home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By  	:	DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	DEWAN RAKYAT
Tarikh/Date	:	12/09/2003
Tajuk/Title 	:	UCAPAN BAJET TAHUN 2004
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM 



 "MERAIH KEJAYAAN MEMBINA MASA DEPAN"

   Tuan Yang Dipertua,

   1. Saya mohon mencadangkan supaya suatu Rang  Undang-
   undang bertajuk "Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah
   wang daripada Kumpulan Wang   Yang Disatukan    untuk
   perkhidmatan bagi tahun  2004 dan bagi memperuntukkan
   wang itu untuk perkhidmatan bagi  tahun itu"   dibaca
   bagi kali yang kedua.

   PENDAHULUAN

   Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha
   Mengasihani.

   2. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, sekali lagi
   Kerajaan dapat membentangkan  Bajet Negara bagi tahun
   2004, di Dewan yang  mulia ini.  Kita juga     sedang
   menyediakan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia
   Ke Lapan (RMK-8) yang akan dibentangkan di Dewan ini
   pada 30 Oktober 2003. Insya-Allah.

   3. Bajet 2004 ini telah digubal dengan mengambil kira
   prestasi pencapaian RMK-8 bagi tempoh separuh penggal
   pertama  untuk   mempastikan  dasar    dan   strategi
   pembangunan  ekonomi  negara     dapat   dilaksanakan
   sepenuhnya.

   SETENGAH ABAD KEMAJUAN DITEROKAI
   KEJAYAAN GEMILANG KINI TERBUKTI

    Tuan Yang Dipertua,

   4.   Negara  baru  sahaja    menyambut  ulang  tahun
   kemerdekaan  ke 46.   Syukur   kita    kepada  Allah 
   Subhanahu  wa Taala kerana semua lapisan rakyat dapat
   menyambutnya dalam   suasana aman,  makmur dan  penuh 
   kemeriahan.   Sesungguhnya,  kemerdekaan  amat  besar
   ertinya kepada kita. Kita bebas dari penjajahan. Kita 
   juga bebas dari  cengkaman kuasa besar.  Kita berjaya 
   memartabatkan  kembali maruah bangsa.   Kita berkuasa 
   menguruskan negara kita sendiri. Kini, Malaysia telah 
   menjadi lebih maju, dikenali dan dihormati oleh dunia.
   
   5.  Semasa  negara  mencapai  kemerdekaan,  kita  hanya
   merupakan  sebuah  ekonomi yang  bergantung  sepenuhnya
   kepada getah dan bijih timah. Transformasi ekonomi yang
   kita  laksanakan  sejak  tahun  1970-an  telah  berjaya
   menjadikan Malaysia sebuah negara moden, di mana sektor
   perindustrian  dan perkhidmatan kini menyumbang  hampir
   90  peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar  (KDNK).
   Kita  telah  menceburi industri berat dan  menghasilkan
   kereta nasional yang telah berjaya menguasai hampir  80
   peratus  pasaran automobil tempatan. Hari ini  Malaysia
   merupakan  negara perdagangan yang ke  17  terbesar  di
   dunia   dan   pengeksport  utama  barangan  elektronik.
   Eksport barangan buatan pula melangkaui 85 peratus dari
   eksport negara.
   
   6.   Proses   perindustrian  telah  menuntut  rangkaian
   infrastruktur yang moden dan efisien. Negara  dihubungi
   dengan  lebuh  raya  Utara  Selatan  dan  Timur  Barat.
   Pengangkutan  bandar  di  Kuala  Lumpur   dan   sekitar
   dipermodenkan  dengan pembinaan sistem  transit  aliran
   ringan  (LRT),  monorel dan keretapi komuter  elektrik.
   Kita  juga telah membina pelabuhan dan lapangan terbang
   antarabangsa yang bertaraf dunia. Pelabuhan di Malaysia
   berupaya  mengendalikan kontena sejumlah 11  juta  TEUs
   dan  hampir 450 juta tan metrik kargo. Pelabuhan Kelang
   kini  ditempatkan pada tangga ke-11, manakala Pelabuhan
   Tanjung  Pelepas  ke-22  dalam  World  Container   Port
   League.  Lapangan  Terbang  Kuala  Lumpur  (KLIA)  yang
   berupaya mengendalikan 25 juta penumpang dan lima  juta
   tan  metrik  kargo,  merupakan  lapangan  terbang  yang
   termoden di rantau ini.
   
   7.   Di  bidang  ICT,  Koridor  Raya  Multimedia  (MSC)
   dibangunkan   dengan  infrastruktur   multimedia   yang
   mempunyai  state-of-the-art technology.  MSC  merupakan
   satu lagi kejayaan cemerlang dalam usaha Kerajaan untuk
   membawa  negara ke arah ekonomi berasaskan  ICT.  Kini,
   MSC  telah  berjaya  menarik  lebih  900  syarikat  ICT
   tempatan  dan antarabangsa, jauh lebih tinggi  daripada
   sasaran  500 syarikat bagi tahun 2003. Jelas, tanggapan
   pihak  yang  meragui  kebijaksanaan  kita  melaksanakan
   koridor raya ini, jauh meleset.
   
   8.   Kalau  dahulunya  pembinaan  infrastruktur   besar
   dilaksanakan  oleh orang asing, kini anak  bangsa  kita
   sendiri   mempunyai  kepakaran  dan  berjaya  menguasai
   teknologi  untuk  melaksanakan semua  projek.  Malaysia
   mempunyai  hampir 44 ribu jurutera yang terlatih  dalam
   bidang sivil, mekanikal dan elektrikal serta lebih tiga
   ribu  arkitek  dan  dua ribu juru  ukur  bahan.  Dengan
   penglibatan  kita  dalam  pembinaan  Linkedua,   Menara
   Telekomunikasi  Kuala  Lumpur  serta  Menara  Berkembar
   Petronas,   kini  kita  sendiri  mampu  membina   Pusat
   Pentadbiran  Putrajaya  yang  indah  dan  teratur  yang
   menjadi bandar raya contoh kepada negara-negara lain.
   
   9.  Kita  telah membina litar F1 Sepang yang  diiktiraf
   sebagai satu dari yang terbaik dalam sirkit Grand Prix.
   Jurutera  muda  negara  terlibat  bersama  dalam  usaha
   meningkatkan  prestasi  kereta  berkuasa  tinggi   yang
   digunakan  oleh Sauber Petronas untuk Lumba Kereta  F1.
   Dengan  ini, keupayaan kejuruteraan Petronas  meningkat
   untuk  mengeluarkan  produk  petroleum  dalam  industri
   automobil.
   
   10.  Banyak syarikat Malaysia juga telah beroperasi  di
   peringkat  antarabangsa. Yang terbesar ialah  Petronas,
   yang   terkenal   sebagai  antara  syarikat   petroleum
   antarabangsa terkemuka dan mempunyai operasi di 34 buah
   negara di dunia, terlibat dalam aktiviti mencari  gali,
   mengeluar,  menapis dan memasar minyak dan  gas.  Kini,
   Petronas turut disenaraikan dalam Fortune Global 500.
   
   11. Kita juga telah mencapai kecemerlangan dalam bidang
   pendidikan.  Negara  mempunyai 18  institusi  pengajian
   tinggi   awam,   termasuk   sebuah   Universiti   Islam
   Antarabangsa,  di  samping beratus kolej  swasta  untuk
   menampung  keperluan  pendidikan rakyat.  Bagi  melatih
   tenaga kerja teknikal, sebanyak 70 kolej teknikal telah
   ditubuhkan.   Kita   juga   diiktiraf   sebagai   pusat
   kecemerlangan  pendidikan  bagi  pelajar  dari   negara
   asing.  Kini, terdapat lebih 36 ribu penuntut dari  150
   negara yang datang belajar di Malaysia.
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   12.  Pencapaian kesemua ini memerlukan perubahan  minda
   rakyat   ke   arah  sikap  dan  nilai   yang   positif,
   terutamanya  mempunyai  semangat  kental  dan  keazaman
   tinggi,   berkeyakinan,  sanggup  bersaing,  berinovasi
   serta  berdaya tahan. Kita bermula dengan Dasar Pandang
   Ke  Timur  21 tahun dahulu, untuk mencontohi etika  dan
   budaya  kerja  rakyat Jepun dan Korea yang mengutamakan
   dedikasi, disiplin dan kesetiaan serta sanggup  bekerja
   bersungguh-sungguh ke arah memajukan negara. Kita telah
   membudayakan  prinsip bersih, cekap  dan  amanah  serta
   kepimpinan  melalui teladan. Perkhidmatan  awam  negara
   pula   dibina   atas   asas  cekap,   berdisiplin   dan
   berkualiti.
   
   13.  Dasar  Pensyarikatan Malaysia dipraktikkan  kerana
   kita  sedar betapa pentingnya kerjasama erat di  antara
   sektor  awam, swasta dan pekerja dalam usaha memesatkan
   pertumbuhan  ekonomi  negara.  Dasar  Penswastaan  pula
   telah  diperkenalkan  untuk memperluaskan  perkhidmatan
   kemudahan  infrastruktur awam, di samping  mengurangkan
   beban kewangan Kerajaan.
   
   14. Kita adalah negara berwawasan. Kita kini hampir  di
   pertengahan jalan menuju Wawasan 2020, ke arah  membina
   sebuah  negara Malaysia yang benar-benar maju  mengikut
   acuan  kita  sendiri. Bukan sahaja kita  telah  berjaya
   melaksanakan   transformasi  ke   arah   mempelbagaikan
   struktur  ekonomi,  malah rakyat  Malaysia  juga  telah
   berjaya  melakukan anjakan paradigma minda dan  menjadi
   sebuah  masyarakat yang berwibawa, moden dan  progresif
   yang  mempunyai  pemikiran yang  tajam,  bangga  dengan
   kejayaan  serta  yakin kepada kebolehan  kita  sendiri,
   sesuai dengan aliran zaman maklumat.
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   15.   Dalam  tempoh  hampir  setengah  abad  ini  juga,
   kemampuan  kita  mengurus ekonomi negara  telah  banyak
   diuji.  Pada  tahun 1985, negara buat  pertama  kalinya
   semenjak  Merdeka  telah mengalami  kemelesetan  akibat
   kejatuhan mendadak semua harga komoditi. Kita mengalami
   defisit  di  dalam  imbangan bayaran negara  dan  akaun
   kewangan Kerajaan. Kita juga tidak lupa kesan peristiwa
   Black Monday pada 19 Oktober 1987 di mana pasaran saham
   utama  dunia  telah  menjunam dan  pasaran  kita  turut
   bersama.
   
   16.  Semua  pengalaman ini telah menjadikan kita  lebih
   bijak   dan  memberi  keyakinan  untuk  merancang   dan
   mengurus   ekonomi   negara.  Ini  terbukti   di   mana
   pencapaian  pertumbuhan ekonomi negara  telah  mencatat
   kadar  tertinggi  iaitu purata lebih 9 peratus  setahun
   untuk tempoh 1988-1996.
   
   17.  Krisis kewangan yang melanda rantau ini  merupakan
   satu  lagi  ujian daya ketahanan serta kebolehan  kita.
   Percubaan   penyangak   matawang   antarabangsa   untuk
   menjadikan  kita  pengemis di dunia dengan  menjatuhkan
   nilai  ringgit  ditumpas. Kerajaan  telah  melaksanakan
   langkah  mengikut  cara kita sendiri dan  tidak  tunduk
   kepada desakan meminjam dari IMF dan meletak negara  di
   bawah  kuasanya.  Pendekatan ini telah dikritik  dengan
   lantang   sebagai  jalan  menuju  kehancuran   ekonomi.
   Langkah  penambatan ringgit dan kawalan modal ditentang
   kuat,  sementara  penubuhan Danamodal,  Danaharta,  dan
   CDRC dianggap sebagai bail-out kepada syarikat dan bank-
   bank  kroni Kerajaan, kononnya. Sebaliknya, ketiga-tiga
   agensi  ini telah berjaya memperkukuhkan semula  sistem
   perbankan   negara.   Sekarang,   dunia   dan    agensi
   antarabangsa  telah  mengiktiraf kita  dan  menyarankan
   negara   lain   supaya  mempelajari   dari   pengalaman
   Malaysia.
   
   18.  Danamodal  telah  menyuntik  sejumlah  7.6  bilion
   ringgit   ke   dalam  10  institusi  perbankan,   untuk
   meningkatkan  keupayaan  menyalurkan  pinjaman.   Lebih
   daripada  70 peratus dari jumlah ini telah pun  dibayar
   balik.
   
   19.   Danaharta  pula  telah  berjaya  menyusun  semula
   sejumlah  50 bilion ringgit hutang tak berbayar  (NPL).
   Kadar  NPL kini berada di paras 6.7 peratus. Di samping
   itu,   CDRC   telah   berjaya  menyelesaikan   48   kes
   penstrukturan  semula  hutang syarikat  berjumlah  52.6
   bilion   ringgit.   Dengan  ini,  institusi   perbankan
   dikukuhkan  semula dan kebanyakan syarikat disusun  dan
   dipulih.  Oleh itu, kita berjaya mengelak dari terpaksa
   menjual aset negara kepada orang asing.
   
   20.   Kejayaan  kita  mengatasi  krisis  kewangan   dan
   memulihkan  ekonomi,  mengecewakan  kesemua  pengkritik
   kita.  Hanya ahli politik dan media yang berkepentingan
   sahaja enggan mengakui kejayaan kita.
   
   21.  Berkat usaha-usaha ini, negara kita telah  berjaya
   mencatat   pertumbuhan  purata  tahunan  sebanyak   6.7
   peratus  dalam  Rangka Rancangan Jangka Panjang  iaitu,
   RRJP  Satu, 1971-90 dan sebanyak 7.1 peratus dalam RRJP
   Dua, 1991-2000. Pertumbuhan ekonomi ini telah dinikmati
   oleh  semua  lapisan rakyat dan pendapatan  per  kapita
   telah meningkat daripada 1,132 ringgit pada tahun  1970
   kepada  13,683  ringgit pada 2002.  Kuasa  beli  pariti
   rakyat  juga  meningkat dari 1,247 dolar  kepada  8,862
   dolar  Amerika. Manakala, kadar kemiskinan rakyat telah
   berkurangan dengan ketara sekali iaitu kepada hanya 5.1
   peratus pada 2002 daripada 52.4 peratus dari jumlah isi
   rumah pada tahun 1970.
   
   22.  Walau bagaimanapun, dalam kemakmuran yang dikecapi
   ini,  kita bersimpati dengan rakyat di beberapa  negeri
   kita  yang  masih  dihimpit kemiskinan  dan  dikongkong
   kemunduran. Pemimpin yang mereka pilih tidak mampu  dan
   berupaya   melaksanakan  pembangunan   negeri.   Mereka
   memburukkan lagi keadaan dengan mendakwa kemiskinan dan
   kemelaratan merupakan takdir yang harus diterima.  Oleh
   itu, mereka juga berpendapat sekiranya negeri Islam itu
   miskin, kolot dan mundur ia adalah takdir.
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   23.  Kejayaan  yang telah diperolehi,  kemakmuran  yang
   kita  nikmati dan kegemilangan negara ini adalah Kerana
   Mu Malaysia.
   
   24.  Tetapi,  janganlah  kita  leka  dibuai  kemewahan,
   kerana  panas  tidak selalu sampai ke  petang,  mungkin
   hujan  di tengah hari. Air di laut, adakalanya  pasang,
   ada kalanya surut.
   
   25.  Dengan keupayaan kita untuk memaju dan menguruskan
   negara  dengan baik dan berjaya, Malaysia kini dianggap
   sebagai negara contoh
   kepada  negara membangun. Ramailah pegawai dan pemimpin
   negara   membangun  yang  datang  untuk  meneliti   dan
   mempelajari cara-cara Malaysia dibangunkan. Pegawai dan
   pakar  kita  pula  diundang untuk memberi  nasihat  dan
   latihan   dalam   pelbagai   urusan   pentadbiran   dan
   pembangunan di negara lain.
   
   26. Kesanggupan kita menyuarakan pandangan terhadap isu-
   isu  antarabangsa,  termasuk  mengkritik  ketidakadilan
   oleh  siapa sahaja memberi semangat kepada mereka  yang
   tidak  dapat  bersuara. Justeru itu, Malaysia  sekarang
   dianggap  sebagai  jurucakap Dunia  Ketiga  dan  diberi
   penghormatan sebagai tuan rumah dan pemimpin Pergerakan
   Negara Berkecuali.
   
   27.  Negara juga diiktiraf sebagai sebuah negara  Islam
   yang maju dan progresif dan telah menjadi contoh kepada
   negara Islam yang lain. Negara-negara ini amat kagum di
   atas  kejayaan  kita membangunkan sebuah  negara  Islam
   yang  maju dan makmur. Sesungguhnya, kita telah berjaya
   melaksanakan   jihad  dalam  semua  aspek  pembangunan,
   terutamanya  ekonomi, sosial, agama serta  politik  dan
   membuktikan  keupayaan  ummah Islamiah  di  zaman  ini.
   Kerana  ini,  kita  dipilih  sebagai  tuan  rumah   dan
   pengerusi  Persidangan Negara Islam (OIC)  yang  ke  10
   pada Oktober ini.
   
   28.  Untuk terus membolehkan kita menyuarakan pandangan
   dengan  berkesan  di  fora  antarabangsa,  kita   perlu
   mempunyai  keupayaan  untuk menguasai  Bahasa  Inggeris
   dengan  baik.  Dahulunya,  di  mesyuarat  antarabangsa,
   pegawai  Malaysia  sentiasa dipilih untuk  mempengerusi
   dan  mengetuai  kumpulan menderaf  laporan  persidangan
   kerana kebolehan kita bertutur dan menulis dalam Bahasa
   Inggeris.  Untuk  mempastikan  negara  menjadi   global
   player  di arena antarabangsa, kita perlu kepada Bahasa
   Inggeris.   Oleh   itu,   pelajaran   Bahasa   Inggeris
   ditingkatkan dan Bahasa Inggeris diguna untuk  mengajar
   sains  dan matematik, ilmu-ilmu yang perlu kita  kuasai
   di  zaman  teknologi  maklumat ini.  Yakinlah,  apabila
   bangsa  kita  maju, maka dengan sendirinya bahasa  kita
   juga   akan  berkembang.  Tidak  ada  siapa  yang  akan
   pelajari bahasa bangsa yang miskin dan mundur.
   
   EKONOMI NEGARA TERUS PULIH
   BERKAT KEYAKINAN DAN USAHA GIGIH
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   29.   Pada   bulan   Mei  tahun  ini,  Kerajaan   telah
   mengumumkan   Strategi   Baru   Ke   Arah    Merangsang
   Pertumbuhan  Ekonomi  Negara  yang  memberikan  tumpuan
   kepada   empat   strategi  utama   iaitu   menggalakkan
   pelaburan  swasta,  memperkukuhkan daya  saing  negara,
   membangun   punca  pertumbuhan  baru  dan  meningkatkan
   keberkesanan delivery system. Sebanyak 90 langkah telah
   digubal  di bawah Pakej tersebut. Alhamdulillah,  Pakej
   Strategi   Baru   ini   telah   memberi   kesan    yang
   memberangsangkan.
   
   30.  Prestasi  ekonomi negara selepas  Pakej  ini  amat
   menggalakkan  dengan pertumbuhan sebanyak  4.6  peratus
   pada  suku pertama 2003. Bagi suku kedua pula, walaupun
   terdapat  kesan negatif dari pencerobohan di  Iraq  dan
   wabak   Sindrom  Pernafasan  Akut  Yang  Teruk  (SARS),
   pertumbuhan KDNK adalah 4.4 peratus, lebih tinggi  dari
   yang  dijangkakan.  Dengan ini,  pada  separuh  pertama
   tahun  2003  pertumbuhan ialah  sebanyak  4.5  peratus.
   Jelaslah  pendekatan Kerajaan dan sambutan oleh  rakyat
   berhasil.
   
   31. Kesemua sektor ekonomi meningkat lebih kukuh dengan
   sektor  pembuatan  menerajui pertumbuhan  sebanyak  6.5
   peratus,  diikuti oleh sektor perlombongan 4.5  peratus
   dan sektor perkhidmatan 4.2 peratus.
   
   32. Dari segi perbelanjaan pula, penggunaan oleh swasta
   meningkat  sebanyak  3.9 peratus dalam  tempoh  separuh
   pertama  tahun ini. Pelaburan sektor swasta pula  telah
   menunjukkan  respon positif kepada  insentif  di  bawah
   Pakej  Strategi Baru. Pelaburan sektor swasta  dijangka
   mencatatkan  pertumbuhan  sebanyak  2  peratus  setelah
   teruk  merosot  dalam beberapa tahun  berikutan  krisis
   kewangan.
   
   33.    Sungguhpun   permintaan   luar   terjejas   oleh
   persekitaran   global  yang  lembab,  namun   sumbangan
   eksport  negara kepada pertumbuhan KDNK kekal  positif.
   Ini mencerminkan bahawa eksport negara masih kompetitif
   dan  mampu bersaing di pasaran antarabangsa. Pencapaian
   ini   juga  adalah  hasil  dari  usaha  Kerajaan  untuk
   meneroka  pasaran baru, terutamanya di Afrika,  Amerika
   Selatan  dan  Asia  Barat, di samping mengeratkan  lagi
   hubungan  perdagangan serantau, khususnya  di  kalangan
   negara  ASEAN  dan  Asia  Timur.  Langkah  ini  berjaya
   mengurangkan  peratusan  pergantungan  kepada   pasaran
   tradisional, seperti Amerika Syarikat dan Eropah.
   
   34.  Dalam  pasaran saham, perasaan ceria  jelas  telah
   kembali  semula.  Indeks Komposit  Kuala  Lumpur  telah
   melonjak  kepada  paras tertinggi 756.48  mata  pada  5
   Sept,  berbanding  dengan 632.43 mata  pada  2  Januari
   tahun ini. Jumlah transaksi harian di BSKL mencecah 586
   juta  unit  bernilai  1.17 bilion  ringgit,  berbanding
   hanya  107 juta unit bernilai 0.5 bilion ringgit  dalam
   tempoh  yang sama. Nilai pasaran kini berada  di  paras
   581.98  bilion ringgit berbanding dengan 473.16  bilion
   ringgit  pada  2  Januari 2003.  Pelabur  tempatan  dan
   pelabur  asing  juga telah kembali aktif dengan  jumlah
   transaksi  dagangan mereka meningkat  lebih  tiga  kali
   ganda.
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   35.  Sewajarnya, kita bersyukur kerana wabak SARS  yang
   telah  memberi impak negatif, terutamanya kepada sektor
   pelancongan,   juga  telah  berakhir.  Tindakan   tegas
   Kerajaan  melaksanakan  langkah pencegahan  awal  telah
   berjaya  membendung penyakit tersebut dari merebak.  Di
   samping itu, pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq
   tidak  memberi  kesan negatif yang besar  kepada  kita.
   Sektor pelancongan kini telah mula pulih. Sesungguhnya,
   Pakej  Strategi Baru bagi menangani kesan negatif  SARS
   telah berjaya.
   
