home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	EMPANG JAJAR, JALAN LENCONG BARAT, 
			ALOR SETAR, 
Tarikh/Date 	: 	27/03/82 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA MELETAK BATU ASAS KOMPLEKS 
			IBU PEJABAT MADA, EMPANG JAJAR, 
			JALAN LENCONG BARAT, 




Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Syed Nahar Shahabudin, Menteri Besar Kedah
yang juga Pengerusi MADA, dan Yang Amat Berbahagia Datin Seri Nik
Maimunah; Yang Amat Berhormat Tuan Hj. Ali b. Ahmad, Menteri Besar Perlis
dan Isteri; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Yang Berbahagia Ahli-Ahli
Lembaga Pengarah MADA; Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekelian.

Saya bersyukur ke hadrat Allah subhanahu wataala yang telah melimpahkan
keizinanNya untuk membolehkan kita berkumpul di upacara yang meriah dan
bersejarah ini, khusunya dalam konteks pembangunan negeri-negeri Kedah dan
Perlis.

2. Pada tahun 1966, kita di Negeri Kedah dan Perlis telah menyaksi
kerja-kerja pembinaan sebuah rancangan pembangunan yang terbesar di bawah
Rancangan Malaysia Pertama, iaitu apa yang kita kenali sekarang sebagai
Rancangan Pengairan Muda.

Kerja-kerja pembinaan itu telah dapat dilaksanakan dengan jayanya, secara
berperingkat-peringkat, dan hasilnya, sebagaimana yang kita sekelian
maklum, ialah kita telah dapat menakung air di dalam dua kolam yang besar,
iaitu Kolam Muda dan Kolam Pedu. Dengan menggunakan saluran-saluran
taliair yang telah disiapkan maka pada tahun 1970, petani-petani di
Kawasan Muda ini telah dapat memulakan tanaman dua kali setahun. Ini
adalah satu perubahan teknologi yang besar yang memisahkan corak hidup
petani-petani padi daripada ekonomi secukup hidup kepada ekonomi komersial
yang lebih produktif dan menjaminkan.

Yang kita harus sedari bukanlah semata-mata perbelanjaan yang besar untuk
melaksanakan Rancangan Pengairan Muda ini akan tetapi yang lebih penting
lagi ialah faedahnya kepada 63,000 keluarga petani yang mengerjakan 96,000
hektar bendang di dalam kawasan projek ini.

3. Telah menjadi kelaziman, banyak orang menilai sesuatu projek
pembangunan itu semata-mata dari segi saiz projek tersebut dan
kosnya. Penilaian ini tidaklah salah, tetapi kos atau harga tidak dapat
memberi makna yang sepenuhnya kerana ia cuma menunjukkan aspek perangkaan
sahaja. Kita mestilah juga melihatnya dari perspektif yang lebih luas.

Nilai sesebuah projek pembangunan itu bukanlah terletak pada
kecil-besarnya dan tidak juga pada mahal-murahnya. Tumpuan kita sewaktu
menilai kejayaan sesuatu projek pembangunan itu hendaklah dilebihkan
kepada aspek-aspek sosial dan ekonomi, faedahnya kepada rakyat dan negara
dan apakah rakyat pula telah memenuhi kehendak projek supaya apa yang
dirancangkan itu dapat mereka perolehi di peringkat yang maksima? 4. Pada
hemat saya kita tidak perlu menjawab soalan-soalan ini kerana kita telah
sama-sama maklum akan kejayaan-kejayaan dalam bidang sosial dan ekonomi
yang telah dicapai melalui projek ini sejak tahun 1970 hingga sekarang.

