home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : MELALUI RADIO MALAYSIA Tarikh/Date : 20/04/82 Tajuk/Title : UCAPAN Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekelian, Kita telah mencapai Kemerdekaan 25 tahun yang lalu. Dalam tempoh 25 tahun itu kita telah menghadapi berbagai cabaran dan mengalami berbagai perubahan. Perubahan-perubahan yang berlaku telah memberi manfaat kepada negara dan rakyat keseluruhannya. Kita telah mencapai kejayaan di dalam berbagai bidang. Segala-galanya 2. Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat membuktikan pilihan yang bijaksana. Kita bukan sahaja menikmati keamanan, keharmonian, kestabilan dan kemakmuran, tetapi setiap rakyat, secara langsung dan tidak langsung, telah dapat mengecap faedah daripada kejayaan ini. Di sana sini kita dapat lihat tanah-tanah dibuka, rakyat ditempatkan di kawasan-kawasan penempatan, rumah-rumah dan bangunan dibina, jalan raya dan pengangkutan diperbaiki dan diperluaskan, berbagai kemudahan seperti air, letrik, pusat-pusat kesihatan, sekolah, tempat ibadah dan lain-lain telah diadakan. Taraf hidup rakyat berbagai golongan, kaum dan lapisan masyarakat telah menjadi bertambah baik. 3. Mungkin hari ini ramai daripada kita, termasuk ramai rakyat luarbandar, yang dapat berbangga dengan pencapaian mereka. Anak-anak atau saudara-mara kita bukan sahaja telah mendapat pelajaran, malahan telah mendapat pelajaran tinggi di universiti tempatan ataupun di luar negeri, termasuk di Mesir, di Iraq, di Arab Saudi, di Amerika dan lain-lain negara. Mungkin bila kita sakit, anak kita ataupun saudara-mara kita yang menjadi doktor yang merawat kita, mereka yang mengajar anak-anak kita, mereka yang menjadi pegawai-pegawai di mana kita mendapat pertolongan dan bantuan. Sekarang ini kita dapat melihat bumiputera sebagai usahawan, sebagai kontraktor dan sebagai pakar-pakar di dalam berbagai bidang dan di universiti-universiti. 4. Negara kita dikurniakan dengan berbagai-bagai sumber alam yang bernilai. Kita menjadi pengeluar bijih timah, getah, kelapa sawit, kayu balak dan petroleum serta lain-lain bahan yang penting. Dengan sumber kekayaan negara dan dengan Kerajaan Barisan Nasional yang dedikasi dan berusaha membawa faedah dan kemakmuran kepada rakyat, kita telah mencapai tahap kemajuan dan pembangunan yang boleh kita banggakan. Kita telah mendapat kedudukan yang baik di kalangan negara-negara yang sedang membangun. 5. Ini semua adalah kejayaan dan pencapaian kita. Ini adalah kurniaan dan nikmat Tuhan kepada kita. Dan ini adalah hasil kematangan dan kebijaksanaan rakyat meletak kepercayaan kepada Kerajaan yang berhasrat untuk membela nasib keseluruhan rakyat dan yang ingin menempa masa depan yang gemilang bagi negara. 6. Cara pemerintahan kita adalah cara demokrasi. Rakyat mempunyai hak untuk memilih parti politik yang membentuk kerajaan. Dan pada hari ini kita masih tegak mengamalkan sistem demokrasi ini. Kita tidak sanggup sistem ini dicabuli dan dirosak oleh sesiapa jua. Rakyat harus insaf betapa nasib rakyat se-setengah negara yang telah kehilangan kebebasan memilih kerajaan mereka dan bagaimana pula rakyat se-setengah negara beransur-ansur kehilangan kebebasan ini. Pemulihan demokrasi selepas peristiwa 1969 telah membuktikan kejujuran Kerajaan yang didokong oleh Perikatan dan Barisan Nasional terhadap sistem demokrasi. Rakyat perlukan Kerajaan Barisan Nasional yang kuat untuk menjamin dan memelihara demokrasi. 