Turnkey websites
Home-Page

2003-10-17

2003-10-05

2003-10-11

2002-03-03

2001-10-14

2001-10-08

2001-07-02

2000-06-05

Wawancara Al Jazeera-PM: Malaysia ulangi pendirian sokong perangi keganasan

STESEN televisyen satelit Qatar, Al-Jazeera (AJ) mengadakan temu bual dengan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di London semalam yang menyentuh pelbagai perkara, daripada tanggapan yang menyamakan Islam dengan keganasan, hal ehwal politik Malaysia hinggalah kepada pelbagai tohmahan terhadap Perdana Menteri dan keluarga. Ikuti temu bual wakil Al-Jazeera, Ahmed Mansour, dengan Dr Mahathir yang berlangsung lebih sejam.


AJ: Sebelum ini Amerika menghentikan kerjasama dengan Malaysia selepas
mereka menuduh Malaysia mempunyai kaitan dengan keganasan. Inilah
persoalan utama dan relevan dengan hubungan dua hala di antara Malaysia
dan Amerika Syarikat. Apakah anda setuju dengan gambaran Amerika bahawa
sebahagian Muslimin adalah pengganas dan mengaitkan Muslimin dengan
kegiatan keganasan tanpa kelompok yang lain. Bagaimana anda menolak
dakwaan itu? 


PM: Saya tidak bersetuju sama sekali dengan penafsiran umum bahawa umat
Islam adalah pengganas. Terdapat pengganas daripada semua kaum dan
agama. Terdapat pengganas Kristian di Ireland Utara, pengganas Buddha di
Jepun, pengganas Hindu di India, maka saya tidak bersetuju dengan
penafsiran itu. Bagi saya, kita sepatutnya mendefinisikan seseorang itu
pengganas melalui perbuatannya. Sekiranya amalam mereka adalah ganas dan
melampau terhadap orang awam yang tidak bersalah, maka kita namakan mereka
pengganas, tanpa mengambil kira siapakah mereka dan dari mana mereka
datang. 


AJ: Apakah jawapan anda bagi menolak dakwaan Amerika terhadap Malaysia? 


PM: Tuduhan ini tidak berasas. Kami mohon bukti ke atas dakwaan serangan
pada 11 September bermula dari Malaysia. Sehingga sekarang tidak terdapat
apa-apa bukti terhadapnya. Sudah pasti kami tidak akan membenarkan rakyat
kami disoal siasat oleh pihak luar. Kami sendiri akan
melakukannya. Sehingga sekarang tiada sebarang maklumat yang boleh
meyakinkan kami bahawa rakyat dan pemuda kami terbabit dengan apa-apa
peranan dalam serangan 11 September itu. 


AJ: Amerika Syarikat meminta negara Islam membuat sesuatu menentang
keganasan. Apakah tuntutan sebenar Amerika daripada Malaysia mengenai misi
untuk memerangi pengganas? 


PM: Sebenarnya Amerika tidak membuat tntutan khusus kepada kami. Namun,
selepas berlaku serangan 11 September, mereka sudah menegaskan bahawa
dunia umumnya perlu bersatu menentang pengganas. Maka, kami sudah
menyatakan persetujuan kami untuk berkempen memerangi puak pengganas. Dan
ketika saya bercakap dengan Presiden Amerika Syarikat melalui telefon,
beliau sudah berterima kasih di atas sokongan Malaysia ke atas
kempennya. Kami juga sudah mengucapkan takziah kepada mangsa peristiwa
terbabit. Mereka tidak membuat tuntutan yang khusus tetapi kami membuat
keputusan untuk menyokong kempen memerangi pengganas. 


AJ: Presiden Bush sudah memberi kata dua kepada Presiden Musharraf, iaitu
sama ada Pakistan bersama atau menentang Amerika Syarikat. Jadi apa yang
dikatakan Bush kepada Datuk Seri? 


PM: Bush tidak berkata begitu kepada saya walaupun saya menyangkakannya. 


AJ: Apakah yang diberitahu Bush kepada Datuk Seri? Adakah ia berbeza
dengan pemimpin yang lain? 


PM: Selepas berlakunya serangan itu, saya sudah pergi ke pejabat Kedutaan
Amerika Syarikat di Malaysia untuk merakamkan ucapan takziah kepada
keluarga mangsa. Amerika Syarikat sudah berterima kasih kepada kami di
atas sokongan kami memerangi pengganas. 


AJ: Apakah bukti sokongan yang diberikan Malaysia kepada Amerika? 


PM: Kami bersama-sama mereka dalam kempen memerangi pengganas, jadi kami
bersedia membantu sekiranya ada perkara yang memerlukan bantuan kami dalam
peperangan itu. 


AJ: Parti Islam SeMalaysia (Pas) memerintah Kelantan dan
Terengganu. Terdapat laporan yang menyatakan bahawa Amerika meminta
Malaysia menghapuskan parti itu walaupun terdapat beberapa penyokong parti
ini sudah ditangkap, termasuk anak kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz,
pemimpin parti itu? 


PM: Amerika Syarikat tidak menuntut kami berbuat demikian. Saya rasa Pas
juga tidak menyokong tindakan yang dilakukan segelintir pemuda ahli
mereka, termasuk anak Nik Aziz. Tindakan itu dilakukan oleh sekumpulan
golongan muda dalam parti itu. Itulah maklumat yang kami terima. Jadi,
tidak ada sebab kami perlu menghapuskan parti itu. Kami sebuah kerajaan
demokratik, mereka mempunyai hak untuk membentuk parti dan menyuarakan
pandangan mereka. Oleh sebab itu, terserah kepada rakyat untuk memilih
kerajaan. 


AJ: Adakah ini memberi erti bahawa khabar angin yang mengatakan Datuk Seri
berusaha menghapuskan parti itu tidak benar dan benarkah Datuk Seri tidak
mempunyai niat untuk menghapuskan parti itu? 


PM: Itu tidak benar. Saya rasa Pas sengaja menghebohkan berita itu untuk
menanamkan rasa kebencian rakyat terhadap kerajaan. 