Soalnya sekarang ialah kita hendaklah berusaha untuk mempertingkatkan lagi
pencapaian ini. Ini adalah satu soalan yang besar, yang hendaklah sentiasa
dijadikan asas 5. Walau bagaimana pun, dalam tahun-tahun kebelakangan ini
kedudukan bekalan air di Kawasan Muda ini adalah kurang
menggalakkan. Kedudukan bekalan air yang kurang menggalakkan itu telah
menimbulkan beberapa masalah kepada petani-petani. Saya percaya
petani-petani Kawasan Muda ini mengetahui kedudukan yang sebenar mengapa
masalah bekalan air pengairan itu telah timbul, dalam tahun-tahun yang
kebelakangan ini. Akan tetapi malangnya ada golongan-golongan yang
tertentu, dengan niat jahatnya, telah mengambil kesempatan ini lalu
melemparkan berbagai tohmah terhadap Kerajaan dengan berkata bahawa
Kerajaan sengaja mengadakan masalah itu. Ini tidaklah benar sama sekali.

6. Ingin saya tegaskan di sini bahawa kesulitan bekalan pengairan yang
dihadapi dalam tahun-tahun kebelakangan ini ialah akibat beberapa faktor
yang di luar dari kawalan kita, seperti kemarau yang sering berlaku di
kawasan ini. Saya sendiri sangat memandang berat terhadap masalah yang
dihadapi oleh saudara-saudara petani kita di sini. Kerajaan Negeri dan
Pusat sedang menjalankan berbagai langkah dan berusaha sedaya upaya
menghadapi masalah ini. Usaha-usaha juga sedang dijalankan oleh
agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan yang berkenaan mencari
punca-punca air tambahan.

Saudara-saudara sekelian.

7. Masa hadapan negara kita adalah cerah, tetapi janganlah pula kita lupa
membuat persediaan yang cukup sebagai bekalan untuk
menghadapinya. Manakala Kerajaan melaksanakan berbagai-bagai program untuk
faedah para petani, para petani pula hendaklah bersedia menerima
perubahan-perubahan dan mengamalkan teknologi baru yang secucuk dengan
zaman. Tidak ada sebarang kejayaan yang boleh dicapai dengan mudah.

Untuk mencapai kejayaan, kita hendaklah sanggup bekerja keras dengan penuh
ikhlas dan tanggungjawab. Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk
berdikari.

8. Dalam bidang ekonomi, sektor pertanian akan terus memainkan peranan
penting sebagai pembekal makanan utama dan juga pengeluaran bahan-bahan
mentah untuk kegunaan dalam negeri dan juga diekspot. Sebagai sektor utama
dan mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi Kerajaan memberi keutamaan
kepada program dan projek pembangunan bertujuan untuk menambahkan lagi
pendapatan petani-petani dan meningkatkan daya pengeluaran mereka melalui
permodenan sektor pertanian tradisi. Kalau pendapatan dan taraf hidup
petani-petani di Republik Korea dan di Negeri Jepun umpamanya dapat
meningkat setaraf dengan pendapatn dan taraf hidup masyarakat bandar di
kedua-dua buah negara tersebut, maka petani-petani di Malaysia juga
mempunyai potensi untuk mencapai tahap pembangunan seperti itu. Kerajaan
yakin, Insya'allah, pendapatan dan taraf hidup petani-petani kita boleh
ditingkatkan lagi. Bagi mencapai matlamat ini Kerajaan akan terus
memodenkan sektor pertanian. Di samping itu petani-petani pula mestilah
tekun meluaskan pengetahuan mengenai pengurusan ladang, sains tanaman dan
teknologi yang berkaitan. Kita tidak dapat memodenkan sektor pertanian
secara menyeluruh dalam sekelip mata. Proses ini memakan masa, dan
kejayaannya amat bergantung kepada hubungan baik, ketekunan, dan kerjasama
di antara pihak Kerajaan dan para petani.

Para hadirin sekelian.

9. Sebagai langkah ke arah tersebut maka adalah sesuai bahawa MADA
mempunyai sebuah Kompleks Ibu Pejabatnya sendiri. Adalah menjadi harapan
saya, apabila siap kelak, kompleks ini akan meningkatkan lagi semangat di
kalangan seluruh kakitangan MADA untuk terus berkhidmat dengan penuh
dedikasi demi mencapai cita-cita meninggikan taraf hidup masyarakat petani
di dalam Kawasan Muda dan juga untuk menambahkan pengeluaran beras untuk
keperluan negara.

Terima kasih.

 



 


 











 
Google