home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA SUBANG Tarikh/Date : 03/04/82 Tajuk/Title : UPACARA MERENJIS PESAWAT B 747 MAS Yang Berhormat Dato' Lee San Choon Menteri Pengangkutan dan Datin; Yang Mulia Raja Tan Sri Raja Mohar bin Raja Badiozaman; Pengerusi Lembaga Pengarah MAS; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Ahli-ahli Lembaga Pengarah; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada MAS di atas penghormatan yang diberikan kepada saya untuk melakukan upacara merenjis pesawat B 747nya yang pertama. 2. Penggunaan pesawat Jumbo-Jet B 747 oleh MAS merupakan satu lagi kemajuan di dalam sejarah perkhidmatan penerbangan kita. MAS telah maju setapak demi setapak mengikut perancanaan yang teliti. Keputusan untuk menggunakan Jumbo-Jet merupakan satu tindakan yang ekonomik memandangkan kemajuan dan kemampuan yang telah dicapai oleh MAS setakat ini. 3. MAS merupakan syarikat penerbangan yang ke-67 di dunia yang menggunakan pesawat B 747. Walaupun perusahaan penerbangan secara amnya mengalami kesulitan pada masa ini, saya yakin, sebagaimana yang dijangka, berdasarkan perkiraan yang terperinci, prestasi kita tidak akan terjejas. Dengan adanya pesawat B 747 ini, MAS bukan sahaja boleh menambahkan muatannya, malahan dapat mengatur semula operasinya supaya lebih sesuai dan ekonomik dengan keadaan yang telah berubah. Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. 4. Hari ini terdapat banyak syarikat penerbangan di seluruh dunia. Kebanyakannya adalah jauh lebih besar dari MAS. Sebenarnya MAS adalah di antara syarikat penerbangan yang terkecil sekali walaupun di kalangan negara-negara ASEAN. Dan MAS adalah yang terakhir yang menggunakan pesawat B 747 jumbo. 5. Tetapi kejayaan syarikat penerbangan bukan bergantung kepada kecil atau besarnya, atau route/miles atau bilangan tempat duduk. Kerap terjadi, kerugian meningkat dengan peningkatan 'capacity' syarikat. Lebih banyak pesawat, lebih jauh penerbangan, lebih banyak 'route' cuma bermakna lebih banyak kerugian. 6. Perkara ini berlaku kerana kejayaan syarikat bergantung kepada kecekapan pengurusan dan khidmat yang baik. Biasanya penumpang memilih syarikat yang memberi khidmat yang baik dan yang mengikut jadual-waktu yang tepat. Sebab itu kadangkala melalui "route" yang sama, sebuah pesawat kosong sementara sebuah lagi dari syarikat lain penuh sesak. 7. Saya menaruh perhatian kepada hakikat ini kerana kita tidak mahu MAS menjadi satu "White Elephant" yang kita boleh bangga setakat kita ada syarikat penerbangan tetapi tak ada faedah daripada perjalanannya. Kita mahu syarikat yang berjaya walaupun kecil. 8. Untuk ini kita perlu pengurusan yang baik. Pengurusan yang baik bermakna peningkatan kecekapan dan dedikasi dari pegawai-pegawai eksekutif. Mereka juga harus sanggup bekerjasama antara satu sama lain. Tidak ada tempat untuk "individualism" atau "petty guards" dalam pengurusan MAS. Tidak ada tempat untuk bersikap tidak bertimbang rasa sama ada kepada rakan-rakan atau kepada kakitangan bawahan. Semua mestilah bekerja sebagai satu "team" yang berbangga kerana kejayaan syarikat serta kesan "team work" dan bukan kerana diri sendiri. 