home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ODITORIUM SULTAN AHMAD SHAH, 
			BANGUNAN RISDA, 
Tarikh/Date 	: 	05/02/82 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PERASMIAN SEMINAR 
			PELAKSANAAN PROJEK-PROJEK 
			PEMBANGUNAN RISDA 

    


Bismillahir rahmanir rahim.

Yang Berhormat Dato' Shariff Ahmad, Menteri Pertanian; 
Yang Berbahagia Tan Sri (Dr.) Arshad Ayub, Ketua Setiausaha Kementerian
Pertanian; 
Yang Berbahagia Dato' Hishamudin Yahaya, Pengerusi RISDA; Yang Berbahagia
Dato' Dr. Mohd. Noor bin Abdullah, Ketua Pengarah RISDA; 
Yang Berhormat-Yang Berhormat; 
Dif-dif Kehormat; 
Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian.

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada RISDA kerana telah
menjemput dan memberi penghormatan kepada saya untuk merasmikan Seminar
Pelaksanaan Projek-projek Pembangunan RISDA pada hari ini.

2. Pembangunan di Malaysia adalah untuk rakyat dan bukan untuk
bermegah-megah. Oleh itu pembangunan bukan sahaja memerlukan penglibatan
serta pengecapan nikmat oleh rakyat di peringkat pelaksanaan tetapi juga,
di mana yang boleh, harus melibatkan rakyat di peringkat pengenalan
masalah dan seterusnya masalah-masalah yang dapat dikenal-pasti harus
diberi perkiraan di dalam perancangan. Para peserta Seminar ini, saya
difahamkan, adalah terdiri bukan sahaja daripada pegawai-pegawai RISDA
tetapi juga para pemaju masyarakat RISDA, iaitu pekebun-pekebun kecil
sendiri. Saya harap, melalui gabungan penyertaan seperti ini pihak
berkuasa RISDA, dengan mengenal-pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh
kedua-dua pihak, dapat memperbaiki perancangan, pelaksanaan dan
pengurusannya.

3. Pekebun kecil di negara kita merupakan satu golongan ekonomi yang
penting. Mereka adalah pengeluar sebahagian besar daripada hasil salah
satu sumber kekayaan negara yang penting, iaitu getah asli. Namun
demikian, pekebun kecil merupakan sebahagian besar daripada rakyat kita
yang termasuk di dalam golongan yang terletak di bawah paras
kemiskinan. Sungguhpun ekonomi negara kita tidak lagi bergantung hanya
kepada getah dan mulai daripada tahun 1980 petroleum telah mengambil
tempat getah sebagai sumber utama kewangan negara kita, pergantungan
sebahagian besar rakyat kepada getah memaksa kita mengambil segala
tindakan untuk menentukan kedudukan barangan ini tidak terjejas.

4. Saudara-saudara sekelian maklum bahawa usaha-usaha pembangunan yang
dilaksanakan oleh Kerajaan adalah bertujuan untuk membawa kemakmuran dan
kesejahteraan bagi rakyat dan negara. Malangnya, usaha ke arah kebaikan
tidak selalunya mendapat sokongan daripada semua pihak. Memang terdapat
faedah kepada sesiapa, termasuk dirinya sendiri. Tetapi, ini tidak
menjemukan mereka dari mengeluarkan pendapat mereka yang tidak
mendatangkan faedah ini. Umpamanya apabila Kerajaan melaksanakan sistem
metrik mereka ini mengecam Kerajaan kerana kononnya Kerajaan berhajat
untuk memudahkan orang Cina menipu orang Islam. Mereka ini lupa bahawa
sistem metrik adalah sistem yang digunakan dikebanyakan negara Islam,
termasuk Arab Saudi di mana umat Islam berkunjung untuk membuat ibadat
Haji. Kita boleh bertanya mereka, apakah dengan penggunaan sistem metrik
kerajaan negara-negara ini berhajat untuk menipu orang Islam. Begitu juga
ada di antara orang yang pandai menyakiti hati orang lain ini yang berkata
bahawa Kerajaanlah yang merancang supaya pendatang haram dari Vietnam
datang ke Malaysia dengan tujuan untuk mengurangkan peratusan orang
Melayu. Begitu juga persamaan waktu Semenanjung dengan waktu
Sabah-Sarawak, kononnya bertujuan mengelirukan orang Islam supaya tidak
dapat berbuat ibadat.