AJ: Dalam akhbar Los Angeles Times yang disiarkan Jumaat lalu, Datuk Seri
dilihat membuat kenyataan mengkritik ulama Islam dengan menuduh mereka
sebagai penyebab kemunduran ummah dan menyalahtafsirkan mengenai
agama. Adakah tindakan ini bagi membersih imej Datuk Seri dan Malaysia di
depan Barat dengan mengkritik golongan ulama? 


PM: Itu tidak benar. Itu pendirian saya sekian lama. Saya tidak memusuhi
semua ulama. Namun, terdapat sebahagian ulama yang mempunyai pandangan
yang boleh menjejaskan pembangunan ummah. Contohnya, ada yang berpandangan
kita perlu belajar ilmu agama saja dan tidak perlu kepada ilmu sekular
dengan alasan ia tidak ada kaitan dengan agama. 


AJ: Mereka itu segelintir saja Datuk Seri. Bukankah kerajaan yang
sebenarnya bertanggungjawab terhadap ulama? Kerajaan sudah mendekati ulama
yang boleh mengeluarkan pendapat yang menyokong kerajaan. 


PM: Ulama bukannya pemerintah. Ulama seperti itu adalah ulama
politik. Mereka sudah menyertai parti pembangkang. Bagi sesiapa yang
mempunyai kepentingan (ulama yang menyokong kerajaan), mereka menuduh
golongan itu sebagai tidak berilmu. 


AJ: Sebagai pemimpin sebuah negara Islam, sebagaimana yang kami perhatikan
melalui bidang pendidikan, ekonomi dan kewangan serta teknologi, adakah
Datuk Seri bersedia untuk melindungi ulama yang menyatakan pendapat yang
benar untuk kepentingan agama dan kemajuan bangsa serta mencerminkan
pandangan yang betul? 


PM: Ya, kami bekerjasama dengan mereka. Ramai antara mereka menyokong
pendirian kami bahawa negara Islam mesti menuju kemajuan dan tidak harus
mundur ke belakang. 


AJ: Yang terjadi seolah-olah Datuk Seri menuduh mereka menjadi punca
kemunduran bangsa. Hanya segelintir saja yang berpemikiran melampau. 


PM: Mereka bukannya minoriti, bilangan mereka ramai, mereka tidak layak
bergelar ulama kerana ilmu agama mereka sangat cetek. Tetapi mereka
mendakwa mereka ulama dan yang menyedihkan ramai di kalangan mereka yang
jahil menerima mereka sebagai ulama dan menerima pendapat mereka. 


AJ: Datuk Seri bukan saja pemimpin negara Islam tetapi Datuk Seri juga
seorang pemikir serta penulis. Banyak buku Datuk Seri yang sudah
diterbitkan. Terima kasih atas buku yang Datuk Seri hadiahkan kepada kami
tadi. Tidak dapat dinafikan Datuk Seri mempunyai pandangan yang strategik
untuk memahami sesuatu perkara. Secara ringkas, apakah tujuan tekanan yang
dikenakan oleh Amerika dan Barat terhadap negara Islam? 


PM: Saya fikir ini adalah daripada natijah salah faham rakyat Amerika
sendiri yang menyebabkan kerajaan mereka mengambil pendirian ini. Politik
dalaman juga mempengaruhi politik antarabangsa Amerika Syarikat. 


AJ: Siapa yang berada di belakang politik dalaman itu? 


PM: Rakyat, pengundi. 


AJ: Tidak ramai pengundi yang memahami politik, 70 peratus daripada rakyat
Amerika tidak memahami politik. 


PM: Sebahagian daripada mereka yang bergerak aktif. Peranan minoriti lebih
memberi kesan daripada peranan majoriti. 


AJ: Siapa golongan minoriti itu? 


PM: Mereka ini mempunyai rangkaian yang besar. Tidak perlulah disebut
siapa mereka kerana saya tahu anda juga mengenali mereka. 


AJ: Saya tidak mahu mengganggu Datuk Seri dengan soalan begini,
lebih-lebih lagi Datuk Seri pernah menghadapi perselisihan besar dengan
mereka pada tahun 1997. Namun sekarang Amerika Syarikat menamakan dua
negara Islam sebagai paksi kejahatan, iaitu Iraq dan Iran. Apa pandangan
Datuk Seri mengenainya? Apakah pendirian Malaysia terhadap Iraq yang
dijadikan sasaran oleh Amerika Syarikat? 


PM: Kami menyokong usaha membasmi keganasan tetapi kami tidak menyokong
serangan terhadap Afghanistan. Saya tidak berpendapat bahawa serangan ke
atas mana-mana negara atas alasan memerangi keganasan. Kami menentang
keganasan tetapi kami tidak bersama-sama menukar mana-mana kerajaan di
mana-mana negara. 


AJ: Apa pendirian Malaysia terhadap serangan Amerika ke atas Iraq
sedangkan hubungan Iraq-Malaysia sangat baik? Ramai pemimpin Malaysia yang
melawat Iraq. 


PM: Saya tidak menentang pertukaran kerajaan tetapi ia mestilah untuk
kemaslahatan ummah, bukan untuk negara luar. 


AJ: Adakah cara yang diambil Amerika bagi memerangi apa yang dinamakan
keganasan akan mengapuskan keganasan berkenaan? 


PM: Saya fikir strateginya tidak betul. Kami cuba menerangkan pengalaman
kami di Malaysia ketika kami cuba menghapuskan keganasan. Kami cuba
mengenal pasti punca keganasan dan seterusnya membasmi puncanya. Saya
sudah menyatakan puncanya ialah isu Palestin. Selagi isu ini tidak
diselesaikan selagi itulah mereka tidak akan dapat menghapuskan
pengganas. Kita pasti ramai lagi yang akan melakukan keganasan akibat
tidak sanggup lagi menahan musibah yang menimpa mereka seperti di
Palestin. 