9. Untuk kejayaan juga kita perlu khidmat yang baik oleh semua pihak. Ini tidak bermakna "cabin staff" sahaja tetapi juga "ground staff". Janganlah cuma di atas pesawat sahaja kita melihat senyuman manis tetapi apabila mendarat di negara sendiri senyuman sudah tidak kelihatan lagi. "Service with a smile" hendaklah menjadi satu amalan yang menyeluruh. "Efficiency" dan "proficiency" hendaklah menjadi "hall mark" kepada MAS di mana sahaja pekerjanya berkhidmat. Dan semua ini hendaklah diamalkan kerana "pride in your national airline" ataupun tidak mahu malu atau memalukan negara. Amatlah sedih apabila kita mendengar perbandingan dengan "service" yang diberi oleh orang lain di "airport" yang lain dengan sindiran bahawa memanglah keadaan di Malaysia begitu. Tak guna kita marah. Yang perlu dibuat ialah memperbaiki prestasi kita. Dengan sendirinya sindiran dan teguran yang memalukan akan hilang. 10. Saya harap teguran saya ini diterima dengan semangat yang saya membuatnya. Niat di belakang teguran ini ialah supaya kita dapat panggung kepala, dan bukan tunduk kerana malu. Sebagai seorang orang Malaysia saya mahu berbangga dengan kejayaan bangsa dan negara saya. Saya yakin semua orang Malaysia tidak kira apa kaum berperasaan demikian. Oleh itu tingkatkanlah khidmat kita dan jadikanlah penerbangan MAS penerbangan yang terbaik di rantau ini jika tidak di dunia. Tuan-tuan dan puan-puan. 11. Kerajaan mengadakan perkhidmatan penerbangan ini untuk menolong membangunkan negara. Kita sedang membelanjakan wang yang banyak untuk pembesaran lapangan-lapangan terbang serta juga kemudahan-kemudahan lain. Jenis pesawat yang akan digunakan akan dipertingkatkan dan bilangan tempat yang akan mendapat khidmat penerbangan akan ditambah. 12. Khidmat penerbangan bukan lagi satu khidmat mewah tetapi sudah jadi satu keperluan. Ini jelas dirasai apabila jadi kesakitan atau kematian diwaktu mana kita perlu sampai ke sesuatu tempat dengan cepat. Khidmat penerbangan juga memberi peluang kadangkala bagi menyelamatkan nyawa. Sekarang ini untuk menunaikan ibadat haji atau membuat umrah juga dimudahkan dengan penggunaan kapalterbang. Oleh itu Kerajaan sanggup membelanjakan wang untuk kemudahan penerbangan. Adalah diharap rakyat akan menghargai dan menggunakan segala kemudahan yang disediakan dengan cara yang memberi peluang kepada lebih ramai menggunakan kemudahan-kemudahan ini kemudian dari mereka. Janganlah kita anggap bahawa oleh kerana kemudahan yang disediakan bukanlah sebenarnya kepunyaan kita, maka kita tidak menjaganya. Jagalah segala-gala kemudahan ini sebagai pusaka negara dan cerminkanlah sifat dan budaya kita dalam penggunaannya setiap masa. Sepertimana kita tidak suka pengguna yang terdahulu dari kita meninggal kemudahan awam dalam keadaan yang kotor dan rosak, begitu jugalah kita harus fikir terhadap orang yang akan menggunakan kemudahan ini selepas dari kita. Dengan demikian kita bukan sahaja menolong diri kita tetapi juga menyelamatkan wang negara. 13. Akhir sekali saya mengucapkan tahniah kepada MAS, Lembaga Pengarah dan eksekutif dan juga kepada kakitangan MAS kerana berjaya dalam rancangan meningkatkan perkhidmatan MAS setaraf dengan syarikat penerbangan lain. Saya juga ingin mengucap terima kasih kepada Encik Saw Huat Lye, bekas Pengurus Besar MAS yang telah bersara setelah memimpin MAS sejak penubuhannya. Pesaraannya ialah dengan permintaannya sendiri dan saya telah melepaskannya. Saya ucapkan selamat kepadanya. 14. Saya berdoa supaya MAS akan terus berjaya dan akan menjadi syarikat penerbangan yang terkenal di seluruh dunia. Sekian, terima kasih. -------------------------------------------------------------------------------- Sumber : Pejabat Perdana Menteri |