home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : CEMBONG, NEGERI SEMBILAN Tarikh/Date : 17/08/82 Tajuk/Title : PEMBUKAAN KILANG CEMBOARD SDN. BHD. YAB En. Mohd Isa bin Dato' Haji Abdul Samad, Menteri Besar Negeri Sembilan; YB Puan Napsiah Omar, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Yang Amat Mulia Tunku Imran; Yang Amat Mulia Tunku Naquiyuddin; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Mr. A. T. B. Shand, Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati, Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Mulia Tunku Imran dan semua Lembaga Pengarah Cemboard Sdn. Bhd. kerana menjemput saya membuka dengan rasmi kilang papan simen ini. Tuan-tuan dan puan-puan, 2. Dalam dekad 80an kita memberi keutamaan kepada usaha pengeluaran negara dan juga hasil pertukaran asing. Perusahaan-perusahaan 'resourse-based' iaitu perusahaan yang berasaskan penggunaan sumber-sumber dan bahan-bahan tempatan adalah diberi tekanan di dalam strategi pembangunan perusahaan negara. Saya mengalu-alukan penubuhan perusahaan papan simen Cemboard ini yang selaras dengan matlamat tersebut. 3. Bahan-bahan mentah bagi pengeluaran papan simen adalah 70% kayu getah dan 30% simen. Sebagaimana yang kita maklum kayu getah telah sekian lama dianggap hanya sesuai sebagai sumber arang bagi kilang-kilang besi waja, sebagai kayu api untuk masak memasak, bagi menyalai getah asap dan mengering hasil-hasil batu-bata. 4. Memandang bahawa Malaysia adalah pengeluar getah asli yang terbesar di dunia dan setiap tahun beribu-ribu hektar pokok getah ditebang bagi penanaman semula, potensi kayu getah sebagai bahan perusahaan yang berfaedah dan menguntungkan perlu sekali diberi keutamaan. Penggunaan kayu getah sebagai sumber bahan membakar adalah satu pembaziran yang patut kita elakkan. Kilang Cemboard ini yang menggunakan kayu getah sebagai sebahagian besar bahan mentahnya membuktikan kemungkinan kayu getah bagi penggunaan perusahaan secara lebih meluas dan menguntungkan. Ia membuktikan bahawa kita mempunyai peluang yang luas lagi bagi penggunaan sumber-sumber asli kita yang begitu banyak di negara ini. 5. Papan simen dapat digunakan bagi berbagai tujuan, Rancangan Malaysia Ke Empat. Bagi mencapai matlamat ini, lebih banyak bahan-bahan pembinaan yang dikeluarkan di dalam negeri dan yang menggunakan bahan-bahan tempatan perlulah diberi keutamaan. 6. Saya yakin, bahan-bahan keluaran Syarikat ini mempunyai pasaran tempatan yang baik. Walau bagaimanapun, oleh sebab papan simen merupakan satu bahan yang baru di negara kita, usaha-usaha yang gigih hendaklah dibuat bagi membolehkan bahan-bahan ini digunakan dengan berkesan dan memuaskan dalam perusahaan pembinaan di negara kita. 7. Sebagai satu perusahaan moden yang dikendalikan oleh pakar-pakar, sesebuah perusahaan seperti Kilang Cemboard tidak seharusnya melihat kepada Kerajaan sebagai tempat bergantung. Ia harus menggunakan teknik-teknik pengeluaran, kawalan mutu, penyelidikan dan pemasaran yang progresif bagi meningkatkan prestasinya. Orientasi seperti ini adalah amat penting bagi sesebuah perusahaan yang juga akan mengeksport hasil-hasil keluarannya. 8. Papan simen adalah bahan eksport yang mempunyai potensi yang baik. Saya telah difahamkan bahawa Syarikat ini mengeksportkan bahan keluarannya ke negara-negara ASEAN, khususnya Singapura dan Negeri Thai. Walaupun pada masa ini jumlah yang dieksport agak kecil, yang penting ialah pengeluaran Syarikat ini telah dapat bersaing di pasaran luar dan ini harus menjadi dorongan yang kuat bagi Syarikat ini untuk mengatur strategi pemasarannya dengan lebih kemas lagi. Tuan-tuan dan puan-puan sekelian, 9. Syarikat Cemboard merupakan usahasama Alaxander Shand (Holdings) Limited dari United Kingdom yang memegang 80% ekuiti dan rakan tempatannya, Syarikat Pesaka Antah yang memegang 20% ekuiti. Syarikat ini akan meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera dari 20% ke 40% dan ekuiti bukan bumiputera ke 20% menjelang 1990. Peningkatan ekuiti tempatan boleh dicapai samada melalui proses mengambil-alih bahagian ekuiti asing atau pun dengan cara memperbesarkan syarikat ini di mana ekuiti tempatan ditingkatkan melalui pembesaran. Pada hemat saya, peningkatan ekuiti tempatan dengan cara pembesaran adalah lebih sesuai dan saya harap Cemboard akan bersama-sama dengan Kerajaan menjayakan pencapaian matlamat pembangunan negara ini. 10. Disamping meningkatkan ekuiti tempatan, anggota pengurusan dan pekerja-pekerja tempatan seharusnya bersungguh-sungguh mempelajari selok-belok kewangan, pengeluaran, pemasaran dan pengurusan perniagaan Syarikat papan simen ini. Pihak pengurusan tempatan seharusnya boleh mengendalikan perusahaan ini pada penghujung tahun 1980an ini. 11. Mengenai pemasaran pula, kita bercita-cita memperluaskan pasaran antarabangsa untuk keluaran barang-barang negara kita. Walau bagaimanapun, cita-cita ini harus dilaksanakan dengan usaha-usaha meningkatkan mutu barang-barang keluaran negara. Kita tidak harus mengeksport barang-barang bermutu rendah kerana hendak memperolahi keuntungan cepat. Barang-barang bermutu rendah adalah cara yang paling senang bagi mencemar imej Malaysia di pasaran antarabangsa. Pengawalan mutu atau 'quality control' harus ditekankan bagi menentukan pasaran antarabangsa yang luas bagi keluaran negara. Pemasaran yang berkesan harus memberi penekanan kepada kepuasan terhadap mutu yang tinggi. Tuan-tuan dan puan-puan sekelian, 12. Saya yakin Syarikat Cemboard akan terus menekankan pentingnya pengawalan mutu yang diperlukan tadi. Saya |