   36.   Prestasi   ekonomi  yang  semakin   kukuh   telah
   memantapkan   lagi  asas-asas  ekonomi  negara.   Rizab
   antarabangsa   terus  meningkat  kepada  146.9   bilion
   ringgit  atau  38.7  bilion dolar  Amerika  yang  mampu
   membiayai  6 bulan import tertangguh dan merupakan  4.3
   kali  lebih  tinggi  dari  hutang  luar  negara  jangka
   pendek.  Sistem  perbankan terus teguh dengan  beberapa
   institusi utama perbankan mencatatkan keuntungan  baik.
   Kedudukan  kecairan  yang tinggi dalam  ekonomi  negara
   telah  membolehkan  Kerajaan  terus  mengamalkan  dasar
   kewangan  yang  akomodatif, dengan regim  kadar  faedah
   yang  rendah.  Kedudukan  ini  juga  telah  membolehkan
   Kerajaan    menggembleng   non-inflationary    domestic
   resources  tanpa menjejaskan sektor swasta.  Pada  masa
   yang  sama,  Kerajaan  juga tidak perlu  kepada  sumber
   pinjaman luar. Indeks Harga Pengguna juga terkawal pada
   paras 1.2 peratus.
   
   37.  Sungguh pun terdapat tanda-tanda pemulihan ekonomi
   global,  namun  kita  menjangkakan  adalah  sukar  bagi
   ekonomi dunia kembali pulih kepada tahap sebelum krisis
   kewangan dalam masa terdekat. Realitinya, jalan  menuju
   pemulihan  sepenuhnya  masih jauh  dan  penuh  berliku,
   memandangkan risiko geopolitik yang masih  belum  reda.
   Kuasa  besar masih cenderung menggunakan kekerasan  dan
   paksaan  dalam  melaksanakan  regime  change  ke   atas
   pemerintahan   negara-negara   yang   tidak    sehaluan
   dengannya. Semenjak peristiwa 11 September, mereka juga
   menggunakan  slogan global war against  terror  sebagai
   alasan  untuk  mengugut negara yang dituduh  bersimpati
   dan melindungi pengganas.
   
   38.    Inilah    caranya   kuasa   besar   menghalalkan
   pencerobohan  dan  penindasan  mereka  ke  atas  negara
   seperti    Afghanistan   dan    Iraq.    Mereka    juga
   mempertahankan  alasan  ini  sebagai  justifikasi  bagi
   mereka  mengambil langkah pre-emptive  terhadap  negara
   lain. Jelas mereka mengamalkan law of the jungle.  Bagi
   mereka  might  is right. Kekuatan menghalalkan  segala-
   galanya.
   
   39.  Sebenarnya,  kita telah berulang kali  menyarankan
   bahawa  penyelesaian terbaik kepada konflik  geopolitik
   ini  hanyalah dengan mencari punca sebenar  tercetusnya
   keganasan  dan menyelesaikannya. Kekerasan  dan  tindak
   balas  secara besar-besaran (massive retaliation) hanya
   akan  menyulitkan usaha mencapai keamanan dan pemulihan
   sepenuhnya ekonomi global.
   
   40.    Dalam    suasana   ekonomi   global    sekarang,
   semestinyalah  langkah  serta usaha  yang  lebih  gigih
   dilaksanakan  ke  arah mewujudkan  kerjasama  serantau.
   Kekuatan  kerjasama di kalangan negara  serantau  boleh
   memberi  kesan  dan pandangan serius oleh  negara  maju
   kepada  pendirian kita bersama. Semasa krisis  kewangan
   Asia,  negara di rantau ini telah menunjukkan kesediaan
   untuk  bekerjasama membantu negara yang terjejas teruk.
   Lebih  daripada  separuh sumbangan dana yang  diberikan
   kepada   negara  tersebut  datangnya  daripada   sumber
   kewangan  negara di rantau ini. Di samping itu,  negara
   ASEAN+3  telah menyediakan kemudahan kewangan berbilion
   dolar   di  bawah  Inisiatif  Chiangmai  dan  Inisiatif
   Miyazawa.    Dari   segi   pendirian    di    peringkat
   antarabangsa, kebanyakan negara di bawah  Kumpulan  ini
   juga  telah  menyuarakan secara lantang  kelemahan  dan
   ketidakadilan sistem kewangan antarabangsa  yang  telah
   mencetuskan krisis kewangan Asia.
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   41. Lebih satu dekad yang lalu, kita telah mencadangkan
   penubuhan  Kumpulan Ekonomi Asia Timur atau EAEG.  Pada
   ketika  itu,  cadangan ditolak dan dianggap  merbahaya.
   Namun,  selepas 13 tahun, idea kerjasama dan  pembinaan
   masyarakat Asia Timur kini bukan hanya dianggap  logik,
   tetapi  telah  menjadi  realiti  dan  diterima  sebagai
   landasan bagi negara rantau ini untuk melangkah bersama
   ke   hadapan  dalam  bidang  ekonomi,  perdagangan  dan
   kewangan. Kita tidak putus asa walaupun berdepan dengan
   pelbagai  rintangan.  Bayangkanlah,  jika  EAEG   telah
   diterima  lebih awal, krisis kewangan serantau  mungkin
   dapat   dielak  atau  sekurang-kurangnya  diperkecilkan
   kesannya. Kita sudah kehilangan masa yang banyak.  Yang
   penting kita perlu bertindak pantas, menggandakan usaha
   dan meningkatkan kerjasama bagi mencapai matlamat EAEG.
   
   42. Rantau Asia Timur mempunyai rizab bertrilion dolar.
   Pada  masa  ini,  sebahagian besar daripada  rizab  ini
   dilaburkan di negara Barat. Kini, sudah tibalah masanya
   kita   mencari  alternatif  terbaik  bagi  memaksimakan
   penggunaan sumber serantau. Dalam hal ini, kita mengalu-
   alukan penubuhan Inisiatif Pasaran Bon Asia atau  ABMI,
   yang  diusahakan  oleh  Menteri-menteri  Kewangan  Asia
   Timur.   Inisiatif   ini   akan   menggembleng   sumber
   pembiayaan  jangka  panjang untuk  membiayai  pelaburan
   sektor  swasta.  Ia  akan  dapat  membantu  mengelakkan
   mismatch pembiayaan seperti yang berlaku semasa  Krisis
   Kewangan Asia, di mana pinjaman jangka pendek digunakan
   untuk membiayai pelaburan jangka panjang. Ia juga dapat
   mengelakkan  risiko  tukaran asing.  Untuk  mempastikan
   kejayaan   Inisiatif  ini,  Kerajaan  akan  menyediakan
   galakan  cukai  yang sesuai. Di samping  itu,  Malaysia
   akan  mengambil peluang untuk memperluaskan  penggunaan
   instrumen  kewangan Islam dalam ABMI berasaskan  kepada
   pengalaman dan kepakaran kita dalam membangunkan sistem
   kewangan Islam.
   
   43.  Apa jua bentuk kerjasama serantau, mesti diasaskan
   kepada    manfaat    bersama,    saling    menghormati,
   mengutamakan  persamaan hak dan  menegakkan  demokrasi.
   Tiada  siapa  yang harus mementingkan diri sendiri  dan
   menekan jiran. Tidak harus ada niat oleh sesiapa  untuk
   menguasai negara lain. Tidak ada perjanjian yang  harus
   dipaksa.   Perjanjian   tidak  boleh   berat   sebelah.
   Unilateralism  tidak boleh diterima. Malahan,  kemajuan
   mesti  bertunjang  kepada  konsensus,  kesepakatan  dan
   persefahaman.  Kekurangan dan ketidaksamaan  di  antara
   negara  jiran  perlu diimbangi sebaik mungkin.  Prinsip
   prosper  thy  neighbour  atau  perkayakan  jiran  mesti
   menjadi teras dan amalan dalam hubungan negara-negara.
   
   44.   Namun,  ada  negara  jiran  yang  kerap   menguji
   kesabaran  kita dengan tuduhan yang tidak  berasas  dan
   berprinsip.  Kita  tidak akan membalas  demikian.  Kita
   akan terus berpegang kepada prinsip berbaik-baik dengan
   jiran, mencari jalan yang halal dan adil. Jika sepasang
   yang  bermasalah tidak dapat selesaikan masalah melalui
   rundingan,  maka biasanya pihak ketiga akan  menghakimi
   dan  menghukum secara adil. Kita sanggup  rujuk  kepada
   pihak  ketiga, kepada proses timbang tara.  Konfrantasi
   dan berperang bukan cara kita. Mengugut dan memburukkan
   imej  orang bukan cara kita. Memberi alasan  dan  fakta
   yang  tidak  berasas,  tidak betul,  bukan  cara  kita.
   Adalah diharap cadangan merujuk kepada pihak ketiga ini
   diterima baik secepat mungkin.
   
   MENAMBAH USAHA MENUJU KECEMERLANGAN,
   MENGGANDA IKHTIAR MENGATASI CABARAN
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   45.  Persekitaran luar masih terus tidak menentu. Dunia
   masih   berada  dalam  ketakutan,  terutama   ketakutan
   mengguna  pesawat terbang awam, yang menghalang  urusan
   perniagaan.  Sebab  itu, kita tidak  boleh  tunggu  dan
   bergantung  kepada sektor luar. Kita juga  tidak  boleh
   bergantung  secara  berpanjangan kepada  pelaburan  dan
   perbelanjaan   Kerajaan   untuk   menjana   pertumbuhan
   ekonomi.  Sesungguhnya, keupayaan Kerajaan bukan  tidak
   terhad.
   
   46.  Justeru  itu,  kita  harus kembali  kepada  sektor
   swasta tempatan untuk menjana pertumbuhan ekonomi kita.
   Kita  juga  perlu mencari pasaran baru  untuk  dagangan
   kita.   Kita  juga  perlu  menjadi  benar-benar  negara
   dagang,  iaitu  segala eksport kita  dibuat  oleh  kita
   sendiri  dan  dijual  terus  kepada  pengimport  negara
   asing.
   
   47.   Semasa   kita  merancang  untuk  menjadi   negara
   perindustrian, kita didorong oleh keperluan menyediakan
   peluang  pekerjaan  bagi rakyat kita sebanyak  mungkin.
   Pertanian  tidak mampu membekal peluang pekerjaan  yang
   banyak.  Hanya  sektor pembuatan yang boleh  mewujudkan
   peluang pekerjaan yang mencukupi.
   
   48.  Kerajaan tidak berminat untuk mendapat  hasil  dan
   cukai  dari  perindustrian. Justeru itu,  kita  sanggup
   memberi pengecualian cukai untuk jangka masa yang  agak
   panjang,   asalkan   pekerja  kita   mendapat   peluang
   pekerjaan.
   
   49.  Strategi  ini  berjaya. Peluang pekerjaan  menjadi
   begitu  banyak sehingga pekerja asing membanjiri negara
   kita.  Umumnya, rakyat kita yang sanggup bekerja  tidak
   akan menganggur.
   
   50. Bersama dengan pertumbuhan industri pembuatan hasil
   dari  pelaburan asing, dagangan Malaysia, iaitu  import
   dan  eksport Malaysia meningkat dengan mendadak.  Kini,
   jumlah dagangan kita adalah sebanyak 760 bilion ringgit
   atau  200  bilion  dolar Amerika. Kita boleh  berbangga
   dengan  kejayaan kita menjadi negara perindustrian  dan
   bukan lagi negara pertanian.
   
   51.   Bahawa   rakyat  mendapat  banyak  manfaat   dari
   pertumbuhan   ekonomi  melalui  industri  tidak   dapat
   dinafikan.  Di masa yang sama, rakyat juga  memperolehi
   kecekapan  yang membolehkan mereka mengadakan  industri
   sendiri.  Sekarang banyak sudah barangan  elektrik  dan
   elektronik  serta  barangan pembuatan  yang  lain  yang
   diusahakan  oleh  rakyat Malaysia sendiri.  Yang  jelas
   ialah  apabila  barangan  pembuatan  dikeluarkan   oleh
   pengusaha  Malaysia sendiri, sumbangan kepada  kekayaan
   negara adalah lebih besar.
   
   52.  Kita  tidak  ingin mengurangkan  pelaburan  asing,
   tetapi untuk memaksimakan perolehan negara, kita  perlu
   mempertingkatkan  pelaburan oleh rakyat  kita  sendiri.
   Lagipun,  modal asing untuk pelaburan sudah berkurangan
   dan  kebanyakannya telah mengalir ke negara-negara yang
   upah pekerjanya rendah.
   
   53.  Jepun,  Korea Selatan dan Taiwan tidak  bergantung
   kepada   pelabur  asing  untuk  perindustrian   mereka.
   Pengusaha  tempatan  dengan  bantuan  Kerajaan   mereka
   menceburi bidang industri dengan membeli atau  mencipta
   sendiri  teknologi pembuatan. Kita tidak dapat  berbuat
   demikian  pada mulanya kerana kita tidak banyak  modal,
   teknologi,   kecekapan   pengurusan   dan   pengetahuan
   berkenaan  pasaran dunia. Tetapi setelah kita  mendapat
   pengalaman  dalam semua ini, kita sekarang lebih  mampu
   meneroka  dan memasuki dalam bidang industri  pembuatan
   sendiri.  Ini dapat dilihat dari bertambahnya  barangan
   buatan  kita,  termasuk  kereta  bermotor,  lori,  bas,
   keretapi  ringan,  barangan  elektrik  dan  elektronik,
   pelbagai  jenis  kren, IT, kilang  penapis  bagi  oleo-
   chemical  dan petro-chemical serta barangan binaan  dan
   bermacam-macam lagi.
   
   54.  Namun, ramai pelabur kita kurang yakin dan  sering
   menumpu  kepada pasaran tempatan sahaja.  Pasaran  kita
   adalah kecil dan tidak dapat memberi economies of scale
   yang boleh menurunkan kos. Tetapi jika kualiti barangan
   kita baik dan kita keluarkan secara besar-besaran, kita
   mampu  bersaing dengan negara maju. Oleh itu, pengusaha
   kita   mesti  berani  mengeluar  barangan  buatan  yang
   berkualiti secara besar-besaran untuk pasaran dunia.
   
   55.  Selain  dari industri pembuatan, kita  juga  boleh
   tingkatkan hasil pertanian kita. Banyak hasil pertanian
   yang   boleh  diproses  dan  ditambah  nilai.  Industri
   pelancongan dan pendidikan juga boleh menyumbang kepada
   pembangunan ekonomi negara.
   
   56.  Sesungguhnya,  jika kita membuat  audit  berkenaan
   kebolehan  kita  dalam  bidang industri,  banyak  benar
   darinya  yang boleh menyumbang kepada ekonomi kita  dan
   seterusnya, menjadikan kita sebagai negara dagang  yang
   lebih besar.
   
   57.  Kita  mempunyai  dagangan dengan  lebih  200  buah
   negara,  kecil  dan  besar. Tetapi  masih  banyak  dari
   negara-negara ini yang tidak diberi tumpuan  sepenuhnya
   sebagai  rakan  dagangan. Ini termasuklah negara-negara
   Teluk Parsi, Afrika Utara dan negara-negara Afrika yang
   lain.
   
   58.   Sekarang  ini,  Malaysia  terkenal  dalam  bidang
   pembangunan infrastruktur. Jika dahulu pemborong  asing
   mendapat  kontrak binaan jalan, jambatan dan  empangan,
   sekarang   kita  juga  boleh  bersaing  untuk  mendapat
   kontrak  binaan. Dalam bidang cari gali dan pengeluaran
   minyak,  Petronas telah menembusi lebih dari 30 negara.
   Kita  perlu  satu  lagi konsortium yang  boleh  mencari
   gali,  mengeluar  dan  menapis  minyak.  Dalam  negara,
   Kerajaan   bolehlah  memberi  marginal  fields   kepada
   konsortium  ini supaya mereka akan lebih diyakini  oleh
   negara asing.
   
   59.   Sesuatu  yang  amat  penting  ialah  kualiti  dan
   kemampuan syarikat-syarikat Malaysia. Kita tidak  boleh
   membenarkan  syarikat  yang  tidak  berwibawa   mencari
   kontrak    dan    peluang   di    luar    negeri    dan
   menyalahgunakannya dengan menjual kepada syarikat lain.
   Ini  akan  menghilangkan kepercayaan  kepada  syarikat-
   syarikat Malaysia dan kepada Malaysia sendiri.
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   60. Kita telah bangunkan pelabuhan dan lapangan terbang
   yang mampu memberi khidmat yang baik kepada pengeksport
   dan  pengimport  kita. Lebuh raya  ekspres  dan  sistem
   keretapi   kita   juga  mestilah  dipergunakan   dengan
   sepenuhnya oleh pedagang kita.
   
   61.  Pengeluaran  barangan  di  zaman  ini  tidak  lagi
   seratus peratus nasional. Banyak dari bahagian-bahagian
   dalam  barangan buatan tempatan diperolehi dari  negara
   asing. Yang diutamakan ialah jenama barangan berkenaan.
   Banyak  sudah  barangan jenama terkenal di  dunia  yang
   mempunyai  komponen dari Malaysia. Namun, barangan  ini
   tidak dianggap sebagai barangan Malaysia.
   
   62.  Kita juga perlu ada barangan jenama Malaysia  yang
   mempunyai komponen dari negara lain. Yang penting ialah
   nama  yang  baik, yang diperolehi oleh jenama Malaysia.
   Kebolehan mencipta, merekabentuk dan menguasai  pasaran
   dengan  jenama Malaysia amatlah penting. Nama kebaratan
   tidak  selalunya lebih mudah dikenali. Hari  ini  dunia
   kenal Hitachi, Honda, Toyota, Hyundai, Samsung dan lain-
   lain  lagi.  Bukanlah mustahil nama dalam  Bahasa  kita
   diterima oleh dunia.
   
   63. Kita perlu tingkatkan dagangan dengan mengeluar dan
   mengeksport  barangan  dan  perkhidmatan  kita,   tanpa
   mengurangkan  eksport barangan hasil  pelaburan  asing.
   Penglibatan rakyat Malaysia dalam semua jenis industri,
   mestilah  diperbesarkan  dan rakyat  Malaysia  mestilah
   mengurus   sendiri   segala   yang   berkaitan   dengan
   perdagangan luar dan dalam negara. Untuk ini,  Kerajaan
   akan menyediakan sokongan dalam bentuk dasar, dana  dan
   sistem penyampaian atau delivery system.
   
   Mengukuhkan Industri Kecil dan Sederhana
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   64. Dalam usaha menggalakkan pelaburan swasta, Kerajaan
   telah memberi tumpuan kepada pembangunan industri kecil
   dan  sederhana. Langkah ini bukan hanya menjadikan  IKS
   sebagai  pembantu  kepada  pembangunan  industri  utama
   tempatan,   malahan  IKS  sendiri  boleh   mengeluarkan
   komponen untuk industri di negara lain. Kerajaan  telah
   menyediakan  Skim Kredit Mikro di bawah Pakej  Strategi
   Baru  untuk memberikan pinjaman mudah kepada  pengusaha
   kecil,  yang terdiri daripada pelbagai golongan seperti
   petani,  penternak lembu, peniaga pasar malam,  penjaja
   dan   lain-lain.  Alhamdulillah,  sambutannya  di  luar
   dugaan.
   
   65.  Sehingga kini, Bank Pertanian Malaysia  (BPM)  dan
   Bank  Simpanan Nasional (BSN) telah menerima hampir  88
   ribu  permohonan yang bernilai 1.4 bilion ringgit. Dari
   jumlah ini, hampir 42 ribu permohonan bernilai 430 juta
   ringgit  telah  diluluskan. Pembayaran  balik  pinjaman
   juga  menggalakkan dengan hampir 86 peratus dari jadual
   pembayaran balik telah pun diterima. Kerajaan berbangga
   dengan  sambutan ini. Namun, masih terdapat juga mereka
   yang  cuba  menyalahgunakan kemudahan ini. Bagi  mereka
   yang telah diluluskan pinjaman, janganlah pula ada yang
   liat   untuk   membayar   balik  pinjaman.   Rasulullah
   Sallallahu  Alaihi  Wasallam bersabda  yang  bermaksud:
   'Sesungguhnya paling besar dosa di sisi Allah yang akan
   didapati  seorang  hamba setelah dosa-dosa  besar  yang
   dilarang  Allah  adalah:  Seseorang  mati  meninggalkan
   hutang, tidak ada yang membayarkannya'.
   
   Mempergiatkan Penggunaan Swasta
   
   66.   Sebagai   satu  lagi  langkah  untuk  menggiatkan
   aktiviti  ekonomi  domestik ialah  menggalakkan  rakyat
   untuk berbelanja dalam negara. Ini adalah kerana setiap
   satu  ringgit yang dibelanjakan akan ada yang  menerima
   satu ringgit, mendapat untung daripadanya dan dibelanja
   olehnya  pula,  dan seterusnya akan menghasilkan  kesan
   berganda   ke  atas  ekonomi.  Bagi  mencapai  matlamat
   tersebut,   Kerajaan  telah  mengambil   langkah   bagi
   menambah  pendapatan boleh guna rakyat melalui potongan
   cukai  dan  pemberian insentif, potongan kadar  caruman
   KWSP  serta pemberian bonus kepada anggota perkhidmatan
   awam  apabila  kewangan mengizinkan.  Di  samping  itu,
   kadar  tabungan negara sebanyak 32 peratus  mengukuhkan
   kewangan  negara. Tabungan di Malaysia tidak  merugikan
   kerana nilai mata wang kita tidak susut dari segi  daya
   beli.
   
   67.  Kewangan negara yang dapat mengimbangi  penabungan
   dengan  perbelanjaan, tetap sihat. Inilah  amalan  yang
   terbaik.
   Meningkat Daya Saing Menghadapi Kesan Globalisasi
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   68. Globalisasi seperti yang ditafsir sekarang bermakna
   penghapusan  sempadan supaya dagangan  tidak  diganggu.
   Kerajaan   pula  tidak  dibenar  campur  tangan   dalam
   pasaran.   Kononnya,  pasaran  akan   regulate   dengan
   sendirinya.
   
   69. Sebenarnya, pasaran hanya tertumpu kepada perolehan
   keuntungan  sebesar mungkin. Justeru itu,  negara  maju
   sedang  membesarkan  syarikat  dan  bank  mereka  untuk
   mengalahkan  saingan  oleh  peniaga  negara  membangun.
   Tidak  mungkin  syarikat  dan  bank  kerdil  di  negara
   membangun  mampu menangkis serangan gergasi  yang  akan
   melanda  masuk  akibat globalisasi.  Tidak  akan  wujud
   persaingan  yang  adil.  Sekali  lagi  Might  is  Right
   dijadikan pegangan tamadun semasa.
   