AJ: Datuk Seri dilihat sebagai pemimpin yang paling berjaya membangunkan
negara sehingga hampir mencapai tahap negara maju dalam lapangan
perindustrian, ekonomi dan politik. Malaysia berjaya mengatasi kemelut
ekonomi berbanding negara lain. Tetapi musuh politik Datuk Seri menyatakan
Datuk Seri gagal memberi gambaran yang menyenangkan terhadap sistem
kehakiman di mana Datuk Seri sudah melantik Abdul Gani Patail, salah
seorang pendakwaraya dalam kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri
Anwar Ibrahim, sebagai peguam negara. Beliau dikritik hebat di dalam dan
luar negara. Seorang doktor Britain menyatakan beliau cuba berlakon,
sebagaimana dilaporkan media antarabangsa. Adakah pengiktirafan Datuk Seri
terhadapnya untuk kali kedua sebagai satu lagi gambaran terhadap
kesangsian masyarakat terhadap sistem kehakiman Malaysia? 


PM: Tidak. Ini pandangan media Barat. Mereka akan mencari sebab untuk
menyerang sesebuah kerajaan. Ketika kita menahan seseorang tanpa
dibicarakan, mereka mengkritik. 


AJ: Persoalan saya ialah mengenai kedudukan mahkamah Malaysia selepas
Datuk Seri melantik bekas pendakwaraya dalam kes Anwar Ibrahim untuk
menjadi peguam negara Malaysia sekarang. 


PM: Ini semua kebetulan. Media massa Barat bertanggungjawab terhadap
pandangan dunia. Mereka tidak sukakan Malaysia. Saya sentiasa mengkritik
media Barat kerana mereka sentiasa menentang Malaysia. Seperti yang
saudara juga tahu, mereka menentang Islam dan orang Islam. Terdapat banyak
sebab mereka melakukan ini. Dalam kes Anwar Ibrahim, mereka menuduh polis
dan pendawakraya disogok dan tidak amanah dalam melaksanakan tugas. Ini
adalah rancangan mereka untuk memburukkan kerajaan Malaysia dan menyerang
saya secara peribadi. Pendakwaraya menjalankan tugas sepatutnya. Beliau
menjalankan tugas dengan baik dan bersandarkan fakta, bukannya konspirasi
seperti yang disebut pembangkang. Kini beliau dilantik kerana kemampuannya
tetapi dikatakan mahkamah Malaysia tidak baik. Saya tidak dapat menerima
kenyataan sebegini. 


AJ: Saya tidak ingin bertanya terlalu banyak mengenai Anwar Ibrahim tetapi
Datuk Seri sendiri lebih arif dalam hal ini berbanding orang lain. Namun
sekurang-kurangnya ia memberi gambaran mengenai kedudukan mahkamah di
Malaysia. Kini Anwar Ibrahim berada di peringkat mahkamah rayuan dalam kes
penyalahgunaan kuasa dan kes liwat. Kebanyakan orang menyatakan hakim
Dzaiddin tidak mempedulikan sesiapa dan akan menentukan hukuman
menyebelahi Anwar Ibrahim.Tetapi hakim ini dibersarakan selepas enam bulan
menjalankan tugas. Adakah beliau akan dilanjutkan sehingga selesai kes
Anwar Ibrahim atau sehingga umur persaraan atau adakah Datuk Seri akan
memilih hakim yang bersesuaian dengan kehendak Datuk Seri seperti yang
digembar-gembur oleh pembangkang dan ahli politik? 


PM: Selepas dilantik di mahkamah, beliau bebas menjatuhkan hukuman dan
kerajaan tidak campur tangan dalam urusannya. Hakim menjatuhkan hukuman,
hukuman bunuh dan penjara, termasuk terhadap anggota kerajaan sendiri. Ada
juga anggota Kabinet saya yang dihukum oleh mahkamah. Hakim tidak melihat
sama ada tertuduh anggota dalam kerajaan atau tidak. Beliau berhak
mengambil keputusan dan kita tidak campur tangan. Tetapi pembangkang
menyifatkan apa yang mereka tidak suka sebagai zalim dan menepati kehendak
mereka adalah benar. 


AJ: Jadi adakah Datuk Seri akan menyambung atau tidak khidmat Dzaiddin
selepas enam bulan sehingga selesai kes itu? 


PM: Beliau mempunyai hak sehingga umur 56 tahun. Saya tidak mahu melakukan
sesuatu dalam bab ini. Jika beliau sampai umur bersara, beliau boleh
bersara. 


AJ: Apa sebenarnya di sebalik anda meletakkan Abdul Gani Patail
menggantikan Dzaiddin bagi mengendalikan kes Anwar Ibrahim? 


PM: Beliau layak dilantik, maka beliau pun dilantik tetapi media Barat
tidak suka. Ini pendapat mereka, bukan pendapat saya. 


AJ: Terdapat ura-ura bahawa Datuk Seri secara rahsia bertemu dengan
Timbalan Datuk Seri dahulu, iaitu Anwar Ibrahim, di penjara dan menaiki
kereta serta berbincang untuk melepaskan beliau daripada tahanan. Apakah
perkara yang sebenarnya? 


PM: Ini adalah berita yang tidak berasas. Kenapa perlu saya lakukan
perkara ini. Saya tidak masuk campur dalam hal ini. Ini seperti filem
Hollywood. Saya tidak melakukan sedemikian. 


AJ: Beliau adalah timbalan Datuk Seri dahulu dan pernah bersama Datuk Seri
hampir 17 tahun. Beliau dididik dan dibawa ke depan. Isu perselisihan ini
juga tersebar luas. Jadi adakah Datuk Seri tidak terfikir untuk memaafkan
beliau dengan syarat tertentu? 


PM: Saya tidak boleh masuk campur dalam proses perbicaraan mahkamah. Jika
beliau mahu dibebaskan, ia perlu dibawa ke mahkamah dan mahkamah yang
menentukan siapa yang akan dipenjara atau tidak, bukan saya. Saya tidak
mempunyai kuasa dalam hal ini. 


AJ: Adakah Datuk Seri pernah berfikir apakah yang ditunggu masyarakat agar
beliau dimaafkan? 


