home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	WISMA MCA, JALAN AMPANG, 
			KUALA LUMPUR. 
Tarikh/Date 	: 	03/10/82 
Tajuk/Title  	: 	PERHIMPUNAN AGUNG MCA YANG KE 30  




Yang Mulia Pengerusi Majlis; Yang Berhormat Datuk Lee San Choon, Presiden
MCA; Ahli-Ahli Jawatankuasa Pusat MCA; Ketua-Ketua dan Wakil-Wakil
Parti-Parti Komponen Barisan Nasional; Dif-dif Kehormat; Saudara-Saudari
dari MCA; Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

Terlebih dahulu saya Meminta maaf kerana tidak dapat hadir sendiri di
pembukaan Mesyuarat Agung MCA yang ke 30 ini. Inilah saya meminta YAB Dato
Musa, Timbalan Perdana Menteri untuk menyampaikan ucapan saya.

2. Pertama sekali saya ingin mengucap tahniah kepada MCA kerana kejayaan
yang cemerlang yang dicapai oleh MCA dalam pilihanraya 1982. Kemenangan
MCA di Ipoh, Kuala Lumpur dan Melaka membuktikan kebolehan MCA memikat
hati pengundi dalam suasana di mana parti-parti lawan begitu mengguna
sentimen kaum untuk membakar perasaan kaum Cina. Kemenangan dan proses
berkempen juga membuktikan bagaimana orang MCA boleh bekerjasama dengan
orang UMNO dengan rapatnya untuk menjayakan Barisan Nasional. Saya
mengucap syabas kepada pemimpin-pemimpin MCA terutamanya dan ahli-ahli MCA
amnya.

Teruskanlah usaha dan sikap ini. Saya yakin Malaysia akan kekal sebagai
negara yang aman damai dan semua penduduk akan memperolehi kebahagiaan.

3. Siapa, termasuk pengkritik-pengkritik dalam dan luar Malaysia yang
boleh berkata bahawa kita tidak mencapai kejayaan. Sebenarnya semua
terpaksa mengaku bahawa kita telah mencapai kejayaan yang luar
biasa. Dalam msna 25 tahun, pembangunan kita adalah empat kali lebih
banyak daripada apa yang dicapai sepanjang Malaysia berada di bawah
pemerintah asing. Sebenarnya perkembangan atau "growth" kita adalah lebih
pesat dari negara-negara maju di Eropa atau Amerika pada waktu yang sama.

4. Tetapi yang terbaik sekali ialah keharmonian kaum yang terdapat di masa
ini. Memang benar kita belum mencapai integrasi kaum sehingga ternyata
perpaduan kaum wujud.

Tetapi segala ramalan tentang pergaduhan kaum yang dibuat oleh "the
prophets of doom" di waktu kita mencapai kemerdekaan dan di waktu
peristiwa May 1969 tidak menjadi kenyataan. Ekonomi Malaysia telah tumbuh
dengan lebih pesat sejak merdeka dan lebih lagi selepas 1969.

5. Oleh itu kita boleh mengucap tahniah kepada diri kita sendiri kerana
kejayaan kita dalam menentukan perpecahan kaum tidak berlaku dan mengancam
kemajuan Malaysia. Namun demikian kita tidak boleh bersenang-senang di
atas kejayaan kita yang terhad ini. Kita perlu berusaha untuk meningkatkan
lagi prestasi keharmonian antara kaum di negara yang kita kasihi ini.

6. Kita bercakap tentang kasih kepada negara kita Malaysia. Kita juga
dakwa tentang taat setia kita kepada negara kita. Tetapi kasih dan taat
setia kepada negara mempunyai tafsiran yang berbeza-beza. Ada yang
berpendapat bahawa mengakui diri sendiri sebagai warganegara sudah cukup
bagi membuktikan kasih dan taat setia. Dan ada yang berpendapat bahawa
cuma jikalau sanggup mati berperang untuk negara baharulah kasih dan taat
setia mempunyai makna. Di antara kedua-dua ekstrim ini terdapat banyak
tafsiran lain.