   70.  Kita terima globalisasi, tetapi tidak seperti yang
   diinterpretasi oleh negara maju. Kita akan  perkenalkan
   interpretasi kita dan akan berjuang habis-habisan untuk
   diterima oleh WTO.
   
   71.  Sementara itu, kita mesti gigih dan tabah berdepan
   dengan   cabaran  globalisasi.  Kita  perlu  tingkatkan
   sovereign  competitive  edge  kita  supaya  kita  mampu
   bersaing dengan global players di pasaran antarabangsa.
   Ini   hanya  akan  dapat  dicapai  dengan  meningkatkan
   produktiviti, mengurangkan kos perniagaan,  memperolehi
   teknologi  serta lebih berinovatif. Usaha  meningkatkan
   keberkesanan   penyampaian  perkhidmatan   awam   telah
   menyumbang  kepada  kelancaran  pelaksanaan  dasar  dan
   strategi  pembangunan negara. Di samping  itu,  langkah
   perubahan  minda  semua rakyat supaya sanggup  bersaing
   hendaklah terus diusahakan.
   
   STRATEGI BAJET 2004
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   72. Kerajaan telah mengambil tindakan pantas dan berani
   dengan   melaksanakan   peralihan   dasar   pertumbuhan
   daripada  yang  berasaskan eksport  semata-mata  kepada
   domestic-led  growth. Kini, ternyata  bahawa  peralihan
   dasar  ini  telah  berjaya membebaskan negara  daripada
   belenggu  kemelesetan. Justeru itu,  teras  Bajet  2004
   dirangka  bagi  mempastikan  kesinambungan  dasar   dan
   strategi  Kerajaan  untuk merangsang  dan  menggerakkan
   lagi  pertumbuhan  ekonomi negara  melalui  peningkatan
   peranan  rakyat  negara kita. Kerajaan sebagai  penjana
   ekonomi  tidak  boleh diteruskan selama-lamanya.  Sebab
   itu, Kerajaan memperkenalkan Pakej Strategi Baru supaya
   pihak swasta kembali menjadi penjana ekonomi.
   
   73. Berdasarkan kepada perkembangan ini, Strategi Bajet
   2004 akan menumpukan kepada:
   
   Pertama  :  Memacu sektor swasta tempatan dan  menggiat
   sektor perkhidmatan bagi menerajui pertumbuhan ekonomi.
   Kedua  :  Mengambil langkah konsolidasi fiskal ke  arah
   bajet berimbang dalam masa terdekat.
   Ketiga   :  Melaksanakan  dasar  kewangan  yang   dapat
   mendorong   dan   meningkatkan  lagi   penggunaan   dan
   pelaburan swasta.
   Keempat  :  Mengukuhkan lagi daya saing  negara  supaya
   Malaysia menjadi a truly trading nation.
   Kelima  : Memantapkan lagi agenda sosial dan masyarakat
   penyayang  untuk meningkatkan lagi kualiti hidup  serta
   kesejahteraan rakyat.
   
   Strategi Pertama:
   Sektor Swasta Menerajui Pertumbuhan Ekonomi
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   74.  Bagi  tempoh  10  tahun sebelum  krisis  kewangan,
   sektor  swasta telah berjaya memacu pertumbuhan ekonomi
   negara  dengan pelaburannya meningkat pada kadar purata
   tahunan  melebihi 21 peratus. Sebahagian besar daripada
   pertumbuhan  ini  telah  disumbangkan  oleh   Pelaburan
   Langsung   Asing   (FDI),  terutamanya   dalam   sektor
   pembuatan. Malahan, hampir 90 peratus daripada  eksport
   negara  merupakan barangan pembuatan keluaran  syarikat
   FDI.
   
   75.  Dari  segi  pembiayaan, kita juga dapati  syarikat
   asing   yang   beroperasi  di  negara  kita   membiayai
   sebahagian  besar  pelaburan mereka dari  sumber  dalam
   negeri.  Oleh  itu, aliran masuk dana asing  sebenarnya
   adalah lebih kecil daripada yang diandaikan. Di samping
   itu,   syarikat  FDI  mengeluarkan  produk  yang  bukan
   berjenama  Malaysia,  kurang  mempunyai  backward   and
   forward  linkages dan menggunakan teknologi asing  yang
   dibangunkan  di  luar  negara. Sumbangan  terbesar  FDI
   ialah  pengwujudan peluang pekerjaan. Tetapi hari  ini,
   kita  tidak mempunyai pekerja yang menganggur lagi  dan
   peluang ini dinikmati oleh pendatang asing.
   
   76.  Kita mesti mengubah semua ini dan berani melakukan
   transformasi  ekonomi untuk beralih dari  ekonomi  yang
   digerakkan oleh FDI kepada yang diterajui oleh  pelabur
   tempatan.  Kita  mesti  bertindak  pantas  dan  tangkas
   membuat  quantum  leap  untuk  mengambil  alih  peranan
   sebagai  pelabur,  pengeluar  dan  pengeksport  negara.
   Sektor  swasta tempatan mesti mewujud dan  mengeluarkan
   produk berjenama Malaysia dengan kualiti bertaraf dunia
   untuk  menembusi  dan  menguasai  pasaran  antarabangsa
   supaya dagangan kita adalah dagangan produk kita.  Kita
   perlu  menggalakkan  inisiatif sektor  swasta  tempatan
   untuk mengeluarkan produk tempatan yang mempunyai value
   creation  yang tinggi, bermula dari hasil  penyelidikan
   tempatan  serta  penggunaan komponen  dan  perkhidmatan
   logistik  tempatan. Ini akan menjamin  kesan  spin  off
   yang  lebih luas dan wealth creation yang lebih  tinggi
   kepada rakyat dan negara.
   
   77.  Kita mesti menggandakan usaha untuk menjadi global
   trader   dengan   meningkatkan  langkah   mempromosikan
   barangan  keluaran  negara  ke  seluruh  pelosok  dunia
   secara  langsung, terutamanya ke pasaran bukan tradisi.
   Sebagai langkah strategik ke arah mencapai tujuan  ini,
   Matrade  akan dikorporatkan. Matrade akan dibantu  oleh
   pakar  yang  mempunyai pengalaman dari  sektor  swasta,
   termasuk  pegawai dagang, dalam mempromosikan  eksport.
   Untuk   tujuan   pengkorporatan  ini,   Kerajaan   akan
   menyediakan geran pelancaran sebanyak 100 juta ringgit.
   Matrade juga akan memulakan roadshows, termasuk  export
   promotion on wheels, ke negara Timur Tengah dan Afrika.
   Di   samping   itu,  Kerajaan  juga  akan  menggalakkan
   inisiatif sektor swasta untuk menubuhkan trading houses
   bagi  eksport negara. Kerajaan akan mengenal pasti  dan
   membantu  individu  dan  syarikat  swasta  yang   mampu
   melaksanakan hasrat negara.
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   78.  IKS  mampu  menyumbang kepada pertumbuhan  ekonomi
   negara,  di  samping mempunyai pelbagai  keluaran  yang
   berpotensi  untuk  dimajukan sebagai produk  berkualiti
   dan  bernilai  tambah yang tinggi untuk  eksport.  Hala
   tuju  dan  pembangunan IKS perlu dirangka supaya  lebih
   teratur dan tersusun supaya fungsinya sebagai back bone
   kepada  syarikat industri besar ditambah dengan eksport
   ke  luar  negara.  Bagi  tujuan ini,  Majlis  Peringkat
   Tertinggi IKS telah ditubuhkan bagi menggubal dasar dan
   strategi   yang  lebih  komprehensif  bagi  pembangunan
   bersepadu IKS di semua sektor.
   
   79.   Untuk   menggalakkan  IKS  melaksanakan   program
   pembesaran   pelaburannya,  Kerajaan  bercadang   untuk
   meningkatkan  nilai threshold pendapatan  bercukai  IKS
   yang  dikenakan  cukai  korporat  sebanyak  20  peratus
   seperti  yang diumumkan dalam Bajet 2003, daripada  100
   ribu   ringgit   kepada   500  ribu   ringgit.   Dengan
   peningkatan  threshold ini, IKS akan  mempunyai  sumber
   sebanyak   322  juta  ringgit  lagi  untuk   dilaburkan
   semula.
   
   80.  Sebagai  langkah  untuk terus memperkukuhkan  lagi
   peranan  sektor swasta, Kerajaan mencadangkan  langkah-
   langkah berikut:
   
   i. memberi galakan cukai kepada syarikat milik tempatan
   sedia  ada yang melabur semula bagi mengeluarkan  mesin
   dan peralatan termasuk jentera berat dan machine tools,
   seperti berikut:
   a.  memberi  Taraf  Perintis dengan kadar  pengecualian
   cukai   70   peratus  ke  atas  peningkatan  pendapatan
   daripada pelaburan semula bagi tempoh 5 tahun; dan
   b.  memberi  Elaun Cukai Pelaburan 60 peratus  ke  atas
   pelaburan tambahan dalam tempoh 5 tahun.
   
   ii.  menambahbaik galakan bagi pengeluaran produk  yang
   menggunakan biomass kelapa sawit, seperti berikut:
   a.  meningkatkan kadar pengecualian cukai pendapatan di
   bawah skim Taraf Perintis daripada 70 peratus selama  5
   tahun kepada 100 peratus selama 10 tahun; dan
   b. meningkatkan kadar Elaun Cukai Pelaburan daripada 60
   peratus kepada 100 peratus selama 5 tahun.
   
   iii.  bagi syarikat sedia ada yang menggunakan  biomass
   kelapa sawit pula, galakan berikut diberikan:
   a.  Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan
   100  peratus  selama  10  tahun,  ke  atas  peningkatan
   pendapatan daripada pelaburan semula; dan
   b.  Elaun Cukai Pelaburan 100 peratus selama 5 tahun ke
   atas pelaburan tambahan.
   
   iv.  menambahbaik  galakan  cukai  kepada  syarikat  di
   Sabah,  Sarawak dan koridor timur Semenanjung Malaysia,
   seperti berikut:
   a.  meningkatkan kadar pengecualian cukai pendapatan di
   bawah  Taraf  Perintis daripada 85 peratus  kepada  100
   peratus; dan
   b. meningkatkan kadar Elaun Cukai Pelaburan daripada 80
   peratus   kepada  100  peratus.  Elaun  tersebut   juga
   dibenarkan  ditolak keseluruhannya dan  tidak  dihadkan
   kepada 85 peratus daripada pendapatan statutori.
   
   v.  mengecualikan  pendapatan yang  diremit  dari  luar
   negara  oleh individu daripada cukai pendapatan seperti
   yang kini dinikmati oleh syarikat. Langkah ini di harap
   dapat  menggalakkan individu membawa  balik  pendapatan
   mereka  yang  diperolehi dari pelaburan  atau  simpanan
   mereka  di  luar  negara  untuk  dilaburkan  di   dalam
   negara.
   
   81. Untuk menggalakkan lagi perkembangan syarikat modal
   teroka swasta, dana modal teroka bagi Malaysian Venture
   Capital Management (MAVCAP) akan ditambah sebanyak  300
   juta  ringgit, menjadikan jumlah keseluruhan  di  bawah
   MAVCAP  sebanyak  800  juta ringgit.  Di  samping  itu,
   Kerajaan  juga telah menubuhkan Malaysian Debt  Venture
   (MDV)  dengan  dana  sebanyak 650  juta  ringgit  serta
   Malaysian  Technology  Development  Corporation  (MTDC)
   yang  mempunyai dana modal teroka sebanyak satu  bilion
   ringgit  untuk  membiayai pelaburan dalam bidang-bidang
   lain seperti industri logistik dan pemodenan pertanian.
   
   82.  Kerajaan  juga  telah  memberikan  potongan  cukai
   bersamaan dengan jumlah pelaburan dalam syarikat teroka
   dengan  syarat  pelupusan saham dalam  syarikat  teroka
   dibuat  melalui  initial public  offering  (IPO).  Bagi
   menambah  baik  galakan ini, pelupusan  tersebut  boleh
   juga  dibuat  melalui  exit mechanism  yang  lain  yang
   diluluskan seperti put option dan management buyout.
   
   83.  Satu  lagi  syarat  yang akan  dilonggarkan  ialah
   berkaitan  dengan kaedah pengiraan 70 peratus pelaburan
   dalam   syarikat  teroka.  Pengiraan  ini  akan   hanya
   mengambil kira nilai dana yang dilaburkan dan  bukannya
   jumlah  keseluruhan  dana yang dimiliki  oleh  syarikat
   modal teroka.
   
   84.  Di  samping itu, Kerajaan juga mencadangkan supaya
   syarikat  pengurusan  modal teroka diberi  pengecualian
   cukai   ke   atas  pendapatan  yang  diterima  daripada
   pembahagian keuntungan dengan syarikat modal teroka.
   Menggiatkan Lagi Sektor Perkhidmatan
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   85.  Sektor  perkhidmatan  merupakan  penyumbang  utama
   kepada pertumbuhan ekonomi dan perolehan tukaran  asing
   negara.  Potensi pertumbuhan pelbagai sumber di  sektor
   ini  untuk  menghasilkan perkhidmatan  bernilai  tambah
   tinggi,   masih   belum  dieksploitasikan   sepenuhnya,
   terutamanya    perkhidmatan    berkaitan     pembuatan,
   pendidikan,  pelancongan,  pengangkutan  dan   logistik
   serta ICT.
   
   86.  Memandangkan selama ini, aliran masuk FDI tertumpu
   sebahagian  besarnya  ke sektor pembuatan,  kita  harus
   berusaha  untuk  menarik  FDI ke  sektor  perkhidmatan,
   terutamanya  yang  mempunyai nilai  tambah  yang  lebih
   tinggi.  Sebenarnya, Kerajaan telah banyak  menyediakan
   insentif untuk menarik FDI bagi aktiviti yang mempunyai
   value  creation. Dalam Pakej Strategi Baru, kita  telah
   melonggarkan  lagi  syarat  pegangan  ekuiti  asing  di
   samping  menyediakan lebih banyak lagi  insentif  cukai
   untuk   menarik   syarikat  berorientasi   perkhidmatan
   seperti  Ibu  Pejabat Operasi (OHQs), Pusat  Pengedaran
   Serantau  (RDCs)  dan back-room outsourcing  operations
   oleh  syarikat  multinasional (MNCs)  untuk  beroperasi
   dari negara kita.
   
   87.  Multimedia Development Corporation  (MDC)  sebagai
   one  stop  shop  untuk pelaburan di MSC  telah  berjaya
   menarik  banyak  syarikat  tempatan  dan  asing   untuk
   melabur  dalam  bidang ICT. Bagi  syarikat  yang  telah
   diberi status MSC, Kerajaan memberi 10 jaminan di bawah
   Bill  of Guarantees, termasuk menyediakan infrastruktur
   maklumat,  memberi kebebasan hakmilik  dan  memperolehi
   sumber    dana    serta   pengambilan   tenaga    kerja
   berpengetahuan tanpa sekatan kerakyatan.
   
   88.  MDC telah berjaya menarik serta mendorong syarikat
   untuk  menyediakan  kemudahan perkongsian  perkhidmatan
   bersama   atau   shared  services,   terutamanya   bagi
   perkhidmatan  sokongan IT untuk operasi  global  mereka
   seperti pusat maklumat dan pusat pemprosesan data. Yang
   terkini  ialah syarikat Ericsson yang telah  menubuhkan
   ibu  pejabatnya, sementara HSBC dan Standard  Chartered
   Bank  yang  merupakan  antara institusi  perbankan  dan
   kewangan  terkemuka di dunia, telah menubuhkan  pejabat
   memproses    data   elektronik   yang   akan    memberi
   perkhidmatan  back-end processing and customer  contact
   services  kepada  kumpulan  mereka  di  seluruh  dunia.
   Syarikat  Shell  yang merupakan salah  sebuah  syarikat
   terbesar  petroleum  di  dunia,  dan  juga  DHL   telah
   mewujudkan perkhidmatan yang sama di MSC. Aktiviti  ini
   juga   telah  berjaya  menambahkan  peluang   pekerjaan
   profesional    berkelayakan   tinggi   kepada    rakyat
   Malaysia.
   
   89.  Bagi  menggiatkan lagi sektor perkhidmatan,  sudah
   tiba  masanya,  kita  mewujudkan one-stop  agency  yang
   bertanggungjawab  untuk memegang  tangan  dan  menuntun
   pelabur  bagi  mendapatkan kelulusan daripada  pelbagai
   pihak  supaya projek mereka dapat dilaksanakan  segera.
   Memandangkan  kepada  kejayaan MDC  dalam  membangunkan
   MSC,   Kerajaan  akan  memperluaskan  peranannya  untuk
   menjadi   one-stop   agency  ala   MIDA   bagi   sektor
   perkhidmatan  terpilih.  Kita  yakin  MDC  akan   dapat
   melaksanakan peranan barunya ini dengan berkesan.
   
   90.  Bagi  sub sektor kewangan pula, ia merupakan  satu
   daripada   komponen  utama  sektor  perkhidmatan   yang
   menyumbang  sebanyak 14.5 peratus kepada KDNK.  Sejajar
   dengan  hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai  pusat
   kewangan  serantau, Kerajaan akan membenarkan syarikat-
   syarikat  luar pesisir Labuan untuk menubuhkan  pejabat
   pemasaran  mereka  di Johor Bahru, iaitu  kawasan  yang
   pesat membangun dengan bertambahnya bilangan MNCs  yang
   telah menempatkan operasi mereka pada masa ini. Langkah
   ini  juga akan membantu usaha Kerajaan untuk menjadikan
   Pelabuhan  Tanjung Pelepas dan Lapangan  Terbang  Senai
   sebagai hub logistik antarabangsa.
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   91.  Untuk menambah baik insentif kepada OHQ,  Kerajaan
   mencadangkan  pendapatan OHQ yang  diperolehi  daripada
   penyediaan perkhidmatan kepada syarikatnya di  Malaysia
   diberikan pengecualian cukai pendapatan tidak  melebihi
   20   peratus   daripada  keseluruhan  pendapatan   yang
   diperolehi  daripada  operasi globalnya.  Insentif  ini
   adalah  sama  seperti galakan yang dinikmati  oleh  RDC
   pada masa ini.
   
   Meletakkan Industri Tempatan Ke Persada Dunia
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   92.  Walaupun  eksport  negara  begitu  tinggi,  tetapi
   tumpuan  kini harus diberi kepada pengeluaran  barangan
   dan  perkhidmatan oleh pengusaha tempatan untuk pasaran
   tempatan  dan eksport. Sesungguhnya, jika kita  sendiri
   tidak   berminat   mengguna   barangan   buatan    atau
   perkhidmatan  kita, maka tentulah sukar bagi  pengusaha
   atau  peniaga  kita memasarkan produk  mereka  di  luar
   negeri.  Usaha untuk membangunkan produk tempatan  yang
   berpotensi  untuk  dieksport  perlu  dijadikan   agenda
   penting  negara. Untuk melariskan lagi produk tempatan,
   sebuah   Tabung   Pembangunan  Dan  Mempromosi   Jenama
   Malaysia   telah   ditubuhkan  dengan  dana   permulaan
   sebanyak  100 juta ringgit. Kerajaan bersetuju menambah
   100 juta ringgit lagi.
   
   93.  Dalam  usaha meningkatkan penggunaan barangan  dan
   perkhidmatan tempatan, Kerajaan dan sektor swasta mesti
   bersama  menambah penggunaannya untuk mengukuhkan  lagi
   pasaran  asas  produk tempatan. Di negara lain,  mereka
   telah   menggunakan  pasaran  tempatan   sebagai   asas
   membantu industri tempatan melonjak ke pasaran  global.
   Seharusnya,  kita  mencontohi  negara  ini  agar  dapat
   menjayakan industri tempatan kita.
   
   94.  Sebagai langkah untuk menggalakkan industri  berat
   tempatan,  Kerajaan akan terus memberi sokongan  supaya
   apa  yang  telah  dibangunkan setakat  ini  akan  terus
   berjaya.  Sejak  bulan  Februari  2003,  jualan  kereta
   penumpang  telah  berkurangan,  kemungkinan  disebabkan
   pengguna menangguhkan pembelian dengan harapan  apabila
   sektor  automotif dibuka di bawah AFTA,  pengguna  akan
   berpeluang  membeli  kereta import  dengan  harga  yang
   lebih  rendah. Kerajaan telah membayangkan bahawa harga
   kereta  tidak akan turun, walaupun selepas duti  import
   ke   atas   kereta   dari  negara  ASEAN   dikurangkan.
   Sebenarnya, untuk menangani pengurangan hasil, Kerajaan
   bercadang  untuk mengenakan duti eksais ke atas  kereta
   yang  diimport pada 1 Januari 2004. Oleh yang demikian,
   belilah  kereta  yang sesuai untuk  anda  dan  keluarga
   sekarang.
   
   95.  Sistem perolehan Kerajaan juga akan dikaji semula.
   Pada   masa  ini,  penilaian  tawaran  tender  Kerajaan
   memberi  tumpuan kepada dua syarat, iaitu teknikal  dan
   kewangan.  Bagi membantu pengusaha tempatan  menjadikan
   pasaran   tempatan   sebagai   pasaran   asas   mereka,
   penggunaan  kandungan  dan nilai tambah  tempatan  akan
   diberikan   pertimbangan  sewajarnya  dalam   penilaian
   tender Kerajaan.
   
   96.   Kerajaan  berpendapat  agenda  untuk  menggiatkan
   industri  tempatan ini amat penting sekali.  Oleh  itu,
   Kerajaan akan meminta Tenaga Nasional, Telekom,  Proton
   dan  Petronas,  serta syarikat-syarikat milik  Khazanah
   serta  PNB  dan  syarikat lain  milik  Kerajaan,  untuk
   menerajui  pembangunan  produk dan  teknologi  tempatan
   dalam  sektor mereka. Syarikat-syarikat ini  seharusnya
   menggunakan  pasaran tempatan dan global network  serta
   dana  mereka,  agar dapat mewujudkan industri  tempatan
   yang  boleh  bersaing  di persada antarabangsa.  Sistem
   vendor  dan  payung akan dikaji semula  selaras  dengan
   dasar baru ini.
   
   97.  Harapan  Kerajaan  ialah  supaya  syarikat  swasta
   tempatan  menyambut  cabaran  untuk  berusaha  ke  arah
   membangunkan industri tempatan ke persada dunia.  Dalam
   hubungan  ini,  Kerajaan akan menyediakan  persekitaran
   yang  kondusif  bagi membantu mereka mencapai  matlamat
   ini,   termasuk   pembangunan  R&D,  penyediaan   dana,
   peningkatan  usaha  promosi dan  pemasaran,  penyediaan
   perkhidmatan logistik serta memperbaiki delivery system
   sektor    awam,   sejajar   dengan   konsep   sovereign
   competitiveness.
   
