home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	STADIUM NEGARA KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	15/05/82 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERHIMPUNAN HARI 
			BELIA NEGARA 




Saya mengucap syukur ke hadrat Allah subahanahu wataala, kerana dengan
izin dan limpah kurniaNya, dapat kita bersama-sama berkumpul di majlis
yang permai pada pagi ini.

2. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada YB
Datuk Mokhtar Hashim, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, kerana telah
sudi menjemput saya dan isteri saya menghadiri Perhimpunan Hari dan Minggu
Belia Negara pada pagi ini dan di atas penghormatan yang diberikan kepada
saya untuk berucap sepatah-dua kata sempena Hari dan Minggu Belia Negara
dan seterusnya untuk melancarkan Yayasan Belia Malaysia.

3. Saya difahamkan di dalam perhimpunan Hari dan Minggu Belia pada tahun
ini, kita disertai oleh tetamu-tetamu khas yang datang dari negara-negara
ASEAN, Korea Selatan dan Negara-negara Komanwel. Kepada tetamu-tetamu khas
dari luar negeri ini, saya dengan sukacitanya mengalu-alukan kehadiran
mereka dan mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana dapat
bersama-sama meraikan Majlis kita ini.

adalah sebagai penentu masa depan sesuatu masyarakat dan
negara. Pentingnya belia bukan sahaja terletak kepada bilangan mereka yang
ramai dan sebagai tenaga utama di dalam masyarakat, tetapi juga dari segi
peranan sebagai penyambung antara satu generasi dengan satu generasi.

5. Malaysia, sebagai sebuah negara berbilang kaum yang masih di dalam
proses pembangunan dan sedang menghadapi cabaran ke arah pembinaan satu
bangsa Malaysia yang bersatu-padu, sangat-sangat bergantung kepada
golongan belia yang aktif, berdisiplin dan progresif.

6. Sebagai satu bangsa kita mewarisi satu sejarah yang penting. Zaman
penjajahan menjadi pengalaman yang tidak dapat kita lupakan. Perjuangan
untuk mencapai kemerdekaan dan segala usaha kita untuk membina negara
Malaysia moden memaksa kita melalui berbagai liku-liku sejarah dan membawa
kita berhadapan dengan berbagai cabaran. Kita tidak harus lupa dengan
semua ini. Kita tidak harus lupa dengan hakikat bahawa asas negara
Malaysia yang merdeka adalah penerimaan unsur-unsur keperibadian
masyarakat pribumi dengan mengambil kira hakikat wujudnya nilai-nilai
kaum-kaum lain yang berada di Malaysia. Semasa kita mencapai kemerdekaan
kita telah mencapai persetujuan antara kaum dalam banyak hal dan
persetujuan itu dicapai kerana kita pentingkan masa depan yang
bahagia. Oleh itu, walaupun masa berlalu, dan generasi yang baru akan
meninggal sejarah yang telah kita lalui jauh ke belakang, mereka tidak
harus lupa tentang asas-asas dan perjanjian-perjanjian yang telah dicapai
oleh pejuang-pejuang kemerdekaan kita.

7. Kaum belia sebagai penghubung antara generasi harus membawa bersama
mereka sejarah bangsa Malaysia moden ini supaya, walau dalam apa jua
keadaan sekalipun, mereka yang datang kemudian daripada kita akan sentiasa
menghormati asas-asas dan persetujuan-persetujuan yang telah kita capai
semasa kita memperjuangkan kemerdekaan Malaysia.

8. Saya menyentuh soal sejarah kerana sesuatu generasi, khususnya generasi
muda, yang lupa pada sejarah mungkin akan hilang pertimbangan dan panduan
dan mungkin akan bertindak berpandukan desakan dan emosi yang akibatnya
akan merugikan. Sejarah menunjukkan kepada kita bagaimana kaum belia dapat
mengubah sesuatu masyarakat dan masa depan sesuatu negara. Tidak
semestinya semua perubahan ini untuk kebaikan. Sama ada kebaikan akan
menyusul atau tidak bergantung bukan semata-mata kepada niat tetapi juga
kepada cara perubahan itu diusahakan. Ada belia yang bertindak melalui
ugutan dan kekerasan dan ada yang menyusun langkah dengan tertib dan
terancang untuk mencapai matlamat perjuangan mereka. Ugutan dan kekerasan
akan membuahkan ugutan dan kekerasan yang silih berganti dan
berlarutan. Tidak sesiapa pun yang akan berjaya secara
berkekalan. Pemerintahan yang diasaskan kepada ugutan dan kekerasan tidak
akan dapat memerintah melainkan dengan cengkaman kuku besi. Dan
pemerintahan jenis ini akan membawa kepada tentangan, ugutan dan
kekerasan. Sebaliknya pemerintahan yang diasaskan kepada proses
undang-undang dan keadilan akan membawa ketenteraman dan kejayaan. Oleh
itu semua pihak hendaklah menghormati dan berpegang kepada
aturan-peraturan yang telah dibuat. Jenerasi yang muda juga terikat dengan
aturan-peraturan ini walaupun mereka tidak terlibat dengan proses
menggubal aturan-peraturan ini.

