home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	BALAI BUDAYA, DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA 
Tarikh/Date 	: 	25/08/82 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERAYAAN HARI WANITA 
			MALAYSIA KE 20 




Terelebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia Tan
Sri Fatimah dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Majlis Kebangsaan
Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia kerana menjemput saya dan isteri
saya ke Majlis Perayaan Hari Wanita 1982 ini.

2. Hari Wanita kali ini jatuh ketika kita sedang membuat persiapan
merayakan 25 tahun merdeka. Pada hemat saya, ini menjadikan Hari Wanita
kali ini sebagai satu peristiwa yang penting. Sesuai dengan ini perayaan
Hari Wanita ini memberi peluang yang istimewa kepada wanita, khususnya
pertubuhan-pertubuhan dan pergerakan-pergerakan wanita, untuk merenung
peranan dan pencapaian yang telah dibuat setakat ini dan langkah-langkah
yang perlu dibuat bagi masa hadapan.

3. Hari ini penduduk Malaysia telah meningkat kepada 14 juta
orang. Kira-kira lebih sedikit dari 60% ialah mereka yang lahir selepas
merdeka. Memandang bahawa nisbah penduduk lelaki dan perempuan adalah agak
sama, jumlah penduduk perempuan yang lahir selepas merdeka adalah
kira-kira 60% juga. Separuh daripadanya berada di bangku sekolah ataupun
sedang menuntut di institusi pelajaran tinggi, sedangkan yang lainnya
adalah tenaga pekerja di dalam bebagai-bagai bidang.

4. Sesuku abad merdeka membawa banyak kemajuan kepada rakyat dan
negara. Kaum wanita telah bersama-sama di bawa arus perubahan. Hari ini
wanita bukan sahaja bekerja di sawah dan bendang, menjaja dan lain-lain
kegiatan yang disamakan dengan aktiviti tradisional, tetapi ramai yang
telah memasuki sektor-sektor moden. Sekarang kita dapat berbangga dengan
ramainya peguam-peguam, doktor-doktor, jurutera-jurutera,
pengusaha-pengusaha, ahli-ahli sains dan matematik wanita yang dahulunya
susah untuk kita impikan.

Malahan sekarang, kita juga mempunyai sejumlah yang tidak kecil
pemimpin-pemimpin wanita di peringkat Menteri dan Timbalan Menteri dan
pentadbir serta pengurus-pengurus wanita. Dalam sebuah negara yang
penduduknya tidak begitu ramai, penglibatan wanita dalam bidang-bidang
yang disebutkan amatlah penting bagi memenuhi keperluan tenaga manusia
diwaktu pembangunan berlaku dengan pesatnya.

5. Dilema wanita di zaman moden ini ialah penyesuaian antara dua peranan
utama iaitu sebagai suri-rumah dan ibu dengan kerjaya. Di Barat dilema ini
telah menjadi begitu menonjol bermula dalam tahun 60an hinggakan timbul
gerakan untuk memperjuangkan hak persamaan tanpa batasan bagi wanita. Ada
di antaranya yang melihat masalah wanita kerana kewanitaanya. Gerakan
pembebasan wanita dalam suasana bebas yang melulu telah memerangkapkan
wanita di dalam berbagai jenis kegiatan yang akhirnya menghinakan wanita
sendiri.

Tetapi, kita bersyukur kerana gerakan ini tidak merebak dan mempengaruhi
kita secara menyeluruh. Kita dapat umumnya mengambil yang jernih dan
membuang yang keruh. Sekarang di Barat, suasana telah beransur berubah
kerana mereka telah sedar semula bahawa apa yang diperlukan bukanlah
kebebasan tanpa batasan tetapi kehormatan antara peria dan wanita yang
membawa kebahagiaan kepada famili dan masyarakat.

6. Famili dan kerjaya adalah sama penting. Ini bukan sahaja kepada wanita
malah kepada lelaki juga. Soalnya, ialah mencari penyelesaian bukan dari
segi perspektif lelaki atau wanita seolah-olah kedua-duanya bertentangan,
tetapi dari perspektif kepentingan famili dan masyarakat. Proses
pembangunan kita haruslah melihat kehendak famili yang sihat dan dinamis
di mana masalah famili tidak mengongkong peranan suami-isteri sebagai
ibu-bapa dan dari segi kerjaya.