   98.  Kerajaan juga tidak lupa janji-janji Dasar Ekonomi
   Baru  (DEB) yang dilancarkan pada tahun 1971, antaranya
   termasuk  mewujudkan Masyarakat Komersil  dan  Industri
   Bumiputera  atau  BCIC  bagi  memberi  peluang   kepada
   Bumiputera  untuk berjaya sebagai usahawan.  Dasar  ini
   telah   dapat  melahirkan  ramai  usahawan  dan   tokoh
   korporat  Bumiputera. Namun demikian,  krisis  kewangan
   lalu telah menjejaskan mereka. Inilah antara agenda DEB
   yang  masih belum selesai. Oleh yang demikian, Kerajaan
   melalui  syarikat miliknya akan menggiatkan lagi  usaha
   ke  arah  mencapai  matlamat ini,  terutamanya  melalui
   sistem vendor dan payung yang akan diubahsuai.
   
   99.  Dalam  hal  ini,  kita menentang  sekeras-kerasnya
   agenda  pembukaan  pasaran yang  berkaitan  dengan  isu
   perolehan Kerajaan (Government procurement) yang sedang
   dibincangkan di forum WTO di Cancun. Barat sekali  lagi
   menggunakan  WTO  untuk  menegakkan  agenda  penjajahan
   ekonomi  mereka. Sekiranya kita tidak menentang  agenda
   ini,   maka   usaha   kita  untuk  melaksanakan   Dasar
   Pembangunan  Nasional yang mengambil  kira  kepentingan
   pengusaha tempatan, termasuk Bumiputera serta  matlamat
   untuk   menggiatkan   industri  tempatan   tidak   akan
   tercapai.
   
   100.   Untuk   menjadi   sebuah   negara   yang   boleh
   mengeluarkan produk yang berkualiti dan mampu  bersaing
   di  pasaran  global,  kita perlu  mempunyai  teknologi,
   paten, produk dan jenama yang bersesuaian. Selain  dari
   membangunkan teknologi, paten, produk dan  jenama  kita
   sendiri,  kita  juga  boleh  memperolehinya  dari  luar
   negara. Sehubungan ini, dalam industri automotif,  kita
   telah  berjaya  memperolehi syarikat  Lotus,  sementara
   bagi  industri aeroangkasa, kita telah miliki  syarikat
   yang  membina kapal terbang Eagle dan Lance Air  (USA),
   yang  mengeluarkan kapal terbang twin dan  four-seaters
   menggunakan  bahan  komposit.  InventQJaya  juga  telah
   ditubuhkan  untuk melahirkan masyarakat  inventor  bagi
   produk berteknologi dalam frontier baru. Baru-baru  ini
   kita  telah membeli MM Chip daripada syarikat R&D Jepun
   FEC  Incorporated. Chip ini merupakan chip yang  paling
   kecil  di  dunia  berukuran 0.25 mm  persegi.  Kejayaan
   syarikat  milik  rakyat Malaysia telah  mula  terserlah
   seperti  pereka  fesyen dan kasut antarabangsa.  Rakyat
   Malaysia  juga  berjaya  memiliki  London  Circus  yang
   merupakan sarkis terbesar di dunia. Demikian juga Laura
   Ashley, Crabtree and Evelyn dan lain-lain.
   
   101.  Untuk  meneruskan lagi usaha  membolehkan  rakyat
   Malaysia  meneroka  teknologi terkini,  langkah-langkah
   juga   sedang   dilaksana  untuk   memajukan   industri
   aeroangkasa. Setelah berjaya melancarkan Tiungsat  tiga
   tahun  dahulu, Kerajaan akan melancarkan pula Razaksat.
   Keupayaan  ini akan membolehkan kita melancarkan  lebih
   banyak  satelit, termasuk satelit low-orbit  equatorial
   dan   kemungkinan  menjadikan  Malaysia  sebagai  pusat
   pelancaran   roket.  Kita  juga  berhasrat   menghantar
   angkasawan  anak  negara  pertama  ke  angkasa   lepas.
   Malaysia Boleh.
   
   Strategi Kedua:
   Konsolidasi Fiskal Ke Arah Bajet Berimbang
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   102.  Semasa  RMK-8 digubal, Kerajaan telah mensasarkan
   pencapaian   bajet  berimbang  pada   akhir   Rancangan
   tersebut,  iaitu  pada tahun 2005. Walau  bagaimanapun,
   berikutan  daripada  kemerosotan ketara  sektor  swasta
   akibat krisis kewangan serantau, persekitaran luar yang
   tidak   menentu,  termasuk  Peristiwa   11   September,
   pergolakan  di Timur Tengah, pencerobahan di  Iraq  dan
   wabak  SARS,  Kerajaan  terpaksa melaksanakan  beberapa
   pakej rangsangan bertujuan menggiatkan aktiviti ekonomi
   domestik  bagi menghindar ekonomi negara dari mengalami
   kemelesetan.  Ini  menyebabkan  bajet  berimbang  tidak
   dapat  dicapai pada tahun 2005. Kerajaan bertekad untuk
   mencapai  bajet berimbang dalam tempoh terdekat  dengan
   melaksanakan   langkah   konsolidasi   fiskal.    Namun
   demikian,  kedudukan akaun sektor awam menunjukan  tren
   yang masih kukuh di mana defisit sektor awam adalah  di
   paras  1.5 peratus daripada KDNK pada tahun 2003,  jauh
   lebih  rendah  daripada  paras  yang  ditetapkan   bagi
   kawasan  Euro  iaitu  3  peratus.  Peningkatan  defisit
   sektor awam adalah disebabkan oleh pelaburan yang lebih
   besar oleh Petronas dalam tahun 2003.
   
   103.    Perbelanjaan    Kerajaan   akan    dikhususkan,
   terutamanya bagi menyediakan infrastruktur  yang  lebih
   efisien untuk mengurangkan kos kendalian perniagaan dan
   membantu  pertumbuhan ekonomi negara.  Peruntukan  juga
   disediakan   untuk  terus  melaksanakan  program   bagi
   memperbaiki   kedudukan  sosio-ekonomi  rakyat.   Dalam
   hubungan ini, tumpuan akan diberi kepada program  untuk
   menyedia dan menyalurkan produk dan perkhidmatan sosial
   bagi  mempastikan  ianya  dapat  dinikmati  oleh  semua
   lapisan  rakyat, terutamanya mereka yang  berpendapatan
   rendah.
   
   104.   Untuk  mempastikan  pengagihan  sumber  kewangan
   Kerajaan yang lebih berkesan, peruntukan kepada  agensi
   Kerajaan   akan  diasaskan  kepada  kedudukan  kewangan
   mereka.  Bagi  agensi yang memiliki rizab  tinggi  yang
   tidak   terikat,  mereka  hendaklah  menggunakan  rizab
   tersebut untuk membiayai program mereka.
   
   Memperkemaskan Penyediaan Dan Pelaksanaan Bajet
   
   105. Untuk mengemaskan penyediaan bajet, Kerajaan telah
   melaksanakan penyediaan dan pemeriksaan bajet dua tahun
   semenjak Bajet 2002. Proses ini telah dapat menyediakan
   satu  bajet  yang mengambil kira keperluan  semasa  dan
   tahun berikutnya sebagai rolling plan. Ianya juga telah
   dapat  menyelamatkan  masa dan mengurangkan  gunatenaga
   serta memberi masa kepada agensi untuk menumpukan  juga
   kepada usaha pelaksanaan.
   
   106.   Pelaksanaan   bajet  dua   tahun   telah   dapat
   mempastikan  kelancaran pelaksanaan projek pembangunan,
   di   mana  agensi  pelaksana  diberi  lead  time  dalam
   perancangan    projek.   Proses   ini    telah    dapat
   mempercepatkan  lagi pelaksanaan projek pembangunan  di
   mana  peruntukan dibelanjakan tanpa sebarang  shortfall
   seperti di masa-masa lepas.
   
   Peruntukan Bajet 2004
   
   107.  Selaras dengan dasar konsolidasi fiskal, Kerajaan
   mencadangkan    sejumlah    112.5    bilion     ringgit
   diperuntukkan   bagi   Bajet   2004.   Ini    merupakan
   pengurangan sebanyak 1.6 peratus, berbanding peruntukan
   terkini sebanyak 114.3 bilion ringgit dalam tahun 2003.
   Dengan  mengambil  kira anggaran  hasil  sebanyak  95.6
   bilion  ringgit,  defisit  akaun  keseluruhan  Kerajaan
   Persekutuan  dijangka berkurangan  kepada  3.3  peratus
   daripada KDNK, berbanding 5.4 peratus pada tahun 2003.
   
   108. Sebahagian besar peruntukan yang dicadangkan iaitu
   80.5  bilion  ringgit  atau 71.6 peratus  adalah  untuk
   Perbelanjaan Mengurus, manakala 30 bilion ringgit untuk
   Perbelanjaan  Pembangunan. Sebanyak  2  bilion  ringgit
   diperuntukkan untuk Simpanan Luar Jangka.
   
   109.  Di  bawah  Perbelanjaan Mengurus,  sebanyak  20.9
   bilion  ringgit  adalah  untuk  Emolumen,  17.2  bilion
   ringgit  untuk  Bekalan dan Perkhidmatan,  39.4  bilion
   ringgit  untuk Kenaan Bayaran Tetap dan Pemberian,  0.8
   bilion   ringgit  untuk  pembelian  kelengkapan   serta
   kemudahan   pejabat   dan  2.2  bilion   ringgit   bagi
   perbelanjaan lain.
   
   110.  Daripada  jumlah  Perbelanjaan  Pembangunan  yang
   dicadangkan,  sebanyak 13.8 bilion  ringgit  atau  43.1
   peratus  adalah  untuk  sektor ekonomi,  infrastruktur,
   perindustrian,  bekalan elektrik dan air  luar  bandar.
   Sebanyak   11.2  bilion  ringgit  atau   34.9   peratus
   disediakan   bagi  sektor  sosial  untuk  projek-projek
   pendidikan    dan   latihan,   kesihatan,    kebajikan,
   pembangunan  masyarakat, belia dan  sukan.  Seterusnya,
   2.7  bilion ringgit atau 8.4 peratus diperuntukkan bagi
   projek-projek pembangunan di sektor keselamatan dan 4.3
   bilion  ringgit  atau 13.6 peratus  diperuntukkan  bagi
   pentadbiran am.
   
   Pendidikan
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   111.  Kerajaan  akan  terus  memberi  keutamaan  kepada
   sektor  pendidikan  dengan  peruntukan  sebanyak   20.2
   bilion  ringgit, yang merupakan satu perempat  daripada
   peruntukan  perbelanjaan  mengurus  2004.   Di   antara
   institusi  pendidikan  yang dijangka  mula  beroperasi,
   termasuklah 44 sekolah rendah dan 43 menengah  serta  3
   sekolah  teknik  dan  59 asrama. Selaras  dengan  Pakej
   Strategi  Baru,  4  Pejabat  Promosi  Pendidikan   akan
   beroperasi  mulai  tahun ini di Dubai,  Ho  Chih  Minh,
   Beijing dan Jakarta.
   
   112.  Di  bawah perbelanjaan pembangunan, sejumlah  3.7
   bilion  ringgit disediakan, termasuk 1.8 bilion ringgit
   bagi  sekolah rendah, menengah, asrama dan rumah  guru.
   Sebanyak  637  juta  ringgit  disediakan  untuk  projek
   pengkomputeran sekolah sementara 490 juta ringgit  bagi
   membiayai  keperluan infrastruktur institusi pendidikan
   tinggi awam.
   
   113.  Pada  tahun lalu Kerajaan telah membuat keputusan
   untuk  melaksanakan pengajaran mata pelajaran matematik
   dan sains dalam Bahasa Inggeris dengan menggunakan ICT.
   Program  ini  melibatkan  perbelanjaan  sebanyak   lima
   bilion  ringgit bagi tempoh RMK-8. Kerajaan  juga  akan
   roll-out  program  smart  school  secara  berperingkat-
   peringkat   dan  melaksanakan  projek  Schoolnet   bagi
   membolehkan  pelajar mendapat akses  internet.  Program
   akses internet ini telah pun dilaksanakan di hampir 200
   buah sekolah di kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak.
   
   114.  Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk  mempastikan
   semua  anak-anak  mendapat pendidikan  wajib  sekurang-
   kurangnya di peringkat asas, satu Kumpulan Wang  Amanah
   Pelajar  Miskin telah dilancarkan pada 23  Julai  2003.
   Dana  berjumlah  200  juta ringgit  diperuntukkan  bagi
   Kumpulan   Wang  ini  untuk  membantu  pelajar   miskin
   meneruskan pendidikan di sekolah.
   
   115. Dalam usaha Kerajaan untuk memantapkan kualiti dan
   standard  program  pendidikan francais,  pihak  Lembaga
   Akreditasi Negara dari masa ke semasa menjemput  tenaga
   pengajar  atau pakar dari IPTA atau IPTS untuk membantu
   menjalankan validasi, moderasi atau akreditasi  program
   tersebut   untuk   menjamin  kursus   yang   ditawarkan
   mempunyai  kualiti yang sama dengan yang ditawarkan  di
   universiti  luar  negara.  Bagi  tujuan  ini,  Kerajaan
   mencadangkan supaya fi atau honorarium yang  diperolehi
   oleh  tenaga  pengajar atau pakar yang  membantu  dalam
   proses  validasi, moderasi atau akreditasi dikecualikan
   daripada cukai pendapatan.
   
   116.  Bagi  meringankan  beban kewangan  graduan  untuk
   membayar   balik  pinjaman  kepada  Perbadanan   Tabung
   Pendidikan  Tinggi  Nasional  (PTPTN),  Kerajaan   akan
   mengurangkan kadar faedah pinjaman daripada  4  peratus
   kepada  3  peratus. Jadual bayaran balik  akan  bermula
   hanya  pada tahun ketiga graduan bekerja. Kadar bayaran
   balik   bulanan   juga  akan  disusun   semula   secara
   berperingkat,  di  mana peminjam  dikehendaki  membayar
   balik   dengan  kadar  5  peratus  daripada  pendapatan
   bulanan  bagi 5 tahun pertama dan 10 peratus bagi  baki
   tempoh    pembayaran   balik.   Kemudahan   ini    juga
   dipanjangkan   kepada   peminjam   di   bawah    Tabung
   Pembangunan  Kemahiran. Di samping  itu,  pelajar  yang
   ingin   melanjutkan   pengajian  Islam   di   institusi
   pendidikan  luar negara, mereka boleh memohon  pinjaman
   dari  PTPTN dengan syarat institusi tersebut  diiktiraf
   oleh  Kerajaan  dan  mereka  juga  secara  wajib  perlu
   mengambil   subjek  akademik.  Mereka  perlu   memiliki
   kelayakan  yang  diiktiraf oleh  kita.  Pembiayaan  ini
   tidak melebihi kos pengajian yang sama di dalam negeri.
   Kerajaan juga akan menimbangkan memberi pinjaman kepada
   pelajar  yang mengikuti pelajaran luar negara di  bawah
   program  berkembar  bagi tahun  terakhir  pengajian  di
   institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan
   serta kursus yang digalakkan.
   
   Latihan Kemahiran
   
   117.  Pembangunan  industri  berasaskan  teknologi  dan
   pengetahuan   memerlukan  lebih  ramai   tenaga   kerja
   terlatih. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan terus  memberi
   penekanan  terhadap  peningkatan kualiti  dan  kuantiti
   tenaga kerja mahir dengan menambahkan lagi kemudahan di
   pusat  latihan  kemahiran,  di  samping  membina  pusat
   latihan  baru.  Peruntukan sejumlah  319  juta  ringgit
   disediakan  di  bawah Kementerian Sumber Manusia  (KSM)
   bagi tujuan ini. Dengan beroperasinya 10 buah institusi
   latihan baru, KSM akan berupaya melatih seramai 17 ribu
   pelatih  dalam pelbagai bidang kemahiran.  Selain  itu,
   sebanyak 245.5 juta ringgit diperuntukkan bagi menambah
   kemudahan  serta  membina  25 buah  Institut  Kemahiran
   Belia Negara yang akan melatih seramai 11 ribu pelatih.
   Peruntukan  sebanyak 77.5 juta ringgit akan  disediakan
   untuk menyiapkan 14 projek sedia ada serta membiayai  3
   projek  baru dan sebanyak 107.3 juta ringgit disediakan
   bagi membiayai kos pengurusan Institut Kemahiran Mara.
   
   118.  Selaras dengan keperluan untuk menyediakan  lebih
   ramai  tenaga  kerja yang berkemahiran  untuk  memenuhi
   keperluan  pasaran,  Kerajaan telah mengumumkan  Tabung
   Pembangunan Kemahiran dalam Pakej Strategi Baru dan 500
   juta   ringgit  diperuntukkan  bagi  membantu   pelatih
   institusi   kemahiran  mendapatkan   pinjaman   seperti
   Institut   Latihan  Perindustrian,  Institut  Kemahiran
   Mara,  Institut  Kemahiran Belia Negara  dan  institusi
   swasta  yang  terpilih. Untuk menguruskan  Tabung  ini,
   sebuah  agensi khusus ala PTPTN akan ditubuhkan. Syarat
   pinjaman  Tabung  ini adalah sama seperti  PTPTN  iaitu
   pada  kadar faedah pinjaman sebanyak 3 peratus.  Jadual
   dan  kadar  bayaran  balik bulanan akan  dibuat  secara
   berperingkat.
   
   119.   Untuk   meningkatkan  lagi   kemudahan   latihan
   teknikal,  Pusat  Latihan Kejuruteraan  Mesin  Computer
   Numerically   Controlled  (CNC)  telah  ditubuhkan   di
   Technology  Park  Malaysia. Pusat ini  memberi  latihan
   khusus  mengenai penggunaan dan reka bentuk  mesin  CNC
   untuk  kegunaan  pelbagai industri,  terutama  industri
   komponen  dan  alat  ganti.  Latihan  ini  akan   dapat
   meningkatkan kemahiran dalam bidang CAD/CAM/CAE.
   
   120.  Selain daripada institusi latihan di atas,  kolej
   komuniti   akan  juga  menyediakan  latihan   kemahiran
   vokasional.  Untuk menambahkan lagi peluang mendapatkan
   latihan   kemahiran,   pusat-pusat   Giat   Mara   akan
   ditingkatkan   sebagai  Kolej  Komuniti  yang   memberi
   penekanan  kepada  latihan vokasional.  Syarikat  milik
   Kerajaan  seperti  TNB dan Telekom  diminta  mengadakan
   latihan   teknikal  dan  vokasional  di  pusat  latihan
   mereka.  Peserta  yang  mengikuti  latihan  ini   boleh
   mendapatkan pinjaman dari Tabung Pembangunan Kemahiran.
   Di  samping  itu, untuk menggalakkan majikan  mengambil
   graduan menganggur yang berdaftar dengan Unit Perancang
   Ekonomi (UPE), Kerajaan mencadangkan perbelanjaan  yang
   ditanggung  oleh  majikan bagi  menggaji  graduan  ini,
   diberi  potongan cukai dua kali untuk tempoh  2  tahun.
   Bagi graduan menganggur yang memerlukan latihan semula,
   mereka  boleh  mendapatkan pembiayaan di  bawah  Tabung
   Latihan Semula di bawah Pakej Strategi Baru.
   Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   121.  Dasar  Sains  dan  Teknologi  Negara  yang  kedua
   digubal   untuk  mencapai  perbelanjaan  R&D  sekurang-
   kurangnya  1.5  peratus daripada KDNK  menjelang  2010.
   Kerajaan  telah memperuntukkan perbelanjaan yang  besar
   untuk   menyediakan   kepakaran  tenaga   manusia   dan
   kemudahan  R&D.  Bagi  meneruskan usaha  ini,  sebanyak
   183.6  juta  ringgit  disediakan  untuk  program   R&D,
   termasuk    84.5    juta    ringgit    untuk    program
   Intensification  of Research in Priority  Areas  (IRPA)
   yang   dikhususkan  bagi  institusi  penyelidikan  awam
   dengan kerjasama swasta. Di samping itu, tiga institusi
   penyelidikan   baru  akan  ditubuhkan   di   BioValley,
   Cyberjaya  khusus  dalam bidang bioteknologi.  Kerajaan
   juga akan menggalakkan syarikat besar untuk bertapak di
   BioValley  bagi  menjalankan contract research  sebagai
   satu sumber industri perkhidmatan.
   
   122.  Usaha  R&D negara telah banyak memberi  sumbangan
   kepada    peningkatan   hasil   pengeluaran   komoditi,
   terutamanya  kelapa  sawit dan  getah.  Hasil  sehektar
   komoditi ini telah meningkat berlipat ganda dan  tempoh
   matang  tanaman telah dapat disingkatkan.  Selain  dari
   meningkatkan   hasil  tanaman,  institusi  penyelidikan
   telah  juga  banyak  menjalankan  penyelidikan  hiliran
   seperti  biodisel  dari kelapa sawit  dan  termoplastik
   getah.
   
   123.  Memandangkan  sumbangan  sektor  komoditi  kepada
   ekonomi   negara  telah  banyak  berkurangan,   tibalah
   masanya,  institusi  R&D  negara  mengorientasi   usaha
   mereka  ke  arah  demand  and market  driven  R&D  yang
   memberi  tumpuan  kepada  nilai  ditambah  atau   value
   creation  yang  menjurus kepada  pengkomersialan  hasil
   penyelidikan.  Misalnya, pasaran global  bagi  barangan
   dan  perkhidmatan healthcare dan life-sciences dijangka
   akan mencapai 4 trilion Euro, sementara farmasutikal 30
   bilion  Euro  menjelang  2006.  Di  Malaysia,  industri
   bioteknologi masih merupakan infant industry.  Walaupun
   kini terdapat lebih kurang 60 syarikat bioteknologi  di
   negara ini, mereka merupakan syarikat kecil yang  belum
   mencapai taraf world-class.
   
   124. Kerajaan akan menyusun semula SIRIM agar institusi
   ini  menjadi  focal-point bagi usaha  match  making  di
   antara R&D dan permintaan pasaran. Mereka akan mengenal
   pasti  permintaan pasaran tempatan dan  dunia  mengenai
   produk  dan teknologi baru. Mereka juga perlu  mengkaji
   keseluruhan  value  chain R&D  untuk  mewujudkan  nilai
   ditambah,   termasuk   niche  activities   yang   perlu
   dibangunkan,  seperti logistik, pembungkusan  dan  juga
   pemasaran.
   