PM: Di sana ada orang lain yang melakukan kesalahan sedemikian. Jika saya
boleh memaafkannya, saya akan memafkan semuanya. Di Malaysia, semua orang
patuh kepada undang-undang biarpun dia Perdana Menteri. Jika beliau
melakukan jenayah, beliau juga akan dihadapkan ke mahkamah dan dihukum
menurut undang-undang. 


AJ: Isu perselisihan Datuk Seri sering dibincangkan. Kini Datuk Seri sudah
menerajui kerajaan lebih daripada 20 tahun dan kita harapkan Allah
memanjangkan umur Datuk Seri selagi mana rakyat menyukai Datuk Seri dan
sentiasa terpilih kembali dalam pilihan raya. Tetapi setiap kali Datuk
Seri berniat untuk melepaskan jawatan, siapakah yang akan dicalonkan
selepas Anwar Ibrahim yang dicalonkan sebelum ini? 


PM: Di Malaysia, peneraju akan diikuti oleh Timbalan Perdana Menteri. Kini
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau adalah timbalan saya. Jika saya
meletak jawatan, beliaulah yang akan mengambil alih tempat saya. 


AJ: Pemerhati berkata Datuk Seri sentiasa ragu-ragu mengenai orang di
sekeliling Datuk Seri dan ini berlaku kepada Musa Hitam (Tan Sri), Tengku
Razaleigh Hamzah, Tun Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim, dan kini Abdullah
Badawi. Kita tidak mengetahui adakah beliau juga akan disingkirkan atau
dikekalkan. Adakah Datuk Seri bersungguh-sungguh untuk melepaskan
jawatan? Kini Abdullah Badawi di belakang Datuk Seri, atau Datuk Seri akan
membuka senario baru untuk peletakan jawatan itu? 


PM: Saya tidak tahu mengapa mereka berpendapat sedemikian. Musa meletak
jawatan sendiri. Ghafar Baba dan Razaleigh tidak ada sangkut paut dalam
perkara ini. Razaleigh cuba bertanding menentang saya tetapi gagal dan
meninggalkan Kabinet. Ghafar Baba adalah calon yang dipilih selepas Musa
Hitam. Anwar dipilih dan letak jawatan. Saya tidak menyuruh beliau letak
jawatan, Anwar adalah timbalan. Tetapi apabila saya lihat beliau melakukan
perkara yang tidak berakhlak dan tidak dapat diterima oleh masyarakat,
maka saya tidak ada pilihan melainkan menyingkirkan beliau. Selepas itu
beliau dibawa ke mahkamah, mahkamah menghukum beliau dan mahkamah yang
menentukan, bukannya saya. 


AJ: Datuk Seri sentiasa menyatakan Datuk Seri ingin melepaskan jawatan
sejak tahun 1997 lagi. Adakah benar-benar Datuk Seri mahu melepaskan
jawatan ataupun selepas 20 tahun memegang jawatan Datuk Seri berfikir
untuk meletakkan jawatan tetapi terpaksa berfikir kembali? 


PM: Saya memang mahu meletakkan jawatan pada tahun 1998 tetapi berlaku
krisis ekonomi dan saya mahu melepaskannya sekarang tetapi saya mesti
pastikan segala urusan dalam negara selesai untuk saya serahkan kepada
timbalan saya. Jika saya bersara ketika ada krisis dan keadaan ekonomi
yang tidak begitu baik, seolah-olah saya melarikan diri daripada
tanggungjawab saya. 


AJ: Adakah anda akan bertanding dalam pilihan raya 2004? 


PM: Saya belum membuat keputusan lagi. 


AJ: Bilakan anda akan menetapkannya? 


PM: Bila tiba masanya. Saya juga perlu mendapatkan pandangan ahli yang
lain. Seandainya mereka menghendaki saya mengundurkan diri, saya akan
berbuat demikian, dan seandainya mereka mahu mengekalkan saya, saya akan
meneruskan tugas saya, saya mengikut kehendak parti. 


AJ: Apakah tujuan anda ingin mempercepatkan pilihan raya akan datang pada
2003 yang sepatutnya diadakan pada 2004? 


PM: Saya belum pernah merancangkan perkara ini. Hal ini hanya diuar-uarkan
oleh pihak pembangkang yang sentiasa memikirkan soal pilihan raya saja. 


AJ: Barisan Nasional (BN) sudah memerintah Malaysia sejak 1957. Pemerhati
berpendapat bahawa perpecahan akan melanda BN pada pilihan raya akan
datang. Apakah persediaan anda dalam hal ini? 


PM: Saya yakin kami boleh menang. Mereka mengatakan kami akan kalah pada
tahun 1999 tetapi sebaliknya. Kami menang dengan majoriti undi yang besar. 


AJ: Ramai berpandangan bahawa dengan semangat kecintaan anda kepada bangsa
anda menyebabkan banyak kemajuan dan kejayaan dapat dicapai. Namun, ada
berita mengatakan bahawa kroni dan kerabat anda sudah menguasai kekayaan
negara anda seperti yang berlaku di negara Arab yang menyaksikan kekayaan
hanya dimonopoli pihak tertentu saja. 


PM: Kerabat dan kroni saya tidak ada kaitan langsung dalam pemerintahan
kerajaan. Namun, mereka bebas membuat perniagaan dan kerjaya mereka
sendiri dan mereka bukanlah orang yang kaya raya di negara kami. Mereka
adalah golongan yang berjaya. Negara kami sentiasa memberikan sokongan
kepada sektor perniagaan. Sesiapa yang berusaha dan berjaya memenuhi
kriteria memajukan sektor perniagaan ini akan mendapat sokongan kerajaan. 


AJ: Namun, terdapat banyak kritikan daripada akhbar Barat yang mengatakan
bahawa terdapat monopoli harta oleh anak lelaki anda, Mirzan, dan kerajaan
sudah meluluskan pinjaman kepadanya sebanyak AS$409 juta dan dikatakan
terbabit dalam penyelewengan Tabung Haji, juga dikatakan terlibat dalam
pembelian saham syarikat minyak nasional, Petronas. Ramai yang
memperkatakan hal ini. 


