home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : SEKOLAH MENENGAH JENAN Tarikh/Date : 28/03/82 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN KURSUS KADI, IMAM DAN PEGAWAI AGAMA Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saudara Pengerusi Majlis; Saudara-saudara yang dihormati sekelian. Syukur saya ke hadrat Allah subhanahu wataala, kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, dapat saya bersama-sama hadir di Majlis ini dan bertemu-muka dengan para kadi, imam dan pegawai agama sekelian. 2. Saya yakin, kursus yang diadakan ini berfaedah dan menepati kehendak agama suci kita yang memberi keutamaan kepada ilmu pengetahuan dan menuntut penganutnya mengisi diri dengan ilmu pengetahuan. Sebagaimana Islam mempunyai pengertian ibadah yang luas, begitu pulalah dengan ilmu pengetahuan, apatah lagi jika ilmu pengetahuan itu boleh meningkatkan lagi kemampuan umat Islam dan menerangkan lagi syiar agama suci kita. Oleh itu, saya harap semua pihak, sama ada dengan usaha sendiri ataupun secara kerjasama dengan badan-badan lain, akan sentiasa memberi perhatian kepada usaha meningkat dan memperluaskan ilmu pengetahuan di kalangan, bukan sahaja kadi, imam, pegawai agama dan tokoh-tokoh agama kita, malahan di kalangan umat Islam umumnya. 3. Apabila saya dijemput untuk berucap, selalunya saya menarik perhatian kepada keadaan-keadaan di negara-negara lain. Perbandingan keadaan kita dengan keadaan orang lain, sama ada dari segi perkara-perkara yang dianggap baik mahupun dari segi perkara-perkara yang dianggap tidak baik boleh menajamkan pertimbangan kita. 4. Baru-baru ini saya telah melawat beberapa negara Islam di kawasan Teluk Parsi. Saya juga telah melawat beberapa negara Islam yang lain. Dari pemerhatian saya, dan mungkin pemerhatian saudara-saudara yang pernah melawat ke tempat-tempat ini, kita dapat melihat satu perubahan yang pesat berlaku. Pembangunan fizikal dapat dilihat di sana sini, jalanraya-jalanraya yang begitu lebar, bangunan yang besar-besar dan cantik-cantik semuanya menjadi perkara biasa di negara-negara Islam yang dikurniai kekayaan minyak oleh Allah s.w.t. Tetapi sayangnya usaha-usaha di kebanyakan negara terpaksa bergantung kepada tenaga dan kepakaran luar. Ini tidak lain dan tidak bukan ialah kerana dunia Islam telah ketinggalan dari segi ilmu-pengtahuan, kepakaran dan kemampuan; walaupun tiba-tiba wang hasil minyak mencurah-curah perbelanjaannya bagi pembangunan menguntungkan orang lain. 5. Itulah sebabnya Malaysia memberi keutamaan kepada segala aspek yang boleh membangunkan kita sebagai umat yang segala mampu asalkan jalan-jalan kita itu jalan-jalan yang halal. Kalau semua orang Islam tidak sukakan dunia kerana mengikut setengah-setengah gesaan mereka yang sempit pandangan, kita bukan sahaja akan terus lemah tetapi yang lebih celaka ialah kita akan dimakan dan ditelan oleh musuh-musuh Islam. Kita mahukan semua orang menunaikan fardhu 'ain, di samping itu kita mahukan semua orang Islam menuntut dan bantu-membantu menyempurnakan fardhu kifayah yang menjadi beban kita semua. Jika kita mundur, jika kita lemah, mengubah kedudukan kita kepada kedudukan yang maju dan teguh selaras dengan kehendak Islam adalah juga fardhu kifayah dan tidak kurang pentingnya bagi masa depan kita. Malaysia akan berusaha memainkan peranan yang positif di kalangan masyarakat Islam sedunia dan, dalam hal ini, kita tidak dapat lari dari tanggungjawab menyatupadukan umat Islam di negara kita supaya peranan kita di peringkat dunia Islam akan lebih berkesan dan bererti. 