   125.  Kerajaan  melalui SIRIM akan mengenal  pasti  R&D
   yang  diperlukan  berasaskan kepada permintaan  pasaran
   dan  dipadankan dengan kapasiti R&D di universiti serta
   institusi   penyelidikan.  Untuk  ini,  Kerajaan   akan
   menyediakan  peruntukan  yang  mencukupi   kerana   ini
   merupakan   pelaburan   jangka  panjang   dalam   usaha
   membangunkan   teknologi  tempatan  untuk  mengeluarkan
   produk    berkualiti    tinggi   berjenama    Malaysia.
   Sesungguhnya, negara mempunyai kepakaran dan  keupayaan
   untuk   melaksanakan  R&D  selaras  dengan   permintaan
   pasaran. Sebagai contoh, kita mempunyai lebih satu ribu
   graduan  doktor  falsafah,  di  samping  kemudahan  dan
   sumber pembiayaan R&D yang mencukupi.
   
   126.    Untuk    menggalakkan   pengkomersilan    hasil
   penyelidikan,  Kerajaan  mencadangkan  pendapatan  yang
   diperolehi  oleh penyelidik daripada aktiviti  tersebut
   diberi  pengecualian cukai sebanyak  50  peratus  untuk
   tempoh  5  tahun. Di samping itu, Kerajaan  tidak  akan
   mengenakan   caj   ke  atas  pendaftaran   paten   oleh
   penyelidik tempatan.
   
   Pelancongan
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   127.  Sektor pelancongan negara, terutamanya  pengusaha
   hotel  dan  agensi  pelancongan telah  terjejas  dengan
   ketara  berikutan peperangan di Iraq  dan  wabak  SARS.
   Untuk  membantu mereka menghadapi masalah ini, Kerajaan
   telah   melaksanakan  langkah  segera   melalui   Pakej
   Strategi   Baru,   umpamanya  menangguhkan   pembayaran
   ansuran  cukai  pendapatan agensi pelancongan,  memberi
   diskaun elektrik kepada pengusaha hotel dan menyediakan
   Special  Relief  Guarantee Facility  bagi  mengurangkan
   beban kewangan peminjam di sektor pelancongan.
   
   128.  Bagi menggalakkan pengusaha industri pelancongan,
   termasuk  hotel, untuk melaksanakan program pembesaran,
   pemodenan  dan  pengubahsuaian,  Kerajaan  mencadangkan
   supaya   galakan  Taraf  Perintis  atau   Elaun   Cukai
   Pelaburan diberikan bagi kali kedua.
   
   129.  Dalam  pada  itu,  semua  pengusaha  hotel  harus
   bergabung dan mewujudkan pusat maklumat pelancongan  di
   semua  pintu  masuk negara, termasuk  lapangan  terbang
   serta  stesen keretapi utama bagi membolehkan pelancong
   membuat  tempahan bilik hotel pelbagai  bintang  semasa
   ketibaan.  Selain  daripada itu,  mereka  juga  digalak
   menyediakan kemudahan tempahan secara on-line. Kerajaan
   akan  membangunkan  portal bagi tujuan  ini  dan  akses
   kepada  portal ini akan disediakan di lapangan terbang,
   stesen  keretapi  dan perhentian bas utama  di  seluruh
   negara.
   
   130.  Kerajaan  akan terus berusaha untuk  meningkatkan
   promosi   pelancongan  yang  lebih   berkesan   bersama
   Syarikat Penerbangan Malaysia dan Air Asia serta agensi
   pelancongan   swasta.   Bagi   tujuan   ini,    Lembaga
   Penggalakan  Pelancongan Malaysia (LPPM)  akan  disusun
   semula  untuk  mempastikan semua program pemasaran  dan
   komunikasi dapat dilaksanakan dengan lebih teratur  dan
   berkesan.  Di samping itu, fokus akan diberikan  kepada
   pasaran  serantau, khususnya China, Taiwan, Hong  Kong,
   India  dan  negara  ASEAN. Usaha promosi  akan  dilipat
   gandakan di pasaran Asia Barat serta pasaran baru  yang
   berpotensi   seperti  Pakistan,  Indo-China   dan   New
   Zealand. Sehubungan itu, sebanyak 215 juta ringgit akan
   disediakan untuk aktiviti promosi.
   
   131. Kerajaan juga telah menyediakan dana sejumlah  1.1
   bilion  ringgit, iaitu 400 juta ringgit di bawah Tabung
   Khas  Pelancongan dan 700 juta ringgit di bawah  Tabung
   Infrastruktur   Pelancongan.   Kedua-dua   Tabung   ini
   diuruskan   oleh  Bank  Pembangunan  dan  Infrastruktur
   Malaysia  Berhad (BPIMB). Dalam hubungan ini, keutamaan
   akan  diberi  bagi  membiayai pembangunan  produk  baru
   pelancongan.    Bagi   meningkatkan    keberkesanannya,
   Kerajaan  melalui  Kementerian Kewangan  akan  memantau
   pelaksanaan  dari segi kelulusan dan pengeluaran  dana-
   dana tersebut.
   
   132.  Malaysia  Truly  Asia. Slogan  ini  bukan  sahaja
   menggambarkan rakyat Malaysia yang pelbagai bangsa  dan
   budaya,  malahan mempunyai beraneka juadah  yang  telah
   menjadi   tarikan  kepada  pelancong.  Kita   mempunyai
   Bintang  Walk,  Bangsar Baru dan Mon't  Kiara  di  mana
   pelancong  menghabiskan  masa  bersantai  di  sepanjang
   deretan  sidewalk  cafes dan menjadi  happening  place.
   Dalam  pada itu, kita harus juga memberi tumpuan kepada
   penjaja  kecil  supaya gerai mereka  sentiasa  menarik,
   bersih  dan  hygienic. Untuk itu, Kerajaan  menyediakan
   kemudahan  mikro  kredit  bagi mereka  mengganti  gerai
   usang  atau  membeli kereta sorong baru yang  diperbuat
   daripada   aluminium  atau  stainless   steel,   kanopi
   berwarna  dan  kerusi  meja  yang  lebih  sempurna  ala
   Bintang Walk. Penjaja hendaklah menggunakan gerai  atau
   kereta  sorong  yang  diluluskan  oleh  Pihak  Berkuasa
   Tempatan.
   
   Kesihatan
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   133.   Kerajaan  akan  terus  menyediakan  perkhidmatan
   kesihatan  dan perubatan yang berkualiti  kepada  semua
   rakyat.  Oleh itu, Kerajaan memperuntukkan  sebanyak  9
   bilion   ringgit,  peningkatan  20.5  peratus  daripada
   peruntukan  2003.  Daripada  jumlah  ini,  6.4   bilion
   ringgit  adalah  untuk perbelanjaan  mengurus  dan  2.6
   bilion    ringgit   untuk   perbelanjaan   pembangunan.
   Peruntukan   ini   akan   disalurkan   bagi   membiayai
   perkhidmatan  rawatan  perubatan yang  penting  seperti
   unit  dialisis,  unit  rawatan intensif  serta  program
   untuk  mengurangkan morbiditi dan mortaliti di kalangan
   kanak-kanak. Bagi meningkatkan aktiviti pengesanan  dan
   pengawasan  serta diagnosa penyakit berjangkit  seperti
   SARS,   tuberculosis,   kusta  dan   denggi,   Kerajaan
   memperuntukkan sebanyak 3 juta ringgit.
   
   134. Kos rawatan perubatan kini kian meningkat. Subsidi
   oleh Kerajaan untuk perkhidmatan kesihatan kepada semua
   rakyat  dengan  caj  perkhidmatan yang  paling  rendah,
   sudah   menjadi   beban  yang  terlalu   berat.   Untuk
   meringankan     perbelanjaan    perubatan,     Kerajaan
   menggalakkan   industri   insuran   kesihatan    supaya
   memperluas  liputan dengan menawarkan kos premium  yang
   berpatutan  dan mampu ditanggung oleh sebahagian  besar
   rakyat.   Syarikat-syarikat  perlu  membiayai   rawatan
   kepada pekerja mereka.
   
   135.   Kerajaan  telah  membina  banyak  hospital  yang
   dilengkapi  dengan  peralatan  termoden  dan   canggih,
   termasuk  penggunaan  ICT bagi  aplikasi  Total  Health
   Information  Systems  (THIS)  tanpa  kertas.   Hospital
   Selayang, Serdang dan Pandan di Johor adalah jenis ini.
   Kerajaan  tidak dapat membayar gaji yang tinggi  kepada
   pakar  perubatan.  Oleh itu, Kerajaan bersetuju  dengan
   konsep   private  commercial  wings,  bagi  membolehkan
   doktor  yang  sedang berkhidmat mendapat  imbuhan  yang
   setimpal dan dengan ini dapat mengekalkan mereka  untuk
   terus  berkhidmat di hospital Kerajaan. Dengan  langkah
   ini,   Kerajaan  juga  berharap  dapat  menarik   pakar
   perubatan  berkhidmat kembali di hospital Kerajaan.  Di
   samping  itu, orang ramai yang memerlukan rawatan  yang
   lebih  baik  dengan  kos berpatutan  boleh  mendapatkan
   perkhidmatan  di  hospital Kerajaan. Langkah  ini  juga
   boleh  mempromosikan hospital Kerajaan di luar  negara,
   selaras dengan objektif menggalakkan health tourism.
   
   136.  Penjagaan kesihatan adalah penting bagi  menjamin
   rakyat   terus   sihat.  Bagi  meningkatkan   penjagaan
   kesihatan, Kerajaan mencadangkan duti import 10 peratus
   ke  atas health supplements dimansuhkan. Kerajaan  juga
   akan  mempastikan harga ubat terpilih diberikan diskaun
   kepada  pesara.  Dalam  hal  ini,  Pharma  Niaga   akan
   menyediakan  kaunter khas bagi penjualan ubat  tersebut
   kepada pesara.
   
   137.  Di  samping  itu, untuk menggalakkan  gaya  hidup
   sihat  di  kalangan rakyat, Kerajaan mencadangkan  duti
   import  dan eksais ke atas rokok dan lain-lain keluaran
   tembakau  dinaikkan sebanyak 20 peratus,  masing-masing
   daripada 216 ringgit kepada 259 ringgit sekilogram  dan
   daripada  48  ringgit  kepada  58  ringgit  sekilogram.
   Peningkatan  duti  ke  atas rokok juga  adalah  selaras
   dengan  cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau  WHO
   untuk  mengawal  penggunaan  rokok.  Untuk  membenteras
   penyeludupan    ke   atas   rokok,   Kerajaan    sedang
   melaksanakan  penggunaan  pelekat  khas  atau  banderol
   serta  dakwat keselamatan bagi mempastikan  rokok  yang
   dijual bukan rokok yang diseludup.
   
   138.  Kerajaan juga mencadangkan duti import  dan  duti
   eksais  ke atas minuman keras ditingkatkan sebanyak  10
   peratus. Di samping itu, Kerajaan juga akan menggunakan
   banderol dan dakwat keselamatan ke atas minuman keras.
   
   139.  Kerajaan  ingin  mengambil kesempatan  ini  untuk
   mengucapkan   tahniah  dan  syabas   serta   merakamkan
   setinggi-tinggi  penghargaan kepada kesemua  kakitangan
   hospital  yang  telah sanggup menghadapi risiko  tinggi
   dalam  memeriksa  pelawat  dan  merawat  pesakit  SARS.
   Sungguhpun  Kerajaan  telah memberikan  imbuhan,  namun
   wang ringgit tidak dapat membayar segala jasa dan bakti
   yang telah mereka curahkan. Contohilah mereka ini.
   
   140.  Walaupun  wabak  ini telah berakhir,  kita  mesti
   terus berwaspada dan sentiasa bersedia untuk menghadapi
   sebarang kemungkinan. Kerajaan sentiasa berusaha  untuk
   mengambil tindakan sewajarnya untuk mempastikan langkah-
   langkah pencegahan dilaksanakan bagi mengelakkan  wabak
   ini  berulang  lagi.  Kerajaan juga  akan  menyegerakan
   pelaksanaan  Centre for Disease Control (CDC),  seperti
   yang  diumumkan dalam Pakej Strategi Baru.  Untuk  ini,
   sebanyak 20 juta ringgit akan disediakan.
   
   Pembangunan Luar Bandar
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   141.  Usaha  untuk meningkatkan taraf hidup  rakyat  di
   luar  bandar akan diteruskan. Peruntukan sebanyak  2.27
   bilion  ringgit  disediakan untuk  program  pembangunan
   luar  bandar. Dari jumlah tersebut, sebanyak  450  juta
   ringgit  disediakan  untuk membina jalan  kampung  bagi
   memberi  manfaat  kepada masyarakat luar  bandar.  Bagi
   jalan luar bandar, sebanyak 260 juta ringgit disediakan
   untuk  menyiapkan 74 projek sambungan dan projek  baru.
   Sebanyak  267.1  juta  ringgit  pula  disediakan   bagi
   menyiapkan pembinaan klinik desa.
   
   142.  Program  bekalan  air dan  elektrik  luar  bandar
   disediakan peruntukan masing-masing sebanyak 225.4 juta
   ringgit dan 272 juta ringgit. Program ini dijangka akan
   memberi manfaat kepada hampir 140 ribu rumah di seluruh
   negara.  Bagi menjamin mutu air bersih di kawasan  luar
   bandar  serta  mempastikan  persekitaran  yang  bersih,
   Kerajaan memperuntukkan sebanyak 7.9 juta ringgit untuk
   tahun  2004.  Tahap  liputan  bekalan  air  telah   pun
   mencapai  99.9 peratus di Semenanjung. Di samping  itu,
   242  juta ringgit diperuntukkan untuk membiayai  projek
   bekalan air di sekolah kawasan luar bandar.
   
   143.  Bagi  mengurangkan  beban golongan  berpendapatan
   rendah,  Kerajaan mencadangkan cukai jalan dikecualikan
   ke  atas motorsikal berkapasiti tidak melebihi 150 c.c.
   Ini  juga akan mengurangkan beban kewangan bagi pelajar
   di  IPTA  dan IPTS serta kumpulan belia dan anak  muda.
   Bagi  pekerja  yang menggunakan perkhidmatan  bas  yang
   disediakan  oleh  majikan, Kerajaan  juga  mencadangkan
   supaya   cukai   jalan  ke  atas  bas   untuk   pekerja
   dikurangkan  sebanyak  50  peratus.  Kerajaan  berharap
   majikan akan mempastikan pengurangan ini sampai  kepada
   warga pekerja.
   
   Pembangunan Sabah Dan Sarawak
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   144.  Pembangunan  di  Sabah dan  Sarawak  juga  diberi
   penekanan  seperti  di  dalam bajet  tahun-tahun  lalu.
   Sebanyak  5.9  bilion ringgit dan  5.5  bilion  ringgit
   diperuntukkan masing-masing kepada Sabah  dan  Sarawak.
   Dalam   sektor  pengangkutan,  kedua-dua  negeri   akan
   mempunyai   rangkaian  jalan  raya  yang   lebih   luas
   menghubungi  bandar-bandar  utama.  Di  Sabah,  apabila
   projek-projek dalam pelaksanaan siap, semua  bandar  di
   Sabah   dapat  dihubungi  melalui  jalan  darat,  tidak
   seperti  sekarang  di mana kadangkala terpaksa  melalui
   jalan   udara  atau  air.  Di  Sarawak  juga,  beberapa
   rangkaian  jalan  utama baru sedang dilaksanakan  untuk
   memudahkan  perhubungan  bukan  sahaja  dalam  Sarawak,
   tetapi juga di antara Sarawak dan Sabah. Kerajaan  juga
   sedang membina jambatan baru bagi menggantikan jambatan
   lama   yang   tidak  selamat.  Selain   daripada   itu,
   pelaksanaan projek jalan luar bandar dan jalan  kampung
   sedang  dilaksanakan dengan pesat melibatkan kontraktor
   tempatan pelbagai kelas.
   
   145.  Memandangkan Sabah dan Sarawak adalah negeri yang
   besar,  beberapa  projek pengangkutan  udara  dan  laut
   sedang  dilaksanakan. Selain daripada lapangan  terbang
   Tawau, Bintulu dan Miri yang baru disiapkan yang  boleh
   menampung pendaratan pesawat Airbus 330, Kerajaan  juga
   akan  menaik taraf Lapangan Terbang Kuching.  Sementara
   itu,    Pelabuhan    Bintulu   dan    Kuching    sedang
   diperbesarkan.  Manakala  sebuah  pelabuhan   baru   di
   Semalanjau   akan  dibina  untuk  menampung   keperluan
   industri  aluminium smelting, iaitu pelaburan  daripada
   negara   Timur  Tengah,  yang  juga  akan   menggunakan
   sebahagian   besar   tenaga   elektrik   dari    projek
   Hidroelektrik Bakun.
   
   146.  Dalam sektor pendidikan dan kesihatan,  kedua-dua
   negeri mendapat peruntukan yang besar bagi melaksanakan
   projek-projek  seperti pelaksanaan  Fasa  2  Universiti
   Malaysia  Sabah  dan pembinaan kampus tetap  UNIMAS  di
   Samarahan. Kerajaan telah mengambil alih Sabah  Medical
   Centre  dari  pihak  swasta,  dan  dinaik  taraf  untuk
   dijadikan  sebagai  sebuah  hospital  utama   di   Kota
   Kinabalu.  Di  samping  itu,  untuk  menambah  bilangan
   doktor  dan kakitangan allied health services, hospital
   Kuching  sedang  dinaik  taraf untuk  menjadi  hospital
   mengajar UNIMAS.
   
   147.  Bekalan  air merupakan satu kemudahan  asas  yang
   masih  belum  dapat liputan penuh di negeri  Sabah  dan
   Sarawak.  Sementara menunggu projek-projek bekalan  air
   utama dilaksanakan, Kerajaan telah melaksanakan program
   bekalan   air  luar  bandar,  terutama  untuk  sekolah-
   sekolah, dengan menggunakan sistem rain harvesting  dan
   tube  well.  Setakat ini, hampir 700  buah  sekolah  di
   Sabah  dan  Sarawak telah dikenalpasti  untuk  mendapat
   kemudahan ini dengan kos sebanyak 242 juta ringgit.
   
   Pertanian
   
   148.  Kerajaan akan terus memberikan penekanan ke  arah
   memodenkan  lagi  sektor pertanian  bagi  meningkatkan,
   terutamanya hasil pengeluaran makanan. Bagi tujuan ini,
   pertanian berskala besar dan bercampur-campur, termasuk
   ternakan,   penggunaan  tanah   secara   intensif   dan
   penggunaan teknologi serta pengurusan moden akan diberi
   galakan. Amat penting juga, rantaian nilai tambah dalam
   sektor   pertanian   seperti   pemprosesan,   logistik,
   pembungkusan,  jenama  dan pasaran  baru  disokong  dan
   digalakkan.  Untuk itu, semua komponen  dalam  rantaian
   ini,  termasuk delivery system akan diperkukuhkan lagi,
   khususnya  penyediaan cold storage  chain  bagi  produk
   pertanian yang mudah rosak.
   
   149.   Syarikat  yang  menjalan  aktiviti   menyediakan
   kemudahan  dan  perkhidmatan  seperti  ini  boleh  juga
   menggunakan  dana  modal teroka yang  telah  disediakan
   oleh  Kerajaan  melalui MTDC. Di samping itu,  syarikat
   baru   yang  menyediakan  rangkaian  perkhidmatan   dan
   kemudahan bilik sejuk untuk hasil pertanian yang  mudah
   rosak  telah  diberi Taraf Perintis  atau  Elaun  Cukai
   Pelaburan.  Bagi  menggalakkan pelaburan  semula  dalam
   bidang yang sama, Kerajaan mencadangkan syarikat  milik
   tempatan sedia ada diberi galakan berikut:
   
   i.  memberi  Taraf  Perintis dengan pengecualian  cukai
   sebanyak  70  peratus  ke  atas peningkatan  pendapatan
   daripada pelaburan semula selama 5 tahun; atau
   ii.  memberi Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60  peratus
   daripada pelaburan tambahan dalam tempoh 5 tahun.
   
   150.   Kerajaan  telah  pun  menyediakan  Tabung  Untuk
   Makanan berjumlah 1.3 bilion ringgit di bawah BPM untuk
   membiayai aktiviti pengeluaran dan pemprosesan barangan
   makanan.  Alhamdulillah, hampir kesemua dana ini  telah
   pun  digunakan. Memandangkan sambutan yang menggalakkan
   ini,  Kerajaan telah menambah satu bilion ringgit  lagi
   di   bawah   Pakej   Strategi  Baru,  menjadikan   dana
   keseluruhan sebanyak 2.3 bilion ringgit.
   
   151. Untuk menggerakkan lagi kegiatan ekonomi desa  dan
   membantu   pengusaha   kecil   di   kampung   memajukan
   perusahaan  mereka,  Kerajaan akan  menyediakan  Kredit
   Mikro Desa berjumlah satu bilion ringgit di bawah  BPM.
   Untuk   mempastikan  program  ini  dilaksanakan  secara
   teratur   dan  berkesan,  Kredit  ini  akan  disalurkan
   mengikut kumpulan melalui Jawatankuasa Kemajuan Kampung
   (JKK/JKKR)  kepada kampung yang mempunyai program  satu
   produk  satu  kampung, di bawah penyeliaan Jawatankuasa
   Pembangunan   Daerah   dan   Unit   Penyelarasan    Dan
   Pelaksanaan,  Jabatan Perdana Menteri.  Hasrat  program
   ini  ialah untuk memberi peluang kepada petani mengguna
   masa lapang untuk bekerja dan menambah pendapatan.
   
   152.  Peruntukan sebanyak 3.3 bilion ringgit disediakan
   untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi sektor
   pertanian.  Sebahagian  besar  dari  jumlah  ini  iaitu
   sebanyak  885  juta  ringgit  adalah  bagi  menyediakan
   kemudahan  asas  pertanian. Di samping itu,  akuakultur
   akan  digiatkan  dengan peruntukan sebanyak  70.6  juta
   ringgit,  sementara  165 juta ringgit  disediakan  bagi
   pembinaan Pelabuhan Perikanan Laut Dalam Bersepadu  dan
   Pusat Latihan Perikanan di Tanjung Manis, Sarawak.
   
   Meningkatkan   Penglibatan  Orang   Asli   Dalam   Arus
   Pembangunan
   
   153.  Kerajaan  terus  memberi perhatian  kepada  usaha
   meningkatkan penglibatan masyarakat orang  asli  supaya
   mereka juga dapat menikmati manfaat pembangunan ekonomi
   negara.   Sebagai  langkah  untuk  menambah  pendapatan
   mereka,  kemudahan Kredit Mikro Desa juga  akan  diberi
   untuk  membolehkan mereka menjalankan aktiviti ekonomi,
   termasuk  pertanian dan perusahaan  kecil.  Di  samping
   itu,  mereka juga boleh mendapatkan kemudahan sewa beli
   bot dan enjin sangkut di bawah skim pembinaan bot dalam
   Pakej Strategi Baru. Untuk mempastikan masyarakat orang
   asli  berpeluang memiliki rumah yang selesa  dan  mampu
   dibeli,  mereka juga akan diberi keutamaan  memperolehi
   rumah  mesra  di  bawah skim Syarikat Perumahan  Negara
   Berhad (SPNB) dengan pinjaman yang lebih mudah.
   