Apabila cukai kamera dihapuskan sebagai satu muslihat untuk memperbaiki
ekonomi negara, mereka ini secara sinis berkata, "Kamera bukan boleh
makan. Kalau beras turun harga patutlah" Mereka ini jugalah yang dahulu
bertanya buat jalan di kampung bukan boleh makan, sambil menunggang Honda
mereka di jalan kampong.

5. Tiap-tiap hari mereka ini tidak fikir lain melainkan mencari apa sahaja
yang hendak dijadikan bahan fitnah. Bahawa agama Islam menganggap fitnah
sebagai lebih bahaya dari membunuh, tidak sedikit pun dihiraukan.

6. Orang yang seperti ini adalah sampah masyarakat. Merekalah yang
memburukkan nasib masyarakat. Merekalah yang menghalang kemajuan. Dan jika
kita memeriksa mereka kita tetap akan dapati bahawa mereka tidak
segan-segan mengecap nikmat hasil dari usaha-usaha ataupun
aktiviti-aktiviti yang mereka kutukkan itu.

7. Saya menarik perhatian kepada golongan sampah masyarakat ini kerana
mereka adalah sebahagian dari sebab kita tidak mendapat hasil yang penuh
dari segala usaha kita, termasuklah usaha memulihkan kedudukan pekebun
kecil yang ditugaskan kepada RISDA. Saya berharap saudara-saudara akan
berhati-hati dengan golongan ini dan menjauhkan diri dari mereka dan
fitnah mereka. Usaha mereka akan berlipat ganda kerana mereka menjangka
tidak lama lagi akan diadakan pilihanraya, dan pilihanraya adalah tanah
subur bagi cendawan seperti ini untuk membiakkan fitnah mereka.

Tuan-tuan dan puan-puan.

8. Pembangunan di negara kita Malaysia menekankan kedua-dua aspek kemajuan
iaitu kemajuan rohani dan juga jasmani. Adalah tidak tepat sekiranya
pihak-pihak tertentu mengatakan bahawa kita terbawa-bawa oleh model
pembangunan di Barat yang lebih mementingkan aspek material atau
kebendaan. Tetapi kita tidak nafikan bahawa kita akan mengambil
aspek-aspek pembangunan, sama ada dari Barat ataupun dari lain-lain
tempat, sekiranya sesuai dengan kehendak dan keperluan kita dan tidak
bertentangan pula dengan nilai-nilai keagamaan kita.

9. Saya tertarik hati dengan program-program pembangunan yang dilaksanakan
oleh RISDA, khususnya konsep pembangunan masyarakat RISDA, yang memberi
kepentingan kepada hasrat pembangunan sepadu yang merangkumi aspek rohani
dan jasmani sebagaimana yang dianjurkan oleh Kerajaan. Kita perlukan satu
masyarakat dan bangsa yang mempunyai nilai-nilai hidup yang positif
terhadap aspek kerohanian dan kebendaan yang akan membawa kita dan negara
kita melalui satu era pencapaian dan kejayaan yang tinggi. Masyarakat
pekebun kecil juga adalah sebahagian daripada keseluruhan masyarakat yang
akan kita wujudkan ini.