PM: saya ingin bertanya kepada mereka yang mengemukakan berita ini, adakah
ada bukti dan dalil kesahihan berita ini. 


AJ: Anda mengatakan bahawa kerabat dan kroni anda juga melakukan kerjaya
dan membuat perniagaan seperti orang lain dan ada yang
berjaya. Bagaimanakah anak lelaki anda juga membuat beberapa perniagaan
dengan kerabat anda dengan 200 anak syarikat yang berkaitan dengan
perdagangan bernilai AS$5 bilion? 


PM: Inilah adalah perkara yang amat mengarut dan saya bersedia seandainya
harta saya ini diaudit, begitu juga dengan seluruh harta kekayaan keluarga
saya. 


AJ: Adakah anda mampu untuk mengisytiharkan harta anda di hadapan rakyat
untuk menolak dakwaan itu? 


PM: Saya sudah memberitahu rakyat saya tidak mempunyai gedung harta yang
banyak. 


AJ: Anda tidak memiliki kekayaan itu tetapi anak anda dan kerabat anda
yang lain memiliki kekayaan berkenaan. 


PM: Mereka perlu mengemukakan bukti untuk membenarkan tuduhan itu bahawa
mereka itu memiliki berbilion dolar. Mengemukakan dakwaan mudah tetapi
bagaimana dengan buktinya. Mereka tidak memiliki kekayaan sedemikian
rupa. Pihak pembangkang sering memburuk-burukkan kerajaan sehingga
mencemar imej kerajaan. 


AJ: Anda sebenarnya seorang yang hebat hinggakan saya seolah-olah
menyatakan anda ini dilihat sebagai tidak baik. Yang sebenarnya saya hanya
mengatakan apa yang dikatakan oleh akhbar-akhbar Barat mengenai kerajaan
anda. Banyak cerita negatif mengenai anda, antaranya bekas timbalan anda
sendiri Anwar Ibrahim mengatakan bahawa antara sebab dia bergelut dengan
krisis dan masalah yang dihadapinya ialah kerana sewaktu menjadi menteri
kewangan, dia telah menghalang permohonan untuk meluluskan pinjaman bank
daripada beberapa ahli perniagaan terkemuka yang mempunyai hubungan dengan
pemerintah dan hanya 65 orang saja yang berjaya membabitkan wang berjumlah
AS$120 bilion. 


PM: Anwar sendiri telah memberikan habuan kepada kerabatnya. Saya tidak
mencampuri sebarang urusan Kementerian Kewangannya dan dia didapati gagal
melaksanakan tugas dalam kementeriannya yang menyebabkan kemelesetan
ekonomi negara yang teruk pada tahun 1997. 


AJ: Di sini ada banyak buku yang ditulis berkenaan anda, selain buku yang
anda hadiahkan. Saya juga memiliki buku lain, antaranya buku Daim
Zainuddin yang juga bekas Menteri Kewangan negara anda, antara orang
terkaya. Daim memegang jawatan Menteri Kewangan dan selepas itu meletakkan
jawatannya. Daim mengatakan bahawa beliaulah yang merancang sektor ekonomi
Malaysia yang berjaya dan bukannya Mahathir Mohamad. Apakah pendapat anda? 


PM: Ini sebenarnya idea semua pihak. Kami tidak membuat satu keajaiban di
negara kami. Kami bekerjasama dan keputusan kami, kami buat bersama. Daim
adalah salah seorang daripada anggota. Kami telah mendengar ideanya. Dia
seorang yang pintar dan ahli perniagaan yang berjaya. Kami juga mendengar
idea yang lain, saya juga mendengar daripada bekas timbalan saya dan
ahli-ahli ekonomi yang lain, dan kami menggabungkan semua idea. 


AJ: Daripada pengalaman kejayaan Malaysia yang unggul, terdapat beberapa
aspek yang menyebabkan kejayaan dan kemajuan dalam bidang industri dan
teknologi berbanding negara-negara Arab dan Islam yang lain. 


PM: Kami mengakui kami tidak mempunyai teknologi, modal dan kami tiada
pengetahuan dalam pasaran antarabangsa. Kami telah membuka negara kami
kepada pelaburan asing. Idea utama kami ialah untuk menyediakan peluang
pekerjaan kepada penduduk. Proses ini memberikan kami pengetahuan kepada
sektor perindustrian, pembuatan dan pengeluaran. Sekarang rakyat Malaysia
mampu mereka-cipta dan mengeluarkan barangan. Cara kami adalah kami
menerima kenyataan. Apabila kami tidak mempunyai maklumat, kami
mempelajari daripada orang lain. 


AJ: Saya ingin ajukan soalan melalui internet daripada Ahmad
Zaubi. Katanya beberapa negara seperti Malaysia, Mesir dan Emiriyah Arab
Bersatu maju dalam beberapa projek dan strategi dalam bidang
teknologi. Adakah terdapat ruang untuk bekerjasama antara negara-negara
Islam dan Malaysia dalam bidang teknologi dan perindustrian di mana
Malaysia sudah berjaya dalam bidang berkenaan? 


PM: Ya, tetapi ia bukanlah satu kejayaan besar dan tiada sebab kenapa kita
tidak boleh bekerjasama. Setiap negara mempunyai kelebihan tersendiri dari
segi persaingan dan saya yakin apabila kita bersatu, kita akan lebih
kuat. Dan sekarang kerjasama antara negara-negara Islam adalah terlalu
lemah. 


AJ: Dr Hassan Ali Yusuf dari Riyadh bertanya adakah anda berpendapat
negara-negara Teluk mendapat faedah daripada kemasukan minyaknya dalam
tempoh 20 tahun yang lalu manakala dalam tempoh yang sama, Malaysia di
bawah pimpinan anda mampu mencapai kejayaan seperti itu? 


PM: Ya, saya yakin negara lain juga mampu mencapai apa yang dicapai oleh
Malaysia tetapi persoalannya adakah mereka mempunyai kemahuan atau
tidak. Adakah mereka mahu mempelajari daripada orang lain atau tidak, dan
adakah mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam membangunkan negara
mereka. 