6. Kalau umat Islam ingin kuat dan maju -- dan kita semua mesti kuat dan maju kita mestilah bantu-membantu dan bersatu. Kerana tenaga dalam perpaduan tidak ada tolok-bandingnya. Oleh itu sesiapa juga yang menyeru dan bertindak supaya umat Islam pulau-memulau, benci-membenci dan lain-lain lagi hanyalah membawa kita kepada mulut musuh kita untuk di kunyah dan ditelan. Sedangkan kita mempunyai segala kemungkinan mereka mencari jalan untuk melemahkan kedudukan kita. Saya merasa sedih kerana ada pihak-pihak yang sengaja melaga-lagakan Islam sedangkan Islam tidak menyeru umatnya berpecah-belah; bukan sahaja ini hina di dalam pandangan Islam tetapi hina di pandangan orang-orang lain. 7. Saya harap pemimpin-pemimpin masyarakat, pemimpin-pemimpin politik dan lain-lain pemimpin, terutamanya di mana golongan pengikut mereka mungkin terlibat dengan memecah-belahkan umat Islam hendaklah berani menyuarakan tentangan mereka terhadap perkara yang terkutuk ini. Kerana tanpa melarang, tanpa menyekat sedikit-sebanyak tanggungjawab di atas persengketaan di kalangan umat yang seugama adalah menjadi beban dan tanggunjawab pemimpin-pemimpin berkenaan. 8. Kebanyakan mereka yang terpedaya ini tidak bersalah. Tetapi, oleh sebab mereka sayangkan agama mereka, mereka lurus maka mereka telah menerima pendapat-pendapat yang kononnya daripada pakar-pakar agama. Rakyat harus sedar bahawa usaha-usaha untuk membawa pecah-belah di kalangan umat Islam tidak menjadi isu di negara-negara lain; sekurang-kurangnya bukan kerana kepentingan politik. Ini ada pula yang mengkafirkan orang UMNO kerana menjadi ahli UMNO. Iman dan dalamnya Islam seseorang hanya berada di lubuk hati masing-masing, cuma Allah yang Maha Mengetahui. Kalaulah orang UMNO kafir, mengapa Kerajaan Saudi membenarkan semua orang yang berdaftar dengan Tabung Haji untuk menunaikan fardhu Haji ke Mekah. Mengapa mereka tidak tanya dahulu siapa ahli parti apa. 9. Ada pula mereka yang mendakyahkan agama telah merosakkan nama baik Kerajaan dan usaha-usaha Kerajaan. Kononnya itu haram dan ini haram sehinggakan jika tidak berhati-hati seseorang itu akan meningggalkan segala rezekinya di Malaysia ini. Duit dari Kerajaan haram, bantuan Kerajaan haram, dan lain-lain lagi. Rakyat harus berhati-hati kerana ini akan membawa kemunduran kepada umat Islam dan golongan yang memfitnahkan ini akan akhirnya berjaya mengatakan bahawa kemunduran umat Islam ialah kerana Kerajaan yang melemahkan. 10. Setiba saya dari lawatan ke negara-negara Teluk baru-baru ini, saya telah mengumumkan bahawa sebuah Universiti Islam Antarabangsa akan ditubuhkan di Malaysia. Universiti ini adalah universiti kepunyaan umat Islam sedunia. Ia akan menyediakan semua mata pelajaran yang selaras dengan konsep ilmu pengetahuan untuk tamaddun Islam yang agung dan ia akan menjadi alat perpaduan di kalangan umat Islam, tidak kira rupa dan keturunan, tidak kira bahasa dan budaya asal mereka. Inipun ada yang mengatakan Universiti ini sebagai alat politik. Jadi susah kita mempertahankan setiap tindakan kita sekiranya ada pihak yang sentiasa irihati, syak wasangka dan sentiasa sedia untuk memutar-belit dan membuat fitnah. 11. Kalau saya ingin bermain politik banyak yang boleh di heboh-hebohkan, itu ini dan apa saja untuk memesongkan fikiran dan pertimbangan rakyat. Ini bukan tujuan Kerajaan sekarang dan bukan menjadi amalan Barisan Nasional. Kalau kita menangpun biarlah kerana kita amanah dan jujur. 12. Sebenarnya masih banyak usaha yang boleh dibuat bagi faedah umat Islam di negara kita dan di dunia Islam. Pertama ialah dengan usaha-usaha Kerajaan, badan-badan Islam dan pencinta Islam. Kedua dengan persaudaraan dan perpaduan Islam. Ketiga dengan memperbaiki segala cara dan kaedah kita memperbaiki umat dan pentadbiran Islam. 13. Kehadiran saudara-saudara sekelian di dalam kursus ini juga merupakan peluang untuk memikirkan dengan lebih luas dan mendalam berbagai cara yang boleh kita usahakan bersama demi kebaikan dan kemajuan umat. Saya harap saudara-saudara sekelian akan menguatkan benteng bagi mempertahankan perpaduan serta keluhuran Islam dan menjadi penghubung dan penawar di dalam suasana masyarakat kita yang sangat-sangat memerlukan perpaduan. 14. Akhir kata, dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani, saya dengan segala sukacitanya merasmikan kursus ini. Wabillahi taufik walhidayah wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. |