   154.  Untuk  meneruskan program pembangunan  masyarakat
   orang  asli,  peruntukan sebanyak  156.5  juta  ringgit
   disediakan.  Di  antara program yang akan  dilaksanakan
   termasuk   Rancangan  Pengumpulan  Semula,   Penyusunan
   Semula Kampung dan pembangunan aktiviti ekonomi seperti
   latihan  keusahawanan dan kemahiran.  Di  samping  itu,
   untuk    membantu   anak-anak   orang   asli,   bantuan
   persekolahan  seperti pakaian seragam,  buku  teks  dan
   tambang bas sekolah juga disediakan.
   
   Meningkatkan Keselamatan
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   155.  Sejak  kebelakangan ini, sering berlaku  kejadian
   hijacking,  piracy  dan gangsterism, termasuk  kegiatan
   'tonto'   serta  rompakan  dan  kecurian  yang  semakin
   membimbangkan.  Adalah  menjadi tanggungjawab  Kerajaan
   untuk menyediakan persekitaran awam dan perniagaan yang
   selamat.  Kerajaan  akan meningkat  dan  memperkukuhkan
   kawalan   dan   penguatkuasaan.  Pasukan   polis   akan
   mempertingkatkan  lagi kawalan keselamatan  di  seluruh
   negara   dan   dengan  itu,  Kerajaan   akan   mengkaji
   organisasi   bahagian  tertentu  dalam   Polis   DiRaja
   Malaysia serta meningkatkan keupayaan melalui pemberian
   peralatan   dan  latihan  khas  supaya   mereka   dapat
   melaksanakan   tugas  dengan  lebih  berkesan.   Selain
   daripada  itu, Kerajaan juga telah menubuhkan  Angkatan
   Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) sebagai satu usaha
   untuk meningkatkan lagi keselamatan di perairan negara,
   seperti perairan Selat Melaka.
   
   156. Bagi melindungi pegawai penguatkuasa semua agensi,
   mereka  akan  dibekalkan dengan peralatan  yang  sesuai
   semasa  bertugas.  Untuk menghargai  jasa  mereka  yang
   terdedah  kepada  pelbagai ancaman, faedah  dan  saraan
   yang disediakan kepada anggota keselamatan dan keluarga
   mereka    akan   juga   dipanjangkan   kepada   pegawai
   penguatkuasa  jika  mereka  cedera  atau  gugur  semasa
   bertugas.
   157.  Bagi tahun 2004, keselamatan dalam negeri  diberi
   peruntukan   mengurus  sebanyak  4.4  bilion   ringgit,
   manakala bagi Kementerian Pertahanan pula sebanyak  6.5
   bilion  ringgit.  Bagi perbelanjaan  pembangunan  pula,
   peruntukan  masing-masing adalah  sebanyak  750.5  juta
   ringgit  dan  2.1  bilion  ringgit  disediakan,   untuk
   melengkap   dan   memodenkan  sistem   pertahanan   dan
   keselamatan negara.
   
   Strategi Ketiga:
   Dasar  Kewangan Yang Mendorong Penggunaan Dan Pelaburan
   swasta
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   158.    Bagi   mencergaskan   aktiviti   dalam   negeri
   terutamanya  pelaburan dan penggunaan,  dasar  kewangan
   yang    lebih   akomodatif   telah   dan   akan   terus
   dilaksanakan.  Dasar ini perlu dikekalkan,  terutamanya
   dalam suasana rejim kadar faedah yang rendah di seluruh
   dunia.  Di  samping itu, terdapat jumlah kecairan  yang
   besar  yang  boleh digembleng untuk membiayai  aktiviti
   ekonomi  dalam negeri. Oleh itu, langkah perlu  diambil
   untuk  menguruskan kecairan ini supaya dapat  digunakan
   dengan  lebih  berkesan bagi merangsang  pelaburan  dan
   penggunaan dalam negeri.
   Mempermudahkan Aksesibiliti Pembiayaan IKS
   
   159. Industri Kecil dan Sederhana (IKS) perlu digiatkan
   bagi  menjana  aktiviti pelaburan  dalam  negeri.  Bagi
   membolehkan IKS mengukuhkan peranannya, adalah  penting
   bagi  institusi kewangan menyediakan kemudahan kewangan
   dan   kredit  yang  lebih  accessible  kepada  golongan
   tersebut.  Selain  daripada kemudahan  pembiayaan  yang
   telah  disediakan oleh Kerajaan di bawah Pakej Strategi
   Baru,   institusi   perbankan  perlu   proaktif   dalam
   pemberian   pinjaman,   terutamanya   kepada   golongan
   pengusaha kecil dan sederhana.
   
   160.  Memandangkan sambutan yang menggalakkan  terhadap
   Skim  Kredit  Mikro dari peniaga kecil,  Kerajaan  akan
   menambahkan lagi dana sebanyak satu bilion  ringgit  di
   bawah BPM dan BSN.
   
   161. Kerajaan juga prihatin terhadap peniaga kecil  dan
   sederhana  yang  mengalami  kesukaran  membayar  hutang
   dengan  institusi  kewangan. Di  bawah  Pakej  Strategi
   Baru,  Bank  Negara  Malaysia  telah  menyediakan  Skim
   Penyusunan  dan Penjadualan Semula Pinjaman bagi  semua
   jenis  pinjaman dan kemudahan kredit oleh  peminjam  di
   sektor   pelancongan.  Setakat  ini,   nilai   pinjaman
   sebanyak  3 bilion ringgit telah mendapat manfaat  dari
   Skim ini.
   
   162.  Di samping Skim ini, Kerajaan juga akan mengambil
   langkah  untuk membantu pengusaha IKS menangani masalah
   hutang  tak  berbayar mereka dengan institusi  kewangan
   melalui  satu mekanisma ala CDRC. Bagi tujuan ini,  BNM
   akan  menubuhkan satu Jawatankuasa Penyelesaian  Hutang
   IKS.  Harapan  Kerajaan ialah mekanisme  ala  CDRC  ini
   dapat membantu menyelesaikan hutang IKS.
   
   Menerbitkan Bon Merdeka
   
   163.  Kerajaan  prihatin  terhadap  kesan  regim  kadar
   faedah  yang  rendah  kepada golongan  yang  bergantung
   kepada   pendapatan  daripada  simpanan  di   institusi
   kewangan, iaitu golongan pesara yang berumur  55  tahun
   ke  atas  dan  tidak mempunyai pekerjaan  tetap.  Untuk
   membantu mereka ini mendapat pulangan lebih baik,  Bank
   Negara Malaysia akan menerbitkan bon bagi golongan  ini
   secara  berkala. Bon ini akan mempunyai  tempoh  matang
   selama  dua  tahun  dengan pulangan 5  peratus  setahun
   iaitu  melebihi  kadar faedah simpanan.  Kerajaan  juga
   mencadangkan    pulangan    daripada    bon    tersebut
   dikecualikan    daripada   cukai   pendapatan.    Untuk
   menghargai   perkhidmatan   dan   pengorbanan   anggota
   berunifom  yang telah bersara, terbitan  bon  ini  akan
   dibuka juga kepada mereka yang telah bersara wajib.
   
   Memperluaskan Pasaran Modal
   
   164.  Pasaran  modal  terus memainkan  peranan  penting
   dalam membiayai pembangunan ekonomi negara, terutamanya
   menyediakan  peluang mendapatkan modal  bagi  syarikat-
   syarikat.  Semenjak 2001, lebih dari 99 bilion  ringgit
   telah  diperolehi daripada pasaran modal  dalam  bentuk
   bon   dan  ekuiti.  Di  samping  itu,  13  asset-backed
   securities (ABS) telah diluluskan berjumlah lebih  dari
   7   bilion   ringgit.  Prestasi  pasaran   modal   yang
   memberangsangkan  ini  adalah  hasil  dari  pelaksanaan
   inisiatif di bawah Pelan Induk Pasaran Modal  serta  10
   langkah  memantapkan lagi pasaran modal yang  diumumkan
   oleh Kerajaan pada bulan Mac tahun ini.
   
   165.  Pada  masa ini, tiada layanan cukai  yang  khusus
   disediakan  bagi penerbitan ABS. Sebagai langkah  untuk
   menggalakkan   penerbitan  ABS,  Kerajaan  mencadangkan
   supaya   layanan  cukai  yang  sama  dengan  penerbitan
   sekuriti  biasa diberikan kepada ABS. Di  samping  itu,
   Kerajaan   juga  mencadangkan  perbelanjaan   berkaitan
   terbitan ABS diberi potongan cukai selama 5 tahun.
   
   166.  Salah  satu  daripada 10 langkah  yang  dilaksana
   untuk  memantapkan  pasaran  modal  ialah  menggalakkan
   syarikat  besar disenaraikan di BSKL. Bagi tujuan  ini,
   FELDA  yang  bukan  sahaja  merupakan  sebuah  syarikat
   perladangan  terbesar di rantau ini malahan  di  dunia,
   akan  disenaraikan di BSKL. Saham FELDA  dijangka  akan
   menjadi  antara blue-chip di BSKL dan FELDA  berpotensi
   untuk diperkenalkan sebagai international brand. Dengan
   penyenaraiannya, FELDA akan berupaya mendapatkan  modal
   dari  pasaran  dan  tidak lagi perlu bergantung  kepada
   Kerajaan untuk sumber kewangannya. Pada masa yang sama,
   Kerajaan   juga   akan   mendapat   pulangan   daripada
   penyenaraian  ini yang juga akan memberi faedah  kepada
   Kumpulan  FELDA, peneroka dan koperasi  serta  kerajaan
   negeri  yang  telah  memberi  tanah  untuk  dibangunkan
   sebagai  ladang  FELDA. Peneroka  FELDA  akan  mendapat
   peluang  untuk  memegang  ekuiti  dalam  syarikat  yang
   disenaraikan, iaitu sebagai ahli dan individu.
   
   167.  Cadangan ini adalah selaras dengan  matlamat  DEB
   yang  bertujuan membolehkan Bumiputera memiliki  ekuiti
   sekurang-kurangnya  30 peratus dalam  sektor  korporat.
   Adalah   diharapkan   saham  ini  tidak   dijual   oleh
   Bumiputera.
   
   168.   Setelah  46  tahun  merdeka,  kita  perlu  sedar
   kesilapan kita ini dan berusaha membetulkannya. Sebagai
   langkah  ke  arah memperluaskan lagi peluang  pelaburan
   khususnya kepada Bumiputera melalui saham amanah,  Dana
   Saham  Amanah  Kedua iaitu Dana Harapan (HARAPAN)  akan
   ditubuhkan. Dana ini akan diuruskan oleh pengurus  dana
   profesional  serta berpengalaman dan akan  menggembleng
   tabungan dan modal Bumiputera.
   
   169.  Kerajaan juga mempunyai banyak aset yang bernilai
   tinggi  yang  masih  belum digunakan  sepenuhnya.  Bagi
   memaksimakan pulangan, Kerajaan akan mengambil  langkah
   untuk  unlock  aset ini supaya ia secara langsung  akan
   menambah kewangan Kerajaan, di samping memberi  peluang
   kepada  pihak  tertentu mengguna  aset-aset  ini  untuk
   menjana  pulangan  dan  menyumbang  kepada  pertumbuhan
   ekonomi.
   
   Memperkembangkan Sistem Kewangan Islam
   
   170.  Sejak  perbankan Islam diperkenalkan  pada  tahun
   1983,  ia telah membuka satu lembaran baru dalam sistem
   kewangan  negara. Kini, Malaysia merupakan satu-satunya
   negara  yang  mempunyai  sistem  kewangan  Islam   yang
   komprehensif. Bermula dengan hanya sebuah  Bank  Islam,
   kini  negara mempunyai dua Bank Islam dan 33 bank biasa
   yang    menawarkan   perkhidmatan   perbankan    Islam.
   Perkembangan sistem perbankan Islam telah juga  menjadi
   pemangkin  kepada  perkembangan pesat  sistem  kewangan
   Islam  yang  merangkumi perbankan, insuran dan  pasaran
   modal.  Aset  keseluruhan sistem perbankan Islam  telah
   meningkat  hampir  empat kali ganda  kepada  68  bilion
   ringgit  dalam tahun 2002 daripada 17.9 bilion  ringgit
   dalam 1997.
   
   171.  Industri insuran Islam atau takaful telah  muncul
   sebagai   satu  lagi  industri  kewangan   Islam   yang
   berkembang  pesat sejak mula diperkenalkan  pada  tahun
   1986, dengan jumlah asetnya meningkat daripada 200 juta
   ringgit  kepada  4  bilion  ringgit  pada  tahun   ini.
   Manakala Sekuriti Hutang Swasta (PDS) Islam telah  mula
   mendapat   sambutan  yang  menggalakkan  dengan   nilai
   terbitan  melebihi  34  bilion ringgit  semenjak  tahun
   2001.  Nilai aset bersih saham amanah Islam juga  telah
   meningkat  lebih  dua  kali  ganda  kepada  4.3  bilion
   ringgit.
   
   172.  Di  peringkat  antarabangsa,  Malaysia  merupakan
   negara  terulung di dunia yang menerbitkan  bon  global
   Islam  Sukuk Al-Ijarah berjumlah 600 juta dolar Amerika
   yang  mendapat  lebihan  langganan  sebanyak  dua  kali
   ganda.  Di  samping  itu, satu lagi  pencapaian  ketara
   ialah  penubuhan  Islamic Financial Services  Board  di
   Kuala Lumpur untuk mempastikan kestabilan dan kekukuhan
   industri kewangan Islam global. Dengan pencapaian  ini,
   Malaysia  kini menjadi model dalam perkembangan  sistem
   kewangan Islam, terutamanya di kalangan negara Islam di
   dunia.
   
   173.  Sebagai  langkah  untuk  meningkatkan  pembiayaan
   melalui    penerbitan    sekuriti    Islam,    Kerajaan
   mencadangkan  layanan  cukai  yang  lebih  komprehensif
   disediakan  sama  seperti  sekuriti  konvensional.   Di
   samping  itu, galakan potongan cukai diberikan juga  ke
   atas    perbelanjaan   menerbitkan    sekuriti    Islam
   menggunakan prinsip Istisna' untuk tempoh 5  tahun,  di
   mana aset-aset hartanah dalam pembinaan boleh dijadikan
   sandaran.
   
   174. Untuk menggalakkan syarikat dan institusi kewangan
   yang  mematuhi  prinsip Syariah  membuat  pelaburan  di
   Labuan,  Kerajaan  mencadangkan syarikat  luar  pesisir
   Labuan  diberi rebat cukai yang bersamaan dengan jumlah
   zakat yang telah dibayar, tertakluk kepada had maksimum
   20,000 ringgit atau 3 peratus dari keuntungan bersih.
   
   Strategi Keempat:
   Mengukuhkan Lagi Daya Saing Negara
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   175.  Langkah Kerajaan beserta dengan inisiatif  sektor
   swasta   yang  telah  dilaksanakan  untuk  meningkatkan
   efisiensi dan produktiviti, telah mengukuhkan lagi daya
   saing   negara.   Berasaskan   kepada   laporan   World
   Competitiveness  Year Book 2003, kedudukan  daya  saing
   kita  di  kalangan negara yang mempunyai  penduduk  dua
   puluh  juta  ke  atas,  telah meningkat  dengan  ketara
   kepada  tangga ke empat dari ke enam pada  tahun  2002,
   dan  ke  sepuluh pada tahun 2001. Kedudukan  ini  ialah
   selepas  Amerika  Syarikat, Australia dan  Kanada.  Ini
   mencerminkan   negara   mampu   bersaing   di   pasaran
   antarabangsa,  berkat hasil usaha Kerajaan  dan  sektor
   swasta sejak dua dekad yang lalu.
   
   176.   Penggunaan  IT  kini  telah  menjadi  sebahagian
   daripada  keperluan perniagaan, terutamanya  bagi  high
   speed  internet access untuk membolehkan negara menjadi
   lebih   kompetitif.  Di  samping  itu,  ramai   rakyat,
   terutamanya  generasi muda yang cenderong dan  berminat
   melayari  internet  bagi menimba ilmu  dan  mendapatkan
   maklumat semasa. Bagi mempastikan semua pihak mempunyai
   akses  internet pada kos yang rendah, Telekom  Malaysia
   akan  mengurangkan caj laluan internet. Di samping itu,
   pengurangan   ini   akan   menggalakkan   aktiviti   e-
   perdagangan  melalui akses yang lebih  luas  dan  murah
   dengan  penggunaan broadband internet. Telekom Malaysia
   akan  memberi diskaun 50 peratus bagi pakej  perusahaan
   dan  korporat, bermula dengan 30 peratus pada peringkat
   pertama  dan  20  peratus lagi  pada  peringkat  kedua.
   Manakala  bagi  pengguna  yang  lain,  pengurangan   30
   peratus  diberikan  kepada consumer broadband  internet
   charges.
   
   177. Untuk mempastikan perkhidmatan internet yang lebih
   luas dan efisien, JARING akan digabungkan dengan TMNet.
   Memandangkan  Cyberjaya  akan  dijadikan  sebagai   hub
   perkhidmatan   terpilih,  accessibility   dan   kualiti
   perkhidmatan  broadband akan dipertingkatkan  sementara
   kos perkhidmatan akan dikurangkan pada paras yang lebih
   kompetitif berbanding dengan negara-negara lain.
   
   178.  Untuk memperbaiki lagi daya saing negara,  sektor
   swasta perlu terus berusaha untuk mengurangkan lagi kos
   kendalian  perniagaan bagi membolehkan mereka  bersaing
   dengan   pengeluar  negara  lain  yang  mempunyai   kos
   pengeluaran   yang   lebih   rendah.   Kerajaan   telah
   menyediakan   pelbagai  insentif  untuk   tujuan   ini,
   terutamanya  dalam Pakej Strategi Baru.  Sebagai  usaha
   berterusan, Kerajaan bercadang:
   
   i.   memberi   potongan  cukai   sepenuhnya   ke   atas
   perbelanjaan keraian dalam mempromosi jualan, sementara
   potongan  cukai sebanyak 50 peratus diberikan  ke  atas
   perbelanjaan keraian yang lain;
   ii.  menghapuskan had tempoh pengecualian  duti  import
   dan cukai jualan ke atas alat ganti dan bahan gunahabis
   bagi  sektor  perkilangan dan sektor perkhidmatan  yang
   akan tamat tempohnya pada 31 Disember 2003;
   iii.  memperluaskan potongan cukai ke atas perbelanjaan
   companies   incorporation  yang  kini  dinikmati   oleh
   syarikat yang mempunyai modal dibenar sehingga 250 ribu
   ringgit kepada 2.5 juta ringgit;
   iv.  menghapus  atau mengurangkan duti import  ke  atas
   beberapa  barangan  terpilih seperti  bateri  komputer,
   barangan  plastik dan kayu, kepada di antara 0  dan  20
   peratus daripada di antara 5 dan 30 peratus; dan
   v.  menghapus  dan mengurangkan duti  eksport  ke  atas
   beberapa barangan pertanian dan komoditi seperti  ikan,
   buah-buahan  dan  beberapa galian tertentu,  kepada  di
   antara  0 dan 5 peratus daripada di antara 2.5  dan  10
   peratus.
   
   179.  Industri media massa menjadi sektor yang  semakin
   penting   dalam  usaha  mewujudkan  sebuah   masyarakat
   berpengetahuan. Dalam hubungan ini, Kerajaan memutuskan
   supaya  syarikat  penerbitan  dan  percetakan  tempatan
   diberi   pengecualian  duti  anti  lambakan   ke   atas
   newsprint  yang diimport bagi baki kuantiti yang  tidak
   dapat  dibekalkan oleh pengeluar tempatan. Pengecualian
   ini akan dapat menjadikan kos dalam industri penerbitan
   dan percetakan lebih kompetitif.
   
   Strategi Kelima:
   Memantapkan   Lagi   Agenda   Sosial   Dan   Masyarakat
   Penyayang
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   180.  Sejak  akhir-akhir ini, hampir setiap  hari  kita
   mendengar  dan membaca berita gempar gejala  sosial  di
   media massa seperti kumpulan militan, pembunuhan kejam,
   penculikan, kongsi gelap, kezaliman loan shark, sumbang
   mahram,  dadah  dan  penyakit HIV /  AIDS.  Yang  lebih
   membimbangkan  ialah gejala keruntuhan  moral  dan  kes
   jenayah  di  kalangan remaja, terutamanya  mereka  yang
   masih di bangku sekolah. Kita kini mendengar pembunuhan
   yang  dilakukan oleh kanak-kanak bawah umur,  anak-anak
   muda  yang  lari  dari rumah, peras ugut,  ponteng  dan
   gangterism di kalangan murid sekolah.
   
   181.   Kalau  dahulunya  kita  hanya  melihat  kejadian
   seperti  ini  berlaku  di luar negara  melalui  TV  dan
   akhbar, kini ianya berlaku di depan mata kita di negara
   kita sendiri. Inilah gejala negatif pengaruh televisyen
   dan internet yang tidak terkawal yang telah mencerobohi
   dan  merosakkan  pemikiran masyarakat  serta  mencemari
   nilai  murni  budaya  kita. Di samping  itu,  teknologi
   canggih  yang sepatutnya menjadi pemangkin  pembangunan
   telah  disalahgunakan, terutamanya oleh  pengeluar  VCD
   haram  untuk mengaut keuntungan bagi diri sendiri tanpa
   menghiraukan kesan buruk kepada masyarakat.
   
   182.   Kerajaan   berazam  untuk   meningkatkan   usaha
   membenteras   gejala   negatif  sosial   yang   semakin
   membimbangkan  di  kalangan masyarakat  kita,  terutama
   golongan  remaja.  Selaras  dengan  hasrat  ini,  Dasar
   Sosial   Negara  telah  dilancarkan  berasaskan  kepada
   pembangunan  sosial yang berteraskan  nilai  murni  dan
   peningkatan keupayaan insan bagi mencapai perpaduan dan
   kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan
   hidup   masyarakat  Malaysia  yang  maju  dan   mantap.
   Kerajaan   akan   mengambil   pendekatan   yang   lebih
   bersepadu,  strategik  dan  menyeluruh  bagi  menangani
   masalah  sosial  melalui  penubuhan  50  pusat  khidmat
   komuniti di kawasan berisiko tinggi di mana jenayah dan
   masalah  sosial  sering berlaku.  Kerajaan  dengan  ini
   menyeru   agar  NGO  dan  anggota  masyarakat  setempat
   menyumbang  bersama bagi mempastikan  Dasar  ini  dapat
   dilaksanakan dengan jayanya.
   