AJ: Adakah kejayaan Malaysia sebagai negara Islam menjadikan negara-negara
Barat cuba memeranginya dan menghapuskan kejayaan itu? 


PM: Kami tidak berpendapat mereka menyerang kami kerana kami negara Islam
tetapi kerana pendirian kami jelas. Kami mengkritik orang lain tidak kira
mereka kuat atau lemah dan kami sentiasa mengkritik mereka. Oleh kerana
itu, banyak media Barat tidak suka kepada Malaysia. 


AJ: Beberapa kenalan saya daripada kalangan ahli perniagaan yang mempunyai
pelaburan dan projek di Malaysia berkata kemajuan Malaysia bergantung
kepada kaum Cina dan orang Melayu pula terkenal dengan sifat malas, tidak
produktif, manja dan bergantung kepada kerajaan dan pimpinan
kerajaan. Anda telah menghadiahkan kepada saya sebuah buku tulisan anda
padi ini bertajuk Malay Dilemma yang dicetak lebih 20 kali dan anda
mungkin telah menyebutkan gambaran Melayu seperti ini. Adakah anda masih
berpendapat sedemikian dan adakah ini gambaran yang terperinci? 


PM: Ya, kami terpaksa mengaku bahawa kaum Cina banyak menyumbang kepada
perkara itu. Orang Melayu juga menyumbang sesuatu tetapi mereka perlu
mengubah pendirian terhadap kerja dan pengetahuan. Kami berpendapat orang
Melayu mempunyai kemampuan yang sama seperti kaum Cina dan kami menghadapi
kesukaran kerana perbezaan parti dan kami mendapat kritikan daripada parti
pembangkang terhadap usaha kami untuk membangunkan beribu-ribu orang. Dan
kami tidak mencapai matlamat kami yang kami harapkan kepada bangsa
Melayu. Kaum Cina menyumbang sesuatu kepada Malaysia kerana mereka juga
adalah warga negara. 


AJ: Maafkan saya kerana memotong kerana kita mempunyai panggilan daripada
Dr Hassan Abu Talib, pakar Hal Ehwal Asia dari Pusat Kajian Strategi
al-Ahram, Kaherah. 


Terima kasih tetapi adakah Perdana Menteri membenarkan saya mengemukakan
dua soalan. Yang pertama berkaitan pemikiran dan yang kedua berkaitan
peranan Asean dalam hal ehwal serantau. Saya mengikuti perkembangan
ekonomi Malaysia dengan penuh rasa kagum dan saya juga bangga anda juga
mempertahankan dengan kuat terhadap Islam dan kenyataan tegas anda bahawa
terdapat hubungan kukuh antara Islam dan pembangunan serta antara Islam
dan kemodenan, bukannya seperti apa yang digambarkan oleh media Barat yang
menganggap Islam adalah agama yang menentang kemodenan dan
pembangunan. Soalan saya berkaitan dengan Malaysia antara beberapa buah
negara yang dicalonkan untuk menjadi tuan rumah bagi persidangan
negara-negara Islam dalam pusingan yang baru. Bagaimanakah peranan yang
harus dimainkan oleh negara-negara anggota bagi menghadapi serangan oleh
media Barat? 


Soalan kedua, mengapa Asean gagal membantu negara yang menghadapi krisis
ekonomi 1997 sedangkan mereka mempunyai pengalaman hampir 30 tahun, dan
mengapa perlu mendapatkan bantuan kewangan dari luar, dari Jepun dan
Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF). Mengapa Asean gagal membantu
sedangkan ia ditubuhkan atas dasar ekonomi? 


PM: Pertamanya, mungkin pertubuhan negara Islam boleh bekerjasama jika
mahukan demikian. Dan apabila kita bersatu dan bekerjasama, kita akan
dapat mengubah gambaran terhadap Islam. Kita mampu memperjelaskan isu
dengan lebih jelas dan bersama dalam menyelesaikan setiap
permasalahan. Kita akan lebih kuat dan pendapat kita akan didengar tetapi
kita sebenarnya berpecah kerana isu-isu yang kecil ini mengurangkan
pengaruh kita dan memberi kesan kepada Islam itu sendiri. Hari ini Islam
dizalimi oleh media kerana kita tidak bersatu dan bekerjasama walaupun
kita kaya dan banyak mempunyai kemampuan. Dalam persidangan OIC akan
datang, kita berharap dapat persetujuan untuk sama-sama pertahankan Islam
dan dapat mengubah gambaran yang kononnya mengatakan Islam dan keganasan
adalah suatu yang sama. 


Mengenai kegagalan negara-negara Asean dalam menghadapi krisis ekonomi,
ini kerana ramai yang mengambil jalan mudah untuk keluar daripada masalah
ini, iaitu dengan meminjam daripada IMF untuk mengatasi masalah. Apabila
anda meminjam daripada IMF, ia akan memberi kesan kepada ekonomi. Malaysia
menolak untuk meminjam daripada IMF. Kami mengambil langkah berbeza
daripada negara lain, dan kami berjaya dalam strategi ini tanpa bergantung
kepada IMF. Kami bebas untuk membuat apa-apa keputusan terbaik untuk
negara kami. Oleh kerana ini, Malaysia selamat daripada segala
permasalahan yang dihadapi oleh negara-negara Asean yang lain. 


AJ: Dr Hassan Bahliqal, pakar ekonomi Arab Saudi. Dr Usama Ansari bersama
kita. 


Saya ingin ucapkan syabas atas kepemimpinan Perdana Menteri Malaysia dalam
bidang ekonomi yang cukup bijaksana. Soalan saya, dalam suasana
kebimbangan dan bahaya yang melanda, bagaimanakah Malaysia berjaya
melakukan satu agenda ekonomi yang tersendiri meskipun Malaysia turut
bergantung kepada negara-negara Barat dalam banyak aspek
ekonominya. Bagaimanakah anda berjaya menangani kegawatan ekonomi yang
melanda dengan cara yang tersendiri, malah mampu menolak pelawaan IMF? 