7. Saya tidak berpendapat bahawa cuma orang yang sanggup mati untuk negara
baharulah kasih dan taat setia. Tetapi saya tidak dapat menerima bahawa
orang yang tinggal negara ini semata-mata kerana terdapat sedikit masalah
adalah warganegara yang taat.

8. Sebagai warganegara kita mesti terima "the good with the bad" dalam
negara kita. Tidak ada siapa dalam negara ini sama ada dia dari keturunan
Cina, atau India, atau Melayu yang akan dapati bahawa semua yang terdapat
dalam negara ini secucuk dengan kehendaknya. Orang Melayu mempunyai banyak
yang mereka tidak puas hati dalam negara memburukkan suasana
perpaduan. Sudah tentu saudara-saudari sebagai orang keturunan Cina
mempunyai banyak perkara yang saudara-saudari tidak puas hati. Begitu juga
dengan orang keturunan India.

9. Tetapi jikalau kerana ada yang tidak secucuk dengan kita maka kita
pindah ke negeri lain dan dari sana kita kecam negara kita sendiri, ini
bukanlah bukti yang kita cinta dan taat setia kepada negara kita sendiri.

Lebih-lebih lagi jika di negara yang kita pergi, kita tidak dapat apa yang
kita kata tidak ada di negara kita. Ramai dari rakyat Malaysia dari
keturunan Cina, yang pergi ke Australia dan Kanada kononnya kerana bahasa
Cina tidak dilayan di Malaysia, tidak kecewa bila di sana tidak ada tempat
sama sekali untuk pelajaran bahasa ibunda. Saya yakin dalam masa satu
generasi semua orang yang tinggalkan Malaysia tidak akan dapat bercakap
dalam bahasa nenek moyang mereka.

10. Selain dari itu diskriminasi yang lebih ketara diamalkan terhadap
mereka yang menjadi imigran di sana.

Peluang untuk mereka juga berkurangan, dan sudah tentu peluang untuk anak
mereka adalah tipis. Tetapi mereka ini sanggup menerima tekanan-tekanan
ini di negara di mana mereka menjadi imigran. Di Malaysia mereka tidak
sanggup.

11. Memandang kepada peristiwa inilah maka timbul perasaan di kalangan
lain-lain warganegara Malaysia bahawa kumpulan itu dan kumpulan ini tidak
punyai kasih sayang dan taat setia kepada negara. Walau apapun alasan yang
mereka beri, mereka tidak boleh lari dari tuduhan bahawa kewarganegaraan
mereka terhad kepada yang sedap bagi mereka sahaja; yang tidak kena pada
hati mereka, yang bercorak tanggungjawab kepada negara, mereka tidak
sanggup memikul.

12. Mereka ini bukanlah warganegara tetapi adalah semata-mata "birds of
the passage" yang cuma singgah di Malaysia. Dan kerana perbuatan mereka
maka kaum mereka tercemar dan terdedah kepada tuduhan tidak taat setia dan
tidak cintakan negara.

Tuan-tuan dan puan-puan.

13. Perpaduan masih belum tercapai dalam negara kita. Benar dalam bidang
politik kerjasama yang erat dapat diadakan antara parti-parti yang
mewakili kaum-kaum di Malaysia. Tetapi di luar dari politik, dalam bidang
ekonomi dan sosial bukan sahaja tidak ada perpaduan tetapi perhubungan pun
tidak wujud antara kaum.

14. Sebenarnya dalam bidang politiklah yang terdapat perbezaan yang
jauh. Tetapi kerana kesedaran tentang bahaya permusuhan politik dalam
negara yang mengamalkan demokrasi kita sanggup dan dapat membendung
pendapat dan pendirian kita supaya dapat kita bekerjasama.

15. Malangnya dalam bidang sosial dan ekonomi kita tidak begitu takut
dengan kesan perpisahan kaum yang jauh. Oleh itu tidak ada satu usaha yang
bersungguh-sungguh untuk mendekatkan kaum dalam bidang ini. Walaupun
Kerajaan sendiri mempunyai jabatan dan aktiviti untuk mengintegrasi kaum,
sokongan dan penglibatan kumpulan-kumpulan tidaklah dibuat dengan penuh
dedikasi.

 



 


 











 
Google