7. Di samping berbagai kejayaan, kita tidak dapat nafikan bahawa masih banyak yang perlu kita usahakan. Kita masih di dalam proses untuk mengukuhkan lagi asas-asas keadilan dan perpaduan. Kita sedang menyusun semula masyarakat, membasmi kemiskinan dan meningkatkan mutu kehidupan rakyat. Kita sedang membangunkan negara kita sebagai negara yang setanding dengan negara-negara yang telah maju dengan perseimbangan asas-asas nilai rohani yang mulia lagi tinggi dengan kemajuan jasmani dan fisikal. 8. Barisan Nasional menerima hakikat bahawa negara Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum. Kita memegang amanah untuk melindungi semua pihak. Semua pihak pula mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk bersama-sama menjamin masa depan yang cerah dan penuh harapan bagi Malaysia. 9. Kita yakin bahawa rakyat yang layak mewarisi negara ini dan meneruskan aspirasi negara ialah rakyat yang berpandukan kepada lunas-lunas Rukunegara. Barisan Nasional akan mejamin keluhuran dan ketinggian syiar Islam dan memelihara kebebasan beragama bagi penganut-penganut agama lain sebagaimana yang pernah diamalkan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. 10. Kita percaya dengan prinsip hidup berbaik-baik dengan semua berdasarkan sikap hormat-menghormati. Prinsip ini bukan sahaja terhad kepada kehidupan di dalam masyarakat kita tetapi di dalam hubungan persahabatan kita dengan negara-negara lain. Kita akan memberi keutamaan kepada persahabatan di kalangan negara ASEAN dan di kalangan negara-negara Islam. Bersama dengan negara-negara Islam yang lain, kita akan berusaha mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh umat Islam dan bersama negara-negara membangun kita akan menuntut keadilan di dalam sistem perhubungan antarabangsa. 11. Barisan Nasional memberi keutamaan kepada tanggungjawab terhadap rakyat, kepada keadilan bagi semua untuk mengecap kemakmuran dan peluang-peluang yang wujud di negara ini, dan kepada kesederhanaan dalam segala tindakan kita. Kita akan terus memperjuang dan menegakkan prinsip-prinsip ini demi kepentingan dan amanah yang menjadi tanggungjawab kita. 12. Sesungguhnya Kerajaan yang kuat sahaja yang dapat membela nasib rakyat dan membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara. Bukan pihak pembangkang yang kuat yang dapat menjamin Kerajaan yang bersih, cekap dan amanah. Sebaliknya ini akan tercapai dengan kebijaksanaan rakyat yang memberi kepercayaan penuh kepada Barisan Nasional kerana rakyatlah yang akan mengadili Barisan Nasional apabila ia berhadapan dengan rakyat sekali lagi. 13. Barisan Nasional adalah satu pasukan. Kekuatannya bukan terletak kepada orang perseorangan dan ketokohan seseorang ahli atau pemimpin. Kekuatannya ialah kerana tindakan cara berpasukan. Inilah yang menjadi asas perpaduan dan kejayaannya. Pasukan Barisan Nasional terdiri daripada tokoh-tokoh yang berkemampuan untuk berkhidmat dan mereka mewakili kepentingan semua golongan dan lapisan masyarakat. 14. Barisan Nasional berjanji untuk menegakkan Kerajaan bersih, cekap dan amanah. Insya Allah, dengan sokongan rakyat kita akan menepati janji kita ini, dan Insya Allah rakyat akan mengecap faedah daripada janji ini. Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekelian, 15. Pada 22 haribulan April ini rakyat sekali lagi mendapat penghormatan untuk menempa masa depan negara. Saya yakin tuan-tuan dan puan-puan sekelian akan menggunakan hak mengundi dengan bijak dan dengan penuh pertimbangan bagi menjamin masa depan kita dan masa depan anak-anak kita yang lebih cemerlang. Saya harap tuan-tuan dan puan-puan sekelian memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional. |