PM: Menangani kegawatan ekonomi seumpama ini sememangnya menuntut komitmen
yang bersungguh-sungguh. Kami percaya kepada satu agenda yang dinamakan
tindakan kerajaan secara langsung. Kerajaan menangani semua isu dan
masalah yang berlaku secara langsung. Sekiranya terdapat sebarang tindakan
yang tersilap, kami akan mengambil langkah pembaikpulihan. Dalam isu
membabitkan krisis tukaran mata wang asing, kami mengkaji punca-punca
krisis itu berlaku. Namun begitu ramai yang menganggap ini semua adalah
berpunca daripada pengurusan negara yang korup. Kami tidak bersetuju
dengan tanggapan ini. Sekiranya ia berpunca daripada hal itu, kami pasti
telah lama mengalami kegagalan. Pun begitu sejak mengecapi kemerdekaan
lebih 30 tahun, Malaysia menunjukkan prestasi yang baik. Jelas ini
menunjukkan krisis itu bukan berpunca daripada kelemahan pihak kerajaan
akan tetapi kami percaya punca masalah ini adalah para spekulator mata
wang. Bagi menjaga negara kami daripada krisis mata wang ini, ia adalah
satu kisah yang panjang. Saya telah menulis satu makalah ringkas berkaitan
hal ini. Dalam makalah itu, saya menghurai secara terperinci bagaimana
kami menangani krisis kewangan. 


AJ: Maaf Datuk Seri, rata-rata ahli ekonomi yang bersama kita tidak
mengetahui mengenai makalah yang anda hasilkan, lalu bagaimana mungkin
mereka boleh mendapatkan makalah itu dan mengetahui akan penjelasan anda
yang terperinci itu. Ternyata anda bukan sekadar membincangkan dari sudut
ilmiah, malah mengalami secara sudut praktikal dan perkara ini belum
tersebar ke rantau Arab terutamanya. 

PM: Buat masa ini, makalah yang ada adalah dalam bahasa Melayu dan
Inggeris saja dan belum ada lagi naskhah dalam bahasa Arab. Pun begitu
kami amat berbesar hati untuk mengirimkan naskah yang berkaitan kepada
sesiapa yang berminat bagi sama-sama berkongsi pengalaman bagaimana
menangani krisis mata wang yang begitu meruncing. Ini boleh dirujuk di
kedutaan kami di semua negara. 


AJ: Mungkin Datuk Seri boleh menghuraikan dengan lebih lanjut mengenai
krisis mata wang itu dan kesannya membabitkan krisis ekonomi di
negara-negara gergasi. 

PM: Kami percaya krisis mata wang ini berpunca daripada perdagangan mata
wang. Sekiranya perdagangan seumpama ini dapat dihentikan, pasti mereka
tidak boleh lagi mengekploitasikan mata wang kita dan kita akan dapat
menjamin kelangsungan ekonomi negara kita. 


AJ: Adakah rusuhan yang tercetus di Indonesia dan Filipina memberikan
kesan terhadap kestabilan Malaysia? 

PM: Dalam keadaan tertentu, ia juga memberi kesan, merujuk kepada
Indonesia, misalnya, rusuhan yang berlaku menyebabkan rakyat mereka hilang
pekerjaan lalu berhijrah ke Malaysia. Malaysia memberikan banyak peluang
pekerjaan kepada mereka tetapi apabila bilangan mereka terlalu ramai,
peluang pekerjaan tidak mencukupi. Inilah yang menyebabkan banyak masalah
kepada kami. 


AJ: Rakyat Malaysia mengikuti temu bual ini melalui Internet dan kita
menerima soalan dari rakyat Malaysia, Suhaib Jasli. Soalannya Datuk Seri
melihat tindakan memerangi keganasan yang dilakukan oleh Amerika ke atas
Indonesia serta apakah yang menyebabkan serangan media Barat ke atas
Malaysia? 

PM: Tidak ada kempen yang terang-terang terhadap Malaysia tetapi terdapat
berita yang mengatakan bahawa salah seorang yang bertanggungjawab terhadap
serangan 11 September 2001 pernah melawat Malaysia. Inilah yang
dilaporkan. Kami tidak boleh menahan seseorang daripada melawat
Malaysia. Jika mereka melakukan jenayah di Malaysia, kami akan
menghukumnya. Sekiranya mereka melakukan jenayah di luar Malaysia, kami
bersedia untuk menyiasat. Tetapi tiada bukti terhadap tuduhan itu. Kami
telah menjalankan tanggungjawab memerangi keganasan dan kami tidak mahu
memaksa rakyat kami untuk menjalani soal-siasat kecuali jika ada bukti
terhadap pembabitan mereka dalam keganasan. 


AJ: Malaysia mencadangkan penggunaan mata wang dinar Islam yang boleh
digunakan di negara-negara Islam sama seperti penggunaan mata wang Euro di
Eropah. Adakah cadangan ini boleh direalisasikan atau sekadar satu saranan
dan setakat manakah penerimaan negara-negara Islam terhadap cadangan itu? 

PM: Ia bukannya satu mimpi, ia boleh dipraktikkan. Wang umpama kertas ia
tidak mempunyai nilai. Tetapi dinar Islam adalah dinar emas yang mempunyai
nilai tersendiri. Kita mesti menjadikan dinar ini sebagai harta negara,
kita menggunakannya untuk berdagang di luar negara, bukan di dalam
negara. Apabila kita hendak menjalankan perdagangan di luar negara, kita
harus membayar dengan mata wang dinar Islam. 

Kita juga tidak harus membayar untuk semua nilai kerana kita boleh
mengawal semua pinjaman. Jika sesebuah negara mengimport dengan banyak,
maka mata wang dinar inilah yang akan membezakan di antara negara
pengimport dengan negara pengeksport. Bagi sesiapa yang ingin menggunakan
mata wang dinar sebagai emas, ia boleh menggunakannya kerana emas
mempunyai nilai sedangkan mata wang kertas tidak mempunyai nilai setelah
ia dipersetujui oleh pihak-pihak yang berurusan. 


