang hendak ditentukan,
tidak dapat tidak panduan ajaran Islam berkenaan
dengan masalah berkenaan dapat dicapai. Bukan
panduan dalam Al-Quran yang tidak ada, tetapi
kelemahan kita yang menyebabkan kita tidak dapat
menentukan panduan ini.
12. Alhamdulillah walaupun di zaman Rasulullah darah
tidak pernah dimasukkan dalam tubuh manusia (blood
transfusion) ulama bersama dengan pakar perubatan
telah membuat ketetapan bahawa prosedur ini tidak
bercanggah dengan ajaran Islam. Demikian juga
pemindahan organ dari seorang kepada orang yang lain.
Ramai sudah pesakit buah pinggang yang sekarang masih
hidup kerana pemindahan buah pinggang. Dan banyaklah
lagi fatwa yang dibuat yang berasas kepada Al-Quran
dan Hadis bagi menyelesaikan masalah dan keraguan
yang timbul di zaman ini yang tidak ada di waktu Al-
Quran diturunkan kepada Rasulullah. Kuasa elektrik
dan kereta bermotor pada mulanya diharamkan oleh
ulama Islam. Demikian juga gambar manusia dan
binatang. Tetapi hari ini fatwa-fatwa ini tidak
diterima lagi.
13. Jika ulama berpendapat bahawa jika sesuatu tidak
disebut dengan tepat dan jelas dalam Umul Kitab dan
Hadis maka ianya ditegah maka banyaklah yang terdapat
sekarang ini di sekeliling kita yang akan diharamkan.
Sebaliknya ada ulama yang berpendapat jika sesuatu
itu tidak dilarang secara khusus, walaupun ianya
buruk dan keji maka ia boleh dihalalkan. Dengan itu
berlakulah kezaliman dalam masyarakat Islam yang
tidak sepatutnya berlaku, yang memberi imej buruk
kepada agama Islam.
14. Sudah tentu fatwa yang dibuat tanpa kajian dan
persetujuan alim ulama secara tersusun dan teratur
dengan berpandu kepada Al-Quran dan Hadis dan
mengambilkira penjelasan oleh pakar-pakar dalam
bidang berkenaan akan mengelirukan dan merugikan umat
Islam. Demikian pendapat bahawa hanya penguasaan
ilmu agama sahaja yang memberi pahala dan penguasaan
ilmu-ilmu lain tidak mendapat ganjaran yang sama
telah menyebabkan umat Islam ketinggalan zaman,
menjadi lemah, mudah terpedaya dan dikuasai oleh
orang lain. Benarkah orang yang mempunyai ilmu yang
boleh menyelamatkan agama Islam dan orang Islam tidak
mendapat ganjaran yang sama dengan mereka yang
mempunyai ilmu agama? Apakah akan jadi jika semua
orang Islam mengejar hanya ilmu agama sahaja untuk
mendapat ganjaran atau pahala yang kononnya
dijanjikan sehingga tidak ada siapa yang tahu dan
mampu menjaga keselamatan agama Islam dan orang
Islam? Jika memberi air kepada anjing yang dahaga
pun mendapat pahala, tidakkah orang yang
menyelamatkan umat Islam dan agama Islam juga
mendapat pahala?
15. Soalan-soalan ini perlu dijawab dengan merujuk
kepada Al-Quran dan Hadis kerana kekeliruan berkenaan
dengan apa yang disuruh dengan apa yang ditegah oleh
agama mempengaruhi cara hidup kita, dan menentukan
samada orang Islam dan agama Islam, hidup dan subur
atau tidak.
16. Ujian Membaca Al-Quran bukan untuk
memperdengarkan ayat-ayat Al-Quran dibaca sahaja. Ia
adalah satu usaha untuk mendekatkan kita umat Islam
kepada Al-Quran dan isi kandungannya. Memang sukar
bagi orang Islam biasa mentafsirkan ayat-ayat Al-
Quran. Itu adalah tugas ulama, orang yang alim dalam
bidang agama. Tetapi terdapat banyak ayat dalam Al-
Quran yang dapat menjadi panduan kepada kita semua
tanpa dikelirukan kerana tafsiran-tafsiran yang
berbeza. Jika kita jadi keliru, kita dapat balik
kepada ayat-ayat yang jelas ini dan kita akan kembali
tenang dan beriman yang kuat. Orang-orang Islam
tidak akan bermusuh sesama sendiri.
17. Inilah sebabnya Kerajaan mengadakan Ujian
Membaca Al-Quran tiap tahun. Tidak siapa boleh
menafikan bahawa membaca Al-Quran telah berjaya
meningkatkan pengetahuan agama di kalangan orang
Islam di Malaysia dan menjadikan mereka lebih terbuka
dalam pandangan mereka terhadap perkembangan di zaman
moden ini. Samada ini berlaku atau tidak, banyak
bergantung kepada alim ulama yang tidak ada
kepentingan lain.
18. Dengan lafaz Bismillah Hirrahmanirrahim saya
merasmikan Majlis Perujian Membaca al-Quran
Peringkat Kebangsaan Kali Ke-46 bagi Tahun 1424H /
2003M di Negeri Johor Darul Takzim.
Sekian. Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|