   Keluarga Berharmoni Masyarakat Berakhlak
   
   183.  Gejala  sosial yang kian membimbangkan  perlu  di
   bendung  dan  diatasi segera, terutamanya  di  kalangan
   golongan remaja yang bakal menjadi pemimpin pelapis  di
   masa  hadapan. Usaha untuk membentuk sebuah  masyarakat
   Malaysia yang berakhlak dan bermoral tinggi bukan hanya
   tanggungjawab Kerajaan. Keluarga, terutamanya ibu  bapa
   dan  masyarakat,  perlu  bersama  bertanggungjawab  dan
   memainkan peranan masing-masing membentuk golongan muda
   yang  baik tingkah laku, mengamalkan cara hidup  sihat,
   berdisiplin,   berilmu  pengetahuan  dan   kukuh   daya
   pemikiran  serta  menghayati ajaran agama.  Nilai-nilai
   ini  akan menjadi benteng paling teguh dalam menghadapi
   segala  masalah  sosial dan seterusnya akan  melahirkan
   sebuah masyarakat yang benar-benar berjaya dalam segala
   aspek kehidupan.
   
   Mengiktiraf Peranan Wanita
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   184.  Peranan wanita sebagai pembentuk keluarga bahagia
   dan  sumbangan  mereka  dalam pembangunan  ekonomi  dan
   sosial   negara  sentiasa  diiktiraf.  Kejayaan  wanita
   mengimbangi  dwi-peranan ini sudah  terbukti  dan  amat
   dikagumi.  Tanggungjawab  wanita  mewujudkan   keluarga
   berteraskan  baiti-jannati atau  rumah  ku  syurga  ku,
   bermula  sejak  lahirnya seorang bayi sehingga  dewasa.
   Ibu berperanan utama dalam membentuk dan menerap nilai-
   nilai  murni  dan  mulia  dalam jiwa  anak-anak  supaya
   mereka  membesar  menjadi  generasi  yang  berilmu  dan
   berjasa  kepada  keluarga, bangsa,  agama  dan  negara.
   Walaupun  masa  beralih, zaman  berubah,  namun  akhlak
   mulia dan jati diri yang telah terbina sejak kecil akan
   menjadi   benteng  penghalang  kepada  mereka  daripada
   terjerumus  ke  dalam gejala negatif  sosial.  Generasi
   inilah  yang bakal menyambung cita-cita dan  perjuangan
   memartabatkan   negara.   Ibubapa   perlulah    memberi
   perhatian  kepada pembentukan generasi  yang  berwibawa
   ini.
   
   185.  Malangnya,  ada  pihak yang  sanggup  merendahkan
   martabat  dan  maruah wanita. Ada suami  yang  tergamak
   menjatuhkan talak melalui SMS. Perkahwinan adalah  satu
   acara   yang   mulia  yang  melibatkan  semua   anggota
   keluarga,  terutama ibu bapa kedua-dua pengantin,  kadi
   dan  saksi,  dan  juga sahabat handai.  Walaupun  Islam
   membenar suami menceraikan isteri hanya dengan  berkata
   demikian  kepada  isteri,  tetapi  perceraian  bukanlah
   sesuatu  yang menjadi perkara ringan. Ia harus  difikir
   secara  mendalam  kerana kerap kali anak  akan  menjadi
   mangsa. Mengguna SMS tidak menunjuk penghargaan  kepada
   institusi  perkahwinan  dan  keluarga,  termasuk   anak
   sendiri.  Lagi  pun,  SMS tidak selamat.  Sesiapa  saja
   boleh   curi   mengguna  SMS  untuk  menghantar   mesej
   perceraian  tanpa diketahui oleh suami.  Gejala  sosial
   akibat semua ini tidak mencerminkan keperibadian  Islam
   yang sebenar.
   
   186.  Ada  juga  pihak yang ingin menghadkan  sumbangan
   wanita   dalam  pembangunan  dengan  hanya  membenarkan
   wanita  menjadi guru dan pegawai kebajikan  sahaja  dan
   melarang  wanita menjadi hakim, pentadbir Kerajaan  dan
   menyertai  pasukan keselamatan. Bagi  Kerajaan  Barisan
   Nasional, wanita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah
   dengan kaum lelaki dalam arus pembangunan negara. Kadar
   penyertaan  wanita  dalam  tenaga  kerja  negara   kian
   meningkat  dan kini melebihi 45 peratus. Dalam  sejarah
   Islam,   wanita  berjuang  di  samping  Nabi   Muhammad
   Sallallahu alayhi wa Sallam dalam peperangan,  manakala
   di   bidang   perniagaan,  Saidatina   Khadijah   telah
   merentasi  sempadan dalam menerokai pasaran.  Ingatlah,
   syurga  di  bawah  tapak kaki ibu. Setiap  lelaki  yang
   berjaya,   ada  isteri  yang  membantu.   Tangan   yang
   menghayun buaian, mampu menggoncang dunia.
   
   187.  Jika diambil kira pula kurangnya penuntut  lelaki
   di  institusi  pendidikan  tinggi,  menghadkan  peranan
   wanita   bermakna   menjadikan   tenaga   orang   Islam
   berkurangan lebih dari separuh. Dengan itu, orang Islam
   di  Malaysia  akan bergantung kepada orang  lain  untuk
   segala-galanya. Janganlah kecewa apabila  ini  berlaku.
   Janganlah kerana lelaki lemah membendung nafsu,  wanita
   disalahkan.  Islam  tidak meletak beban  kawalan  nafsu
   semata-mata kepada wanita.
   
   188.  Bagi  meneruskan program pembangunan  wanita  dan
   institusi kekeluargaan, peruntukan sebanyak 128.6  juta
   ringgit  disediakan.  Program yang  akan  dilaksanakan,
   termasuk  latihan, bimbingan, kaunseling dan pendedahan
   untuk  memberi  keyakinan dan dorongan  kepada  wanita,
   khususnya  ibu  tunggal, warga  tua  dan  orang  kurang
   upaya.
   
   189.  Untuk  membantu ibu tunggal di desa  meningkatkan
   pendapatan  dari perusahaan mereka, sebanyak  100  juta
   ringgit  dari  Skim Kredit Desa akan  dikhususkan  bagi
   pinjaman   kepada  mereka  yang  mempunyai   perusahaan
   sendiri.  Ibu  tunggal yang berpendapatan  rendah  juga
   akan  diberi  keutamaan  dalam  memperolehi  rumah  kos
   rendah  dan  sederhana rendah dari SPNB  dengan  diberi
   diskaun harga sebanyak 20 peratus.
   
   190. Kerajaan telah banyak memberi galakan cukai kepada
   majikan  untuk  menubuh pusat penjagaan kanak-kanak  di
   tempat   kerja.  Walau  bagaimanapun,  respon  daripada
   majikan   swasta  masih  tidak  menggalakkan.  Kerajaan
   mungkin  akan  menjadikan penubuhan pusat  ini  sebagai
   syarat dalam development order oleh Majlis Tempatan.
   
   191. Kerajaan sedar kos membesar dan mendidik anak-anak
   kian  meningkat.  Untuk  membantu  ibubapa  meringankan
   beban   perbelanjaan   ke  atas   anak-anak,   Kerajaan
   mencadangkan  pelepasan cukai anak dinaikkan  dari  800
   ringgit kepada 1,000 ringgit seorang.
   
   Generasi Belia Warisan Bangsa
   Cemerlang Sukan Harum Negara
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   192.  Belia yang merupakan generasi pewaris  yang  akan
   menyambung   perjuangan  membangunkan   negara,   perlu
   dilengkapkan  dengan semangat jati  diri  yang  unggul.
   Untuk  ini,  Kerajaan  akan mula  melaksanakan  Program
   Khidmat Negara yang melibatkan seramai 100 ribu  belia.
   Kandungan  program ini dirangka bagi  meliputi  latihan
   asas ketenteraan, pendidikan sivik, pembentukan sahsiah
   dan  perkhidmatan  sosial dengan tujuan  untuk  memupuk
   semangat  kerjasama, perpaduan, integrasi nasional  dan
   tingkahlaku  sihat.  Bagi  melaksanakan  program   ini,
   peruntukan sebanyak 300 juta ringgit disediakan.
   
   193.  Kerajaan berbangga di atas kejayaan demi kejayaan
   yang  telah dicapai oleh para atlet sukan negara  dalam
   mengharumkan  nama  Malaysia  di  pentas  antarabangsa.
   Terkini,   perenang  maraton  negara  merupakan   warga
   pertama Asia Tenggara berjaya merenangi Selat Inggeris.
   Dengan  ketahanan  fizikal dan  kekuatan  mental  serta
   kecekalan semangat, ombak besar setinggi 3 meter  dapat
   diharungi, air laut sesejuk air batu berjaya  ditahani.
   Pemain badminton kita juga telah berjaya menjadi  juara
   dan  naib  juara  di  kejohanan All England  dan  World
   Badminton  Championship. Jadikan ini sebagai perangsang
   bagi  kita  merebut kembali kecemerlangan dalam  bidang
   sukan.   Pencapaian  mereka  ini  bukan  sahaja   telah
   menambahkan  lagi  rekod kejayaan wira  negara,  bahkan
   membuktikan   bahawa  dengan  disiplin,  dedikasi   dan
   semangat  waja, rakyat Malaysia boleh mencapai kejayaan
   dalam apa jua bidang sekalipun. Kejayaan ini semestinya
   menyemarakkan  semangat dan mengukuhkan  lagi  keazaman
   untuk terus mencipta kejayaan.
   
   194.  Kerajaan amat berterima kasih kepada semua pihak,
   termasuk kerajaan negeri, sektor korporat dan NGOs yang
   telah   memberi  pelbagai  hadiah  kepada  juara  sukan
   negara. Saya berharap, mereka tidak terlalu terpengaruh
   dengan   habuan   ini,  tetapi  terus  berusaha   untuk
   meningkatkan  lagi pencapaian mereka.  Walau  apa  pun,
   bagi  menghargai  mereka yang mengharumkan  negara  dan
   membolehkan  rakyat Malaysia 'to walk  tall',  Kerajaan
   akan  menyediakan  biasiswa  untuk  mereka  melanjutkan
   pelajaran  di  dalam atau luar negeri bagi  membolehkan
   mereka  menjadi coach atau pengurus dalam  bidang  yang
   mereka minati.
   
   195.  Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Minda
   cergas  di  badan  yang  sihat. Untuk  itu,  peruntukan
   sebanyak   657.9   juta   ringgit   disediakan   kepada
   Kementerian  Belia  dan  Sukan bagi  tahun  2004.  Kita
   sedang  membuat  persiapan rapi untuk  melatih  peserta
   negara  yang  akan  menyertai Sukan Olimpik  ke  28  di
   Athens,  Greece. Negara juga akan sekali  lagi  menjadi
   tuan rumah bagi Sukan Lasak untuk tahun ketiga.
   
   196.  Bagi meningkatkan lagi kegiatan riadah dikalangan
   orang ramai, terutamanya belia, Kerajaan akan memulakan
   satu program untuk menyediakan kemudahan riadah sebagai
   satu  keperluan  wajib dalam semua  projek  pembangunan
   perumahan  baru. Di samping itu, semua  pihak  berkuasa
   tempatan  dikehendaki  menyediakan  kemudahan   seperti
   taman-taman,  padang  permainan  dan  kawasan  rekreasi
   untuk  akiviti  seperti jogging.  Dalam  hubungan  ini,
   Kerajaan akan menyediakan peruntukan permulaan sebanyak
   50 juta ringgit.
   
   Mengutamakan Golongan Kurang Upaya
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   197.   Kerajaan  sentiasa  prihatin  terhadap  golongan
   kurang  upaya dan mempastikan mereka juga dapat bersama
   menikmati   dan  menyertai  arus  pembangunan   negara.
   Beberapa  skim  bantuan kewangan telah  pun  disediakan
   kepada  golongan  ini, termasuk bantuan  kewangan  pada
   kadar  antara  80  ringgit hingga 350 ringgit  sebulan.
   Sehingga pertengahan tahun 2003, seramai 122,543  orang
   kurang  upaya  telah  berdaftar  dan  menerima  bantuan
   sebanyak 88.5 juta ringgit.
   
   198. Bagi menggalakkan orang kurang upaya terus bekerja
   untuk  menyara diri dan keluarga, Elaun Pekerja  Kurang
   Upaya  diberikan  sebanyak  200  ringgit  sebulan  jika
   pendapatan  bulanan mereka tidak melebihi 500  ringgit.
   Pemberian    ini   bertujuan   untuk   menampung    kos
   pengangkutan    ke   tempat   kerja    dan    lain-lain
   perbelanjaan.  Untuk  membolehkan  lebih  ramai   orang
   kurang upaya yang bekerja menikmati bantuan elaun  ini,
   Kerajaan  mencadangkan had kelayakan siling  pendapatan
   ditingkatkan dari 500 ringgit ke 750 ringgit sebulan.
   
   199.  Sebagai  langkah untuk mempastikan  orang  kurang
   upaya  turut  berpeluang mendapat  pekerjaan,  Kerajaan
   telah  memperuntukkan  satu  peratus  daripada  jawatan
   perkhidmatan  awam,  khusus  untuk  golongan  ini.   Di
   samping   ini,  satu  unit  khas  akan  ditubuhkan   di
   Kementerian Sumber Manusia untuk membantu golongan  ini
   mendapatkan pekerjaan.
   
   200. Kerajaan bersimpati dengan tanggungjawab berat ibu
   bapa  kepada  kanak-kanak kurang  upaya  dan  kos  yang
   tinggi  untuk  menghantar anak-anak mereka  ke  sekolah
   khas.  Untuk membantu ibu bapa dan membela nasib  anak-
   anak tersebut, Kerajaan bercadang memberi elaun bulanan
   sebanyak  25  ringgit  seorang, kepada  pelajar  kurang
   upaya  di sekolah rendah dan menengah bagi menggalakkan
   anak-anak  kurang  upaya untuk mendapatkan  ilmu.  Bagi
   pelajar   kurang   upaya   pendengaran   di   institusi
   pendidikan tinggi pula, pada masa ini mereka  diberikan
   elaun  bulanan  sebanyak 300 ringgit seorang.  Kerajaan
   bercadang  supaya elaun ini juga dinikmati  oleh  semua
   pelajar kurang upaya di institusi pendidikan tinggi.
   
   201.   Bagi   semua  anggota  perkhidmatan  awam   yang
   mempunyai   anak-anak  kurang  upaya,   Kerajaan   akan
   membenarkan mereka bekerja mengikut flexi-hours  supaya
   dapat memudahkan urusan kebajikan anak mereka. Kerajaan
   ingin  mencadangkan agar sektor swasta  juga  menyambut
   dan mencontohi langkah murni ini.
   
   202.  Dalam  Bajet  2003,  Kerajaan  telah  mengumumkan
   penyediaan   dana  sebanyak  100  juta   ringgit   bagi
   membiayai  rawatan  pesakit  yang  menghidapi  penyakit
   kronik.  Kini, dicadangkan satu dana khas  sebanyak  10
   juta  ringgit  khusus  bagi  orang  kurang  upaya  yang
   menghadapi penyakit kronik.
   
   203.   Peluang   pekerjaan  bagi  orang  kurang   upaya
   penglihatan   seperti   jurutaip,   jurutrengkas    dan
   telefonis kian berkurangan. Oleh yang demikian,  mereka
   perlu  diberi kemahiran dalam bidang baru, seperti  IT,
   fisioterapi  dan  lain-lain.  Sehubungan  dengan   ini,
   Persatuan   Orang  Buta  digalakkan  membuka  rangkaian
   Franchise  Shops bertujuan untuk memberi lebih  peluang
   pekerjaan  kepada  mereka  dalam  bidang  keusahawanan.
   Mereka  boleh  mendapatkan  pembiayaan  di  bawah  Skim
   Kredit  Mikro  Kerajaan  dan akan  diberi  lokasi  yang
   sesuai   bagi  menubuhkan  rangkaian  Franchise   Shops
   tersebut.  Di samping itu, Kerajaan juga akan membiayai
   sepenuhnya pembelian white cane dan mesin braille  bagi
   mereka yang kurang upaya penglihatan.
   
   204.  Kerajaan  juga bertekad untuk  mempastikan  orang
   kurang  upaya  dapat memiliki rumah yang selesa  dengan
   kos  yang  berpatutan. Bagi tujuan  ini,  orang  kurang
   upaya  yang berpendapatan rendah diberi keutamaan dalam
   memperolehi rumah kos rendah dan sederhana rendah  dari
   SPNB dengan diberi diskaun harga sebanyak 20 peratus.
   
   205.   Bagi   membantu  mengurangkan  kos  pengangkutan
   golongan  kurang upaya, Syarikat Prasarana Negara  akan
   memberikan   diskaun  50  peratus   ke   atas   tambang
   perjalanan.  Syarikat  pengangkutan  swasta  digalakkan
   untuk    memberi   kemudahan   yang   sama.    Kerajaan
   mencadangkan  juga  cukai jalan  dikecualikan  ke  atas
   kereta,   van  dan  motorsikal  buatan  tempatan   yang
   dimiliki oleh orang kurang upaya.
   
   206.  Untuk mempastikan golongan ini menikmati  manfaat
   daripada  penggunaan ICT, satu Pusat Sumber Rintis  ICT
   akan  ditubuhkan  di Sungai Buloh, bagi  melatih  orang
   kurang  upaya  penglihatan dan pendengaran  memperolehi
   kemahiran ICT. Kerajaan akan menyediakan kemudahan  ICT
   Enabler  bagi memudahkan orang kurang upaya menggunakan
   ICT  sebagai  alat  perhubungan  terutamanya  di  zebra
   crossing dan semasa kecemasan seperti di lebuh raya. Di
   semua  bangunan  Kerajaan juga akan  disediakan  dengan
   kemudahan  yang  bersesuaian  untuk  memudahkan  mereka
   berurusan  dengan jabatan Kerajaan, termasuk  kemudahan
   dalam  lif.  Kerajaan berharap pihak swasta  mencontohi
   Kerajaan   memberi   kemudahan  ini   kepada   golongan
   tersebut.
   
   Menampung Keperluan Perumahan Kos Rendah dan Sederhana
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   207.  Kerajaan prihatin terhadap keperluan  menyediakan
   kemudahan  perumahan, terutamanya kepada golongan  yang
   berpendapatan  rendah dan sederhana. Berasaskan  kepada
   profil  penduduk negara, terutama mereka dalam golongan
   umur  20  hingga  24  tahun, permintaan  perumahan  kos
   rendah  dan  sederhana dianggar meningkat sebanyak  500
   ribu  unit  untuk  tempoh 5 tahun  akan  datang.  Untuk
   mempastikan  golongan  ini  mendapat  peluang  memiliki
   rumah, Kerajaan akan mengambil alih pembinaan perumahan
   kos rendah dan sederhana, terutamanya melalui SPNB.
   
   208.  Bagi  meringankan beban syarikat pemaju perumahan
   swasta,  mereka  akan  diberi pilihan  sama  ada  untuk
   melaksanakan   sendiri  pembinaan  rumah   kos   rendah
   sebanyak 30 peratus atau menyerahkan kepada SPNB  untuk
   melaksanakan  pembinaan rumah tersebut.  Namun,  mereka
   akan dikehendaki membayar caruman sebagai timbal balas.
   Pencarum KWSP yang membeli rumah kos rendah yang dibina
   oleh  SPNB,  akan juga diberi kemudahan  end  financing
   melalui  MBSB.  Oleh  kerana penyediaan  perumahan  kos
   rendah   dianggap  sebagai  satu  tanggungjawab  sosial
   Kerajaan,  maka  Kerajaan  Negeri  akan  diminta  untuk
   mengecualikan premium tanah untuk pembinaan  rumah  kos
   rendah  ini.  Semua syarikat utiliti  yang  membekalkan
   kemudahan  perkhidmatan  seperti  elektrik,   air   dan
   telefon   diminta  untuk  hanya  mengenakan  kos   asas
   sahaja.
   
   209.  Satu  projek contoh berasaskan konsep  baru  akan
   dilaksanakan  sebagai  satu show  case  di  atas  tanah
   seluas  1,000  ekar  milik Institut Penyelidikan  Getah
   Malaysia (RRIM) di Lembah Klang untuk membina  10  ribu
   unit   rumah   mampu  milik.  Projek  ini   juga   akan
   dilengkapkan dengan kemudahan pengangkutan awam,  pusat
   ibadah, kemudahan komersial, pusat membeli-belah, kedai
   runcit,  kemudahan  riadah termasuk  taman  dan  padang
   permainan,  dewan  orang ramai dan lain-lain  kemudahan
   yang bersesuaian.
   
   210.  Bagi  tahun  2004, Kerajaan menyediakan  sejumlah
   558.8 juta ringgit untuk pelbagai projek perumahan awam
   kos rendah. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 484 juta
   ringgit   adalah  untuk  membiayai  pembinaan  sebanyak
   62,672 unit rumah kos rendah di bawah Program Perumahan
   Rakyat   untuk  disewa  kepada  setinggan  di   Wilayah
   Persekutuan  Kuala  Lumpur dan  bandar  utama.  Bakinya
   sebanyak   74.5   juta  ringgit  diperuntukkan   secara
   pinjaman   kepada   Kerajaan  Negeri  bagi   meneruskan
   pembinaan sebanyak 28,541 unit rumah kos rendah.
   
   211.  Bagi  perumahan anggota tentera,  sebanyak  418.1
   juta ringgit disediakan bagi meneruskan pembinaan 2,500
   unit rumah, sementara 251 juta ringgit disediakan untuk
   menyiapkan  44  projek perumahan  bagi  anggota  polis.
   Sebanyak 38 juta ringgit pula disediakan bagi pembinaan
   kuarters gunasama di sekitar KLIA dan Kuala Lumpur.
   
   212.    Bagi   mengatasi   masalah   projek   perumahan
   terbengkalai,  Kerajaan  akan mengambil  langkah  untuk
   memudah  dan mempercepatkan pemulihan projek  tersebut.
   Pada  masa  ini,  terdapat 204 projek  terbengkalai  di
   seluruh  negara  yang melibatkan hampir  66  ribu  unit
   bernilai  5.6  bilion  ringgit.  Pemulihan  lebih  dari
   setengah projek ini yang melibatkan 36 ribu unit  rumah
   bernilai 3.4 bilion ringgit sedang diuruskan oleh SPNB.
   Untuk  mengatasi kelewatan yang disebabkan oleh masalah
   dengan  pemiutang,  pemaju  dan  bank,  Danaharta  akan
   menguruskan   hutang   ini  dengan  institusi-institusi
   kewangan  yang  berkenaan  dan  seterusnya  SPNB   akan
   bertanggungjawab  menyiapkan  projek  tersebut.  Selain
   daripada  itu,  SPNB akan mengambil alih  dan  mengurus
   projek perumahan di bawah Tabung Pusingan Perumahan Kos
   Rendah (TPPKR) yang kini di bawah TPPT Sdn. Bhd.
   
