home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	25/09/82 
Tajuk/Title  	: 	PERSIDANGAN PERWAKILAN 
			TAHUNAN GERAKAN 




Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden dan
Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja GERAKAN kerana menjemput saya ke majlis ini.

2. Dalam Pilihanraya yang lalu Barisan Nasional telah mendapat kejayaan
yang cemerlang. Tentulah setiap parti komponen dapat berbangga dengan
prestasi dan kejayaanyanya masing-masing. Di sini saya mengambil
kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada GERAKAN di atas pencapaiannya
dan mengucapkan terima kasih kepada semua ahli parti yang telah bekerja
keras untuk membawa kejayaan kepada Barisan Nasional.

3. Kita tidak harus lupa bahawa kemenangan Barisan Nasional adalah hasil
sumbangan semua parti komponen. Oleh itu kedua-dua perspektif, iaitu
perspektif parti dan juga persepktif keseluruhan Barisan Nasional, adalah
amat penting bagi kita menjaga keutuhan kita.

4. Saya memulakan dengan membuat penekanan kepada pentingnya kedua-dua
perspektif ini, iaitu parti dan keseluruhan Barisan Nasional, ialah kerana
kekuatan Barisan Nasional terletak kepada penerimaan kita terhadap
pentingnya perspektif-perspektif ini. Jika sesebuah parti cuma
mementingkan perpsektif partinya sahaja, tanpa membuat perhitungan dalam
konteks Barisan Nasional keseluruhannya, tentulah perjalanan kita akan
menjadi sumbang dan kita akan menangguk berbagai-bagai masalah yang lebih
merupakan ciptaan kita sendiri. Ini akan menjejas persefahaman dan
ketertiban perjalanan Barisan Nasional sebagai sebuah gabungan parti-parti
politik yang mendukung Kerajaan.

5. Barisan Nasional, sebagaimana kita sekelian maklum, telah diasaskan
kepada penerimaan hakikat politik di Malaysia yang memerlukan persefahaman
dan kesederhanaan, serta penerimaan Perlembagaan dan dasar-dasar asas
sebagai landasan kita membangunkan negara kita. Walaupun sistem politik
kita ialah sistem demokrasi, iaitu demokrasi berparlimen, tetapi demokrasi
kita dikecam oleh setengah-setengah pihak yang mengangkat diri mereka
sebagai pentafsir demokrasi. Tetapi kita tidak gentar. Demokrasi kita
adalah unik bagi kita, dan demikian juga dengan sistem demokrasi di
negara-negara liberal yang lain, tiap-tiap satunya adalah unik bagi
sesuatu negara tertentu. Tidak ada siapa yang boleh berkata bahawa cuma
sistem mereka sahaja yang demokratik. Sebenarnya demokrasi liberal ala
barat adalah tidak demokratik kerana 'the silent majority' ditindas oleh
'the activist minority' dalam sistem ini.

Pemerintahan yang dikuasai oleh minoriti sudah tentu tidak demokratik.

6. Persepsi kita terhadap demokrasi ini adalah berdasarkan kepercayaan
kita bahawa tidak ada dua buah negara yang sama dalam segala-galanya, sama
ada dari segi tahap kemajuannya, struktur kependudukan, masalah, malahan
hinggakan kepada cara mengatasi sesuatu masalah itu sendiri. Oleh itu kita
sebagai rakyat Malaysia tidak harus curiga dengan anjuran kononnya
demokrasi kita bukan demokrasi. Tentulah demokrasi kita mempunyai
sempadan-sempadanya, sebagaimana juga hakikatnya di seluruh dunia walaupun
di negara yang dianggap paling liberal sekali. Demokrasi tanpa sempadan
sebenarnya bukan demokrasi yang dapat berbuat sesuatu yang berfaedah
malahan ia adalah anarki dan huru-hara. Kita bernasib baik kerana
sebahagian besar daripada rakyat di negara ini sedar betapa pentingnya
sistem demokrasi kita bagi keperluan kita, kerana jika sebahagian besar
rakyat menerima anjuran demokrasi tanpa sempadan, sistem yang akan wujud
bukan lagi demokrasi tetapi satu bentuk cengkaman yang akan melenyapkan
semua kebebasan.

7. Itulah sebabnya kita, sebagai anggota di dalam Barisan Nasional dan
sebagai rakyat yang cintakan negara, mesti berhati-hati di dalam usaha
pembangunan politik atau 'political development' kita. Politik adalah alat
dan bukannya matlamat kita. Menganggap politik sebagai matlamat boleh
mengaburkan mata kita tentang matlamat-matlamat sebenar kita, iaitu
kebahagiaan, kestabilan, keharmonian dan sebagainya yang harus dinikmati
oleh rakyat sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan maju.