AJ: Apakah pendirian negara-negara Islam terhadap cadangan itu? 

PM: Sebahagian daripada masyarakat bersetuju dengan penggunaan mata wang
ini. Kami berharap penggunaan mata wang ini akan menjadi kenyataan. Kami
juga menyeru negara Islam untuk berbincang bagaimana langkah yang harus
diambil bagi mempraktikkan idea ini. 


AJ: Saya menerima beberapa faks daripada beberapa cerdik pandai yang
tinggal di negara Barat. Mereka berkata kami berhijrah ke negara Barat
kerana negara kami tidak memberikan peluang kepada kami. Sebagai sebuah
negara teknologi, bolehkah kami berhijrah ke Malaysia bersama keluarga
kami, seterusnya hidup di sebuah negara Islam sambil menyumbangkan idea
kami? Adakah Malaysia membuka peluang itu sebagai alternatif kepada
penghijrahan cerdik pandai ke negara Barat? 

PM: Kami sangat mengalu-alukan kedatangan mereka. Di sana terdapat ramai
cerdik pandai Islam yang tidak dapat berhijrah ke mana-mana negara, maka
kami sangat mengalu-alukan kedatangan mereka. 


AJ: Petronas adalah salah sebuah syarikat petroleum terbesar di dunia hari
ini. Adakah benar terdapat pengaruh daripada Barat yang berusaha
menghalang Petronas menjalankan kerja cari gali di Sudan? 

PM: Sudan bukanlah sebuah negara yang disenangi oleh kebanyakan
negara. Mereka menarik diri seterusnya menghalang Sudan daripada
mengeluarkan sesuatu hasil. Kami telah pergi ke sana dan mengenal pasti
terdapat minyak di sana, seterusnya kami menjalankan kegiatan cari
gali. Sekarang kami mengeluarkan minyak setiap hari di Sudan, begitu juga
di negara lain. Sebenarnya Petronas menjalankan kegiatan cari gali di 25
buah negara, sama ada mengeluar, membina saluran paip serta merawat gas
dan petroleum di negara-negara berkenaan. 


AJ: Datuk Seri berjaya dalam bidang pendidikan, perindustrian, teknologi
dan menangani krisis kewangan. Dalam tempoh yang singkat itu, kira-kira 10
tahun saja, Datuk Seri berjaya mengubah wajah pendidikan di
Malaysia. Apakah pengalaman Malaysia dalam pendidikan boleh dipraktikkan
ke negara-negara Islam yang lain memandangkan ia adalah pengalamannya
tersendiri? Apa pula ciri-ciri yang diperlukan bagi menjamin kejayaan
seperti di negara-negara Arab atau negara Islam yang lain? 

PM: Ya, kami boleh melahirkan golongan terpelajar dan mahir sekiranya
dasar pendidikan kita adalah untuk menyebarkan ilmu dan teknik dalam
pelbagai kemahiran dan bidang. Semua mampu melakukannya dan Malaysia
bukanlah satu-satu negara yang mampu melakukannya. Ia bergantung kepada
kehendak. Sekiranya ada keinginan dan minat, kita pasti akan
berjaya. Malaysia sebuah negara yang terbuka dan bersedia berkongsi
pengalaman ini. 


AJ: Jurutera daripada Arab Saudi bertanya mengenai bidang
pendidikan. Adakah Datuk Seri akan menerima kemasukan industri pendidikan
dari luar dan menarik para pengkaji dari dunia Islam dan lainnya? 

PM: Terdapat tenaga pengajar dari negara Islam yang lain. Contohnya
terdapat universiti Islam yang pelajarnya daripada pelbagai bangsa dari
seluruh dunia. Ia dinamakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Namun,
pengajaran di situ tidak terhad kepada ilmu syariah saja. Mata pelajaran
lain seperti sains dan teknologi turut diajar bagi menjamin keseimbangan
antara pengurusan negara dan pengamalan agama. 


AJ: Aiman Mohd Khalil bertanya pendirian Datuk Seri jika diminta
membenarkan penggunaan ruang udara Malaysia untuk menyerang Iraq oleh
Amerika Syarikat. 

PM: Kita lihat kepada motif. Jika tujuannya adalah peperangan, kita tidak
membenarkan pendaratan di Malaysia. Namun, sekiranya ruang udara kita
hanya digunakan sebagai laluan saja, maka tidak boleh dihalang. Kita tidak
dapat pastikan apa yang dibawa. Jika untuk mengisi minyak bagi tujuan
peperangan, maka ia tidak dibenarkan. 


AJ: Datuk Seri tidak akan berhenti sehingga tempoh penggal 2004 dan Datuk
Seri juga meletakkan Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia negara
maju. Apakah Datuk Seri yakin pengganti Datuk Seri akan mampu menyambung
misi itu? 

PM: Ya, kami mahu menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Wawasan ini
dicetuskan pada 1990. Kami memerlukan masa selama 30 tahun untuk tujuan
itu. Kadar pertumbuhan ekonomi negara pernah meningkat sehingga tujuh
peratus setahun. Pada tahun 2020, kami bakal mempunyai simpanan aset
seperti negara maju dan memiliki segala peralatan teknologi, industri dan
pengeluaran yang setanding dengan mereka. 


AJ: Soalan terakhir daripada saya. Susulan daripada pemilihan Malaysia
sebagai tuan rumah persidangan OIC selepas Qatar, adakah Datuk Seri akan
berpegang kepada cara negara penganjur sebelum ini, ataupun mempunyai idea
lain bagi meningkatkan prestasi pertubuhan ini? 

PM: Kami berharap persidangan yang akan diadakan dapat membuat keputusan
lebih bernas daripada negara Islam bagi mengatasi masalah umat Islam
seluruh dunia, terutama tuduhan bahawa orang Islam sebagai pengganas,
tidak bertanggungjawab dan tidak mampu membangunkan negara. Dalam tempoh
perancangan ini, negara Islam lain boleh mengemukakan cadangan bagi
menaikkan lagi imej Islam. 

Sumber : Berita Harian
 

  
                                                 


 
Google