9. Hari dan Minggu Belia Negara tahun ini dengan temanya "BELIA
BERDISIPLIN NEGARA PROGRESIF" mempunyai kaitan dengan apa yang telah saya
sentuh itu. Negara kita yang menghadapi berbagai-bagai cabaran memerlukan
kaum belia yang penuh disiplin kerana dengan belia yang berdisiplinlah
akan lahir masyarakat dan bangsa yang berdisiplin. Kita perlukan
masyarakat yang berdisiplin bukan kerana kita mahu bermegah-megah dengan
disiplin atau kita mahu hapuskan daya pemikiran yang tersendiri tetapi
kerana disiplin boleh membawa kebaikan, ketenteraman dan kemakmuran kepada
negara.

Tanpa disiplin huru-hara akan berlaku dan tidak ada negara yang boleh maju
dan berjaya jika huru-hara melandanya sepanjang masa.

wujud di dalam masyarakat dan negara; tanggungjawab untuk menentukan yang
kita sentiasa memberi kepentingan kepada apa-apa jua yang baik untuk
masyarakat dan negara; tanggungjawab untuk sama-sama menjamin keselamatan,
keterlaluan yang menghancurkan segala-gala yang telah dibina dan diwarisi
sejak berkurun-kurun. Tanpa masyarakat yang berdisiplin, atau yang
menghormati disiplin, pemerintahan yang berkesan dan berfaedah tidak akan
wujud. Tidak ada pemerintahan yang boleh mengurangkan jenayah, rusuhan,
kerosakan akhlak dan lain-lain melainkan masyarakat sendiri menyertai dan
merestui tindakan pemerintah. Rakyat yang tidak berdisiplin sudah tentu
tidak akan menyertai dan mengizinkan tindakan pemerintah. Akan menjadi
sia-sia sahajalah perbelanjaan dan tindakan mengadakan pemerintahan jika
pemerintahan tidak berkesan. Nyatalah bahawa disiplin adalah penting bagi
masyarakat dan negara. Oleh kerana belia juga adalah anggota masyarakat
maka disiplin belia sebenarnya adalah untuk kebaikan dan kejayaan diri
sendiri.

11. Baru-baru ini kita telah menekankan soal daya pengeluaran atau
"productivity". Daya pengeluaran bermakna keupayaan membuat apa juga
dengan cekap, cepat, baik dan murah. Tidak syak lagi keupayaan ini akan
dapat menjadikan masyarakat dan negara kita lebih maju dan
sejahtera. Bukan 12. Disiplin mempunyai kaitan yang amat rapat dengan daya
pengeluaran. Lebih tertib dan teratur cara-cara bekerja lebih baik dan
bertambahlah hasil kerja. Oleh itu sekali lagi kita dapat melihat
pentingnya disiplin dan perlunya ia diamalkan oleh belia kita. Mungkin ada
kumpulan yang akan berkata bahawa jika kita berdisiplin, kita akan menjadi
suka kita berjaya dan bersaing dengan mereka. Mereka mahu kita kekal
sebagai hamba mereka. Dan sesiapa di antara kita yang menyambut seruan
supaya kita tidak berdisiplin dan sebaliknya mengikut dakyah orang asing
ini adalah alat penjajah fikiran atau "the tools of the thought
imperialist" yang menyusul "territorial imperialist" yang kita tentang dan
singkir dahulu.

13. Negara Malaysia sekarang pesat membangun. Pembangunan juga bukan untuk
bermegah-megah. Tujuan pembangunan kita ialah untuk kebaikan dan untuk
memelihara maruah dan keselamatan kita. Selagi kita tidak mempunyai
kebolehan dan kemampuan membangun negara sendiri, selama itulah kita akan
ditindas dan dihina secara langsung atau tidak langsung.

Untuk pembangunan kita memerlukan tenaga, terutamanya tenaga
belia. Kecekapan dan kemahiran boleh kita perolehi melalui latihan dan
pengalaman. Kerajaan sanggup mengadakan segala kemudahan latihan sesuai
dengan kelayakan dan keperluan masing-masing. Tetapi yang penting sekali
ialah kesanggupan belia memikul tanggungjawab dengan bekerja keras bagi
mempertahankan maruah negara.

