home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	SERI TAMAN. KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	06/05/82 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN MEMORIAL 
			TUN ABDUL RAZAK 




YAB Datuk Musa Hitam, Timbalan Perdana Menteri dan Datin Laila; YTM Tunku
Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Toh Puan Sharifah Rodziah; YAB Tun Hussein
Onn dan Toh Puan Suhailah; YAB Toh Puan Hajjah Rahah; Yang Berhormat-Yang
Berhormat; Dif-dif Kehormat, Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati
Sekelian.

Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya bersyukur ke hadrat Allah subhanahu wata'ala kerana dapat
bersama-sama hadir di Majlis Perasmian Memorial Tun Abdul Razak yang
bersejarah pada pagi ini.

2. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua
Pengarah Arkib Negara yang telah sudi menjemput saya dan isteri saya untuk
menghadiri Majlis ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk
mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pihak
yang telah berusaha serta memberi kerjasama untuk melaksana dan menjayakan
projek ini.

3. Sejarah sesuatu bangsa dan negara merupakan satu Sesuatu bangsa yang
agung ialah sesuatu bangsa yang memberi nilai yang tinggi kepada sejarah
dan yang mengambil sejarah, kemanusiaan dan alam semesta. Sejarah akan
memberi kepada kita tenaga dan juga landasan di dalam menempa masa depan
kita.

4. Negara kita kaya dengan sejarahnya. Sebagai negara yang muda kita amat
bertuah kerana di antara tokoh-tokoh dan negarawan kita masih ramai yang
dapat bersama-sama melihat pencapaian kita. Pada hari ini kita berbangga
kerana dua orang bekas Perdana Menteri, iaitu YTM Tunku Abdul Rahman dan
YAB Tun Hussein yang begitu banyak menabur jasa kepada bangsa dan negara
dapat bersama-sama memeriah dan memberi erti kepada Majlis ini.

5. Pada hari ini kita berkumpul di satu Majlis untuk memperingati salah
seorang daripada tokoh-tokoh penting kita. Tokoh tersebut ialah
Allahyarham Tun Haji Abdul Razak yang malangnya, ketika usia yang muda,
telah meninggalkan kita.

6. Allahyarham Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia Yang Kedua,
banyak mempengaruhi sejarah tanah air.

Allahyarham telah mencebur diri dalam politik tanah air semenjak awal-awal
lagi. Beliau merupakan salah seorang daripada tokoh-tokoh penting yang
meletakkan asas-asas perjuangan untuk menuntut Kemerdekaan dan seterusnya
dalam menempa sejarah Malaysia Merdeka. Pada hari ini kita berbangga
bersama-sama keluarga dan sanak-saudaranya memperingati tokoh yang diberi
penghormatan negara sebagai Bapa Pembangunan.

7. Sesungguhnyalah Allayarham Tun Abdul Razak memberi begitu banyak
tumpuan perhatian kepada pembangunan. Setiap detik usianya adalah
digunakan untuk mengisi dan memberi erti kepada Kemerdekaan. Allahyarham
menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air, bermesra dan menggesa rakyat
untuk mengubah nasib, bergaul dengan para pegawai dan pelaksana dan
meneliti perjalanan jentera Kerajaan. Hinggalah kita peribadi, walaupun
kesihatan beliau di masa-masa yang akhir telah terganggu. Sesungguhnya
jasa Allahyarham begitu besar kepada kita semua dan sudah pastilah
jasa-jasa dan sumbangan-sumbangan beliau harus diingati oleh rakyat
Malaysia, generasi demi generasi.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekelian.

8. Seri Taman di mana kita berada sekarang merupakan tempat kediaman
Allahyraham Tun Abdul Razak semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri
dan seterusnya setelah beliau menjadi Perdana Menteri sehinggalah ke akhir
hayatnya iaitu dari tahun 1963 hingga ke tahun 1976. YAB Tun Hussein Onn,
ketika memegang jawatan Perdana Menteri juga mendiami Seri Taman. Di
sinilah sebahagian besar daripada perbincangan-perbincangan,
keputusan-keputusan dan tindakan-tindakan yang mempengaruhi serta
menentukan sejarah negara telah dibuat. Mungkin ada di antara hadirin di
Majlis ini yang dapat mengenang kembali liku-liku sejarah untuk mengingati
kembali detik-detik dan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di Seri
Taman.