7. Setiap orang mempunyai kemampuan yang berlainan. Ini harus menjadi
pertimbangan dalam penyesuaian antara tanggungjawab keluarga dan
kerjaya. Ada pengurus wanita yang baik dan ada pengurus wanita yang
lemah; begitu juga dengan lelaki. Tetapi mungkin ada aspek-aspek kerjaya
yang lebih menarik minat wanita atau di mana sifat-sfat kewanitaan lebih
penting. Ini tidak harus menimbulkan iri hati kerana yang penting ialah
apabila kita mempunyai peranan, kita menunaikan peranan kita dengan
baik. Lelaki atau wanita tidak ada bezanya dari segi kelemahan dalam
bidang-bidang tertentu.

8. Pada hemat saya, dalam kita membangunkan negara, asas perjuangan kaum
wanita ialah nilai-nilai ketimuran kita.

Wanita sendiri mestilah menjamin keluhuran nilai-nilai ini dan memupuknya
di kalangan wanita. Saya yakin dengan cara ini, nilai-nilai ini, iaitu
asas yang sebenar-benarnya menjamin peranan dan kedudkan wanita di dalam
masyarakat akan menjadi nilai masyarakat sendiri. Saya rasa inilah tugas
yang utama. Di samping itu usaha-usaha yang gigih hendaklah dibuat bagi
mengkaji aspek-aspek yang boleh menjamin kedudukan wanita yang sewajarnya,
dari segi undang-undang, sosial mahupun ekonomi.

9. Wanita adalah ibu, isteri atau anak. Mereka mempunyai tempat yang
penting di dalam masyarakat. Kita pernah mendengar 'syurga di bawah
telapak kaki ibu.' Nabi Muhammad s.a.w. pula, di samping menyanjung tinggi
isteri yang taat mengatakan bahawa antara lelaki yang baik ialah yang baik
terhadap isterinya. Seterusnya anak yang baik ialah anak yang taat. Inilah
antara nilai-nilai yang seharusnya wujud dengan nyatanya di dalam
masyrakat. Nilai-nilai yang berdasarkan kebudayaan timur kita menjamin
persamaan dan keadilan; ia tidak merugikan lelaki dan ia tidak pula
menjatuhkan kedudukan wanita. Ia adalah landasan yang wajar dan sederhana
yang harus dipupuk kerana penerimaanya secara meluas akan menyelamat dan
menjamin kejayaan semua pihak.

10. Kemajuan wanita di negara kita tidak harus diukur dengan kriteria
pelajaran, pekerjaan, taraf sosial dan ekonomi ataupun peranan di dalam
politik sahaja. Tidak kurang pentingnya ialah aspek kerohanian. Kemajuan
yang tidak berteraskan kepada kematangan dari segi kerohanian bukanlah
kemajuan yang sebenarnya. Seseorang wanita mungkin berjaya dari segi
kerjayanya tetapi tanpa asas kerohanian yang mendalam dan kuat ia mungkin
gagal di dalam peranan kekeluargaannya. Malangnya kegagalan ini sukar
sekali untuk diteliti oleh seseorang itu sendiri sedangkan ianya mempunyai
implikasi yang amat mendalam. Oleh itu saya percaya aspek kerohanian ini
harus dijadikan sebagai satu faktor yang diberi pertimbangan yang khusus
di dalam strategi memajukan wanita oleh pergerakan-pergerakan wanita.

11. Saya mengambil peluang ini untuk mengucap tahniah kepada Majlis
Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia kerana dengan
ketekunannya Tabung Kebajikan dan Pelajarannya dapat dilancarkan pada hari
ini. Mungkin terdapat lain-lain tabung yang seakan-akan sama, dengan
menumpukan perhatian kepada aspek-aspek yang sama. Saya percaya penindihan
aktiviti haruslah dielakkan bagi menjamin keutuhan pergerakan wanita. Saya
sebutkan perkara 'duplication' di sini kerana pada pendapat saya banyak
aktiviti yang memerlukan perhatian, dan penindihan tugas tanpa pengawasan
yang teliti hanya boleh menjejaskan prestasi pergerakan wanita
keseluruhannya.

12. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada
keempat-empat tokoh pemimpin wanita yang akan dikurniakan Pingat Emas Tun
Fatimah kerana jasa-jasa mereka.

Pengurniaan pingat kepada Yang Berbahagia Toh Puan Suhailah, Puan
P. G. Lim, Yang Berbahagia Datin Athi Nahapan, dan Yang Berbahagia Datin
Hajjah Kamsiah adalah penghormatan yang besar kepada jasa-bakti mereka dan
ini seharusnya menjadi perangsang kepada wanita untuk terus berbakti
kepada bangsa dan negara.

13. Saya harap Hari Wanita akan memberi erti kepada setiap wanita dan saya
mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita
dan selamat maju jaya kepada kaum wanita di seluruh tanahair.

Pejabat Perdana Menteri, 
Kuala Lumpur.

 



 


 











 
Google