8. Keadaan ekonomi dan politik di peringkat antarabangsa masih berada
ditahap yang membimbangkan kita. Walaupun kita tidak terancam dengan
serius tetapi kita tidak dapat mempastikan dengan tepat bilakah keadaan
akan pulih semula.

Adalah menjadi harapan kita bahawa ekonomi dunia akan beransur-ansur pulih
menjelang pertengahan tahun hadapan.

Dari segi politik pula kita berharap sesuatu asas penyelesaian yang adil
akan tercapai di Asia Barat dan keadaan di wilayah Asia Tenggara akan
kembali stabil dengan penyelesaian masalah Kampuchea.

9. Sebagai anggota masyarakat dunia kita bimbang suasana ekonomi dan
politik yang tidak stabil akan membawa masalah ekonomi, politik, dan
sosial yang lebih kompleks dan berpanjangan. Walaupun kita optimis bahawa
ini satu kemungkinan yang tipis namun ia memerlukan tindakan yang
betul-betul tegas dan berani oleh semua pihak terutama sekali oleh
negara-negara maju dan negara-negara besar.

Oleh itu kita tidak dapat menghilangkan kebimbangan kita dengan
sewenang-wenang.

10. Petang ini saya akan berlepas ke New York untuk menghadiri Perhimpunan
Agung Bangsa-Bangsa Bersatu.

Tentulah sebagai sebuah negara yang kecil sumbangan kita ke arah
penyelesaian masalah-masalah yang besar ini hanya merupakan setitik air di
dalam satu takongan yang besar.

Namun begitu adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengutarakan hujah
kita sebagai anggota masyarakat dunia yang bimbang dengan suasana yang
wujud pada masa ini.

11. Walaupun adalah di luar kuasa kita untuk menyelesaikan masalah-masalah
yang dihadapi oleh dunia, kerjasama kita dengan rakan-rakan kita di dalam
forum-forum antarabangsa boleh membuktikan tahap kebimbangan dan kejujuran
kita untuk membantu mencari penyelesaian kepada masalah bersama.

12. Dalam keadaan ekonomi yang wujud sekarang, kita tidak harus melihatnya
tanpa melakukan sesuatu. Kita bukan sahaja harus menyesuaikan perbelanjaan
kita dengan keupayaan kewangan kita malah kita harus melihat suasana yang
wujud sebagai satu oportuniti untuk kita mengukuhkan asas-asas yang akan
meningkatkan ketahanan kita dalam semua bidang.

Sebagai gabongan parti-parti yang mendukung Kerajaan, setiap parti
komponen mestilah menggerakkan jenteranya untuk membantu Kerajaan menyusun
cara befikir dan bertindak yang positif supaya apabila ekonomi dunia pulih
kelak kita akan berada di hadapan dengan segala persiapan untuk mengambil
segala peluang dari ekonomi yang berkembang.

13. Sebagai Pengerusi Barisan Nasional, saya mempunyai tanggungjawab yang
berat untuk memelihara keharmonian berpolitik di kalangan anggota
Barisan. Saya yakin, semua anggota Barisan faham dengan jentera yang wujud
bagi menjamin kepentingan semua pihak. Sebagai satu keluarga yang besar,
Barisan Nasional tidak dapat mengelakkan diri dari perbezaan-perbezaan
pendapat. Sebenarnya perbezaan-perbezaan tidak semestinya merupakan
sesuatu yang buruk, kerana jika perbezaan-perbezaan ini diselesaikan dalam
suasana yang matang kita akan mendapat banyak manfaat daripadanya. Ini
adalah satu realiti di dalam Barisan Nasional. Tetapi di samping
membenarkan perbezaan-perbezaan yang sihat kita juga harus membendung
perbezaan-perbezaan yang boleh membawa kerenggangan dan perpecahan. Ini
adalah satu sikap dan fahaman yang harus dihayati oleh semua peringkat
kepimpinan dan ahli di dalam parti-parti komponen Barisan Nasional.

14 Akhir kata, denga harapan ini dan dengan ucapan selamat bersidang, saya
dengan segala sukacitanya membuka Perhimpunan Agung GERAKAN yang Ke 11
dengan rasminya.

Terima kasih.

Pejabat Perdana Menteri, Kuala Lumpur.

 



 


 











 
Google