9. Di Seri Taman inilah sebahagian daripada usia Allahyarham Tun
dihabiskan. Bagi keluarga Allahyarham tentulah banyak yang menjadi
kenangan pahit manis di Seri Taman ini.

10. Memandangkan rapatnya Seri Taman dengan Allahyarham Tun oleh itu
adalah tepat dan bersesuaian sekali Seri Taman ini dihayati sebagai
Memorial Tun Abdul Razak, iaitu sebagai satu tinggalan sejarah yang
penting bagi memperingati Allahyarham sebagai seorang tokoh, pejuang dan
negarawan tanah air kita.

11. Memorial ini akan menempatkan segala rupa benda yang berkaitan dengan
Allahyarham samaada di dalam bentuk asal sepertimana ketika Allahyarham
mendiami kediaman ini atau pun dengan cara lain. Projek Memorial ini yang
julung-julung kali diadakan di negara ini adalah satu usaha Kerajaan untuk
memperingati seorang bekas Perdana Menteri.

Tujuan projek ini, bukanlah untuk mendewa-dewakan seseorang tokoh negara
tetapi sebaliknya adalah untuk memperlihatkan kepada rakyat, khususnya
kepada jenerasi kemudian, tentang nilai perjuangan, pengorbanan, harapan
serta aspirasi seorang Perdana Menteri terhadap negara, bangsa dan agama.

Adalah penting bagi seluruh rakyat dan setiap generasi menginsafi
perjuangan dan pengorbanan bagi membina dan memelihara kedaulatan dan
kemakmuran negara.

12. Semasa kita mengejar kejayaan dan kemajuan kita juga harus senantiasa
mengingati tentang segala pengorbanan yang telah dibuat oleh
pemimpin-pemimpin kita yang telah terlibat penuh di dalam menempa masa
depan negara. Kita tidak harus lupa segala jenis pengorbanan dan kerjasama
bagi membebaskan negara dari belenggu penjajahan dan kita tidak harus lupa
dengan bahaya yang telah dapat kita atasi serta nilai dan harga segala
pencapaian kita hingga ke hari ini. Tidak sesiapa pun yang insafkan
sejarah akan menjadi angkuh dengan kejayaan yang dicapai, malah apa yang
harus setiap rakyat lakukan ialah bersyukur dan berterima kasih.

13. Saya mendapat tahu bahawa bahan-bahan yang telah dikumpul mengenai
Allahyarham Tun adalah amat banyak.

Tetapi oleh sebab terhadnya bangunan dan kawasan ini cuma sebahagian
sahaja daripada barang-barang tersebut yang dapat di pamerkan di
sini. Namun demikian saya gembira mendapat tahu bahawa pihak Arkib Negara
yang bertanggunjawab menguruskan Memorial ini akan mengubahsuaikan
bahan-bahan pameran mengikut thema-thema tertentu dengan menekan
aspek-aspek penting di dalam sejarah hidup Allahyarham dari masa ke
semasa. Ini adalah perlu bagi sesuatu Memorial seperti ini kerana ianya
hendaklah senantiasa hidup dan dapat membuktikan bahawa segala sumbangan
tokoh itu berguna sepanjang zaman.

14. Saya berharap pameran yang disediakan di Memorial ini akan menarik
minat orang ramai terhadap sejarah dan warisan tanah air walaupun secara
tidak langsung, khususnya di kalangan generasi muda. Kita perlu semaikan
rasa dan semangat cintakan tanahair dikalangan anak-anak kita dan di dalam
hal ini peranan bahan-bahan bersejarah adalah amat penting bagi menyinkap
perasaan ini. Bahan-bahan di dalam Memorial ini seharusnya akan dapat
menimbulkan minat dan memberi dorongan serta peransang kepada jenerasi
muda untuk berkhidmat dan berbakti kepada negara. Sumbangan dan khidmat
bakti Allahyarham Tun untuk membangunkan negara ini tidaklah seharusnya
tinggal sebagai kenangan tetapi hendaklah menjadi inspirasi kepada
anak-anak muda untuk berazam dan bercita-cita tinggi untuk bersama-sama
menyumbang untuk negara.

15. Dengan harapan ini saya, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha
Mengasihani, dengan sukacitanya merasmikan pembukaan Memorial Tun Abdul
Razak.

Wabillahi taufik wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 



 


 











 
Google