14. Kita dapati sekarang terlalu ramai belia yang terlalu memilih
kerja. Sebenarnya jika terdapat sikap sanggup bekerja tidak ada seorang
pun yang akan menganggur di Malaysia. Tetapi kerana terlalu memilih, baik
dari segi jenis kerja ataupun tempat kerja, pengangguran sentiasa
mengiringi kita. Keadaan seperti ini hanya mengakibatkan pembangunan
Malaysia tergendala dan maruah kita terancam.

15. Belia hendaklah menganuti falsafah hidup yang tidak mengutamakan
kepentingan diri semata-mata. Kepentingan negara hendaklah diambilkira
bersama. Kepentingan negara akhirnya akan membawa kebaikan yang lebih
kekal kepada diri sendiri. Mereka yang mengutamakan kepentingan diri akan
merasai nikmat cuma sedikit dan sekejap sahaja. Sebaliknya jika negara
sudah maju nikmat yang lebih akan dirasai dengan cara yang lebih
kekal. Oleh itu sambutlah panggilan negara dan bersama-samalah berusaha
bagi membina bangsa dan negara yang dihormati oleh dunia. Ingatlah bahawa
yang akan mewarisi negara yang bermaruah ini ialah belia sendiri.

16. Bagi Kerajaan matlamat telah pun ditentukan dan segala jentera akan
digunakan untuk menjadikan Malaysia negara yang dihormati dan disegani
oleh dunia. Di samping itu kesejahteraan hidup rakyat Malaysia tidak akan
diabaikan.

Bersih, cekap dan amanah adalah cogan-kata kita dan dianya tidak akan
dibiarkan sebagai cogan-kata sahaja. Rakyat telah merestui matlamat
Kerajaan dan rakyat telah memberi mandat kepadanya. Sekarang bukan lagi
masa untuk berhujah tetapi sekarang ialah masa melaksanakan janji. Belia
juga terlibat dengan pencapaian matlamat yang telah ditentukan.

Belia berada di mana-mana sahaja. Mereka berada dalam Kerajaan dan di luar
Kerajaan, di institusi-institusi pelajaran, di kilang-kilang dan di
ladang-ladang. Kemajuan tidak dapat dipisahkan dari belia; tidak ada yang
dinikmati oleh masyarakat dan negara yang tidak akan dikecap oleh
belia. Tiap tindakan dan usaha yang dilakukan oleh belia akan membawa
kesan dan akibat kepada belia. Baik yang dilakukan baiklah kesannya dan
buruk yang dilakukan akan membawa keburukan kepada belia. Peranan belia
tentulah jelas dalam Malaysia yang membangun ini. Berusahalah dengan
bersih, cekap dan amanah tanpa melupakan nilai-nilai rohaniah yang bersama
dengan kemajuan material akan membawa kebahagiaan hidup bagi kita semua.

17. Saya difahamkan, suatu kerjasama di dalam bidang ekonomi belia telah
pun dicapai baharu-baharu ini di antara Koperasi Belia Nasional
(KOBENA) dengan Koperasi Pemuda Indonesia (KOPINDO). Saya mengucapkan
tahniah kepada kedua-dua badan koperasi ini kerana kejayaannya memulakan
kerjasama di dalam bidang ekonomi. Saya berharap semoga kerjasama seperti
ini akan juga dapat dibuat dengan negara-negara ASEAN yang lain.

18. Pada hari ini juga Yayasan Belia Malaysia akan dilancarkan. Pelancaran
Yayasan ini membawa erti bahawa kemajuan pertubuhan-pertubuhan belia di
negara ini maju setapak lagi. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah
kepada pertubuhan-pertubuhan belia dan lain-lain pihak yang terlibat
kerana telah berjaya menubuhkan Yayasan ini. Saya percaya Yayasan ini
dapat membantu pertubuhan-pertubuhan belia menjalankan
kegiatan-kegiatannya dengan lebih bermakna, sama ada di peringkat
nasional, mahupun di peringkat antarabangsa. Saya menyeru kepada setiap
pihak yang berkeupayaan supaya menghulurkan sumbangan kewangan kepada
tabung Yayasan ini. Kepada pihak yang telah bermurah hati menyumbangkan
kepada tabung Yayasan ini, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
berbanyak-banyak terima kasih.

19. Akhir kata, saya dengan sukacitanya melancarkan Yayasan Belia Malaysia
dan merasmikan Hari dan Minggu Belia Negara 1982.

 



 


 











 
Google