10. Setiap rakyat, tidak kira pekerjaan atau taraf kedudukannya, mestilah
menyemai dan memupuk sikap yang memberi kepentingan yang seimbang terhadap
masalah-masalah dunia dan juga akhirat. Ia bukan sahaja harus memupuk
sikap ini pada dirinya tetapi juga terhadap anggota keluarganya dan
seterusnya, jika ia mampu terhadap anggota masyarakatnya. Sikap yang
seimbang terhadap dunia dan juga akhirat, iaitu tanpa meninggalkan
mana-mana satunya, adalah penting kerana kesejahteraan dan kemakmuran di
dunia bukan sahaja boleh dicapai melalui cara-cara yang diredhai oleh
agama malahan kesejahteraan dan kemakmuran di dunia membolehkan seseorang
meningkatkan lagi kemampuannya untuk beribadat dan memberi sumbangan
terhadap kemakmuran dan kekuatan umat. Sekiranya sebahagian besar daripada
rakyat, khususnya yang beragama Islam, mengikut gesaan pihak-pihak yang
tidak bertanggungjawab supaya mengenepikan dunia sama sekali bagi membuat
persiapan ke akhirat, ini tentulah bertentangan dengan kehendak Islam
supaya kita tidak melupai habuan kita di dunia semasa kita menyediakan
diri untuk akhirat. Begitu juga setiap aktiviti hidup bermasyarakat dan
bernegara sebagai umat yang berdikari adalah merupakan tuntutan di dalam
Islam sebagai fardhu kifayah yang bertujuan untuk menjamin kekuatan dan
keutuhan umat. Bagi memenuhi kehendak agama kita, Rukunegara dan hasrat
pembangunan kita, setiap rakyat mestilah bekerja keras untuk mengisi dan
menepati kehendak-kehendak ini. Jika kehendak agama Islam tidak diturut
oleh orang Islam maka sudah tentu mala-petaka akan menimpa mereka.

11. Dalam perusahaan getah kita dapati satu keanihan yang patut saya
sebutkan. Sementara dua- pertiga dari tanah kebun getah dimiliki oleh
pekebun kecil dan satu pertiga oleh estate besar, tetapi dari segi
pengeluaran pula satu-pertiga adalah dari pekebun kecil dan dua pertiga
dari estet-estet besar. Kita tahu bahawa sebabnya berlaku keanihan ini
ialah oleh kerana cara dan teknik penanaman dan pemeliharaan kebun getah
oleh pekebun kecil tidak mengikut amalan-amalan yang baik yang
dinasihatkan oleh pakar-pakar.

Tetapi sungguhpun kita tahu kita tidak mengamal apa yang tindakan,
prestasi yang baik tidak juga dicapai. Kita meminta lagi supaya bermacam
tindakan lagi diambil oleh Kerajaan. Malangnya jikalau seribu satu
tindakan lagi diambil oleh Kerajaan pun, selagi kita sendiri tidak sanggup
mengamalkan amalan yang baik semua tindakan akan menjadi sia-sia sahaja.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

12. Untuk mendapat pendapatan yang memuaskan hati kita dari kebun getah
kita perlukan bidang tanah yang luas. Semakin tinggi cita-cita kita
semakin luas tanah yang diperlukan.

Tetapi kita tentu tahu bahawa tanah tidak membesar seperti cita-cita kita
yang dapat membesar sepanjang masa. Jika kita ingin mendapat pendapatan
yang mencukupi maka perlulah kita menoleh ke arah lain untuk mencari
sumber-sumber untuk mendapat tambahan pendapatan. Sebenarnya dalam
menjalankan kerja atau tugas di kebun getah kita mempunyai banyak masa.

Selepas menoreh sebelah pagi kita boleh membuat kerja-kerja lain. Kita
harus fikir tentang apa lagi yang boleh kita buat untuk menambah
pendapatan. Jika kita tidak dapat fikir sendiri ada pegawai Kerajaan yang
diberi tugas untuk menasihati kita. Saya yakin jika kita sanggup ada
sahaja yang dapat kita buat untuk menambah jumlah pendapatan kita.

membenar Iblis mempengaruhi kita. Selepas bekerja di kebun getah, selepas
beribadat kita masih mempunyai banyak masa untuk menjadikan kehidupan kita
lebih bahagia. Dengan perkataan lain, disiplinkan diri dan tentang
pengaruh Iblis.