   213.   Amanah  Pelaburan  Hartanah  atau  Real   Estate
   Investment   Trust  dan  Amanah  Saham  Hartanah   atau
   Property   Trust  Fund  ditubuhkan  untuk   membolehkan
   pelabur kecil melabur dalam sektor hartanah. Pengurusan
   dana-dana  ini  dikendalikan oleh pengurus  profesional
   untuk  menghasilkan  pulangan yang  lebih  baik.  Untuk
   menggalakkan   perkembangan  dana-dana  ini,   Kerajaan
   bercadang untuk:
   
   i.  mengecualikan Cukai Keuntungan Harta Tanah ke  atas
   keuntungan  dari pelupusan hartanah oleh individu  atau
   syarikat kepada dana-dana; dan
   ii.   mengecualikan  duti  setem  ke  atas  surat  cara
   pindahmilik  hartanah daripada individu  atau  syarikat
   kepada dana-dana.
   
   Persekitaran Bersih Rakyat Sihat
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   214.  Persekitaran  yang bersih  sangat  penting  dalam
   usaha  mencegah wabak penyakit berjangkit seperti  SARS
   yang  telah melanda negara baru-baru ini. Kerajaan amat
   serius  dalam  menangani  wabak  penyakit  yang   boleh
   membawa   maut  ini.  Satu  langkah  untuk  mempastikan
   kebersihan persekitaran ialah dengan mengadakan  sistem
   pelupusan  sampah  yang  bersesuaian,  terutamanya   di
   kawasan   bandar.   Untuk   ini,   Kerajaan   bercadang
   mendirikan  loji  pembakaran sampah yang  termoden  dan
   selamat. Loji ini akan melibatkan perbelanjaan sebanyak
   1.5 bilion ringgit dan ianya lebih baik dari kebanyakan
   loji  pembakaran sampah di negara maju,  di  mana  loji
   bakar  sampah  didirikan  di  kawasan  perumahan   atau
   industri tanpa protes dari penduduk.
   
   215.  Untuk  mempastikan  alam  sekitar  terus  bersih,
   peruntukan  sebanyak 1.9 bilion ringgit  disediakan  di
   bawah  beberapa  kementerian dan  agensi.  Dari  jumlah
   tersebut  sebanyak  680  juta ringgit  disediakan  bagi
   program  tebatan  banjir, terutamanya  untuk  mengatasi
   masalah  banjir kilat yang sering melanda  bandar  raya
   Kuala Lumpur. Di samping itu, sejumlah 462 juta ringgit
   disediakan untuk pengurusan sisa pepejal dan  422  juta
   ringgit untuk projek pembentungan.
   
   Badan Bukan Kerajaan (NGO)
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   216.    Kerajaan   menghargai   sumbangan   NGO   dalam
   melaksanakan kegiatan kebajikan serta menyanjung tinggi
   semangat   kesukarelawan   mereka   sehingga    sanggup
   mempertaruhkan keselamatan diri demi melaksanakan  misi
   mereka. Kita telah menyaksikan ketabahan dan keberanian
   MERCY  semasa  misi  damai mereka menyampaikan  bantuan
   kepada  mangsa  perang  di  Afghanistan  dan  Iraq.  Di
   samping  itu,  terdapat juga beberapa  NGO  yang  telah
   bersama  Kerajaan  membanteras masalah  sosial  seperti
   penagihan  dadah, HIV / AIDS serta membela mereka  yang
   kurang  bernasib baik seperti golongan tua dan terbiar,
   orang  kurang  upaya dan mereka yang  ditimpa  penyakit
   kronik.
   
   217.    NGO   seharusnya   mengeratkan   lagi   jalinan
   persefahaman melalui perkongsian bijak dengan  Kerajaan
   ke   arah  membina  sebuah  masyarakat  Malaysia   yang
   bertanggungjawab dan penyayang. Untuk ini, mereka perlu
   mewujudkan satu piawaian bagi menilai prestasi  mereka,
   terutamanya   dari   aspek   keberkesanan   kepimpinan,
   kegiatan   dan  juga  pengurusan  kewangan.  Ini   akan
   membolehkan  mereka  memainkan  peranan  sebagai  badan
   sukarela    secara   lebih   beretika,   efisien    dan
   berakauntabiliti.
   
   218.  Kerajaan akan terus memberi bantuan dan sumbangan
   kepada  NGO untuk menjalankan aktiviti mereka. Sebanyak
   96.4  juta ringgit disediakan, termasuk 6 juta  ringgit
   untuk   pencegahan   AIDS,  20   juta   ringgit   untuk
   pembangunan wanita dan keluarga, 20.8 juta ringgit bagi
   program  kesihatan dan 26.6 juta ringgit bagi  aktiviti
   membantu golongan kurang upaya.
   
   Menyemarakkan Kegiatan Seni Dan Budaya
   
   219.  Seni  dan  budaya menggambarkan  identiti  sebuah
   masyarakat.  Dalam  hubungan ini, hasil  seni  tempatan
   harus  dipupuk untuk terus mekar dan segar bagi menarik
   minat  pencinta seni. Kekurangan hasil karya  seni  dan
   budaya  tempatan  yang berkualiti  telah  mengakibatkan
   pengusaha  seni  membawa masuk  persembahan  dari  luar
   negara.  Kerajaan  telah banyak  menyediakan  kemudahan
   seperti  Istana  Budaya, Dewan  Philharmonik  di  KLCC,
   Auditorium  DBKL dan beberapa dewan teater experimental
   serta  pusat  latihan  Akademi Seni  Kebangsaan.  Untuk
   meningkatkan  lagi kecemerlangan dan  pendidikan  seni,
   Kerajaan   telah  memperuntukkan  sebanyak  80.3   juta
   ringgit,  khusus untuk kegiatan dan latihan seni  serta
   budaya.
   
   220.  Kerajaan  juga  telah banyak memberikan  insentif
   cukai   untuk  menggalakkan  aktiviti  kebudayaan   dan
   kesenian,  termasuk pengecualian duti hiburan  ke  atas
   pementasan  teater, cukai pendapatan ke atas  penggubah
   muzik   dan   sumbangan  sektor  swasta  untuk   menaja
   persembahan kebudayaan dan kesenian. Untuk menggalakkan
   lebih   banyak  persembahan  diusahakan  oleh  karyawan
   tempatan, Kerajaan mencadangkan sumbangan sektor swasta
   yang  kini  diberi  potongan cukai  sehingga  200  ribu
   ringgit  ditingkatkan kepada 300 ribu  ringgit,  khusus
   untuk persembahan oleh insan seni tempatan.
   
   221.   Untuk  menggalakkan  banyak  pengeluaran   filem
   tempatan yang bermutu, pengusaha dibenarkan mendapatkan
   pinjaman  dan  modal teroka daripada MTDC.  Dengan  ini
   juga,  Kerajaan  berharap filem-filem  ini  akan  dapat
   menggantikan filem import yang ditayangkan  di  pawagam
   dan saluran TV tempatan.
   
   Menghargai Kecemerlangan Perkhidmatan Awam
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   222. Seringkali delivery system sektor awam menjadi isu
   yang  dibangkitkan  dalam dialog bajet  tahunan.  Dalam
   hubungan   ini,   Kerajaan  sentiasa   berusaha   untuk
   memperbaiki sistem penyampaian bagi menjamin kelancaran
   dan   keberkesanan  pelaksanaan  dasar   dan   strategi
   pembangunan    negara.   Proses   memberi    kelulusan,
   pengeluaran permit dan lesen serta pengeluaran CFO akan
   diperkemas dan dipercepatkan. Kerajaan akan menggunakan
   ICT dalam usaha ini dengan mewujudkan e-Government.  Di
   bawah   Kementerian   Kewangan  sendiri,   perkhidmatan
   seperti   e-perolehan,  e-SPKB  dan  e-stamping   telah
   dilaksanakan. Di samping itu, proses pengeluaran  paten
   dan hak cipta akan disegerakan dengan menambah bilangan
   kakitangan yang berkemahiran tinggi.
   
   223.  Kerajaan sangat menghargai sokongan dan  komitmen
   anggota perkhidmatan awam di atas usaha dan jasa mereka
   dalam   mempastikan  semua  dasar  dan  strategi  serta
   program   pembangunan   dilaksanakan   dengan   lancar,
   berkesan  dan  jayanya. Bagi pasukan keselamatan  pula,
   termasuk  Angkatan  Tentera dan  Polis,  Kerajaan  amat
   berbangga dengan sumbangan dan pengorbanan mereka dalam
   menjamin  keselamatan  negara  dan  ketenteraman  awam.
   Sebagai penghargaan kepada mereka yang telah berkhidmat
   untuk   mempertahankan  negara,  Kerajaan  memanjangkan
   kemudahan   rawatan  perubatan  percuma  kepada   bekas
   anggota  Sarawak Rangers dan isteri serta isteri  bekas
   anggota Force 136 dan British Army. Kerajaan juga  akan
   memanjangkan kepada mereka kemudahan kadar caj wad yang
   dinikmati oleh keluarga bekas anggota simpanan Angkatan
   Tentera Malaysia.
   
   224.   Kerajaan  juga  amat  prihatin  kepada   anggota
   perkhidmatan  awam  yang tidak dapat  menikmati  pencen
   sekiranya mereka meninggal dunia sebelum bersara  tanpa
   pewaris.  Untuk  mempastikan  mereka  mendapat   faedah
   sebagai  kakitangan berpencen sama seperti  yang  lain,
   Kerajaan  akan  memanjangkan  faedah  pencen  terbitan,
   selain daripada gratuiti kepada ibu atau bapa mereka.
   
   225.   Kerajaan   yakin   anggota   perkhidmatan   awam
   keseluruhannya  akan  terus memberi  perkhidmatan  yang
   cemerlang  dan  komited sepenuhnya terhadap  tugas  dan
   tanggungjawab    mereka.   Sebagai    imbuhan    kepada
   peningkatan  produktiviti dan  menghargai  jasa  mereka
   serta  mengambil kira kedudukan ekonomi yang  bertambah
   baik,  Kerajaan bersetuju untuk membayar bonus setengah
   bulan  lagi,  menjadikan bayaran bonus pada  tahun  ini
   satu bulan gaji.
   
   Mengamalkan Syiar Islam
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   226.  Di  zaman ini, ada yang mengaitkan  Islam  dengan
   kemunduran   dan  kemiskinan.  Semenjak  peristiwa   11
   September,   Islam  dikaitkan  pula  dengan  keganasan.
   Hakikat  yang  sebenar, Islam sangat menyanjung  tinggi
   serta  memandang  mulia umatnya  yang  rajin  berusaha,
   menguasai  kemahiran  dan memperolehi  kecekapan  untuk
   mencapai  kemajuan dan kekayaan dalam batasan  syariah.
   Sesungguhnya,   Islam  menekankan   pembinaan   tamadun
   kehidupan  yang  hebat atau Islam  hadari.  Islam  juga
   menganjurkan  keamanan, kestabilan  dan  kesejahteraan,
   malahan  menentang keganasan, kekerasan dan  kezaliman.
   Masyarakat   antarabangsa  seharusnya   mencari   punca
   sebenar keganasan dan bukan hanya menuding jari  kepada
   umat Islam dan melabelkan mereka sebagai pengganas.
   
   227.  Islam  sebagai  ad-din merangkumi  kesemua  aspek
   kehidupan. Sekiranya kita berpegang teguh kepada ajaran
   asas  Islam  seperti yang terdapat dalam  Al-Quran  dan
   Hadith  yang sahih, dan tidak taksub kepada ulama-ulama
   tertentu  dengan  tafsiran  dan  ajaran-ajaran  mereka,
   tidak  ada  sebab kenapa umat Islam menjadi  lemah  dan
   dihina  serta  ditindas oleh orang lain.  Firman  Allah
   dalam  surah  Ar Ra'd, ayat 11 bermaksud: 'Allah  tidak
   akan  mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan  kaum  itu
   mengubah  nasibnya  sendiri.'  Mengubah  nasib  sendiri
   memerlukan  usaha yang gigih, penguasaan ilmu-ilmu  dan
   kecekapan  tertentu. Oleh kerana itu, kita di  Malaysia
   tidak  sahaja  berdoa kepada Allah Subhanahu  wa  Taala
   tetapi   kita  kejar  ilmu  dan  kecekapan   dan   kita
   laksanakan  rancangan pembangunan dan  pertahanan  kita
   sehingga  kita lebih selamat. Sebab itu, ramai pemimpin
   dan  ulama  Islam,  termasuk Sheikh Al  Azhar  mendakwa
   secara  terbuka  bahawa Malaysia adalah  sebuah  negara
   Islam  yang  patut  dicontohi oleh negara-negara  Islam
   yang lain.
   
   228.  Pendapat  bahawa  negara Islam  mestilah  miskin,
   tertinggal zaman, mempunyai pentadbiran yang hanya tahu
   meminta-minta dan lemah seperti yang terdapat di negeri-
   negeri  yang  diperintah oleh  yang  bukan  ahli  dalam
   bidang pentadbiran, sesungguhnya menghina Islam.  Tidak
   mungkin negeri-negeri ini dijadikan contoh negara Islam
   yang  mampu  mengembalikan kegemilangan  tamadun  Islam
   zaman silam.
   
   229.  Kerajaan akan terus menekankan kepada usaha untuk
   menerap  asas-asas  ajaran  Islam  yang  sebenar   bagi
   mempastikan rakyat disemai dengan nilai mulia dan tidak
   terkeliru  dengan ajaran salah oleh yang berkepentingan
   politik  duniawi.  Untuk tujuan itu,  Jabatan  Kemajuan
   Islam  Malaysia (Jakim) akan melaksanakan lebih  banyak
   program   penerangan  dan  penghayatan  ajaran   Islam.
   Sebanyak  228  juta  ringgit  akan  diperuntukkan  bagi
   program  tersebut. Kerajaan juga menyediakan peruntukan
   sebanyak  105 juta ringgit bagi melaksanakan  pembinaan
   kompleks   latihan,   sekolah   agama,   masjid   serta
   pembangunan sistem maklumat Islam.
   
   230.   Sebagai  sebuah  negara  Islam,  Kerajaan   amat
   prihatin   ke  atas  kos  menunaikan  haji  yang   kian
   meningkat.  Oleh itu, Kerajaan merasa terpanggil  untuk
   mempastikan  kos mengerjakan haji dapat  dikawal.  Jika
   tidak,  kita  bimbang di masa akan datang ramai  rakyat
   Malaysia,  di  luar bandar dan bandar,  akan  terkeluar
   daripada golongan yang mampu untuk menunaikan haji.
   
   231.  Sebahagian besar kos menunaikan haji  ialah  bagi
   menampung  kos  pengangkutan udara  dan  penginapan  di
   Mekah  dan  Madinah.  Oleh  itu,  Syarikat  Penerbangan
   Malaysia  Berhad  (PMB)  akan membeli  dua  buah  kapal
   terbang untuk mengurangkan kos sewaan yang tinggi  oleh
   Tabung  Haji. Di samping itu, Tabung Haji akan menambah
   pembinaan  dan pembelian tempat tinggal  di  Mekah  dan
   Madinah   supaya  kos  tempat  tinggal  dapat  dikawal.
   Sukacita  Kerajaan  mengumumkan bahawa  kos  menunaikan
   haji  secara  muasasah  untuk  tahun  2004  dikurangkan
   sebanyak 5 peratus.
   
   PROSPEK EKONOMI 2004
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   232.  Persekitaran ekonomi luar dijangka bertambah baik
   bagi tahun 2004, terutamanya bagi beberapa negara maju.
   Ini berikutan dari dasar fiskal mengembang, regim kadar
   faedah  yang rendah, kesan kekayaan dari pasaran  saham
   yang  lebih  cergas,  di samping harga  petroleum  yang
   lebih  rendah. Keyakinan pengguna terus kukuh sementara
   pelaburan swasta juga telah mula pulih.
   
   233. Prospek ekonomi bagi negara di rantau ini dijangka
   lebih  mantap  berikutan berakhirnya wabak  SARS  serta
   peningkatan penggunaan swasta dan perdagangan serantau.
   China  dijangka  terus mencatat pertumbuhan  tertinggi,
   manakala  Korea, Taiwan dan Hong Kong akan  mencatatkan
   pengukuhan dalam pertumbuhan KDNK.
   
   234.  Prestasi ekonomi negara pada tahun 2004  dijangka
   terus  berkembang  kukuh  didorong,  terutamanya   oleh
   kegiatan  ekonomi  domestik  yang  rancak,  di  samping
   ekonomi  luar  negara yang mula menunjukkan  pemulihan.
   Selaras  dengan  perkembangan ini dan dengan  mengambil
   kira  impak  positif Pakej Strategi Baru,  KDNK  negara
   dijangka  berkembang  dengan  lebih  kukuh  antara  5.5
   hingga  6 peratus bagi tahun 2004, Insya-Allah.  Sektor
   swasta  dijangka menerajui pertumbuhan  ekonomi  dengan
   pelaburan   swasta  berkembang  cergas   sebanyak   9.9
   peratus.   Penggunaan  swasta  juga  telah  menunjukkan
   respon  positif  kepada langkah-langkah rangsangan  dan
   dijangka   berkembang  lebih  pesat  pada   kadar   7.7
   peratus.
   
   235.  Sektor  pembuatan kekal menjadi  penggerak  utama
   pertumbuhan   dan   dijangka  meningkat   7.2   peratus
   sementara  sektor  perkhidmatan berkembang  kukuh  pada
   kadar  5.5 peratus. Dengan penumpuan dasar dan strategi
   yang  diberikan  kepada  sektor pertanian  serta  harga
   komoditi yang meningkat, sektor ini dijangka berkembang
   dengan   lebih   mantap  sebanyak  3  peratus.   Sektor
   perlombongan  juga  dijangka  meningkat  sebanyak   3.5
   peratus, berikutan pertambahan pengeluaran LNG dan  gas
   asli.
   
   236.  Selaras  dengan dasar konsolidasi  fiskal,  akaun
   Kerajaan  Persekutuan  dijangka bertambah  baik  dengan
   defisit  bajet berkurangan daripada 5.4 peratus  kepada
   3.3  peratus  daripada KDNK. Sekiranya prospek  ekonomi
   dunia   bertambah  kukuh  dalam  tahun-tahun  terdekat,
   matlamat  Bajet berimbang dijangka dapat dicapai  dalam
   tahun 2006. Pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih tinggi
   juga  akan  memperkukuhkan akaun sektor  awam  di  mana
   dijangka  mencatatkan  lebihan  sebanyak  0.4   peratus
   daripada  KDNK  pada  tahun  2004,  berbanding   dengan
   defisit sebanyak 1.5 peratus dalam tahun 2003.
   
   237.   Selaras  dengan  peningkatan  pertumbuhan  KDNK,
   pendapatan per kapita dijangka meningkat kepada  14,954
   ringgit   sementara  kuasa  beli  pariti  rakyat   juga
   bertambah  kepada hampir 10 ribu dolar  Amerika.  Paras
   harga dijangka terus kekal di paras yang rendah, dengan
   Indeks Harga Pengguna dianggarkan 1.3 peratus.
   
   PENUTUP
   
   Tuan Yang Dipertua,
   
   238.  Semenjak  negara  Merdeka,  kita  telah  mencapai
   kejayaan  yang amat cemerlang dan kemajuan yang  gilang
   gemilang.  Dalam tempoh hampir setengah abad ini,  kita
   telah  dapat  menikmati kemakmuran dalam  suasana  aman
   damai  dan  harmoni serta perpaduan rakyat yang  teguh.
   Kita  juga telah berjaya mengekalkan kestabilan politik
   dalam  pentadbiran negara, hasil gandingan padu Barisan
   Nasional  yang berprinsipkan kerjasama adil, keikhlasan
   dalam perjuangan dan sanggup berkorban demi kepentingan
   negara. Inilah tradisi perkongsian dalam bidang politik
   yang telah mengerat dan membentuk perpaduan unik antara
   semua kaum di bawah satu negara.
   
   239.  Sesungguhnya, kejayaan hari ini tidak dapat  kita
   jamin  akan berterusan dan kekal selamanya. Dunia  luar
   terus  bergolak  dengan pelbagai ujian  dan  tribulasi,
   ancaman  dan  ugutan  serta penindasan  dan  kekerasan.
   Keamanan yang kita harapkan masih kabur, keganasan yang
   kita  tentang  belum reda. Sebagai  warga  kecil  dalam
   masyarakat global, kita tidak dapat mengelak dari kesan
   pergolakan ini.
   
   240.  Kita mesti berani berdepan dengan kesemua cabaran
   ini  dan  bersedia melakukan sebarang anjakan strategik
   yang boleh mempertahan serta mengekalkan kemakmuran dan
   kejayaan  negara.  Saya telah pun menggesa  agar  semua
   pihak melakukan anjakan ini, semasa membentangkan Bajet
   2003  tahun lalu. Kita mesti lebih tangkas,  cekap  dan
   gigih  dalam  melaksanakan perubahan  ini.  Kita  tidak
   boleh leka. Kita juga tidak boleh bertangguh. Walau apa
   pun  halangan, walau apa pun rintangan yang  mendatang,
   kita  mesti  hadapinya bersama, dengan penuh  ketabahan
   dan  keberanian.  Kita  juga mesti  sanggup  berkorban,
   mengenepikan    kepentingan   diri   dan    mengelakkan
   persengketaan  antara  kita sendiri.  Kita  juga  mesti
   mempertingkatkan toleransi, mengeratkan kerjasama serta
   memperkukuhkan perpaduan demi menjamin rakyat sejahtera
   dan masyarakat berharmoni.
   
   241.  Saya berdoa kepada Allah Subhanahu wa Taala  agar
   negara  tercinta ini terus dirahmati dan  dianugerahkan
   dengan  nikmat  dan  kemuliaan yang berkekalan.  Insya-
   Allah,   saya  penuh  yakin  dengan  izin  dan   berkat
   keredhaanNya, negara bertuah ini akan terus  berkembang
   maju, rakyat makmur dan sejahtera serta terus dihormati
   dan disanjung tinggi oleh masyarakat dunia.
   
   Keranamu Malaysia,
   Tegakkan nusa gagahkan bangsa,
   
   Kita susun seribu satu langkah, menuju ke hadapan
   Bersama mensesah pekat malam, menerjah gelombang
   Berlari mengejar cahaya, menepati janji di hujung jalan
   Walau berdepan sejuta rintangan
   Sekali pun jatuh di medan perjuangan
   Namun tetap meredah, mencapai wawasan
   
   Alangkah damainya negeri ku ini
   Dilimpahi rahmat, kemakmuran dikurniai
   Bangsa bersatu berjiwa waja
   Semangat patriotik kian membara
   Dunia sudah membuka mata
   Penghormatan kini menjadi nyata
   Tiada lagi penindasan
   Tiada lagi penghinaan
   Kemerdekaan terus terpelihara
   Damainya negeri ku. . . . Malaysia.
   
   Tuan Yang Dipertua,
   Saya mohon mencadangkan.


   Sumber : Pejabat Perdana Menteri


 
Google