13. Di waktu ini kita tahu harga getah telah turun kerana kemerosotan
ekonomi dunia. Alangkah mudahnya kita menghadapi masalah ini jika kita
mempunyai sumber-sumber dan punca-punca lain yang boleh menolong kita
mengatasi kekurangan hasil pendapatan dari getah. Tetapi kerana kita
terlalu bergantung kepada getah, kita menghadapi masalah.

Mungkin kita berpendapat bahawa di waktu ini Kerajaan patut tolong
mengatasi semua masalah kita. Sebenarnya banyak pertolongan yang telah
diberi tetapi tak mungkin Kerajaan dapat mengatasi segala masalah
kekurangan pendapatan kerana di waktu ini Kerajaan juga mendapat hasil
yang kurang akibat kejatuhan harga getah.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

14. Semua rakyat Malaysia mempunyai berbagai-bagai peluang untuk
memperbaiki kedudukan ekonomi dan mutu kehidupan mereka. Asalkan sanggup
bekerja keras, sanggup melalui kesusahan, sanggup menggunakan segala
pemberian Tuhan secara positif, adalah tidak sukar bagi setiap rakyat kita
untuk memperbaiki nasib mereka. Kalau hendak jadi kaya cepat, hendak jadi
kaya dengan cara senang, hendak mencuba-cuba, ini sudah tentu bukan
daripada sifat-sifat yang dikehendaki dalam konteks pembangunan sepadu
yang meliputi kemajuan rohani dan jasmani yang saya sebutkan tadi. Tanpa
sifat-sifat ini tentu senang menyalahkan mana-mana pihak di atas nasib
buruk yang menimpa diri sendiri dan sekiranya sikap ini tidak berubah
sampai bilapun susah untuk mengubah nasib. Saya harap setiap rakyat,
lebih-lebih lagi pemaju-pemaju masyarakat dan pegawai-pegawai RISDA yang
menjadi agen-agen perubahan di peringkat akar-umbi, akan menyebarkan
"formula" atau ramuan kejayaan yang saya jelaskan itu supaya ia akan
menjadi teras kejayaan kita bersama.

15. Pihak RISDA sentiasa berusaha untuk mempelbagai dan memperluaskan
sumber pendapatan pekebun kecil semenjak permulaan Rancangan Malaysia
Ketiga. Saya yakin sekiranya kedua-dua pihak, RISDA dan masyarakat pekebun
kecil bersatu dan bekerja kuat dengan matlamat-matlamat yang jelas, kita
akan melihat satu perubahan yang besar di kalangan masyarakat luar
bandar. Saya harap Pusat Pembangunan Pekebun Kecil RISDA yang terdapat di
seluruh negara akan menjadi satu daripada pusat yang membawa perubahan,
rohani dan jasmani di luar bandar. Saya ingin melihat kemampuan ekonomi
luar bandar yang meningkat dengan berbagai-bagai kegiatan pertanian dan
perusahaan-perusahaan berasaskan pertanian yang dapat bertanding dalam
pasaran moden dalam masa yang sesingkat-singkatnya. Ini tidak harus
dilihat sebagai hasrat dan harapan sahaja tetapi sebagai penyaluran iman
dan ibadat di dalam pembangunan negara dan kemajuan umat. Pegawai-pegawai
RISDA dan pemaju-pemaju masyarakat RISDA adalah barisan pemimpin yang
bukan sahaja memikul amanah untuk membawa perubahan yang diharapkan ini
tetapi juga untuk meneruskan usaha mewujud dan memupuk kepimpinan bagi
pembangunan sektor luar bandar yang dinamis.

16. Dengan harapan ini saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan
Seminar Pelaksanaan Projek-projek Pembangunan RISDA.

Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 



 


 











 
Google